Pages

Monday, March 12, 2012

Jepun bertafakur kenang tragedi tsunami

Berita Harian Online | Jepun bertafakur kenang tragedi tsunami:
  • Foto
    PENDUDUK Iwaki di Fukushima memandang ke arah laut ketika berkabung tragedi gempa dan tsunami tahun lalu.
  • Foto
    (DARI kiri ke kanan) Madoka Sato, hiroko Sato dan Haruka Tsubonuki serta suaminya, Kazuhiro berdoa untuk nenek mereka, Fumiko Mori yang maut dalam bencana 11 Mac tahun lalu.
  • Foto
    AKIHITO (kanan) dan Michiko memberi penghormatan kepada mangsa gempa dan tsunami di Tokyo.
Kerajaan ikrar kurangkan kebergantungan kepada kuasa nuklear jana tenaga elektrik

RIKUZENTAKATA: Kerajaan Jepun berikrar untuk mengurangkan kebergantungan kepada kuasa nuklear ketika negara itu menyambut ulang tahun pertama tragedi besar gempa bumi dan tsunami yang melanda tahun lalu.

Penduduk Jepun di seluruh negara itu semalam bertafakur mengenangkan kira-kira 19,000 mangsa yang maut dalam bencana itu yang turut menyebabkan krisis nuklear paling buruk dalam masa suku abad.
Majlis diadakan tepat jam 2.46 petang, detik berlakunya gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter itu pada 11 Mac 2011.

Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda, mengaku kerajaan gagal bertindak pantas untuk menangani kejadian itu, terlalu perlahan menyampaikan maklumat mengenainya kepada orang ramai dan terlalu percaya kepada mitos bahawa kuasa nuklear selamat.

Kuasa nuklear membekalkan kira-kira 30 peratus keperluan tenaga negara itu sebelum gempa bumi dan tsunami melanda negara itu Mac tahun lalu.

Walaupun tiada rakyatnya yang meninggal dunia akibat pendedahan radiasi berikutan bencana itu, penduduk Jepun bimbang radiasi mungkin muncul dalam bentuk barah dalam masa beberapa tahun akan datang, terutama di kalangan kanak-kanak. 
Hanya dua daripada 54 reaktor nuklear Jepun terus beroperasi manakala yang lain ditutup untuk dikenakan pemeriksaan khas mengikut jadual bagi memeriksa keupayaannya mengelak terjejas akibat bencana.

Operasi nuklear itu juga turut dijangka berhenti akhir April kerana ada pihak tertentu membantah loji berkenaan kembali bermula.

Di bandar persisiran pantai Rikuzentakata, timur laut Jepun, loceng kecemasan dibunyikan dan seorang sami Buddha memakai jubah ungu membunyikan loceng besar.

Pada masa sama di Teater Kebangsaan Tokyo, Maharaja Akihito dan Maharani Michiko dan Noda berdiri dalam keadaan diam dengan beratus-ratus rakyat yang berpakaian hitam di majlis memperingati tragedi itu.

Gempa bumi itu adalah yang terkuat direkodkan dalam sejarah Jepun dan mencetuskan tsunami setinggi lebih 20 meter di beberapa tempat di sepanjang pantai timur laut, memusnahkan berpuluh ribu rumah dan menyebabkan kemusnahan teruk.

Naomi Fujino, penduduk Rikuzentakata, berusia 42 tahun yang kehilangan bapanya dalam tragedi itu, mengalirkan air mata ketika mengingati kembali kejadian itu.

Bersama-sama ibunya, Fujino, berjaya lari ke bukit berhampiran dan menyaksikan ombak besar itu menghanyutkan rumah mereka. Itu memaksa mereka menunggu sepanjang malam tetapi bapanya tidak kembali menemui mereka seperti dijanjikan. Dua bulan kemudian, mayat bapanya ditemui.

“Saya menyelamatkan orang ramai tetapi tidak mampu menyelamatkan bapa sendiri. Saya perlu berhenti menangis. Apa lagi yang saya boleh lakukan selain meneruskan kehidupan,” katanya.

Tsunami turut merosakkan sistem penyejukan penting di loji kuasa nuklear Fukushima Dai-ichi, menyebabkan tiga reaktor lebur dan melepaskan radiasi di udara.

Kira-kira 100,000 penduduk yang terpaksa menyelamatkan diri masih berada dalam rumah sementara atau menetap bersama saudara mara, dan kawasan seluas 20 kilometer sekitar loji itu masih tidak boleh dimasuki.

Setahun selepas bencana itu, polis dan pakar meneruskan usaha mencari mayat 3,155 orang yang disenaraikan sebagai hilang. 

Kerajaan berkata, loji nuklear Fukushima kini stabil dan radiasi semakin berkurangan tetapi ketua loji itu memberitahu wartawan yang melawat bahawa ia masih belum selamat sepenuhnya. – AP
'via Blog this'

Tiga polis, suspek kes cabul parah

Berita Harian Online | Tiga polis, suspek kes cabul parah:>
KERETA dinaiki tiga anggota polis yang terbabit  kemalangan 
di simpang Jalan Labu-Gadong, Nilai, petang kelmarin.
KERETA dinaiki tiga anggota polis yang terbabit
 kemalangan di simpang Jalan
Labu-Gadong, Nilai, petang kelmarin.

NILAI: Tiga anggota polis dan seorang warga Pakistan yang ditahan kerana kes cabul, cedera parah apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta lain di simpang Jalan Labu-Gadong dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, kereta Proton Waja dinaiki Koperal Razali Nasir, Koperal Hisham Abd Wahab, Koperal Hasley Shah Yop dan rakyat Pakistan yang baru ditahan di Nilai di sini, dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Seremban.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusoff Awang, berkata sebaik tiba di simpang berkenaan, kereta Mitsubishi Lancer dipandu Pengurus Teknologi Maklumat (IT) sebuah hotel di Port Dickson, Zainudin Salleh, 38, hilang kawalan dipercayai akibat jalan berpasir dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung kereta dinaiki anggota polis terbabit. 

