Pages

Wednesday, February 19, 2014

Budak ditemui di padang pasir berseorangan

Budak ditemui di padang  pasir  berseoranganPekerja UNHCR membantu Marwan (dua dari kanan) ketika dijumpai berjalan sendirian di tengah padang pasir di Syria.
Damsyik: Seorang budak lelaki berusia empat tahun ditemui berjalan sendirian di tengah padang pasir di Syria selepas terpisah daripada keluarganya ketika melarikan diri daripada perang saudara di negara mereka.

Pekerja bantuan terserempak dengan Marwan berhampiran sempadan di Syria dan Jordan. Dia mengenakan baju Nike merah, jaket serta berseluar panjang, dan membawa sebuah beg plastik merah yang diisi dengan barang-barangnya.

Gambar menyayat hati yang dirakamkan pada Ahad lalu oleh wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Andrew Harper merakamkan saat pekerja PBB bertemu budak lelaki terbabit yang bersendirian.

Tidak dapat dipastikan bagaimana dia terpisah daripada keluarganya ketika mereka melarikan diri dari perang yang melanda Syria dan menyebabkan berjuta penduduk lain hilang tempat tinggal.


Bertemu ibunya semula

“Sekadar memaklumkan kepada anda Marwan selamat bertemu semula (dengan) ibunya sebaik saja selepas dibawa merentasi sempadan Jordan,” kata wakil pesuruhjaya tinggi bagi pelarian PBB di Jordan, Harper, yang menulis di Twitter.
Nota terbabit adalah berikutan rakaman gambar yang menunjukkan seorang pekerja bantuan membawa seorang budak lelaki, manakala pekerja lain datang memberi bantuan kepada budak lelaki itu.

Marwan adalah antara wajah kesengsaraan di Syria yang membabitkan lebih satu juta kanak-kanak dengan 425,000 daripadanya berusia di bawah lima tahun hilang tempat tinggal.

“Perjalanan merentasi padang pasir boleh mengambil masa sehari atau beberapa minggu,” kata jurucakap UNHCR, Andrej Mahecic.

“Ia amat berbahaya kerana masih ada peperangan berterusan dan di tengah musim sejuk jadi ia mungkin terlalu sejuk pada waktu malam.

“Perjalanan berkenaan amat panjang dan meletihkan, jadi mustahil bagi seorang kanak-kanak berusia empat tahun merentasi padang pasir bersendirian. Kami rasa Marwan mungkin sesat ketika tengah malam. Sehingga kini kami belum mengetahui apa-apa.” - AGENSI

Arnab liar kejar pelancong wanita di Pulau Okunoshima



KAWANAN arnab itu mengejar pelancong tersebut.- YOUTUBE


PULAU OKUNOSHIMA, Jepun - Sekumpulan arnab liar di sini bertindak mengejar seorang pelancong wanita untuk mendapatkan makanan.
Aksi lucu itu dirakam oleh seorang pengunjung di pulau berkenaan.
Okunoshima digelar Pulau Arnab oleh penduduk setempat kerana bilangan haiwan itu yang banyak di lokasi tersebut.
Klip video itu yang dimuat naik di laman web YouTube baru-baru ini menunjukkan sekumpulan arnab mengekori wanita tersebut selepas dia memberi haiwan itu makanan dalam bungkusan yang dibawanya . - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0219&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2tiBAnqVo 
Hakcipta terpelihara 

Air sungai bertukar jadi jingga selepas banjir


AIR Sungai Holme di Yorkshire Barat bertukar menjadi jingga selepas berlaku kejadian banjir akibat hujan lebat baru-baru ini.- Agensi


YORKSHIRE - Sebatang sungai di Yorkshire Barat di Britain bertukar menjadi warna jingga selepas banjir melanda kawasan berkenaan baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mirror semalam.
Agensi Alam Sekitar Britain memberitahu, fenomena yang berlaku di Sungai Holme itu berpunca daripada satu bahan semula jadi yang terdapat di sebuah lombong lama sebelum mengalir ke dalam sungai berkenaan.
Bahan semula jadi yang dikenali sebagai ferum oksida itu bercampur dengan mineral lain di dalam air sungai menyebabkan ia bertukar menjadi jingga.
Bagaimanapun, perubahan warna akibat campuran mineral berkenaan tidak memberi kesan kepada alam sekitar dan hidupan di dalam sungai tersebut.
Hujan lebat di kawasan berbukit menyebabkan air banjir mengalir melalui sebuah lombong dan masuk ke dalam sungai.
Lombong lama tersebut sering menjadi punca kepada masalah banjir di kawasan perkampungan Jackson Bridge di sini.
Kejadian seperti itu bukan yang pertama kali berlaku kerana sungai tersebut pernah bertukar warna menjadi coklat pada Oktober tahun lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0219&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2tiApAxv1 
Hakcipta terpelihara 

