Pages

Wednesday, July 27, 2011

Buaya berusia 70 juta tahun dikenal pasti


MINAS GERAIS, Brazil 26 Julai - Sejenis spesies buaya berusia 70 juta tahun bergigi besar dan mempunyai kepala seperti anjing telah dikenalpasti di sebuah pekan kecil di Brazil.

Fosil Pissarrachampsa sera yang dipercayai saintis memakan dinosaur, ditemui di dalam mendapan batu kapur di Minas Gerais oleh pekerja perbandaran.

Ketua penyelidikan, Hans Larsson dari Universiti McGill, Quebeck berkata, buaya darat yang mempunyai kepala pelik itu mendedahkan banyak tentang buaya baka Baurusuchia yang telah pupus itu.

"Buaya amfibia zaman moden mempunyai kepala yang rendah dan leper.

"Penemuan terbaru ini memberikan kita maklumat yang lebih mendalam tentang anatomi kepala baka kumpulan Baurusuchia yang pelik dan telah pupus itu," katanya.

Tambah Larsson, berdasarkan kajian mereka, ekologi baka spesies buaya tersebut berkemungkinan sama seperti anjing liar zaman sekarang.

Berdasarkan bilangan dan saiz gigi yang ditemui, pasukan penyelidik percayai buaya karnivor itu memakan haiwan bersaiz sepertinya antara 15 kaki hingga 20 kaki - dinosaur dan buaya-buaya lain.

Mereka dipercayai mempunyai penglihatan stereoskopik yang mampu mengesan mangsa dan tidak berebut seperti buaya hari ini. - Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Misrata kekurangan bekalan minyak



Asap tebal menyelubungi sekitar depot simpanan minyak setelah terbakar akibat dibedil roket tentera kerajaan Libya di Misrata, kelmarin. - REUTERS


MISRATA 26 Julai - Bandar Misrata yang menjadi medan pertempuran mengalami kekurangan bekalan minyak, semalam berikutan kebakaran di depot simpanan minyak yang dibedil roket tentera kerajaan Libya.

Selepas serangan kelmarin, asap tebal berwarna hitam masih kelihatan di kebanyakan kawasan bandar, sekali gus mencetuskan panik di kalangan penduduk awam.

Kebanyakan stesen minyak mula ditutup menyebabkan pemandu terpaksa beratur panjang di beberapa stesen minyak yang masih buka.

Namun, keutamaan diberi kepada kenderaan yang digunakan oleh pemberontak di barisan hadapan dan kenderaan perkhidmatan kecemasan.

Bandar tersebut yang dihuni setengah juta penduduk terputus hubungan darat dengan kawasan timur sejak berbulan-bulan lalu tetapi mereka mendapat bekalan makanan dan minyak melalui bot.

Tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi masih berada dalam kedudukan julat roket di pelabuhan Mediterranean sejauh antara 30 kilometer hingga 40 kilometer dan terus menjadi sasaran bedilan, tetapi kebanyakan senjata mengalami kerosakan.

Menurut seorang pegawai, depot minyak lain masih dalam keadaan baik tetapi tidak boleh dimasuki berikutan api masih marak.

Kebanyakan depot minyak Libya berada dalam kawasan pemberontakan di timur dan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sedang membantu menguatkuasa sekatan import di kawasan pro-Ghaddafi. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Facebook Perdana Menteri diserang komen berunsur fitnah


KUALA LUMPUR 26 Julai - Laman sosial Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diceroboh pihak tidak bertanggungjawab hari ini yang mengeluarkan komen-komen negatif memburukkan beliau dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Segala komen berunsur fitnah dan maki-hamun terhadap Perdana Menteri itu dikesan mula dimuat turun ke status Facebook beliau sejak pukul 7 pagi ini dan semakin bertambah sehingga kini.

Mereka yang membuat 'serangan' melalui laman sosial ini dipercayai berpura-pura menjadi peminat beliau sebelum mengambil kesempatan mengeluarkan komen buruk terhadap pemimpin nombor satu negara itu.

Hasil semakan Utusan Malaysia di Facebook mendapati, rata-rata individu yang mengeluarkan komen negatif merupakan penyokong Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) kerana pada profil mereka terdapat logo Bersih dan warna kuning.

Selain Perdana Menteri, turut menjadi sasaran kemarahan dan fitnah kumpulan terbabit melalui Facebook itu ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akhbar Utusan Malaysia.

Mereka turut memuat turun video dan gambar yang didakwa memperlihatkan perbuatan salah laku Rosmah dan Hishammuddin serta individu-individu yang kononnya menjadi mangsa aniaya kerajaan seperti wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas banduan, A. Kugan.

Melalui Facebook tersebut ialah mereka membuat desakan meminta Najib dan Hishammuddin meletak jawatan.

Najib dan isteri turut difitnah terlibat dalam pelbagai skandal seperti isu pembelian kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan cincin berlian berharga RM24 juta.

Lebih kurang ajar ada yang menulis komen menggunakan bahasa kesat.

Perdana Menteri membuka akaun Twitter dan rakan Facebook beliau bagi memastikan peminat, rakan dan lain-lain peminat Internet berhubung dengannya seperti biasa.

