Pages

Wednesday, June 4, 2014

796 MAYAT BAYI DAN KANAK-KANAK DITEMUI DALAM TANGKI NAJIS


 WEDNESDAY, 4 JUNE 2014



TUAM: 796 mayat bayi dan kanak-kanak ditemui di dalam sebuah tangki najis yang telah ditinggalkan di sebuah bandar kecil dikenali sebagai Tuam di County Galway, Ireland. Mayat-mayat tersebut dipercayai dibuang antara tahun 1925 hingga 1961.

Berita tragik ini seperti dilaporkan oleh IrishCentral.com telah membongkar rahsia Gereja Katolik Ireland dimana tapak itu sebenarnya merupakan tempat tinggal bagi ibu yang melahirkan anak tanpa nikah yang dikenali sebagai ‘The Home’. Ia dikendalikan oleh Sisters of Bon Secours Congregation.

Catherine Corless, seorang ahli sejarah di Tuam memberitahu IrishCentral.com beliau masih mengingati tempat tinggal ‘Home Babies’ itu semasa membesar dan pergi ke sekolah.

“Mereka selalu diasingkan daripada kelas biasa. Paderi perempuan akan menyampaikan mesej bahawa mereka adalah golongan yang berbeza dan perlu diasingkan daripada orang ramai,” beliau dipetik sebagai berkata.

Corless menambah, jika pelajar di sekolah itu membuat kesalahan disiplin, mereka akan dipaksa duduk bersebelahan dengan penghuni Home Babies. Beliau turut menceritakan bagaimana rakannya membalut batu dalam balutan gula-gula dan memberinya kepada penghuni Home Babies.



“Apabila mereka membuka balutan itu, mereka sedar sebenarnya mereka telah ditipu. Saya mengaku saya turut mengikut jejak langkah rakan saya dan mempermainkan mereka. Pada masa itu saya rasa ia sesuatu yang kelakar,” IrishCentral.com memetik Corless sebagai berkata.

Perasaan bersalah itu terus menghantui Corless dan disebabkan itu, beliau kini mengetengahkan isu tragik penghuni Home Babies ini. Beliau telah menjalankan kajian intensif tentang apa yang berlaku dalam The Home selain mencari rekod-rekod lama.

Menurut IrishCentral.com, laporan pemeriksaan lembaga kesihatan tempatan daripada April 1944 mendapati seramai 271 kanak-kanak dan 61 orang ibu tunggal tinggal di The Home. Ini menjadikan jumlah keseluruhan penghuni rumah itu seramai 333 orang sedangkan bangunan tersebut hanya mempunyai kapasiti untuk 243 penghuni sahaja.

Laporan tersebut turut menunjukkan bagaimana kanak-kanak yang tinggal di situ diabaikan dan kekurangan zat. Laporan juga mendapati kanak-kanak dalam keadaan ‘miskin, kurus dan tidak membesar’.

The Home beroperasi selama 36 tahun dari 1926 hingga 1961 dan penduduk Tuam memberitahu pemberita bahawa kanak-kanak tersebut dianggap golongan terbuang hanya kerana status mereka sebagai ‘anak luar nikah’ dan ‘berdosa’.

Corless turut cuba menghubungi sebahagian biarawati Bon Secours namun mereka telah berpindah dari Tuam pada 1961 dan menyerahkan segala rekod berkaitan The Home kepada Lembaga Kesihatan Barat. Lembaga tersebut seterusnya memberitahunya bahawa tiada maklumat umum mengenai perjalanan harian tempat itu.

Akhirnya, Corless berjaya mendapatkan rekod kematian kesemua 796 kanak-kanak yang ditemui mati di dalam sebuah tangki najis daripada pejabat pendaftaran di County Galway. Beliau bersama-sama sebuah jawatankuasa kini bekerjasama untuk membina sebuah memorial bagi memperingati kubur itu.

sumber: http://www.astroawani.com/
- See more at: http://buletin-terkini-online.blogspot.com/2014/06/796-mayat-bayi-dan-kanak-kanak-ditemui.html#sthash.GdSY8KNp.dpuf

Tapak kaki bersaiz luar biasa ditemui

NUR FARHANA ABDUL MANAN
Dua kesan tapak kaki bersaiz 23 inci panjang yang ditemui.
Dua kesan tapak kaki bersaiz 23 inci panjang yang ditemui. 
3 Jun 2014
PUCHONG – Kesan tapak kaki bersaiz gergasi yang ditemui di halaman sebuah rumah di Kampung Sri Aman Dalam dekat sini petang kelmarin, menimbulkan persoalan ia milik ‘bigfoot’ atau makhluk jenis lain.

Bersaiz 23 inci panjang, dua belah tapak kaki itu turut ditemui bersama satu lagi kesan tapak kaki kiri bersaiz 15 inci.

