Pages

Wednesday, December 19, 2012

Lelaki Jepun pengganti warga tertua di dunia




19 Disember 2012
Dari kiri Manfredini dan Kimura
Dari kiri Manfredini dan Kimura
TOKYO - Lelaki Jepun, Jiroemon Kimura muncul sebagai manusia tertua di dunia selepas wanita dari Iowa, Amerika Syarikat, Dina Manfredini, meninggal pada usia 115 di Johnston, kelmarin.

Datuk Bandar Kyotango, Yasushi Nakayama, mengesahkan status itu dan kemunculan Kimura dianggap sebagai kebanggaan rakyat Jepun.

Kimura, lahir pada 1897, iaitu 15 hari awal daripada Manfredini.

Sementara itu, cucu Manfredini, Lori Logli berkata, kematian neneknya disebabkan demam berpanjangan.

Rekod Dunia Guinness mengesahkan, Manfredini adalah warga tertua selepas Besse Cooper dari Georgia meninggal pada usia 116 tahun. - AP

Ular sawa seberat 40 kilogram ditangkap



Kakitangan JPAM bersama ular sawa seberat 40 kilogram yang berjaya ditangkap di Kampung Pulau Gajah, Sabak, Kelantan, kelmarin.
KOTA BHARU 18 Dis. - Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menangkap seekor ular sawa sepanjang empat meter seberat lebih 40 kilogram di Kampung Pulau Gajah, Sabak di sini kelmarin.
Ketua Operasinya, Mohd. Khairi Husin berkata, ular sawa jenis lekir itu ditangkap kira-kira 9.30 pagi selepas ia terperangkap pada jaring yang dipasang penduduk kampung untuk mengelakkan tanaman mereka daripada dirosakkan haiwan liar.
Katanya, enam anggota JPAM dikerah menangkap haiwan tersebut dalam tempoh lebih 20 minit dan ia dipercayai yang terbesar pernah ditangkap di negeri ini.
"Kami menghadapi situasi yang agak mencabar untuk menangkapnya kerana ia sangat besar dan melawan sebelum berjaya dimasukkan ke dalam guni.
"Ini merupakan ular terbesar yang berjaya ditangkap di negeri ini malah sebelum ini semua ular sawa yang ditangkap tidak sampai separuh saiz reptilia kali ini," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya, ular sawa itu dihantar ke pejabat JPAM di Jalan Bayam sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121219/dn_15/Ular-sawa-seberat-40-kilogram-ditangkap#ixzz2FUrL8JWC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bukan untuk seks


RANGKA manusia yang ditemui di atas katil di rumah wanita itu.
RANGKA manusia yang ditemui di atas katil di rumah wanita itu.
STOCKHOLM: Seorang wanita berusia 37 tahun yang didakwa meyimpan bahagian rangka manusia di rumahnya agar dia dapat melakukan hubungan seks dengannya berkata, walaupun perbuatannya pelik tetapi dia tidak melakukan jenayah.
Wanita Sweden itu didakwa mencabuli ketenangan si mati selepas dia dituduh menggunakan 100 bahagian, termasuk enam tengkorak dan satu tulang belakang untuk memuaskan nafsunya.

Dia memberitahu akhbar Goeteborgsposten, dia tidak menggunakan rangka manusia untuk kepuasan seksual, tetapi dia berminat dengannya.
Bagaimanapun, dia mengakui berminat dengan nekrofilia, tetapi menafikan cenderung untuk melakukan seks dengan rangka manusia.

“Saya tahu ia pelik, tetapi rangka manusia adalah hobi saya.