Beliau juga sebelum ini pernah mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan Facebooknya.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Ibu tunggal dakwa ditipu rakan Facebook


MAIMUN menunjukkan laporan polis yang dibuat.
MAIMUN menunjukkan laporan polis yang dibuat.


JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal tidak menyangka kenalan baru yang mengaku sebagai pegawai polis yang dikenalinya menerusi laman sosial Facebook, tergamak menipunya dalam urusan jual beli komputer riba.

Ibu kepada empat anak yang mahu dikenali sebagai Maimun, 39, berkata beliau mengenali lelaki terbabit selepas menerimanya sebagai rakan Facebook dan selepas itu mendakwa dirinya pegawai polis berpangkat Inspektor.
“Saya kenal dia menerusi Facebook saja pada 5 Julai lalu dan kami tak pernah berjumpa dengan dia. Selepas berkawan, dia mendakwa dirinya pegawai polis dan ada menjual barangan seperti komputer riba dan telefon bimbit pada harga yang murah.
“Berikutan tawaran yang dibuat, saya bersetuju membeli sebuah komputer riba pada harga RM300 daripadanya dan diminta memasukkan wang bayaran ke dalam akaunnya pada 12 Julai lalu.

“Dia berjanji, barangan yang dibeli itu akan sampai dalam masa dua hari. Malangnya, selepas dua minggu, barang dijanjikan tidak sampai ke rumah. Apabila menghubunginya, dia seperti tidak tahu barang tersebut tidak sampai ke tangan saya, sedangkan dia berurusan dengan syarikat penghantaran, " katanya.

Maimun yang juga pengusaha sebuah pusat kecantikan, berkata selepas itu lelaki terbabit berjanji memastikan barang itu sampai dalam masa dua atau tiga hari lagi sehinggalah semalam, genap dua minggu pembayaran dibuat, beliau belum menerima barang dijanjikan dan meminta lelaki terbabit untuk memulangkan semula RM300 kepadanya.

Katanya, lelaki itu bersetuju memulangkan wang berkenaan dan pada 19 Julai lalu, dia menghantar SMS menyatakan sudah memindahkan wang secara dalam talian, namun memeriksa baki akaun, ternyata wang itu masih tidak dikembalikan.
“Saya menaruh kepercayaan kerana dia mendakwa dirinya pegawai polis dan secara kebetulan menjual barangan elektronik pada harga yang sangat murah, langsung tidak menyangka dia tergamak menipu selepas memberi semua butiran peribadi termasuk nombor akaun," katanya.

Katanya, berikutan kejadian itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Johor Bahru pagi semalam supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan mengesan lelaki terbabit bagi mengelak lebih ramai orang menjadi mangsa penipuannya.Berita Harian Online | Ibu tunggal dakwa ditipu rakan Facebook

AS beri amaran Iran tidak teruskan tajaan senjata nuklear

WASHINGTON: Calon yang bakal menjadi ketua tentera Amerika Syarikat, General Martin Dempsey, hari ini memberi amaran kepada Iran untuk tidak meneruskan tajaan senjata nuklear di Iraq.

Katanya, Iran negara yang menggugat kestabilan rantau ini kerana menaja penentang tentera AS di Iraq.
"Dengan aktiviti nuklear dan aktiviti sampingan di selatan Iraq, terdapat potensi yang tinggi bahawa Iran bakal membuat perhitungan yang salah ke atas tindakan penyelesaian AS," kata Dempsey yang kini Ketua Kakitangan Angkatan Tentera. - AFP
Berita Harian Online | AS beri amaran Iran tidak teruskan tajaan senjata nuklear

Medvedev jadi ‘Captain Russia’


SEORANG wanita melalui jalan yang menempatkan poster Medvedev yang berpakaian seperti watak Captain America di Moscow, semalam.
SEORANG wanita melalui jalan yang menempatkan poster Medvedev yang berpakaian seperti watak Captain America di Moscow, semalam.


MOSCOW: Satu poster misteri menampilkan Presiden Russia, Dmitry Medvedev umpama watak Captain America, muncul di ibu negara itu kelmarin yang dianggap mencetuskan sedikit rasa kurang senang kepada Kremlin.

Captain Amerika adalah watak berdasarkan komik mengisahkan kehidupan seorang kanak-kanak kurus kering yang kemudian menjadi seorang wira.
Dalam poster itu, Medvedev memakai jaket dan sarung tangan hitam serta bergaya seperti poster filem Captain America: The First Avenger.
Filem berkenaan ditayangkan di Amerika awal bulan ini. Perkataan Captain Russia: The First Ruler dilihat di tengah-tengah poster itu yang disifatkan sebagai satira.

Dalam komik popular terbabit, watak Captain Amerika menggunakan perisai dalam menghadapi serangan musuh manakala dalam poster itu, Medvedev membawa sebuah iPad besar.

Seorang pegawai Kremlin yang tidak mahu identitinya didedahkan, berkata poster yang memaparkan wajah Medvedev adalah perbuatan paling bodoh pernah dilakukan seorang pemimpin.

