Pages

Sunday, May 5, 2013

Keadaan bayi kepala besar semakin baik

h_01425792London: Keadaan bayi yang kepalanya membesar tiga kali ganda berbanding saiz biasa semakin ‘baik’ malam tadi selepas menjalani rawatan menyelamatkannya.

Laporan akhbar The Sun di Britain mengenai nasib Roona Begum itu mendorong pembaca menderma ribuan paun bagi membantunya.


Bayi berusia 18 bulan itu menjalani beberapa siri pembedahan untuk mengurangkan saiz kepalanya yang berpunca daripada kehadiran begitu banyak cecair di otaknya.

Setakat ini, doktor sudah mengurangkan bengkak di kepala Roona hingga sepertiga, daripada 37 inci kepada 29 inci dengan mengalirkan keluar cecair dari kepalanya.


Meskipun masih kritikal, doktor berkata, keadaan Roona semakin baik berbanding sebulan lalu apabila doktor di negara kelahirannya, India, berkata, bengkak kepala bayi itu paling besar dalam sejarah perubatan.


Bapanya, Abdul, 26, yang memperoleh pendapatan kurang RM10 sehari dengan bekerja di sebuah kilang batu-bata tidak mampu menanggung kos rawatan, menyebabkan Roona berdepan dengan kematian secara perlahan-lahan.

Laporan mengenai nasib Roona di akhbar The Sun menarik simpati pembaca dan berjaya mengumpulkan RM150,000 untuk membantu merawatnya.


Sumbangan itu membolehkan Roona, bapanya dan ibunya, Fatima diterbangkan ke London.


Roona akan menjalani rawatan selama beberapa bulan dan doktor mengingatkan dia berdepan dengan ancaman kecacatan otak atau buta kesan daripada penyakit yang dihidapinya. “Doktor bertindak berhati-hati dalam merawat Roona dan sehingga semalam mereka berjaya melakukannya selepas mengalirkan keluar cecair dari otak kanak-kanak itu,” kata sumber yang bertanggungjawab memungut derma untuk kanak-kanak itu. - The Sun

Daging tikus dijual sebagai daging kambing



Shanghai: Polis mengesahkan beberapa peniaga memproses daging tikus untuk dilihat sebagai daging kambing dan dijual di pasar di China.

Pihak berkuasa baru-baru ini bertindak ke atas sindiket penjenayah yang menjalankan kegiatan itu dalam satu operasi keselamatan makanan.
Operasi itu dijalankan srentak dengan langkah memerangi selesema burung yang menyebabkan jualan daging ayam dan itik merudum di China.

Seorang peniaga didapati menggunakan bahan campuran memproses daging tikus dan musang sebagai daging kambing di pasar di Shanghai yang sering dikunjungi pelancong.


“Selepas mencampurkan gelatin, pewarna dan bahan lain, dia menjual daging itu sebagai daging kambing di pasar,” kata sumber.



Serbuan yang dilakukan ke atas Wei dan kumpulannya di Jiangsu dan Shanghai membolehkan polis menangkap 63 suspek.

Sebanyak 10 tan daging tikus dan musang turut dirampas.

Kumpulan itu meraih keuntungan RM4.8 juta sejak memulakan operasi mereka pada 2009.

Selain itu, pihak berkuasa juga menemui bukti campuran hidrogen peroksida yang digunakan oleh peniaga untuk membersihkan kaki ayam sebelum ia dijual kepada pembeli. - Daily Mail