Pages

Saturday, May 30, 2015

Suamiku wanita


Agensi
Maros (Indonesia): Seorang isteri terkejut dan membuat laporan polis selepas mendapati suaminya yang dikahwini selama dua tahun sebenarnya wanita.
Nurhayati, 24, membuat laporan polis kerana berasa tertipu selepas ‘suaminya’ yang dikenali sebagai Iwan, 39, sebenarnya perempuan.
Ketua jabatan jenayah polis Maros di Sulawesi Selatan, Yusrizal berkata, identiti ‘suami’ wanita itu terbongkar pada Rabu lalu selepas keluarga kedua-dua belah pihak bertemu.
Katanya, Iwan atau nama sebenarnya Juma pergi ke rumah Nurhayati di sini dengan membawa surat keterangan pernikahan.
“Juma memberitahu keluarga Nurhayati bahawa mereka sudah bernikah pada September 2013 dan perkara itu menyebabkan keluarga wanita itu berang.
“Pertengkaran yang tercetus menyebabkan Juma akhirnya mengaku dia sebenarnya wanita,” katanya.
Nurhayati yang terkejut dengan pengakuan ‘suaminya’ itu bertindak membuat laporan polis dan mendakwa Juma menipu serta memburukkan nama baik keluarganya.
“Juma turut membuat laporan polis mendakwa keluarga Nurhayati cuba menyerangnya.
“Kami menahan Juma untuk soal siasat dan pemeriksaan doktor mengesahkan suspek wanita,” katanya.
Nurhayati memberitahu dia tidak mengetahui ‘suaminya’ wanita kerana sepanjang tempoh perkahwinan mereka tidak pernah melakukan seks.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54375#sthash.KtbziR1r.dpuf

Hampir Sejuta 'Mangga Cinta' Akan Ditanggal Dari Jambatan Di Paris


Diterbitkan: Sabtu, 30 Mei 2015 7:48 AM

PIHAK berkuasa bandar raya Paris akan memulakan tugas untuk menanggalkan hampir sejuta 'mangga cinta' di jambatan Pont de Arts pada Isnin ini.
Portal Mirror melaporkan bahawa walaupun Paris begitu terkenal sebagai kota cinta tetapi pihak berkuasa mahu menghapuskan salah satu tradisi bersifat romantik itu.
Ibu negara Perancis itu menerima kunjungan beribu-ribu pasangan setiap tahun yang mahu merasai percutian romantik.
Dan salah satu tradisi buat pasangan yang bercinta ini ialah mengunci mangga di jambatan Pont de Arts di Sungai Seine sebagai tanda kasih mereka.
Arahan untuk menanggalkan 'mangga cinta' itu dikeluarkan selepas salah satu bahagian di jambatan yang terkenal itu mengalami kerosakan yang dikatakan berpunca daripada berat bagi menampung kesemua mangga kunci itu.
Pada awalnya, pihak berkuasa Paris mempunyai idea untuk mengeluarkan larangan 'mangga cinta' dan mengenakan denda kepada sesiapa yang melanggar peraturan itu.
Bagaimanapun timbalan Datuk Bandar Paris, Bruno Julliard menyifatkan idea itu sukar untuk ditangani.
Sebaliknya, beliau mencadangkan supaya pengunjung menunjukkan perasaan kasih sayang mereka dengan mengikat riben di jambatan itu sebagai alternatif.
Bagimanapun, gril logam di jambatan Pont de Arts akan dicat dan dipasangkan panel bagi mengelakkan orang ramai mengunci mangga.
Julliar yang bercakap kepada BBC: "Kita mahu Paris kekal sebagai kota cinta dan romantik."
Selain Pont de Arts di Paris, Jambatan Venice dan Brooklyn di New York turut menarik perhatian pengunjung untuk membuat 'mangga cinta'. - MIRROR

Gadis Trichotillomania suka tarik rambut sendiri

Rhiannon Walker
Rhiannon Walker

QUEENSLAND - AUSTRALIA. Seorang gadis berumur 16 tahun yang menghidap penyakit Trichotillomania tidak mampu menahan dirinya dari menarik rambutnya sendiri.

Menurut Dailymail Australia, Rhiannon Walker akan menarik rambutnya dalam kuantiti yang banyak yang menyebabkan kulit kepalanya kemerahan dan lebam.

"Ia membuatkan rasa serba-salah dan malu. Ianya bukan sesuatu yang saya mahu lakukan.

"Sebelum diperiksa doktor, saya tak tahu mengapa saya berbuat sedemikian," katanya dalam sebuah temuramah.

Diagnosis penyakit tersebut menyebut gadis tersebut 'bimbang' dan merasakan sesuatu tidak kena pada rambutnya, dan tidak sedar beliau akan mencabut dalam kuantiti banyak.

"Pada mulanya, ianya sangat menyakitkan. Jika saya tarik rambut di lokasi sama, saya rasa seperti ditumbuk di kepala," kata Walker.

Difahamkan, penyakit Trichotillomania hanya dihidap oleh dua peratus populasi dunia dan penghidap akan mencabut rambut, bulu mata dan bulu kening tanpa sedar.

