Pages

Saturday, July 21, 2012

150,000 kondom Olimpik

London: Temasya Olimpik London 2012 mungkin yang paling ‘panas’ dalam sejarah sukan itu selepas penganjur menyediakan 150,000 kondom Durex percuma, 15 untuk setiap atlit. 

Angka itu melebihi 50 peratus berbanding di kejohanan Beijing pada 2008 yang menyediakan 100,000 kondom. ‘Selera seks’ peserta dilaporkan meningkat sejak kejohanan di Seoul pada 1988 hanya menyediakan 8,500 kondom percuma, lapor akhbar The Mirror. 
Angka itu melonjak kepada 50,000 apabila pertandingan diadakan di Barcelona pada 1992 manakala penganjur Sydney 2000 terpaksa membeli tambahan 20,000 lagi kondom selepas 70,000 kondom yang ada kehabisan. 

Peraturan benar teman peserta masuk 

Ia mungkin ada kena mengena dengan peraturan membenarkan teman peserta masuk ke tempat penginapan atlit dengan 3,500 pelawat dijangka masuk setiap hari di 2,818 pangsapuri. 

Malah, ujian kehamilan juga dikatakan turut ditempah. 
Satu sumber memberitahu akhbar itu: “Semua orang tahu keadaan di tempat penginapan sukan. Cuma, bagi atlit tempatan, mereka tentu lebih memberi tumpuan kepada menang pingat.” 

Ketika ditanya bagaimana situasi ‘panas’ itu di perkampungan Olimpik, perenang Amerika Syarikat, Ryan Lochte berkata: “Saya rasa 70 hingga 75 peratus atlit terbabit.” 

Peserta negara itu dalam acara menembak, Josh Lakatos pula berkata: “Keadaannya seperti di rumah pelacuran. Begitu banyak aksi panas.” 

Lochte kemudian mengulas: “Ketika kejohanan Olimpik lalu, saya ada teman wanita. Sekarang, saya kembali solo jadi saya rasa teruja kali ini.” 

“Bertanding dalam kejohanan Olimpik adalah kemuncak kerjaya anda, jadi mungkin ada yang sedia melakukan sesuatu di luar kebiasaan. Tetapi, saya yakin, jika saya nampak orang melakukannya, saya akan ketawa,” kata pemain bola tampar Britain, Shauna Mullin. - Agensi

30,000 lari ke Lubnan

Rakyat Syria  membawa barangan  ketika cuba memasuki sempadan Lubnan, 40 kilometer dari Damsyik, Syria, semalam.Rakyat Syria membawa barangan ketika cuba memasuki sempadan Lubnan, 40 kilometer dari Damsyik, Syria, semalam.
Tentera Syria tingkat serangan pemberontak di Damsyik 

Geneva: Sekurang-kurangnya 30,000 warga Syria sudah lari ke Lubnan sejak 48 jam lalu selepas konflik bersenjata semakin sengit, kata agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).
Warga Syria jadi pelarian 
“Beribu-ribu warga Syria masuk ke Lubnan semalam. 

“Laporan yang diterima menyatakan, antara 8,500 hingga 30,000 rakyat Syria jadi pelarian sejak 48 jam lalu,” kata jurucakap UNHCR, Melissa Fleming. 

“Ada juga yang lari ke Jordan, Turki selain Lubnan dan Iraq,” katanya ketika ditemu bual wartawan, semalam. 

Pertempuran yang berlaku kelmarin menyebabkan kira-kira 300 orang terbunuh, kebanyakan mangsa adalah orang awam, dakwa pertubuhan Pemantauan Hak Asasi Manusia Syria di London. 
Gempur pemberontak 

Sementara itu, laporan dari Beirut menyatakan, tentera Syria menggempur semua kawasan pemberontak yang terdapat di ibu negara. 

Serangan itu dilancarkan selepas empat anggota kanan pemerintah termasuk ketua keselamatan, terbunuh. 

“Tentera melancarkan serangan balas bagi menawan semula kawasan pemberontak bagi menjamin keselamatan penduduk dan membenarkan mereka mereka pulang ke kediaman,” kata sumber. 

Gesa tamat perang 

Di New York, Russia dan China sekali lagi menggunakan kuasa veto ke atas resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disokong negara Barat kelmarin bertujuan menekan kerajaan Presiden Bashar al-Assad supaya menamatkan perang saudara di Syria. 

