Pages

Wednesday, January 18, 2012

Pembantu rumah Kemboja dakwa dilayan seperti hamba

MELBOURNE 18 Jan. - Seorang pembantu rumah dari Kemboja mendedahkan dia telah dilayan majikannya seperti seorang hamba ketika bekerja di Kuala Lumpur, demikian menurut satu laporan dalam akhbar ’The Age’ hari ini.

Kejadian seekor ular berukuran satu meter memasuki kediaman majikannya ’mengakhiri’ kesengsaraan Orn Eak selama dua tahun dan perkhidmatannya ditamatkan selepas itu. (Binatang seperti ular atau naga memain peranan istimewa sekali dalam mitologi orang Kemboja)

"Apabila ular tersebut menjalar masuk ke kediaman majikan saya, dia menyalahkan saya dan terus membuang saya kerja,” Orn Eak yang berusia 28 tahun memberitahu wakil akhbar berkenaan bagi rantau Asia Tenggara, Lindsay Murdoch.

"Sebenarnya saya dipersalahkan untuk semua perkara, termasuk kematian ibu majikan saya yang sudah lanjut usia.” katanya. - BERNAMA

Dasar luar Amerika terhadap negara Islam sukar diubah

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Seorang ahli akademik Amerika Syarikat hari ini berkata, bahawa dasar luar negaranya terhadap negara-negara Islam tidak akan berubah selagi wujud pengaruh Israel dalam sistem politik negara itu.

Prof. Emeritus Dr. W.Scott Thompson berkata, untuk beberapa tahun perbincangan mengenai isu-isu membabitkan Islam boleh diadakan secara rasional di negara itu tetapi menjadi semakin sukar dengan campur tangan Israel.

Beliau adalah dari Sekolah Undang-Undang dan Diplomasi, Universiti Tufts, Boston, Amerika Syarikat.

Beliau juga berkata, 64 peratus calon-calon parti Demokrat pada pilihan raya kebangsaan menerima sumbangan wang tunai secara langsung untuk berkempen dari banyak pertubuhan dan kumpulan berkaitan Yahudi, sambil menjelaskan ramai tidak sedar mengenai perkara itu.

"Kita tidak boleh menjangka hubungan Islam-Amerika yang sihat sehingga Amerika mengambil langkah pertama dan menunjukkan ia tidak boleh diarah-arahkan oleh pelobi dalaman,” katanya semasa menyampaikan ceramah berjudul “Amerika Syarikat dan Dunia Islam: Merangka Masa Depan Yang Mapan” pada Persidangan Antarabangsa pergerakan Moderat Global (ICGMM) di sini hari ini. - BERNAMA

Harap mimpi jadi nyata


bantu-lah-bapa-saya-berjalan2

MARANG – “Malam tadi saya bermimpi lagi dapat berjalan semula. Setiap kali perkara itu berlaku saya akan bangun perlahan-lahan dan duduk untuk mengingati semula mimpi yang diharap dapat jadi kenyataan itu,” kata Md Rahim Jatim, 57.

Md Rahim ketika ditemui semalam, berkata, dia me­ngalami lagi mimpi dapat berjalan semula selepas kunju­ngan Sinar Harian di rumah keluarga itu kelmarin. Malah hasrat dan kisah hidupnya itu turut dikongsi bersama pembaca akhbar ini.

Kisah Md Rahim yang tinggal di Kampung Jerung Seberang, Pengkalan Berangan itu juga disiarkan Sinar Harian kelmarin. Bapa tiga anak itu menderita menghidap penyakit kulit misteri dan kini terpaksa berkerusi roda selepas kaki kirinya ditimpa sebatang pokok lima tahun lalu.

Menurutnya, sepanjang lima tahun itu dia hanya mampu duduk kerana tidak mampu untuk berbuat apa-apa akibat kecederaan pada kaki kirinya tambah pula benjolan kecil dan besar yang tumbuh di seluruh badannya turut membataskan pergerakannya.

Menurutnya yang dipetik Sinar Harian kelmarin, penyakit kulit misteri itu dihidapi sejak berumur 25 tahun iaitu sebelum dia berumah tangga dan sejak itu sudah berpuluh doktor dan bomoh ditemui, namun sehingga kini ia gagal disembuhkan.

“Saya habis berikhtiar tetapi penyakit misteri ini tidak mahu juga sembuh. Namun, saya redha dengan keadaan diri saya, mungkin ia tidak dapat untuk dipulihkan. Tetapi saya berharap ada pihak yang sudi membantu untuk me­ngubati kaki saya yang cedera ditimpa pokok.

“Saya tidak mampu bekerja selepas kejadian pokok tumbang menimpa kaki ketika bekerja membersihkan kawasan hutan kira-kira lima tahun lalu.

Lebih menyedihkan apabila sejak belakangan ini saya sering bermimpi kaki ini pulih dan saya dapat berjalan semula,” katanya.

Sebelum ini Md Rahim hanyalah seorang pekerja kampung dan mempunyai tiga anak berusia enam hingga 19 tahun. Namun selepas mengalami kecederaan akibat ditimpa pokok getah uru­san harian keluarga itu dipikul isteri dan anak sulungnya.

Md Rahim berkata, dia pasti semua terkejut dan simpati apabila melihat wajah dan keadaan badannya yang dipenuhi dengan benjolan kecil dan besar, justeru dia berharap ada yang sudi membantu untuk mengubati kaki kirinya.

Sementara itu, anaknya, Mohd Amirul, 19, ketika dihubungi Sinar Harian semalam, pula berkata, bapanya selalu bermimpi mengenai perkara itu dan bagi keluarganya ia sudah menjadi perkara biasa tetapi mimpi itu dikatakan lebih kerap sejak belaka­ngan ini.