Beliau berkata, tiga anggota polis dan rakyat Pakistan berusia antara 30 hingga 50 tahun yang tersepit di kereta cedera parah di kepala dan badan, manakala Zainudin hanya cedera ringan. 

“Semua mangsa termasuk rakyat Pakistan yang turut patah kaki masih dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya di sini, semalam. 

Yusoff berkata, kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Najib Zamuri di talian 06-7991222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. 
Sementara itu, pembantu tadbir sebuah syarikat pembinaan, Nurul Hidayah Ismail, 25, yang menyaksikan kemalangan itu berkata, perlanggaran itu menyebabkan kereta Mitsubishi Lancer berpusing beberapa kali sebelum berhenti. 

Bagaimanapun, katanya pemandu kereta itu dapat menyelamatkan diri dengan merangkak keluar dari keretanya. 

“Pemandu dan penumpang sebuah kereta lagi pula tersepit di tempat duduk masing-masing,” katanya.
'via Blog this'

Kera hantu ditemui di Sabah

TARSIER jantan yang ditemui di ladang kelapa sawit Kinabatangan, baru-baru ini.
TARSIER jantan yang ditemui di ladang
kelapa sawit Kinabatangan, baru-baru ini.
Habitat primat kecil bakal diketahui, penyelidik mula proses pemuliharaan 

KINABATANGAN: Lokasi habitat tarsier atau kera hantu di daerah ini yang dikategori sebagai primat kecil, bakal diketahui dengan lebih terperinci berikutan penemuan seekor tarsier jantan bersaiz sebesar tapak tangan orang dewasa yang diselamatkan dari ladang sawit di sini, 7 Mac lalu.

Haiwan yang aktif pada waktu malam itu ditemui berhampiran kawasan Gomantong oleh Saroto Payar yang juga bapa kepada pembantu penyelidik lapangan Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC), di sini.
Tarsier itu kemudian dipasang dengan kolar radio bagi membolehkan habitatnya dikenal pasti. 

Pelajar Cardiff University, Alice Miles yang mengetuai projek mengenai ekologi tarsier di DGFC berkata, primat itu ditempatkan dalam sangkar selama sehari dan diberi makan serangga sebelum dilepaskan ke hutan. 

“Kami memasangnya dengan kolar radio sebelum dilepaskan ke hutan. Tarsier itu diberi nama ‘Lad’ iaitu singkatan daripada perkataan ‘ladang.’ 

“Pada malam berikutnya, kami kembali ke hutan dan mengesan Lad menggunakan telemetri. 
“Dia ditemui kira-kira 150 hingga 200 meter dari tempat dilepaskan dan dikesan memburu serangga di tanah,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Jabatan Hidupan Liar Sabah dan DGFC, semalam. 

Sementara itu, Pengarah DGFC, Dr Benoit Goossens, berkata langkah memahami keperluan habitat, pemakanan dan struktur organisasi sosial primat itu kunci terhadap usaha membentuk dasar pemuliharaan haiwan unik terbabit. 

Selain Lad katanya, DGFC sudah memasang kolar radio pada empat tarsier lain di sekitar padang DGFC di hilir Pusat Perlindungan Hidupan Liar Kinabatangan. 

“Sebelum ini, kami memasang kolar radio pada dua tarsier betina bagi mengesan lokasi haiwan ini tidur, selain memetakan habitatnya. 

“Kita harap Lad akan bertemu seekor daripada dua tarsier betina itu bagi membolehkan pembiakan,” katanya.

Dua terbunuh, 10 cedera nahas MPV

Berita Harian Online | Dua terbunuh, 10 cedera nahas MPV:PARIT
KEADAAN MPV remuk teruk selepas nahas dengan sebuah lagi kenderaan (kanan) di Kilometer 181.5 dekat  Parit Buntar, semalam.
KEADAAN MPV remuk teruk selepas nahas dengan
 sebuah lagi kenderaan (kanan) di Kilometer
181.5 dekat Parit Buntar, semalam.

BUNTAR: Tindakan seorang pemandu memberhentikan kenderaan pelbagai gunanya (MPV) di lorong kecemasan untuk membuat panggilan telefon, berakhir dengan tragedi apabila kereta itu dirempuh dari belakang oleh sebuah MPV lain mengakibatkan dua maut dan 10 yang lain cedera di Kilometer 181.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi itu, lelaki dikenali sebagai Tang Ah Tee, 65, dan cucunya Tan Tei Yee, 13, yang duduk di bahagian belakang Toyota Estima yang berhenti di lorong kecemasan itu, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Fauzi Mat Nayan, berkata pemandu Estima, Tan Bee Ling, 39, memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan untuk membuat panggilan telefon apabila sebuah MPV jenis Toyota Alphard yang juga dari arah selatan merempuhnya dari belakang. 

Katanya, Toyota Alphard remuk di bahagian depan, manakala Toyota Estima remuk di bahagian belakang dengan kedua-dua kenderaan melintang di tengah jalan akibat rempuhan itu mengakibatkan berlaku kesesakan jalan raya yang teruk di laluan menghala ke utara. 

Beliau berkata, ketika kejadian Toyota Estima dinaiki enam sekeluarga dalam perjalanan dari Pontian, Johor, dipercayai mahu bercuti ke Pulau Pinang, manakala Toyota Alphard juga dinaiki enam sekeluarga dari arah Kuala Lumpur juga dalam perjalanan arah utara. 

Penumpang lain dalam Estima yang cedera ialah Bee Liang, Tan Poke Peck, 32; Tan Yoke Leng, 31 dan Tan Poh Siong, 36. 

Di IPOH, seorang juruteknik, Cheah Chee Sheong, 19, maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah bas persiaran di Jalan Klebang Farlim, jam 11.20 malam kelmarin. 

