Pages

Thursday, February 9, 2012

Kena bela diri kes lebih harta

Berita Harian Online | Kena bela diri kes lebih harta: "


Oleh Petah Wazzan Iskandar

2012/02/09

GEORGETOWN: Bekas Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Abdul Rahman Harun, 52, semalam diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen, di sini atas dakwaan memiliki harta melebihi pendapatan pada Oktober 2010.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz memerintahkan tertuduh yang kini memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Putrajaya, membela diri pada 19 Mac depan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Dalam prosiding, Sitarun Nisa berkata tertuduh diberi peluang membuat keterangan bersumpah selepas mahkamah tidak mendapat penjelasan yang memuaskan dan membenarkan pihak pembelaan mengemukakan saksi.
“Saya menetapkan pada 19, 20 dan 21 Mac depan tarikh perbicaraan akuan bersumpah serta kes pembelaannya dan sekiranya tidak sempat selesai, ia disambung pada 16 dan 17 April depan.

“Bagaimanapun, sekiranya ia selesai dalam tiga hari pada Mac depan, dua tarikh pada April, dijadikan masa untuk membuat hujahan,” katanya.

Abdul Rahman diwakili peguamnya, Zamri Idrus dan Mohd Fadhly Hashim, manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Timbalan Pendakwaraya Janariah Abdul Mutalib dan Anthony Kelvin Morais.

Tertuduh yang kelihatan tenang dan ditemani saudara mara, dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Sultan Ahmad Shah di sini, pada 11 Oktober 2010.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki wang dan hartanah bernilai RM817,355 yang merangkumi Akaun Amanah Saham Bumiputera sebanyak RM334,245, Akaun Lembaga Tabung Haji (RM299,016) dan Akaun Maybank (RM48,094), selain hartanah bernilai RM136,000.

Ini menunjukkan ada lebihan harta yang sepatutnya dimiliki Abdul Rahman selepas diambil kira emolumen sepanjang berkhidmat dengan kerajaan sebanyak RM152,081.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36 (3) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun penjara dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Mahkamah mengekalkan jaminan sebanyak RM15,000 kerana sepanjang proses siasatan yang dijalankan sejak Ogos 2009, tertuduh dan isteri masih bekerja serta tidak wujud krisis kewangan.


'via Blog this'

Paranormal boleh cakap bahasa asing


Oleh Mohammad Ishak dan Satiman Jamin

2012/02/09

NORAINI didakwa boleh bertutur tiga bahasa. - Foto Mohamad Ishak
NORAINI didakwa boleh bertutur tiga bahasa. - Foto Mohamad Ishak
JERTIH: Doktor Pakar Saraf, Jabatan Neurosains Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, Dr Muzaimi Mustapha, berkata keupayaan individu seperti dialami Noraini Ismail, 17, untuk bercakap bahasa asing selepas trauma kepada otak, memang wujud dalam bidang perubatan tetapi tidak dapat dijelaskan mengenainya kerana ia hampir dengan kegiatan paranormal.

Beliau berkata, keadaan itu dikenali sebagai ‘xenoglossy’, iaitu sebahagian daripada gejala perubahan personaliti yang biasa dilihat kepada individu yang mengalami trauma otak.
Katanya, keadaan itu biasanya terjadi selepas personaliti kedua seseorang tercetus apabila berada bawah sedar atau hipnosis.
“Dalam kes Noraini, trauma otak dialami selepas nahas jalan raya mungkin menjadi pencetus dan menerbitkan personaliti kedua yang membolehkannya bercakap bahasa asing.

“Selain itu, personaliti keduanya mungkin juga dipengaruhi drama dalam bahasa asing yang sering ditontonnya di televisyen. Ketika tidur, dia mungkin bermimpi dan fikiran bawah sedarnya menerbitkan personaliti kedua dan mengambil alih dirinya yang biasa.

“Ini mungkin menjelaskan bagaimana gadis itu boleh berbahasa asing selepas bangun tidur,” katanya di sini, semalam.

Noraini dari Kampung Seri Medang, Kampung Raja di sini, dikatakan tiba-tiba boleh berbahasa Cina dialek Hokkien, Korea, Jepun dan Indonesia sejak sebulan lalu, selepas terbabit kemalangan jalan raya.
Ditanya berapa lama keadaan itu, beliau berkata, Noraini perlu menjalani imbasan otak untuk menilai keadaannya.

Selain itu, katanya, masih terlalu awal untuk dikatakan sama ada kebolehan Noraini bercakap bahasa asing adalah kelebihan atau kekurangan dalam pelajarannya.

“Imbasan otak boleh menunjukkan sama ada berlaku penyusutan kepada struktur otak yang membawa kepada keadaannya sekarang, malah dia juga wajar dinilai pakar psikologi kanak-kanak,” katanya.