“Saya sekeluarga amat berterima kasih kepada yang ingin membantu dan saya memohon maaf kerana telah memberikan maklumat salah mengenai nombor telefon sebelum ini,” katanya ketika dimaklumkan semalam, bahawa ada pihak yang akan melawat keluarga itu hari ini.

Semalam Skuad Cakna Sinar Harian dihubungi pihak yang sudi membantu Md Rahim bertalu-talu apabila nombor telefon yang disiarkan dalam akhbar kelmarin terdapat kesilapan.

Bagi mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Mohd Amirul menerusi talian 0111-9302549 dan bukannya seperti yang disiarkan Sinar Harian kelmarin.

Hilang selepas bertengkar


Hilang selepas bertengkar

KULIM - Seorang remaja yang bekerja di kedai menjual barangan perubatan herba dilaporkan hilang selepas berlaku pertengkaran melibatkan keluarganya.

Sebelum dilaporkan hilang, Siti Nazirah Ismail, 18, memaklumkan kepada keluarganya dia akan menghadiri majlis pembukaan kedai baru syarikat di mana dia bekerja di Pekan Serdang sebelum kejadian.

Abang mangsa berkata, setelah sehari tidak menghubungi mana-mana ahli keluarga, dia mengambil keputusan untuk menghubungi syarikat di mana adiknya bekerja.

Menurutnya, syarikat terlibat memaklumkan majlis sepertimana dikatakan oleh mangsa tidak pernah dianjurkan.
“Kami sekeluarga kemudiannya memeriksa almari pakaian dan mendapati sebahagian pakaian dan barangan peribadinya sudah tiada.
“Sebagai ahli keluarga, pastinya kami mahukan yang terbaik untuk adik perempuan kami. Dipercayai adik saya mengikut seorang kawan lelakinya kerana pertengkaran yang berlaku sebelum ini juga melibatkan perkara ini,” katanya.
Katanya, adiknya sudah menjalinkan hubungan dengan kekasihnya sejak dua tahun lalu walaupun tanpa persetujuan keluarga.

“Saya tidak kisah sekiranya adik saya mahu mendirikan rumah tangga dengan sesiapapun tetapi pastikan pasangannya itu adalah yang terbaik untuknya,” katanya.

Keluarga mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Selama kira-kira jam 10.50 malam.
Waris mangsa juga turut meminta bantuan beberapa pihak di sekitar kawasan Kulim untuk membantu mengesan mangsa.
Bagi sesiapa yang terjumpa atau mengenali mangsa boleh menghubungi di talian 0194190248 atau 0195432085.

Semakin ramai pejalan kaki maut ketika guna telefon bimbit

BALTIMORE: Satu kajian mendapati, jumlah pejalan kaki Amerika Syarikat yang terbunuh atau cedera parah ketika menggunakan telefon bimbit meningkat tiga kali ganda dalam tempoh enam bulan.
Kes kemalangan meningkat daripada 16 pada 2004 kepada 47 pada 2011, menjadikan jumlah keseluruhan 116 sepanjang tempoh itu.

Diterbitkan Jurnal Pencegahan Kecederaan semalam, kajian berkenaan dijalankan Hospital Kanak-kanak Universiti Maryland Menurut kajian itu, lebih separuh insiden membabitkan pejalan kaki yang dirempuh kereta api dan dua per tiga mangsa adalah lelaki berusia di bawah 30 tahun.

Kajian berkenaan mengingatkan masalah “buta tanpa sedar” kepekaan otak menurun. - DM

Ketua kampung bakar pejabat kerajaan

HONG KONG: Polis China menahan seorang ketua kampung di utara negara itu selepas dia membakar hangus pejabat kerajaan bagi membantah amalan rasuah, kata satu pertubuhan hak asasi manusia semalam.
Akibat tindakan Gao Jinje itu, dua cedera parah.

Bertugas di Kampung Beitai di wilayah Hebei, Gao mempertikaikan pihak berkuasa tempatan di bandar Chengde atas amalan rasuah dan salah guna kuasa pada Ahad.

Pusat Hak Asasi Manusia dan Demokrasi berkata, selepas bertengkar, Gao mencurah cecair mudah terbakar ke kompleks kerajaan dan menyalakan api.

“Kebakaran itu memusnahkan lebih 20 pejabat,” katanya.

Gao kini ditahan polis tetapi tidak diketahui berada di mana. - AF

Lee pertahan gaji tinggi menteri

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, semalam berkata dia mungkin mendapat gaji lebih tinggi berbanding Barack Obama, tetapi Presiden Amerika Syarikat itu mempunyai pelbagai kelebihan, seperti perjalanan percuma menaiki pesawat Air Force One dan percutian di Camp David.
Mempertahankan kadar gaji tinggi di kalangan menteri Singapura, Lee berkata, negara itu tidak boleh mencontohi struktur gaji lebih rendah di negara lebih besar seperti AS atau Britain.

Parti Tindakan Rakyat yang membentuk kerajaan Singapura bersikap defensif sejak pilihan raya umum Mei tahun lalu apabila pembangkang mengkritik skim gaji pegawai kanannya.

Lee, 59, berjanji mengkaji semula struktur gaji semasa bagi mengurangkan kemarahan rakyat dan cadangan sebuah jawatankuasa bagi memotong peruntukan itu sekurang-kurangnya satu per tiga.

Bagaimanapun, menteri Singapura kekal menjadi antara penerima gaji tertinggi di dunia.

Lee menerima gaji RM5.4 juta setahun walaupun selepas dipotong 36 peratus mengikut skala bayaran yang disemak semula.


Jumlah itu lebih empat kali ganda berbanding gaji Obama sebanyak RM1.3 juta setahun.

Kata Lee, memang Obama menerima bayaran lebih rendah berbanding dirinya.