“Saya berminat dalam perubatan forensik dan saya juga meminati osteologi. Saya mempunyai gambar orang mati. Saya tidak menafikan itu,” katanya. Wanita itu ditahan September lalu apabila polis dihubungi ke apartmennya selepas kedengaran bunyi tembakan pistol. Mereka menemui beberapa rangka manusia dan beberapa pisau. Polis Sweden kemudian mendedahkan gambar yang dirakam di apartmennya menunjukkan tengkorak manusia di atas katil, dalam beg dan dalam peti dingin beku miliknya.
Ia menjadi tajuk utama akhbar di seluruh dunia dan wanita itu percaya dia menjadi mangsa ketidakadilan. “Lebih ramai orang telah melihat wajah saya berbanding filem Batman,” katanya. - Agensi

Rejim Bashar sukar tewaskan pemberontak


PEJUANG bebas tentera Syria daripada batalion Al-Farooq membuang poster Presiden Bashar Al-Assad di sebuah hospital tentera selepas mereka mendakwa sudah mengalahkan tentera kerajaan di Halfaya, berhampiran Hama. - Foto Reuters

PEJUANG bebas tentera Syria daripada batalion Al-Farooq membuang poster Presiden Bashar Al-Assad di sebuah hospital tentera selepas mereka mendakwa sudah mengalahkan tentera kerajaan di Halfaya, berhampiran Hama. - Foto Reuters
Naib Presiden Syria gesa rundingan damai

BEIRUT: Naib Presiden Syria mengaku tentera tidak dapat mengalahkan pejuang pembebasan yang cuba menjatuhkan rejim dan menggesa penyelesaian secara rundingan diadakan untuk menyelamatkan negara itu daripada kemusnahan.

Kenyataan spontan dan jarang dibuat oleh Farouk al-Sharaa, pembantu kanan keluarga Presiden Bashar al-Assad, berkata rejimnya mungkin mempertimbangkan strategi lain ketika pejuang semakin menghampiri Damsyik. Beliau bercakap ketika temubual yang disiarkan oleh akhbar Lubnan, Al-Akhbar, kelmarin.
“Saya tidak melihat apa yang dilakukan pasukan keselamatan dan unit tentera akan membawa kepada kemenangan mutlak. Pasukan pembangkang cuma boleh menggunakan pertempuran cara untuk menjatuhkan rejim jika matlamat mereka menolak negara ke arah kekacauan dan kitaran keganasan yang tiada akhir,” al-Shaara dipetik sebagai berkata dalam temubual yang diadakan di Damsyik.

Kerajaan perpaduan

Al-Shaara menggesa supaya penyelesaian politik secara rundingan termasuk pembentukan kerajaan perpaduan dengan bidang kuasa luas.

“Di sebalik retoriknya, Assad kini mungkin mempertimbangkan strategi jalan keluar yang membolehkan beliau mendapatkan perlindungan di luar negara dengan lehernya masih kekal pada tubuh,” kata penganalisis di syarikat analisis risiko Britain, Anthony Skinner.

Di Washington, jurucakap Jabatan Negara Amerika, Victoria Nuland, berkata kenyataan al-Shaara ‘bercakap mengenai tekanan yang dialami rejim Syria.’
“Bagaimanapun, amat dikesali ia tidak mengubah tindak tanduk rejim termasuk kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat sendiri,” katanya.

Al-Sharaa, 73, yang setia kepada keluarga Assad, menjadi tokoh kontroversi sejak permulaan kebangkitan rakyat.

Beliau tampil di khalayak ramai lewat Ogos lalu buat kali pertama dalam tempoh beberapa minggu, mematikan khabar angin beliau berpaling tadah. Ramai tokoh penting rejim berpaling tadah sejak beberapa bulan lalu walaupun puak yang rapat dengan Assad dan tentera kekal setia di belakangnya. - AP

126 spesies baru ditemui


Kombinasi gambar antara spesies baru ditemui di Lembah Mekong, dari atas  ikan keli   ‘boleh berjalan’, ikan kecil berwarna terang dan katak yang boleh menyanyi seperti burung.
Kombinasi gambar antara spesies baru ditemui di Lembah Mekong, dari atas ikan keli ‘boleh berjalan’, ikan kecil berwarna terang dan katak yang boleh menyanyi seperti burung.
Bangkok: Saintis mengenal pasti sekurang-kurangnya 126 spesies baru tumbuhan, burung, katak, kelawar dan ikan di Lembah Mekong, kata Tabung Hidupan Liar Dunia (WWF) di dalam laporan terbarunya.

