Pages

Sunday, January 8, 2012

Besar fadilat tunai solat dhuha


SOLAT dhuha bermula setengah jam selepas waktu syuruk.
SOLAT dhuha bermula setengah jam selepas waktu syuruk. 


Sunat dilaksana ketika matahari naik tinggi, panas terik

SAYA hendak kepastian mengenai solat dhuha. Bilakah waktu bermulanya dan bilakah waktu akhir bagi solat dhuha? Saya ada mendengar orang mengatakan solat dhuha ini lapan rakaat dan ada yang dua rakaat. Berapakah sebenarnya rakaat solat dhuha dan apakah surah yang dibaca dalam solat itu? Harap dapat disebut dalilnya.
HAJI RAMLI, Kuantan, Pahang.

BERKENAAN dengan solat dhuha ada sebuah hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah masing-masing setiap pagi bersedekah untuk persendian (ruas tulang) tubuh badannya. Maka setiap kali bacaan tasbih (Subhanallah) itu sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) itu sedekah, setiap bacaan tahlil (Lailahaillallah) itu sedekah, setiap takbir (Allahuakbar) itu sedekah, amar makruf nahi mungkar (menyuruh kebaikan dan melarang kejahatan) itu sedekah, dan sebagai ganti itu semua, cukuplah mengerjakan solat dhuha dua rakaat.”

Solat dhuha waktunya iaitu selepas matahari sudah naik tinggi segalah dan berakhir ketika tergelincir matahari (masuk waktu Zuhur). Mudahnya solat dhuha bermula setengah jam selepas waktu syuruk. Namun disunatkan melaksanakannya pada waktu matahari naik agak tinggi dan panas agak terik. Hal ini seperti hadis riwayat Ahmad dan Muslim, daripada Zahid bin Arqam RA, beliau berkata:
“Nabi SAW keluar menuju tempat ahli Quba. Pada ketika itu mereka sedang menunaikan solat dhuha. Baginda bersabda: Ini adalah solat orang yang kembali kepada Allah (Awwabiin), iaitu di waktu anak-anak unta telah bangun kerana kepanasan waktu dhuha.

Sekurang-kurangnya solat dhuha ini adalah dua rakaat seperti hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA berkata yang bermaksud: “Kekasihku Rasulullah SAW berpesan kepada saya supaya berpuasa tiga hari tiap-tiap bulan dan solat dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum tidur.”
Boleh juga dibuat empat rakaat seperti hadis riwayat Muslim, daripada Aisyah RA beliau berkata: “Rasulullah SAW biasa melaksanakan solat dhuha empat rakaat, dan kadang-kadang melebihi dari itu sekehendak Allah”.

Boleh juga dibuat lapan rakaat dan setiap dua rakaat satu salam seperti hadis riwayat Abu Daud, yang bermaksud: “Bahawa Nabi SAW mengerjakan solat dhuha sebanyak lapan rakaat dan tiap-tiap dua rakaat bersalam. Sehinggalah kepada 12 rakaat dan sesiapa yang mengerjakan solat dhuha 12 rakaat, nescaya dia akan mendapat istana di syurga”. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, daripada Anas r.a, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang solat dhuha 12 rakaat, nescaya Allah dirikan untuknya istana di syurga.”

Dalam kitab fiqah I’aanatuth Thalibin, jilid 1 muka surat 225 dinyatakan bahawa jika dikerjakan dua rakaat, disunatkan pada rakaat pertama sesudah membaca surah al-Fatihah, membaca surah “Wasy-Syamsi waduhaaha..” dan pada rakaat kedua sesudah membaca al-Fatihah, membaca surah “Wadhuhaa wal-Laili izaa saja.”

Jika dikerjakan lebih daripada dua rakaat, maka disunatkan tiap-tiap dua rakaat salam. Surah yang dibaca adalah seperti yang telah disebutkan, manakala rakaat selebihnya membaca surah al-Kafirun (Qul yaa ayyuhal kafirun) dan surah al-Ikhlas (Qul huwallahu ahad).

