Pages

Thursday, September 8, 2011

Kereta terbakar angkara penagih

Sofian Aminsah melihat keadaan keretanya yang rosak akibat dijilat api kesan daripada pembakaran sampah di kawasan letak kereta PPR Batu Muda, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR 7 Sept. - Empat buah kenderaan rosak selepas terkena bahang dan disambar api, berpunca daripada sampah yang dibakar oleh sekumpulan penagih dadah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jalan Ipoh di sini awal pagi ini.
Difahamkan, pembakaran longgokan sampah berhampiran tempat letak kereta itu dilakukan penagih berkenaan yang ingin mengambil besi daripada sofa dan tilam yang dibuang penduduk.
Kejadian yang merosakkan bahagian belakang tiga buah kenderaan dan bahagian depan sebuah kereta itu dipercayai berlaku pada pukul 4 pagi.
Kenderaan milik penduduk yang rosak itu terdiri daripada dua buah Toyota Vios, Nissan Terrano dan sebuah Proton Wira.
Pemilik Nissan Terrano, Sofian Aminsah, 42, berkata, dia mengetahui kenderaannya terbakar selepas dimaklumkan oleh jiran mengenai kebakaran berkenaan pada pukul 4.15 pagi.
"Ketika itu api masih marak, terdapat penduduk lain cuba memadam api dengan mencurah air tetapi gagal. Saya juga tidak berani mengalih kenderaan itu kerana bimbang api menyambar.
"Api dapat dipadam selepas itu dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat. Hasil pemeriksaan saya dapati bahagian belakang kenderaan itu rosak termasuk tayar ganti," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya, dia menganggarkan kerosakan yang ditanggungnya akibat kejadian itu hampir RM6,000.
Pemilik Toyota Vios, Iesa Atan, 60, pula memberitahu, dia menyedari keretanya rosak akibat kebakaran berkenaan pada pukul 6 pagi ketika mahu keluar.
"Berbanding kereta lain yang turut disambar api, kereta saya hanya rosak di bahagian lampu dan bumper belakang kerana kesan bahangnya," ujarnya.
Katanya, kerugian yang ditanggungnya dianggarkan berjumlah RM3,000.

Jenayah simbah asid ditiru melalui laporan media?

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Polis tidak menolak kemungkinan suspek- suspek yang terlibat dalam kejadian simbah cecair kimia dan asid terhadap individu tertentu yang dilaporkan sebelum ini, meniru perbuatan jenayah itu melalui laporan media massa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, secara psikologi memang manusia suka meniru sesuatu melalui apa yang dilihat dan didengar.
Beliau berkata, kes-kes simbah cecair kimia dan asid bukanlah baru berlaku akhir-akhir ini tetapi sudah wujud sejak dahulu lagi.
"Ia nampak seperti trend jenayah baru apabila media massa memberi fokus dan kerap melaporkan kejadian tersebut baru-baru ini.
"Akibatnya, ia menjadi ikutan apabila ada individu tidak bertanggungjawab meniru perbuatan itu untuk melakukan jenayah samun dan membalas dendam terhadap mereka yang dibenci.
"Kes simbah asid sama macam lumba haram, jumpa ular sawa atau buang bayi. Bila media melaporkan kes-kes itu, ia menjadi ikutan dan boleh dilihat apabila ia berturutan berlaku hampir di seluruh negara," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Bagi Selangor, kata Tun Hisan, hanya dua kejadian simbah cecair disyaki asid dilaporkan berlaku pada tahun ini iaitu di Kajang dan Ampang.
Katanya, namun siasatan mendapati kedua-dua mangsa dalam kes itu disimbah menggunakan cecair pencuci dan bukan asid merbahaya.
Katanya lagi, pasukan khas dianggotai polis Selangor dan Kuala Lumpur yang ditubuhkan baru-baru ini bagi mengesan suspek-suspek terlibat dalam kejadian terbabit masih berusaha memburu penjenayah berkenaan.
Dalam pada itu, Tun Hisan menasihatkan orang ramai terutama pengguna jalan raya berhati-hati apabila dihampiri individu tidak dikenali yang melanggar kereta dari belakang atau memaklumkan kenderaan mengalami kerosakan seperti tayar pancit.
Katanya, mungkin tayar kenderaan itu sengaja dipancit oleh individu terbabit yang berniat mahu menyerang mangsa dengan asid sebelum disamun.
"Jika anda pada masa itu berada di tempat pemandu dan mahu melarikan diri, saya nasihatkan anda keluar ikut pintu kiri kerana kebiasaannya suspek menyerang dari arah kanan," katanya.

3 serangan bersenjata, 10 maut


MAYAT salah seorang mangsa serangan senjata api di Nevada ditutup dengan kain terbaring di hadapan sebuah restoran di Carson City, Nevada, kelmarin. – REUTERS



LOS ANGELES 7 Sept. – Tiga orang terbunuh manakala lapan lagi cedera apabila seorang lelaki bersenjata rifal melepaskan tembakan ke arah sekumpulan Pengawal Kebangsaan yang sedang bersarapan di sebuah restoran di Nevada, Amerika Syarikat (AS), semalam, sebelum penyerang terbabit menembak dirinya sendiri.
Penyerang tersebut, Eduardo Sencion, 32, menggunakan rifal AK-47 dalam serangan awal pagi itu di restoran di Carson City, menyebabkan dua anggota Pengawal Kebangsaan dan seorang wanita terbunuh dan lapan yang lain cedera, termasuk tiga anggota pengawal.
“Kejadian ini sangat menyedihkan. Kebanyakan mangsa yang berada di restoran itu merupakan Pengawal Kebangsaan yang masih memakai uniform,” kata Sheriff Ken Furlong.
Saksi yang berada di tempat kejadian menghubungi perkhidmatan kecemasan pada pukul 9 pagi (12 tengah malam waktu Malaysia) selepas mereka ternampak seorang lelaki (penyerang) di tempat letak kereta di restoran International House of Pancakes tersebut.
Lima anggota Pengawal Kebangsaan terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan, sedang mengadakan perbincangan sambil bersarapan ketika Sencion masuk ke restoran itu dan melepaskan tembakan ke arah mereka.
Penyerang terbabit mati tidak lama kemudian selepas menembak dirinya.
Menurut rekod polis, Sencion, yang merupakan kelahiran Mexico dan menetap di Carson City, memiliki pasport AS dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Lelaki berusia 32 tahun itu telah bermalam di Carson City selepas pulang dari South Lake Tahoe, di mana dia bekerja.
Menurut media tempatan, keluarganya menyatakan tiada apa yang pelik mengenai Sencion pada malam Isnin, namun dia mungkin menghadapi masalah kesihatan mental.
Dua senjata lain yang tidak digunakan turut dijumpai di tempat kejadian selain rifal AK-47 yang digunakan oleh Sencion.
Sementara itu, beberapa jam sebelum serangan di Nevada itu, satu lagi kejadian serupa membabitkan seorang lelaki berusia 22 tahun di Morgantown, West Virginnia, melepaskan tembakan dan membunuh lima orang sebelum melarikan diri ke Pennsylvania sebelum ke Kentucky, di mana dia menembak mati dirinya apabila berdepan dengan pihak polis.
Penyerang dikenali sebagai Shayne Riggleman dari Morgantown, yang bertindak membunuh mangsa menggunakan rifal berkuasa tinggi, lapor televisyen WBOY.
Di Warren County di luar New York pula, pejabat Sherif berkata, seorang bapa telah menembak mati dua anak perempuannya sebelum bertindak menembak mati dirinya sendiri. – AFP
-UTUSAN