“Namun, penghuni Rumah Putih menggunakan Air Force One, tinggal di rumah berkenaan dan bercuti di Camp David,” katanya di Parlimen, semalam.

Air Force One adalah pesawat rasmi Presiden AS, manakala Camp David adalah pusat percutian di negara itu.

Lee berkata, Presiden AS juga menerima berjuta-juta dolar selepas bersara.

“Apa yang perlu dilakukan cuma tampil sesekali, membuat sedikit kenyataan dan menerima ratusan ribu dolar pada satu-satu masa,” katanya. - AFP

Guna peranti penyesak untuk halang pelajar tiru

SALZBURG: Seorang guru besar sebuah sekolah menengah di Austria nyaris dikenakan tindakan mahkamah selepas bertindak untuk mengesan bakal peniru satu peperiksaan dengan menggunakan idea berteknologi tinggi, tetapi salah di sisi undang-undang.
Gerhard Klampfer dilapor membeli dan memasang peranti penyesak yang cukup kuat untuk menghalang pelajar tahun akhir meniru daripada Internet dengan menggunakan telefon pintar mereka ketika peperiksaan akhir musim panas lalu.

Radio ORF melaporkan dalam laman webnya semalam, tindakan itu cukup berkesan untuk menarik perhatian sebuah syarikat pengendali khidmat telefon. Ia memaklumkan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengawasi aliran radio selepas menyedari perkhidmatannya terjejas.

Mereka kemudian memaklumkan kepada pegawai undang-undang yang mengancam untuk mendakwa Klampfer atas tuduhan kesalahan kecil.

Menurut undang-undang Austria, hanya polis, tentera dan pihak berkuasa mengenai keselamatan boleh menghalang isyarat. Klampfer berkata dia tidak tahu perbuatannya itu salah di sisi undang-undang. Dia dibebaskan dengan amaran. - AFP

Balai polis jadi pusat penyembelihan

KATHMANDU: Sekumpulan polis Nepal disiasat kerana menjalankan operasi pusat penyembelihan dari balai tempat mereka bertugas, kata pihak berkuasa semalam.
Kakitangan balai polis di pinggir Kathmandu itu didakwa mengambil upah menyembelih kambing daripada orang awam ketika mereka sepatutnya bertugas menjaga keamanan.

Timbalan Penguasa Polis Kathmandu, Dhiraj Pratap Shah, berkata orang awam membawa kambing mereka untuk disembelih dan dagingnya dijual di kawasan balai berkenaan.

“Ada kawasan lapang dan air mudah diperoleh di balai itu,” katanya.

Anggota polis berpangkat rendah di Kathmandu hanya menerima gaji kira-kira RM345 sebulan, mendorong mereka mencari kerja sambilan untuk menambah pendapatan.

Bagaimanapun, 10 anggota polis yang disiasat itu mendakwa, mereka tidak mengenakan sebarang bayaran, sebaliknya sekadar membantu komuniti setempat. Menurut Dhiraj, pegawai yang bertanggungjawab di balai berkenaan dipindahkan kerana gagal menjalankan tugas dengan baik.


“Dia sepatutnya menjaga keamanan,” katanya. - AFP

Netanyahu bimbang Kebangkitan Arab ancam Israel

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, rejim itu berdepan dengan peningkatan dalam ancaman keselamatan kesan daripada Kebangkitan Arab yang mungkin tidak akan reda dalam masa terdekat ini.
“Masalah keselamatan yang semakin meningkat akibat daripada perubahan di Asia Barat semakin buruk dan dijangka berterusan selama beberapa tahun lagi,” kata pemimpin Zionis itu kepada Jawatankuasa Parlimen Mengenai Hal Ehwal Luar dan Pertahanan. Menurutnya, negara Yahudi itu perlu mengukuhkan pertahanan dan keupayaan serangannya serta-merta dan ia memerlukan perbelanjaan yang banyak. - AP

Bapa serbu anak di hotel

KUALA LUMPUR: Luluh hati seorang ayah selepas mendapat tahu anak gadisnya berusia 15 tahun yang lewat pulang ke rumah sebenarnya menginap di hotel bajet di Taman Desa bersama dua lelaki.
Malah, remaja bawah umur itu turut mengakui mengadakan hubungan seks dengan seorang daripada lelaki itu, semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, pekerja kilang berusia 39 tahun itu bersama rakan baik anaknya pergi ke hotel berkenaan sebaik mendapat tahu anaknya berada di hotel itu.

Menurut sumber, dia pada mulanya menyangka anak gadisnya itu lewat pulang dari sekolah kerana mengulang kaji pelajaran sebelum menghubungi rakan baik anaknya untuk mengetahui ke mana anaknya itu pergi.

“Lelaki berkenaan terkejut selepas dimaklumkan anaknya berada di bilik hotel di kawasan berhampiran sebelum mengajak rakan anaknya pergi ke hotel itu.

“Namun sebaik pintu bilik hotel dibuka, dia terkejut mendapati anaknya berada bersama dua lelaki.


“Tergamam melihat keadaan itu, lelaki terbabit terus bertindak menahan kedua-dua rakan anaknya itu, namun seorang daripada mereka berjaya melarikan diri,” katanya.

Sumber berkata, lelaki itu kemudian membawa anaknya dan rakan lelakinya itu untuk membuat laporan di Balai Polis Petaling.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

5 bulan simpan mayat bapa kerana wang



LONDON: Seorang lelaki berdepan dengan hukuman penjara selepas dia ditemui tinggal bersama-sama mayat bapanya selama lima bulan bagi membolehkan dia menuntut wang bantuan sara hidup si mati.
Christopher Blackburn, 28, ditangkap tahun lalu selepas polis yang bertindak berdasarkan maklumat daripada orang ramai, menyerbu rumahnya dan menemui mayat bapanya, Guy Blackburn.