Pengurus WWF bagi projek Khas Lembah Mekong Nick Cox, berkata, antara spesies terbaru yang ditemui termasuk sejenis katak boleh menyanyi seperti burung, spesies ikan keli boleh ‘berjalan’, ular kapak mata merah dan pelbagai jenis bunga.
Katanya penemuan 126 spesies baru itu dilaporkan di wilayah Lembah Mekong dinegara Thailand, Kemboja, Myanmar, Vietnam Laos dan wilayah Yunnan di barat laut China.

Penemuan baru

“Penemuan spesies baru ini satu berita baik, namun kami berdepan cabaran sukar untuk mengekalkan spesies dan memulihkan alam sekitar kerana pelbagai masalah.

“Pembinaan stesen jana kuasa elektrik, penebangan hutan dan perubahan cuaca adalah ancaman kepada spesies baru untuk terus hidup,” katanya.

Cox berkata spesies kelawar hidung besar ditemui di Vietnam, bergantung kepada hutan tropika dan kehilangan habitat semula jadi mengancam kehidupannya dengan cepat.
Spesies lain seperti ular sawa ekor pendek yang ditemui di Myanmar, menghadapi masalah pemburuan haram untuk daging dan kulitnya. - Agens

Pertempuran masih berterusan di Kachin



Masa depan etnik Kachin di Myanmar masih gelap berikutan konflik yang masih berterusan. - AGENSI
YANGON 18 Dis. - Setahun selepas Presiden Myanmar, Thein Sein mengarahkan tindakan ketenteraan ke atas pemberontak etnik dihentikan, pertempuran masih berlaku antara tentera dengan pemberontak etnik Kachin di utara negara ini.
Seorang ahli perniagaan tempatan yang menjadi orang tengah rundingan damai antara pemberontak dan kerajaan, Yup Zaw Hkaung hari ini berkata, proses rundingan damai juga masih belum dapat diputuskan.
‘‘Pertempuran antara Pertubuhan Pembebasan Kachin dengan tentera Myanmar berlaku setiap hari sejak beberapa minggu lalu.
‘‘Kedua-dua pihak menyatakan mereka mempertahankan diri,’’ katanya.
Beliau meminta pihak ketiga seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi orang tengah dalam rundingan itu.
Beberapa pusingan rundingan damai bagi menyelesaikan konflik di utara Myanmar itu gagal mencapai sebarang penyelesaian.
Pemberontak Kachin mahukan lebih hak berpolitik dan penamatan pelanggaran hak asasi manusia oleh tentera.
Berpuluh ribu orang kehilangan tempat tinggal sejak Jun tahun lepas apabila gencatan senjata antara kerajaan dan pemberontak Kachin sejak 17 tahun lalu, terbatal.
Pertempuran itu bersama keganasan etnik dan agama di Rakhine, barat Myanmar menambah kebimbangan terhadap perubahan politik oleh pentadbiran Thein Sein selepas tamatnya pemerintahan tentera. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121219/lu_04/Pertempuran-masih-berterusan-di-Kachin#ixzz2FTkfefQR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penduduk Islam kedua paling ramai di dunia



WASHINGTON 18 Dis. - Penganut Islam menduduki tempat kedua sebagai penduduk paling ramai di dunia berjumlah 1.6 bilion orang, berdasarkan kajian oleh pusat kajian, Pew Forum on Religion and Public Life yang diterbitkan, hari ini.
Menurut pusat kajian itu, penganut Kristian merupakan penduduk paling ramai di dunia berjumlah 2.2 bilion iaitu 32 peratus daripada penduduk dunia.
Pew Forum on Religion and Public Life mengumpul data berdasarkan saiz dan penyebaran geografi ke atas lapan kumpulan agama utama termasuk yang tidak mempunyai agama.
Penganut Hindu merupakan kumpulan ketiga terbesar dengan satu bilion orang diikuti penganut Buddha sebanyak 500 juta orang.
Penduduk Yahudi pula berjumlah 14 juta orang iaitu kira-kira 0.2 peratus daripada keseluruhan penduduk dunia.
Kajian demografi di seluruh dunia melibatkan lebih 230 buah negara itu mendapati, lebih lapan daripada 10 orang iaitu kira-kira 5.8 bilion orang termasuk dalam satu kumpulan agama.
Kajian itu juga menunjukkan lebih 400 juta orang mengamalkan pelbagai tradisi lama termasuk tradisi Afrika, kaum asli atau agama dahulu kala.
Pew Forum on Religion and Public Life berkata, kajian itu berdasarkan hubungan individu dan agama, tetapi tidak mengukur sejauh mana amalan agama oleh individu tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121219/lu_03/Penduduk-Islam-kedua-paling-ramai-di-dunia#ixzz2FTiE77W4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki Jepun dinobat manusia paling tua di dunia