Cara yang terbaik apabila mengerjakan solat dhuha dua rakaat ialah pada rakaat pertama sesudah membaca al-Fatihah, membaca ayat Kursi sebanyak 10 kali dan pada rakaat kedua sesudah membaca al-Fatihah, membaca surah al-Ikhlas 10 kali juga. Hal ini seperti hadis daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melaksanakan solat dhuha, bacalah pada rakaat pertama surah al-Fatihah dan ayat Kursi 10 serta pada rakaat yang kedua sesudah membaca al-Fatihah, membaca surah al-Ikhlas 10 kali, pasti ia mendapat keredaan yang terbesar daripada Allah. Demikianlah, wallahualam. Berita Harian Online | Persoalan Agama: Besar fadilat tunai solat dhuha:

'via Blog this'

PAS pecat Hasan Ali



harakahdaily
KUALA LUMPUR, 8 Jan: PAS Pusat dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini, telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian YB Dato’ Dr Hasan Mohd Ali (gambar) sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta merta.

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS


Setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa PAS Pusat dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini, PAS Pusat telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian YB Dato’ Dr Hasan Mohd Ali sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta merta.

Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan YB Dato’ Hasan Ali yang menyalahi dan merugikan kepentingan Parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PAS.
Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS
PAS pecat Hasan Ali:

'via Blog this'

Jet Kenya bom kubu militan Al-Shebab, 60 terbunuh


08/01/2012 1:44am

NAIROBI 8 Jan. - Jet pejuang Kenya membunuh sekurang-kurangnya 60 militan Al-Shebab di selatan Somalia, kelmarin, dalam serangan terbaru terhadap kedudukan pemberontak.

Jurucakap tentera Kenya berkata, Kolonel Cyrus Oguna berkata, angka kematian dijangka meningkat dalam serangan udara itu ke atas kubu pemberontak di Garbahare di wilayah Gedo.

"Lebih 60 militan Al-Shebab dilapor terbunuh dan sekurang-kurangnya 50 lagi cedera," katanya. - AFPUtusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

11 banduan Iraq gali terowong lolos diri


08/01/2012 1:44am

ARBIL 8 Jan. - Sebelas banduan di sebuah penjara di utara Iraq, semalam, meloloskan diri selepas menggali terowong bawah tanah sepanjang 80 meter tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

Ketua penjara Zirga, Sagvan Jameel berkata, kesemua banduan yang melarikan diri itu masih belum ditangkap, namun gerakan mencari telah pun dilancarkan.

"Pihak penjara terkejut dengan kejadian ini kerana mereka tidak meninggalkan sebarang petunjuk yang menunjukkan cara terowong itu digali," katanya. - AFPUtusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Bayi maut digilis lori


RAIHAM MOHD SANUSI
January 8, 2012
OCPD-Kemaman,-Abdullah-Sani-Salat

KEMAMAN – Tindakan seorang bapa meninggalkan anaknya yang berusia setahun 11 bulan dalam bakul motosikal di belakang sebuah lori membawa padah apabila pemandu lori berkenaan mengundur kenderaannya lalu menggilis anak kecil malang itu dalam kejadian di Kawasan Kuari Terengganu Tengah, Ibok, di sini, pagi semalam.

Tragedi ngeri itu mengakibatkan, Muhammad Shakir Zufayri Mohd Asri, meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, bapa mangsa yang menyaksikan kejadian tersebut cuba untuk menyelamatkan anaknya.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan ditinggalkan sendirian di dalam bakul motosikal oleh bapanya yang menuju ke sebuah bengkel dengan kedudukan motosikal diletakkan di belakang sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut pasir di kuari berdekatan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, pemandu lori yang tidak sedar akan kehadiran motosikal itu mengundurkan kenderaannya lalu merempuh motosikal berkenaan.

“Dia (pemandu lori) hanya menyedari telah menggilis mangsa setelah lorinya ditepuk beberapa kali oleh saksi yang berada di tempat kejadian.

“Apabila turun dari lori dia terkejut melihat seorang kanak-kanak serta sebuah motosikal terpelosok di bawah lorinya,” katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kemaman dan bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan mangsa kecederaan parah di bahagian kepala.

Jenazah mangsa dituntut keluarga tengah hari semalam dan dikebumikan di tanah perkuburan di kampung mangsa di Batu 9, Ibok.Bayi maut digilis lori - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

686 permohonan murtad direkod


HAMIZAH BASIR
January 8, 2012
Himpunan sejuta umat

SEREMBAN – Program Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang diadakan semalam berjaya mengenal pasti sebanyak 686 permohonan murtad daripada masyarakat Islam di negara ini sehingga kini.