Hasil bedah siasat menunjukkan Guy Blackburn, 54, bekas pemandu lori, mati kerana penyakit biasa pada November 2010.

Semalam, anaknya, dari Huddersfield, West Yorks, mengaku menghalang pengebumian mayat bapanya.

Dia juga mengaku mencuri �1,869 (RM9,345), wang bantuan sara hidup milik bapanya. Mahkamah Preston diberitahu, Guy Blackburn tinggal di rumahnya di Penwortham, Lancaster sejak 26 tahun lalu tetapi kesihatannya semakin teruk dan dia hanya tinggal di rumah selepas menghabiskan masa seketika di hospital.

Mayatnya ditemui Mac tahun lalu selepas jiran semakin bimbang mengenai keadaannya selepas tidak melihatnya sejak Oktober 2010.


Mereka menghubungi Persatuan Perumahan Eaves Brook, pemilik rumah berkenaan.

Polis kemudian melakukan siasatan di rumah itu dan menemui mayat Guy Blackburn di katil di bilik depan. - Daily Mail

Cium kaki minta maaf

SHAH ALAM: Seorang bekas pegawai pendakwa mencium kaki anak tirinya selepas Mahkamah Sesyen di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun berikutan mengaku salah merogol kanak-kanak berusia 11 tahun itu di rumahnya di Seksyen 17, di sini.
Tertuduh berusia 59 tahun itu berbuat demikian bagi memohon maaf terhadap mangsa yang dirogolnya sejak berusia enam tahun. Sambil menangis teresak-esak di atas lantai, lelaki itu melahirkan perasaan kesal terhadap perbuatannya sambil disaksikan isterinya yang juga ibu mangsa.

Berdasarkan fakta kes, hubungan terlarang itu pernah disaksikan isterinya, tetapi tidak diendahkan.

Bagaimanapun, ‘drama’ tidak berakhir di situ apabila ibu mangsa memeluk erat anaknya tidak rela berpisah dengan mangsa yang diletakkan di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Lelaki itu yang pernah berkhidmat dengan agensi kerajaan didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Seksyen 17, di sini, pada waktu pagi, antara 2005 dan 30 April tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkapan tertuduh pada 8 Mei tahun lalu. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abdul Rahim memohon hukuman berat kerana tertuduh sepatutnya melindungi anak tirinya sebaliknya merogol mangsa. Malah, mangsa pernah mengadu kepada ibunya, tetapi dimarahi.


Katanya, kejadian menyebabkan mangsa trauma dan memberi tanggapan negatif terhadap anaknya.

itu, katanya, hukuman berat perlu bagi memberi pengajaran kepada masyarakat.

Bagaimanapun, peguam bela, Mohd Hidir memohon hukuman ringan.

atas alasan anak guamnya tua dan menghidap penyakit jantung, kencing manis serta buah pinggang.

Katanya, pengakuan salah lelaki itu juga sudah menjimatkan masa dan kos mahkamah. “Tiada alasan atas apa yang berlaku, cuma tertuduh amat kesal. Dia bertanggungjawab (atas kesalahan itu),” katanya. Berdasarkan fakta kes, tembelang tertuduh pecah apabila mangsa menceritakan kepada ustazahnya bahawa dia ‘berzina’ dengan bapanya selepas mempelajari perkara yang membatalkan puasa ketika pendidikan agama.

Ustazah itu merujuk kepada guru kelas sebelum membuat laporan polis.

Siasatan mendapati, kejadian berlaku ketika ibu mangsa tiada di rumah. Malah, ibu mangsa mengetahui kejadian itu tetapi mendiamkan diri dan berpura-pura ia tidak berlaku, malah memarahi anaknya.

Mangsa menyatakan tertuduh mengugut menghentak kepalanya ke dinding jika tidak memenuhi permintaan mengadakan hubungan seks, selain mengemukakan kondom diberikan tertuduh kepadanya.

Drebar ‘syok’ ragut 2 nyawa


REMUK...keadaan kenderaan selepas  kemalangan di Kilometer 19.5, Jalan Pontian-Johor Bahru, semalam.
REMUK...keadaan kenderaan selepas kemalangan di Kilometer 19.5, Jalan Pontian-Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU: Keasyikan seorang pemandu lori pasir menonton cakera padat video (VCD) lucah pada skrin mini kenderaannya ketika memandu dikatakan menjadi punca kemalangan membabitkan lima kenderaan lain dan mengorbankan sepasang suami isteri di Kilometer 19.5, Jalan Pontian-Johor Bahru, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, lori berkenaan dalam perjalanan ke Singapura sebelum kecuaian pemandunya menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas dan berlanggar dengan sebuah lori lain, dua kereta serta dua motosikal, termasuk motosikal dinaiki pasangan suami isteri yang maut itu.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas hampir tiga jam manakala usaha mengeluarkan mayat pasangan suami isteri terbabit dilakukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Bahru.
Foto
NGERI...keadaan mayat mangsa yang terkorban dalam kemalangan.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, suami isteri yang terbunuh itu dalam perjalanan ke tempat kerja dan mereka mati di tempat kejadian manakala seorang penunggang motosikal lain parah.
Menurutnya, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai K Vijaya, 34, dan isterinya, S Hemalatha, 27, dari Bukit Indah, di sini, manakala mangsa yang parah, lelaki berusia 32 tahun belum dikenal pasti identitinya dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Lori pasir yang dipandu lelaki itu mempunyai skrin mini LCD dan kita sedang menyiasat dakwaan dia memandu sambil menonton VCD lucah. Kami sedang mengesan VCD lucah yang didakwa berada dalam lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Menurut Ruslan, pemandu lori terbabit ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian dan beliau meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.

Sementara itu, bapa mangsa yang dikenali sebagai Muruandy, 54, berkata, kejadian yang menimpa Vijaya dan menantunya adalah tragedi buruk bagi keluarganya kerana kedua-duanya maut sekelip mata.

