Pages

Friday, June 10, 2011

Lelaki direman kes rasuah bola



LELAKI disyaki bookie perlawanan bola sepak Piala Presiden ditahan reman di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
LELAKI disyaki bookie perlawanan bola sepak Piala Presiden ditahan reman di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.

Ahli perniagaan Singapura ditahan selepas keterangan pemain T-Team

KUALA TERENGGANU: Seorang ahli perniagaan dari Singapura ditahan reman empat hari hingga Ahad ini untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah dan mengatur perlawanan membabitkan pasukan Piala Presiden T-Team musim lalu.

Difahamkan lelaki yang berusia 51 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini kira-kira jam 3 petang semalam, ditahan anggota SPRM di Negeri Sembilan kelmarin untuk membantu siasatan kes itu.
Pengarah SPRM Terengganu, Md Yusoff Md Zin ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu, selepas SPRM mengambil keterangan 25 pemain T-Team sejak minggu lalu.
Berita Harian sebelum ini melaporkan, pengurusan T-Team musim lalu memaklumkan sudah dihubungi pegawai SPRM dan akan memberi keterangan dalam masa terdekat berhubung pendedahan rasuah membabitkan bekas pemain pasukan itu.

Akhbar ini turut melaporkan pengakuan seorang bekas pemain pasukan bawah 21 tahun Piala Presiden T-Team tahun lalu yang mengambil rasuah daripada bookie yang jumlahnya lebih enam kali ganda daripada pendapatannya yang tidak sampai RM1,000 sebulan untuk menampung gaya hidup mewahnya.

Pembongkaran ini bermula selepas bekas pengurus pasukan, Mohd Sabri Abas, membuat pengakuan mengenai pembabitan sekurang-kurangnya lapan pemain terbabit dengan rasuah dalam Liga Piala Presiden musim lalu.

Sabri berkata, lapan pemain itu ditamatkan kontrak kerana disyaki terbabit dengan rasuah, namun pengurusan tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.
Selepas pengakuan Sabri disiarkan akhbar, seorang jurulatih Piala Presiden T-Team yang enggan dikenali mendedahkan pengakuan beberapa pemain yang menerima wang suapan untuk mengatur perlawanan.

Jurulatih itu berkata, dia dihubungi seorang yang mengaku sebagai bookie, sebelum diberitahu nama pemain yang terbabit dengan rasuah bola sepak dan jumlah yang disogokkan kepada pemain.

Jurulatih itu menjalankan siasatannya sendiri dan mendapati ada di antara pemainnya yang mempunyai RM27,000 dalam akaunnya, namun gagal menjelaskan dari mana datangnya wang sebanyak itu. Berita Harian Online | Lelaki direman kes rasuah bola

Taib disiasat berhubung dakwaan rasuah balak

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa ia sedang menyiasat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berhubung dakwaan rasuah balak.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, berkata SPRM kini dalam proses mengumpul maklumat berhubung perkara berkenaan.
“Saya akan mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang ini (isu berkenaan). Seperti saya katakan dulu, kami sedang menyiasat Taib Mahmud dan apa juga tindakan kita, kita tidak dapat mendedahkan buat masa ini,” katanya kepada wartawan pada majlis menandatangani dan menyerahkan ikrar integriti korporat kepada SPRM di sini, semalam.

Abu Kassim menjawab pertanyaan sama ada SPRM akan mengambil tindakan sebagaimana dilakukan Agensi Pencegahan Rasuah Switzerland, yang baru-baru ini membekukan aset Taib Mahmud atas dakwaan rasuah balak.

Menurut sumber berita asing, Ketua Jabatan Hal Ehwal Luar Switzerland, Micheline Calmy-Rey dilaporkan menyedari tentang dakwaan itu dan telah mengemukakan maklumat mengenai aset Taib di Switzerland kepada badan kawal selia, FINMA (Lembaga Penyelia Pasaran Kewangan Switzerland) untuk siasatan lanjut. – BERNAMA Berita Harian Online | Taib disiasat berhubung dakwaan rasuah balak