11 maut, 66 cedera letupan di mahkamah


Seorang anggota polis mengangkat seorang wanita yang cedera dalam kejadian letupan bom di Mahkamah Tinggi New Delhi untuk dihantar ke hospital, semalam. - REUTERS



NEW DELHI 7 Sept. - Sekurang-kurangnya 11 orang maut dan 66 lagi cedera apabila sebutir bom meletup di ruang legar yang penuh sesak di pintu masuk ke Mahkamah Tinggi New Delhi, hari ini.
Menteri Dalam Negeri, P. Chidambaram menyifatkan letupan itu sebagai serangan pengganas tetapi kerajaan belum dapat mengenal pasti kumpulan yang mendalanginya.
Polis berkata, bom itu dipercayai diletakkan di dalam sebuah beg bimbit dekat ruang legar di bangunan mahkamah itu di mana berpuluh-puluh penduduk yang ingin mengemukakan petisyen berbaris untuk mendapatkan pas masuk ke kompleks mahkamah di tengah ibu negara India ini.
Bangunan mahkamah dikosongkan, sementara polis menutup seluruh kawasan terlibat dan perkhidmatan kecemasan membawa mangsa yang cedera, sesetengahnya parah, ke hospital.
"Sepuluh orang disahkan terbunuh dan 62 lagi cedera, tetapi kami belum dapat mengesahkan jenis bom yang digunakan," kata jurucakap polis New Delhi, Subinspektor Mohammed Akhlaque.
Letupan itu berlaku pada kira-kira pukul 10.15 pagi (12.45 tengah hari waktu Malaysia).
"Ketika lebih 100 orang berbaris di ruang legar, berlaku satu letupan kuat, dan saya melihat ramai orang terbaring berlumuran darah," kata seorang lelaki yang petisyennya dijadual didengar hari ini, Rahul Gupta.
Kejadian itu merupakan serangan bom maut pertama di India sejak tiga letupan bom di ibu kota kewangan, Mumbai pada 13 Julai lalu yang meragut 26 nyawa, keganasan yang sehingga kini belum dapat diselesaikan.
Serangan hari ini ialah kali kedua Mahkamah Tinggi menjadi sasaran pada tahun ini.
Pada Mei lalu, sebutir bom kecil meletup di tempat letak kereta dekat kafeteria mahkamah tetapi tiada sesiapa yang cedera. - AFP

Serangan berani mati, 24 maut


Seorang anggota keselamatan Pakistan mengangkat seorang kanak-kanak perempuan yang cedera dalam kejadian letupan bom di Quetta, semalam. - AP



QUETTA, Pakistan 7 Sept. - Seramai 24 orang terbunuh, manakala 82 lagi cedera termasuk timbalan ketua pasukan separa tentera dalam serangan berkembar di barat daya Pakistan, yang menjadikan pasukan keselamatan yang bertanggungjawab menangkap anggota kanan al-Qaeda pada minggu ini sebagai sasaran.
Pegawai kanan polis, Hamid Shakil berkata, seorang penyerang meletupkan keretanya yang dipenuhi bom di luar rumah timbalan ketua pasukan separa tentera di bandar Quetta, sebelum penyerang kedua meletupkan dirinya di dalam rumah berkenaan.
''Sekurang-kurangnya 24 orang maut dan 82 orang lagi cedera.
''Timbalan ketua pasukan tersebut cedera dan isterinya terbunuh dalam serangan tersebut, manakala dua kanak-kanak merupakan antara mangsa terbunuh,'' katanya.
Beliau berkata, tujuh anggota pasukan itu termasuk seorang pegawai turut terbunuh.
Kediaman timbalan ketua pasukan separa tentera itu terletak berdekatan bangunan kerajaan dan kediaman pegawai kerajaan lain di bandar berkenaan.
Isnin lalu, tentera mengumumkan penangkapan seorang anggota kanan al-Qaeda, Younis al-Mauritani yang dipercayai bertanggungjawab merancang serangan ke atas Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Australia.
Dia ditangkap di luar bandar Quetta bersama dua lagi orang kanan al-Qaeda hasil kerjasama antara agensi risikan AS dan Pakistan.
Dua lagi anggota kanan al-Qaeda itu dikenal pasti sebagai Abdul Ghaffar al-Shami dan Messara al-Shami.
Pegawai keselamatan berkata, mereka diangkap awal minggu lepas dalam operasi di bandar Satellite, kawasan luar bandar Quetta. - AFP
-UTUSAN