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Abdul Rahman Mohd Som, berkata pihaknya mengambil lebih 30 minit mengeluarkan mayat tersepit.
'via Blog this'

Maut tengkuk patah tercampak keluar van

Berita Harian Online | Maut tengkuk patah tercampak keluar van:
   ANGGOTA penyelamat cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit di kerusi penumpang depan dalam  nahas jalan raya  di Kilometer 22, Jalan Miri-Bintulu, semalam.
ANGGOTA penyelamat cuba mengeluarkan mangsa
 yang tersepit di kerusi penumpang depan dalam
nahas jalan raya di Kilometer 22, Jalan Miri-Bintulu, semalam.

MIRI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun terbunuh selepas tengkuknya patah dan kepalanya parah akibat tercampak keluar lebih 10 meter dari van dipandu bapanya yang turut maut dalam kemalangan di Kilometer 22 Jalan Miri-Bintulu, dekat sini pagi semalam.

Alwin Nyalin disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bapanya, Nyalin Jawan, 38, mati di Hospital Miri, beberapa jam selepas kemalangan kira-kira jam 7 pagi itu.

Dua lagi penumpang van berkenaan cedera, iaitu isteri Nyalin berusia 32 tahun yang patah kaki kiri akibat tersepit di kerusi penumpang depan dan anak perempuan mereka berusia 12 tahun yang duduk di kerusi belakang.
Difahamkan, Alwin dipangku ibunya ketika nahas berlaku dan tercampak selepas van mereka dirempuh kuat oleh sebuah pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan. 

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong, ketika dihubungi, berkata kejadian berlaku ketika empat beranak berkenaan dalam perjalanan dari Limbang ke Sarikei untuk menziarahi keluarga mereka sempena musim cuti sekolah. 

“Polis masih menyiasat punca kemalangan, namun siasatan awal menunjukkan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki berusia 40-an dari arah Bintulu ke Miri dipercayai hilang kawalan lalu bertembung van berkenaan,” katanya. 

Akibat kemalangan itu, van dinaiki keluarga terbabit remuk teruk di bahagian depan dengan enjinnya turut tercampak keluar. 
Kock Keong berkata, pemandu pacuan empat roda terbabit hanya cedera ringan dan dibawa ke Balai Polis Miri untuk soal siasat dan menjalani ujian sama ada memandu di bawah pengaruh alkohol.
'via Blog this'

Lima kaki judi disebat

Berita Harian Online | Lima kaki judi disebat:
MUKA seorang lelaki berkerut ketika disebat atas kesalahan berjudi di Langsa.
LANGSA (Indonesia): Lima lelaki Aceh didapati bersalah atas dakwaan berjudi menjalani hukuman sebat di khalayak ramai di wilayah itu yang melaksanakan undang-undang syariah di Indonesia.

Mereka disebat enam kali di hadapan beratus-ratus orang di sebuah padang di Langsa, ibu negeri Aceh.
Indonesia yang mempunyai penduduk seramai 240 juta itu dengan majoriti penduduk Islam mengamalkan dasar sekular tetapi membenarkan wilayah Aceh melaksanakan undang-undang syariah.
Ketua jenayah awam di pejabat pendakwaan, Putra Masduri, berkata lima pesalah itu adalah antara 20 orang yang disabitkan kerana melanggar undang-undang syariah pada Januari lalu. 

“Mereka melakukan beberapa kesalahan kerana berjudi. Ada yang sedang menulis nombor loteri dan ada yang menjualnya,” kata Masduri. 

Beliau tidak mendedahkan kesalahan 15 orang lain yang tidak disebat selepas tidak hadir untuk hukuman. 

Mengikut undang-undang Syariah, pihak berkuasa tidak dibenarkan menahan suspek, oleh itu hukuman hanya dilakukan ke atas pesalah yang hadir untuk menjalani hukuman secara sukarela. – AP/Agensi
'via Blog this'

Iran tidak boleh dibuli: Ahmadinejad

Berita Harian Online | Iran tidak boleh dibuli: Ahmadinejad:


FOTO satelit menunjukkan satu kawasan disyaki tempat pengayaan uranium di kawasan pergunungan Qom, Iran.
FOTO satelit menunjukkan satu kawasan disyaki
 tempat pengayaan uranium di kawasan pergunungan Qom, Iran.

Pemimpin Tehran anggap sekatan Barat hanya perang psikologi, tolak ugutan Washington 

TEHRAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menyuruh negara Barat berhenti membuli negaranya serta menyifatkan sekatan ke atas Tehran kerana menjalankan program nuklear hanya memberi kesan psikologi saja.

“Tuhan menjadi saksi bahawa Iran tidak peduli dengan ancaman mereka untuk guna bom, kapal perang dan jet pejuang. Mereka kata akan guna semua kekuatan mereka.
“Itu semua tidak akan berkesan. Begitu juga dengan ancaman mereka,” kata Ahmadinejad dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di bandar Karaj, barat Tehran. 

“Mereka patut tahu tindakan mereka tidak akan berjaya. Tiada masalah besar di Iran dan asas ekonomi kami tetap kuat. Ini hanya perang psikologi,” katanya lagi. 

Beliau menegaskan, Amerika Syarikat dan sekutunya dalam Kesatuan Eropah (EU) ‘sepatutnya lebih berhati-hati apabila bercakap, akur kepada hak negara lain dan bekerjasama, bukannya mengugut menggunakan senjata dan bom.’ 

Ucapan itu dilakukan ketika Iran dan lima negara kuasa besar yang juga anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Jerman bersedia menyambung rundingan meskipun keadaan tegang berhubung aktiviti nuklear negara Teluk itu. 
Amerika, khususnya, mengulangi amaran bahawa ia mengambil kira semua tindakan berhubung tindakan ke atas Iran yang dianggap membabitkan tindakan ketenteraan ke atas kawasan nuklear negara itu. 