Pemilik hartanah sekitar Masjidilharam jadi jutawan


Projek pembesaran Masjidilharam di Mekah menyaksikan sejumlah penduduk sekitar masjid tersebut menerima durian runtuh berbentuk bayaran pampasan selepas tapak rumah mereka diambil alih oleh kerajaan Arab Saudi, bagi tujuan projek itu. - Agensi
MEKAH 17 Feb. - Ramai penduduk yang tinggal di sekitar Masjidilharam menjadi jutawan dalam sekelip mata, apabila kerajaan Arab Saudi melancarakan program pembesaran masjid tersebut.
Salah seorang penduduk tersebut, Mustafa al-Balushi, yang mendiami sebuah rumah kecil berhampiran masjid itu, bakal menjadi seorang jutawan, selepas jawatankuasa yang menyelia program pembesaran masjid itu menganggarkan rumahnya yang hanya berukuran 120 meter persegi bernilai 8 juta riyal (RM7.02 juta).
Mustafa, seorang kakitangan kerajaan yang bertugas sebagai penghantar barangan dan sering mengalami masalah kewangan berkata, dia mewarisi rumah tersebut daripada bapanya.
"Bapa saya membeli rumah usang itu lebih 100 tahun lalu. Jawatankuasa yang menyelia projek pembesaran masjid itu memberitahu saya, rumah saya ini bernilai 65,000 riyal (RM57,045.3) bagi setiap satu meter persegi.
"Jika urusan jual beli ini menjadi kenyataan, kehidupan saya akan berubah.
''Saya bercadang untuk membeli sebuah rumah besar dan kereta. Semuanya berubah dalam sekelip mata dengan kuasa Allah SWT,'' jelas Mustafa.
Mustafa berkata, dia tetap merasa sedih kerana terpaksa meninggalkan rumah tersebut dan berpindah ke kawasan lain.
"Sukar untuk melupakan kenangan indah tinggal di rumah ini. Setiap hari saya akan mendengar laungan azan.
''Tidak terkecuali juga, kami pasti akan terkenangkan suasana syahdu setiap kali tiba Ramadan dan hubungan kami dengan jemaah haji dan pelawat yang datang ke masjid ini. Wang tidak akan dapat menggantikan semua yang kami lalui selama tinggal di sini,'' katanya.
Seorang pemilik sebuah institusi hartanah, Abbas al-Tukhi berkata, lebih 12,000 keluarga kini menetap di sekitar kawasan pembesaran Masjidilharam dan mereka layak menerima pampasan.
"Kehidupan mereka bakal berubah dalam sekelip mata,'' katanya.
''Beberapa tahun lalu, golongan kaya pernah menetap di kawasan perumahan di sekitar masjid ini, namun mereka telah menjual rumah mereka dan berpindah ke kawasan lain, hanya segelintir penduduk masih dibenarkan tinggal di kawasan berkenaan,'' ujar Abbas.
Tambahnya, harga tanah di kawasan ini berbeza-beza mengikut keluasan dan kedudukan tanah itu dengan Masjidilharam, sebagai contoh jalan raya yang terletak berhampiran masjid berkenaan bernilai 90,000 riyal (RM78,985.80) bagi satu meter persegi.
"Jumlah wang pampasan yang terlalu tinggi akan menyebabkan berlaku ledakan besar dalam pasaran hartanah di Mekah. Harga tanah dan rumah termasuk kadar sewa dijangka meningkat sebanyak 30 peratus berikutan peningkatan harga hartanah di kawasan ini,'' katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140218/lu_04/Pemilik-hartanah-sekitar-Masjidilharam-jadi-jutawan#ixzz2ti27wXz9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lukisan panel cecah RM2.85 juta