TOKYO 18 Dis. - Seorang lelaki dari Kyoto, Jiroemon Kimura berumur 115 tahun dinobatkan sebagai manusia paling tua di dunia, yang masih hidup.
Beliau diiktiraf sebagai manusia paling tua selepas kematian penyandang gelaran itu, Dina Manfredini dari Iowa, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Kimura dilahirkan pada 10 April 1897, 15 hari lebih muda daripada Manfredini yang meninggal dunia dua minggu selepas menerima gelaran tersebut.
Warga emas yang merupakan bekas pekerja pejabat pos itu, mempunyai 14 cucu, 25 cicit dan 13 piut.
Beliau kini tinggal bersama keluarga anak lelakinya.
Keluarga Kimura enggan mengeluarkan sebarang kenyataan bagi menghormati keluarga Manfredini .
Datuk Bandar Kyotango berdekatan Kyoto, Yasushi Nakayama mengesahkan status datuk itu hari ini.
Beliau menggelar Kimura sebagai maruah bandar tersebut. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121219/lu_09/Lelaki-Jepun-dinobat-manusia-paling-tua-di-dunia#ixzz2FThn3lk7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Syria kepung kem pelarian Palestin



Sedutan video yang dimuatnaik di YouTube kelmarin, menunjukkan mayat-mayat bergelimpangan di lantai masjid selepas tentera Syria melancarkan serangan udara ke atas sebuah kem pelarian Palestin di Yarmuk, di Damsyik, Syria. - AFP
DAMSYIK 18 Dis. - Tentera Syria dilapor mengepung sebuah kem pelarian Palestin di sini, sehari selepas melancarkan serangan udara yang membunuh sekurang-kurangnya lapan orang yang berlindung di sebuah masjid di kem tersebut.
Ramai penduduk Syria melarikan diri dari kawasan tersebut semalam, ekoran pertempuran sengit antara kumpulan Palestin yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad dan kumpulan penentang kerajaan.
Seorang aktivis yang tinggal di Yarmuk, Rasim Abu Thawra memberitahu stesen televisyen al-Jazeera, kawasan penempatan itu dibedil sekali lagi dalam serangan udara semalam.
"Beratus-ratus keluarga melarikan diri dari kem tersebut ke kawasan yang lebih selamat pada hari ini.
"Mereka berpecah ke destinasi berbeza. Sesetengah pelarian berlindung di rumah saudara-mara di kawasan berhampiran dan yang lain berlindung di masjid-masjid di al-Midan dan al-Zahira," jelasnya.
Beratus-ratus pelarian Palestin turut dilapor melarikan diri ke Lebanon.
Serangan udara di kem pelarian Yarmuk itu berlaku ketika aktivis mendakwa sebuah lagi kem pelarian Palestin di bandar selatan Deraa dibom tentera udara kerajaan.
Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) bagi Pelarian Palestin berkata, kem pelarian di Yarmuk menjadi kawasan pertempuran.
Agensi PBB itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan hampir 500,000 pelarian Palestin yang tinggal di kem itu, yang turut menempatkan penduduk Syria yang berlindung.
Pertempuran sengit meletus dua minggu lalu antara kumpulan Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin- Pemerintah Umum (PFLP-GC) yang menyokong kerajaan Syria dan kumpulan pemberontak yang disokong pejuang Palestin yang lain. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121219/lu_02/Syria-kepung-kem-pelarian-Palestin#ixzz2FThMijg4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jambatan paling menakutkan dibuka