“Setiap hari mereka ke tempat kerja dengan menaiki motosikal dan saya tidak menyangka rutin harian itu menjadi tragedi. Saya sedih mengenangkan nasib tiga cucu yang masih kecil, berusia bawah 12 tahun,” katanya.

Bunuh zirafah untuk seronok


KELUARGA ini membayar ratusan ribu ringgit untuk menembak mati zirafah ketika memburu secara sah.
KELUARGA ini membayar ratusan ribu ringgit untuk menembak mati zirafah ketika memburu secara sah.
LONDON: Gambar menunjukkan satu keluarga bergembira ketika bergambar bersama zirafah yang mereka tembak mati semata-mata untuk berseronok.
Pelancong seperti keluarga itu membayar ratusan ribu ringgit untuk memburu secara sah haiwan berkenaan.

Ramai yang membawa pulang kepala haiwan itu untuk sebagai kenang-kenangan bercuti di Afrika.

Pakar zirafah, Dr Julian Fennessey berkata: “Ada yang datang dari Britain, tetapi sebahagian besarnya dari Amerika Utara, Jerman, Russia dan Scandinavia.

“Ada pemburu hanya berminat untuk bergambar bersebelahan dengan bangkai haiwan itu. “Tetapi yang lain, mengupah pengawet haiwan memenggal kepala binatang itu supaya mereka boleh membawanya pulang sebagai cenderamata. Ada yang mahukan kulitnya.

Pemburu terbabit membayar sehingga �10,000 (RM50,000) untuk ekspedisi memburu zirafah. Kelab Safari dan Taman Negara mengenakan bayaran sebanyak �1,500 (RM7,500) untuk yuran trofi dan tambahan �1,000 (RM5,000) sehari untuk mengupah jurupandu.


Populasi zirafah berkurangan sebanyak separuh sejak 1988, daripada 140,000 kepada kurang 80,000.

Haiwan itu kini dipercayai semakin pupus di negara seperti Angola, Mali dan Nigeria.

Tetapi di Afrika Selatan, Namibia dan Zimbabwe, memburu zirafah masih dibenarkan. - The Sun

Saintis nuklear dikawal rapi: Reza

TEHERAN: Iran meningkatkan langkah keselamatan terhadap semua petugas nuklearnya selepas seorang saintis dibunuh minggu lalu.
“Siapa saja yang terlibat secara aktif dalam lapangan nuklear akan diberikan kawalan khas,” kata Timbalan Perdana Menteri Pertama, Mohammad Reza Rahimi, semalam. Menurutnya, langkah itu diarah oleh Presiden Mahmoud Ahmadinejad.

Agensi berita Iran, ISNA, memetik Mohammad Reza sebagai berkata, langkah keselamatan tambahan itu yang tidak dinyatakan secara terperinci, menggantikan langkah keselamatan yang diberikan 10 bulan lalu terhadap saintis nuklear Iran.

“Kali ini, kerajaan mengarahkan sesiapa saja yang aktif dalam lapangan nuklear, dari peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi, akan diawasi dan diberikan kawalan khas,” kata Mohammad Reza.

Langkah keselamatan baru itu dibuat selepas Mostafa Ahmadi Roshan, 32, Timbalan Pengarah Loji Pengayaan Uranium Iran dibunuh 11 Januari lalu bersama-sama pemandu yang juga pengawal peribadinya apabila dua lelaki bermotosikal memasang bom magnet pada kereta mereka.

Serangan itu adalah yang kelima seumpamanya yang mensasarkan saintis Iran dalam masa dua tahun.


Empat saintis lain, tiga daripada mereka terbabit dalam program nuklear Iran, terbunuh dalam serangan sementara seorang terselamat tetapi cedera.

Pegawai Iran berkata, serangan itu adalah kempen sulit yang dilancar oleh Israel dan Amerika Syarikat. - AFP

Pegawai tertinggi ski minta peraturan seluar dalam diubah

KITZBUEHEL: Presiden Persekutuan Ski Antarabangsa, Gian Franco meminta perubahan dibuat terhadap peraturan bagi menjelaskan bahawa atlet dibenarkan memakai seluar dalam berikutan perbalahan ke atas seluar dalam kontroversi Tina Maze.

"Kita perlu mengubah peraturan. Ia perlu dibuat bagi menjadikannya lebih jelas, jika seluar dalam itu plastik, ia dilarang," katanya.
Seluar dalam panjang Maze mencetuskan perdebatan selepas Persekutuan Ski Switzerland membantah terhadap peserta ski Slovenia itu selepas mendapat tempat kedua pada perlumbaan super-G Piala Dunia di Bad Kleinkirchheim, Austria, pada 8 Januari lalu. - AP

Tingkat 29 bangunan dalam pembinaan di KL Sentral terbakar





2012/01/18

pix_gal0
KUALA LUMPUR: Sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan di KL Sentral, di sini terbakar dalam kejadian awal pagi.

Kejadian dipercayai berlaku di Tingkat 29 bangunan blok komersial dan pejabat berkenaan kira kira jam 3 pagi tadi.
Kerja-kerja memadamkan kebakaran sedang giat dijalankan, selain mengenal pasti punca sebenar kejadian. 

Belum dapat dipastikan ada kecederan atau kemalangan jiwa dalam kejadian itu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.53 pagi mengenai kebakaran bangunan di alamat 348 Sentral berhampiran Little India, Brickfields.

"Kebakaran bermula di tingkat 30 di bangunan 33 tingkat itu yang pembinaannya dijadual siap penghujung tahun ini," katanya. 
Katanya, sebanyak 10 jentera pemadan dengan 72 anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian.