Pengerusinya, Azmi Abd Hamid berkata, jumlah tersebut menggambarkan isu murtad sebagai isu besar yang perlu diberi perhatian dan di­tangani semua pihak.
“Jumlah tersebut adalah analisa terkini yang kita peroleh menerusi permohonan murtad dilakukan di Mahkamah Syariah.
“Sebagai contoh, di Pulau Pinang sahaja, sebanyak 36 permohonan murtad diterima dan ia bukan jumlah yang kecil,” katanya selepas selesai program Himpunan Sejuta Umat Peringkat Negeri Sembilan di Stadium Tertutup Paroi.
Menurutnya, sebahagian besar permohonan yang diterima untuk keluar Islam terdiri daripada golo­ngan saudara baru.
“Secara umumnya, permohonan paling tinggi daripada saudara baru. Dalam kalangan umat Islam pula, gejala murtad banyak melibatkan golongan remaja berusia lingku­ngan 20-an.
“Antara faktor berlakunya gejala murtad ini adalah masalah kemiskinan, kesempitan hidup dan juga ilmu Islam yang masih kurang mendalam menyebabkan mereka ingin menukar agama,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut mengesan kaedah terbaru cubaan menghasut umat Islam keluar agama menerusi laman sosial.
“Mangsa terdiri daripada remaja perempuan yang terpengaruh me­lalui perkenalan di laman sosial, di ikuti pertemuan sehingga menerbitkan cinta, sebelum menghasut mangsa untuk keluar agama.
“Kita telah merekodkan peng akuan mangsa sendiri yang mendakwa diri mereka murtad. Namun, de­ngan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kita berjaya mengembalikan mangsa kepada ajaran Islam semula,” katanya.686 permohonan murtad direkod - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lawat rakan FB terapi berkesan

LAMAN Facebook menunjukkan misi Presser temui rakan sosialnya.
LAMAN Facebook menunjukkan misi Presser temui rakan sosialnya.
Novelis cinta habis RM96,000 kunjungi 11 negara atasi fobia

LOS ANGELES: Seorang wanita mengambil keputusan mengembara ke seluruh dunia untuk menemui semua 324 rakan Facebook dikenalinya, semata-mata mahu mengatasi masalah beliau yang takut kepada ruang terbuka, kesibukan dan situasi tidak terkawal.
Arlynn Presser, seorang penulis novel kisah cinta berusia 55 tahun dan ibu kepada dua orang anak, memenuhi azam tahun lalu untuk mengatasi darah gemuruh yang menyebabkan beliau mudah panik atau dalam takrif saintifik disebut ‘agarophobia’.
Apabila masalah itu berlaku, Presser akan berpeluh dan sukar bernafas, manakala dadanya menjadi sakit seolah-olah diserang penyakit jantung.

“Saya memang takut melakukan perjalanan termasuk menaiki kapal terbang. Malah, saya takut melakukan apa saja aktiviti di luar rumah.

“Oleh sebab itu, saya menggunakan laman Facebook untuk menjalin hubungan dengan rakan. Ia mungkin sesuatu yang baik tetapi pada masa sama tiada jaminan perasaan selamat dalam diri saya ketika itu akan berkekalan.

“Saya akan menemui semua rakan di Facebook dan saya menjangka akan mengalami banyak kejutan,” katanya yang dipetik laman web berita Perbadanan Penyiaran Amerika (ABC).
Ketika menceritakan bagaimana mendapat idea untuk menemui rakan Facebook, Presser berkata: “Saya memutuskan untuk melakukan sesuatu yang dapat mengubah rutin hidup tetapi tidak tahu bagaimana. Saya tahu apa perlu dilakukan selepas berbual dengan seorang rakan Facebook yang baru berpisah dengan kekasihnya.

“Dia berasa begitu murung hingga menyebabkan saya memutuskan untuk menemuinya bagi memulihkan keyakinan dirinya. Itulah yang memberi idea kepada saya untuk menemui rakan Facebook,” katanya.

Dalam tempoh setahun lalu, Presser sudah menemui 292 rakannya dan mengembara ke 11 buah negara. Bersama anak lelakinya Joseph, 23, beliau mengunjungi Korea Selatan, Filipina, Taiwan, India, Itali, Austria, Jerman dan England.

Beliau juga mengembara ke seluruh Amerika Syarikat dan Mexico. Presser masih mengalami panik, tetapi Joseph sentiasa bersama untuk menenangkannya supaya masalah itu diatasi.

Perjalanan sepanjang tahun itu menelan belanja AS$30,000 (RM96,000). Apapun, bagi Presser, ia sesuatu yang berbaloi untuk dilakukannya.

