Pages

Monday, June 17, 2013

Basikal guna enjin jet




London: Seorang tukang paip mendakwa membina basikal paling berbahaya di dunia dikuasai oleh enjin jet buatan sendiri dan mempunyai kelajuan hingga 80 kilometer sejam.

Colin Furze yang memegang tiga gelaran Rekod Dunia Guiness kerana ciptaannya termasuk skuter mudah alih terpantas dunia yang diubah suai daripada basikal Raleigh milik ibu kawannya.


Lelaki berusia 32 tahun terbabit memberi nama samaran Norah kepada basikal itu yang dilengkapi enjin jet di belakang yang dipanjangkan agar kedudukan penunggang jauh daripada enjin.

Bagaimanapun foto di sebelah menunjukkan Fruze dan rakannya tidak memakai pakaian atau peralatan keselamatan ketika mencuba basikal berkenaan. Pencipta Britain itu sangat dikenali di dunia maya kerana lagak ngerinya yang cukup luar biasa. - DM

Sambut baik tapi ragu

Sambut baik tapi raguRakyat Iran berarak merai kemenangan Rohani sebagai presiden baru dengan memakai topeng wajah beliau. Washington: Kuasa dunia secara berhati-hati mengalu-alukan pemilihan Hassan Rohani sebagai Presiden Iran yang baru kerana terus bimbang berhubung program nuklear Tehran.

Pemilihan ulama berhaluan sederhana berusia 64 tahun itu menamatkan cengkaman lapan tahun puak konservatif terhadap kuasa di negara konservatif itu.
Rohani menggunakan kenyataan pertamanya selepas kemenangan itu disahkan untuk mengumumkan bahawa negara Barat ada peluang baru melayan Republik Islam berkenaan dengan perasaan hormat dan mengiktiraf haknya.


Amerika Syarikat berkata, ia bersedia berdialog dengan Iran secara langsung berhubung program nuklear Tehran.

Penyelesaian diplomatik Rumah Putih berkata, dialog itu bertujuan mencapai penyelesaian diplomatik yang menangani sepenuhnya kebimbangan masyarakat antarabangsa berhubung program nuklear Iran.

Ia mengkritik kurangnya ketelusan, tapisan media, internet dan mesej teks ketika undian, selain persekitaran keselamatan yang mengehadkan kebebasan bersuara dan berhimpun.

Barat mengesyaki program berkenaan bertujuan membangunkan senjata nuklear, namun Iran menegaskan ia untuk tujuan keamanan seperti menjana tenaga.
Rohani sebelum ini berazam untuk memulihkan hubungan diplomatik dengan Amerika, yang terputus selepas pelajar Iran merampas kedutaan Amerika di Tehran pada 1979.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menggesa Iran memainkan peranan membina dalam hubungan serantau dan antarabangsa dalam satu mesej tahniah kepada Rohani sambil mengalu-alukan penyertaan tinggi pengundi dalam undian kali ini.

Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Catherine Ashton sedia bekerjasama dengan Rohani untuk mencari penyelesaian diplomatik pantas program nuklear.

Ashton berkhidmat sebagai ketua perunding enam kuasa dunia yang menuntut untuk memeriksa program nuklear Iran.

Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius berkata Paris sedia ‘bekerja’ dengan Rohani, manakala Britain menggesanya membawa republik Islam itu ‘ke laluan berbeza, begitu juga Menteri Luar Jerman, Guido Westerwelle. AFP

Cengkerang 260j tahun ditemui


ANTARA fosil cengkerang spesies Brakiopoda yang ditemui pada singkapan batuan tapak projek jalan raya berdekatan Sungai Yu, Merapoh, Kuala Lipis, semalam.
KUALA LIPIS 16 Jun - Seorang Ahli Paleontologi dari Institut Geologi Malaysia (IGM) menemui fosil cengkerang berusia 260 juta tahun di Sungai Yu, berdekatan Merapoh di sini.
Penemuan itu membuktikan hasil kajian fosil berkenaan lebih tua usianya berbanding fosil ditemui di Taman Emas, bandar Kuala Lipis berusia 230 juta tahun yang dibuat pada 2011.
Ahli Paleontologi IGM, Ahmad Rosli Othman berkata, daerah ini mempunyai banyak kawasan yang mengandungi fosil atau tinggalan hidupan purba dari zaman pra-sejarah.
"Fosil cengkerang ditemui pada satu singkapan batuan di sepanjang projek menaiktaraf jalan raya Merapoh ke Kuala Lipis yang sedang dalam pembinaan berdekatan Sungai Yu.
"Fosil itu terletak lapisan batu lumpur merupakan jenis Brakiopoda yang lazimnya hidup di persekitaran laut cetek," katanya kepada pemberita di Sungai Yu di sini hari ini.
Menurutnya, antara spesies Brakiopoda yang dapat dikenal pasti di kawasan sama iaitu Leptodus sp.,Transennatia sp. dan Spyridiophora sp.
Beliau yang juga penyelidik dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, menerusi penyelidikan itu bahawa Merapoh berada di dasar lautan antara 250 hingga 260 juta tahun lampau dan menjadi habitat hidupan laut purba yang primitif.
"Haiwan primitif ini berenang bebas di lantai lautan yang relatifnya agak dalam dan beriklim panas. Kemudiannya, apabila mati akan tertimbus oleh enapan keladak kekal yang menjadi batu dalam tempoh beratus juta tahun lamanya," ujarnya.
Katanya, haiwan purba itu hidup pada zaman sebelum berlakunya kepupusan masa di muka bumi iaitu kira-kira 252 juta tahun lampau.
Menurut beliau, menerusi proses geologi dasar laut berkenaan timbul ke permukaan bumi dan menjadi daratan serta membentuk topografi atau bentuk muka bumi seperti yang wujud di Merapoh.
Justeru, katanya, apabila terdapat projek pembangunan seperti pembinaan jalan raya di sini, bumi yang menyimpan banyak rahsia alam akan terungkai menerusi penemuan fosil cengkerang di lokasi berkenaan.
"Berdasarkan kajian paleontologi, hidupan primitif ini pernah hidup di sekitar 260 juta tahun lampau atau secara saintifiknya berada dalam tempoh zaman Lopingian dan Permian," jelasnya.
Katanya, kawasan Merapoh diumpamakan 'kitab sejarah bumi' yang memaparkan fenomena kehidupan sebelum wujudnya manusia di muka bumi ini kira-kira 200,000 tahun lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130617/dn_17/Cengkerang-260j-tahun-ditemui#ixzz2WQ7IJA5G
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Cengkerang berusia 260 juta tahun ditemui di Merapoh


AHMAD ROSLI OTHMAN
ANTARA fosil cengkerang spesies Brakiopoda yang ditemui pada singkapan batuan tapak projek jalan raya berdekatan Sungai Yu, Merapoh di sini hari ini. - UTUSAN
KUALA LIPIS 16 Jun - Seorang Ahli Paleontologi dari Institut Geologi Malaysia (IGM) menemui fosil cengkerang berusia 260 juta tahun di Sungai Yu, berdekatan Merapoh di sini.
Hasil kajian ke atas fosil itu mendapati ia lebih tua berbanding fosil yang ditemui di Taman Emas, bandar Kuala Lipis pada 2011 lalu yang berusia 230 juta tahun.
Ahli Paleontologi itu, Ahmad Rosli Othman berkata, daerah ini mempunyai banyak kawasan yang mengandungi fosil atau tinggalan hidupan purba dari zaman prasejarah.
"Fosil cengkerang ditemui pada satu singkapan batuan di sepanjang projek menaik taraf jalan raya Merapoh ke Kuala Lipis yang sedang dalam pembinaan berdekatan Sungai Yu.
"Fosil yang terletak pada lapisan batu lumpur itu merupakan jenis Brakiopoda yang lazimnya hidup dipersekitaran laut cetek," katanya kepada pemberita di Sungai Yu di sini hari ini.
Menurutnya, antara spesies Brakiopoda yang dapat dikenal pasti di kawasan sama iaitu Leptodus sp., Transennatia sp. dan Spyridiophora sp.
Beliau yang juga penyelidik dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, penemuan itu menunjukkan sekitar 250 juta hingga 260 juta tahun dahulu Merapoh berada di dasar lautan dan menjadi habitat hidupan laut purba yang primitif. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130616/dn_20/Cengkerang-berusia-260-juta-tahun-ditemui-di-Merapoh#ixzz2WQ70Md9y
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Berjalan 40,000 kilometer keliling dunia


Masahito Yoshida berjaya mengelilingi dunia dengan berjalan kaki selama empat tahun. - AGENSI
SHANGHAI 16 Jun - Seorang lelaki Jepun, Masahito Yoshida berjaya mengelilingi dunia dengan berjalan kaki selama empat tahun.
Lelaki berusia 32 tahun itu memulakan misinya untuk mengelilingi dunia pada 2009 dengan bermula dari Shanghai, China.
Sejak itu, dia telah melakukan perjalanan sejauh kira-kira 40,000 kilometer di empat benua.
Yoshida melakukan aksi itu hanya kerana mahu mengelilingi dunia dan melihat keajaiban dunia.
Misi pertamanya ialah berjalan kaki ke Cape Roca, Portugal dengan melalui Asia Tengah dan Eropah sebelum berjaya sampai ke bandar itu pada Ogos 2010 selepas berjalan kaki sejauh 16,000 kilometer.
Dia kemudiannya melanjutkan perjalanan ke Amerika Syarikat (AS) menaiki pesawat dan menghabiskan masa lebih setahun untuk berjalan sejauh 6,000 kilometer dari Atlantic City, New Jersey ke Vancouver, Kanada.
Pada hujung 2011 pula, Yoshida melakukan penerbangan ke Melbourne, Australia dari Kanada dan berjalan ke Darwin sebelum ke Singapura dan kembali ke Shangai, China.
"Sepanjang ekspedisi ini, saya berdepan dengan beberapa insiden berbahaya, tetapi ia memberi kesedaran kepada saya bahawa masih ramai orang yang baik hati di dunia ini," katanya yang dipetik daripada laman web Oddity Central. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130617/lu_06/Berjalan-40000-kilometer-keliling-dunia#ixzz2WQ6DajQF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Serpihan pesawat anak Presiden Roosevelt akan dilelong

GAMBAR menunjukkan pesawat yang digunakan Quentin sebelum dia ditembak jatuh.


SAUMUR, Perancis - Beberapa serpihan kapal terbang yang dipandu oleh anak lelaki bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Theodore Roosevelt akan dilelong di sini pada 29 Jun ini, kata pihak penganjur semalam.
Pesawat itu yang dipanduoleh Quentin Roosevelt ditembak jatuh pada bulan Julai 1918 semasa Perang Dunia Pertama.
Serpihan kabin pesawat itu telah diserahkan kepada keturunan bekas tuan tanah tempat Quentin menyewa semasa bertugas di Issoudun, Perancis.
Firma Laurent Mirouze of Aiolfi Partners yang mengendalikan lelongan tersebut meletakkan harga permulaan serpihan itu daripada 335 euro (RM1,392).
Setakat ini, terdapat beberapa buah muzium di AS berminat untuk membelinya.
Pesawat yang dipandu Quentin Roosevelt telah ditembak jatuh ketika dia berusia lebih 20 tahuh di timur Perancis pada 14 Julai 1918. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0617&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2WQ1tjbV9 
Hakcipta terpelihara 

Google lancar belon udara bekal internet


GAMBAR yang dirakam pada 15 Jun lalu menunjuk belon altitud tinggi terbang di langit Tekapo, selatan New Zealand.


CHRISTCHURCH - Gergasi enjin carian internet, Google melepaskan sejumlah belon udara panas dilengkapi pencawang internet ke stratosfera Bumi bagi bagi menyalurkan perkhidmatan dalam talian ke seluruh dunia.
Mengambil masa 18 bulan untuk dibangunkan, pelancaran projek rahsia itu dibuat di New Zealand kelmarin.
Sebagai permulaan, sekitar 50 isi rumah mula menerima perkhidmatan internet yang dipancarkan daripada belon berisi gas helium tersebut.
Belon-belon udara panas itu mampu terbang pada ketinggian 19.2 kilometer dari Bumi.
Google berharap pihaknya dapat melancarkan beribu-ribu belon udara panas itu bagi menyalurkan perkhidmatan internet ke kawasan pedalaman di seluruh dunia.
Usaha tersebut yang dinamakan Projek Loon, kata Google, diharap dapat mengurangkan jurang digital antara 2.2 bilion pengguna internet semasa dan sekitar 4.8 bilion lagi yang tidak memiliki kemudahan itu.
Menurut Google, belon udara panas yang bertindak sebagai pencawang itu juga membolehkan negara rantau Asia Tenggara dan Afrika menyalurkan perkhidmatan internet pada kos lebih murah tanpa perlu membina kabel fiber optik.
"Ini projek besar, matlamat kami juga besar," kata ketua inisiatif tersebut, Mike Cassidy.
Dilengkapi panel solar, Belon-belon udara itu dikawal oleh stesen kawalan yang dibina pada jarak selang 100 kilometer.
Setiap belon tersebut dapat menyalurkan perkhidmatan internet meliputi kawasan seluas 2020 kilometer persegi atau dua kali ganda saiz bandar raya New York di Amerika Syarikat.
Belon udara panas itu mampu memancarkan isyarat internet ke kawasan pergunungan, rimba dan lembah tanpa mengira bentuk permukaan bumi. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0617&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2WQ1SKcg5 
Hakcipta terpelihara 

Berkhemah atas bumbung bangunan

STEVENSON sedang mendirikan khemah untuk tetamunya yang akan menyertai perkhemahannya.


NEW YORK - Seorang artis seni mengadakan perkhemahan unik di atas bumbung bangunan di beberapa lokasi rahsia di Brooklyn Borough di sini kelmarin.
Artis seni itu, Thomas Stevenson menamakan projek tersebut Bivouac New York.
Stevenson mendirikan beberapa buah tapak perkhemahan untuk para peserta di atas beberapa bumbung bangunan yang dirahsiakan lokasinya sepanjang musim panas tahun ini.
Peserta perkhemahan itu yang belum pernah bertemu berpeluang mengenali antara satu sama lain dan berbual mengenai pelbagai isu.
Mereka juga akan berkongsi makanan serta minuman yang dibawa sendiri.
Para peserta perkhemahan itu turut diminta mematikan kesemua gajet elektronik yang dibawa termasuk telefon bimbit.
Aktiviti perkhemahan itu diadakan secara percuma tetapi peserta digalakkan untuk membawa makanan dan minuman untuk dikongsi bersama peserta lain. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0617&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2WQ1C2Uou 
Hakcipta terpelihara 

AS minta puluhan ribu data Facebook, Microsoft

GAMBAR pada 12 Jun lalu menunjukkan pusat simpanan data Facebook dekat bandar Lulea, Sweden.


WASHINGTON - Gergasi internet Facebook dan Microsoft mengaku pihaknya menerima beribu-ribu permintaan data pengguna daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu.
Namun, kedua-dua syarikat itu menyatakan yang mereka dilarang daripada mendedahkan bilangan permintaan maklumat berkaitan isu keselamatan negara.
Pendedahan oleh Facebook dan Microsoft itu berlaku selepas kedua-dua firma berkenaan dikritik berhubung isu hak privasi pengguna internet.
Ia susulan pendedahan oleh seorang pakar teknologi maklumat, Edward Snowden, 29, mengenai program pengintipan e-mel dan akaun pengguna internet oleh Agensi Keselamatan Kebangsaan baru-baru ini.
Menurut Facebook, pihaknya menerima antara 9,000 hingga 10,000 permintaan untuk data pengguna merangkumi 18,000 hingga 19,000 akaun sepanjang enam bulan terakhir pada tahun lalu.
Sementara itu, Microsoft pula menyatakan, ia diminta mendedahkan antara 6,000 hingga 7,000 data melibatkan 31,000 hingga 32,000 akaun untuk tempoh sama.
Permintaan tersebut termasuk waran jenayah, perintah mahkamah dan perintah-perintah lain.
Namun, bilangan itu tidak termasuk permintaan data berhubung soal keselamatan dan siasatan mengenai suspek pengganas.
Bercakap tentang pendedahan tersebut, ketua penasihat undang-undang Facebook, Ted Ullyot berkata, pihaknya bertindak secara 'agresif' bagi melindungi privasi lebih satu bilion ahlinya.
"Kami kerap menolak mentah-mentah permintaan sebegitu atau meminta pihak berkuasa AS mengurangkannya atau kami memberikan data kurang daripada yang diminta," kata Ullyot.
"Kami bertindak hanya untuk memenuhi keperluan undang-undang," tambahnya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0617&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2WQ0fWiWd 
Hakcipta terpelihara