SELAIN lelaki yang ingin berpoligami, pasangan muda juga antara yang banyak melangsungkan nikah di Selatan Thai. - Gambar hiasan
"KALAU perkahwinan saya itu berlaku sekarang, saya tidak akan pilih untuk berkahwin di Siam. Masa itu saya jahil, tak banyak pengetahuan tentang hukum perkahwinan.
"Kami ambil jalan mudah dengan berkahwin di sana dan ambil ringan soal pengesahan perkahwinan dari sudut undang-undang.
"Kami sendiri yang lewat mendaftar perkahwinan," demikian pengakuan dramatis Aida Khalida, 52, yang pernah berkahwin di Yala, Thailand bersama Joe Radzwill, 39, pada tahun 2002.
Hanya pada tahun lalu, barulah mereka tampil untuk mendaftarkan perkahwinan. Bayangkan, selama tujuh tahun kita semua mengenali mereka sebagai pasangan suami isteri namun ia belum sah di sisi undang-undang.
Kini, rumah tangga mereka bergoyang apabila Aida memohon cerai fasakh pada April lalu. Aida juga sudah bertukar nama daripada Aida Radzwill kepada Aida Khalida sempena nama sebenarnya Khalidah Adibah Ahmad. Kes cerai mereka masih belum diputuskan mahkamah.
"Saya mendaftar perkahwinan saya selaras dengan penghijrahan saya yang kini sudah bertudung (sejak pertengahan tahun lalu). Saya mahu memilih jalan yang betul dan perbetulkan segala-galanya," katanya kepada Jurnal, sekali gus menafikan tanggapan dia mendaftarkan perkahwinan kerana ingin bercerai.
Perkahwinan di Selatan Thailand bukan perkara asing. Bahkan, media melaporkan baru-baru ini sepanjang tempoh Januari hingga Mei lalu, terdapat 1,321 permohonan rakyat Malaysia untuk berkahwin di situ.
Menurut Pejabat Konsulat Malaysia di Selatan Thailand, daripada jumlah itu, pasangan Malaysia yang berkahwin sesama negara ialah 999 permohonan, pasangan Malaysia-Thailand (186), Malaysia-Indonesia (19), Malaysia-Pakistan (18), Malaysia-Bangladesh (dua permohonan).
Statistik turut menunjukkan ada trend peningkatan perkahwinan rakyat Malaysia di negara sempadan itu. Bermula dengan 73 permohonan pengesahan pernikahan pada tahun 2001, diikuti 67 (2002), 98 (2003), 55 (2004) dan melonjak dengan lebih tinggi pada 2006 dengan 845, 1,944 (2007), 2,342 (2008) dan 2,172 (2009).
Banyak pasangan termasuk selebriti dan golongan elit Malaysia yang berkahwin di negara itu. Terbaru, akhbar Kosmo! mendedahkan penyanyi Aishah mengaku sudah berkahwin dengan seorang duda anak enam, Faizal Sazali Zulkifli di Narathiwat. Mereka berkahwin di sana kerana suaminya belum mendapat surat cerai daripada perkahwinan terdahulu.
Pernah media melaporkan pada tahun 2005, sekurang-kurangnya 10 orang kenamaan berstatus Tan Sri dan Datuk bernikah di Selatan Thai sejak tahun 2003.
Dianggarkan kira-kira 100 pasangan Malaysia bernikah setiap bulan di Thailand, iaitu paling tinggi berbanding pasangan negara jiran lain.
Antara punca ramai memilih untuk berkahwin di Siam juga kerana pasangan tidak perlu membawa wali, sijil kebenaran berkahwin daripada Jabatan Agama Islam, sijil kursus kahwin, sijil mengenai status kesihatan sama ada bebas HIV atau AIDS dan wang hantaran.
Memandangkan ia dilihat sebagai jalan penyelesaian untuk 'kahwin rahsia', pasangan yang biasanya memilih berkahwin di Selatan Thai ialah lelaki yang ingin berkahwin lain dan pasangan yang hubungan mereka mendapat tentangan keluarga.
SEORANG wanita yang pernah didakwa bersuami dua, Shanum Shaari menunjukan dokumen sah mengenai perceraiannya serta surat nikah di Selatan Thai pada tahun 2006.
Tertanya-tanya juga kita adakah pasangan ini bernikah di Selatan Thai dengan pergi begitu sahaja atau ada orang tengah yang mengaturkannya.
Hasil pemantauan di Internet, Jurnal mendapati terdapat banyak ejen yang menawarkan pakej perkahwinan di wilayah-wilayah Selatan Thai seperti di Songkhla, Narathiwat, Yala dan Pattani.