Captain America mengisahkan seorang lelaki kurus dipilih menjalani proses rahsia menjadikannya wira untuk memerangi Nazi Jerman. – AFP Berita Harian Online | Medvedev jadi ‘Captain Russia’

14 senator AS bantah larangan terhadap pemandu wanita di Arab Saudi

WASHINGTON: Seramai 14 senator wanita Amerika Syarikat (AS) memaksa pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz untuk menarik balik larangan terhadap pemandu wanita di negara itu dalam sepucuk surat yang dihantar kepada pemerintah itu, hari ini.

"Kami percaya ini adalah masa untuk menghapuskan selamanya larangan ke atas pemandu wanita , tambahan peranan Arab Saudi dipilih sebagai ahli baru dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Wanita iaitu badan khusus untuk mencapai kesaksamaan antara lelaki dan wanita serta merperkasakan wanita di seluruh dunia," menurut kandungan surat itu.
Badan itu diketuai oleh Senator Demokratik, Barbara Boxer dan Mary Landrieu. - AFP
Berita Harian Online | 14 senator AS bantah larangan terhadap pemandu wanita di Arab Saudi

Peguam akui penyerang gila


pix_gal0
Breivik puji Jepun, Korea Selatan kurang terima imigran Muslim



OSLO: Lelaki yang mengganas di Norway, Anders Behring Breivik, berkemungkinan besar gila, kata peguam bela penyerang itu selepas anak guamnya mengaku anti-Islam dan bertanggungjawab meletupkan bom serta menembak mati 76 orang dalam keganasan terburuk di negara berkenaan.

“Kes ini keseluruhannya menunjukkan dia gila,” kata Geir Lippestad sambil menekankan masih terlalu awal untuk Breivik akan mengaku tidak waras ketika melakukan keganasan terbabit.
Lippestad juga memberitahu, Breivik, 32, memberitahunya dia adalah sebahagian daripada rangkaian anti-Islam membabitkan dua kumpulan di Norway dan beberapa lagi kumpulan di negara luar.
Bagaimanapun polis Norway meragui dakwaannya dan percaya hanya dia saja yang merancang dan melakukan keganasan itu.

Lebih 100,000 penduduk Norway mengadakan perhimpunan di Oslo malam Isnin lalu, ramai membawa bunga ros putih dan merah ketika berkabung mangsa keganasan 22 Julai itu.

Berpuluh-puluh ribu lagi turut mengadakan perarakan dan berkabung di beberapa bandar dari Tromsoe sehingga ke Bergen.

Sementara itu, dalam pendedahan terbaru minda penyerang, Breivik menyifatkan Jepun sebagai negara contoh kerana tidak mengamalkan dasar kepelbagaian budaya, lapor agensi berita Kyodo.
Dalam manifesto 1,500 muka surat yang disiarkan online sejurus sebelum berlaku pembunuhan itu, Breivik melantik dirinya mengetuai misi menyelamatkan Eropah daripada ancaman Islam, pendatang asing dan pelbagai budaya luar.

Dalam dokumen itu, Breivik memuji Jepun kerana tidak membenarkan ramai orang Islam berhijrah ke negara itu, walaupun ia tidak mempunyai larangan terhadap etnik atau kumpulan agama tertentu.

Penduduk asing hanya mencatat 1.7 peratus daripada penduduk Jepun dengan China mencatatkan kumpulan paling besar diikuti etnik Korea, ramai yang berasal daripada penduduk yang dipaksa ke Jepun sebelum penjajahan berakhir di semenanjung Korea pada 1945.

Breivik turut memuji Korea Selatan kerana mempunyai peratusan rendah seperti negara itu bagi penduduk asing, kata Kyodo. – Reuters Berita Harian Online | Peguam akui penyerang gila

Ketagih Facebook

Marah jika tak guna internet

NEW YORK: Beberapa kajian terbaru terhadap pengaruh web sosial Facebook, Twitter dan Google mendapati laman sosial itu juga mencetuskan ketagihan umpama dadah.

Penagih kategori baru itu bertindak seperti orang yang tidak diberi dadah apabila dipaksa untuk tidak menggunakan internet dan media elektronik yang lain.
Kesannya kepada golongan yang ketagih laman web itu seperti keadaan orang mabuk yang bergantung kepada arak sebagai satu cara untuk membantunya bersosial. Selain itu, penagih online percaya orang yang tidak menyertai lebuh raya mega maklumat, bergiat dalam menghantar mesej pesanan ringkas dan pesanan cepat adalah golongan yang sangat membosankan, lapor New York Post.

“Sikap tidak menggunakan teknologi dianggap terlalu sukar untuk dielakkan bagi sesetengah pihak sama seperti berhenti merokok atau minum arak,” kata
firma penyelidikan Intersperience mengenai kajian terbaru terhadap mereka disekat daripada menggunakan teknologi online.