Bapa saman Facebook

BELFAST 7 Sept. - Seorang lelaki memfailkan saman terhadap laman web Facebook selepas anak perempuannya berumur 12 tahun boleh memuatkan gambar lucahnya sendiri di laman web itu, lapor saluran BBC.
Saman itu mempersoalkan sama ada Facebook yang mengharamkan mereka berumur 13 tahun ke bawah menggunakannya, mengambil pendekatan yang mencukupi untuk mengesahkan umur penggunanya.
Peguam lelaki itu, Hilary Carmichael berkata, berdasarkan pandangannya, Facebook tidak sesuai untuk mereka yang berumur 18 tahun ke bawah, tetapi syarikat itu tidak mengambil pendekatan mencukupi untuk menghalang mereka dibawah umur 13 tahun menggunakan laman web tersebut.
‘‘Pemeriksaan umur seperti meminta nombor pasport merupakan pendekatan mudah untuk dilaksanakan oleh Facebook,’’ ujarnya.
Menurut Carmichael, gambar kanak-kanak tersebut sangat lucah di mana kanak-kanak itu berada dalam gaya provokatif selain disolek tebal menjadikannya kelihatan lebih tua daripada 12 tahun.
Kanak-kanak perempuan itu juga dilaporkan memberikan maklumat kediaman dan sekolahnya dalam laman web tersebut.
Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Belfast tersebut mendakwa Facebook cuai.
Ia juga mendakwa laman web yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat (AS), Palo Alto mewujudkan risiko ancaman seksual dan fizikal kepada kanak-kanak perempuan tersebut.
Jika akaun itu tidak dipadamkan oleh Facebook, saman tersebut menyatakan satu aplikasi akan diwujudkan bagi menghalang Facebook beroperasi di Ireland Utara, kata Charmichael dalam laman webnya. - Agensi

Jepun dilanda gempa bumi 5.1 Skala Richter

TOKYO 8 Sept. – Satu gempa bumi sekuat 5.1 Skala Richter menggegarkan utara Jepun malam tadi, namun tiada laporan kerosakan dan kecederaan dikeluarkan.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun, gempa tersebut melanda pada pukul 8.39 malam waktu Malaysia di luar pesisir pantai Urakawa di selatan pantai pulau Hokkaido.
Pusat gempa tersebut bagaimanapun berada jauh daripada kawasan gempa 11 Mac lalu yang berlaku di pantai timur laut negara ini. – AFP
-utusan

Saudi naikkan wang darah

RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi semalam menaikkan had diyyah atau wang darah untuk pembunuhan dengan niat dan tanpa niat, kepada SR400,000 (RM318,322) dan SR300,000 (RM238,741).
Menurut undang-undang Syariah yang diamalkan di negara itu, seseorang yang didapati bersalah membunuh dengan niat, mesti dihukum bunuh kecuali keluarga mangsa bersedia menerima wang darah.
Untuk seseorang yang didapati bersalah kerana membunuh tanpa niat, hanya wang darah perlu dibayar.

Menurut undang-undang itu, jumlah wang darah mestilah bersamaan dengan harga 100 ekor unta.


Keputusan menaikkan had diyyah mendapat persetujuan kerajaan atas permintaan Mahkamah Tinggi.

Lembaga Ulama Kanan membincangkan isu itu kerana had wang darah yang ada sekarang ditetapkan berdasarkan kadar 30 tahun lalu.

Kadar baru itu menggambarkan nilai sekarang.

Wang darah untuk kesalahan membunuh dengan niat dinaikkan kepada SR400,000 (RM318,322) daripada SR110,000 (RM87,529). Kadar untuk kesalahan membunuh tanpa niat dinaikkan daripada SR100,000 (RM 79,574) kepada SR300,000 (RM238,741).

Hakim dan pakar undang-undang berpendapat kenaikan kadar wang darah negitu tinggi akan dapat mengurangkan kadar jenayah di Arab Saudi.

Syarikat insurans kereta juga dijangka mendapat manfaat daripadanya dan akan meningkatkan kadar premium.

Lutfi Al-Zain, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Insurans MedGulf, berkata: “Kenaikan premium insurans disebabkan kenaikan wang darah memang tak dapat dielakkan. Bagaimanapun, kenaikan premium itu tidak akan terlalu tinggi.”

Fawaz Al-Hiji, Pengarah Kemajuan Syarikat insuran Al-Tawiniya berkata, syarikatnya akan menjalankan kajian untuk menetapkan kadar insuran baru, selaras dengan kadar baru wang darah. - SG

Kumpulan perompak berpurdah di pusat beli belah

JEDDAH: Sekumpulan wanita yang berpurdah dikatakan merompak seorang gadis sebanyak SR1,200 (RM954) di sebuah pusat beli-belah.
Apabila abang mangsa membuat laporan, kumpulan perompak wanita itu sudahpun melarikan diri.
Orang ramai yang membeli belah di situ, merasa bimbang dan marah apabila mendengar berita itu.

Abang mangsa berkata, “Saya turunkan adik saya di pusat beli belah di daerah Al-Jami’ah dan menunggunya di dalam kereta.


“Apabila dia kembali, dia hanya diam. Saya hairan kenapa dia tidak bercakap langsung.

“Bila kami tiba di rumah dia terus menangis dan menceritakan bagaimana dia dirompak dan diugut empat wanita berkulit hitam yang bersenjata pisau.”

Jurucakap polis Jeddah, Brigedier, Misfer Al-Juaid menggesa wanita yang menjadi mangsa rompakan seperti itu, membuat laporan polis di balai berdekatan.

“Mereka mesti memberi maklumat supaya pihak polis dapat menjejaki dan menahan mereka,” katanya. - SG

Syria rancang jual minyak kepada Russia, China

ABU DHABI: Syria bercadang menjual minyaknya kepada Russia dan China setelah Kesatuan Eropah mengenakan sekatan perdagangan terhadapnya.
Menteri Kewangan Syria, Mohammmad al-Jleliati berkata, tindakan barat mengenakan sekatan itu tidak akan menjejaskan ekonominya.

Kesatuan Eropah (EU) yang sebelum ini membeli semua minyak keluaran negara itu semalam mengenakan sekatan terhadap Syria dalam usaha memaksa Presiden Bashar al-Assad menghentikan apa yang mereka sifatkan sebagai keganasan terhadap kumpulan antikerajaan.

“Sekatan itu tidak akan menjejaskan Syria. Syria akan terus berdiri sendiri. Takkan ada masalah selagi keperluan dalam negeri kami, terjamin,” katanya.

EU menguatkuasakan sekatan perdagangan terhadap Syria kononnya kerana ia tidak mahu rakyat Syria terus menderita.

Syria kini mencari pembeli baru minyak yang dikeluarkannya pada kadar antara 110,000 hingga 150,000 tong sehari.