Bagaimanapun, Presiden Barack Obama juga mengakui bahawa pintu rundingan bagi menyelesaikan isu nuklear Iran masih ada. 

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menyambut baik kenyataan Obama itu tetapi menganggap keazaman Washington terus mengenakan sekatan sebagai sia-sia. 

Ketua dewan perdagangan Iran, Mohammad Nahavandian, dalam kenyataannya semalam berpendapat negaranya wajar menyambung rundingan dengan negara Barat dengan memberi tumpuan kepada usaha menamatkan sekatan. 

Meskipun tiada bukti, Amerika dan negara Barat lain menaruh prasangka bahawa Iran sedang berusaha menghasilkan bom nuklear. – AFP
'via Blog this'

Askar Amerika tembak mati 16 rakyat Afghan

Askar Amerika tembak mati 16 rakyat Afghan - Global - Sinar Harian:
afghan
KABUL - Seorang askar Amerika Syarikat (AS) melepaskan tembakan ke arah orang awam di sebuah kampung di Kandahar semalam, menyebabkan 16 orang termasuk sembilan kanak-kanak terbunuh.

Ini kejadian pertama ketika rakyat Afghanistan masih marah dengan insiden membakar al-Quran di pangkalan tentera di Bagram lebih dua minggu lalu.

Ekoran kejadian itu, Presiden Barack Obama menghubungi rakan sejawatannya dari Afghanistan, Hamid Karzai untuk menyampaikan takziah dan menjanjikan satu siasatan.

Hanya seorang askar didakwa melepaskan tembakan.

Obama berkata, individu yang melakukan perbuatan yang tragis dan mengejutkan itu akan dipertanggungjawabkan.

Hamid mengecam tindakan itu dan menuntut penjelasan.

Suspek, dipercayai seorang sarjan, dilaporkan keluar dari pangkalan tentera sekitar 3 pagi waktu tempatan (6.30 pagi waktu Malaysia) semalam, dan melepaskan tembakan sembarangan di kawasan perkampungan Alkozai dan Najeeban.

Kedua-dua kampung itu terletak 500 meter dari pangkalan tentera. Dia dilaporkan menjadikan tiga buah rumah sebagai sasaran.

Di sebuah rumah di Najeeban, 11 orang ditemui mati dengan beberapa mangsa dibakar.

Seorang saksi wanita di Najeeban memberitahu BBC bahawa dia kedengaran bunyi tembakan kira-kira jam 2 pagi.

Seekor anjing yang menyalak juga ditembak.

Menurutnya, puak Taliban tidak dilihat berada di kawasan sejak beberapa bulan.

Sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak terbunuh dalam satu tembakan.

Lima mangsa yang cedera telah dibawa ke pusat perubatan Nato, lapor AP.

Ini adalah kali pertama seorang askar melepaskan tembakan dalam cara seperti ini ke atas orang awam di Afganistan oleh anggota tentera asing.

'via Blog this'

Siri realiti baharu AS tonjol komuniti Iran




PEMAJU perumahan, Sammy Younai (kiri) dan Farahan dalam satu adegan siri realiti baharu, Shahs of Sunset yang mula ditayangkan di AS semalam.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Siri realiti baharu, Shahs of Sunset yang menggambarkan kehidupan penduduk AS berketurunan Iran di sini mula ditayang di televisyen AS semalam.
Ia yang ditayangkan di saluran kabel Bravo, menceritakan tentang pelbagai personaliti penduduk berketurunan Iran termasuk seorang lelaki berusia 38 tahun, Reza Farahan yang menggambarkan dirinya sebagai aneh.
"Saya aneh kerana presiden yang memerintah negara asal saya menyatakan orang seperti saya tidak wujud," kata Farahan yang mengaku dia mengamalkan gaya hidup gay.
Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad pernah memberitahu dalam satu persidangan di Universiti Columbia, AS pada 2007 bahawa di Iran tidak wujud golongan gay seperti di negara-negara Barat.
Mahmoud berkata demikian ketika menjawab soalan tentang kedudukan golongan gay di Iran.
Bravo dan Penerbit Eksekutif Shahs of Sunset, Ryan Seacrest menyatakan, siri realiti itu bertujuan memberi hiburan dan bukan mendidik penonton tentang sesuatu isu.
Jelasnya, Shahs of Sunset memberi kelainan kerana sebelum ini, jarang terdapat program televisyen mengenai kehidupan masyarakat Islam terutamanya dari Iran di AS.
Selain Farahan, program tersebut turut menampilkan ejen hartanah mewah, Mercedes Javid dan pemaju perumahan mewah di Beverly Hills, Sammy Younai.
Mereka yang menyertai musim pertama program realiti itu terdiri daripada orang Islam dan Yahudi.
- Agensi

Mesin pengundian elektronik timbulkan keraguan



SEORANG wanita mengundi menggunakan sebuah mesin pengundian di Sandy Springs, Georgia AS. Keyakinan orang ramai terhadap mesin itu semakin terhakis kerana ia boleh digodam dengan mudah.