“Saya perlukan sedikit masa untuk menangani masalah ini, tetapi apa yang penting, saya memperoleh semula kehidupan seperti yang diinginkan,” katanya. – Agensi Berita Harian Online | Lawat rakan FB terapi berkesan:

'via Blog this'

Guna iPad masuk AS

MARTIN Reisch menunjukkan iPad mengandungi salinan pasportnya.
MARTIN Reisch menunjukkan iPad mengandungi salinan pasportnya.
Salinan pasport tablet jadi bukti

QUEBEC: Seorang lelaki Kanada yang terlupa membawa pasport dan baru sedar mengenainya ketika berada hampir dengan sempadan Amerika Syarikat, menggunakan iPad untuk dibenarkan meneruskan perjalanan ke dalam negara itu awal minggu ini.
Martin Reisch berkata, pengawal sempadan Amerika menunjukkan reaksi marah tetapi membenarkannya masuk ke negara itu dari Quebec, selepas dia menunjukkan salinan imbasan pasportnya dalam iPad miliknya.
Reisch yang berada dekat sempadan Amerika, Selasa lalu memutuskan untuk cuba masuk dan tidak berpatah balik mengambil pasportnya.

Dia memberitahu pengawal sempadan tujuannya masuk ke Amerika bagi memberi hadiah Krismas kepada anak rakan.

“Saya fikir perlu dapatkan kebenaran masuk. Pegawal itu mengambil iPad dan masuk ke pondok kecil kawalan sempadan itu.

“Agak lama saya menanti dia keluar. Dia datang semula, menunggu seketika sebelum mengucapkan selamat menyambut Krismas kepada saya.” Reisch berpendapat, pegawai itu membuat satu pengecualian dalam kes itu.
Rakyat Kanada perlu menunjukkan pasport dan bukan lagi lesen memandu sebagai bukti pengenalan diri sebelum dibenarkan masuk dari sempadan Amerika pada 2009.

Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika berkata, pihaknya hanya menerima pasport, lesen memandu terbaru atau pas Nexus daripada warga Kanada yang mahu memasuki sempadan.

Syarat masuk tidak menyebut bukti menerusi atau salinan dokumen. Jurucakap jabatan itu tidak membalas segera persoalan sama ada pasport diimbas diterima masuk ke Amerika.

Reisch, 33, mengambil sekeping gambar imbas pasportnya bertahun lalu kerana bimbang hilang atau dicuri ketika melakukan perjalanan. – Agensi Berita Harian Online | Guna iPad masuk AS:

'via Blog this'

Minta cerai suami ‘terkucil’

RIYADH: Seorang wanita muda di Arab Saudi memfailkan tuntutan cerai daripada suaminya, hanya selepas 40 hari berkahwin berikutan tabiat lelaki itu yang didakwanya kerap membuang air kecil di atas katil.

Akhbar Okaz yang memetik berita daripada laman web Al Ittihad, melaporkan bahawa, Mahkamah Rayuan Makkah memutuskan untuk membicarakan kes itu di sebuah mahkamah lain.
Isteri berkenaan mendakwa, suaminya bukan saja kerap membuang air kecil di atas katil, malah minum air kencingnya sendiri, menghidap penyakit mental dan mati pucuk.
“Suami wanita itu juga didakwa pernah cuba membakar rumah mereka,” lapor Okaz.
Mahkamah sudah mengarahkan pasangan terbabit mengemukakan laporan perubatan terperinci untuk menyokong dakwaan itu. – Agensi Berita Harian Online | Minta cerai suami ‘terkucil’:

'via Blog this'

Israel akui pendatang Yahudi pengganas

  • Foto

    SEORANG lelaki Palestin meninjau keadaan van rentung di perkampungan Beit Safafa, Baitulmaqdis, dipercayai dilakukan pendatang Yahudi.

Peneroka bersikap militan serang askar Israel ketika ceroboh tanah penduduk Palestin

PADA 20 Mei tahun lalu, pendatang Yahudi yang melawat Makam Nabi Yusuf di Nablus, Tebing Barat terbabit dalam satu kejadian tolak-menolak dengan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang dikerah melindungi mereka.
Dalam tempoh hanya beberapa minit, konfrontasi memuncak menyebabkan beberapa askar ditumbuk kumpulan berkenaan yang turut melontar batu. Video insiden itu di YouTube mula tersebar di internet atas permintaan IDF sendiri.
Kejadian di Nablus adalah antara konfrontasi yang pertama antara pendatang dan tentera Israel sendiri, sekali gus memberi kejutan kepada askar.

Brig Jen Yoav Mordechai menyifatkan pendatang berkenaan sebagai ‘penjenayah tidak bertanggungjawab’ dan menegaskan bahawa anggota IDF di Tebing Barat dikerah melindungi pendatang daripada ‘pengganas’.