“Sama ada kami akan menapisnya sendiri atau menjualnya terus kepada Russia dan China atau mana-mana negara yang bersedia membeli lebihan minyak kami,” kata Mohammad. - AP

Gaddafi terkepung

TRIPOLI: Pemberontak Libya mendakwa mengepung diktator yang mereka gulingkan, Muammar Gaddafi dan hanya menanti masa untuk menangkap atau membunuhnya.
Jurucakap Majlis Tentera baru negara itu, Anis Sharif bagaimanapun enggan memberitahu di mana Gaddafi dikepung tetapi berkata, dia masih berada di Libya dan berjaya dijejaki dengan menggunakan peralatan teknologi tinggi serta perisikan.
“Gaddafi dikepung di kawasan sekeliling 60 kilometer oleh pemberontak. Dia tidak boleh keluar,” katanya.

Menurut Anis, pemberontak sudah bersedia untuk menahan atau membunuhnya.


Kejayaan mengesan Gaddafi akan membantu mengukuhkan kedudukan pemerintah baru negara itu.

Pengumuman pengepungan Gaddafi dibuat selepas konvoi pengikut setia bekas pemimpin Libya itu, termasuk ketua keselamatannya, merentas Sahara untuk ke negara jiran, Niger.

Pemberontak berharap langkah akan membantu penyerahan diri penyokong setia Gaddafi di beberapa kubunya yang masih belum ditawan.

Penentang Gaddafi yang mengguilingkan rejimnya bulan lalu berusaha menawan saki baki kawasan yang menyokong bekas pemimpin itu, khususnya di Bani Walid, Sirte dan Sabha.

Mereka mendakwa, penduduk bandar berkenaan dihalang daripada menyerah diri oleh penyokong Gaddafi.

Sementara itu, Nato berkata, ia melancarkan serangan udara di Sirte semalam, memusnahkan enam kereta kebal, enam kereta perisai dan setor simpanan peluru. - AFP

Lelaki curi 35 rangka manusia dari gudang ditahan

TAIPEI: Seorang lelaki Taiwan ditahan kerana mencuri 35 rangka manusia yang ditemui di kawasan pembinaan di utara negara itu, kata polis, semalam.
Rangka yang tidak dituntut dari kawasan perkuburan lama itu diletakkan sementara waktu di sebuah gudang. Suspek mencuri dan membawanya ke Taipei di mana dia ditangkap, kata polis di wilayah Miaoli. Suspek yang bekerja di rumah mayat dan mempunyai rekod mencuri serta penyalahgunaan dadah berkata, dia bimbang rangka itu - yang digali ketika pembinaan sebuah muzium - akan dicuri kerana gudang itu tidak berkunci.

Suspek meletakkan rangka itu di dalam trak yang diparkir di sebuah taman di Taipei selama sebulan sebelum dia ditahan. - AFP

Pasukan khas siasat samun di Seksyen 15

Kes babit restoran disiar laman web bukan bukti Shah Alam tak selamat

Foto
LIMA perompak yang memakai topi keledar dan bersenjatakan parang memasuki restoran India Muslim di Seksyen 15, Shah Alam kira-kira jam 4 pagi, 28 Ogos lalu, sebelum meragut barang kemas seorang pelanggan di premis terbabit.
Foto
SEKUMPULAN perompak terbabit merampas komputer riba milik pelanggan.



Foto
TIGA daripada kumpulan perompak itu turut melarikan mesin duit yang diletakkan di kaunter premis terbabit.



SHAH ALAM: Polis menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat insiden rompakan di sebuah restoran India Muslim di Seksyen 15, di sini pada 28 Ogos lalu yang turut disiarkan dalam beberapa laman web dengan entri bertajuk ‘Shah Alam bukan lagi tempat selamat’.

Beberapa saksi kejadian juga sudah dipanggil bagi membantu siasatan dan polis masih berusaha mengesan suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di restoran berkenaan.
Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob, berkata orang ramai diminta jangan panik selain tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian terbabit.
“Polis akan berusaha mengesan kumpulan yang bertanggungjawab dan pihak kami tidak boleh dedahkan berapa ramai saksi yang dipanggil atau sama ada semua suspek sudah dikenal pasti atau tidak kerana ia akan mengganggu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beberapa laman web menyiarkan video kejadian rompakan di sebuah kedai mamak di Seksyen 15, di sini pada jam 4 pagi, 28 Ogos lalu.

Antara laman web yang menyiarkan rakaman video selama empat minit 11 saat itu ialah http://yobtualangsekah.blogspot.com dan http://semaremas.blogspot.com.

Rakaman CCTV dari pelbagai sudut itu memaparkan lima lelaki yang memakai topi keledar dan bersenjatakan parang menceroboh sebuah restoran dan melarikan mesin wang dan komputer riba milik pelanggan restoran berkenaan.
Ketika kejadian, suspek turut dilihat mengacukan parang terhadap kira-kira 10 pelanggan, termasuk kanak-kanak yang berada dalam restoran itu sehingga menyebabkan mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Ditanya mengenai dakwaan yang disiarkan di laman web itu yang mengatakan Shah Alam bukan lagi tempat selamat, Zahedi berkata, ia keterlaluan kerana indeks jenayah di bandar raya berkenaan masih terkawal.

“Janganlah timbulkan suasana tidak elok dengan mengatakan Shah Alam tidak selamat oleh kerana satu kejadian saja.

“Lagi pun yang kena rompak hanyalah sebuah restoran saja bukannya banyak restoran dan kejadian ini bukannya berlaku tiap-tiap hari,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata. 

24 hilang tempat tinggal

Kebakaran jam 2.30 pagi musnahkan rumah lapan keluarga

JOHOR BAHRU: Seramai 24 penduduk daripada lapan keluarga yang berjiran sejak puluhan tahun lalu, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah papan yang didiami mereka musnah dalam kebakaran ketika semua mangsa sedang nyenyak tidur, awal pagi semalam.