Dua pekerja memeriksa kabel jambatan gantung tertinggi di dunia dikenali sebagai Titlis Cliff Walk yang dibina di Pergunungan Titlis, tengah Switzerland, pada 1 Disember lalu. - AFP
ALPS, Switzerland 17 Dis. - Jambatan gantung paling menakutkan di dunia terletak pada ketinggian 457 meter di atas glasier dan dibina di Pergunungan Titlis di sini, sudah mula dibuka kepada orang ramai.
Jurutera mengambil masa lima bulan untuk menyiapkan jambatan yang dikenali sebagai Titlis Cliff Walk itu.
Jambatan yang terletak pada ketinggian 2,743 meter di atas paras laut itu turut menjadi jambatan gantung tertinggi di Eropah.
Pembinaan jambatan sepanjang 101 meter dan lebar hanya 91 sentimeter itu melibatkan kos sebanyak 1 juta pound (RM4.9 juta).
Majlis pembukaannya yang diadakan pada hujung minggu lalu turut diadakan ketika ribut salji, sekali gus mengurangkan jarak penglihatan kepada hanya beberapa meter.
Pembinaan Titlis Cliff Walk itu adalah sempena ulang tahun ke-100 pembukaan laluan kereta kabel yang menghubungkan pekan Engelberg dan Gerschnialp pada Januari 1913.
Pembinaan jambatan itu memberi cabaran besar kepada jurutera dengan waktu kerja bergantung kepada keadaan cuaca.
“Semua orang kagum dengan jambatan gantung itu dan pembukaannya juga dibuat ketika ribut salji, sekali gus memberi satu cabaran kepada sesiapa yang mahu melaluinya," kata Peter Reinle daripada Syarikat Kereta Kabel Titlis. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121218/lu_07/Jambatan-paling-menakutkan-dibuka#ixzz2FTfjHXbk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Guru terkejut lihat saiz daun getah gergasi dirumahnya



Guru terkejut lihat saiz daun getah gergasi dirumahnya
Azhan memegang dua daun getah bersaiz gergasi yang dibandingkan dengan daun getah bersaiz normal, semalam.
KOTA BHARU - Seorang guru terkejut apabila mendapati pokok getah liar di hadapan rumahnya berusia antara tiga hingga empat tahun menghasilkan daun getah bersaiz gergasi.

Azhan Ismail, 43, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selising, Pasir Puteh berkata, pada petang daun getah yang ditemui dalam semak di luar pagar rumah berlainan dari daun yang gugur sebelumnya kerana saiznya yang luar biasa.

“Terkejut melihat saiznya, saya segera berlari ke dalam rumah mencari pita pengukur untuk mengambil ukuran daun terbabit dan salah satunya bersaiz 52 sentimeter (cm) panjang dan 20 cm lebar.

“Manakala sehelai lagi berukuran 48.5 sentimeter panjang dan 18.5 sentimeter lebar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Azhan berkata, pada lazimnya, daun getah bersaiz biasa adalah bersaiz sekitar 20 sentimeter panjang dan 8 sentimeter lebar sahaja.

Apa yang lebih menarik, kata Azhan, daun getah berwarna hijau kekuningan yang ditemuinya itu dan kini disimpan dalam kotak, masih lagi dalam keadaan yang sama ketika ditemuinya pada 7 Disember lalu.

Azhan menjelaskan, kawasan semak di hadapan rumahnya itu dahulunya adalah bekas kebun getah dan sawit yang telah ditinggalkan justeru beliau berpendapat faktor kesuburan tanah mungkin menyebabkan pokok getah yang belum mencapai usia matang tersebut mampu menghasilkan daun bersaiz luar biasa.

“Sebelum ini penduduk kampung yang membuat makanan tradisional tapai suka mengambil daun getah daripada pokok hadapan rumah saya kerana kata mereka saiznya besar sedikit daripada saiz biasa jadi lebih mudah untuk membungkus.

“Namun saya tidak sangka, pokok itu boleh menghasilkan daun yang lebih besar dan ramai kawan-kawan yang datang memeriksa daun ini juga mengatakan mereka tidak pernah melihat daun sebesar ini dalam hidup mereka, bagi saya inilah antara contoh kebesaran ciptaan ALLAH SWT,” katanya.