Undian menunjukkan 11 negara menyokong sementara dua negara berkecuali untuk resolusi berkenaan iaitu Afrika Selatan dan Pakistan. 

Kuasa veto yang digunakan itu adalah kali ketiga ke atas resolusi mengenai krisis di Syria itu, yang sudah masuk bulan ke-17. 

Resolusi gagal 

Faktor utama kegagalan adalah kehendak Barat yang mahu resolusi itu memasukkan ancaman sekatan tidak berkaitan ketenteraan untuk meningkatkan tekanan ke atas Bashar. 

Tindakan mengenakan sekatan adalah menurut Fasal 7 Piagam PBB, yang membenarkan penggunaan kekerasan tetapi tindakan itu tidak dinyatakan dalam deraf Britain. 
Duta Russia ke PBB, Vitaly Churkin, berkata resolusi tidak sepatutnya diundi kerana penaja tahu ia tidak akan diterima. 

“Kita tidak boleh menerima begitu saja dokumen menurut Fasal 7. Ia dikhuatiri akan membuka laluan kepada tekanan sekatan dan seterusnya pembabitan tentera dalam hal ehwal dalaman Syria,” katanya. - AP/AFP

Tentera Syria lancar serangan besar-besaran

DAMSYIK: Tentera Syria melancarkan serangan besar-besaran terhadap kawasan yang dikuasai pemberontak di Damsyik selepas mereka menguasai laluan ke sempadan Iraq dan Turki dalam konflik yang sudah berlanjutan selama 16 bulan itu. 

Pejuang pemberontak juga bertempur dengan pihak tentera di Aleppo semalam yang disifatkan Syrian Observatory for Human Rights sebagai pertempuran paling sengit di bandaraya kedua Syria itu. Di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Majlis Keselamatan mengundi sebulat suara untuk memberi lanjutan 30 hari "terakhir" kepada misi pemantau yang diberi tanggungjawab memastikan pelan damai untuk Syria tetapi menggantung operasi sejak 16 Jun lalu berikutan peningkatan keganasan. - AFP 

Sepotong roti bakar tahun 1981 dibeli RM1,131

SEPOTONG roti bakar yang dilelong pada harga RM1,131.

LONDON - Sepotong roti bakar yang dipercayai dihidangkan pada 1981 untuk pewaris pertama takhta diraja Britain, Putera Charles dilelong kelmarin pada harga AS$359 (RM1,131), lapor agensi beritaReuters kelmarin.
Roti itu dihidangkan untuk sarapan pagi di Istana Buckingham pada hari perkahwinan Charles dengan Puteri Diana pada 29 Julai 1981.
Pemilik roti itu sebelum ia dilelong ialah Rosemarie Smith yang kini berusia 83 tahun.
Roti itu tidak rosak kerana dia menyimpannya selama bertahun-tahun di dalam bekas kedap udara di sebuah almari rumahnya.
Menurut Smith, seorang anak perempuannya bekerja sebagai pelayan di istana tersebut.
Smith berkata, dia dan anaknya melihat Charles meninggalkan roti tersebut dari koridor istana.
Menurutnya, dia kemudian memikirkan untuk menyimpan roti tersebut.
Smith berkata, pada tahun lalu, dia berpendapat roti tersebut mungkin mempunyai nilai jika dilelong ekoran majlis perkahwinan antara anak Charles, Putera William dengan Kate Middleton pada April tahun lalu.
Lelongan itu dikendalikan oleh Charles Hanson Auctioneers.
Terdapat dua pembida yang mahu membeli roti tersebut menerusi telefon. - Agensi

Aktivis Perancis tinggal dalam hutan Indonesia selama 15 tahun

BRULE

JAKARTA - Seorang aktivsi alam sekitar dari Perancis, Aurelien Brule yang popular dengan panggilan Chanee tinggal di dalam sebuah hutan di Indonesia sejak 15 tahun lalu.
Dia tinggal di dalam hutan tersebut dengan tujuan untuk menentang pembalakan, rasuah dan syarikat penanaman kelapa sawit.
Brule menetap di sebuah Pusat Pemuliharaan Kalaweit di Kampung Pararawen, Kalimantan.
Brule juga berusaha untuk menyelamatkan kehidupan haiwan ungka di hutan itu.
- AFP