Pesara, Abdul Wahab Md Wali, 78, berkata, dia menemui empat objek pelik ketika berjalan menuju ke kebun buah-buahan terletak kurang 50 meter dari jarak rumahnya.

Dari jarak rumah ke kebun dia menghamparkan sebidang permaidani bagi mengelakkan rumput tumbuh sejak sebulan lalu.

Namun dia tidak menyangka akan menemui kesan tapak kaki gergasi atas permaidani yang dihampar, petang kelmarin.

"Kesan tapak kaki bersaiz besar itu mempunyai lima jari mirip tapak kaki manusia dan jarak antara tapak kaki kanan dan kiri hampir satu meter.

"Kira-kira tiga meter dari jarak dua tapak kaki itu terdapat dua lagi kesan menyerupai tapak kaki berukuran 15 inci manakala satu lagi hanya menampakkan kesan tumit kaki yang dipijak," katanya kepada Sinar Harian.

Terkejut dengan penemuan itu, dia kemudian memanggil anaknya menyebabkan kini mereka sekeluarga dihantui rasa takut.

“Mula-mula pakcik tak perasan kesan tapak kaki tu tapi bila diamati memang terkejut. Ia serupa tapak kaki manusia tapi besar macam gergasi.

“Lepas jumpa semalam (kelmarin) pakcik taklah kecoh-kecoh tapi ada juga orang kampung yang dah tahu datang tengok,” katanya.

Difahamkan, buah pokok belimbing buluh yang ditanam Abdul Wahab berhampiran kesan tapak kaki ditemui sering ‘ghaib’ sebelum ini.

Sementara itu, adik ipar Abdul Wahab, Kamarudin Ismail, 68, berkata sepanjang hidupnya, itulah kali pertama dia melihat tapak kaki bersaiz besar.

Bagi mendapat kepastian, penemuan itu diajukan kepada pihak polis dan Jabatan Perhilitan.

“Jabatan Perhilitan kata ia bukan tapak kaki ‘bigfoot’...jadi tapak kaki ni milik siapa? Haiwan, manusia atau jin, kami semua nak tahu..., sekarang saya akan simpan permaidani yang terdapat kesan tapak kaki ni jika ada mana-mana pihak nak kaji,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung penemuan objek itu daripada seorang penduduk Kampung Seri Aman.

Katanya, pihaknya akan melakukan siasatan dan memanggil pakar jika perlu untuk kajian lanjut.

Gajah Thailand boleh main piano

Gajah Thailand boleh main piano
GAJAH digelar sebagai Peter ini dikurniakan kebolehan luar biasa.

Rakaman dimuat naik PaulBartonPiano di Youtube menunjukkan haiwan mamalia ditempatkan di bawah program Elephantstay di Royal Elephant Kraal & Village di Thailand tersebut boleh bermain piano.

"Peter kelihatan seronok menikmati muzik terbabit kerana ia turut 'menari' walaupun tidak mengikut alunan rentak dan irama lagu," kata jurucakap Elephantstay kepada laporan Daily Mail.

Di program Yayasan Phra Kochabaan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, pengunjung juga dibenarkan untuk merasai pengalaman menyeronokkan tinggal bersama gajah.

Membaca sambil memandu

Membaca sambil memandu
AKSI berani mati seorang pemandu wanita yang membaca sambil memandu kereta di salah sebuah laluan paling sibuk di Britain dikecam banyak pihak.

Menurut Daily Mail, wanita tersebut dilihat bersendirian memandu kereta jenis Nissan Micra pada kelajuan 113 kilometer sejam di Leicestershie sambil khusyuk membaca buku yang diletakkan pada stereng pada minggu lalu.

Seorang pengguna jalan raya yang mahu dikenali sebagai Stonham turut mengambil gambar pemandu itu menggunakan telefon bimbitnya.

"Tindakan wanita itu sememangnya di luar jangkaan kerana kebiasaannya, saya melihat orang makan atau mengenakan alat solek sambil memandu. Perbuatannya tidak dapat diterima dan tanpa disedarinya boleh membawa maut," katanya.

Susulan daripada insiden tersebut, kempen keselamatan jalan raya bertindak menggesa pihak berkuasa mengenakan denda lebih tinggi terhadap mana-mana pemandu yang melakukan pelbagai perkara pada suatu masa.

Hagia Sophia

WARTAWAN SINAR HARIAN
Hagia Sophia adalah simbol keagungan empayar Turki Uthmaniyyah pada era 1400-an hingga 1500-an.
Hagia Sophia adalah simbol keagungan empayar Turki Uthmaniyyah pada era 1400-an hingga 1500-an. 
4 Jun 2014
PULUHAN ribu umat Islam di Turki mengerjakan solat berjemaah di luar masjid teragung dan tercantik di dunia, Hagia Sophia (Aya Sofia).