Menurut kajian itu, 53 peratus daripada 1,000 orang yang terbabit dalam kajian melaporkan yang mereka merasa marah apabila tidak menggunakan internet.
Kajian itu juga mendapati, 40 peratus responden merasa sunyi jika tidak menggunakan kemudahan online.
Sementara itu, dalam satu lagi kajian di Britain, satu pertiga ibu bapa di negara itu beranggapan internet mengancam anak mereka dan 80 peratus kanak-kanak ketagih laman web sosial seperti Facebook dan Twitter. – Agensi
Berita Harian Online | Ketagih Facebook

Menteri wanita Pakistan runding konflik 64 tahun


HINA tiba di lapangan terbang New Delhi, semalam.
HINA tiba di lapangan terbang New Delhi, semalam.


NEW DELHI: Wanita pertama dilantik Menteri Luar Pakistan, Hina Rabbani Khar, 34, menjadi tumpuan apabila tiba di sini semalam untuk mengadakan rundingan hari ini dengan rakan sejawat dari India yang 45 tahun lebih tua daripadanya.

Khar dilantik minggu lalu selepas berkhidmat sebagai menteri luar muda sejak Februari, menjadi wajah diplomatik Pakistan ketika tempoh kritikal, lebih-lebih lagi berkaitan hubungan negara itu dengan Washington.
Menteri yang mempunyai ijazah sarjana dalam pengurusan hotel itu akan terbabit dalam rundingan berhubung isu sempadan yang paling kacau di dunia yang membawa kepada peperangan tiga kali sejak 1947, dengan Menteri Luar India, SM Krishna yang jauh lebih berpengalaman.
Rundingan itu yang pertama antara kedua-dua negara pada peringkat berkenaan sejak setahun lalu, adalah mesyuarat kedua bagi Hina selepas menghadiri forum keselamatan serantau dengan Asean di Bali minggu lalu, yang mana beliau mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton.

Hina menggesa kedua-dua India dan Pakistan meninggalkan ‘beban’ sejarah.
“Kedua-dua negara harus maju ke hadapan sebagai jiran yang baik yang sudah mempelajari daripada sejarah dan tidak dibebani oleh sejarah”, katanya.

India menggantung rundingan dengan Islamabad selepas serangan pengganas ke atas 2008 Mumbai yang New Delhi meletakkan kesalahan terhadap militan di negara jirannya itu.
Sejak itu, kedua-dua negara mengambil langkah bagi memulihkan hubungan.
Hina yang memakai selendang adalah ibu kepada dua anak perempuan tidak dapat mengelak daripada dibandingkan dengan Benazir Bhutto, Perdana Menteri wanita Pakistan yang dibunuh sejurus pulang dari hidup dalam buangan pada 2007. – AFP Berita Harian Online | Menteri wanita Pakistan runding konflik 64 tahun

Pelajar hilang 4 hari ditemui mati di Pattaya


SYAFIQ...terjatuh dari kondominum
SYAFIQ...terjatuh dari kondominum


KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Jepun dan dilaporkan hilang oleh keluarganya selama empat hari akhirnya terjawab dengan penemuan mayatnya beribu kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang.
Muhammad Syafiq Abu Ani, 25, dari Batu Pahat, Johor ditemui mati akibat terjatuh dari sebuah kondominum di Pattaya, Thailand, 23 Julai lalu.

Menurut laporan akhbar dalam talian, pattayaone.net, siasatan polis Thailand mendapati mangsa jatuh dari tingkat 14, Niran Grand Condominium di Soi Arunothai, berdasarkan penemuan barangan peribadi mangsa termasuk selipar dan tiket penerbangan balik ke Malaysia di sebuah unit di aras berkenaan.

Butiran tiket menunjukkan mangsa sepatutnya kembali ke Malaysia sehari sebelum penemuan mayatnya.

Penghuni kondominium itu juga mendakwa tidak mengenali mangsa dan sebab kehadirannya di Thailand masih dalam siasatan polis.


Berdasarkan laporan itu, siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai membunuh diri namun siasatan lanjut akan dilakukan dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Bangkok. Sementara itu jurucakap Wisma Putra mengesahkan kematian mangsa.

myMetro | Pelajar hilang 4 hari ditemui mati di Pattaya

7 cedera kena bom depan sekolah

YALA: Lima guru dan dua sukarelawan pertahanan awam cedera akibat letupan bom, pagi semalam ketika memasuki kawasan sekolah di bandar ini.

Menurut polis, sukarelawan dan guru berkenaan yang menunggang motosikal baru tiba di Sekolah Ban Lamud apabila anggota kumpulan pemisah meletupkan bom yang dilaporkan disorok di dalam kotak besi dekat papan tanda jalan di depan sekolah.


Guru dan sukarelawan terbabit mengalami sakit dada dan masalah pendengaran akibat letupan itu.

Letupan bom seberat 23 kilogram di tepi jalan itu menyebabkan lubang besar di kawasan berkenaan.

myMetro | 7 cedera kena bom depan sekolah

Breivik puji Jepun, Korea


ORANG ramai memegang bunga dan tanda cinta ‘Utoeya’ dan ‘Oslove’ ketika menyertai acara perhimpunan mengingati 76 mangsa pembunuhan Breivik di Oslo, semalam.
ORANG ramai memegang bunga dan tanda cinta ‘Utoeya’ dan ‘Oslove’ ketika menyertai acara perhimpunan mengingati 76 mangsa pembunuhan Breivik di Oslo, semalam.