Polis turut berada di tempat kejadian bagi mengawal lalu lintas bagi memastikan tiada kesesakan berikutan penutupan beberapa jalan menuju ke KL Sentral dan Brickfields.



Bahan binaan apartmen ada radiasi





2012/01/18

TOKYO: Kerajaan Jepun akan menyiasat bagaimana apartmen yang dibina Julai lalu dengan bahan binaan dicemari radioaktif, kebimbangan terbaru dalam negara yang berdepan dengan krisis nuklear. 

Akhbar Japan Today melaporkan, tahap cesium radioaktif dikesan sehingga 1.24 microsievert sejam di bangunan di Nihonmatsu, wilayah Fukushima, 55 kilometer dari loji nuklear yang terjejas, kata pihak berkuasa tempatan.
Media melaporkan, 12 keluarga tinggal di apartmen itu. Kondominium tiga tingkat itu dibina dengan konkrit daripada kerikil yang diambil dari kuari berdekatan loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi April lalu, sebulan selepas ia melepaskan radiasi ke udara dan laut.
Kuari terletak di pekan Namie, yang berada 20 kilometer di zon larangan sekeliling loji kuasa nuklear. Unsur cesium dikesan dalam konkrit diperbuat daripada batu yang berlebihan di kawasan kemudahan itu. – Agensi. 

Seludup emas dalam dubur





2012/01/18

SEOUL: Pegawai kastam Korea Selatan berkata, mereka menahan lapan lelaki berikutan sindiket menyeludup emas keluar dari negara dengan menyembunyikannya dalam dubur. 

Perkhidmatan Kastam Korea berkata, sekumpulan lelaki itu didakwa memindahkan jongkong emas bernilai AS$260,000 (RM847,473) kepada manik kecil dan menyembunyikannya dalam rektum untuk ke Jepun dua kali pada 2010 bagi mengelakkan cukai import.
Korea Selatan berkata, pegawai kastam Jepun menahan lelaki berkenaan dalam cubaan kedua dan dihantar pulang selepas dikenakan denda.
Seorang suspek didakwa menguruskan kegiatan sama menyeludup jongkong emas menggunakan taktik sama dari Mangolia ke Hong Kong, lapor akhbar Japan Today. – Agensi. 

Israel terpaksa tutup laman web


BOEING 747 milik El Al mendarat di Lapangan terbang Ben Gurion ketika laporan laman web syarikat digodam.
BOEING 747 milik El Al mendarat di Lapangan terbang Ben Gurion ketika laporan laman web syarikat digodam.


Bursa saham, syarikat penerbangan El Al sasaran penggodam Arab Saudi

TEL AVIV: Perang siber terhadap Israel meningkat selepas satu lagi kumpulan penggodam dari Arab Saudi menyerang laman web bursa saham Tel Aviv dan syarikat penerbangan kebangsaannya, El Al menyebabkannya ditutup seketika. 

Pergerakan pejuang Hamas yang memerintah Semenanjung Gaza, menyifatkan serangan itu sebagai tamparan kepada kerajaan Yahudi berkenaan.
“Ini bidang baru tentangan ke atas penceroboh dan kami menggesa belia Arab membangunkan kaedah mereka dalam perang elektronik dalam berdepan dengan jenayah Israel,” kata jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri, di Gaza.
Laman web itu tidak mengandungi berita sensitif manakala penerbangan juga tidak terjejas akibat serangan itu tetapi gangguan dilaporkan turut berlaku di tiga buah bank. 

Syarikat penerbangan El Al menutup laman webnya selepas serangan terdahulu memberi amaran dua laman web itu disasarkan oleh penggodam pro Palestin, kata sumber syarikat itu. 

Ia berkata, mereka mengambil langkah keselamatan untuk melindungi laman web dan gangguan memang dijangka. 

Jurucakap Bursa Saham Tel Aviv berkata, laman web itu dihujani permohonan elektronik yang melambatkan ia tetapi masih beroperasi. Pasaran saham tidak terjejas. 
Pakar siber berkata, Israel sasaran biasa penggodam online. Tiada laporan sahih mengenai laman web sulit kerajaan digodam. 

Beberapa minggu lalu, laman web perkhidmatan pengintipan Israel dan laman web rasmi lain ditutup tetapi kerajaan menafikan ia perbuatan penggodam dan menyifatkannya masalah teknikal. 

Israel adalah pemimpin dunia dalam keselamatan siber dan agensi keselamatan dalam negeri, Shin Bet, menyediakan perkhidmatan nasihat kepada sektor perniagaan seperti bank dan utiliti awam. 

Gangguan online juga berlaku di tiga bank iaitu Bank Kebangsaan Pertama Israel (FIBI) dan dua anak syarikat, Bank Massad dan Bank Otzar Hahayal. 
Jurucakap bank berkata, laman pemasaran mereka digodam tetapi ruang perkhidmatan kepada pelanggan tidak terjejas. – Agensi 

PBB latih pasukan pemantau


Beberapa orang anggota Tentera Pembebasan Syria (FSA) mengibarkan bendera baru Syria di kediaman Khalidiya di bandar Homs pada 13 Januari lalu. – AFP