Media tempatan melaporkan ia adalah sebagai usaha menggesa Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan menjadikan ia semula sebagai masjid teragung di negara itu.

Ketua Persatuan Pemuda Anatolia, Salih Turan memaklumkan 15 juta orang menandatangani petisyen untuk merealisasikan impian jutaan orang Islam di Turki.

"Hagia Sofia adalah simbol dunia Islam dan penaklukan empayar Turki Uthmaniyyah dan Sultan Muhammad al-Fateh di Istanbul," katanya.

Difahamkan, selama hampir 500 tahun Hagia Sophia menjadi masjid utama di Istanbul pada 1453 selepas ia diubahsuai daripada gereja besar Kristian Ortodoks.

Bagaimanapun, undang-undang sekular Turki pada 1934 menghalang sebarang kegiatan agama diadakan di masjid yang menjadi tinggalan sejarah abad ke-6 itu dan ia dipercayai berkuatkuasa hingga kini.

November lalu, Timbalan Perdana Menteri, Bulent Arinc pernah memberi harapan kepada orang Islam di Turki bahawa Hagia Sophia akan dibuka semula sebagai masjid. 

Tetapi, pada 2012, Erdogan pernah menolak cadangan menukar status Hagia Sophia dan masjid Sultan Ahmed yang dibina pada abad ke-17.

Sementara itu, penasihat kanan perdana menteri, Ibrahim Kalin menegaskan, Erdogan tidak bercadang untuk menukar status semasa masjid yang dijadikan muzium sejak 80 tahun lalu.

"Ia hanya spekulasi, kerajaan belum membuat keputusan. Hagia Sophia akan kekal menjadi tempat bersejarah untuk kunjungan pelancong," katanya.

Sementara itu, Hellenic American Leadership Council (HALC) membuat petisyen dalam talian untuk mendapat sokongan bagi membantah tindakan mana-mana pihak yang mahu menjadikan semula Hagia Sophia sebagai masjid.

Tujuan utama mereka adalah untuk menghantar mesej kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) yang menyenaraikan Hagia Sophia sebagai Tapak Warisan Dunia.

Mereka berpendapat, tinggalan sejarah berharga di Turki itu sepatutnya kekal sebagai muzium dan dibuka kepada orang ramai.

Sehingga kini, hampir 30,000 orang menandatangani petisyen tersebut walaupun sasaran awal mereka adalah untuk memperoleh 20,000 tandatangan.

Otak bercantum dengan tengkorak


Archie Outlaw menikmati kehidupan yang lebih baik selepas menjalani pembedahan memisahkan otak (gambar kanan) dan tengkoraknya. - AGENSI
LONDON 2 Jun - Kebiasaannya, kebanyakan bayi normal dilahirkan dengan memiliki ruang di bahagian dalam tengkorak bagi membolehkan otak membesar dengan sempurna.
Tetapi lain pula kisahnya di Britain apabila seorang kanak-kanak, Archie Outlaw yang dilahirkan dengan keadaan otaknya bercantum bersama tengkorak atau dikenali sebagai Frontometaphyseal dysplasia, penyakit genetik yang hanya dihidapi kira-kira 35 orang sahaja di seluruh dunia.
Kanak-kanak yang menghidap sindrom tersebut boleh mengalami kerosakan otak atau tekanan terhadap otak selain masalah pembentukan rangka badan dan kesihatan buah pinggang, pundi kencing dan jantung jika tidak dirawat dengan segera.
Ekoran itu, Outlaw, 4, terpaksa bertarung nyawa selama lima jam menjalani pembedahan yang boleh merosakkan otaknya, sehingga meninggalkan kesan jahitan seperti mata gergaji apabila doktor membelah tengkoraknya untuk pembentukan semula tulang kepala budak lelaki itu.
Ibunya, Kelly, 32, berkata, dia mula menyedari kecacatan anaknya itu ketika berusia lima bulan apabila Outlaw mengalami masalah pernafasan dan dimasukkan ke hospital.
Selain itu, rawatan lanjut doktor mendapati anaknya juga menghadapi masalah pendengaran, penglihatan dan pertuturan disebabkan otaknya yang tidak boleh berkembang.
"Bagaimanapun disebabkan faktor usia yang masih kecil, Outlaw perlu menunggu sehingga berusia tiga tahun setengah untuk menjalani pembedahan memisahkan otak daripada tulang tengkoraknya.
"Selepas dibedah, kehidupan anak saya lebih baik dan lebih cergas melakukan aktiviti fizikal," katanya kepada Mail Online.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140603/lu_08/Otak-bercantum-dengan-tengkorak#ixzz33cIDQZor
© Utusan Melayu (M) Bhd