YORKSHIRE, Britain – Seorang wanita berusia 33 tahun di sini menjadi nenek paling muda di Britain selepas anak tunggalnya, Bethany, 17, melahirkan seorang bayi lelaki, Elijah seberat 2.3 kilogram Rabu lalu.
Wanita itu, Corrie Rowland berkata, dia telah hamil ketika berusia 15 tahun kerana terlanjur dengan kekasihnya.
Pada masa itu, dia masih menuntut di sekolah menengah menyebabkan kedua ibu bapanya mahu dia menggugurkan kandungan itu.
“Namun, tindakan menggugurkan bayi bukan pilihan, malah kekasih yang bimbang untuk menjadi bapa pada usia remaja turut mendesak supaya saya tidak melakukan perbuatan terkutuk itu.
“Anak perempuan kami, Bethany kemudian selamat dilahirkan pada 26 Mac 1998 di Hospital Diraja Doncaster,” katanya.
Menurut Rowland, dia berhadapan dengan cabaran besar sepanjang membesarkan Bethany selepas berpindah dari rumah kedua ibu bapanya.
“Ketika Bethany berusia dua bulan, saya telah berpisah dengan bapanya menyebabkan kami terpaksa meneruskan kehidupan dengan bantuan kewangan daripada kerajaan.
“Namun, saya berjaya membesarkan Bethany dengan baik walaupun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran,” ujarnya yang tidak menyangka Bethany turut mengikut jejak langkahnya apabila melahirkan anak pada usia 17 tahun. – AGENSI
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0607&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3cMjZN1IE
Hakcipta terpelihara