GENEVA 17 Jan. – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam mengumumkan akan mula melatih pasukan pemantau Liga Arab yang ditugaskan di Syria pada hujung minggu ini.
Jurucakap PBB, Vannina Maestracci berkata, satu permohonan rasmi telah dibuat oleh Liga Arab kepada badan dunia itu dan mereka telah bersetuju untuk memulakan latihan tersebut pada hujung minggu ini yang akan diadakan di Kaherah.
Latihan itu akan dikendalikan oleh kakitangan Suruhanjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) PBB, menurut Maestracci.
“OHCHR telah bersetuju untuk melatih pasukan pemantau tersebut dan ia akan diadakan di Kaherah,” katanya.
Satu laporan oleh misi pemantau akan dihantar kepada menteri-menteri Liga Arab pada Khamis ini dan kumpulan menteri itu akan bersidang di Kaherah pada hari Sabtu bagi memutuskan masa depan misi tersebut.
PBB pada awal bulan ini telah menyuarakan kesediaan untuk membantu misi pemantau di Syria yang berdepan kritikan daripada pembangkang di negara itu, tetapi memberitahu sedang menunggu permohonan daripada Liga Arab.
Maestracci, bagaimanapun menolak untuk memberikan butiran mengenai jumlah pemantau dan pakar dari PBB yang akan terlibat dalam latihan itu nanti.
Menurut PBB, sekurang-kurangnya 5,400 orang terbunuh di Syria sejak Presiden, Bashar al-Assad melancarkan tindakan kekerasan ke atas tunjuk perasaan sejak Mac tahun lalu. – AFP

Kapten kapal disoal siasat




Kapten kapal persiaran mewah Costa Concordia, Kapten Francesco Schettino (kanan) diiringi seorang anggota Itali di Grosseto pada 14 Januari lalu. - AFP


GIGLIO 17 Jan. - Kapten sebuah kapal persiaran mewah Itali, yang terbalik di perairan pantai barat negara ini disoal siasat oleh pihak berkuasa pada satu sesi siasatan hari ini.
Francesco Schettino yang ditahan sejak Sabtu lalu boleh dikenakan hukuman penjara 15 tahun atas tuduhan membunuh, menyebabkan nahas kapal dan meninggalkan kapalnya sebelum semua penumpang diselamatkan, menurut pendakwa raya Itali, Francesco Verusio.
Pada sesi tertutup itu, hakim siasatan perlu memutuskan sama ada Schettino akan terus ditahan berhubung kemalangan yang setakat ini meragut tujuh nyawa termasuk satu mayat yang ditemui hari ini.
Kapten kapal Costa Concordia itu belum disoal siasat, sebelum ini tetapi lebih 100 saksi termasuk penumpang dan krew telah ditemu bual, kata Verusio.
Peguam kapten itu, Bruno Leporatti berkata, Schettino 'terkejut, kecewa dan sedih atas kehilangan nyawa dan fikirannya sangat terganggu'.
Pendakwa raya Itali menolak kesilapan teknikal sebagai punca kemalangan, sebaliknya berkata, kapten tersebut yang berada di anjungan kapal ketika kejadian telah melakukan 'kesilapan besar'.
Lewat semalam ketua pengawal pantai Itali, Marco Brusco berkata, 29 orang dari kapal yang separuh tenggelam itu masih hilang, peningkatan mendadak daripada 16 orang yang dilaporkan sebelum ini.
Katanya, mereka yang hilang itu terdiri daripada empat krew dan 25 penumpang
Kejadian itu berlaku pada malam Sabtu lalu apabila Kapal Costa Concordia melanggar batu berdekatan pulau di pantai barat Itali. - AGENSI

Tentera Korea Utara terlalu berkuasa - Jong-nam


Gambar yang diambil oleh Agensi Berita Pusat Korea Utara pada 1 Januari lalu merakamkan Kim Jong-Un (tengah) diberi sambutan oleh tentera daripada division kereta kebal Korea Utara di satu tempat yang tidak dikenal pasti. - AFP


TOKYO 17 Jan. - Abang sulung kepada pemimpin baru Korea Utara, Kim Jong-un mendakwa pembaharuan yang diperlukan bagi mencegah keruntuhan ekonomi negara itu akan membawa kepada kejatuhan rejim komunisnya.
Kim Jong-nam, abang Kim Jong-un berlainan ibu, berkata, tentera Pyongyang sudah menjadi begitu berkuasa dan akan campur tangan serta merampas kuasa sekiranya rejim baru itu gagal.
Jong-un mengambil alih teraju pimpinan Korea Utara berikutan kematian bapanya, Kim Jong-il pada bulan lalu.
Kenyataan abangnya itu terkandung dalam sebuah buku tulisan Yoji Gomi, seorang wartawan Jepun yang mendakwa beliau menjalin hubungan erat dengan Jong-nam selepas mereka bertemu di Beijing pada 2004.
Jong-Nam menyifatkan Korea Utara sebagai sangat tidak stabil, dalam wawancara dengan Gomi di wilayah Macau, China pada tahun lepas.
"Bapa saya memerintah negara dengan sokongan tentera tetapi kuasa tentera sudah menjadi terlalu besar, dan sekiranya peralihan pemerintahan berakhir dengan kegagalan, tentera sudah pasti akan menggunakan kuasa sebenar," katanya dalam bahasa Korea.
Dalam buku itu, Jong-nam berkata, ekonomi Korea Utara yang bermasalah dan dikawal oleh kerajaan menimbulkan dilema bagi rejim di Pyongyang.
"Sudah jelas ekonomi akan runtuh tanpa pembaharuan, tetapi pembaharuan akan menyebabkan krisis keruntuhan rejim," kata Jong-nam dalam wawancara panjang lebar sebelum kematian bapanya pada 17 Disember lalu.
Beliau juga mendakwa adiknya yang tidak berpengalaman itu dijangka sekadar menjadi simbol yang diperalatkan oleh elit pemerintah untuk mengukuhkan cengkaman ke atas kuasa.
"Sesiapa yang berfikiran waras akan mendapati sukar untuk menerima pewarisan kuasa melibatkan tiga generasi.
"Saya mempersoalkan bagaimana pewaris muda dengan hanya dua tahun persiapan sebagai pengganti mampu mewarisi kuasa mutlak," katanya kepada Gomi. - AFP

Jumlah korban kini 27 orang


Anggota Palang Merah Lebanon dan Pertahanan Awam Lebanon mengangkat satu mayat yang ditemui di bawah runtuhan apartmen di Fassouh, Beirut, kelmarin. - REUTERS