Meskipun dalam kejadian di Kampung Batu 8 1/2 Skudai kira-kira 2.30 pagi itu, semua mangsa hilang tempat tinggal dan kemusnahan semua harta benda, namun masing-masing bernasib baik kerana sempat menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.
Kebakaran itu pantas merebak memusnahkan keseluruhan rumah penduduk terbabit yang dibina secara bersesak dalam kawasan seluas kira-kira 50 meter persegi sejurus api bermula dari sebuah kediaman di situ.
Mangsa, Goh Ah Moi, 63, berkata beliau tidak menyedari kebakaran dikatakan bermula di rumahnya sebelum dikejutkan dari tidur oleh anak dan dua cucu perempuan yang tinggal bersama sejurus terjaga sebaik saja terhidu bau asap menyelubungi seluruh ruang rumah mereka.

“Ketika itu, kami hanya terdengar jeritan meminta semua penduduk keluar selamatkan diri kerana api sedang marak dengan pantas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Buruh, Loi Tek Foo, 56, berkata keluarganya menyedari kebakaran terbabit apabila isterinya, Sia Kui Fong, 56, tersedar dari tidur sejurus terhidu bau asap.

“Sebaik tersedar, kami berhimpun ke ruang tengah rumah dan mendapati api sedang memusnahkan sebahagian dinding. Dalam suasana cemas itu, kami hanya memikirkan usaha menyelamatkan diri,” katanya.
Ketua Zon Johor Bahru, Penguasa Bomba R Saiful Iswandy R Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kebakaran yang berlaku kira-kira jam 3 pagi.

“Empat jentera bomba merangkumi dua Balai Johor Bahru dan masing-masing sebuah dari Taman Universiti dan Kulai dikejarkan ke lokasi.

“Kesan kebakaran itu dapat dipadamkan sepenuhnya jam 9.45 pagi ini. Setakat ini, punca sebenar kebakaran itu serta nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gelang Patah, Tan Ah Eng, yang bergegas meninjau lokasi kejadian itu menghulurkan sumbangan masing-masing RM500 kepada setiap keluarga mangsa. 
-UTUSAN

Gaddafi dikepung penentang

TRIPOLI: Penyokong kerajaan baru Libya berjaya mengepung kedudukan Muammar Gaddafi dan bekas pemimpin mereka itu cuma menunggu masa untuk ditangkap atau terbunuh, kata jurucakap Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), semalam.

Anis Sharif tidak menyebut di mana Gaddafi ditemui tetapi berkata dia masih di Libya dan dikesan menggunakan teknologi tinggi dan sumber perisikan.
“Dia tidak dapat keluar,” kata Sharif, yang menambah pemberontak sudah bersedia sama ada untuk menahan atau menangkapnya. Gaddafi terperangkap dalam lingkungan 60 kilometer kawasan yang dikepung pemberontak, katanya.
Mengesan Gaddafi akan membantu mengukuhkan kedudukan pemerintah baru negara itu. Pengumuman dibuat selepas konvoi kumpulan yang setia dengan bekas pemimpin itu, termasuk ketua pasukan keselamatannya, melarikan diri merentasi Sahara ke Niger dalam langkah yang diharapkan pemberontak dapat membawa kepada kejayaan merampas kubu kuat terakhirnya.

Sebahagian pemberontak menyifatkan usaha melarikan diri ke Niger sebagai pemergian beramai-ramai penyokong paling kuat Gaddafi tetapi maklumat sah mengenai bilangan dan identiti mereka yang meninggalkan negara itu sukar disebabkan keluasan padang pasir melebihi 1,600 kilometer.

Di ibu negara Niger, Niamye, jurucakap presidennya, Massoudou Hassoumi, berkata ketua keselamatan Gaddafi menyeberangi padang pasir ke Niger diiringi oleh pemberontak Tuareg, Isnin lalu.

Kerajaan Niger mengerah konvoi tentera untuk mengiringi Mansour Dao, bekas komander Pengawal Revolusi Libya yang juga sepupu Gaddafi selain pegawai yang rapat dengannya, ke Niamey.
Dao ialah satu-satunya tokoh kanan Libya yang memasuki Niger, kata Hassoumi, yang menafikan laporan Gaddafi atau anggota keluarganya berada dalam konvoi itu.
Hassoumi berkata, sekumpulan sembilan orang termasuk beberapa ahli perniagaan pro-Gaddafi, selain Agaly ag Alambo, ketua pemberontak Tuareg dari Niger yang mengetuai kebangkitan yang gagal di utara negara itu sebelum menyeberang ke Libya, dan dipercayai bertempur untuk Gaddafi.

Jurucakap Jabatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Victoria Nuland, memberitahu wartawan: “Kami tiada bukti menunjukkan Gaddafi berada di tempat lain selain Libya buat masa ini.”

Sejak kejatuhan Tripoli bulan lalu ke tangan pemberontak, kumpulan yang setia kepada Gaddafi dilihat menyeberangi sempadan padang pasir yang memisahkan Libya dengan Niger. Ia termasuk pejuang Tuareg yang juga rakyat Niger dan negara jirannya, Mali, yang bertempur bagi pihak Gaddafi. – AP 

Israel jangka intifada ke-3


TENTERA Israel meronda kawasan dekat tembok keselamatan sebagai langkah memantau penduduk Palestin ketika kempen membentuk negara berlangsung di PBB.
TENTERA Israel meronda kawasan dekat tembok keselamatan sebagai langkah memantau penduduk Palestin ketika kempen membentuk negara berlangsung di PBB.

Sedia serang penduduk Palestin tuntut pembentukan negara sendiri

TEL AVIV: Tentera Israel sedia menggunakan penembak curi, peluru hidup dan meriam ketika berdepan kemungkinan intifada ke-3 tercetus ketika penduduk Palestin berusaha memohon menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali gus pengiktirafan kepada pembentukan negara sendiri.

Pemimpin rejim Zionis dan beberapa pegawai tentera bimbang dengan kempen demonstrasi dan perhimpunan yang dirancang penduduk Palestin ketika pemimpin mereka berlepas ke New York untuk melobi menjadi ahli badan dunia itu.
Penduduk Palestin menegaskan bantahan akan dibuat secara aman, tetapi Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman, menuduh Pihak Berkuasa Palestin (PA) merancang pertumpahan darah.
Ketua Jawatankuasa Pertahanan dan Hal Ehwal Luar Parlimen, Shaul Mofaz, membangkitkan prospek Israel perlu memanggil askar simpanan untuk berdepan dengan demonstrasi besar-besaran itu.