Gempa Bumi & Tsunami 11 Mac Kucar Kacirkan Industri Automotif Jepun


KUALA LUMPUR: Gempa bumi dahsyat yang melanda wilayah Tohoku, di timur Jepun, yang disusuli tsunami pada 11 Mac serta ancaman radiasi berikutan kerosakan loji nuklear Fukushima, telah mengucar-kacirkan ekonomi Jepun.
Bencana alam itu menyebabkan jalan raya, pelabuhan, rumah dan infrastruktur penting yang lain mengalami kerosakan teruk.
Malapetaka itu telah menghentikan kebanyakan kemudahan pengeluaran syarikat yang terletak di kebanyakan kawasan yang paling teruk dilanda bencana itu.
Kebanyakan syarikat yang terletak di luar kawasan yang mengalami kesan gempa bumi dan tsunami itu juga terpaksa menghentikan pengeluaran berikutan gangguan kuasa serta kesukaran mendapatkan sumber bahan mentah, alat ganti, komponen dan barangan siap.
Wilayah Tohoku adalah antara pusat kawasan pengeluar alat ganti dan bahan komponen automotif yang penting.
Persatuan Pengeluar Automotif Jepun (Jama) berkata, jualan kenderaan baharu pada April merudum kepada rekod 47.3 peratus berbanding setahun lepas berikutan gangguan pengeluaran yang disebabkan kekurangan alat-alat ganti berikutan gempa bumi dan tsunami 11 Mac.
Ini merupakan bulan kedua berturut-turut penurunan mendadak jualan kenderaan, selepas jualan Mac 2011 yang turun 35.1 peratus, katanya.
"Toyota mencatatkan penurunan paling teruk sebanyak 68.7 peratus manakala pengeluaran Honda mengecut 48 peratus dan Nissan sebanyak 37.2 peratus."
Menurut Jama, pengeluaran tidak dijangka kembali ke paras pra-gempa bumi sehingga lewat tahun ini dan tidak dapat memenuhi permintaan para pelanggan bagi serahan mengikut masa.
Katanya, menjelang pertengahan April, kesemua kilang memulakan semula operasi, bagaimanapun, pengeluaran di talian pemasangan dilakukan pada paras rendah antara 50 dan 70 peratus berbanding paras pragempa bumi.
Wartawan Bernama telah berada di Yokohama, Jepun, bagi menghadiri Pameran Industri Automotif Malaysia (MAIE) yang diadakan serentak dengan Pameran Kejuruteraan Automotif (AEE) dari 18 hingga 20 Mei lepas.
Pada akhir Mac, Toyota berkata mereka berhadapan kesukaran mendapatkan kira-kira 500 alat ganti automotif.
Unit kawalan engin, alat ganti berkaitan brek dan kepingan keluli adalah antara komponen yang paling teruk menerima kesan. Kira-kira sebulan kemudian, pada 12 Mei, jumlah itu diturunkan kepada 30 jenis alat ganti.
Wilayah Tohoku adalah pusat peralatan serta acuan alat ganti jitu automotif dan beberapa pengeluar yang menerima kesan gempa bumi dan tsunami itu, mengalami kemusnahan teruk keseluruhan jentera dan mesin, stok dan malah pekerja serta bangunan kilang.
Memburukkan lagi keadaan, pada awal Mei, Perdana menteri Jepun Naoto Kan telah meminta Chubu Electric Power Co supaya menghentikan sementara loji nuklear Hamaoka di Prefecture Shizuoka, di kawasan pantai Pasifik, yang telah diberi amaran oleh pakar seismologi akan berlaku gempa bumi yang besar.
Kompleks nuklear itu dibina pada "jaluran gempa" dan dikatakan berisiko menerima kesan gempa bumi yang kuat.
Pengendali loji itu, Chubu Electric Co, menghentikan operasi loji itu pada Ahad, 15 Mei, yang dijangka ditutup selama kira-kira dua tahun.
Pihak industri bimbang ini akan memberi kesan buruk kepada industri pemasangan di wilayah Chubu atau wilayah Tokai, yang merupakan tumpuan kilang pemasangan utama pengeluaran kenderaan seperti Toyota, Honda dan Suzuki.
Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Tokyo, Yuslinawati Mohd Yusof berkata kesan selepas gempa bumi itu terhadap perdagangan Malaysia dengan Jepun boleh dilihat dalam pelbagai industri, terutama sekali industri utama Jepun, khususnya automotif, besi dan keluli serta industri elektrik dan elektronik (E&E).
Suguru Okubo, Timbalan Pengarah Jabatan Pengiklanan, Daily Automotive News, berkata para pembekal alat ganti dan komponen automotif Malaysia perlu bertindak dengan segera untuk menawarkan perkhidmatan masing-masing kepada pengeluar automotif Jepun selepas bencana di wilayah Tohoku.
Semasa membuat seruan itu, beliau berkata pengeluar autotomiotif Jepun kini sedang mencari sumber komponen automotif dan alat ganti dari seluruh dunia.
"Ia sememangnya turut terbuka kepada para pembekal Malaysia," katanya semasa memberi ceramah kepada para wakil 11 pengeluar alat ganti dan komponen automotif Malaysia yang menyertai MAIE dan AEE berkenaan.
Okubo berkata, para pengeluar automotif Jepun sedang mencari syarikat yang telah membangunkan ciri-ciri khas yang menarik.
"Mereka menyasarkan pertumbuhan masa depan dan akan bertindak mendapatkan rakan yang kukuh dan mengembangkan jaringan masing-masing di seluruh dunia," kata Okubo, yang pernah melawat pengeluar alat ganti dan komponen Malaysia pada masa-masa yang lepas.
Berdasarkan fakta itu, beliau menasihati pembekal Malaysia agar bertemu para pengeluar automotif Jepun dan menunjukkan kepada mereka produk yang boleh mereka keluarkan.
Tadashi Mizushima, Wakil Pengarah PNB Asset Management (Japan) Co Ltd, berkata banyak syarikat Jepun kini mula memindahkan pangkalan pengeluaran masing-masing ke tempat yang lebih selamat di luar Jepun.
Mizushima, yang berpangkalan di Tokyo, berkata beliau akan mencadangkan Malaysia sebagai salah satu tempat itu kepada mereka, terutama sekali yang agak kecil yang tidak biasa dengan keupayaan pengeluaran Malaysia.
Sehubungan itu, katanya agensi Malaysia yang diberi kepercayaan dengan tanggungjawab meningkatkan perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan negara lain, perlu mengadakan banyak pameran atau seminar perdagangan di Jepun.
Yuslinawati pula menyeru para pembekal Malaysia yang berminat berdagang dengan rakan mereka di Jepun supaya menunjukkan kualiti produk masing-masing dan adalah lebih baik daripada produk dari Amerika Syarikat atau Eropah.
"Testimoni produk masing-masing perlu dijelaskan mengikut asas-asas dan sokongan data sebenar," katanya, sambil menyatakan bahawa dari segi harga, pengeluar-pengeluar Malaysia kemungkinan berhadapan dengan kesukaran.
Walaupun harga produk Malaysia lebih kompetitif, ia masih mahal berbanding dengan produk yang dikeluarkan oleh China atau Taiwan, katanya.
Selain itu, pembekal Malaysia juga perlu bersabar dan sentiasa berhubung dengan pelanggan berpotensi masing-masing di Jepun bagi menunjukkan bahawa mereka serius.
"Sebaik mereka (pembeli di Jepun) memutuskan untuk membeli daripada kita, mereka akan menjadi pelanggan yang setia," katanya.
mStar Online : Gempa Bumi & Tsunami 11 Mac Kucar Kacirkan Industri Automotif Jepun

AS Pertingkat Serangan Di Yaman


NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) mempertingkatkan serangan ketenteraannya terhadap suspek militan di Yaman dengan menggunakan jet pejuang, lapor the The New York Times pada lewat Rabu.
Serangan dilakukan sejak beberapa minggu ini dilakukan kerana kerajaan yang berpusat di Sanaa mengalami kesukaran mengawal keadaan.
Serangan dibuat untuk menghalang suspek militan di wilayah selatan yang didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan Al-Qaeda daripada terus menguasai keadaan negara ini, lapor akhbar itu.
Seorang Komander atasan AS, Laksamana Michael Mullen berkata bahawa konflik yang berlaku di negara Semenanjung Arab itu menjadikan pengaruh Al-Qaeda semakin berbahaya.
"Kumpulam Al-Qaeda Yaman semakin mendapat kuasa dalam organisasi Al-Qaeda dan perkara ini sangat berbahaya terutamanya dalam kekacauian yang sedang berlaku ini," katanya.
Para penunjuk perasaan di Sanaa pada Rabu melaungkan "Tidak kepada Kepulangan Saleh" yang merujuk kepada Presiden Ali Abdullah Saleh yang diterbangkan ke Arab Saudi pada Sabtu lepas untuk menerima rawatan selepas beliau diserang di istana kediamannya.
Saleh yang memimpin negara itu selama 33 tahun dikaitkan menjadi orang kuat AS dalam misi menentang keganasan.
Menurut The New York Times, operasi hampir setahun itu telah diberhentikan kerana kecuaian yang menyebabkan beberapa orang awam terbunuh.
Akhabar itu juga melaporkan Saleh telah memberi kebenaran kepada misi AS di Yemen pada tahun 2009 namun dengan secara umumnya menyatakan sebarang misi ketenteraan haruslah dijalankan oleh tentera Yemen. -AFP
mStar Online : AS Pertingkat Serangan Di Yaman

Lapan Askar, 10 Anggota Taliban Terbunuh Dalam Pertempuran di Pakistan


PESHAWAR: Lapan askar dan sekurang-kurangnya 10 anggota Taliban terbunuh selepas kumpulan militan itu menyerang sebuah pondok pemeriksaan keselamatan di Pakistan awal padi tadi.
Lebih dari 100 anggota Taliban lengkap bersenjatakan senjata automatik dan pelancar roket menyerbu pondok pengawal di Selatan Waziristan. Pertempuran dikatakan berlaku selama lebih tiga jam.
"Lapan askar terbunuh manakala 10 cedera dalam serangan itu. Lebih dari 10 anggota Taliban turut terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan itu," kata seorang pegawai keselamatan di Peshawar.
Seorang pegawai keselamatan di Wana mengesahkan insiden itu dan jumlah mangsa yang terbunuh dan cedera.
Serangan itu berlaku di Marubi, kira-kira 40 kilometer dari sempadan Afghanistan.
Wilayah itu terletak berhampiran Utara Waziristan yang menjadi pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) untuk membanteras gerakan kumpulan militan.
Kumpulan Taliban dan rangkaian Al-Qaeda turut membina kubu pertahanan di kedua-dua wilayah yang dianggap sebagai tempat paling merbahaya di Pakistan.
Pasukan tentera Pakistan melancarkan beberapa siri serangan di Selatan Waziristan tahun lalu untuk menggempur ibu pejabat anggota Taliban susulan peningkatan insiden serangan bom pada 2009.
Bagaimanapun, kebanyakan komander Taliban dan askar kanan puak itu dipercayai melarikan diri ke Utara Waziristan.
Komander Tentera Pakistan, Leftenan Jeneral Asif Yasin Malik mengetuai operasi ketenteraan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, minggu lalu sekaligus menimbulkan desas-desus mengenai kemungkinan berlakunya serangan di Utara Waziristan.
"Kami akan mengambil alih operasi di Utara Waziristan pada bila-bila masa saja,"katanya.
Ramai penganalisis melihat serangan berganda ke wilayah itu sebagai tekanan kepada Pakistan untuk melakukan tindakan susulan.
Lebih 4,400 orang terbunuh di wilayah Pakistan dalam serangan yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan Taliban dan beberapa pemberontak Islam sejak tentera kerajaan melancarkan serangan ke sebuah masjid di Islamabad pada 2007.
mStar Online : Lapan Askar, 10 Anggota Taliban Terbunuh Dalam Pertempuran di Pakistan