BEIRUT 17 Jan. - Pasukan penyelamat terpaksa bertungkus lumus dalam cuaca buruk, semalam bagi mencari lebih banyak mayat di bawah runtuhan selepas sebuah pangsapuri lama runtuh di sini, kelmarin.
Operasi yang dijalankan tanpa henti sejak kelmarin itu sehingga kini telah menemui dua lagi mayat, menjadikan jumlah angka korban meningkat kepada 27 orang.
Bangunan enam tingkat itu runtuh malam kelmarin di Ashrafiyeh, sebuah kawasan penempatan Kristian di timur Beirut.
“Kami telah memindahkan 11 mayat terdiri daripada rakyat tempatan dan 16 rakyat asing, kebanyakannya dari Sudan ke bilik mayat sejak kejadian kelmarin,” kata seorang sukarelawan Palang Merah di tempat kejadian.
Pegawai berkata, harapan untuk menemui mangsa yang masih hidup juga semakin tipis.
“Tiada mangsa yang selamat ditemui sejak malam kelmarin,” kata seorang pegawai polis.
Ahli keluarga mangsa juga dilihat terus berada di lokasi kejadian, mengharap lebih ramai mangsa terselamat ditemui.
Antara yang terbunuh ialah seorang kanak-kanak perempuan berumur 15 tahun yang tinggal bersama neneknya, yang hanya mengalami kecederaan.
Turut cedera ialah seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun, dua warga Sudan dan seorang masing-masing warga Mesir dan Filipina. - DPA

Lawatan pemimpin tentera Mesir disambut dengan tunjuk perasaan


Mohamed Hussein Tantawi (kiri) diiringi Pengerusi Majlis Peralihan Kebangsaan Libya Mustafa Abdel Jalil (kanan) semasa melawat Tripoli, kelmarin. - REUTERS


TRIPOLI 17 Jan. - Lawatan pemimpin tentera Mesir ke Libya, semalam disambut dengan tunjuk perasaan yang mengecam pemimpin itu kerana gagal mengekstradisi pengikut bekas pemimpin Muammar Gaddafi yang melarikan diri ke Mesir.
Pengerusi Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir, Mohamed Hussein Tantawi mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai Libya di Hotel Corinthia, tengah Tripoli, semalam.
Ketika beliau melalui hotel berkenaan, berpuluh-puluh penunjuk perasaan yang mengadakan protes mengangkat sepanduk sebagai simbolik kepada tuntutan mereka yang mahu Tantawi mengekstradisi pengikut-pengikut Gaddafi.
Menteri Luar Libya, Ashour Khayal cuba memujuk kumpulan protes itu supaya bersurai tetapi seorang daripada penunjuk perasaan memekik 'lebihi 50 ribu rakyat Libya terkorban demi menuntut kebebasan'.
Menurut aktivis masyarakat sivil, ramai leftenan Gaddafi melarikan diri ke Mesir sejak bekas pemimpin Libya itu digulingkan pada Ogos lalu.
Rakyat Libya mahu pengikut Gaddafi yang melarikan diri itu diserahkan kepada Libya untuk dibicarakan.
Sekumpulan penunjuk perasaan dilaporkan turut membuat sekatan jalan ketika Tantawi meninggalkan bangunan hotel itu dan menghalang sebuah bas yang membawa delegasi Mesir.
Perdana Menteri kerajaan sementara Libya, Abdurrahim El-Keib berkata, beliau telah menyampaikan perkara itu semasa pertemuannya dengan Tantawi.
"Ini akan mengambil masa tetapi apa yang penting saya telah menyuarakannya dengan tegas dan jelas bahawa Libya memandang serius mengenai isu ini," kata El-Keib. - REUTERS

PM Pakistan setuju hadir di mahkamah


Yousuf Raza Gilani (kiri) bersalaman dengan Ketua Hakim Mahkamah Agung Pakistan, Iftikhar Mohammad Chaudhry dalam satu pertemuan di kediaman Perdana Menteri di Islamabad, baru-baru ini. - AFP


ISLAMABAD 17 Jan. - Perdana Menteri Pakistan, Yousuf Raza Gilani semalam bersetuju untuk hadir di mahkamah bagi menjawab notis menghina mahkamah yang diserahkan kepadanya kerana gagal membuka semula kes-kes rasuah, termasuk prosiding terhadap Presiden Asif Ali Zardari.
Mahkamah Agung mendapati Gilani menghina mahkamah dan memanggilnya untuk hadir lewat minggu ini.
Tindakan mahkamah itu meningkatkan tekanan ke atas kerajaan Gilani yang kini berada dalam kedudukan lemah ekoran hubungan semakin tegang dengan tentera.
Sesetengah penganalisis percaya ketegangan tersebut akhirnya boleh menyebabkan Gilani disingkirkan dan pilihan raya awal terpaksa diadakan.
Mahkamah Agung mahu kerajaan menghubungi pihak berkuasa Switzerland untuk menuntut mereka membuka semula kes-kes rasuah terhadap Zardari, termasuk dakwaan pengubahan wang haram berjumlah berjuta-juta dolar selepas tempoh pengampunan tamat pada akhir 2009.
Hakim Nasir-ul-Mulk semalam berkata, Gilani diarah tampil ke mahkamah itu pada Khamis ini.
Perdana Menteri itu bersetuju untuk hadir semasa berucap di Dewan Perhimpunan Kebangsaan lewat semalam, selepas Parti Rakyat Pakistan (PPP) dan sekutu-sekutunya meluluskan resolusi melahirkan sokongan padu terhadap demokrasi dan institusi demokrasi.
"Mahkamah telah memanggil saya dan saya akan pergi menghadapnya sebagai tanda hormat pada 19 Januari ini," katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen Pakistan. - AFP