Isnin lalu, seorang jeneral Israel, Mickey Edelstein, memberi amaran ‘pemberontakan di negara Arab’ di Asia Barat mungkin membuka jalan dengan pembabitkan golongan radikal yang berkemungkinan mencetuskan perang di rantau berkenaan.

“Penembak curi Israel akan dilengkapi sistem pengimejan yang dapat melihat sejauh satu kilometer dan boleh melepaskan tembakan ke arah kaki penunjuk perasaan.

“Peluru getah tidak akan digunakan sebaliknya peluru hidup dipakai jika ada ancaman terhadap tentera dan kawasan lintasan di antara Tebing Barat dan Israel,” katanya.
Sementara itu, di Belgrade, Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) kelmarin mengesahkan sokongan terhadap bidaan Palestin untuk menjadi anggota PBB pada mesyuarat peringkat menteri, kata Menteri Luar Mesir, Mohammed Kamel Amr.

“Kami akan terus menyokong usaha Palestin ketika sesi ke-66 Perhimpunan Agung untuk mengiktiraf negara merdeka Palestin berasaskan sempadan pada 4 Jun 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, dan memohon kemasukan sebagai anggota penuh PBB,” katanya dalam sidang akhbar pada akhir pertemuan dua hari itu.

Kamel Amr, yang mempengerusikan mesyuarat itu, menyatakan kebanyakan anggota NAM sudah pun mengiktiraf negara Palestin. Dia, bagaimanapun. tidak dapat mengesahkan sama ada semua 118 negara anggota pergerakan itu akan mengundi menyokong Palestin mendapatkan keanggotaan PBB apabila Perhimpunan Agung badan dunia itu diadakan lewat bulan ini.

Rundingan langsung antara Israel dan Palestin tergantung sejurus selepas ia dilancarkan semula di Washington September lalu berhubung isu pembinaan penempatan. – AFP 

Balu polis tuntut pencen 12 tahun

JANAINAH ditemani anaknya, Muhamad Anuar menunjukkan surat
pengesahan jawatan suaminya sebagai konstabel khas
 di rumahnya di Kampung Delek Baru, Klang semalam.

KLANG – Seorang warga emas, memohon supaya kerajaan mempertimbangkan tuntutan pencen suaminya yang didakwa tidak pernah diterimanya selama 12 tahun sejak arwah meninggal dunia pada tahun 1968.
Janainah Ngah Kassim, 80, merupakan balu kepada seorang anggota polis yang pernah berkhidmat pada zaman darurat, Kamaruddin Awang Kechik dan hanya menerima pencen bermula pada tahun 1980.
Anaknya, Muhamad Anuar Kamaruddin, 50, berkata, ibunya kecewa kerana pencen arwah hanya diterima mulai tahun 1980 dengan bayaran RM103 sebulan sebelum dinaikkan kepada RM375 beberapa tahun lalu sehingga hari ini.
Menurutnya, bapanya yang ketika itu berusia awal 40-an merupakan anggota konstabel khas di antara tahun 1948 sehingga 1951 dan meneruskan perkhidmatan dalam pasukan polis sehingga meninggal dunia semasa berkhidmat di Pulau Pinang.-kosmo

Cedera bergelut dengan penceroboh berpedang


SAUFI menunjukkan pahat yang digunakan oleh penyamun yang memecah masuk rumahnya di Kampung Pulau Gajah Hilir, Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Dua beranak berhadapan detik cemas apabila mereka terpaksa bergelut dengan dua lelaki yang menceroboh rumah mereka di Kampung Pulau Gajah Hilir, Sabak, Pengkalan Chepa dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, Hasmah Ali, 54, tidak cedera namun anak keenamnya, Saufi Jusoh, 28, mengalami luka pada kedua-dua belah tangannya akibat bergelut dengan seorang penjenayah yang bersenjatakan pedang.
Sebelum kejadian, cerita Hasmah, dia baru bangun daripada tidur untuk menunaikan solat Subuh sebelum terkejut melihatkelibat dua lelaki di dalam biliknya.
“Saya menyangka mereka adalah anak-anak saya yang masuk ke bilik sebelum dua lelaki terbabit tiba-tiba menerkam ke arah saya dan cuba menutup mulut saya dengan tangan.
“Saya menjerit sebelum Saufi masuk ke bilik dan menerkam salah seorang lelaki terbabit manakala seorang lagi lelaki melarikan diri melalui pintu dapur,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Hasmah berkata, dua penceroboh tersebut tidak sempat mencuri apa-apa barang miliknya termasuk barangan kemas seperti rantai, loket dan gelang yang dipakainya bernilai RM40,000.
“Saya bersyukur Saufi tidak mengalami kecederaan yang serius,” tambahnya.

Pemandu terlelap dijel 4 tahun


keadaan bas Sani Expres yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 272.7 Lebuh Raya Utara-Selatan pada 26 Disember 2009.

IPOH – Akibat memandu melulu sehingga mengorbankan 10 nyawa penumpang dua tahun lalu, pemandu bas Sani Expres, Mohd. Kamil Mohd. Rashid, 38, terpaksa menerima hakikat apabila dihukum penjara empat tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Trafik di sini semalam.
Mendengar keputusan itu, Mohd. Kamil, kelihatan sugul dan meletakkan tangan di kepala seolah-olah tidak menjangka hukuman itu.
Dia dari Taman Setia Jaya, Yan, Kedah turut digantung lesen memandu kelas E miliknya selama tiga tahun berkuat kuasa serta-merta dan jika gagal membayar denda bakal dipenjara enam bulan lagi.
Tertuduh tidak membayar denda itu.
Majistret Mohamed Ruhizat Abdullah memutuskan hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang berlangsung sejak 29 Disember 2009.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Kamil yang diwakili peguam bela, S. Arumugam dan Khairun Niza Husnin didakwa memandu bas bernombor pendaftaran WSX 5010 secara melulu pukul 1 pagi, 26 Disember 2009 di Kilometer 272.7 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini.
Dalam kejadian itu, 10 penumpang maut manakala dua cedera dengan seorang daripadanya parah. Ada antara penumpang yang terkorban putus kepala dan beberapa anggota badan lain.
Dia didakwa menyebabkan kematian pasangan suami isteri, Shaharin Mohd. Nor, 61, dan Supiah Adam, 46; Mohd. Shukri Mohd. Ali, 22; Mohd. Bilal Osman, 22; dan Sharifah Raheel Al-Junid Syed Harun, 21; bersama adiknya, Sharifah Hasanah, 15; Musa @ Ismail Abdullah, 64; Noor Jismi Noordin, 25; Ng Kah Kit, 14; dan kakaknya, Ng Poh Ngoh, 23.
Dalam penghakimannya, Mohamed Ruhizat berkata, mahkamah mendapati tertuduh dalam keadaan tidak sedar semasa kejadian kerana menurut keterangan saksi, tertuduh tidak mendengar apa-apa jeritan dari atas, bawah dan luar bas.
-kosmo

Tragedi ragut nyawa dua beranak


BEGINILAH keadaan sebuah van persiaran selepas terlibat dalam kemalangan yang meragut tiga nyawa di Parit Buntar, Perak semalam.