Mengenai hasrat Noraini masuk ke sekolah Cina selepas kebolehannya berbahasa itu, Dr Muzaini berkata, keputusan itu seharusnya dibuat selepas penilaian menyeluruh keadaannya dibuat.

Sementara itu, ibu Noraini, Mansena Daud, 48, berkata keluarganya sedia menghantar pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah di sini, melanjutkan pengajian ke sekolah Cina pilihannya, selepas melihat kesungguhan dan keupayaan anaknya itu.

“Selepas keluar wad HUSM, Noraini terus bertutur bahasa asing menyebabkan kami tidak faham dan kebingungan. Dia mula bercakap bahasa asing tertentu selepas solat Subuh dan berterusan hingga jam 6 petang.

“Saya risau kerana tidak faham bahasa itu, sebaliknya terpaksa menggunakan isyarat dan tulisan dalam bahasa Melayu ketika berinteraksi dengannya setiap pagi,” katanya.
Berita Harian Online | Paranormal boleh cakap bahasa asing:

'via Blog this'

NASA cari firma reka teksi angkasa lepas




2012/02/09

WASHINGTON: Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) mencari firma untuk merekabentuk dan membina teksi angkasa lepas bagi mengangkut angkasawan dari dan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), lapor Reuters kelmarin.

Program itu menyasarkan untuk meneruskan rancangan membangunkan kapal angkasa lepas komersial penumpang.
Dengan Amerika menutup program kapal angkasa lepas tahun lalu, Russia ketika ini satu-satunya negara yang menerbangkan krew ke stesen angkasa lepas. Kos pengangkutan ke stesen itu bernilai AS$60 juta (RM179.97 juta) untuk seorang.
Pengurus program komersial NASA, Ed Mango berkata selepas NASA memilih syarikat yang mengambil bahagian, ia akan melabur antara AS$300 juta hingga AS$500 juta (RM900.21 juta hingga RM1.5 bilion) bagi setiap firma di bawah perjanjian perkongsian 20 bulan.

“Ia dijangka selesai mereka bentuk bersepadu kenderaan angkasa lepas menjelang Mei 2014 sekali gus bersedia untuk melakukan ujian penerbangan menjelang pertengahan dekad.

“Sejak tiga tahun lalu, NASA membelanjakan sejumlah AS$365.5 juta (RM1.096 bilion) dalam syarikat persendirian termasuk AS$130.9 juta (RM392.87 juta) dalam Boeing, AS$125.6 juta (RM376.96 juta) dalamSierra Nevada Corp dan AS$75 juta (RM225.11 juta) dalam Teknologi Penerokaan Angkasa Lepas atau Space X),” katanya.– Agensi
Berita Harian Online | NASA cari firma reka teksi angkasa lepas:

'via Blog this'

Bekas Presiden Maldives dipaksa letak jawatan




2012/02/09

NEW DELHI: Bekas Presiden Maldives Mohamed Nasheed memberitahu AFP semalam beliau dipaksa meletak jawatan oleh polis bersenjata dan pegawai tentera dalam satu komplot rampasan kuasa yang mana beliau tahu siapa dalangnya.

Nasheed, bercakap kepada AFP menerusi telefon dari ibu kota Male, berkata beliau pergi ke ibu pejabat tentera kelmarin di mana beliau mendapat tahu mengenai 18 pegawai polis dan tentera “berpangkat pertengahan” yang mengambil alih kawalan.
“Mereka memberitahu saya jika saya tidak meletak jawatan mereka akan menggunakan kekerasan,” katanya.
“Saya menerimanya sebagai ancaman. Saya mahu berunding nyawa rakyat yang berkhidmat dalam kerajaan saya.”

Beliau menambah bahawa dirinya bimbang ‘naib presidennya turut berkomplot’ merujuk kepada Mohamed Waheed, yang mengangkat sumpah sebagai k etua negara kelmarin.

“Saya bimbang beliau sentiasa termakan dengan idea menjadi presiden. Beliau tidak pernah berupaya berbuat demikian. Apabila peluang muncul di depan mata, dia mengambilnya,” kata bekas pemimpin berusia 44 tahun dari hartanah keluarganya.

Waheed, seorang bekas kakitangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), menafikan sebarang pembabitan dalam satu ‘rampasan’ semalam dan berkata beliau akan memastikan undang-undang ditegakkan. Tentera menafikan mereka menggulingkan Nasheed.
Peletakan jawatan Nasheed berlaku selepas satu kumpulan kecil anggota polis menderhaka pagi Selasa dan enggan mematuhi arahan menyuraikan satu bantahan anti-kerajaan di mana penunjuk perasan menuntut presiden meletak jawatan.