Tawaran yang diberikan bermacam-macam. Ada yang menyediakan pengangkutan, menyediakan khidmat membeli-belah selepas bernikah, memastikan mendapatkan surat nikah daripada majlis agama dan Konsulat Malaysia dalam masa sehari dan macam-macam lagi.
Rata-ratanya menawarkan pakej perkahwinan di antara RM1,000 hingga RM3,000.
Seorang ejen yang menawarkan pakej di Yala menerusi Perak mengakui dirinya memang rapat dengan majlis agama Islam di wilayah itu.
Dia memberitahu, kebanyakan pasangan yang menggunakan khidmatnya ialah pelajar dan anak-anak muda yang ingin berkahwin tetapi dihalang keluarga. Hanya 30 peratus yang bertujuan poligami.
"Saya tahu ramai yang memandang serong kerja saya sebagai ejen tetapi saya lakukan kerana saya ingin membantu mereka yang dalam kesusahan, saya mahu maksiat dielakkan.
"Tahu sahajalah sekarang orang muda macam-macam cabarannya dan terdedah kepada pelbagai anasir negatif.
"Saya juga memilih pasangan yang betul-betul mengalami masalah kerana saya sedar apa yang saya lakukan bakal dipertanggungjawabkan di akhirat," ujarnya yang ketika dihubungi berada di Indonesia.
Seorang wanita yang menguruskan perkahwinan di Songkhla pula menjanjikan akad nikah hanya di pejabat agama wilayah itu.
"Untuk memastikan akad nikah yang dilaksanakan itu benar-benar diyakini dan dilakukan oleh jurunikah yang ditauliahkan majlis agama wilayah, saya tawarkan akad nikah di pejabat agama sahaja.
"Kami juga boleh terus membawanya untuk pengesahan Konsulat Malaysia kerana ia terletak di wilayah ini. Lagipun Songkhla lebih aman. Oleh kerana itu, saya fikir, Songkhla ialah tempat terbaik," ujarnya yang menawarkan pakej pada harga RM1,700.
Dia meminta pasangan agar memilih ejen yang betul agar tidak tertipu.
"Memang banyak ejen sindiket. Macam-macam tawaran yang diberikan. Ada yang menawarkan bayaran yang melampau sehingga RM13,000. Ada yang menggunakan jurunikah palsu.
"Saya difahamkan pernah satu kes nikah di sempadan yang menjadi bermasalah apabila hendak didaftarkan di Malaysia kerana pasport mereka tidak dicop pihak imigresen Thailand sedangkan pasport telah diserahkan kepada ejen," katanya.
Seorang lagi ejen yang menawarkan pakej perkahwinan di Songkhla berpusat di Subang Jaya, Selangor memberitahu, terdapat kes mereka yang berkahwin di Thailand kerana ingin bertanggungjawab.
|
AIDA KHALIDA
|
"Seorang lelaki telah mempunyai seorang isteri namun telah terlanjur dengan seorang wanita. Kerana ingin bertanggungjawab atas keterlanjurannya itu, dia telah menyatakan hasratnya untuk berkahwin lagi namun dihalang oleh isteri, ibu dan bapanya.
Dia akhirnya terdesak untuk berkahwin dengan wanita itu di Selatan Thai demi untuk bertanggungjawab atas keterlanjurannya," ujarnya sambil memberitahu jurunikah-jurunikah di Thailand boleh mengeluarkan surat nikah, tetapi sijil nikah yang diperlukan untuk pengesahan Konsulat Malaysia ialah daripada majlis agama wilayah berkenaan.
Bagaimanapun, Jurnal telah menemui satu kes aneh iaitu seorang wanita yang berkahwin di Ampang, Selangor tetapi telah memperoleh sijil nikah dari Thailand.
"Saya dan suami telah bernikah di Ampang, Selangor namun tidak mengetahui yang ia nikah sindiket sehinggalah apabila jurunikah lesap dan surat nikah yang dijanjikan tidak diterima.
"Kami langsung tidak ada surat nikah. Bimbang anak dalam kandungan ini sukar untuk mendapat sijil kelahiran, kami cuba mendapatkan sijil nikah dari Thailand menggunakan seorang ejen perkahwinan di sana dengan bayaran RM1,500," ujar Azrina Abu (bukan nama sebenar) yang merupakan isteri kedua.
Hal ini mencetuskan persoalan adakah sesetengah perkahwinan yang didakwa dilakukan di Selatan Thai walaupun lengkap dengan dokumen nikah dari sana sebenarnya satu penipuan? Hanya mereka yang tahu.