Serangan dalam pawagam tayang filem Batman

WASHINGTON - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan 50 lagi cedera semalam apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah sekumpulan penonton yang sedang asyik menonton tayangan filem Batman di pusat beli-belah di Aurora, negeri Colorado, kata Ketua Polis Aurora, Dan Oates.
Oates berkata, lelaki bersenjata itu, James Holmes, 24, kemudian ditangkap ekoran kejadian tersebut semasa para penonton menonton filem terbaharu Batman, The Dark Knight Rises pada tayangan tengah malam di pawagam Century 16.
Saluran berita CNN melaporkan, lelaki itu yang menggunakan empat senjata api termasuk sepucuk raifal dan pistol melepaskan tembakan semasa adegan tembak-menembak filem tersebut ditayangkan.
Dia berkata, pawagam tersebut juga dipenuhi dengan asap.
Polis kini memburu seorang lagi lelaki bersenjata yang turut terlibat dalam kejadian pembunuhan itu.
Menurut media Amerika Syarikat (AS), antara mangsa yang cedera termasuk enam kanak-kanak dengan mangsa paling muda berusia enam tahun.
Seorang saksi memberitahu saluran televisyen bahawa sebanyak 10 hingga 20 tembakan kedengaran dan terdapat letupan kecil.
"Sejurus kemudian, kami mendengar orang ramai menjerit.
"Selepas itu, pengumuman dibuat menerusi sistem audio yang meminta setiap orang keluar dari pawagam," katanya.
Saksi itu menyatakan, selepas keluar, sejumlah orang kelihatan berlari dan menjerit.
Laporan Radio KOA 850 menyatakan beberapa saksi menyatakan salah seorang penyerang itu yang memakai topeng turut membawa bom asap.
Motif serangan masih belum diketahui.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Barack Obama yang dimaklumkan tentang kejadian tersebut oleh penasihat Keselamatan Dalam Negara, John Brennan, menggesa rakyat AS supaya bersatu bersama penduduk Aurora pada waktu sukar ini.
"Michelle (isteri Obama) dan saya terkejut dan sedih berhubung insiden tembakan yang dahsyat dan tragis di Colorado. Pihak berkuasa persekutuan dan tempatan masih menyiasat dan pentadbiran saya akan melakukan apa saja yang terdaya untuk membantu penduduk Aurora pada detik yang sukar ini," kata Obama. - Agensi

Penduduk AS gembira menang kes masjid baharu

GAMBAR fail pada 21 Jun lalu menunjukkan masjid di Murfreesboro, Tennessee.

MURFREESBORO, Tennessee - Penduduk Islam di negeri Tennessee, Amerika Syarikat (AS) yang menenangi kes mahkamah untuk menduduki sebuah masjid baharu kelmarin mendapati mereka tidak dapat beribadat di masjid berkenaan pada permulaan bulan Ramadan.
Ia berikutan masjid tersebut memerlukan masa dua minggu lagi untuk disiapkan.
Namun, penduduk Islam meraikan kemenangan mereka selepas dua tahun berdepan satu saman bagi menghalang pembinaannya.
"Bagi saya, keputusan kelmarin amat baik dan saya bersyukur kepada Tuhan," kata pengerusi jawatankuasa masjid berkenaan, Essam Fathy.
"Kami semua terkejut. Ia satu berita gembira tanpa disangka," tambahnya.
Penduduk yang menentang pembinaan masjid tersebut menyaman daerah Rutherford pada September 2010 untuk menghalang pembinaan tempat ibadat itu.
Kumpulan itu memberi alasan bahawa Islam bukan agama sebenar dan penduduk Islam AS mahu menumbangkan Perlembagaan AS dan menegakkan undang-undang Islam.
Namun, dalam satu perbicaraan baru-baru ini, Hakim Daerah AS, Todd Campbell mendapati tindakan menghalang pembinaan dan penggunaan masjid itu bercanggah dengan hak penduduk untuk mengamalkan ajaran agama mereka.
Beliau kemudian mengarahkan pihak pentadbiran daerah supaya melakukan pemeriksaan dan membenarkan masjid tersebut dibuka kepada orang ramai. - Agensi