TOKYO: Lelaki yang mengaku membunuh 76 orang dalam serangan di Oslo, Norway Jumaat lalu menyifatkan Jepun sebagai negara model dalam dokumen yang diedarkannya di Internet.
Dia memuji negara matahari terbit itu kerana menjauhi dasar pelbagai budaya. lapor agensi berita rasmi Jepun, Kyodo.

Dalam manifesto setebal 1,500 muka yang diedarkan secara online sejurus sebelum melakukan pembunuhan beramai-ramai itu, Anders Behring Breivik berkata, dia melantik dirinya untuk misi menyelamatkan Eropah yang didakwanya berdepan dengan ancaman Islam, migrasi dan dasar pelbagai budaya.

Menurut Kyodo, dalam dokumen itu, Breivik juga memuji Jepun kerana tidak membenarkan ramai orang Islam berhijrah ke negara itu meskipun ia tidak tidak mengenakan sekatan khusus terhadap kumpulan etnik atau agama untuk berbuat demikian.

Penghijrahan adalah isu sensitif di Jepun. Sebahagian besar rakyatnya bimbang penghijrahan ramai warga asing akan menyebabkan kadar jenayah meningkat dan pada masa sama, menjejaskan perpaduan sosial.


Bagaimanapun, pakar berkata, populasi negara itu yang semakin berkurangan dan tua, akan memaksa Jepun bersifat lebih terbuka dalam menerima penghijrahan orang asing.

Anggota Parlimen beberapa parti utama menggesa langkah diambil untuk membuka pintu secara lebih luas tetapi tidak bertindak bersungguh-sungguh kerana bimbang mencetuskan kemarahan pengundi.

Penduduk warga asing mewakili 1.7 peratus populasi Jepun dengan kaum Cina menjadi kumpulan terbesar diikuti oleh etnik Korea yang sebahagian besarnya dipaksa pergi ke Jepun sebelum penjajahannya terhadap semenanjung Korea berakhir pada 1945.

myMetro | Breivik puji Jepun, Korea

Lelaki dijel lapan tahun, sebat



MUHAMAD HAFIZ diiring keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan selepas
dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun
dan empat sebatan semalam.


TEMERLOH – Kesengsaraan dua beradik yang melecur teruk selepas disimbah cuka getah oleh seorang buruh ladang sedikit terubat apabila Mahkamah Sesyen di sini semalam memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan.

Hakim Dazuki Ali memerintahkan Mohammad Hafiz Ismail, 31, menjalani hukuman itu selepas berpuas hati dengan pengakuan bersalah tertuduh terhadap dua dakwaan kerana mencederakan Syafiq Haikal Mat Safa Zaidi, 13, dan adiknya, Syaffiy Aiman, 10.

Kesalahan itu dilakukan berhampiran rumah No. 149, Felda Jengka 9 pada pukul 7.30 malam hingga 8.30 malam, 19 Julai lalu.

Ketika diminta mengulas mengenai hukuman tersebut, ibu mereka, Ruhasimah Julaili Mansor, 33, menyifatkan ia tidak setimpal jika dibandingkan dengan kesengsaraan yang akan ditanggung seumur hidup anaknya.

Katanya, hukuman itu agak ringan dan tidak memadai berbanding perbuatan kejam itu.

“Saya sukar terima keputusan itu kerana dua anak saya yang masih kecil. Selain menderita mereka juga mengalami trauma hingga ke akhir hayat ekoran perbuatan tidak berperikemanusiaan lelaki itu,” luahnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Lebih membuatkannya terkilan ialah dia mendakwa ibu tertuduh yang juga jiran mereka langsung tidak pernah menjenguk dua anaknya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) apatah lagi memohon maaf di atas kesalahan tertuduh.

Suami Ruhasimah, Mat Safar Zaidi Che Sam, 33, pula merasakan hukuman tersebut tidak berbaloi dan boleh menyebabkan tertuduh mengulanginya.

“Saya akan berbincang dengan ahli keluarga untuk membuka semula fail kes bagi memastikan nasib anak saya benar-benar terbela,” katanya.

Dalam prosiding semalam, tertuduh yang berbadan kurus didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Tuduhan pertama ialah menyebabkan kecederaan parah kepada Syafiq Haikal dengan menyimbah cecair disyaki cuka getah di muka dan badan. Bagi tuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mencederakan Syaffiy Aiman dengan cecair yang sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara 20 tahun, denda atau sebat.

Mohammad Hafiz yang tidak diwakili peguam merayu hukuman terhadapnya dikurangkan tetapi dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Rashidi Abd. Rahim.

Dazuki kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan dan mengarahkannya berjalan serentak.

Mengikut fakta kes, kedua-dua mangsa telah disimbah cuka getah di muka dan badan ketika melalui depan rumah tertuduh ketika mereka menunggang motosikal untuk ke rumah rakan bagi mengulangkaji pelajaran.