Sembilan Maut Dalam Serangan Di Afghanistan


JALALABAD: Sembilan maut manakala lima lagi cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu sebuah majlis perkahwinan di Timur Afghanistan dan melepaskan tembakan, kata jurucakap wilayah itu, Ahmad Zia Abdulzai pada Khamis.
Pengantin lelaki merupakan saudara kepada Pegawai Daerah Dur Baba yang terletak di wilayah Nangarhar.
Menurut Ahmad, kebanyakan mangsa yang maut dan cedera dalam serangan itu terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
"Sembilan terbunuh dan lima lagi cedera dalam serangan kumpulan militan di daerah Dur Baba, malam semalam," katanya.
Ahmad berkata, sekumpulan lelaki bersenjata itu menyerbu masuk ke dalam sebuah rumah, tempat majlis perkahwinan itu diadakan.
Kumpulan Taliban dan beberapa kumpulan pemberontak lain sering menjadikan pegawai kerajaan, polis dan askar di Afghanistan sebagai sasaran dalam serangan mereka.
Pemberontakan hampir 10 tahun itu dilakukan bagi menentang pemerintahan Presiden Hamid Karzai dan dianggarkan kira-kira 130,000 anggota tentera yang diketuai Amerika Syarikat masih berada di Afghanistan untuk melumpuhkan gerakan militan tersebut.
Wilayah Timur Afghanistan dan kedudukannya berhampiran dengan sempadan Pakistan sering menjadi sarang penganas dan tempat persembunyian puak Taliban dan beberapa kumpulan pemberontak lain.
mStar Online : Sembilan Maut Dalam Serangan Di Afghanistan

Beribu Lari Meninggalkan Syria Ke Turki



ANKARA: Dalam satu perkembangan yang sangat membimbangkan, lebih seribu rakyat Syria lari meninggalkan negara itu ke Turki kerana bimbangkan keselamatan mereka ekoran kekacauan yang melanda negara Arab itu.
Sehingga kini sejumlah 1,600 rakyat Syria yang menjadi pelarian di Turki.
Turki adalah jiran Syria yang terdekat di Utara.
mStar Online : Beribu Lari Meninggalkan Syria Ke Turki

Pakistan Digegarkan Dengan Rakaman Askar Tembak Pemuda Tanpa Sebab


KARACHI: Pihak berkuasa Pakistan pada Khamis telah menahan lima anggota tentera setelah aksi mereka menembak mati seorang lelaki berusia 25 tahun di sebuah taman dirakam dan disiarkan oleh stesen televisyen dan mencetuskan kemarahan seluruh negara khususnya para pejuang hak asasi manusia.
Lima anggota dari Unit Ranger telah mengepung Sarfaraz Shah di sebuah taman di kawasan petempatan eksklusif di bandar ini dengan alasan dia cuba merompak satu keluarga anggota polis.
Paparan daripada rakaman itu yang dirakamkan oleh seorang jurukamera yang tidak didedahkan identitinya kemudiannya disiarkan tanpa putus oleh stesen-stesen televisyen dan kemudian dimuat naikkan dalam laman YouTube.
Lelaki malang itu memakai seluar gelap dan baju berwarna biru, dirakamkan sedang merayu kepada sekumpulan lima askar itu agar melepaskannya pada saat salah seorang daripada mereka mengacukan rifle ke arah lehernya.
Kemudian salah seorang askar kedengaran berkata; "Inilah lelaki itu..." dan lelaki itu menjawab: "Saya tak terdaya...tolong saya."
"Tolong jangan tembak saya, tolonglah...tolong," katanya sambil menangis.
Tetapi askar yang mengacukan senapang ke arahnya itu tidak mengendahkan rayuannya lalu melepaskan tembakan di tangan dan paha lelaki itu.
Dia mengerang kesakitan dan merayu lagi: "Tolong bawa saya ke hospital...tolong selamatkan saya."
Dia kemudiannya cuba bangun tetapi terus jatuh. Selepas itu seorang lagi askar kedengaran berkata: "Ok, cukup tu...".
Dan mereka terus melihatnya meraung kesakitan sampai mati.
Lewat Rabu, ahli keluarganya telah mengusung jenazah Shah ke rumah Ketua Menteri Wilayah Sindh yang mana Karachi adalah ibu negeri dan mendesak anggota-anggota renjer itu ditahan.
Abang kepada mangsa, Salik, adalah wartawan sebuah stesen televisyen berkata, Sarfaraz - adalah seorang pelajar yang sedang mencari pekerjaan sambilan untuk menanggung kos pembelajarannya.
"Dia tidak ada rekod jenayah untuk dituduh sebagai perompak,” kata abangnya lagi.
Pejuang hak asasi manusia di Pakistan dan peguam mengutuk perbuatan itu sebagai bukti bagaimana sifat kemanusiaan di negara itu telah musnah akibat pembunuhan, pertelingkahan antara etnik dan pemberontakan Taliban ke atas masyarakat Pakistan.
Menteri Dalam Negeri, Rehman Malik kemudiannya mengeluarkan arahan agar kelima-lima renjer tersebut ditahan.
"Ini adalah satu perbuatan yang tidak berperikemanusiaan dan tidak berlandaskan undang-undang. Kalau benar sekali pun pemuda itu disyaki merompak, dia tidak berhak dibunuh sebegitu rupa," kata Rehman kepada para pemberita.
Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan Pakistan, Zohra Yusuf berkata, masyarakat Pakistan telah menjadi sebuah masyarakat yang "trigger-happy” yang mana menembak untuk membunuh seseorang telah menjadi satu norma dalam masyarakat termasuklah dalam agensi penguatkuasaan undang-undang.
"Negara ini sedang menjurus ke arah anarki (huru hara) dan kita semua patut bersatu untuk menghentikannya,” ujar Zohra.
Dalam pada itu, Amin Yousuf, Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Pakistan berkata, jurukamera yang merakamkan insiden itu kini hidup dalam bahaya dan ketakutan.
"Jurukamera itu kebetulan berada di situ untuk menyiapkan satu berita mengenai taman itu apabila dia menyaksikan insiden malang itu. Nalurinya sebagai seorang wartawan telah mendorong dia untuk terus merakamkan kejadian tersebut walaupun dia sedar bahaya yang bakal menimpanya,” kata Amin.
mStar Online : Pakistan Digegarkan Dengan Rakaman Askar Tembak Pemuda Tanpa Sebab

Kuasa dunia runding masa depan Libya

TRIPOLI: Letupan kuat menggegarkan Tripoli awal semalam berhampiran kawasan kediaman pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi, sedang kuasa-kuasa dunia berkumpul merundingkan masa depan lebih demokratik bagi negara Afrika Utara itu.