Mesej beliau adalah jelas iaitu sikap pendatang meletakkan nyawa tentera dalam bahaya.

Kenyataan Mordechai itu pastinya membawa senyuman sinis kepada penduduk Palestin berhampiran Nablus di mana tanaman zaitun mereka dibakar dan masjid dirosakkan kumpulan peneroka yang sama menyerang pasukan IDF.
Tetapi insiden di Makam Nabi Yusuf itu hanyalah satu permulaan, sepanjang Julai dan Ogos, penduduk dari Yitzhar – kawasan panas pendatang ekstrem – mencetus beberapa pergaduhan dengan IDF sehingga pada Ogos, satu kejadian membaling batu oleh pendatang Yahudi terhadap rakyat Palestin sukar dikawal dan IDF terpaksa membawa penduduk Palestin menjauhi kumpulan terbabit dalam usaha melindungi mereka daripada keganasan pendatang terbabit.

“Ia suatu adegan yang menakjubkan,” kata seorang penganjur protes Palestin yang menyaksikan insiden itu ketika melawat Washington, baru-baru ini.

“Pada satu ketika, seorang daripada komander IDF itu datang kepada saya dan berkata: “Kenapa anda semua tidak membantu saya dan tembak saja mereka ini?”

Perbalahan antara pendatang dengan IDF merebak sejak beberapa minggu, mencetuskan kebimbangan terhadap pertubuhan pertaha-nan Israel itu. Ketika belum ada pegawai kanan Israel dipilih kerana belum mencadangkan bahawa program peluasan penerokaan itu perlu dikaji semula, sudut pandangan itu mendapat sokongan dari seluruh negara Yahudi berkenaan. Lagipun, matlamat tidak bertulis pendatang ialah menyekat penubuhan negara Palestin, bukannya untuk menyokong konflik dalaman.

Kini, terutama jika perbalahan itu berterusan (atau mungkin memuncak) pihak berkuasa Israel perlu bertanyakan sendiri sama ada satu langkah bijak untuk meneruskan program yang menyebabkan pendatang Yahudi menjadi ancaman sama penduduk Palestin. Penduduk Palestin sudah menyedari keadaan itu.

Ditanya mengenai perbalahan antara peneroka dan IDF berhampiran Nablus, seorang ahli perundangan Palestin menolak soalan mengenai sama ada Abu Mazen akan kembali ke meja rundingan: “Apa yang perlu kita lakukan adalah duduk dan lihat,” katanya.

“Saya rasa sudah tiba masa untuk berterus terang,” kata seorang pegawai veteran IDF dalam satu perbualan telefon mengenai insiden Nablus itu.

“Ia mungkin baru di Amerika tetapi bukan lagi rahsia di Israel. Ini adalah krisis sebenar. Apa yang kita hadapi di sini adalah kelahiran sebuah negara dalam sebuah negara. Kelahiran Yahudi Hizbullah.”

Bekas pegawai ini membuat spekulasi mengenai apa yang muncul di Tebing Barat adalah ‘satu penyelesaian tiga negara: Israel, pihak berkuasa Palestin dan di antara mereka, sebuah negara peneroka.

Yehuda Shaul, seorang penganjur Breaking The Silence, sebuah kumpulan tentera IDF komited dalam menyiarkan realiti sebagai seorang askar Israel di Tebing Barat adalah bersedia tetapi turut mengesahkan bahawa siri perbalahan antara peneroka dan IDF menjejaskan tentera Israel.

“IDF adalah di Tebing Barat untuk mengawal berpuluh ribu penduduk Palestin,” katanya, tetapi mereka lebih bermasalah mengawal pendatang. Ia sesuatu yang ironi. – Agensi Berita Harian Online | Israel akui pendatang Yahudi pengganas:

'via Blog this'

Gedempol pujaan

This summary is not available. Please click here to view the post.

Palestin cari jalan baru anggotai PBB


GENEVA 7 Jan. - Utusan Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyad Mansour berkata, mereka akan menggunakan idea kreatif baru untuk mendapatkan keanggotaan penuh badan dunia itu, walaupun Amerika Syarikat (AS) mengancam menggunakan kuasa veto.

Mansour semalam menyerahkan surat setebal empat muka surat yang memperincikan mengenai aktiviti penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang ditaklukinya dan dua idea untuk memperolehi keanggotaan penuh PBB kepada Presiden Majlis Keselamatan, Baso Sangqu.

"Kami tidak akan menyerah kalah hanya kerana satu negara yang berkuasa dan mempunyai kuasa veto menyatakan Majlis Keselamatan tidak perlu terlibat.

"Kami kini akan tampil dengan idea baru," kata beliau tanpa merujuk atau menyebut AS.

Pada September lalu, Presiden Palestin Mahmoud Abbas cuba mendapatkan pengiktirafan sebagai sebuah negara berdaulat daripada PBB dengan menganggotai badan dunia itu, tetapi ditentang oleh AS dan Israel.

Laporan oleh jawatankuasa kelulusan keanggotaan PBB turut menyatakan Palestin tidak memperolehi undi yang cukup untuk menyertai badan dunia itu, walaupun tanpa veto daripada AS.

Mansour berkata, walaupun Pihak Berkuasa Palestin masih belum memutuskan langkah seterusnya, beliau mendedahkan kemungkinan menyertai Perhimpunan Agung 192 anggota PBB di mana AS tidak mempunyai kuasa veto. - AGENSIUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Gelagat pengantin naik bas, LRT



NOR YUSNITA dan Mohd. Shah memberi pose istimewa ketika menaiki tren LRT sehingga menarik perhatian penumpang lain ketika dalam perjalanan menuju ke Taman Wilayah, Kuala Lumpur semalam.


PENUMPANG ISTIMEWA. Jika kebanyakan mempelai dibawa dengan kereta pada hari persandingan mereka, pasangan Mohd. Shah Helmi, 24, dan Nor Yusnita Ramli, 26, ada pilihan sendiri.

Mereka meraikan hari bahagia dengan menaiki tren LRT dan bas RapidKL bersama-sama penumpang lain untuk ke rumah pengantin lelaki semalam.

Pasangan itu menaiki tren LRT bermula dari Stesen LRT Ampang menuju ke Stesen LRT Gombak kemudian menaiki bas khas RapidKL untuk dibawa ke rumah pengantin lelaki di Taman Wilayah.

Idea menggunakan perkhidmatan awam itu mungkin terbit daripada kerjaya Nor Yusnita sendiri sebagai staf perkhidmatan pelanggan di Stesen LRT Bukit Jalil, manakala Mohd. Shah pula kakitangan Pos Malaysia.Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Terpisah 56 tahun kerana adat



KON Kiew menunjukkan sijil kelahirannya (kiri) dan salinan sijil kelahiran kakak kembarnya di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Gara-gara dilahirkan dalam keluarga yang terlalu ramai anak perempuan, seorang wanita, Lee Kon Kiew, 56, menghadapi detik pahit apabila dipisahkan dengan kakak kembarnya, Lee Kon Lin oleh ibu mereka ketika baru dilahirkan pada 2 November 1955 di Hospital Kuala Lumpur.

Kon Lin telah diserahkan kepada seorang jururawat keturunan Melayu di wad bersalin hospital berkenaan lantaran kepercayaan masyarakat Cina yang menganggap anak perempuan yang terlalu ramai hanya menyusahkan keluarga.

Pada waktu itu, bapa Kon Kiew iaitu Lee Kow bekerja sebagai mekanik manakala ibunya, Choong Chow Thye pula menoreh getah.

Chow Thye yang ketika itu sudah mempunyai enam anak perempuan yang masih kecil bertindak memisahkan pasangan kembar itu selepas didesak oleh ibu mertuanya yang menganggap kelahiran mereka hanya akan menambahkan bebanan keluarga.

Menurut Kon Kiew, jika ditakdirkan kembarnya itu seorang lelaki, mungkin dia yang akan diserahkan kepada jururawat tersebut.

Keputusannya untuk memisahkan kembar perempuan tersebut tidak mendapat bantahan daripada suami, Lee Kow memandangkan mereka sekeluarga hidup dalam serba kedaifan.

Kon Kiew berkata, dia kini teringin dan rindu untuk bertemu dengan kakak kembarnya yang dipercayai telah menganut agama Islam dan menggunakan nama Fazilah Ibrahim setelah dibesarkan oleh keluarga Melayu sejak kecil.

“Saya ingin sangat bertanyakan kisah hidupnya sepanjang dibesarkan oleh keluarga Melayu,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini semalam.

Anak ketujuh daripada 10 beradik itu berkata, kali terakhir dia melihatnya wajah kakak kembarnya pada sekeping gambar yang dipercayai dikirimkan oleh keluarga angkat dari Singapura kira-kira tiga tahun lalu.Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'