Lukisan panel antik China yang dimiliki seorang warga emas warga Britain menerima bidaan sebanyak 516,000 pound (RN2.84 juta) di England, baru-baru ini.- AGENSI
LONDON 18 Feb. - Anak-anak pemilik empat lukisan panel tidak menyangka barangan antik yang ditemui di rumah bapa mereka boleh mencecah harga lebih setengah juta pound dalam satu jualan lelong di Dorset, South West England, baru-baru ini.
Lukisan porselin yang menggambarkan empat musim di kawasan pergunungan tersebut dijual oleh anak-anak seorang duda itu selepas bapa mereka dimasukkan ke sebuah rumah penjagaan orang tua.
Dua daripada lukisan tersebut ditemui digantung di rumah duda tersebut, manakala dua lagi disimpan di bawah katil.
Lukisan itu dibeli oleh lelaki tersebut di Hong Kong semasa dia melawat wilayah tersebut kira-kira 50 tahun lalu.
Selepas seorang penilai barangan, Richard Bromell dihubungi dan dia hanya mampu menganggarkan lukisan-lukisan tersebut bernilai antara 200 pound dan 300 pound (RM1,103 dan RM1,654) sahaja.
“Lukisan-lukisan tersebut tidak mempunyai tarikan estetika dan tidak ramai penjual barangan antik menunjukkan minat,’’ kata Bromell.
Bagaimanapun, apabila jualan lelong diadakan oleh Charterhouse Auctioneers of Sherborne di Dorset, seorang pembeli dari Shanghai, China membeli lukisan tersebut dengan bidaan 516,000 pound (RM2.85 juta). - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140219/lu_07/Lukisan-panel-cecah-RM285-juta#ixzz2thz6R0Zw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki enggan pindah tinggal bersendirian tanpa jiran


RUMAH milik Chalie Wright menjadi satu-satunya kediaman yang masih belum dirobohkan oleh majlis perbandaran. - AGENSI
LONDON 18 Feb. - Seorang lelaki Britain sanggup tinggal berseorangan di sebuah rumah di kawasan perumahan di dalam Majlis Perbandaran Wirral Borough, Merseyside, walaupun kesemua 600 jirannya sudahpun berpindah ke tempat lain, semata-mata kerana dia tidak mahu meninggalkan rumah itu yang didiaminya sejak 62 tahun lalu.
Charlie Wright menolak beberapa tawaran daripada majlis perbandaran itu untuk berpindah dari rumah kelahirannya di Birkenhead, Merseyside itu, walaupun kesemua 600 buah rumah di sekelilingnya sudahpun dirobohkan oleh majlis perbandaran untuk tujuan pembangunan.
Wright enggan berganjak dengan keputusannya walaupun kini tidak lagi hidup berjiran.
Menurut Wright, dia dilahirkan di rumah tersebut dan sudah tinggal di situ selama 62 tahun.
“Ibu saya telah tinggal di rumah ini sejak perang (Perang Dunia Kedua) dan membesarkan kami sepuluh beradik di rumah ini.
“Kini tinggal saya berseorangan, dan saya akan terus tinggal di sini walaupun sebelum ini saya mempunyai beratus-ratus jiran di kawasan penempatan ini," katanya.
Sebelum ini, terdapat kira-kira 600 buah rumah di kawasan penempatan terbabit yang terletak di pelabuhan Birkenhead dan turut menjadi tempat kediaman untuk beribu-ribu pekerja industri kilang dan pembinaan kapal.
Kira-kira 14,000 orang pernah mendiami kawasan berkenaan sebelum jumlah itu menurun kepada 1,300 orang pada pertengahan 1980-an disebabkan masalah kemiskinan.
Rumah-rumah di kawasan ini dirobohkan ekoran perancangan pihak berkuasa tempatan untuk membina kilang baharu, namun ketiadaan pelaburan dan peluang pekerjaan menyebabkan lokasi itu menjadi tandus dan terbiar.
Kini tinggal satu-satunya rumah Wright yang terletak di tepi jalan dan dikelilingi kawasan yang tandus. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140219/lu_06/Lelaki-enggan-pindah-tinggal-bersendirian-tanpa-jiran#ixzz2thyWSRW5
© Utusan Melayu (M) Bhd