Dua beradik itu masih lagi dirawat di HKL dan selepas menjalani pembedahan, kulit mati pada tubuh mereka telah dibuang sebelum dibalut.

Kosmo! Online - Negara

Ibu gadai nyawa selamatkan zuriat



NORAZIZAH menangis sambil memangku Wan Mohd. Hazim yang diselamatkannya daripada rentung di Kampung Padang Tengir, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Kasih sayang seorang ibu terhadap dua anaknya termasuk bayi berusia 22 hari terbukti apabila dia sanggup meredah api untuk menyelamatkan zuriatnya itu selepas rumah mereka di Kampung Padang Tengir, Manir dekat sini terbakar semalam.

Kejadian mencemaskan pada pukul 9.30 pagi itu berlaku ketika Norazizah Yusof, 42, yang masih dalam pantang sedang menyusukan Wan Mohd. Hazim di dalam sebuah bilik sambil ditemani seorang lagi anak perempuannya, Wan Noraiha Suffiah, 3.

Mengimbau semula kejadian itu, Norazizah berkata, ketika asyik menyusukan anak bongsunya itu, dia terkejut selepas terdengar bunyi letupan di bilik bersebelahan sebelum melihat api mulai marak.

Dalam keadaan panik dan lemah, dia terus mendukung bayi lelakinya dan memimpin tangan anak perempuannya itu sebelum mereka bergegas berlari keluar melalui pintu utama rumah.

“Saya hanya fikir untuk menyelamatkan diri dan anak selepas bilik yang terbakar itu runtuh dijilat api walaupun ketika itu rumah itu dipenuhi asap dan berbahang.

Kosmo! Online - Negara

Penyelia feri maut ditembak


ANGGOTA polis mengangkat motosikal ditunggang Zamzarmi yang mati ditembak dalam kejadian samun di Alor Setar kelmarin.


ALOR SETAR – Seorang penyelia sebuah syarikat feri maut selepas ditembak dalam kejadian samun melibatkan wang hasil jualan tiket sebanyak RM12,500 di Taman Seri Putra Fasa 3, Kuala Kedah di sini kelmarin.

Kejadian pukul 7.30 malam itu mengakibatkan Zamzarmi Ghazali, 36, (gambar) maut selepas ditembak sebanyak tiga kali dari jarak dekat masing-masing di dada dan perut ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Desarina, Kuala Kedah.

Ketika itu, dia sedang menunggang motosikal jenis Yamaha Nuovo selepas mengambil wang hasil jualan tiket tersebut di Terminal Feri Kuala Kedah.

Sebaik tiba di satu deretan bangunan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya, mangsa telah didatangi dua individu menunggang motosikal dengan memakai topi keledar berpenutup penuh. Mereka dipercayai telah mengekori mangsa dari terminal feri.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan memberitahu, salah seorang suspek kemudian telah menembak mangsa sebanyak tiga kali dari jarak dekat sebelum melarikan wang RM12,500 yang dibawa lelaki itu.

Katanya, suspek masih diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, Pengurus Ferryline Ventures, Hussin Hassan, 51, memberitahu, ketika kejadian, mangsa membawa hasil jualan tiket feri yang diperoleh sejak kelmarin.

“Saya dan Allahyarham bergilir-gilir membawa pulang hasil jualan tiket. Wang itu akan dimasukkan ke bank keesokan harinya,” ceritanya.

Tambahnya, dia sepatutnya membawa pulang wang itu tetapi Zamzarmi mahu mengambilnya sendiri sebelum keluar pada pukul 7.10 petang.

Isteri mangsa, Faradina Ghazali, 32, berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, dia mendapati suaminya sudah tidak sedarkan diri dan meninggal dunia di situ.

“Dia telah bekerja di situ sejak 15 tahun lalu dan pernah membawa pulang wang hasil jualan tiket sebanyak RM200,000 tetapi tidak pernah disamun,” ceritanya yang mempunyai empat anak berusia di antara tiga dan 10 tahun.

Kosmo! Online - Negara

Budak lelaki ada 34 jari pecah rekod



GAMBAR menunjukkan Akshat Saxena yang mempunyai tujuh jari pada setiap tangan dan 10 jari di setiap kakinya.


NEW DELHI - Seorang budak lelaki berusia setahun di India memecahkan rekod dunia kerana dilahirkan dengan 34 jari tangan dan kaki, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang jurucakap Guinness Book of Records berkata, Akshat Saxena memiliki tujuh jari pada setiap tangannya manakala setiap kakinya mempunyai 10 jari kaki.

Kanak-kanak berkenaan berasal dari wilayah Uttar Pradesh, utara India.

Akshat yang dilahirkan tanpa mempunyai ibu jari menyebabkan doktor kini cuba untuk menggunakan jari yang sudah dipotong bagi menggantikan ibu jari tersebut.

"Saya amat gembira melihat anak saya buat pertama kali kerana dia merupakan cahaya mata pertama kami," kata ibunya, Amrita Saxenakata.

"Saya kemudian terkejut melihat jari-jarinya yang banyak," tambah wanita itu.

Didorong oleh seorang rakan mereka, keluarga berkenaan mendaftarkan anak mereka ke dalam Guinness Book of Records menerusi Internet.