Letupan pertama menggegarkan kawasan tengah Tripoli sekitar tiga pagi semalam, diikuti 15 minit kemudiannya oleh satu letupan lebih kuat berdekatan sebuah hotel yang menempatkan wartawan-wartawan asing.Jurucakap rejim Libya, Encik Mussa Ibrahim, berkata pihak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) telah menyerang ibu kota Libya itu dengan lebih 60 butir bom sejak lewat kelmarin, yang menyebabkan 31 orang terkorban dan puluhan lagi cedera.Letupan-letupan itu berlaku selepas hampir 3,000 askar Encik Gaddafi menyerang Misrata, bandar ketiga terbesar di Libya, dengan gerakan tiga serampang dari selatan, barat dan timur, kata jurucakap kumpulan pemberontak, Encik Hassan al-Galai, kepada agensi berita AFP menerusi telefon dari bandar tersebut.Seramai 12 orang terbunuh dan 33 lagi cedera dalam pertempuran itu. Askar Encik Gaddafi dilengkapkan dengan kereta kebal, pelancar roket dan mortar, kata Encik Galai.Misrata adalah antara kawasan paling penting di barat Libya yang ditawan pemberontak sejak pemberontakan bermula sekitar pertengahan Februari lalu.Kuasa-kuasa dunia sedang berkumpul mengadakan rundingan di Amiriah Arab Bersatu (UAE) semalam dan pemimpin Libya itu berikrar tidak mahu menyerah kalah walaupun ada kempen tentera pimpinan Nato yang semakin giat itu.'Dengan setiap mesyuarat, tekanan antarabangsa semakin meningkat dan momentumnya semakin bertambah bagi perubahan di Libya,' kata Cik Victoria Nuland, seorang jurucakap bagi Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, sebaik sahaja delegasi Amerika tiba di Abu Dhabi bagi menghadiri rundingan Kumpulan Hubungan Antarabangsa (ICG) yang ketiga.Dua dozen negara, termasuk sekutu-sekutu utama Nato seperti Britain, Perancis dan Italy, serta para delegasi dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Liga Arab dan Muktamar Islam, dijangka menghadiri rundingan itu.Sedang tekanan ketenteraan, politik dan ekonomi terus meningkat ke atas Encik Gaddafi meletakkan jawatannya, kumpulan itu akan membincangkan 'apakah agaknya suasana pasca-Gaddafi', kata seorang pegawai kanan Amerika kepada para pemberita, atas syarat namanya tidak didedahkan. -- AFP.Cyberita Online Luar Negara

Jepun mungkin tutup semua reaktor nuklear

Kos tenaga diramal meningkat $37b setiap tahun jika masyarakat bantah rancangan teruskan operasi loji


TOKYO: Kesemua 54 reaktor nuklear Jepun mungkin ditutup menjelang April tahun depan, menambahkan lebih AS$30 bilion ($37 bilion) setiap tahun kepada kos tenaga negara itu, jika masyarakat membangkang rancangan operasi lojinya disebabkan kebimbangan terhadap isu keselamatan, kata para pegawai kementerian perdagangan Jepun, kelmarin.Sejak kejadian gempa bumi dan tsunami besar pada 11 Mac lalu, yang mencetuskan krisis radiasi di loji nuklear Fukushima Daiichi di utara Tokyo, kebimbangan di kalangan pihak berkuasa setempat telah menghalang penjana nuklear daripada dimulakan semula di sekurang-kurangnya empat reaktor yang dijangka memulakan operasinya selepas kerja-kerja penyenggaraan rutin dan pemeriksaannya.Beberapa lagi reaktor telah ditutup sejak itu bagi penyenggaraan biasa, mengurangkan keupayaan penjanaan nuklear Jepun kepada hanya 17,580 megawat, atau setakat 36 peratus daripada keupayaan nuklearnya yang didaftarkan.Pada Mei lalu, kadar operasi purata nuklear Jepun jatuh kepada 40.9 peratus, paras terendahnya sejak sekurang-kurangnya sedekad dan jauh di bawah 62.1 peratus setiap tahun sebelum ini.Sebelum kejadian gempa dan tsunami itu, yang memaksa tiga loji kuasa lain ditutup sebagai tambahan kepada loji Fukushima Daiichi kendalian Tokyo Electric Power Co (Tepco), kuasa nuklear membekalkan 30 peratus daripada perbekalan elektrik di Jepun.Walaupun sebuah reaktor disahkan akan dimulakan semula sebaik sahaja ia menerima kelulusan daripada Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri (Nisa), sebuah badan pengawas kementerian perdagangan Jepun, para pengendali nuklear juga sering mendapatkan kelulusan pemerintah setempat bagi mengiktiraf peri pentingnya sokongan daripada masyarakat di sekeliling kawasan loji berkenaan.Jika tidak ada reaktor yang ditutup bagi penyenggaraan biasa selepas bencana itu dimulakan semula, ia akan menghadapi kos tambahan 2.4 trilion yen ($37 bilion) untuk menggantikan kehilangan penjanaan kuasa dalam tahun kewangan hingga Mac depan, menurut satu anggaran kementerian perdagangan Jepun.Jika kesemua reaktor Jepun ditutup tanpa sebarang usaha memulakannya semula, kos tambahan itu akan meningkat kepada 3 trilion yen setiap tahun, mencerminkan keperluan membeli lebih banyak bahan pembakar fosil dari luar negara itu, sementara penggunaan tenaga yang boleh dibaharui masih lagi terhad. -- Reuters. Cyberita Online Luar Negara

EU kembali syak timun punca penyebaran wabak E.coli


ANGGOTA Parlimen Eropah dari Sepanyol, Francisco Sosa Wagner memegang timun ketika perbahasan punca E.coli di Eropah, Selasa lalu. - Foto AFP
ANGGOTA Parlimen Eropah dari Sepanyol, Francisco Sosa Wagner memegang timun ketika perbahasan punca E.coli di Eropah, Selasa lalu. - Foto AFP
BERLIN: Timun kembali menjadi tumpuan pihak berkuasa kesihatan Jerman sebagai kemungkinan punca penyebaran bakteria E.coli di Eropah yang membunuh sekurangkurangnya 26 orang dan menyebabkan lebih 2,700 lagi jatuh sakit.

Dua minggu lalu, penyiasat menyalahkan timun dari Sepanyol sebagai punca wabak maut itu tetapi kemudian menarik balik syak wasangka itu.
Kemudian tumpuan beralih kepada taugeh dari utara Jerman, tetapi tiada yang diuji menunjukkan ia dicemari bakteria yang dikaitkan dengan wabak itu.
Kini kecurigaan tertumpu kepada sejenis timun yang tidak diketahui negara asalnya dan dilaporkan penyebab satu keluarga jatuh sakit di timur Jerman.

Timun adalah yang pertama dikesan tercemar dengan bakteria terbabit. Timun itu ditemui dalam tempat baja keluarga terbabit tetapi tiada bukti kukuh ia punca jangkitan.

“Tidak dapat dipastikan timun terbabit memberi kesan kepada penduduk atau sebaliknya,” kata jurucakap Kementerian Kesihatan negeri Saxony Anhalt, Holger Paech.

Ketua keluarga terbabit cirit birit, si isteri pula dimasukkan ke hospital selama beberapa hari dan anak perempuan mereka berusia 22 tahun adalah antara kira-kira 700 penduduk di seluruh Eropah yang berkemungkinan mengalami kegagalan buah pinggang. Beliau dimasukkan ke hospital selama kira-kira dua minggu.
“Mereka sakit. Mungkin mereka yang mencemarkan timun itu berbanding sebaliknya,” kata Paech.

Tiada bukti menunjukkan manusia mencemarkan sayur-sayuran dan Institut Persekutuan bagi Penilaian Risiko tidak membenarkan sebarang rumusan dibuat kerana timun terbabit berada dalam baja antara 19 dan 30 Mei. – AP
Berita Harian Online | EU kembali syak timun punca penyebaran wabak E.coli

Barat sogok RM3.03b untuk penentang Libya


SEKEPING pelekat menghina Gaddafi di Musaed, sempadan Libya ketika NATO memperhebat serangan.
SEKEPING pelekat menghina Gaddafi di Musaed, sempadan Libya ketika NATO memperhebat serangan.
Itali tawar bahan api, tuduh Gaddafi beri Viagra kepada askar

ABU DHABI: Itali akan memberi pinjaman dan produk bahan api bernilai 300 juta hingga 400 juta euro (RM1.32 hingga RM1.76 bilion) kepada pemberontak Libya selain meningkatkan perang psikologi terhadap pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi dengan menuduhnya membekalkan ‘ubat kuat seks’ bagi menyasarkan wanita tempatan.