WASHINGTON - Masalah-masalah yang dialami oleh mesin pengundian elektronik menimbulkan persoalan baharu berkaitan teknologi pilihan raya ketika sistem komputer itu bakal digunakan pada pilihan raya Amerika Syarikat (AS) pada November depan.
Sebanyak 25 peratus rakyat AS dijangka menggunakan mesin-mesin pengundian tersebut. Namun, keyakinan terhadapnya dilihat semakin terhakis, jelas Yayasan Pengundian yang Disahkan (VVF).
Yayasan itu yang mahukan sistem pilihan raya lebih bagus menyatakan mesin pengundian di 11 buah negeri adalah elektronik sepenuhnya. Ia juga tidak mempunyai sistem kertas bagi tujuan kiraan semula.
Tahun lalu, pihak Microsoft Research menerbitkan satu laporan yang menjelaskan tentang pelbagai kelemahan sistem Rakaman Elektronik Lanngsung (Direct Recording Electronic, DRE) yang membolehkan penggodam mengubah bilangan undi dalam jumlah besar tanpa boleh dikesan.
Aspek keselamatan dan teknologi pilihan raya telah menjadi isu di AS sejak pilihan raya presiden pada tahun 2000 yang dicemar oleh 'undi hantu' di negeri Florida yang membuatkan keputusan bercelaru.
"Masih terdapat beberapa buah negeri yang tidak memiliki sistem kiraan semula yang meyakinkan. Sekiranya berdepan masalah, mereka tidak mampu menanganinya," kata Pamela Smith daripada VVF.
Pada September tahun lalu, sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Roger Johnston daripada Argonne Lab membuktikan bahawa undian di sebuah mesin pengundian dapat diubah. Dengan hanya menggunakan satu peranti berharga AS$25 (RM75) ia mampu memanipulasi skrin sentuh mesin pengundian dan boleh dikawal dari jarak jauh. - AFP

Belia 'emo' dibunuh kejam di Iraq




GAMBAR yang dirakam pada Rabu lepas menunjukkan dua lelaki 'emo' Iraq di Baghdad menghembuskan asap sisha bagi menyembunyikan identiti mereka.


BAGHDAD - Golongan belia yang digelar 'emo' dibunuh dengan kejam dan secara meluas di Iraq ekoran mereka dituduh mengamalkan hubungan sejenis.
Senarai nama belia yang dikaitkan dengan gaya hidup gay itu dikeluarkan oleh militia-militia tempatan yang kemudian memburu dan membunuh mereka.
Setakat ini, pasukan keselamatan negara Asia Barat itu gagal menghentikan perbuatan kejam itu daripada terus berleluasa.
Malah, beberapa pegawai dan pertubuhan hak asasi memberitahu, sejak enam minggu lalu seramai 58 orang yang mengamalkan homoseks atau dituduh sebagai gay dibunuh di Iraq.
Beberapa orang pegawai keselamatan memberitahu, di bandar Sadr sahaja, seramai 16 orang telah dibunuh.
Sembilan daripada mereka dipukul dengan objek tumpul hingga mati, manakala tujuh lagi ditembak.
Sumber sama berkata, tiada tangkapan dibuat setakat ini. Beberapa saksi pula menyatakan, sebahagian mangsa dihentak di kepala sampai mati menggunakan blok simen oleh anggota-anggota militia Iraq.
Satu senarai yang diagihkan oleh anggota-anggota militia di bandar Sadr, kawasan penduduk Syiah di sini baru-baru ini, mendedahkan nama atau nama samaran 33 orang yang didakwa sebagai emo beserta alamat mereka.
Senarai berkenaan mengandungi amaran yang bermaksud: "Kami memberi amaran sekeras-kerasnya kepada setiap pengamal homoseks lelaki dan wanita (lesbian). Jika anda tidak menghentikan perbuatan kotor ini dalam tempoh empat hari maka hukuman Tuhan akan menimpa anda di tangan pejuang Mujahidin."
Semua nama yang terkandung dalam senarai tersebut ialah lelaki kecuali seorang wanita.
Di Barat, 'Emo' adalah singkatan untuk emosional. Terma tersebut dikaitkan dengan remaja atau belia yang mendengar muzik alternatif, berpakaian hitam dan memiliki gaya rambut radikal.
Golongan emo tidak semestinya gay. Tetapi di Iraq, mereka sinonim dengan hubungan sejenis.
Seperti di negara-negara Islam lain, amalan homoseks dikecam di Iraq. Mereka yang dianggap gay menjadi sasaran diserang atau dibunuh, manakala pelakunya kerap kali terlepas daripada hukuman. - Agensi

Muzium pamer legasi Enzo Ferrari

Kosmo! Online - Dunia:




PEMANDANGAN ruang pameran Muzium Enzo Ferrari semasa lawatan media di Modena, utara Itali Jumaat lalu.



MODENA, Itali - Sebuah muzium dibina di Itali bagi memberi penghormatan kepada Enzo Ferrari yang merupakan pengasas jenama kereta sport terkenal, Ferrari.
Dibuka secara rasmi kelmarin, muzium berharga 18 juta euro (RM71 juta) itu dibina di bandar kelahiran Enzo di sini.
Untuk pameran sulungnya, muzium berkenaan menampilkan 21 buah kenderaan bernilai jutaan euro termasuklah kereta Ferrari, Alfa Romeo, Fiat dan Maserati yang pernah dipandu oleh Enzo dalam pelbagai perlumbaan.
Para pengunjung muzium tersebut akan disambut dengan bunyi ngauman enjin kereta lumba sebelum menjejakkan kaki ke ruang pameran yang dibina menyerupai papan pemuka kereta.
Enzo meninggal dunia pada 1988 di sini ketika berusia 90 tahun. - Reuters

'via Blog this'

Murid antara 3 mangsa terbaru serangan Israel

myMetro | Murid antara 3 mangsa terbaru serangan Israel: "BANDAR RAYA GAZA: Tiga rakyat Palestin termasuk seorang murid sekolah terbunuh semalam, meningkatkan jumlah kematian akibat serangan udara Israel ke atas Gaza kepada 18 orang dalam tempoh kurang 48 jam, kata petugas perubatan.

Serangan terbaru di timur laut bandar raya Gaza membunuh seorang lelaki berusia 60 tahun yang dikatakan petugas perubatan adalah orang awam beberapa jam selepas serangan berlaku di utara membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di kem pelarian Jabaliya."

'via Blog this'

Askar AS bunuh 16 orang awam

myMetro | Askar AS bunuh 16 orang awam:KANDAHAR: Seramai 16 rakyat Afghanistan dibunuh seorang askar Amerika yang meninggalkan pangkalan tentera dan melepaskan tembakan ke arah orang awam semalam, kata pegawai Afghanistan dan Barat.
“Hari ini kira-kira jam tiga pagi seorang askar Amerika keluar dari pangkalan tentera dan mula menembak orang awam. Serami 10 hingga 16 orang terbunuh dan cedera,” kata jurucakap Gabenor selatan Kandahar, Ahmad Jawed.

Seorang askar ditahan ekoran insiden itu, kata Pasukan Bantuan Keselamatan NATO (ISAF) dalam satu kenyataan.
“Seorang askar AS ditahan hari ini (semalam) ekoran kaitan dengan insiden menyebabkan kematian rakyat Afghanistan di Kandahar,” kata kenyataan itu. - AFP

'via Blog this'

Barat berang Turki enggan sertai sekatan

myMetro | Barat berang Turki enggan sertai sekatan:ANKARA: Barat berang dengan keengganan Turki untuk mengenakan sekatan ke atas Iran, tetapi tidak mungkin menghukum Ankara kerana ia memerlukan bantuan mengenai isu Syria, kata penganalisis.
Manakala Washington dan Brussels adalah penyokong kuat terhadap sekatan bagi memaksa Iran menghentikan program nuklearnya, Turki percaya langkah tegas akan memakan diri, malah membelakangkan polisi diplomasi. Pegawai Turki enggan menyertai sekatan terbaru AS dan EU ke atas Iran, termasuk pengharaman import minyak dan tindakan hanya dikenakan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, penganalisis berkata, walaupun Turki memperoleh tekanan dari Washington, ia bebas daripada tindakan terutamanya kerana krisis Syria. “Pertama sekali, pentadbiran Obama memerlukan bantuan Turki untuk berdepan dengan pergolakan politik Arab, khususnya situasi yang sukar di Syria,” kata felo kanan Majlis Atlantik Amerika Syarikat, barbara Slavin. Sejak tercetusnya pemberontakan pada pertengahan Mac tahun lalu, Ankara dan Washington telah bekerjasama mengendalikan polisi cara bagaimana untuk menangani tindakan Presiden Bashar al-Assad ke atas pemberontak yang meragut lebih 7,600 nyawa, menurut anggaran PBB.
Kedua-duanya menggesa Bashar meletakkan jawatan dan turut bimbang pemberontakan akan berlanjutan di rantau itu yang sudah pun tercetus akibat kebangkitan di dunia tahun lalu. - AFP

'via Blog this'

Barat patut henti buli Iran: Mahmoud

myMetro | Barat patut henti buli Iran: Mahmoud:TEHERAN: Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad semalam berkata, Barat patut menghentikan sikap “membuli” negaranya dan menegaskan sekatan yang dikenakan terhadap program nuklearnya hanya menyebabkan tidak lebih daripada kesan “psikologi”.
“Dengan Tuhan sebagai saksi saya, rakyat Iran tidak hairan dengan bom anda, pesawat dan kapal perang anda,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen di bandar raya Karaj di barat Teheran. “Mereka kata semua opsyen ada di meja rundingan, biar mereka reput di situ. Anda sendiri yang akan mereput,” katanya tegas. Mahmoud berkata, Amerika Syarikat dan sekutu Kesatuan Eropah (EU) “patut bercakap dengan sopan” dan mengiktiraf hak negara lain serta bekerjasama dan tidak menunjukkan senjata dan bom. Ucapannya itu dibuat ketika Iran dan kuasa utama dunia - anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Jerman - bersedia untuk memulakan rundingan di tengah ketegangan terhadap aktiviti nuklaer Teheran.

Amerika Syarikat secara khusus berulang kali berkata, “semua opsyen ada di meja rundingan” apabila ia membabitkan Iran, meningkatkan bayangan serangan ketenteraan terhadap loji nuklaer Iran.
Bagaimanapun, Presiden AS Barack Obama mengambil langkah berhati-hati terhadap “ancaman” ketika bercakap mengenai kemungkinan perang dengan Iran, mengatakan masih wujud ruang untuk diplomasi. Pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei menyambut “rundingan secara baik” Obama, tetapi menyatakan azam AS untuk melanjutkan sekatan sebagai ‘ilusi”.

AS dan kerajaan Barat lain mengesyaki Iran menghasilkan senjata nuklear walaupun khidmat perisikan AS berkata, Teheran belum membuat keputusan sama ada untuk menghasilkan bom atom. Iran, malah, menafikan membuat penyelidikan mengenai senjata nuklear.

Ia telah dua kali menolak permintaan pemerhati nuklear PBB untuk memeriksa loji ketenteraan yang didakwa menjalankan ujikaji bahan letupan yang mendorong kepada penghasilan bom atom itu. - AFP

'via Blog this'

Budak perempuan ketagih minum petrol

myMetro | Budak perempuan ketagih minum petrol:NEW YORK: Sekiranya menghidu petrol tidak cukup bahaya, temuilah budak perempuan yang meminumnya.
Mengangkat bekas merah minyak itu di depan kamera, budak perempuan bernama Shannon menunjukkan demonstrasi ketagihannya meminum petrol untuk rancangan televisyen TLC My Strange Addiction. 
“Ia mendebarkan pada mulanya dan kemudian ia membakar belakang tekak saya,” kata Shannon menjelaskan tabiatnya meminum bahan itu sehingga 12 sudu teh sehari.

“Walaupun ia menyakitkan, ia buat saya rasa selesa,” katanya sama ada menjilat penutup atau meminumnya terus daripada bekas itu yang dikatakan menjadi kegemarannya.

Ibunya berkata, dia pada mulanya tidak percaya ketika mendengar tabiat anaknya itu tetapi kemudian dia terhidu bau minyak itu pada nafas anak perempuannya.

“Saya ambil penutup dan saya hidu bau yang keluar dari bekas itu,” kata Shannon menunjukkan tabiatnya.

TLC menganggarkan Shannon telah mengambil lebih lima gelen petrol untuk tahun lalu saja.

“Meminum petrol boleh menyebabkan terbakar, muntah, cirit-birit dan jika diambil dalam jumlah besar menyebabkan pening atau kematian,” tulis Jabatan Kesihatan New York. Minyak petrol adalah bahan toksik.

Ketagihan Shannon menghirup petrol timbul beberapa hari selepas seorang lelaki di Carolina Utara mati selepas terminum cecair sama dalam sebiji balang tanpa sengaja. - TS

'via Blog this'

Lelaki serigala diminati wanita

myMetro | Lelaki serigala diminati wanita:

BANGGA...Gomez bersama anak lelakinya Michael yang kini berusia 10 tahun.
BANGGA...Gomez bersama anak lelakinya Michael yang kini berusia 10 tahun.
LOS ANGELES: Dia mengalami keadaan yang jarang ditemui dan menjadikan dia lelaki paling berbulu di dunia, tetapi sekurang-kurangnya dapat mengelakkan serigala daripada muncul di pintu rumahnya.
Selepas diketawakan sepanjang hidupnya dan berlakon dalam pertunjukan sarkas, Larry Gomez mula mengukir nama di Hollywood.

Dia muncul dalam filem popular dan menghasilkan rancangan realiti televisyennya sendiri. Dan lelaki serigala, nama yang dikenalinya di kalangan rakan dan peminatnya menikmati kemasyhuran.
Foto
GOMEZ menghidap genetik hypertrichosis atau sindrom serigala. 
Foto
SAAT BAHAGIA...Gomez pada hari perkahwinannya dengan Nadine pada 2007. 
Gomez, 35, di mana seluruh tubuh dan wajahnya dipenuhi bulu hitam lebat berkata: “Apabila wanita melihatnya kali pertama, mereka tidak percaya.

“Kemudian apa yang ingin mereka lakukan ialah menyentuhnya. Berapa ramai teman wanita yang saya miliki? Sekurang-kurangnya 35 orang. Wanita mengharapkan saya menjadi lebih daripada seorang lelaki, gagah kerana bulu itu. Saya boleh berhubung dengan wanita dengan baik. Malah, saya mempunyai beberapa peminat setia,” katanya. Gomez mengalami keadaan genetik hypertrichosis yang jarang berlaku atau sindrom serigala. Hanya 50 orang sejak zaman pertengahan dikesan mengalami sindrom itu hingga ke tahap teruk dan 15 daripadanya adalah anggota keluarganya. Gomez menjelaskan: “Setiap dua minggu saya bersihkan wajah saya. Ia tumbuh di seluruh wajah saya, malah juga di kelopak mata. Saya mempunyai lebih banyak bulu di lengan berbanding di kaki saya. “Adik lelaki dan adik perempuan saya juga mengalami keadaan sama. Dan beberapa sepupu saya. Ia lebih sukar bagi adik perempuan saya, Jamie Maria. Dia baru berusia 20 tahun. Anda perlu kuat apabila menjadi seperti ini.

“Ada seorang lelaki di China, tetapi dia tidak begitu berbulu seperti saya. Dia mencabar saya tetapi dia tidak mempunyai peluang untuk menang,” katanya.
Gomez dilahirkan sebagai Gabriel Ramos Gomez di Mexico tetapi mendapat nama baru daripada filem seram 1941 The Wolf Man, di mana karakter utamanya yang dipenuhi bulu digelar Larry Talbot. Ketika muda, dia dan adik lelakinya Danny, 33, menyertai sarkas dan dikenali sebagai budak serigala. Gomez pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki, Michael, kini 10 tahun yang tidak mengalami keadaan sama sepertinya.

Bagaimanapun, pada 2007 dia berpisah dengan isterinya, Nadine dan berpindah ke Los Angeles untuk meraih kemasyhuran dalam filem.

'via Blog this'

Lelaki burung meluncur rentas Banjaran Alps

Kosmo! Online - Dunia:




REMO LAENG memakai sut sayapnya dan meluncur di ruang udara Studen, Switzerland pada Jumaat lalu.



ZURICH - Meluncur di udara selaju 500 kilometer sejam, seorang lelaki Switzerland merentasi Banjaran Alps di Eropah dengan menggunakan sut sayap kelmarin.
Penerjun udara, Remo Laeng terjun dari sebuah pesawat pada ketinggian 7,500 meter dekat resort ski Verbier dan merentasi banjaran berkenaan dari arah selatan.
Digelar 'lelaki burung' kerana keberaniannya meluncur di udara, Laeng, 36, terbang selama empat minit sebelum melintasi puncak Gunung Grand Combin setinggi 4,314 meter di barat daya Switzerland, sekali gus merentasi banjaran Alps.
Agensi berita Switzerland, SDA melaporkan, dia meluncur sejauh 26 kilometer di udara sebelum mendarat dengan selamat di Aosta, Itali.
"Saya tidak mengambil risiko sebenarnya. Saya akan mengaktifkan payung terjun jika sangsi percubaan ini akan berjaya," kata Laeng.
Sut sayap yang dihasilkan sekitar tahun 1990-an memiliki lapisan di sekeliling badan pemakainya bagi membolehkan dia meluncur lebih lama di udara sebelum payung terjun diaktifkan. - Reuters

'via Blog this'

Keluarga Bashar mafia: Amerika

Berita Harian Online | Keluarga Bashar mafia: Amerika:
PENYOKONG Bashar menunjukkan sokongan dalam perarakan di Beirut.
PENYOKONG Bashar menunjukkan
 sokongan dalam perarakan di Beirut.
 