Pegawai itu kemudian mengambil alih sebuah stesen televisyen.

Nasheed menjelaskan beliau kemudian pergi ke ibu pejabat tentera dan mendapati sekumpulan lelaki, sebahagian daripada mereka membawa senjata kecil yang memberinya kata dua. Beliau berkata tidak mengenali mereka, sesetengahnya berpakaian seragam dan ada yang berpakaian preman. – AFP
Berita Harian Online | Bekas Presiden Maldives dipaksa letak jawatan:

'via Blog this'

Iran bantu Hizbullah Lubnan




2012/02/09

PENYOKONG Hizbullah Lubnan berarak ketika menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW di Beirut, kelmarin.
PENYOKONG Hizbullah Lubnan berarak ketika menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW di Beirut, kelmarin.
Nasrallah akui terima sokongan moral, material Republik Islam sejak 1983

BEIRUT: Pemimpin Hizbullah Lubnan, Sayyed Hassan Nasrallah semalam buat kali pertamanya mengakui bahawa pergerakan beliau menerima bantuan kewangan dan material dari Iran tetapi menafikan mereka mendapat arahan dari Republik Islam berkenaan.

Nasrallah berkata, Hizbullah sebelum ini hanya mengesahkan menyokong politik dan moral Iran kerana mereka tidak mahu memalukan ‘saudara di Iran’ tetapi mengubah dasar kerana kepemimpinan Iran mengumumkan sokongan mereka secara terbuka.
“Ya, kami menerima sokongan moral dan politik serta material dalam semua bentuk dari Republik Iran sejak 1983,” kata Nasrallah kepada penyokongnya melalui pautan video dalam ucapan sempena kelahiran Nabi Muhammad.
“Sebelum ini kami hanya menceritakan sebahagian daripada cerita dan mendiamkan setengah yang lain. Apabila mereka bertanyakan kami mengenai bantuan tentera, kewangan dan material, kami berdiam.”

Nasrallah berkata, Iran tidak mengeluarkan arahan kepada Hizbullah sejak pergerakan itu diasaskan 30 tahun lalu, sambil menambah bahawa jika Israel menyerang kawasan nuklear Iran, pemimpin di Iran tidak akan meminta apa-apa dari Hezbollah.

Beliau berkata jika perkara itu berlaku, kepimpinan Hizbullah akan duduk, berfikir dan memutuskan apa yang akan dilakukan.”

Spekulasi semakin meningkat bahawa Israel merancang untuk menyerang kemudahan Iran selepas komen oleh pemimpin Israel mengenai cita-cita Iran untuk membangunkan nuklear.
Ramai penganalisis percaya bahawa dalam sebarang serangan Israel terhadap Iran, Hizbullah akan berjuang membalas perang 34 hari dengan Israel pada 2006, akan menyerang negara Yahudi itu.

Kenyataan Nasrallah tidak mengejutkan kuasa dunia, termasuk Amerika Syarikat, yang menyenaraikan pertubuhan itu sebagai pengganas, dan berkata bahawa ia mendapat bantuan tentera dari Iran dan Syria. – Reuters
Berita Harian Online | Iran bantu Hizbullah Lubnan:

'via Blog this'

Seorang maut, 9 cedera dalam letupan bom di Pattani



9 Februari 2012

BANGKOK - Seorang pegawai kesihatan terbunuh manakala sembilan yang lain cedera dalam letupan bom di hadapan Pejabat Kesihatan Pattani hari ini.

Ketua polis Pattani Kol Pol Sompon Misuk berkata pegawai kesihatan itu mati di tempat kejadian apabila bom buatan sendiri seberat 20 kg yang di dalam sebuah kenderaan pikap diletupkan secara kawalan jauh pada pukul 8 pagi.

Dua lagi pegawai kesihatan cedera parah manakala tujuh orang awam termasuk seorang kanak-kanak cedera ringan.

"Kamera litar tertutup di kawasan itu dapat merakam imej dua suspek yang meletakkan pikap itu di situ. Polis kini mengesan suspek untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, dua anggota tentera cedera apabila bom seberat lima kilogram meletup di Kampung Batu, Bachok, Narathiwat, pada pukul 7.50 pagi ini.

Lebih 4,000 orang terbunuh sejak kumpulan pemisah menggerakkan semula gerakan bersenjata untuk menuntut kemerdekaan tiga wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala lapan tahun lepas. - BernamaSeorang maut, 9 cedera dalam letupan bom di Pattani - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lagi protes pekerja di Israel


WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Februari 2012
Lagi protes pekerja di Israel

TEL AVIV - Kesatuan pekerja terbesar Israel mengumumkan mogok besar-besaran, semalam, menyebabkan lapangan terbang, pelabuhan, bank dan pasaran saham ditutup selepas perbincangan dengan kerajaan gagal membuahkan hasil.