“Kami akan dapat memberi bantuan secara langsung menerusi pinjaman dan bahan api bernilai 300 hingga 400 juta euro,” kata jurucakap Menteri Luar Itali, Maurizio Massari kepada wartawan di luar mesyuarat ketiga Kumpulan Perhubungan Antarabangsa mengenai Libya di sini, semalam.
Itali adalah bekas penjajah Libya dan sekutu ekonomi strategik rejim Gaddafi. Ia menyertai kempen Barat diketuai Britain, Perancis dan Amerika Syarikat yang mendesak Gaddafi berundur.
Perancis pula menawarkan bantuan bernilai 296 juta euro (RM1.27 bilion), manakala Turki memperuntukkan dana AS$100 juta (RM300 juta) untuk pemberontak Libya. Perancis berkata, wang itu adalah daripada dana kerajaan Libya yang dibekukannya.

Bekas Menteri Luar Libya, Abdurrahman Mohamed Shalgham, pula berkata pemberontak memerlukan AS$3 bilion (RM9 bilion) dalam tempoh empat bulan akan datang bagi membayar gaji dan menjamin bekalan makanan mencukupi.

“Kami perlu AS$3 bilion untuk empat bulan lagi. Kami perlukannya untuk bayar gaji penduduk Benghazi,” kata Abdurrahman.

Beliau menganggarkan aset Libya yang dibekukan di Itali bernilai AS$7 bilion (RM21 bilion) dan mencadangkan ia boleh digunakan bagi membiayai kempen pemberontak.
Sementara itu, di NEW YORK, penyiasat mendakwa ada bukti menunjukkan Gaddafi mengarahkan kejadian rogol besar-besaran dan membeli kontena ubat seks bagi menggalakkan tentera menyerang wanita, kata ketua pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Luis Morena-Ocampo.

Moreno-Ocampa berkata, beliau akan meminta dakwaan baru rogol beramai-ramai dikemukakan terhadap Gaddafi.

Ketua pendakwa ICC itu akan mendapatkan keizinan hakim dalam masa beberapa hari membabitkan permohonan dakwaan baru bersama tuduhan jenayah kemanusiaan kepada pemimpin Libya terbabit, seorang anak lelakinya dan juga ketua risikan Libya.

“Kami dapat maklumat bahawa Gaddafi sendiri memutuskan dasar merogol dan ini adalah yang terbaru.

Ia adalah satu bentuk hukuman terhadap penentang,” kata Moreno-Ocampo kepada pemberita. – AFP
Berita Harian Online | Barat sogok RM3.03b untuk penentang Libya

43 pelatih PUSPEN larikan diri selepas merusuh



ANTARA kenderaan yang rosak teruk selepas pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Sengkang, Bukit Gambir merusuh dan melarikan diri dari pusat itu malam tadi. Dalam kejadian itu, mereka turut membakar bangunan pentadbiran dan dewan makan di pusat berkenaan. - Foto NSTP

MUAR: Polis mengesahkan 43 daripada 377 pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Sengkang, Bukit Gambir dekat Ledang melarikan diri semasa rusuhan di pusat itu semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, DSP Salleh Abdul Razak, berkata pihaknya bersama Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dan Agensi Dadah Kebangsaan kini berusaha menjejaki mereka yang meloloskan diri.
"Kami juga masih menyiasat punca sebenar rusuhan tersebut," katanya ketika dihubungi.
Dalam kejadian yang dipercayai bermula kira-kira 8.40 malam itu, sekumpulan pelatih bertindak merusuh dan membakar bangunan pentadbiran dan dewan makan di pusat tersebut.

Mereka juga bertindak memecahkan cermin tujuh buah kereta kepunyaan pegawai dan petugas pusat itu.

Ini adalah kejadian rusuhan kedua pernah berlaku di pusat tersebut selepas kejadian pertama pada 1999. - BERNAMABerita Harian Online | 43 pelatih PUSPEN larikan diri selepas merusuh

Kebakaran ancam 3 bandar di Arizona




API menghampiri kediaman Eager, di Arizona, semalam.
API menghampiri kediaman Eager, di Arizona, semalam.

1,550 km persegi hutan hangus, 21,000 penduduk lari

PHOENIX: Kebakaran hutan di Arizona dipercayai berpunca daripada kecuaian sekumpulan penduduk yang berkhemah terus marak buat hari ke-11 kelmarin, memaksa beribu-ribu penduduk lari selain menyebabkan sebuah bandar hangus dan kawasan hutan pokok pain seluas 1,550 kilometer (km) persegi rentung.

Kebakaran itu adalah yang kedua terburuk dalam sejarah Arizona membabitkan pusat percutian pergunungan Greer yang dikosongkan beberapa hari sebelum api tiba, kata pegawai kepada wartawan di bandar berdekatan, Springerville.
Pegawai bomba, Kapten Jim Wilkins, berkata masih terlalu awal untuk menyatakan berapa banyak daripada beratus-ratus kediaman yang musnah tetapi menyatakan:
“Kami tahu kebakaran itu membakar hangus sebahagian besar kawasan berkenaan.”

Awalnya, pihak berkuasa mengarahkan semua penduduk Springerville dan Eager berpindah.

Dua bandar itu yang berdekatan sempadan New Mexico mempunyai 8,000 penduduk.

Selain itu, seramai 2,000 lagi penduduk sudah diarah keluar dari kawasan berkenaan sejak dua hari lalu tetapi ada yang dibenarkan tinggal buat sementara.
Sekurang-kurangnya 11,000 lagi penduduk sudah dipindahkan dari kawasan White Mountains, sebuah tempat percutian popular bagi warga Arizona yang mahu mengelak daripada cuaca panas, selepas api mula merebak 29 Mei lalu.

Kebakaran itu belum dapat dipadamkan 2,000 anggota bomba tetapi tiada penduduk yang maut atau cedera setakat ini manakala kerugian struktur hanya membabitkan 11 bangunan, empat daripadanya kabin, kata pegawai.

Pegawai New Mexico juga melakukan persediaan menghadapi kebakaran itu yang kini sejauh lebih satu kilometer dari negeri itu.

Angin yang membantu api merebak dijangka kembali menjadi faktor besar menyukarkan kebakaran dipadamkan kerana diramal mencapai kelajuan 68 kilometer sejam lewat kelmarin.

“Kebakaran ini amat besar dan kuat. Kami belum dapat mengawalnya,” kata pegawai penerangan, Brenyn Lohmoelder.

Anggota bomba turut terancam kerana api boleh tiba-tiba marak kerana daun pokok yang masih terbakar dibawa angin ke kawasan baru, kata pegawai bomba, Jim Whittington. – Reuters Berita Harian Online | Kebakaran ancam 3 bandar di Arizona

‘Kenapa dah lama mama tak balik’




ROSLINA hilang sejak 22 April lalu.
ROSLINA hilang sejak 22 April lalu.

Askar sayu pujuk anak selepas isteri hilang 2 bulan

KUALA LUMPUR: “Pelbagai ikhtiar sudah saya lakukan termasuk berjumpa bomoh untuk mencari isteri saya,” luah Sabri Man, 38, suami kepada pegawai bank, Roslina Awang Kechik, 37, yang hilang dipercayai diculik hampir dua bulan lalu.

Bapa kepada empat anak itu berkata, beliau dengan bantuan polis dan penduduk di Jerantut turut membuat operasi mengesan Roslina baru-baru ini tetapi menemui jalan buntu.
“Sebaik mendapat maklumat daripada syarikat telekomunikasi Maxis bahawa isteri saya berada di Jerantut berdasarkan rekod panggilan terakhir yang dibuat, saya bergegas mendapatkan bantuan polis untuk mencarinya.
“Saya sudah buntu apa lagi usaha yang perlu dibuat untuk mendapatkan semula isteri saya.