PARIT BUNTAR – Kegembiraan sebuah keluarga dari Muar, Johor untuk menghantar anak bongsu mereka mendaftarkan diri di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas van sewa yang dinaiki terlibat dalam kemalangan semalam.
Kejadian pukul 5.40 pagi di Kilometer 186.6, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan susur keluar Bukit Merah itu mengakibatkan Tukijah Isa, 59, dan Nurul Haniza Mohd. Jamil, 34, maut di tempat kejadian. Turut maut ialah pemandu van persiaran itu, Chua Wee Chor, 33.
Sebelum kejadian, mereka bersama lapan lagi ahli keluarga bertolak dari Muar pada pukul 10 malam untuk menghantar Nur Shahila Mohd. Jamil, 19, mendaftar masuk sebagai pelajar baharu kursus Ijazah Sarjana Muda Perbankan di UUM. Mereka dijangka tiba pada pukul 8 pagi.
Bapa, abang dan anak saudara Nur Shahila, Mohd. Jamil Anuar, 68; Mohd. Nazir, 29, dan Aliya Madiha Abdullah yang berusia satu tahun cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Taiping.
Seorang lagi abangnya, Mohd. Fairuz, 27, serta dua abang iparnya, Mustafa Kamal Mohd. Khamis, 38, dan Khairul Khafiza Isnin, 29, serta kakak iparnya, Liayana Mat, 31, cedera ringan.

Mangsa dibunuh penyamun mabuk


ANGGOTA polis menutup mayat seorang penjenayah yang mati dalam kemalangan di Bandar Seri Alam, Johor Bahru kelmarin.

JOHOR BAHRU – Dua penjenayah masing-masing bersenjatakan parang bertindak kejam apabila menetak sampai mati seorang kontraktor sebuah syarikat perkapalan manakala isteri kontraktor itu pula dicederakan dalam kejadian rompakan di Jalan Tasek 24, Bandar Seri Alam dekat sini kelmarin.
Tindakan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan kedua-dua penjenayah itu selepas mereka berang apabila gagal masuk ke bilik pasangan itu untuk mencari barangan berharga.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, mangsa yang terbunuh, S. Vijayaratnam, 47. Vijayaratnam meninggal dunia di Hospital Pakar Regency di sini pada pukul 12.04 pagi akibat mengalami kecederaan teruk di belakang kepala.
Isteri Vijayaratnam, G. Vijayalakshmi, 45, pula cedera di dahi dan belakang badan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama. Wanita itu dilaporkan stabil.
Seolah-olah menerima balasan, seorang penjenayah yang berusia 39 tahun turut ditemui terbunuh apabila kereta Proton Perdana milik Vijayaratnam yang dilarikan penjenayah itu terbabas lalu merempuh sebatang pokok.
Seorang lagi rakan penjenayah itu yang berusia 31 tahun pula cedera parah dalam kemalangan itu. Kedua-dua suspek itu merupakan warga tempatan dan semasa kejadian mereka disyaki berada dalam keadaan mabuk.
Kemalangan itu berlaku kira-kira satu kilometer dari rumah teres dua tingkat milik pasangan itu.-kosmo

Hidup dengan RM30 sebulan


KANAK-KANAK Somalia mendapatkan bantuan makanan di daerah Hodan, selatan Mogadishu baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Jumlah wang sebanyak RM30 mungkin bukan nilai yang terlalu besar bagi sebahagian besar daripada rakyat di negara ini.
Namun, jumlah itu sebenarnya amat berharga di Somalia kerana boleh membiayai makanan seorang kanak-kanak berusia lima tahun di negara itu untuk tempoh sebulan.
Menurut Timbalan Presiden 1, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), Prof. Madya Dr. Mohamed Ikram Mohamed Salleh, bantuan sebanyak RM300 pula membolehkan satu keluarga yang mempunyai seramai lima hingga tujuh orang dapat makan pada tempoh yang sama.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat di negara ini menghulurkan bantuan bagi meringankan penderitaan rakyat negara tersebut melalui tabung bantuan kemanusiaan anjuran Mercy Malaysia.
“Misi pertama yang telah dilakukan pada 25 Ogos lalu merupakan misi penilaian dan pada masa yang sama kita telah berjaya memberikan bantuan makanan kepada 600 keluarga dan kami berharap pada misi kedua nanti kita berharap memberi bantuan kepada 1,000 keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai misi penilaian dan kutipan Tabung Bantuan Somalia di sini semalam.
Mohamed Ikram menjelaskan, misi yang dilakukan pada 25 Ogos lalu dibuat khusus untuk menilai keadaan semasa di negara tersebut, membina rangkaian, memulakan aktiviti bantuan serta mengkaji projek-projek jangka pendek dan panjang.
-kosmo