Penghidap Trichotillomania juga tidak mampu menerangkan mengapa mereka menyakiti diri mereka sendiri.

"Saya rasa tenang selepas saya mencukur kepala saya hingga botak. Saya sudah tidak tarik rambut selama dua minggu," jelas gadis tersebut.

Rambut palsu kini sudah menjadi keperluan wajib dalam hidup Walker.

"Tak ramai yang tahu anak saya memakai rambut palsu. Ia adalah satu penyakit dan kadangkala orang akan memberi tanggapan buruk.

"Saya harap orang ramai faham perkara ini dan cuba bantu anak saya," kata ibunya, Nikki Walker.

Penyakit tersebut juga menyebabkan Walker gagal menyiapkan kerja sekolahnya kerana tangannya sentiasa berada di kepala.

"Beliau tak mampu meletakkan tangannya ke bawah. Bunyi seperti kelakar tapi baginya, ia sesuatu yang teruk," katanya lagi.

Bayi selamatkan ibu koma


Holli CHEUNG pulih daripada koma selepas bayi lelakinya, Jordan,

HOLLI CHEUNG pulih daripada koma selepas bayi lelakinya, Jordan, dibiarkan tidur di sampingnya selama dua jam. AGENSI
BIRMINGHAM 28 Mei - Hospital Queen di Birmingham gempar apabila seorang ibu yang koma, kembali pulih selepas bayi lelakinya yang berusia tiga bulan, dibiarkan tidur di sampingnya selama dua jam.
Para doktor di hospital itu masih lagi terkejut kerana pada jangkaan mereka, Holli Cheung, 36, sukar untuk hidup setelah mengalami serangan jantung kali kedua pada Januari lalu dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.
Namun keajaiban berlaku apabila suami Cheung, Jason, meletakkan anak mereka, Jordan yang baru dilahirkan tiga bulan lepas di sisi isterinya sebelum jantungnya bergedup kembali.
Menurut Cheung, Jordan telah menyelamatkan dirinya yang putus harapan untuk terus hidup.
Ibu itu mengalami jangkitan virus pada otot jantung yang menyebabkan organnya gagal berfungsi.
“Saya seolah-olah boleh men­dengar Jordan memberi semangat kepada saya untuk terus hidup. Saya tidak tahu Jordan berada di samping saya sehingga membuka mata, namun saya dapat merasakan kehadirannya.
“Sejak saya masuk hospital, sudah hampir 10 hari saya tidak melihat bayi lelaki saya kerana berada dalam keadaan koma, namun selepas Jordan baring di atas dada saya, jantung saya secara perlahan-lahan menjadi kuat. Saya sangat rindukan anak saya,” katanya kepada Daily Mirror.
Cheung yang aktif bersukan kini pulih sepenuhnya daripada masalah kesihatan itu dan kembali aktif menyertai maraton.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bayi-selamatkan-ibu-koma-1.97040#sthash.kJicrxJ5.dpuf

Wanita berpeluang ‘bertemu’ adik yang sudah meninggal



WASHINGTON 29 Mei – Selepas tiga tahun, seorang wanita Amerika Syarikat (AS) akhirnya berpeluang bersemuka dengan lelaki yang menerima wajah adik lelakinya yang meninggal dunia akibat satu kemalangan jalan raya.
Rebekah Aversano dipertemukan dengan Richard Norris dalam satu rancangan televisyen 60 Minutes yang akan disiarkan pada Ahad ini, lapor Sydney Morning Herald.
Aversano masih dapat merasai ‘kewujudan’ adiknya pada diri Norris yang menerima wajah Joshua yang meninggal dunia ketika dia baru berumur 21 tahun.
“Adakah anda tak kisah sekiranya saya menyentuhnya (muka Norris),’’ tanya Aversano kepada Norris.
“Tidak, tidak sama sekali,’’ kata Norris membalas pertanyaan Aversano.
Selepas menyentuh wajah Norris, Aversano berkata: “Ini adalah wajah yang membesar bersama saya (merujuk kepada adiknya yang sudah meninggal dunia),’’ katanya.
Norris memiliki wajah Joshua selepas keluarganya memberi kebenaran kepada Norris untuk menjalani pembedahan pemindahan wajah itu pada 2012.
Pembedahan pemindahan wajah yang dijalani Norris adalah yang pertama seumpamanya di dunia yang pernah dilakukan dengan peluang untuk hidup hanya kira-kira 50 peratus.
Pembedahan itu berlangsung selama 36 jam melibatkan seramai 150 orang doktor dan jururawat di Pusat Perubatan Universiti Maryland.
Norris yang wajahnya cacat selepas terkena tembakan pada 1997 dipilih sebagai calon untuk menjalani pembedahan itu selepas bertemu dengan Eduardo Rodriguez, seorang doktor gigi dan bedah di Pusat Perubatan Universiti Maryland pada 2005.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/wanita-berpeluang-8216-bertemu-8217-adik-yang-sudah-meninggal-1.97249#sthash.70e7lJZn.dpuf