Haiwan aneh di mata kail



Haiwan aneh di mata kail
Haiwan unik yang ditemui Muhammad Zulfadli malam kelmarin.
Haiwan aneh di mata kail
Zulfadli menunjukkan haiwan terbabit yang ditemuinya ketika memancing bersama rakanya di jambatan Tok Sadang.
KOTA BHARU- Rupanya seperti seekor udang, namun apabila diperhatikan sebetulnya ia juga mempunyai penyepit dan bentuk seperti ketam, haiwan pelik ini ditemui oleh seorang kaki pancing, Muhammad Zulfadli Muhammad Zahari, 23, ketika memancing di jambatan baru Tok Sadang, Pengkalan Chepa, di sini malam kelmarin.

Menurut Muhammad Zulfadli, dia bersama rakannya, Shahril Razali, 23,  menemui haiwan terbabit ditemui tersangkut pada mata kail pancingnya serta memberanikan diri memegang haiwan itu dan terkejut melihat rupa bentuknya yang unik.

“Sepanjang memancing di kawasan ini, sungai terbabit sememangnya terkenal dengan hasil tangkapan ikan yang dan tidak mempunyai hidupan lain.

“Namun saya amat terkejut apabila menemui haiwan ini yang berkaki lapan yang pada bahagian hadapan bentuknya seperti ketam manakala bahagian belakang seperti udang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Muhammad Zulfadli berkata, buntu dengan keadaan itu, dia mengambil keputusan memelihara haiwan itu yang disimpan dalam balang kecil yang berisi air.

“Setakat ini ayah saya, sudah menghubungi pihak Jabatan Perikanan bagi mengenal pasti spesies haiwan ini namun sehingga kini mereka masih belum mengetahui spesies haiwan itu.

“Pihak terbabit meminta kami menyimpannya dan akan datang mengambil haiwan terbabit, untuk dijadikan kajian sebelum mengetahui spesiesnya,” katanya.

Zulfadli berkata, sepanjang memancing di kawasan berkenaan, itulah kali pertama dia menemui haiwan unik seumpama itu.

“Setakat ini kami masih belum mengenal pasti spesies haiwan berkenaan dan menganggap kejadian berkenaan sebagai kebesaran ALLAH SWT,” katanya.

Haiwan unik yang ditemui Muhammad Zulfadli malam kelmarin.

Zulfadli menunjukkan haiwan terbabit yang ditemuinya ketika memancing bersama rakanya di jambatan Tok Sadang.

Israel tambah 1,500 penempatan haram



Penduduk Palestin tidak bersetuju Israel merampas tanah mereka.
Penduduk Palestin tidak bersetuju Israel merampas tanah mereka.
BAITULMAQDIS - Israel meluluskan satu lagi pelan bagi membina 1,500 buah rumah baru di Baitulmaqdis Timur sekali gus mencetuskan kemarahan rakyat Palestin, kelmarin.
Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Israel, Efrat Orbach berkata, jawatankuasa perancangan kementeriannya telah memberi kebenaran kepada pemaju yang pada mulanya mahu membina 1,600 rumah kepada 1,500 buah penempatan haram Yahudi di Ramat Shlomo, lapor Al-Jazeera.
Terdahulu, pelan berkenaan pernah mencetuskan perselisihan diplomatik dengan sekutunya, Washington, Amerika Syarikat (AS) pada 2010 apabila Timbalan Presiden AS, Joe Biden mengadakan pertemuan untuk meningkatkan perbincangan damai antara Palestin dan Israel.
Bagaimanapun, pelan yang dibekukan lebih setahun itu diluluskan semula dalam dua minggu lalu oleh kementerian Israel.
Sementara itu, kepimpinan Palestin bersuara akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membincangkan isu terbabit.
"Kepimpinan akan mengambil langkah yang perlu dan penting terhadap pembinaan penempatan haram Yahudi termasuk mendapat bantuan daripada PBB untuk menghalang pelaksanaan pelan tersebut," kata jurucakap Presiden Mahmoud Abbas.
Ramat Shlomo merupakan kawasan penempatan haram Yahudi dalam kawasan Baitulmaqdis Timur yang mana dirampas oleh rejim sejak tahun 1967.

