Pages

Sunday, September 8, 2013

Bina peti surat bentuk pistol

Foto
BUCHKO menunjukkan peti surat miliknya yang berbentuk pistol revolver.
New Jersey: Seorang peminat fanatik pistol membina sebuah peti surat gergasi berbentuk revolver.44 Magnum.
Roger Buchko, 49, dari bandar Lopatcong, New Jersey, menghasilkan ciptaannya itu berdasarkan pistol Smith & Wesson yang dimilikinya.
Dia menyiapkan peti surat berkenaan dua minggu lalu dan sejak itu semua suratnya dimasukkan menerusi muncung pistol berkenaan.

Buchko memperoleh idea itu selepas melihat rekaan serupa di Internet dan menghabiskan beberapa jam sehari selama empat bulan untuk membinanya.


Menurutnya, dia tidak berniat untuk membuat sebarang kenyataan politik di sebalik peti surat berkenaan.

“Ia hanya projek peribadi saya,” kata Buchko.

Tempat meletak peluru pistol berkenaan yang boleh dipusingkan dibuat daripada kayu sementara pemegang dan larasnya daripada paip PVC.

Butchko, bekas pembuat kabinet berkata, setakat ini, peti suratnya itu menerima reaksi positif.

Sekurang-kurangnya 500 orang sudah mengambil gambarnya.

“Mereka sukakannya. Tidak ada yang memberi reaksi negatif, kecuali seorang yang melontar telur pada peti surat saya itu,” katanya. - Agensi

Coklat panas mampu rawat Alzheimer

Coklat panas mampu rawat AlzheimerKajian mendapati amalan minum dua cawan coklat panas setiap hari mampu atasi masalah hilang daya ingatan. 

Washington: Satu kajian yang dijalankan penyelidik Amerika Syarikat mendapati amalan meminum dua cawan coklat panas setiap hari, mampu meningkatkan ketajaman otak di kalangan orang dewasa.

Masalah dimensia atau hilang daya ingatan berpunca daripada kelainan yang berlaku, mendorong pakar neurologi, Farzaneh Sorond dari Sekolah Perubatan Harvard menjalankan kajian untuk memahami bagaimana aliran darah di otak mempengaruhi kemampuan seseorang untuk berfikir.
Gangguan aliran darah


Beliau kemudian membuat penelitian ke atas 60 responden, kebanyakannya berusia 73 tahun yang tidak terkena Dimensia, bagaimanapun, 18 orang daripada mereka didapati mengalami gangguan aliran darah ke otak mereka.

Mereka kemudian diminta meminum dua cawan coklat panas setiap hari selama sebulan sebelum menjalani ujian daya ingatan dan berfikir.

Sorond menggunakan kaedah ultrasound untuk mengukur kadar aliran darah ketika ujian dilakukan.

“Apa yang saya dapati ialah aliran darah ke bahagian tertentu otak semakin meningkat, begitu juga fungsinya ketika diberi tugas kognitif,” katanya.
Ada hipotesis yang menyatakan bahawa bahan antioksida flavanol, yang ada di dalam coklat dapat meningkatkan daya kognitif.

Bagaimanapun, pakar penyakit Alzheimer, Paul Rosenberg dari Universiti John Hopkins yang menulis sebuah esei untuk melengkapkan penelitian Sorond dalam jurnal Neurology, menyatakan bahawa teori itu tidak sepenuhnya benar.

“Sorond menguji coklat dengan sedikit kandungan flavanol dan yang tinggi kandungan bahan itu tetapi mendapati tiada perbezaan di dalam hasilnya,” katanya.

Penawar penyakit

Rosenberg bagaimanapun menyifatkan kajian Sorond sebagai langkah pertama yang penting ke arah kajian lebih terperinci pada masa depan bagi mencari penawar penyakit Alzheimer.

“Kami tidak akan mengatakan minumlah coklat panas sekarang, tetapi ada kemungkinan wujud bahan dengan nilai ubat di dalam koko. Jadi tiada salahnya kita menikmati coklat panas yang dienakkan lagi dengan tambahan krim putar. Ia benar-benar lazat,” katanya.
AGENSI

Gempa bumi 6.5 pada skala Richter gegar Guatemala, El Salvador

AFP
PEKERJA-PEKERJA menunggu di luar bangunan susulan gempa bumi yang melanda Guatemala kelmarin.


SAN SALVADOR - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.5 pada skala Richter menggegarkan beberapa bahagian di selatan Guatemala dan El Salvador kelmarin.
Setakat ini, cuma terdapat kerosakan kecil dan tiada kematian dilaporkan dalam bencana tersebut.
Gempa berkenaan menyebabkan bekalan elektrik ke beberapa stesen penyiaran di barat Guatemala terputus.
Selain itu, beberapa kejadian tanah runtuh yang menimbus jalan raya dilaporkan manakala sebahagian kediaman turut mengalami kerosakan kecil.
Bahagian tenggara Mexico turut digegarkan dengan sekurang-kurangnya tiga gempa susulan termasuk satu gempa dengan magnitud 6.1 yang dirasai di Ciudad Hidalgo, dekat sempadan Guatemala.
Di negeri Chiapas, selatan Mexico, penduduk di beberapa buah bandar keluar dari kediaman mereka manakala bekalan elektrik terputus buat sementara waktu di bandar Ciudad Hidalgo.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan, gempa bumi kuat itu melanda 6 kilometer dari bandar Pajapita, Guatemala pada kedalaman 67.7 kilometer di bawah bumi.
Gempa kedua berukuran 5.4 pada skala Richter berlaku tujuh minit kemudian.
"Kami tidak menerima sebarang laporan kerosakan setakat ini," kata Pengarah Jabatan Perlindungan Awam El Salvador, Jorge Melendez. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0908&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2eGCI4qsw 
Hakcipta terpelihara