PASADENA, California 8 Ogos - Robot pengesan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) ke Marikh, Curiosity semalam menghantar imej pertama berwarna yang memaparkan keadaan sekeliling planet tersebut.
Gambar berwarna yang diambil dengan keadaan habuk masih mengaburi lensa kamera itu, menunjukkan dinding dan kaki gunung Kawah Gala, lokasi yang ditetapkan untuk Curiosity mendarat di Marikh pada Ahad lalu selepas mengembara selama lebih lapan bulan di angkasa lepas.
Gambar tersebut membuktikan satu daripada keupayaan penting robot itu, iaitu kamera yang dikenali sebagai Mars Hand Lens Imager (MAHLI), telah berfungsi dengan baik.
Saintis Curiosity, Ken Edgett berkata, kamera khas itu dicipta untuk mengambil gambar batu secara dekat dan jauh serta gambar objek lain menggunakan tangkapan gambar secara landskap dan menyeluruh.
Jelasnya, jika MAHLI beroperasi secara penuh, saintis mampu menangkap gambar dengan perincian yang lebih jelas iaitu setinggi 13.9 mikron per pixel.
"Kamera tersebut berfungsi dengan baik dan ia sangat menakjubkan. Kami tidak sabar untuk melihat hasilnya," katanya.
Gambar terbaru itu disiarkan di bumi semasa robot tersebut menghabiskan masa selama sehari di Marikh, selepas melepasi atmosfera planet merah itu dan mendarat pada malam Ahad lalu.
Malah NASA menyifatkan pendaratan Curiosity di Marikh merupakan pengalaman paling rumit dan mencabar dalam sejarah penerbangan robotik angkasa.
Misi utama robot angkasa berkenaan yang dilengkapi peralatan makmal mudah alih adalah untuk mencari sebarang petunjuk apakah pernah wujud kehidupan di planet tersebut yang dikatakan hampir serupa dengan bumi.
Projek NASA bernilai AS$2.5 bilion (RM7.5 bilion) itu merupakan misi astrobiologi pertama sejak program Viking dilancarkan pada 1970-an. - REUTERS