Penduduk kampung pindahkan kubur unik




SEKUMPULAN orang termasuk penduduk kampung menyaksikan sebuah kubur di atas bukit di kawasan pembinaan sebuah bangunan di Taiyuan semalam.


TAIYUAN - Beberapa penduduk kampung bertindak memindahkan sebuah kubur yang terletak di atas sebuah bukit setinggi 10 meter di sebuah kawasan pembinaan sebuah bangunan kediaman di sini semalam.
Kubur tersebut terletak di atas bukit berkenaan tujuh bulan selepas kerja-kerja pembinaan bangunan berkenaan bermula.
Empat keranda digunakan untuk membawa tulang si mati yang dikebumikan di atas bukit tersebut pada tahun 2004.
Keluarga si mati dengan bantuan beberapa penduduk kampung memindahkan kubur berkenaan di sebuah lokasi yang tidak didedahkan.
Sebelum ini pihak media membuat spekulasi keluarga si mati bakal memperoleh pampasan sebanyak AS$160,400 (RM489,485).
Terdapat juga laporan media yang menyatakan, keluarga si mati menunggu tarikh yang dianggap bertuah untuk memindahkan kubur berkenaan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1219&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2FRbwiKbZ 
Hakcipta terpelihara 

Saintis selesai kes kematian firaun




IMEJ yang tidak bertarikh menunjukkan beberapa saintis Institut Akademi Bozen/Bolzano Eropah membuat penyelidikan mumia Ramses III di sebuah makmal di Kaherah, Mesir.


PARIS - Seorang pembunuh upahan mengelar leher seorang firaun agung terakhir Mesir ketika kemuncak konflik perebutan takhta, kata beberapa saintis kelmarin dalam satu laporan berhubung pembunuhan berusia 3,000 tahun itu.
Mereka berkata, teknologi forensik mendapati Firaun Ramses III menemui ajal di tangan seorang atau beberapa orang pembunuh yang dihantar oleh isteri dan anak lelakinya.
Raja empayar Mesir purba memakai gelaran firaun dengan baginda dipuja sebagai dewa.
Menurut mereka, anak lelaki Ramses III dipaksa membunuh diri selepas komplot itu berakhir.
Imej tomografi berkomputer (CT) mumia Ramses III menunjukkan salur udara dan beberapa arteri utama firaun berkenaan telah dikelar dengan menyebabkan luka selebar 70 milimeter dan hampir mengenai tulang belakangnya.
Luka tersebut menyebabkan kecederaan pada tisu leher depan firaun itu.
"Saya hampir tiada kesangsian langsung bahawa Ramses III mati kerana lehernya dikelar," kata seorang ahli palaeopatologi Institut Akademi Bozen/Bolzano (EURAC) yang mengkaji mumia dan lelaki ais, Albert Zink.
"Luka itu sangat dalam dan agak besar, kecederaan tersebut hampir mengenai tulang belakang. Ia luka yang boleh mengundang maut," tambahnya.
Ramses III yang memerintah dari sekitar 1188 hingga 1155 Sebelum Masihi (SM) disebut dalam beberapa surat kuno sebagai Dewa Besar dan seorang ketua tentera yang melindungi Mesir daripada diceroboh pihak asing.
Baginda mati ketika berusia sekitar 65 tahun tetapi punca kematiannya sebelum ini masih kabur.
Beberapa bahan bukti insiden tersebut terletak dalam surat kuno dikenali sebagai Papirus Kehakiman Turin.
Dokumen itu merekodkan empat perbicaraan berhubung dalang-dalang di sebalik komplot pembunuhan Ramses III yang antara lain melibatkan isteri mudanya, Tiy dan anak lelaki mereka, Putera Pentawere.
Setelah setahun mengkaji mumia Ramses III, Zink dan beberapa pakar dari Mesir, Itali dan Jerman mendapati luka di leher firaun berkenaan selama ini tersembunyi di sebalik kain balutan mumia. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1219&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2FRcGDKmd 
Hakcipta terpelihara 

Ikan air tawar boleh 'berjalan' ditemui di Vietnam




IKAN kecil yang berukuran antara 15 milimeter (mm) hingga 20mm ditemui di Surat Thani, selatan Thailand baru-baru ini.