“Ketika berjumpa bomoh baru-baru ini, saya dimaklumkan Roslina berada di kawasan Seremban,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Roslina dilaporkan hilang sejak 22 April lalu selepas keluar rumah menuju ke pejabatnya di Dataran Maybank, Bangsar.

Mangsa dikatakan keluar ke tempat kerja menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) jam 7.30 pagi selepas menghantar anak ke sekolah.
Beberapa minggu kehilangan Roslina, suaminya menerima SMS daripada telefon bimbit isterinya yang meminta supaya tidak mengganggu hidupnya dan tidak mencarinya.

Sabri yang bertugas sebagai anggota tentera berkata, beliau tidak berputus asa untuk mendapatkan semula isterinya demi kebahagiaan anak-anaknya.

“Saya kini berusaha mengesan lokasi kedudukannya dan akan membuat operasi kali kedua kerana percaya Roslina masih berada dalam negara.

“Sayu hati saya apabila melihat keadaan anak-anak yang sentiasa memanggil ibunya dan sering bertanya mengapa mama belum balik? Menyebabkan pelbagai alasan dan helah saya gunakan untuk menenangkan mereka.

“Bagaimanapun, saya perlu kuat di depan anak-anak walaupun dalam hati menangis kerana anak-anak hanya bergantung sepenuhnya kepada saya sekarang,” katanya. Berita Harian Online | ‘Kenapa dah lama mama tak balik’

Russia bantah resolusi kutuk Syria


MOSCOW: Russia akan menentang sebarang resolusi Majlis Keselamatan PBB ke atas Syria dalam usaha Moscow meningkatkan ancaman menggunakan kuasa veto bagi menangani draf disediakan Barat mengutuk perkembangan politik di negara berkenaan.
Jurucakap Kementerian Luar Russia, Alexander Lukashevich, berkata Moscow menentang sebarang resolusi yang cuba diluluskan Majlis Keselamatan.

“Kami tak percaya isu Syria tertakluk kepada pertimbangan Majlis Keselamatan, apa lagi meluluskan resolusi,” katanya.
Menurut Lukashevich, pada pandangan Russia, situasi di Syria tidak menimbulkan sebarang ancaman kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Britain, Perancis, Jerman dan Portugal mencadangkan satu resolusi baru diluluskan untuk mengutuk Syria berhubung konflik politik di negara terbabit. Pada masa sama, AS dan sekutunya juga cuba meningkatkan tekanan ke atas Syria. - Reuters
myMetro | Russia bantah resolusi kutuk Syria

Ali bakal pulang


SANAA/ADEN: Penyokong Presiden Ali Abdullah Saleh semalam melepaskan tembakan ke udara bagi meraikan laporan pemimpin Yaman itu akan kembali selepas menjalani rawatan di Arab Saudi.
Laman sesawang kerajaan melaporkan, Ali berjaya menjalani pembedahan dan kini semakin pulih.

“Dia mungkin kembali ke Yaman tidak lama lagi,” kata laporan itu.
Cedera akibat letupan pada Jumaat lalu, Ali dikejarkan ke Riyadh untuk mengeluarkan serpihan dari badannya dan menjalani pembedahan plastik merawat kesan terbakar di kepalanya.

Kerajaan berkata, persediaan kini dibuat di seluruh negara bagi meraikan kepulangan Ali ketika presiden itu terus mendapat tekanan antarabangsa dan domestik supaya berundur.

Yaman juga kini berada dalam kucar-kacir apabila rakyat bangkit menuntut reformasi dilakukan.
Sumber pula berkata, Ali mengalami kesan kebakaran kira-kira 40 peratus daripada badannya.

Di Riyadh pula, diplomat Yaman berkata, Ali akan bertemu dengan komuniti negara itu di Arab Saudi beberapa hari lagi menjelang kepulangannya.
Sepanjang ketiadaan Ali di Yaman, kedua-dua pihak bertentangan mengadakan gencatan senjata.

Bagaimanapun, kebanyakan kementerian tidak berfungsi kerana kakitangannya tidak datang bekerja.

Bandar utama juga mengalami masalah bekalan elektrik dan air, manakala di Zinjibar di bahagian selatan, al-Qaeda dilaporkan menguasai bandar itu.

Sesetengah pihak berkata, Ali sengaja membiarkan al-Qaeda menawan Zinjibar bagi menunjukkan risiko dihadapi rakyat jika kerajaan bertukar. - Reuters
myMetro | Ali bakal pulang

17 lelaki dipenjara kerana bakar gereja Temanggung


SEMARANG: Sebuah mahkamah menjatuhi hukuman penjara ke atas 17 lelaki yang disabitkan kesalahan membakar gereja dan menyerang polis, semalam.
Panel empat hakim Mahkamah Daerah Semarang mendapati tertuduh dengan kesalahan itu dan 16 daripada mereka diarah dipenjara lima bulan.

Seorang lagi tertuduh dihukum penjara empat bulan.
Serangan berlaku Februari lalu apabila kira-kira 1,500 orang membakar dua gereja dan menyelongkar satu gereja lain di Temanggung kerana menuntut seorang lelaki Kristian yang menghina Islam dihukum mati.

Hukuman semalam lebih rendah berbanding 10 bulan dipohon pendakwa.

Kata hakim, tertuduh dihukum lebih ringan kerana bekerja sama di sepanjang perbicaraan. - AFP
myMetro | 17 lelaki dipenjara kerana bakar gereja Temanggung

12 kaki judi dirotan di padang

BANDA ACEH: Seramai 12 orang menjalani hukuman sebat selepas didapati bersalah terbabit dalam perjudian di Aceh, kata pegawai pendakwa, semalam.
Menurut pegawai terbabit, Irvon, pesalah ditangkap dalam beberapa kejadian berasingan dan dibicarakan.

“Mereka dirotan di depan orang ramai di sebuah padang di Langsa, timur Aceh,” katanya.
Irvon berkata, hukuman itu adalah minimum berbanding 12 sebatan maksimum yang diperuntukkan dalam undang-undang wilayah Islam berkenaan.

“Pendakwa memohon mereka dikenakan hukuman minimum untuk memberi pengajaran supaya tidak melanggar perintah agama di masa depan,” katanya.

Mei lalu, 40 pesalah judi turut dirotan di Aceh. - AFP
myMetro | 12 kaki judi dirotan di padang

Kek buah campur arak


KUALA LUMPUR: Penggemar kek buah-buahan dan tiramisu yang dijual di restoran terkemuka di negara ini dinasihatkan lebih berhati-hati memilih sajian pemanis mulut itu kerana dikhuatiri dicampur arak sebagai penambah perisa.
Arak jenis rum biasanya digunakan sebagai bahan tambahan untuk menguatkan tekstur kek berkenaan selain menambah perisa menyebabkan ia menjadi satu daripada sajian digemari ramai.

Mendedahkan perkara itu, Pengurus Kanan Piawaian dan Pembangunan Sistem International Halal Integrity Alliance (IHI Alliance), Azudin Khalid, berkata pengguna Islam boleh merasai perbezaan makanan itu sama ada ia menggunakan arak sebagai bahan tambahan atau tidak.
“Kek buah-buahan yang menggunakan rum biasanya mempunyai tekstur yang kuat dan tidak mudah pecah apabila dipotong manakala tiramisu atau kek keju terasa sejuk bila dimakan, makanan Cina pula ada yang menggunakan wain merah sebagai penambah perisa.

“Sehubungan itu, pengguna Islam perlu lebih peka dan bertanya jika was-was ketika memesan makanan di restoran. Jika membeli biskut atau coklat kandungan di pembalut perlu diteliti bagi memastikan sama ada terdapat bahan berkod E471 yang merujuk kepada lelemak haiwan dan tumbuhan,” katanya ketika ditemui, semalam. Beliau berkata, walaupun restoran terutama dari luar negara seperti makanan Barat, Korea atau Jepun mempunyai logo halal, namun pemesongan masih boleh berlaku jika pengguna Islam tidak memainkan peranan penting atau ambil kisah terhadap apa dimakan mereka.