Rekod untuk kategori tersebut sebelum ini dipegang oleh seorang budak lelaki di China berusia enam tahun yang memiliki 15 jari tangan dan 16 jari kaki.

Kanak-kanak China itu yang namanya enggan didedahkan keluarganya turut menjalani pembedahan untuk membuang baki jarinya.

Dia kini mempunyai 10 jari tangan dan 10 jari kaki selepas menjalani pembedahan selama enam setengah jam di sebuah hospital di Shenyang, Liaoning pada Mac lalu.

Satu kajian terbaharu menunjukkan lebihan jari tangan dan kaki itu merupakan sindrom yang dikenali sebagai polydactyly yang jarang berlaku ke atas bayi. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Lelaki mati hidup semula


JOHANNESBURG, Afrika Selatan - Seorang lelaki mendapati dirinya berada di dalam peti sejuk sebuah rumah mayat apabila tersedar hampir sehari selepas keluarganya menyangka dia sudah meninggal dunia, kata seorang pegawai kesihatan.

Jurucakap jabatan kesihatan, Sizwe Kupelo kelmarin berkata, lelaki berkenaan tersedar pada tengah hari Ahad lepas, 21 jam selepas dia dibawa ke rumah mayat berkenaan selepas keluarganya menyangka dia sudah mati akibat serangan asma.

"Kakitangan kami memeriksa tubuh lelaki itu dan mendapati dia tiada nadi atau degupan jantung," kata pemilik rumah mayat itu, Ayanda Maqolo.

Namun, hampir sehari selepas pekerja rumah pengebumian itu memasukkan lelaki itu ke dalam peti sejuk mayat dan menguncinya, mereka terdengar seseorang menjerit meminta tolong.

Magolo yang ketakutan, bertindak menelefon polis. Mereka kemudian membuka peti sejuk mayat itu dan mendapati lelaki tersebut masih hidup.

"Lelaki itu kelihatan pucat dan bertanya bagaimana dia boleh berada di situ. Dia dihantar ke hospital untuk pemeriksaan sebelum dibenarkan pulang," kata Magolo.

- AP

Kosmo! Online - Dunia

Ribuan beratur lihat gaun isteri Putera William


RIBUAN orang beratur untuk melihat gaun isteri Putera William di Istana Buckingham di London baru-baru ini.


LONDON - Ribuan pengunjung beratur di pekarangan Istana Buckingham di sini untuk menyaksikan gaun pengantin yang dipakai oleh Kate Middleton, isteri pewaris kedua takhta Britain, Putera William, lapor sebuah akhbar semalam.
Para pelancong beratur sambil menunggu kakitangan istana membuka pagar bagi melihat lebih dekat gaun itu baru-baru ini.
Gaun berharga £250,000 (RM1.2 juta) yang direka khas oleh pereka Sarah Burton dari gedung fesyen Alexander McQueen itu dipamerkan sempena pembukaan musim panas tahunan.
Putera William dan Middleton berkahwin pada April lalu.

GAUN pengantin yang dipakai Kate Middleton semasa majlis perkahwinannya pada April lalu.


Pengunjung juga boleh menyaksikan barangan berharga yang lain seperti kasut dan kek perkahwinan diraja.
Ruang dewan tarian tempat berlangsungnya majlis resepsi mempamerkan tiara Cartier 1936 bertatahkan seribu berlian yang dipinjamkan daripada Ratu Elizabeth II turut dipamerkan.
Di bahagian ruang makan, para pengunjung dapat menyaksikan kek perkahwinan empat tingkat yang direka oleh Fiona Cairns.
Rekod menunjukkan jualan tiket lebih awal melebihi dua kali ganda berbanding musim panas tahun lalu.
Seramai 600,000 peminat telah membeli tiket untuk 10 minggu pameran dengan harga £17.50 (RM84). - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Spielberg didenda RM737.47 kerana bot laju

KAPAL mewah milik Steven Spielberg yang berharga RM1.06 bilion.


PORTO CERVO, Sardinia - Pengarah filem terkenal, Steven Spielberg didenda 172 euro (RM737.47) oleh pihak berkuasa pengawal pantai Itali selepas bot laju miliknya berada terlalu dekat dengan pantai, lapor sebuah akhbar semalam.

Speilberg yang merupakan seorang bilionair didenda kerana dia mengganggu orang ramai yang bercuti di tepi pantai baru-baru ini.

Pengarah filem yang berusia 64 tahun itu membuat bising sehingga mengganggu ketenangan para pelancong di tepi pantai di La Maddalena.

Para pelancong yang berjemur di tepi pantai itu kemudian bertindak menghubungi polis dan pengawal pantai kerana bunyi bising dari bot laju Spielberg.

Pengarah filem itu didenda kerana bot lajunya itu melanggar peraturan maritim.

Ketika kejadian, Spielberg membawa seorang aktres, Gwyneth Paltrow bersiar-siar dengan bot lajunya.

Bot laju itu bergerak dari sebuah kapal persendirian mewah milik pengarah filem tersebut yang berharga AS$359.58 juta (RM1.06 bilion).