HANOI - Beberapa saintis mengenal pasti sebanyak 129 spesies baharu di kawasan Mekong Besar termasuk ikan air tawar seperti keli yang boleh 'berjalan' di darat, kata Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) semalam.
Maklumat tersebut terdapat di dalam laporan baharu WWF yang memperincikan penemuan pada 2011 itu.
Kawasan Mekong Besar merangkumi sebahagian Thailand, Kemboja, Myanmar, Vietnam, Laos dan wilayah Yunnan di selatan China.
Ikan air tawar itu hidup di beberapa batang sungai di Pulau Phu Quoc, dekat Delta Mekong, dalam wilayah Kien Giang di Vietnam.
Dikenali dengan nama saintifik, Clarias gracilentus, spesies itu mempunyai kebolehan menggunakan sirip-siripnya untuk berdiri tegak dengan haiwan tersebut menggoyang-goyangkan badannya untuk bergerak ke hadapan seperti seekor ular.
Antara spesies baharu yang unik di kawasan berkenaan termasuk ikan terkecil baharu yang berukuran antara 15 milimeter (mm) hingga 20mm panjang dan katak yang boleh 'menyanyi' di utara Vietnam.
Ikan kecil itu ditemui di Surat Thani, selatan Thailand. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1219&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2FRbhXRWv 
Hakcipta terpelihara 

Pelarian Palestin lari dari Syria



SEJUMLAH kenderaan yang membawa pelarian Palestin berbaris untuk memasuki pintu sempadan Masnaa di Lebanon bagi melarikan diri dari serangan tentera Bashar di selatan Damsyik semalam.


DAMSYIK – Sejumlah pelarian Palestin di kem Yarmuk di selatan Damsyik melarikan diri selepas pertempuran sengit antara tentera rejim dan para penentang Presiden Syria, Bashar Al-Assad menggegarkan kem itu malam kelmarin.
Ketiadaan hospital, anggota bomba dan jalan yang tidak selamat menjadikan kem tersebut kini dilanda krisis kemanusiaan yang teruk.
Seorang penduduk yang dihubungi wartawan agensi berita AFP memberitahu, pihak tentera mengarahkan kesemua 150,000 penduduk berpindah menjelang tengah hari semalam.
Peperangan menentang pemerintahan Bashar yang meletus pada Mac tahun lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 43,000 nyawa.
Beberapa jet pejuang tentera Syria melancarkan serangan udara ke atas kem tersebut.
Dalam serangan pada Ahad lalu, seramai lapan orang awam terbunuh di kem berkenaan di selatan Damsyik.
Ratusan orang pelarian Palestin dilihat memasuki Lebanon semalam dari pintu sempadan Masnaa.
Seramai 2,000 orang pelarian Palestin memasuki Lebanon sejak tiga hari lalu, menurut anggaran sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian tersebut.
Menurut wartawan agensi berita itu, puluhan bas dan kereta membawa pelarian Palestin tiba di Lebanon semalam.
Beberapa penumpang memberitahu wartawan bahawa mereka datang dari kem pelarian Yarmuk yang diserang jet-jet tentera Bashar.
“Terdapat serangan di beberapa kawasan di kem tersebut dan kebanyakan orang meninggalkan kem itu,” kata seorang pemuda.
Sementara itu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia semalam, kira-kira 100 orang cedera akibat peperangan dimasukkan ke hospital setiap hari di Damsyik sehingga menyebabkan berlaku kekurangan bekalan ubat-ubatan.
Beberapa laporan menyatakan Rusia telah menghantar beberapa buah kapal perang untuk membawa ribuan warga negara itu keluar dari Syria.
Kelmarin, Naib Presiden Syria, Faruq al-Sharaa menyatakan tidak ada siapa yang bakal memenangi peperangan di negara ini.
Para penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan menentang Bashar selepas beliau didakwa gagal untuk membawa pembaharuan pentadbiran dan kebebasan bersuara di Syria. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1219&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2FRZxqSaF 
Hakcipta terpelihara