Telaga tiub keluar gas metana



PENDUDUK kampung menyalakan api daripada gas bawah tanah yang keluar dari
batang paip di Kampung Padang Machang, Manir, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU – Seorang buruh terkejut apabila telaga tiub yang digali di belakang rumah seorang penduduk di Kampung Padang Macang, Manir dekat sini semalam mengeluarkan gas dipercayai metana.
Gas itu dikesan pada kedalaman 11 meter selepas Musa Omar, 48, membuat ujian terhadap air dalam telaga yang digali pada jarak kira-kira empat meter dari rumah pemilik tanah itu.
“Air itu berbau dan tidak sesuai digunakan.
“Selepas saya tarik batang paip yang dipacakkan di tapak telaga itu tiba-tiba keluar wap yang tidak berbau dan bunyi berdesir seperti gas,’’ ceritanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Katanya, kejadian itu satu kejutan kepadanya kerana inilah kali pertama ia berlaku selepas lebih 10 tahun dia bekerja sambilan mengambil upah menggali telaga.
Musa berkata, dia segera memanggil seorang rakan lalu mereka cuba menguji gas itu dengan menggunakan pemetik api dan mendapati ia terus disambar api yang terus bernyala selama beberapa jam.
Seorang penduduk, Ali Ibrahim, 56, memberitahu, kejadian seumpama itu pernah berlaku di kampung berkenaan sewaktu ada orang cuba menggali telaga tidak jauh dari tempat itu kira-kira 25 tahun lalu.
“Tetapi disebabkan takut mendengar bunyi macam gas bocor, dia menimbus semula lubang yang telah digalinya,” kata Ali.
-kosmo

Trend tiru aksi kelawar mula popular


TREND berdiri dalam keadaan terbalik kini semakin popular di laman perkongsian sosial di Internet.

LONDON – Semakin ramai individu memuat naik gambar mereka di laman rangkaian sosial di Internet dengan melakukan aksi berdiri dalam keadaan terbalik seperti kelawar, lapor sebuah akhbar semalam.
Aksi tersebut kini lebih popular di Internet berbanding trend meniarap seperti papan di pelbagai lokasi.
Banyak laman web memaparkan gambar-gambar yang menunjukkan sejumlah orang berlatih dengan melakukan aksi kelawar itu di rumah dan di beberapa lokasi lain seperti tempat meletak kereta.
Namun, aksi tersebut menerima beberapa kritikan negatif daripada para pengguna Internet yang menyifatkannya sebagai berbahaya.
“Seseorang pasti akan mati kerana melakukan aksi ini,” menurut satu komen di Internet.
Sebelum ini, seorang individu maut akibat terjatuh dari balkoni sebuah bangunan di Australia kerana melakukan aksi meniarap. – Agensi, kosmo

Kapal terumbang-ambing kerana tiang layar patah


SEBUAH kapal layar terumbang-ambing dilambung laut bergelora dekat Dorset, pada Isnin lalu.

PORTLAND BILL, Britain – Seramai 16 pelaut muda berusia di antara 18 hingga 25 tahun terpaksa diselamatkan dari sebuah kapal layar sepanjang 36.5 meter selepas tiang layarnya patah dua akibat tiupan angin kencang, lapor sebuah akhbar semalam.
Kapal berusia 120 tahun itu digunakan sebagai kapal latihan untuk para pelatih pelayar sebuah sekolah pelayaran.
Ia berada di perairan dekat bandar ini semasa ia terperangkap ketika laut yang bergelora akibat tiupan angin kencang.
Kru-kru kapal berkenaan bertindak menghubungi pasukan pengawal pantai untuk meminta bantuan kecemasan setelah mereka gagal mengambil semula layar mereka yang terjatuh ke dalam laut.
Sebuah bot tunda dihantar untuk menunda kapal layar seberat 100 tan itu kembali ke pelabuhan yang terdekat.
– Agensi, kosmo

Lapangan terbang angkasa lepas hampir siap


LAKARAN artis menunjukkan sebuah lapangan terbang angkasa lepas untuk pesawat Virgin Galactic di Las Cruces, Amerika Syarikat.

LAS CRUCES, Amerika Syarikat – Fasa pertama sebuah lapangan terbang angkasa lepas komersial yang pertama di dunia untuk syarikat penerbangan Virgin kini 90 peratus lengkap, lapor sebuah akhbar semalam.
Tapak lapangan kapal angkasa Amerika seluas 728.43 hektar itu di Las Cruces, New Mexico, merupakan milik pemilik syarikat penerbangan Virgin, Richard Branson yang turut memiliki syarikat penerbangan angkasa lepas Virgin Galactic.
Lapangan tersebut mempunyai landasan yang menjangkau hampir 3.21 kilometer dan bangunan hangar yang bercirikan futuristik.
Kerja-kerja pembinaan bakal berakhir menjelang akhir tahun ini dan ia akan digunakan pada 2013.
– Agensi, kosmo

Lokasi persembunyian Gaddafi diketahui



BEBERAPA penduduk kelmarin menyaksikan kediaman Muammar Gaddafi yang ditawan
kumpulan pemberontak di Tripoli.

TRIPOLI, Libya – Seorang jurucakap kumpulan pemberontak yang menguasai sebahagian besar Libya menyatakan, mereka mengetahui lokasi persembunyian Muammar Gaddafi.
Jurucakap itu, Anis Sharif turut memberitahu semalam bahawa mereka kini menunggu masa yang sesuai untuk menangkap atau membunuh Gaddafi.
Menurutnya, pemimpin berusia 69 tahun itu masih berada di Libya dan dikesan dengan menggunakan khidmat risikan manusia serta teknologi moden.
Beliau enggan mendedahkan lokasi Gaddafi sedang bersembunyi tetapi memberitahu pemimpin Libya berkenaan kini bersembunyi di kawasan seluas 60 kilometer yang dikepung oleh pemberontak.
“Gaddafi tidak dapat keluar,” kata Anis.
Katanya, pihak pemberontak yang menubuhkan majlis tentera baharu di Tripoli sedang melakukan persiapan untuk menahan atau membunuh Gaddafi.
Menurut Anis, mengesan lokasi persembunyian Gaddafi itu membantu pihak pemberontak untuk memerintah Libya sepenuhnya.
Sementara itu, satu konvoi bersenjata membawa beberapa pegawai yang setia kepada Gaddafi serta beberapa lori yang sarat dengan muatan emas dan wang tunai dilaporkan memasuki negara jiran Libya, Niger pada Isnin lepas.
Rejim Gaddafi tumbang menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu selepas kumpulan pemberontak memasuki Tripoli yang merupakan ibu kota Libya dan tempat persembunyiannya sebelum beliau melarikan diri.
Pergolakan di Libya itu bermula Februari lalu dengan sejumlah penduduk berhimpun menentang kepimpinan Gaddafi di bandar Benghazi.
Peperangan kemudian meletus melibatkan tentera Gaddafi dengan kumpulan pemberontak.
Ketika ini, Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) mentadbir Libya buat sementara waktu. – Agensi, kosmo