Mogok yang dijangka menyebabkan kerugian ekonomi sehingga AS$500 juta (RM1.5 bilion) sehari itu menjejaskan perkhidmatan kereta api, bank pusat dan pejabat kerajaan rejim itu.

Namun, Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion di Tel Aviv hanya ditutup dari jam 6 pagi hingga tengahari semalam mengikut arahan mahkamah.

Kesatuan pekerja Israel menuntut kerajaan mengambil lebih 250,000 pekerja kontrak bagi mengatasi masalah pengangguran di negara itu.

Kerajaan rejim Zionis pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sejak kebelakangan ini berhadapan pelbagai protes yang dilancarkan rakyat negara itu kerana dasar pentadbirannya yang tidak disenangi.Lagi protes pekerja di Israel - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Amerika belum fikir bekal pihak anti-Presiden Syria senjata



9 Februari 2012
Barack Obama

NEW YORK – Seramai 18 bayi pramatang dilaporkan antara berpuluh-puluh orang awam maut dalam pertempuran di bandar Homs, Syria yang dikuasai pihak pemberontak, semalam.

Jurucakap Jabatan Amerika Syarikat (AS), Victoria Nuland berkata, AS tidak pernah memutuskan bahawa senjata adalah penyelesaian kepada konflik yang melanda Syria.

Menurut Nuland, AS juga tidak akan membekalkan senjata kepada pemberontak di Syria walaupun itu akan menjadi pilihan terakhir kepada Presidennya, Barack Obama yang kini bergelut mencari jalan menyekat keganasan dan menamatkan pertumpahan darah.

Sementara itu, jurucakap Rumah Putih berkata, Jay Carney berkata, AS telah mengadakan perbincangan baru-baru ini bagi memberi tumpuan untuk menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Syria walaupun beliau tidak menyatakan dengan jelas bentuk bantuan yang akan diberikan.

“Kajian awal terhadap persediaan tentera AS kini sudah berada dalam tangan,” katanya yang dipetik dari laporan Mail Online, hari ini.

Sementara itu, seorang pegawai kanan AS memberitahu CNN, Pentagon kini memantau perkembangan di Syria tetapi masih tiada arahan dikeluarkan untuk mengadakan sokongan tentera untuk Syria.

Dalam perkembangan berkaitan, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu, lebih 5,400 orang terbunuh di Syria sejak kebangkitan rakyat menentang rejim Presiden Bashar Al-Assad bermula pada Mac 2011.
Selasa lalu, beberapa ahli parlimen kongres, termasuk Senator John McCain dipanggil untuk menyuarakan pandangan dari pihak pembangkang mengenai isu membekalkan senjata ke Syria.

McCain berkata, AS patut mula mempertimbangkan sama ada mahu membekalkan senjata kepada pihak pembangkang Syria bagi menghentikan pertumpahan darah yang berlaku.Amerika belum fikir bekal pihak anti-Presiden Syria senjata - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kolumnis Saudi hina Islam, Nabi ditahan di KLIA



9 Februari 2012
Hamza Kashgari

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang kolumnis akhbar Arab Saudi, Hamza Kashgari, yang dikehendaki oleh kerajaan negara itu kerana dilaporkan menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Sumber Interpol memberitahu Bernama hari ini, lelaki itu ditahan polis sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang semalam setelah melarikan diri dari negara itu.

Kolumnis berkenaan dilaporkan telah mengeluarkan satu laporan yang menghina Islam melalui twitternya, yang menyebabkan kemarahan rakyat Arab Saudi.

Difahamkan, pihak kerajaan Arab Saudi menunggu penghantaran pulang Hamza ke negara itu.

Menurut laporan media Arab Saudi, Hamza mengeluarkan laporan itu pada hari sambutan Maulidur Rasul minggu lepas dengan membayangkan seolah-olah dirinya berinteraksi dengan Nabi Muhammad SAW dan seolah-olah kedua-dua mereka adalah
sama taraf.

Hamza turut menyatakan ada sifat Nabi Muhammad SAW yang disukai dan tidak disukainya.

Media negara itu melaporkan susulan laporan Hamza, sebanyak 30,000 entri twitter yang marah dengan laporannya dibuat dalam tempoh kurang 24 jam. - BernamaKolumnis Saudi hina Islam, Nabi ditahan di KLIA - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

3 menteri tonton porno di Parlimen



WALAUPUN cuba menyorok, kelakuan Laxman Savadi menonton video lucah dirakam oleh kamera televisyen di Parlimen Karnataka, India, kelmarin. - AGENSI


NEW DELHI 8 Feb. - Tiga menteri di Karnataka, selatan India meletakkan jawatan hari ini selepas dituduh menonton video pornografi di dewan undangan negeri itu.

Siaran berita tempatan, semalam menunjukkan ahli dewan, Laxman Savadi sedang asyik menonton klip video pada sebuah telefon bimbit sambil diperhatikan oleh rakannya, CC Patil.

Telefon itu milik seorang lagi menteri, Krishna Palemar yang turut meletakkan jawatan.

Ketiga-tiga menteri menafikan mereka menonton pornografi tetapi berkata, mereka meletakkan jawatan bagi mengelakkan aib kepada kerajaan pimpinan Parti Bharatiya Janata (BJP).

"BJP sudah pun mengarahkan siasatan mengenai perkara ini dan kami berharap dapat membuktikan kami tidak bersalah," kata Patil yang juga Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak.

Semalam, menteri-menteri itu enggan meletakkan jawatan, dengan alasan mereka menonton klip video menunjukkan seorang wanita dirogol oleh empat lelaki selepas satu pesta muzik, tarian dan dadah, 'sebagai persiapan untuk mengadakan perbahasan (di dewan) mengenai kesan negatif pesta sedemikian'. - DPA

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Setahun jadi mangsa rogol kekasih ibu


BALIK PULAU 8 Feb. - Perbuatan terkutuk seorang lelaki terhadap seorang remaja bawah umur sejak setahun lalu terbongkar selepas gadis itu membuat laporan polis kelmarin.

Remaja perempuan berusia 14 tahun itu dirogol teman lelaki ibunya sejak setahun lalu.

Perbuatan itu dilakukan oleh lelaki berusia 46 tahun berkenaan setiap kali ibu remaja itu keluar bekerja.

Pelajar tersebut yang menuntut di tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di sini hanya mampu mendiamkan diri setiap kali selepas dirogol kerana diugut akan dipukul jika memberitahu ibunya atau membuat laporan polis.

Namun, rahsia tindakan keji lelaki itu terbongkar apabila mangsa bertindak nekad melarikan diri ke rumah rakannya di Seberang Perai.

Mangsa kemudian tampil bersama rakannya membuat laporan di balai polis berhampiran sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Hatta Md. Zain ketika dihubungi Utusan Malaysiahari ini mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Bilionair lancar dana untuk tumbangkan Obama


WASHINGTON 8 Feb. - Penyokong Parti Republikan yang diketuai oleh dua beradik bilionair minyak berikrar untuk menyingkirkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dari White House dengan melancarkan dana kempen sebanyak AS$100 juta (RM310 juta).

David dan Charles Koch, yang memiliki kekayaan berjumlah AS$50 bilion (RM155 bilion), bersama-sama 300 tokoh perniagaan paling kaya di AS menjanjikan sumbangan wang tunai bagi menghalang Obama daripada dipilih semula pada pilihan raya Presiden AS November ini.

Mereka menjanjikan sumbangan tersebut pada perhimpunan tiga hari anjuran dua beradik berhaluan konservatif itu di California baru-baru ini.

Perhimpunan kali ini dipercayai kali pertama difokuskan kepada satu isu dan sumber berkata, mentaliti 'tidak mahu mengalah' untuk menewaskan Obama dengan apa cara sekali pun pada pilihan raya tahun ini segera menguasai hadirin.

Charles, 76, akan menyumbangkan AS$40 juta (RM124 juta) daripada kekayaannya sendiri untuk dana itu, manakala David, 71, menjanjikan AS$20 juta (RM62 juta) bagi membiayai kempen itu.

Oleh sebab orang perseorangan hanya boleh mendermakan maksimum AS$2,500 (RM7,750) kepada seseorang calon, dana AS$100 juta (RM310 juta) hampir pasti disalurkan kepada sebuah jawatankuasa tindakan politik (PAC) Parti Republikan.

Walaupun PAC sepatutnya berpendirian berkecuali, jawatankuasa itu selalunya memihak kepada seorang calon tertentu dan kemudian menggunakan wang derma untuk menyokong calon berkenaan.

PAC Americans for Prosperity tajaan Koch adik-beradik itu sudah pun membelanjakan wang sebanyak AS$6.8 juta (RM21 juta) untuk membiayai iklan yang menghentam Obama.

Mereka berdua telah mengambil pendekatan sangat berahsia dalam menghimpunkan kekayaan mereka, tetapi mula mendapat publisiti meluas apabila mereka membantu melancarkan gerakan Tea Party yang ultrakonservatif.

Charles dan David berada di tangga 18 dan 19 dalam senarai 100 orang terkaya menurut majalah Forbes dan mereka telah menyumbangkan lebih AS$100 juta (RM310 juta) bagi membiayai perjuangan puak berhaluan kanan. - AGENSI

Haram raikan Hari Kekasih


BANDA ACEH 8 Feb. - Pihak berkuasa Aceh mengeluarkan amaran kepada golongan belia di wilayah ini agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih pada 14 Februari ini kerana dikhuatiri akan mendorong perlakuan maksiat .

"Kami menasihati orang ramai agar tidak menyambut Hari Kekasih atau Valentine's Day.

"Hari Kekasih diharamkan kerana ia bukan sambutan mengenai kasih sayang, sebaliknya mendorong kepada perlakuan maksiat," kata Timbalan Datuk Bandar Banda Aceh, Illiza Sa'aduddin Djamal.

Sehubungan itu, sekolah-sekolah dan masjid dinasihatkan supaya memberi penekanan kepada golongan belia terutamanya mengenai latar belakang Hari Kekasih dan mengapa masyarakat Islam tidak dibenarkan meraikan sambutan tersebut.

Hari Kekasih yang disambut setiap 14 Februari setiap tahun itu sempena memperingati paderi Saint Valentine.

Ketua Majlis Perundingan Biasiswa Islam Aceh, Muslim Ibrahim turut bersetuju dengan amaran yang dikeluarkan.

"Kami menggesa umat Islam agar tidak terikut-ikut untuk meraikan Hari Kekasih kerana kita mempunyai budaya, adat dan perayaan tersendiri.

"Hari Kekasih mempunyai kaitan dengan perlakuan seks bebas yang ditegah dalam Islam," katanya. - DPA

Syria digesa laksana pembaharuan



BASHAR al-Assad (kiri) bersalaman dengan Sergei Lavrov di Istana Presiden di Damsyik, kelmarin. Kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan tergempar.– REUTERS


DAMSYIK 8 Feb. – Para diplomat kanan Rusia semalam menggesa Presiden Syria, Bashar al-Assad melaksanakan pembaharuan semasa mengadakan mesyuarat tergempar dengan pemimpin Syria itu, di sini semalam.

Gesaan itu dibuat beberapa hari selepas Rusia bersama China menyekat pelan damai anjuran Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menamatkan tindakan kekerasan oleh kerajaan Syria terhadap pemberontak.

Para diplomat Rusia itu menggalakkan penyelesaian bagi menamatkan pemberontakan tanpa memaksa Assad melepaskan kuasa.

Semalam, beribu-ribu penyokong kerajaan yang mengibarkan bendera menyambut baik kedatangan delegasi Rusia di ibu negara, Damsyik.

Sementara itu di utara, tentera Assad terus membedil bandar raya Homs yang dikuasai penentang kerajaan.

Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov tiba di sini, semalam diiringi ketua perisikan asingnya, dalam usaha untuk memajukan pelan yang akan memastikan Assad terus berkuasa, meskipun rancangan itu sudah ditolak bulat-bulat oleh ramai pemimpin pembangkang.

CIA kekal di Iraq, Afghanistan


WASHINGTON 8 Feb. - Agensi Perisikan Pusat (CIA) akan terus memainkan peranan besar secara sulit di Iraq dan Afghanistan selepas askar konvensional Amerika Syarikat (AS) berundur dari kedua-dua negara itu.

Ia adalah sebahagian daripada rancangan pentadbiran Presiden Barack Obama untuk bergantung kepada pengintip dan pasukan tentera Operasi Khas bagi melindungi kepentingan AS di dua zon perang tersebut, kata pegawai AS, semalam.

Kata mereka, stesen CIA di Kabul dan Baghdad akan terus menjadi pos terbesar agensi itu di luar negara selama beberapa tahun lagi, meskipun bilangan kakitangannya tidak sebanyak dahulu ketika usaha AS untuk menumpaskan pemberontak dan menubuhkan kerajaan berwibawa mencapai kemuncak di kedua-dua negara itu.

Pengunduran tentera AS dari Iraq pada Disember ini bermakna penekanan CIA di negara itu beralih kepada kegiatan pengintipan lebih tradisional iaitu memantau perkembangan dalam kerajaan Baghdad yang semakin berpecah-belah, berusaha untuk membendung aktiviti sekutu al-Qaeda dan menangkis pengaruh Iran.

Di Afghanistan, CIA dijangka memainkan peranan operasi yang lebih agresif.

Pegawai AS berkata, keupayaan separa tentera CIA dilihat sebagai alat untuk menggoyahkan kedudukan Taliban, melindungi kerajaan di Kabul dan memastikan lapangan terbang di Afghanistan dapat terus digunakan oleh pesawat tanpa juruterbang (drone) CIA untuk memburu saki-baki anggota al-Qaeda di Pakistan.

Sewaktu Obama berusaha untuk menamatkan konflik besar-besaran selama sedekad, tugas baru CIA itu membayangkan agensi tersebut akan memainkan peranan penting dalam usaha pentadbiran beliau untuk menggunakan kuasa AS dengan lebih tersusun dan lebih fokus.

Ekoran strategi tersebut, stesen CIA di Kabul, yang suatu masa dahulu mempunyai 1,000 kakitangan, dijangka meluaskan kerjasama dengan tentera Operasi Khas apabila pengunduran askar konvensional bermula.

Komander Operasi Khas yang mengarahkan serangan untuk membunuh Osama bin Laden pada tahun lepas, Laksamana William McRaven membayangkan peralihan itu dalam kenyataannya di Washington, semalam.

"Saya tidak ragu-ragu askar Operasi Khas adalah pasukan terakhir yang akan meninggalkan Afghanistan," kata McRaven. - AGENSI

SAHABAT SYAITAN



Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Isra' ayat 26-27 yang bermaksud : " Berikanlah kepada sahabat karib hak mereka, dan kepada orang miskin dan musafir hak mereka, dan janganlah engkau membazir... Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu amat ingkar akan Tuhannya"...

Umum mengetahui bahawa MEMBAZIR itu adalah makanan yang tidak habis dimakan, atau barang-barang yang tidak digunakan, sehingga ia menjadi rosak tanpa dimanfaatkan... Adapun membazir menurut perspektif Islam adalah lebih dari itu... Perkara-perkara yang akan disebutkan di bawah ini termasuk dalam pengertian pembaziran menurut pandangan Islam:-

* Termasuk dalam istilah membazir itu ialah orang yang membelanjakan keseluruhan apa yang ada padanya, sehingga ia terpaksa meminta-minta dengan orang lain, kecuali sahabat Rasulullah yang telah mencapai darjat yang tinggi dalam keimanan, seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq yang membelanjakan keseluruhan harta beliau fi sabilillah, begitu juga Saidina Umar al-Khatab yang membelanjakan separuh dari hartanya fi sabilillah....

* Termasuk dalam istilah membazir juga, ialah orang yang membeli barang-barang yang diharamkan oleh Allah s.w.t seperti alat muzik, arak, makan yang haram, pakaian yang mendedahkan aurat, cincin emas dan pakaian sutera bagi lelaki dan sebagainya....

* Termasuk dalam istilah membazir juga ialah membelanjakan harta pada perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah s.w.t seperti berjudi, berzina, menolong orang yang zalim, rasuah, memberi pertolongan (derma atau sumbangan) kepada pihak yang tidak ingin menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini...

* Termasuk dalam istilah membazir juga ialah membelanjakan harta kepada kawan-kawan, yang menggunakan harta tersebut pada perkara yang melalaikan, seperti pergi ke disco dan sebagainya.....

* Termasuk dalam istilah membazir ialah makan dan minum atau berpakaian lebih daripada keperluan biasa, atau melampaui batas, seperti makan nasi sebanyak 5 pinggan, pakaian sahaja sampai 5 almari, kasut tumit tinggi 1almari...

Lelaki disangka mati muncul semula



ADI SAIFUL (kanan) menunjukkan pasport membuktikan bahawa dia ke Singapura kepada Azizah di Kampung Bukit Sawa, Marang semalam.


MARANG - Misteri kehilangan seorang lelaki selepas menonton perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara Kelantan dan Terengganu pada 11 Jun tahun lalu akhirnya terjawab.

Pada Ahad lalu, lelaki terbabit, Adi Saiful Che Kor, 27, pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Sawa di sini selepas lapan bulan menghilangkan diri kerana bekerja di Singapura.

Kemunculan semula lelaki itu melegakan seluruh ahli keluarganya selepas mereka dimaklumkan oleh beberapa bomoh bahawa Adi Saiful kononnya sudah meninggal dunia.

Mengimbau semula apa yang berlaku, Adi Saiful berkata, ketika itu dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kuantan.

"Selepas tengok bola di Bukit Jalil (Stadium Nasional), saya balik semula ke Kuantan. Saya kemudian dapat kerja di Singapura melalui seorang ejen.

"Sebelum bertolak ke Johor Bahru menaiki bas kira-kira seminggu kemudian, telefon bimbit saya hilang dan saya bercadang menghubungi keluarga setelah bekerja di sana," katanya di sini semalam.

Sepanjang berada di Singapura, dia bekerja di sebuah kedai dobi dengan gaji bulanan sebanyak S$1,200 (RM2,800), namun dia tidak dibenarkan meninggalkan negara itu dalam tempoh enam bulan pertamaKosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Bayi paling berat di China sejak tahun 1949



BAYI gergasi seberat 7.04 kilogram dimandikan oleh seorang jururawat di Hospital Bersalin Xinxiang di bandar Xinxiang, China pada Sabtu lalu.


XINXIANG, China - Seorang ibu melahirkan bayi gergasi seberat 7.04 kilogram di Hospital Bersalin Xinxiang di bandar ini pada Sabtu lalu.

Bayi lelaki yang bernama Chun Chun itu dipercayai yang paling besar pernah direkodkan di China sejak negara ini dibentuk pada tahun 1949. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Tikus jadi haiwan peliharaan



GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan seekor tikus yang dipelihara oleh Kimberly Jackson di rumahnya di Falmouth, Maine.


WALTHAM, Amerika Syarikat (AS) - Tikus kini dijadikan haiwan peliharaan di AS dengan para pemilik haiwan itu menganggap ia bijak dan suka bermain.

Seorang pemilik haiwan itu, Robin Ruslau dari Dresden, negeri Maine, AS pada mulanya menyayangi tikus selepas seorang anak perempuannya meminta dia menjaga seekor haiwan tersebut.

Anak perempuannya itu membuat permintaan itu kerana tuan haiwan tersebut pergi bercuti.

"Saya seolah-olah tidak mempercayai betapa luar biasa haiwan itu. Selepas berakhirnya dua minggu (menjaga tikus itu), saya tidak mahu melepaskan haiwan itu," kata Ruslau.

Menurut para pemilik haiwan peliharaan itu, tikus suka bermain dan penyayang jauh berbeza daripada reputasi tikus yang dianggap binatang menjijikkan. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Kos bangunan gergasi AS naik RM12 bilion



GAMBAR fail menunjukkan bangunan One World Trade Centre yang dalam pembinaan di New York pada 30 Januari lalu. - AFP


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Agensi yang membina bangunan One World Trade Centre bagi menggantikan bangunan berkembar World Trade Centre (WTC) yang runtuh pada 11 September 2001 akibat serangan pengganas telah membiarkan kos pembinaannya di luar kawalan.

Menurut juraudit pembinaan bangunan berkenaan kelmarin, kos pembinaan One World Trade Centre itu kini melambung dengan anggaran hampir AS$4 bilion (RM12 bilion) bagi tempoh empat tahun lepas.

Syarikat audit Navigant Consulting berkata, projek itu kini dianggarkan menelan kos sebanyak AS$14.8 bilion (RM44.4 bilion) iaitu 35 peratus lebih tinggi berbanding anggaran asal pada tahun 2008 hanya AS$11 bilion (RM33 bilion).

Pembinaan One World Trade Centre di sini dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pelabuhan New York dan New Jersey bagi menggantikan WTC yang runtuh akibat dirempuh dua pesawat yang dirampas pengganas.

Sementara itu, pengarah baharu Pihak Berkuasa Pelabuhan, Patrick Foye berkata, agensi berkenaan sedang mengambil berat cadangan daripada firma audit tersebut dengan serius. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Pakar sains tak setuju Rusia gali tasik unik



GAMBAR fail menunjukkan peralatan yang digunakan untuk mengerudi Tasik Vostok di bawah lapisan ais di Antartika pada 1 September 2007.


PARIS, Perancis - Beberapa pakar sains mempersoalkan manfaat sains dan impak alam sekitar tentang tindakan Rusia yang menggerudi lapisan ais di benua Antartika bagi mendapatkan sampel di dalam Tasik Vostok.

Pada Isnin lalu, pakar-pakar berkata, kajian tersebut berisiko mencetuskan pencemaran minyak tanah.

Minyak tanah itu digunakan sebagai bahan antibeku bagi mengelakkan lubang yang digali kembali dilitupi ais.

Mengulas mengenai kejayaan saintifik berkenaan, Ketua Sekolah Geosains Universiti Edinburgh, Professor Martin Siegert memberitahu, risiko tersebut menyebabkan pencapaian Rusia itu tidak berbaloi.

Namun, tambahnya, dalam satu wawancara telefon: "Sukar bagi mereka (Rusia) meyakinkan pihak lain bahawa eksperimen tersebut bersih apabila mereka perlu melepasi lapisan minyak tanah setebal 3.5 kilometer sebelum dapat sampai ke permukaan tasik tersebut,".

Tasik Vostok yang terletak pada kedalaman 3,768 meter di bawah tanah masih belum terusik dipercayai sejak sejuta tahun dahulu.

Pada Isnin lalu, para penyelidik Rusia menyatakan mereka berjaya menggerudi hampir empat kilometer ke dalam ais ke permukaan tasik berkenaan bagi mencari penemuan saintifik.

- AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'