Spielberg yang pernah mengarahkan filem Jaws dan Saving Private Ryan dikatakan meminta maaf kepada anggota-anggota pihak berkuasa pengawal pantai.

"Saya meminta maaf. Saya Steven Spielberg. Saya tidak mengetahui peraturan," kata pengarah filem itu.

Menurut seorang anggota pengawal pantai, Vincenzo Petrella, Spielberg menawarkan untuk membayar denda itu kepadanya.

Namun, katanya, dia memberitahu pengarah filem itu bahawa wang tersebut perlu dibayar di sebuah pejabat pos.- Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Britain tukar pendirian kedudukan Gaddafi


LONDON - Para pemimpin Britain didakwa menukar pendirian berhubung konflik Libya apabila Setiausaha Luar, William Hague kelmarin mengesahkan Britain telah membatalkan tuntutannya supaya pemimpin Libya, Muammar Gaddafi meninggalkan negara berkenaan.

Hague memberitahu, walaupun Britain masih komited supaya Gaddafi diadili di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), masa depan pemimpin tersebut kini terletak di tangan rakyat Libya.

Bercakap pada satu sidang media di sini bersama Menteri Luar Perancis, Alain Juppe, beliau berkata, Britain dan Perancis bersepakat sepenuhnya bagi menyokong campur tangan ketenteraan di Libya.

Pada sidang media berkenaan, Hague memberi amaran bahawa Gaddafi mesti meletak jawatan, tidak berusaha untuk membunuh penduduk awam atau menghuru-harakan Libya selepas beliau berundur.

Beliau bagaimanapun tidak mengulangi tuntutan sebelum ini bahawa pemimpin berusia 69 tahun itu perlu meninggalkan Libya.

"Apa pun jalan penyelesaian berhubung konflik ini (Libya), jalan penyelesaiannya boleh diterima oleh rakyat Libya," katanya.

"Rakyat Libya sendiri perlu menentukan masa depan mereka dan bukan kami (Barat)," tambah Hague. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Pembunuh gila Norway mungkin dipenjara 30 tahun

ANDERS BEHRING BREIVIK (kiri) menaiki sebuah kenderaan polis yang meninggalkan sebuah mahkamah di Oslo, Norway kelmarin.


OSLO - Polis Norway boleh mendakwa seorang pembunuh 'gila,' Anders Behring Breivik atas dakwaan jenayah menentang kemanusiaan sekali gus menyebabkan dia dihukum penjara selama 30 tahun.

Dia ditangkap selepas membunuh 76 orang pada minggu lalu.

Breivik kini berdepan hukuman penjara 21 tahun kerana beberapa tuduhan melakukan keganasan selepas serangan bom dan tembakan pada Jumaat.

Namun, ramai rakyat Norway menganggap hukuman penjara selama 21 tahun itu tidak cukup panjang.

Pendakwa raya, Christian Hatlo kelmarin memberitahu sebuah akhbar tempatan, Aftenposten bahawa pendakwaan baharu itu merupakan satu kemungkinan.

Undang-undang jenayah kemanusiaan dikuatkuasakan di Norway pada 2008.

"Polis setakat ini menyatakan akan mendakwa lelaki itu kerana jenayah menentang keganasan tetapi beberapa dakwaan lain akan turut dipertimbangkan," kata jurucakap polis, Sturla Henreiksboe.

Breivik mengaku melakukan serangan itu.

Sebelum ini terdapat dakwaan dia melakukan serangan itu kerana terlalu bencikan kebangkitan penduduk Islam di Eropah. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Sokongan ke atas PM Israel merosot

SEJUMLAH penduduk menyertai tunjuk perasaan bagi membantah kenaikan harga barang dan hartanah di Tel Aviv kelmarin.


BAITULMUQADDIS - Sokongan ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menurun susulan bantahan rakyat terhadap kos sara hidup di negara berkenaan yang melambung tinggi, menurut satu kaji selidik yang disiarkan semalam.

Akhbar tempatan, Haaretz melaporkan bahawa kaji selidik terbaharu itu mendapati 32 peratus rakyat Israel berpuas hati dengan prestasi Netanyahu manakala 54 peratus lagi sebaliknya.

Netanyahu yang mengetuai pentadbiran campuran yang diterajui parti pimpinannya, Parti Likud, menyatakan, beliau akan mengumumkan beberapa langkah bagi mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup tersebut.

Harga barangan makanan di Israel melonjak lebih 40 peratus sejak beberapa bulan lalu termasuk harga keju kotej yang merupakan makanan ruji di negara itu.

Selain produk makanan, harga petrol turut melambung kepada lebih AS$8 (RM23.65) untuk 3.7 liter manakala harga rumah pula jauh lebih mahal berbanding beberapa tahun sebelumnya.

Sebuah flat dua bilik di sini atau bandar Tel Aviv kini berharga sekitar AS$500,000 (RM1.4 juta).

Parti Likud kini menduduki 27 kerusi daripada 66 kerusi pentadbiran campuran Israel.

Pilihan raya umum Israel dijadual diadakan pada tahun 2013. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia