Pages

Tuesday, June 19, 2012

Kejujuran Syeikh Abdul Qodir Al-Jaelani

Kejujuran Syeikh Abdul Qodir Al-Jaelani
( Penghulu Para Wali Allah swt )

Pada suatu hari,Sheikh Abdul Qodir Jaelani pergi ke kota Baghdad dengan tujuan untuk menuntut ilmu. Dia mengikuti satu kafilah yang akan menuju ke Baghdad dari rumahnya. Sebelum bertolak, ibunya memberi sedikit wang sebagai belanja pergi dan balik serta sedikit bekalan makanan. Ibunya menyembunyikan wang itu pada bahagian lengan baju anaknya dan dijahitnya supaya tidak diketahui orang.

Setelah siap, ibunya pun berpesan kepada Sheikh Abdul Kadir, “Hai anakku, dengarlah baik-baik pesan ibu ini. Bila kau dalam perjalanan dan berada di negeri orang, engkau hendaklah sentiasa bercakap dan berlaku benar. Ketahuilah bahawa orang Islam tidak boleh berdusta. Hendaklah kau ingat hai anakku akan sabda Rasul saw bahawa amanah itu kejayaan. Berlaku benarlah baik dalam tutur kata mahupun dalam perbuatan supaya engkau beroleh selamat dan dilindungi oleh Allah s.w.t.”

Ketika dalam perjalanan mengikuti kafilah yang pergi ke Baghdad itu, tiba-tiba mereka diserang oleh satu angkatan penyamun. Segala barang yang dibawa oleh kafilah tersebut, termasuk barang kepunyaannya turut habis dirompak. 

Kemudian, seorang penyamun bertanya kepada Sheikh Abdul Kadir, “Hai budak! Apa lagi yang ada pada engkau. Cakaplah benar kepadaku!” bentak penyamun itu dengan suara yang keras.

“Ya ada! Aku ada 40 ashrafis” ujar Sheikh Abdul Qodir dengan tegas dan bersahaja.
Penyamun itu terkejut mendengarkan kata-kata tersebut kerana menyangka budak itu mahu mempersendakannya. Pada fikirannya tidak mungkin seorang budak boleh memberitahu kepada seseorang penyamun bahawa dia masih punya wang.

“Apakah engkau mahu memperolok-oloklan aku?” tanya perompak itu lagi dengan penuh hairan.

“Tidak! Sungguh tuan, saya tidak berkata dusta,” sahut Sheikh Abdul Kadir.

“Tuan, tidakkah tuan tahu bahawa orang yang sedang menuntut atau mengejar ilmu itu seperti sedang berjalan menuju ke syurga kerana sentiasa disertai oleh malaikat yang sedia menolongnya. Saya bercita-cita menjadi seorang yang beriman lagi berilmu. Saya adalah keturunan Rasulullah s.a.w dan saya benci sekali bercakap bohong. Apalah ertinya wang 40 ashrafis pada saya ini, hingga saya terpaksa berbohong? Seorang Islam yang sejati tidak akan sesekali berbohong sekalipun dalam bahaya dan kesulitan!” sambung Sheikh Abdul Qodir dengan penuh semangat.

Kali ini penyamun itu merasa semakin terkejut mendengar kata-kata itu. Dia merasa hairan memikirkan sikap budak itu yang secara berani dan tegas memperkatakan yang benar tanpa berganjak sedikitpun. Dengan perasaan bingung penyamun itu pun membawa Sheikh Abdul Qodir berjumpa ketuanya.

“Siapa nama engkau dan dari mana engkau datang?” tanya ketua penyamun. 

Sheikh Abdul Kadir menjawab dengan berani “Nama saya Abdul Kadir dan saya datang dari Jilan”

“Kemana engkau hendak pergi?”

“Baghdad,” jawabnya ringkas.

“Untuk tujuan apa kau kesana?”

“Saya hendak menuntut ilmu.”

“Bagus! Bagus! Engkau tentu bawa wang bukan?” tanya ketua penyamun

“Benar! Saya mempunyai 40 ashrafis,” sekali lagi Sheikh Abdul Kadir menjawab dengan penuh jujur.

Demi mendangarkan pengakuan Sheikh Abdul Qodir itu, ketua penyamun terkejut lantas berkata lagi “Apa benarkah apa yang engkau katakan hai budak atau engkau sengaja hendak memperolok-olokkan aku?” 

Maka sambung Sheikh Abdul Qodir “Benar tuan! Saya tidak suka dan tidak pernah bercakap bohong kerana saya seorang Islam. Inilah ajaran ibu saya semenjak saya pandai bercakap lagi. Apalah erti wang 40 ashrafis bagi saya ini hingga saya terpaksa berbohong. Dan apalah gunanya saya hendak bersusah payah mencari ilmu di tempat yang jauh kalau untuk menjadi seorang pembohong! Akan sia-sialah segala amal dan ibadat saya dan akan sia-sialah asuhan dan didikan ibu saya!”

Dengan kuasa Allah s.w.t., ketua penyamun itu menjadi terpaku sebentar tatkala mendengarkan kata-kata Sheikh Abdul Kadir yang penuh keimanan dan hikmah itu lantas menjadi malu dan insaf. Akhirnya dengan bercucuran air mata kesedihan dan keinsafan, ketua perompak itu memohon maaf dari Sheikh Abdul Kadir lalu bertaubat dari melakukan kerja yang mungkar lagi hina itu.

* Sedikit Perkongsian Ilmiah dari saya.Semoga kisah ini akan menjadi tauladan untuk kita semua dalam menjadi hamba Allah swt yang bertaqwa...InsyaAllah ^_^

Obama-Putin mahu selesai segera krisis Syria

Obama-Putin mahu selesai segera krisis Syria
Barack Obama dan Vladimir Putin mengadakan pertemuan di sisi sidang kemuncak G20 di Los Cabos, Mexico, semalam. - Foto ihsan VOA/AP
LOS CABOS, Mexico - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin membuat pendirian bersama untuk menamatkan krisis di Syria yang menyaksikan kematian hampir setiap hari.

Kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan pertama di Los Cabos, Mexico sejak Putin kembali sebagai Presiden Rusia. Putin dan Obama menghadiri sidang kemuncak G20 di sini.

Dalam kenyataan bersama, Obama dan Putin berkata, kedua-dua melahirkan pandangan bahawa rakyat Syria yang harus menentukan masa depan mereka.

Rusia dan AS memperlihatkan pendirian yang berbeza dalam soal menyelesaikan krisis Syria yang berlarutan lebih setahun.

Rusia dan China telah dua kali menghalang resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang disokong AS berhubung krisis Syria.

Rakyat Malaysia pertama felo Universiti Cambridge

KUALA LUMPUR: Tutor Universiti Putra Malaysia (UPM), Azree Shahrel Ahmad Nazri (gambar) menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai felo penyelidik bidang matematik gunaan di Universiti Cambridge, United Kingdom.

Pelantikan di Trinity College itu adalah hasil pencapaian beliau yang menakjubkan sepanjang sesi pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang matematik di universiti terkemuka dunia berkenaan sejak 2008.
Anak muda kelahiran Terengganu berusia 32 tahun itu adalah tutor Jabatan Sains Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM.
Seingat saya tiada pelajar Cambridge berbuat demikian. Saya amat terkejut dengan kebolehannya yang boleh menggabungkan ilmu statistik dengan bioinformatik untuk menyelesaikan persoalan biologikal yang rumit. - Dr Pietro Lio’, Pensyarah kanan Universiti Cambridge
Pensyarah kanan Universiti Cambridge, Dr Pietro Lio’ dalam surat sokongannya kepada UPM menyifatkan Azree sebagai pelajar berbakat.

Beliau menyifatkan kebolehan Azree yang menjalani latihan berkembar di makmal biologi dan molekular serta sistem biologi statistik sebagai jarang berlaku di Universiti Cambridge.

“Seingat saya tiada pelajar Cambridge berbuat demikian. Saya amat terkejut dengan kebolehannya yang boleh menggabungkan ilmu statistik dengan bioinformatik untuk menyelesaikan persoalan biologikal yang rumit,” katanya.

Beliau juga berkata, jawatan itu hanya ditawarkan kepada penyelidik yang berkebolehan serta bijak dan sebagai penyelidik, Azree boleh menumpukan penyelidikan dalam bidang matematik gunaan tanpa beban mengajar, seterusnya memulakan kariernya ke peringkat lebih tinggi. 
Azree ketika dihubungi di London bersyukur dengan pelantikan selama tiga tahun yang akan bermula Ogos depan.

“Alhamdulillah. Terima kasih kepada ibu, Junaidah Embong dan ayah, Nazri Ahmad serta isteri Azwanis Abdosamad kerana sanggup berkorban. Saya akan membuat penyelidikan sepenuh masa di sini,” katanya menerusi SMS.

Menyifatkannya sebagai tugasan berat, Azree berkata tawaran itu adalah titik permulaan baginya untuk menyokong hasrat negara mencapai Wawasan 2020.

“Cabaran ini amat berat kerana saya terpaksa bersaing dengan penyelidik antarabangsa lain. Saya juga yakin di luar sana ramai lagi penyelidik yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa, cuma mereka mungkin tiada peluang seperti saya,” katanya yang baru menamatkan PhD dalam bidang matematik.

Calon Ikhwan dipilih Presiden Mesir

KAHERAH 18 Jun - Ikhwan Muslimin hari ini mengisytiharkan calonnya, Mohammed Mursi memenangi pusingan kedua pilihan raya Presiden Mesir.
Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) dalam akaun Twitter rasminya berkata, dengan kemenangan itu Mursi memenangi pilihan raya Presiden Mesir setelah menewaskan bekas Perdana Menteri, Ahmed Shafiq dalam pilihan raya itu yang diadakan pada minggu lalu.
Pengumuman itu dibuat selepas 97 peratus undi daripada 13,000 pusat pengundian dikira.
Pegawai Ikhwan Muslimin turut mengesahkannya pada satu sidang media hari ini dengan menyatakan Mursi telah memperolehi 52 peratus undi, sekali gus menewaskan Shafiq.
Mursi pada pukul 4 pagi tadi (9 pagi waktu Malaysia) turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Mesir yang mengundinya dan berjanji akan bekerjasama dengan semua rakyat untuk membawa masa depan, kebebasan, demokrasi, pembangunan dan keamanan yang lebih baik untuk Mesir.
Berita kemenangan itu, bagaimanapun dibayangi tindakan Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir (SCAF), semalam yang mengeluarkan satu dokumen meminda Perlembagaan dan memberikan mereka kuasa pentadbiran menyeluruh, termasuk mengawal perundangan.
Dokumen itu dikeluarkan selepas Mahkamah Agung Mesir pada minggu lalu membubarkan Parlimen negara ini.
Dokumen yang diundi secara tertutup itu meminda deklarasi Perlembagaan yang dikeluarkan pada Mac 2011, iaitu selepas kebangkitan rakyat di Mesir.
Ia turut menyatakan tidak akan ada pilihan raya untuk memilih Parlimen baru sehinggalah satu Perlembagaan tetap digubal.
SCAF turut diberi kuasa untuk mengawal hak veto negara ini berhubung sebarang penggubalan Perlembagaan baru. - AFP

Penduduk Rakhine digesa henti keganasan

Beberapa orang penduduk Rohingya termasuk kanak-kanak yang cuba menyeberangi Sungai Naf untuk memasuki Bangladesh selepas berlaku keganasan kaum dan agama di Rakhine, menangis selepas bot mereka ditahan oleh pihak berkuasa Bangladesh di Teknaf, kelmarin. - AFP
SITTWE 18 Jun - Pemimpin-pemimpin agama di Myanmar meminta semua pihak yang terlibat dalam konflik keganasan di negeri Rakhine menunjukkan perasaan simpati dan ketelusan, selain berusaha menangani isu-isu yang menjadi punca kepada keganasan di negeri ini.
Seorang guru agama di sebuah masjid di Jalan ke-59 di sini, U Sann Aung berkata, semua pihak perlu bekerjasama untuk menghalang sebarang bentuk keganasan agama dan kaum.
‘‘Saya percaya ia bukan sahaja tanggungjawab pemimpin agama tetapi semua pihak perlu turut serta dalam usaha mencapai keamanan. Kita sering bercakap mengenai perdamaian tetapi orang ramai juga perlu melaksanakannya dengan tindakan.
‘‘Masalahnya adalah perasaan. Orang ramai tidak dapat mengawal kemarahan mereka dan mereka lupa untuk mencari keadaan sebenar dalam sesuatu situasi itu. Sebagai contoh, mereka melihat sebuah rumah terbakar dan tindakan pertama mereka adalah membalas dengan keganasan.
‘‘Walaupun ada beberapa pemimpin agama memperkatakan mengenai keamanan dan perlunya seseorang bertenang tetapi mereka juga tidak dapat mengawal perasaan dan kemarahan sendiri. Musuh mereka adalah kemarahan mereka sendiri yang menimbulkan pemikiran untuk memusnahkan sesuatu,’’ katanya kepada akhbar The Myanmar Times, kelmarin.
Sann Aung berkata, media memainkan peranan penting sama ada positif atau negatif bergantung kepada bagaimana wartawan dan pengarang itu menyampaikan isu tersebut.
‘‘Media baru termasuk media pemerintah perlu mencari suara sebenar mereka yang mahukan keamanan dan cuba memperbaiki situasi dengan menyampaikan berita yang seimbang supaya pembaca dapat menilai situasi dengan tepat,’’ ujarnya.
Beliau percaya laporan tidak seimbang oleh media pemerintah pada awal konflik itu telah memburukkan situasi.
Seorang pemimpin agama Buddha, Kumara Biwontha berkata, semua orang mempunyai hak untuk menganut agama masing-masing dan perlu menunjukkan simpati antara satu sama lain selain mengelak melakukan keganasan.
‘‘Jika kita boleh menilai masalah ini dengan bijaksana, perdamaian dan kesejahteraan akan dapat dicapai,’’ katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh media pemerintah. - AGENSI

Dua maut dalam pertempuran puak di Papua

Gambar kejadian pada 6 Jun lalu merakamkan puak pribumi Papua bersenjatakan anak panah dan perisai menyerang musuh mereka daripada puak lain di Kampung Kwamki Lama di daerah Mimika, wilayah Papua. - AFP
MIMIKA, Indonesia 18 Jun - Dua terbunuh, manakala seorang cedera apabila puak yang bersenjatakan anak panah menyerang lawan mereka dari puak lain di wilayah bergolak Papua, hari ini
Kejadian itu berlaku awal pagi ini apabila kira-kira 500 lelaki berpakaian seluar pendek daripada satu puak menyerang musuh mereka.
Empat kenderaan termasuk trak polis terbakar dalam pertempuran itu.
“Dua terbunuh dan seorang lagi berada dalam keadaan kritikal. Mereka diserang dengan anak panah tetapi kita masih menunggu keputusan punca sebenar kematian,’’ kata Ketua Polis Daerah Mimika, Syamsul Ridwan.
Katanya, dua yang terbunuh itu merupakan penduduk Kampung Harapan, yang sering berbalah dengan penduduk Kampung Amole.
Pertempuran terakhir antara kedua-dua puak itu berlaku awal bulan ini ekoran kematian seorang anggota puak itu dalam kemalangan jalan raya dan insiden hari ini mungkin ada kaitan dengan kejadian tersebut.
Polis tidak dapat mengawal keadaan kerana jumlah anggota puak bersenjata yang terlalu ramai. - AFP

Syria sambung serang Homs

Imej dikeluarkan rangkaian berita pembangkang Syria, Shaam News Network merakamkan kemusnahan di kawasan penempatan penduduk Juret al-Shayyah di tengah bandar Homs akibat serangan tentera Syria, kelmarin. - AFP
BEIRUT 18 Jun - Tentera Syria, hari ini melancarkan semula serangan ke atas Homs selepas mengepung bandar tersebut semalam, sementara empat orang termasuk seorang komander pemberontak terbunuh di bandar Deir Ezzor.
Agensi Pemantau Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, serangan dilancarkan semula di bandar Homs dengan bunyi letupan boleh didengari dari kawasan perumahan Khaldiyeh.
Ia berkata, serangan terbaru itu berlaku selepas 67 orang maut di seluruh Syria termasuk 15 orang di Homs, semalam.
‘‘Empat orang termasuk seorang komander pemberontak maut dalam satu letupan di bandar Mohassan di wilayah Deir Ezzor,’’ katanya.
Komander tentera Norway, Jeneral Robert Mood yang mengetuai pasukan Misi Penyeliaan PBB di Syria (UNSMIS) menggesa pihak-pihak bertelagah membenarkan wanita, kanak-kanak, warga tua dan mereka yang cedera dipindahkan dari kawasan pertempuran.
Mood dalam satu kenyataan berkata, usaha untuk memindahkan orang awam dari Homs tidak berjaya dilakukan selepas bandar itu dikepung.
Menurut Agensi Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, lebih 1,000 orang kini terperangkap di Homs.
Dalam pada itu, pihak pembangkang Majlis Nasional Syria meminta bantuan untuk membantu menyelamatkan Homs dan bandar lain daripada serangan tentera Presiden, Bashar al-Assad.
Parti itu turut mengulangi gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) campur tangan dalam konflik tersebut. - AFP/Agensi

Tahanan Palestin henti mogok lapar dibebas Julai

BAITULMAQDIS 19 Jun - Pemain bola sepak Gaza, Mahmud Sarsak akan dibebaskan awal bulan depan selepas bersetuju untuk menghentikan mogok lapar yang dilancarkan sebagai bantahan terhadap penahanannya di penjara Israel sejak tiga tahun lalu tanpa sebarang dakwaan.
Peguam Sarsak, Mohammed Jabarin berkata, pihak berkuasa Israel akan membebaskan lelaki berusia 25 tahun itu lebih awal selepas dia bersetuju untuk menamatkan mogok lapar yang dilancarkannya sejak tiga bulan lalu.
"Sarsak akan dipindahkan ke hospital awam hari ini untuk menerima rawatan lanjut dan dia akan pulang ke Gaza pada 10 Julai depan," katanya. - AFP

Ikhwanul dakwa menang pemilihan presiden, tentera kawal kuasa

Ikhwanul dakwa menang pemilihan presiden, tentera kawal kuasa
Pegawai-pegawai pilihan raya mengira kertas undi di Kaherah, Mesir semalam. - Foto EPA
KAHERAH - Pihak tentera yang mengetuai kerajaan sementara mengeluarkan deklarasi memindahkan sebahagian kuasa kepada pihaknya ketika rakyat negara itu menanti keputusan pemilihan presiden yang pertama sejak Hosni Mubarak digulingkan awal tahun lalu.

Pengundian pusingan kedua berakhir semalam dan proses mengira sedang berlangsung.

Tentera mengeluarkan deklarasi itu tengah malam tadi sebaik sahaja proses pengundian peringkat kedua ditutup.

Sementara itu, Ikhwanul Muslimin, pergerakan politik dan pembangkang paling berpengaruh, mengisytiharkan calonnya, Mohammed Mursi memenangi pemilihan pusingan kedua.

Pusingan kedua melibatkan Mohamamd dan bekas Perdana Menter, Ahmed Shafiq.

Dokumen yang dikeluarkan oleh Majlis Agung Angkatan Tentera (Scaf) berkata pilihan raya umum yang baru tidak boleh diadakan sehingga perlembagaan baru dirangka.

Deklarasi itu juga memberi kawalan legislatif kepada Scaf.
Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat partinya, Mohammed memberi jaminan akan menjadi presiden kepada kesemua rakyat Mesir.
"Terima kasih kepada ALLLAH yang memimpin rakyat Mesir ke laluan kebebasan dan demokrasi, menyatupadukan rakyat Mesir untuk masa depan lebih baik," katanya.
Partinya dikatakan mendahului kiraan undi 52-48 peratus.
Bagaimanapun pasukan kempen Ahmed menolak bulat-bulat dakwaan kemenangan Mohammed.
Keputusan rasmi belum diumumkan.

Krisis Syria: PBB mahu orang awam dipindahkan

DAMSYIK - Ketua Pemerhati PBB menggesa supaya pihak yang terlibat krisis Syria agar memindahkan orang ramai khususnya kaum wanita, kanak-kanak dan orang tua dari zon konflik.

Jen Mood Robert mengakui yang usaha untuk memindahkan orang awam dari bandar Homs yang dikepung sejak minggu lalu gagal.

Bandar itu juga telah dibom oleh tentara kerajaan.

Pusat Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di UK berkata lebih 1,000 keluarga di Homs perlu dipindahkan.

Pusat tersebut turut berkata, sekurang-kurangnya seorang mangsa maut dalam keganasan semalam di daerah Khalidiyeh Homs dan 10 kematian dilaporkan di negara tersebut.

Ketua Misi Pengawasan PBB Syria, Jeen Mood berkata, kedua-dua askar yang pro-Presiden Bashar al-Assad dan kumpulan pemberontak perlu mempertimbangkan kedudukan mereka dan membenarkan wanita, kanak-kanak dan warga tua yang cedera meninggalkan zon konflik tanpa sebarang syarat dan memastikan keselamatan mereka.

“Kedua-dua pihak perlu memberi kesediaan untuk menghormati dan melindungi kehidupan rakyat Syria,” kata beliau.

Saudi lantik Putera Salman Putera Mahkota

Putera Salman
Putera Salman dilantik sebagai Putera Mahkota Arab Saudi yang baru.
RIYADH - Putera Salman dilantik sebagai Putera Mahkota Arab Saudi yang baru, demikian diumumkan hari ini.
Baginda dilantik ekoran kemangkatan Putera Nayef bin Abdul Aziz al-Saud, 78, di Geneva kelmarin ketika menerima rawatan.
Putera Salman, 76, merupakan Menteri Pertahanan dan gabenor Riydah sejak beberapa dekad lalu.
Putera Salman dilihat sebagai seorang yang pragmatik dan lebih berfikiran terbuka berbanding kakandanya, yang dilihat lebih konservatif berbanding Raja Abdullah.
Baginda akan kekal sebagai Menteri Pertahanan dan pada masa yang sama akan memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Adinda baginda, Putera Ahmed akan memegang jawatan Menteri Dalam Negeri manakala Raja Abdullah akan kekal sebagai Perdana Menteri.

Parlimen Mesir dibubar

Parlimen Mesir dibubar
Keputusan membubarkan Parlimen itu didakwa bakal mencetuskan revolusi kebangkitan baru menentang kerajaan tentera.
KAHERAH - Pemerintah Tentera Mesir, kelmarin mengeluarkan arahan membubarkan Parlimen susulan daripada keputusan Mahkamah Tinggi Perlembagaan, Khamis lalu yang mengumumkan keputusan pilihan raya lalu sebagai tidak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan.
Media melaporkan keputusan mahkamah itu turut memberi kuasa kepada ketua tentera, Hussein Tantawi untuk melaksanakan undang-undang melarang mana-mana ahli memasuki Parlimen tanpa mendapat kebenaran.

Dalam satu kenyataan, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) di bawah Gerakan Ihkwanul Muslimin memberi amaran sebarang tindakan melulu akan mencetuskan revolusi kebangkitan baru menentang kerajaan tentera yang bakal menerima nasib sama seperti bekas presiden digulingkan, Hosni Mub arak.

"Pembubaran Parlimen perlu dilaksanakan dengan pungu tan suara yang adil.
Tindakan tentera ini menunjukkan mereka sebenarnya mahu memonopoli kuasa daripada mempertimbangkan tuntutan rakyat," kata jurucakap FJP.
Beberapa pihak berpendapat pembub aran Parlimen itu mungkin akan mencetuskan Perang Saudara seperti yang berlaku di Algeria pada 1992, di mana tentera menghalang parti Islam mengambil alih kuasa sehingga menyebabkan keganasan terburuk dan meragut lebih 100,000 nyawa.

Keputusan pilihan raya pada awal tahun lalu menyaksikan parti Islam mengu asai dua pertiga kerusi Parlimen dan sehingg a kini perlembagaan baru negara tersebut masih belum dirangka.

Tentera Israel mogok lapar sokong tahanan Palestin

BAITULMAQDIS: Seorang tentera Israel yang enggan bertugas di Palestin, memulakan mogok lapar di penjara bagi menunjukkan sokongannya terhadap tahanan tanpa bicara rejim Zionis, lapor akhbar semalam.
Menurut Haaretz, Yaniv Mazor, 31, dipenjara 20 hari mulai minggu lalu kerana enggan menjalankan tugas berdepan penunjuk perasaan di penempatan haram Yahudi di kawasan Palestin.

Peguam Mazor berkata, tentera simpanan itu memulakan mogok lapar sehari selepas ditahan.
“Ia dibuat bagi mengalih perhatian daripada situasi sendiri kepada sokongan terhadap tahanan tanpa bicara Israel,” katanya. Pada 14 Mei lalu, 1,550 warga Palestin yang dijel Zionis menamatkan mogok lapar mereka.

Bagaimanapun, segelintir lagi meneruskannya, termasuk pemain bola sepak, Mahmud Sarsak, 25, yang mogok sejak lebih 80 hari lalu. - AFP

Zionis bunuh 2 pejuang Jihad Islam

GAZA CITY: Dua pejuang Palestin terbunuh dalam serangan tentera Zionis di utara Gaza semalam, kata pegawai perubatan.
Insiden itu berlaku beberapa jam selepas sekumpulan lelaki menyeberang sempadan Mesir dan membunuh seorang warga Israel.

Jurucakap agensi perkhidmatan kecemasan Hamas berkata, mangsa terbunuh dalam serangan Israel yang disasarkan pada sekumpulan orang di Beit Hanun.
Jurucakap tentera Israel mengesahkan serangan itu, namun enggan mengulas sama ada ia ada kaitan dengan serangan di sempadan Mesir pada awal pagi itu.

Saksi berkata, mangsa adalah anggota pertubuhan Jihad Islam yang menunggang motosikal berhampiran sempadan Israel ketika dibunuh. - AFP

Iran tuntut jaminan Eropah

TEHERAN: Iran sedia menggantung aktiviti pengayaan uraniumnya jika Eropah memberi jaminan menghantar bekalan bahan bakar untuk reaktor nuklearnya.
Menurut Presiden Mahmoud Ahmadinejad, Iran sentiasa menegaskan untuk menggantung program itu jika menerima jaminan Eropah untuk memberi 20 peratus bahan bakar (membabitkan uranium diperkaya).

“Malah hari ini, jika mereka memberi jaminan, tiada masalah timbul,” katanya dalam kenyataan disiarkan laman sesawang rasmi, semalam.
Menurut laman sesawang itu, Mahmoud memberi kenyataan dalam temu bual dengan akhbar Jerman, Frankfurter Allgemeine. Program pengayaan uranium sehingga 20 peratus menjadi isu utama dalam rundingan dua hari yang berlangsung di antara pegawai Iran dan kuasa besar dunia di Moscow, mulai semalam. - AFP

Mohammed Mursi menang

KAHERAH: Ikhwanul Muslimin mengisytiharkan calon mereka, Mohammed Mursi Isa al-Ayyat, memenangi pilihan raya presiden di Mesir, awal pagi semalam.
Ia adalah kemenangan jawatan ketua negara pertama gerakan Islam itu di rantau Timur Tengah yang dilanda protes besar-besaran menuntut demokrasi sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, tentera melengkapkan diri mereka dengan kuasa lebih besar daripada presiden, sekali gus meningkatkan kemungkinan berlaku konfrontasi.
Dengan pembubaran Parlimen dan pelaksanaan undang-undang tentera, pegawai kanan tentera dan perlembagaan sementara menyediakan mereka kuasa bagi memastikan penguasaan ke atas Mesir, selain membelakangkan presiden.

Jeneral tentera akan menjadi ahli Parlimen, menguasai belanjawan dan memutuskan siapa yang bakal menggubal perlembagaan rasmi yang bakal menentukan masa depan Mesir.

Kelmarin, Ikhwanul Muslimin mengumumkan enggan mengiktiraf pembubaran parlimen yang sebelum ini dikuasai mereka.
Pertubuhan berkenaan juga menolak hak tentera mengemukakan perlembagaan sementara dan menyelia penggubalan perlembagaan baru.

Keputusan rasmi dijangka tidak akan dikeluarkan sehingga Khamis ini.
Dalam ucapan kemenangannya, Mohammed Mursi, 60, meredakan ketakutan warga Mesir yang bimbang pelaksanaan hukum Islam yang ketat di negara itu.

Sebaliknya, beliau berjanji untuk mewujudkan kestabilan, kasih sayang dan persaudaraan di kalangan orang awam Mesir bagi membangunkan “negara moden yang demokratik dan berperlembagaan.” “Syukur kepada Tuhan yang memimpin kita dalam revolusi ini, juga membimbing warga Mesir kepada jalan yang benar, jalan kebebasan dan demokrasi.

“Kita bukan mahu membalas dendam. Kita semua bersaudara yang mempunyai hak dan tugas sama,” katanya. - AP

Penagih juntai anak

LELAKI yang khayal dadah menyokong anaknya dengan sebelah kaki bagi elak daripada jatuh.
LELAKI yang khayal dadah menyokong anaknya dengan sebelah kaki bagi elak daripada jatuh.
BEIJING: Seorang lelaki semalam, menjuntaikan anak perempuannya berusia tiga tahun di tingkap tingkat enam di blok apartmen mereka, selepas bertengkar dengan isterinya.
Lelaki itu membuka tingkap rumah pangsa yang baru diduduki dan duduk di birai dengan hanya memegang pergelangan tangan budak kecil itu.
Kanak-kanak kecil itu dapat dilihat cuba memeluk lutut bapanya dan menjerit ketakutan.

Saksi berkata, sesekali dia menyokong tubuh anaknya dengan kakinya tetapi dia lebih banyak memegang dengan sebelah tangan saja.

Ibu kanak-kanak itu boleh didengar menjerit dari dalam rumah dan merayunya membawa kanak-kanak itu kembali ke dalam.

Jiran menelefon perkhidmatan kecemasan yang meletakkan tilam angin di bawah sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya kanak-kanak itu terjatuh.

Anggota polis menyerbu flat itu dan mula berunding dengan lelaki berkenaan.

Selepas dia enggan membawa masuk kanak-kanak perempuan itu ke dalam, mereka terus menerpa ke arah lelaki itu dan menarik kanak-kanak perempuan itu ke tempat selamat.

Kanak-kanak itu dipercayai tidak cedera selepas kejadian itu.

Polis menahan lelaki itu yang dikatakan bertengkar dengan ibu kanak-kanak itu dan khayal kerana mengambil dadah. - DM

'Hantar pengaman bersenjata'

ASAP berkepul di bandar raya Homs, ketika keganasan yang semakin meningkat memaksa pemerhati  PBB  menggantung operasi.

ASAP berkepul di bandar raya Homs, ketika keganasan yang semakin meningkat memaksa pemerhati PBB menggantung operasi.
Pembangkang Syria desak PBB guna resolusi atasi keganasan melampau

DAMSYIK: Pembangkang Syria mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar pasukan pengaman bersenjata ke negara itu selepas pemantau PBB menangguhkan operasi mereka disebabkan keganasan.
Majlis Kebangsaan Syria (SNC), kumpulan pembangkang utama negara itu dalam satu kenyataan dikeluarkan menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk menggunakan satu resolusi di bawah Bab VII Piagam PBB untuk melengkapkan pengaman dengan senjata.
Ketika rejim melakukan jenayah terburuk terhadap penduduk Syria, kami dikejutkan dengan keputusan PBB untuk menangguhkan kerja mereka disebabkan apa yang mereka sifatkan sebagai ‘keganasan melampau. - Kenyataan SNC, Ibu Muhammad Izwan
“Ketika rejim melakukan jenayah terburuk terhadap penduduk Syria, kami dikejutkan dengan keputusan PBB untuk menangguhkan kerja mereka disebabkan apa yang mereka sifatkan sebagai ‘keganasan melampau’,” kata SNC dalam satu kenyataan diperoleh AFP.

Misi Pemantau PBB di Syria (UNSMIS) menangguhkan operasi dua bulan dalam mandat tiga bulannya pada Sabtu, dengan menyalahkan keganasan melampau.

Pemantau menjadi sasaran hampir setiap hari sejak dihantar pada pertengahan April untuk memantau gencatan senjata yang sering dilanggar.

Kenyataan SNC berkata, bahawa pemantau PBB gagal untuk mengenal pasti sumber atau jenis keganasan. 
Dengan menangguhkan misi itu, ia memberi kelebihan kepada rejim untuk meneruskan jenayah dan menafikan perlindungan kepada penduduk Syria.

SNC mengulangi gesaan kepada Majlis Keselamatan untuk campur tangan segera dan meluluskan satu resolusi di bawah Bab VII (Piagam PBB) untuk meletakkan pemantau PBB, supaya mereka boleh mempertahankan diri dan memastikan bahawa rejim berhenti membunuh, ketika menguatkuasakan rancangan damai (wakil PBB-Liga Arab, Kofi Annan).

Gesaan dibuat ketika tentera Syria dilaporkan menyerang beberapa daerah di tengah Homs semalam, sehari selepas keganasan yang meragut sekurang-kurangnya 69 nyawa di seluruh negara.

Seramai empat lagi terbunuh pada Ahad, kata aktivis Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria.

Bercakap kepada AFP melalui Skype, aktivis Abu Bilal berkata, serangan rejim terhadap beberapa bahagian bandar raya itu menyukarkan kehidupan penduduk.

“Mereka menyerang kami setiap masa. Kami kekurangan makanan dan air serta ubat,” katanya.

Abu Bilal menegaskan kebimbangan yang diluahkan pembangkang dan pemantau kelmarin, sekiranya rejim memasuki daerah mereka, penduduk yang terperangkap di sana mungkin akan dibunuh.

Beliau menambah berpuluh penduduk di tengah Homs cedera dan ramai akan mati jika tidak menerima rawatan.

Menerangkan misi penangguhan, Mejar Jeneral Robert Mood bercakap mengenai meningkatnya pertarungan dan risiko terhadap pasukan PBB seramai 300 orang selain tiadanya keinginan untuk berdamai di kalangan parti.

“Keganasan bersenjata semakin meningkat di seluruh Syria sejak 10 hari lalu,” kata Mood dalam satu kenyataan.

“Ini membataskan keupayaan kami untuk memantau, mengesahkan, melaporkan selain membantu dialog tempatan dan kestabilan projek, pada dasarnya menghalang kami untuk meneruskan mandat,” katanya. – AFP

Lukisan penduduk Aboriginal berusia 28,000 tahun



LUKISAN yang terdapat di gua batu di Arnhem, Australia.


SYDNEY - Seni lukisan yang terdapat di sebuah gua di Arnhem di Wilayah Utara Australia dipercayai berusia 28,000 tahun, kata beberapa pakar semalam.
Lukisan itu dihasilkan oleh penduduk asli Australia, Aboriginal.
Gua batu itu pernah menjadi tempat perlindungan penduduk tersebut.
Gua itu bernama Narwala Gabarnmang.
Lukisan itu terdapat di bahagian bumbung dan tiang-tiang batu.
Para arkeologi memasuki kawasan tersebut lima tahun lalu. - Agensi

Ribuan itik menuju ke kolam



RIBUAN itik berjalan di sebatang jalan raya di Taizhou semalam.


TAIZHOU, China - Seorang petani kelmarin menyebabkan pergerakan lalu lintas di sebatang jalan raya di sini terhenti, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Beberapa buah kereta dan motosikal berhenti bagi membolehkan haiwan tersebut bergerak secara berkumpulan untuk menuju ke kolam.
Petani tersebut dan beberapa rakannya mengawal pergerakan kira-kira 5,000 itik itu dengan menggunakan sebatang kayu.
- Agensi

Anggota polis Pakistan diarah atasi perut buncit


DUA anggota polis yang berperut buncit mengawal sebatang jalan raya di Karachi semalam.


ISLAMABAD - Seorang ketua polis Pakistan telah mengarahkan 175,000 anggotanya mengamalkan diet, kata beberapa pegawai semalam.
Akhbar-akhbar tempatan menganggap arahan itu adalah sebagai 'pertempuran memerangi perut buncit'.
Seorang jurucakap polis, Nabila Ghazanfar berkata, Ketua Polis Punjab, Habibur Rahman telah mengarahkan supaya anggota-anggotanya memakai seluar yang mempunyai ukuran pinggang tidak lebih 96 sentimeter.
"Saya sedang berdiet dan jika saya boleh melakukannya mengapa tidak anda?" kata jurucakap tersebut yang memetik kenyataan Habibur kepada para pegawainya pada bulan lepas.
Menurutnya, kira-kira 50 peratus anggota polis di Punjab mempunyai berat badan berlebihan.
Akhbar The News melaporkan bilangan anggota polis yang mempunyai berat badan berlebihan di bandar Rawalpindi berjumlah lebih 77 peratus.
Polis menyatakan, anggota-anggota tersebut diberikan tempoh sehingga 30 Jun ini untuk mengurangkan berat badan.
Ia menjelaskan anggota-anggota yang dilihat terlalu gemuk tidak akan diberikan tugas di barisan depan bermula pada 1 Julai depan.
"Sejumlah pegawai polis mengunjungi gimnasium, berjoging dan melakukan pelbagai senaman termasuk banyak berlari untuk menjadi kurus," kata jurucakap tersebut. - AFP

Kapal angkasa China berlabuh di Tiangong-1


KAPAL angkasa Shenzhou-9 (kanan) mendekati Tiangong-1 di angkasa lepas semalam.


BEIJING - China menamatkan misi berlabuh automatik di angkasa lepas semalam sebelum tiga angkasawan di dalam sebuah kapal angkasa memasuki sebuah modul yang mengorbit Bumi.
Kapal angkasa Shenzhou-9 yang berlepas pada Sabtu lepas dan membawa angkasawan wanita pertama China bercantum dengan modul angkasa lepas Tiangong-1.
Misi berkenaan disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen China.
Ini kali ketiga China melakukan misi berlabuh secara automatik selepas dua misi serupa dilaksanakan pada November tahun lalu.
Namun, misi kali ini berbeza kerana membawa bersama tiga angkasawan ke Tiangong-1.
Mereka terdiri daripada Komander Jing Haipeng, Liu Wang dan angkasawan wanita pertama China, Liu Yang.
Matlamat utama misi selama 13 hari itu adalah untuk melakukan prosedur berlabuh secara manual.
China turut merancang menyiapkan pembinaan sebuah stesen angkasa lepas di orbit Bumi menjelang 2020.
Matlamat tersebut memerlukan tekonologi berlabuh yang sempurna seperti yang pernah dilakukan kapal angkasa lepas Amerika Syarikat dan Rusia dalam tahun 1960-an.
Teknik berkenaan sukar dikuasai kerana melibatkan dua kapal angkasa yang berada di orbit sama dan berputar mengelilingi Bumi pada kelajuan beberapa ribu kilometer sejam.
Kapal angkasa dan stesen berkenaan perlu bercantum perlahan-lahan bagi mengelakkan kedua-duanya berlanggar dan berkecai. - Agensi