“Pengusaha boleh mengambil kesempatan mencampurkan bahan yang halal dan haram kerana sikap tidak peka pengguna Islam selain Akta Perihal Dagangan 1972 (APD) sekarang yang terlalu umum berhubung pelaksanaan undang-undang halal.
“Bagaimanapun, penggubalan Akta Halal tidak lama lagi yang memberi kuasa kepada Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) mengambil tindakan terhadap pemilik restoran atau syarikat yang tidak menggunakan sijil dan logo halal dikeluarkan jabatan itu boleh mengatasi masalah dari sudut undang-undang, namun selagi pengguna tidak peka, isu ini sukar diatasi,” katanya.

Menurutnya, pengusaha biasanya menggunakan alasan Jakim mengambil masa terlalu lama untuk mengeluarkan sijil halal menyebabkan mereka memilih syarikat swasta yang tidak diiktiraf.
“Perkara menyebabkan sijil halal lambat dikeluarkan Jakim mungkin berpunca daripada dokumentasi yang dilampirkan tidak lengkap atau sumber atau status halal bahan mentah yang digunakan mereka tidak jelas diperoleh daripada mana.

“Di sini boleh berlaku pemesongan, pengusaha sesuka hati mencampur aduk bahan halal dengan haram. Kita selaku pengguna boleh memainkan peranan dengan ‘memaksa’ pengusaha mengikut saluran betul jika bersikap tegas tidak membeli makanan di restoran yang dicurigai status halalnya,” katanya.

Azudin berkata, IHI Alliance selaku agensi yang bekerjasama dengan Jakim menerusi pemantauan sistem dan piawaian halal termasuk di peringkat antarabangsa daripada semasa ke semasa mengadakan seminar panduan kepada pengusaha restoran halal.
myMetro | Kek buah campur arak

SPRM siasat Taib Mahmud


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa ia sedang menyiasat Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berhubung dakwaan rasuah balak.
Ketua Pesuruhjaya, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata SPRM kini dalam proses mengumpul maklumat berhubung perkara berkenaan. “Saya akan mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai ini (isu berkenaan). Seperti saya katakan dulu, kami sedang menyiasat Taib Mahmud dan apa jua tindakan kita, kita tidak dapat mendedahkan buat masa ini,” katanya kepada wartawan pada majlis menandatangani dan menyerahkan Ikrar Integriti Korporat kepada SPRM di sini, semalam. Abu Kassim menjawab pertanyaan sama ada SPRM akan mengambil tindakan sebagaimana dilakukan Agensi Pencegahan Rasuah Switzerland, yang baru-baru ini membekukan aset Taib Mahmud atas dakwaan rasuah balak. Menurut sumber berita asing, Ketua Jabatan Hal Ehwal Luar Switzerland Micheline Calmy-Rey dilaporkan menyedari mengenai dakwaan itu dan sudah mengemukakan maklumat mengenai aset Taib di Switzerland kepada badan kawal selia, Finma (Lembaga Penyelia Pasaran Kewangan Switzerland) untuk siasatan lanjut. Mengenai pemantauan projek mega, Abu Kassim berkata SPRM akan terus memantau projek berkenaan dari masa ke masa. “Tanggungjawab kami adalah untuk memantau sebarang projek dari masa ke masa. Saya tidak boleh nyatakan projek mana tetapi tugas kami memantau dan mencegah rasuah dalam kerajaan,” katanya ketika ditanya sama ada SPRM sudah mengenal pasti projek lain. Setakat ini, SPRM dijangka memantau tiga projek mega iaitu Menara Warisan Merdeka setinggi 100-tingkat yang bernilai RM5 bilion; sistem transit laju massa (MRT) bernilai RM36 bilion; dan projek Bukit Bintang City Centre (BBCC) bernilai RM6.7 bilion. -Bernama
myMetro | SPRM siasat Taib Mahmud

Perogol budak dijel 25 tahun, 15 sebatan


KLANG: Seorang penjual barangan lusuh dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dan dikenakan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku salah merogol kanak-kanak berusia 8 tahun dalam tandas ketika mangsa menghadiri majlis perkahwinan, di sebuah dewan sekolah, di Sekinchan, Sabtu lalu.
Hakim Datuk Anita Harun menjatuhkan hukuman itu terhadap M Suresh, 27, dan memerintahkan ia berjalan mulai tarikh tangkap tertuduh iaitu pada hari kejadian.

Lelaki itu yang berbaju jersi biru dan berseluar trek dilihat tenang dengan keputusan itu tetapi mula mengalirkan air mata apabila dibawa ke lokap mahkamah. Mengikut pertuduhan, Suresh didakwa merogol mangsa dalam tandas perempuan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Yoke Kuan, di Sekinchan, antara 9 dan 9.15 malam, pada 4 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nizi Shazril Ithnin.

Terdahulu, Suresh yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya dengan memberi alasan bahawa dia berada dalam keadaan mabuk ketika melakukan kesalahan itu.
Bagaimanapun, Nizi Shazril memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira usia mangsa yang hanya lapan tahun dan 11 bulan dan kecederaan dialaminya.

Beliau berkata, perbuatan tertuduh juga menyebabkan masa depan mangsa terjejas.
Selain itu katanya, tertuduh mempunyai dua rekod lampau berhubung kesalahan rompak.

“Hukuman untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat,” katanya. Abang ipar budak itu dengan bantuan orang awam berjaya menahan tertuduh di dalam longkang tidak jauh daripada tempat kejadian.

Akhbar sebelum ini melaporkan tindakan seorang lelaki gila seks merogol kanak-kanak di dalam tandas sebuah sekolah di Sekinchan membawa padah apabila dia dicekup orang ramai ketika cuba melarikan diri dalam keadaan berbogel selepas mangsa menjerit.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa datang ke sekolah terbabit bersama kakak dan abang iparnya untuk menghadiri majlis perkahwinan di dewan sekolah berkenaan.
myMetro | Perogol budak dijel 25 tahun, 15 sebatan

6 tahun jadi pemuas nafsu abang ipar


TAMPIN: Seorang anggota tentera dikesan menjadikan adik iparnya sebagai tempat pemuas nafsu serakahnya sejak mangsa berusia 19 tahun lagi.
Lebih malang, mangsa yang kini berusia 25 tahun turut didera dan diugut jika melaporkan kejadian itu kepada sesiapa termasuk keluarganya.

Malah, lebih keji lagi apabila kakak kandung wanita itu turut bersubahat menyembunyikan kegiatan jahat suaminya sehingga mangsa melahirkan seorang anak perempuan yang kini berusia dua tahun.
Difahamkan, gadis yang tidak tahan menanggung derita apabila kerap dirogol tampil membuat laporan di Balai Polis Gemencheh, dekat sini, Jumaat lalu.

“Kejadian terakhir berlaku kira-kira jam 10 malam Khamis lalu apabila mangsa menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada abang iparnya itu meminta dia pulang segera ke rumah di Gemencheh,” katanya.

Katanya, mangsa yang mengetahui musibah buruk bakal menimpanya enggan pulang ke rumah dan tindakannya itu menimbulkan kemarahan suspek yang bertindak mencarinya di tempat kerja.
“Namun, belum sempat sampai di tempat kerja mangsa, suspek bertemu mangsa berhampiran stesen minyak di Pekan Gemencheh, sebelum mengheretnya menaiki motosikal dan memukul kepala mangsa dengan tangan.

“Suspek kemudian membawa mangsa ke sebuah kebun getah berhampiran Taman Bunga Raya menghala ke Kampung Seri Ashan, dekat sini, lalu merogolnya. Mangsa yang tidak tahan dengan kelakuan abang iparnya itu kemudian membuat laporan polis,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintenden Mohd Isa Ujang mengesahkan menerima laporan mengenai kes itu.

“Polis menahan suspek yang berusia 38 tahun bertugas di sebuah kem tentera dekat Gemas atas tuduhan merogol,” katanya.

Katanya, suspek kini di reman tujuh hari sehingga 10 Jun ini mengikut Seksyen 376, Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan sebatan.
myMetro | 6 tahun jadi pemuas nafsu abang ipar

‘Bas kami ditembak’


ISKANDARIAH: Sekumpulan 28 pelajar Malaysia khususnya yang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Iskandariah, di sini, pastinya tidak dapat melupakan tragedi berdarah yang hampir meragut nyawa mereka pada malam 28 Januari lalu ketika revolusi Mesir tercetus secara besar-besaran oleh rakyatnya bagi menuntut pengunduran Presiden Hosni Mubarak mencapai kemuncaknya sejurus beberapa kematian membabitkan penunjuk perasaan dilaporkan media.
Kebanyakan kumpulan berkenaan adalah pelajar tahun pertama dan cerita mereka belum pernah didedahkan sebelum ini sedangkan mereka antara dua kumpulan rakyat Malaysia yang benar-benar melalui detik cemas ketika revolusi selain kumpulan pegawai kerajaan Malaysia membawa Senator Mohamad Ezam Mohd Noor menaiki kereta melalui Dataran Tahrir, Kaherah pada malam sama.

Siswa tahun satu Universiti Iskandariah, Hairul Anuar Mahat, 19, berkata dia bersama 27 rakan lain dari pelajar tajaan Mara berada di Pelabuhan Said untuk membeli-belah keperluan pelajar kerana barangan di sana agak murah berbanding di tempat lain, namun sebaik berita penunjuk perasaan didengar, rombongan menaiki bas berkenaan mengambil keputusan untuk pulang ke Iskandariah lebih awal.
Bagaimanapun katanya, tindakan itu gagal menyelamatkan mereka daripada terserempak dengan kumpulan penunjuk perasaan kerana perjalanan dua jam dari pelabuhan ke Asrama Pelajar Mara menemukan mereka dengan pelbagai halangan dan rusuhan apabila polis tempatan sudah mula hilang dan melarikan diri daripada perusuh yang kian agresif.

“Sebenarnya beberapa hari sebelum itu sudah ada berita mengenai rusuhan, namun ia masih kecil dan mereka ini (perusuh) sebenarnya tidak mengganggu orang luar. Bagaimanapun ketika terperangkap di tengah-tengah rusuhan semua pelajar yang berada dalam bas mulai panik.

“Kami takut apabila melihat tayar dibakar kiri dan kanan jalan menyebabkan pemandu bas (orang tempatan) mula ketakutan dan sebelum melihat kereta kebal polis dan beberapa orang berhampirannya mengangkat tangan menyebabkan kami turut melambai kerana menyangka mereka anggota polis, namun mereka sebenarnya perusuh yang meraikan kemenangan menawan kereta kebal.
“Ketika itu kami semua semakin cemas terutama melihat beberapa kereta polis meletup akibat dibakar dan sekumpulan lelaki bersenjata pistol, kayu dan ‘pump gun’ memenuhi jalan...ketika itu hanya bas kami melalui kawasan berkenaan dan kami bergerak perlahan-lahan,” katanya.

Menurutnya, ketika itu pemandu bas menyalakan lampu di dalamnya sekaligus menyebabkan perusuh dapat melihat kami dengan jelas dan tindakan itu dilakukan bertujuan menunjukkan kepada mereka kami pelajar asing dan bukan rombongan polis atau tentera dibawa untuk berkawal di sana.
“Bagaimanapun, beberapa minit selepas itu, tembakan bertali arus kedengaran di belakang bas menyebabkan semua pelajar menjerit dan tunduk menyembah lantai bas kerana ketakutan sehinggalah tembakan reda dan bas kami ditahan sekumpulan lelaki ketika melalui satu sekatan yang dibuat perusuh dan menyoal siasat mereka,” katanya.

Sementara itu, rakannya, Amirul Hafizie Mohd Suhaimi, berkata pemandu bas disoal siapa yang dibawanya dan selepas memberitahu kami adalah pelajar Malaysia, kenderaan kami dibenar melepaskan sekatan pertama namun terus ditahan dalam sekatan lain selepas itu sambil diawasi kumpulan lelaki bersenjata api.
myMetro | ‘Bas kami ditembak’

1,000 tunjuk perasaan


KAHERAH: Kira-kira 1,000 lelaki dan wanita Mesir membabitkan petani dan graduan cemerlang Mesir pelbagai lapisan umur sekali lagi berhimpun di hadapan Pejabat Perdana Menteri di Jalan Qasr-El -Nil di sini, kelmarin bagi menyuarakan tuntutan mereka yang antara lain berhubung tindakan bekas Presiden, Husni Mubarak menggubal Akta 96 pada 1992 yang menyebabkan mereka kehilangan tanah yang diusahakan sejak berpuluh-puluh tahun lalu serta ketiadaan peluang pekerjaan.
Cubaan penunjuk perasaan menarik perhatian kakitangan awam ketika itu pulang dari tempat kerja jam 4.30 petang (waktu tempatan) supaya menyertai mereka bagaimanapun gagal apabila polis berjaya mengawal lalu lintas yang cuba dihalang penunjuk perasaan bagi memaksa orang ramai turun bas dan bersama mereka.

Ini kerana, semua kakitangan awam Mesir yang keluar bekerja menaiki bas dan laluan berkenaan adalah satu-satunya laluan dilalui mereka untuk pulang ke kediaman masing-masing dari pusat bandar.
myMetro | 1,000 tunjuk perasaan

‘Sayang jaga diri baik-baik’

SEDIH...Norafiqah keluar dari bilik mayat Hospital Serdang, semalam. Gambar kecil, Mohd Hairin.
SEDIH...Norafiqah keluar dari bilik mayat Hospital Serdang, semalam. Gambar kecil, Mohd Hairin.

KUALA LUMPUR: “Jaga diri baik-baik kalau abang tak sempat nak jaga sayang,” itu pesanan terakhir Mohd Hairin Mazlan, 24, kepada tunangnya, Norafiqah Atan kira-kira dua jam sebelum dia terbunuh dalam kemalangan.

Norafiqah, 21, berkata seperti biasa arwah akan menjemputnya di rumah sebelum menghantarnya ke tempat kerja di Jalan Klang Lama kerana pejabat mereka berhampiran.


“Kami bekerja di tempat sama, jadi dia menghantar saya ke pejabat terlebih dulu sebelum keluar ke Putrajaya untuk menghantar pesanan pelanggan,” katanya.

Mohd Hairin terbunuh selepas terbabit kemalangan di Kilometer 16, Lebuhraya Maju arah Putrajaya sebelum kawasan rehat Seri Kembangan.


Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi semalam, motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan dan terbabas menyebabkan mangsa tercampak ke arah penghadang jalan manakala motosikalnya terseret 50 meter.


Mangsa yang parah di kepala dan muka maut di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Difahamkan, mangsa yang juga anak bongsu daripada 14 beradik itu bakal melangsungkan perkahwinan dengan Norafiqah pada 2 Julai depan di Kuala Selangor. Menurut Norafiqah, dia tidak menyangka keengganan arwah menempah kad jemputan majlis perkahwinan mereka itu menjadi petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.


Sementara itu, bapa mangsa, Mazlan Ali, 68, berkata walaupun sedih dia reda dengan ketentuan Tuhan.

Katanya, jenazah Mohd Hairin akan disemadikan di kampung halaman keluarganya di Kampung Bukit Senggeh, Jasin, Melaka.


myMetro | ‘Sayang jaga diri baik-baik’