Washington tak yakin resolusi isu Syria tajaan AS diluluskan PBB 

WASHINGTON: Amerika Syarikat semalam menyamakan pentadbiran Presiden Bashar al-Assad dengan keluarga mafia dan mendesak penyokong pemimpin Syria itu untuk berfikir dua kali sebelum patuh kepada arahan membunuh orang tidak bersalah.
“Di bawah pemerintahan Bashar, kuasa politik di Syria dijalankan oleh keluarga jenayah ala mafia, bukan Parlimen atau parti mahupun Kabinet,” dakwa jurucakap Jabatan Negara Amerika, Victoria Nuland.
Bashar menggantikan bapanya, Hafez, pada tahun 2000, dan saudara lelakinya, Maher al-Assad, pula dituduh oleh pembangkang sebagai arkitek utama di sebalik tindakan ganas rejim itu menangani pemberontakan. 

“Jika Bashar seperti keluarga mafia, siapa ketuanya di sini?” tanya seorang wartawan. 

Nuland menjawab: “Saya tidak akan membongkar kehidupan dalaman keluarga itu tetapi beliau adalah presiden negara ini. Beliau yang memikul tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku.” 

Beliau turut menyalahkan Bashar di atas keganasan yang berlaku dan dikatakan pembangkang sudah meragut 8,500 nyawa dalam masa setahun. 
Nuland menekankan, pemerintah, tentera dan pemimpin perniagaan yang masih menyokong keluarga Bashar yang masih mematuhi arahan membunuh penduduk tidak bersalah, perlulah berfikir dua kali mengenai apa yang mereka lakukan dan berhenti melakukannya. 

Peletakan jawatan dan tindakan berpaling tadah seorang timbalan menteri serta 12 pegawai tentera termasuk enam jeneral dan seorang leftenan wanita yang masuk ke Turki minggu ini dikatakan satu tamparan hebat kepada Bashar. 

Dari segi diplomatik, Russia, antara sekutu Syria bersama China, menyifatkan satu inisiatif pimpinan Amerika mengeluarkan resolusi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tidak seimbang. 

Ketika mendedahkan wujud pertelagahan antara kuasa dunia mengenainya, Nuland berkata, Washington tidak yakin resolusi itu boleh diluluskan dalam masa terdekat. 

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov menerangkan pendirian negaranya dalam rundingan dengan rakan negara Arabnya di Kaherah semalam. 

Tetapi, Lavrov akan berunding terlebih dulu dengan Annan di ibu kota Mesir itu sebelum wakil PBB berkenaan menuju Syria, kata jurucakap PBB. – AFP
'via Blog this'

Makan buah, sayur untuk kacak, jelita

Berita Harian Online | Makan buah, sayur untuk kacak, jelita:




2012/03/11

LONDON: Amalan memakan buah-buahan dan sayur-sayuran bukan saja menjadikan kulit anda cerah sihat tetapi juga menjadikan penampilan lebih menawan. 

Sekumpulan saintis di Universiti St Andrews memantau pengambilan makanan 35 orang dan turut merakamkan gambar mereka sepanjang tempoh berkenaan.

Mereka mendapati, memakan secara purata 2.9 bahagian lebih buah-buahan dan sayur sehari akan menyebabkan seseorang kelihatan sihat dibandingkan dengan orang lain pada akhir kajian, manakala pengambilan tambahan 3.3 bahagian akan menambahkan lagi daya tarikan, lapor Daily Mail.
Buah dan sayur kaya dengan karotenoid yang memelihara daripada kerosakan sel akibat pencemaran dan pancaran ultra ungu dan boleh mencegah masalah berkaitan umur seperti penyakit jantung dan kanser. 

Sebelum ini diketahui bahawa memakan terlampau banyak sayur tertentu seperti lobak merah akan menyebabkan kulit bertukar menjadi oren. 

Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada peningkatan kecil pigmen merah dan kuning pada kulit dirasakan oleh orang lain atau apa yang dilihat sebagai daya tarikan. – Agensi
'via Blog this'

Pakai tahi lalat palsu salah

Berita Harian Online | Pakai tahi lalat palsu salah:




2012/03/11

Wanita cuba padankan wajah dalam paspot ditahan di lapangan terbang Filipina 


MANILA: Anggota keselamatan Biro Imigresen Filipina berjaya memintas seorang wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino kerana menggunakan tahi lalat palsu di pipinya dalam usaha untuk memadankan wajah dalam gambar pasport yang dibawanya. Akhbar Philippine Daily Inquirer melaporkan, Pesuruhjaya Imigresen, Ricardo David Jr berkata penumpang terbabit menaiki penerbangan Philippine Airlines ke Singapura.

Wanita itu mengenakan tahi lalat palsu supaya kelihatan serupa dengan gambar dalam pasportnya, kata David yang memetik laporan pegawai Bahagian Operasi Lapangan Terbang. 

Pegawai itu enggan mendedahkan nama penumpang kerana undang-undang melarang pendedahan identiti mangsa pemerdagangan manusia. 

Beliau, bagaimanapun, memberi amaran kepada warga Filipina lain yang mahu bekerja di luar negara supaya berhenti daripada menggunakan tipu helah untuk ke luar negara kerana itu bermakna mereka berada dalam status tidak sah. 
“Penggunaan muslihat dan kaedah penyamaran seumpama itu tidak berjaya kerana ia tidak akan mengatasi pengawasan pihak kami di lapangan terbang,” kata David Jr. 

Pemangku ketua lapangan terbang berkenaan, Benito Se, berkata penumpang sedang berbaris di kaunter pelepasan imigresen ketika wanita itu diarahkan ke pejabat soal siasat. 

Wanita itu mendakwa, dia adalah pelancong tetapi pegawai imigresen mendapati dia tidak mempunyai tempahan hotel dan tidak menjelaskan tujuan ke Singapura. 

Se berkata, pegawai imigresen turut mengesan perbezaan antara wajah penumpang itu dengan gambar dalam pasportnya. 

“Dia diminta menyapu pipinya dengan sapu tangan, dan tahi lalat palsu itu tertanggal,” katanya. 

Penumpang itu kemudian diserahkan kepada Majlis Antara Agensi Menentang Pemerdagangan untuk siasatan lanjut. – Agensi
'via Blog this'