IPOH: Seorang bayi lelaki yang dicampak berhampiran kawasan perumahan Anjung Bercham Indah, di sini, terselamat daripada menjadi ‘hidangan’ sekumpulan anjing liar yang menggigit dan menyeretnya, tengah malam semalam.
Dalam kejadian jam 12 pagi itu, mangsa yang baru dilahirkan kurang seminggu terselamat apabila tangisannya didengari penduduk kawasan perumahan itu yang segera menyelamatkannya.
Ketika ditemui, bayi seberat 2.4 kilogram itu dibalut dengan kain putih sebelum diletakkan dalam plastik oleh individu yang dipercayai berniat mahu membunuhnya. Saksi kejadian, Tan Swee Kong, 50-an, yang juga Pengerusi Rukun Tetangga Bercham berkata, dia mulanya terserempak seekor anjing dewasa menyeret plastik.
Bagaimanapun, katanya, dia yang menyangka plastik itu berisi sampah terkejut apabila terdengar tangisan bayi sebelum menghalau anjing liar berkenaan.
“Saya membuka plastik itu sebelum menemui seorang bayi lelaki yang hanya dibalut kain putih.
“Saya yakin beberapa anjing liar sudah menyeret bungkusan berisi bayi itu dari lokasi lain sebelum ia sampai di hadapan rumah saya berdasarkan kesan darah yang ditemui di jalan,” katanya ketika ditemui di wad kanak-kanak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.
Turut sama melawat bayi itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon.
“Orang yang membuang bayi ini lebih hina daripada binatang dan perbuatan ini amat tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Sementara itu, Dr Mah berkata, bayi berkenaan kini berada dalam keadaan stabil walaupun mengalami kesan luka dan sudah menerima rawatan pakar kanak-kanak HRPB.