Pages

Wednesday, January 1, 2014

Gunung Sinabung meletus

Gunung Sinabung1 Januari 2014

Gunung Sinabung meletus malam semalam.

JAKARTA - INDONESIA . Lebih 19,000 penduduk menyelamatkan diri selepas gunung berapi Sinabung meletus di Sumatera, Indonesia, malam semalam.

Jurucakap Agensi Bencana Kebangsaan Sutopo Purwo Nugroho berkata, gunung berapi yang aktif sejak sembilan bulan lalu itu dilaporkan meletus dan membebaskan batu panas dan abu setinggi 7,000 meter ke udara.

“Sinabung terus meletus. Orang ramai diminta menjauhkan diri dari kawasan terbabit,” katanya, dipetik dari JPost

Sementara itu, polis menahan individu disyaki pengganas yang sebelum ini dikatakan menjadi dalang dalam serangan nekad di sebuah balai polis di Sulawesi, Jun lalu.

Jurucakap Polis Boy Rafli Amar berkata, Skuad Anti Keganasan, menahan Ato Margono yang selama ini dilaporkan sudah meninggal dunia.

“Suspek dipercayai terlibat dalam pengeboman motosikal, restoran dan pembunuhan di daerah Poso,” katanya.

Tolak sambut tahun baharu

Tolak sambut tahun baharu1 Januari 2014

Saudi mengharamkan sebarang sambutan tahun baharu memandangkan negara itu menggunakan kalendar Islam.

BEBERAPA negara menolak sambutan tahun baharu kerana berpendapat, sambutan itu bercanggah dengan Islam.

Di Daghestan dan Azerbaijan, beberapa pergerakan Islam mengeluarkan kenyataan mengharamkan sambutan itu.

Mereka juga mengisytiharkan sambutan itu bukan sebagai cuti umum.

Di Indonesia, polis merampas ribuan mercun dan membuat pemeriksaan di kafe dan hotel selepas pihak berkuasa Banda Aceh mengharamkan sambutan tersebut buat kali pertama.

Pegawai polis Reza Kamilin berkata, operasi itu dilakukan bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan tersebut.

“Tiada aktiviti sambutan tahun baru. Pengharaman dibuat bagi melindungi moral orang ramai,” katanya, menurut laporan Agensi.

Di Arab Saudi, Okaz daily melaporkan, Suruhanjaya Amar Makruf Nahi Mungkar atau Mutawaa mengeluarkan fatwa  supaya orang ramai tidak meraikan sambutan itu.
“Saudi mengikut kalendar Islam, bukan kalendar Gregorian” katanya.

Menurut kenyataan Ketua Mutawaa Abdulatif Abdulaziz al-Sheikh, larangan itu dibuat bagi mengelakkan maksiat dan menjaga aurat.

Nama keluarga 36 abjad dalam lesen

Honolulu: Seorang wanita Hawaii yang mempunyai nama terdiri daripada 36 abjad akhirnya mendapat lesen memandu dan kad pengenalan sempurna.
Janice Lokelani mempunyai nama keluarga ‘Keihanaikukauakahihuliheekahaunaele’ yang mengandungi 35 huruf ditambah dengan okina, tanda yang biasa digunakan dalam abjad Hawaii.

Dia menerima lesen memandu dan kad pengenalan baru selepas usahanya untuk memuatkan nama penuhnya dalam dokumen berkenaan mendorong Jabatan Pengangkutan Negara menambah bilangan abjad yang boleh tampil pada dokumen terbabit. Janice, 54, semalam berkata, dia gembira kerana dapat membantu menyelesaikan masalah kad pengenalan yang kekurangan ruang untuk mereka yang mempunyai nama yang panjang.
“Kini di Hawaii, kami bukan lagi warga negara kelas kedua disebabkan oleh nama kami yang panjang,” katanya. Lesen memandu dan kad pengenalan Hawaii sebelum ini hanya mempunyai ruang untuk nama dengan 35 abjad. Dasar baru itu membenarkan 40 abjad nama keluarga, 40 abjad untuk nama pertama dan 35 abjad untuk nama kedua dimuatkan dalam lesen memandu.

Janice mendapat nama keluarga Keihanaikukauakahihuliheekahaunaele apabila berkahwin dengan suaminya yang berasal dari Hawaii pada 1992.
Foto
LESEN memandu baru Janice.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Rawatan pelik pulih pesakit dirasuk jin



KUBUR-KUBUR penghuni pusat pemulihan yang meninggal dunia boleh dilhat dari dalam bilik kurungan.


AKIBAT bertengkar dengan bapanya, Muhammed Din dikurung di dalam bilik kecil di sebuah tempat suci Afghan. Dia turut dirantai dan hanya diberi makan roti untuk 40 hari.
Muhammed dipaksa untuk menjalani perubatan tradisional di pusat pemulihan, Mia Ali Baba yang terletak di perkampungan Samar Khel di pinggir bandar Jalalabad, bagi memulihkannya daripada rasukan jin.
Walaupun selepas sedekad bantuan kewangan antarabangsa dan pakar perubatan disalurkan kepada Afghanistan, kebanyakan penduduk tempatan masih mempercayai kaedah perubatan tersebut.
"Saya bertengkar dengan bapa kerana saya mengambil duitnya untuk membeli sebuah motosikal," kata lelaki muda berbadan kurus yang duduk di atas selimut kotor dengan pergelangan tangan dan buku lalinya dirantai.
"Saya amat marah dan tidak berpuas hati dengannya kerana meletakkan saya di sini," katanya.
Halau semangat jahat
Muhammed dikatakan mempunyai lima parut di badannya yang diperoleh ketika berkhidmat dalam pasukan tentera Afghan. Dia ditempatkan di pusat tersebut yang mempunyai 20 bilik kecil diperbuat daripada batu.
Struktur siling dan dinding tidak berplaster, cuaca lembap serta tiada kipas angin menjadikan keadaan di tempat tersebut bertambah buruk.
"Para pesakit akan dirantai selama 40 hari dan hanya diberi makan roti bersama lada hitam. Ia bertujuan untuk menghalau semangat jahat di dalam badan mereka," kata Malik yang merupakan penyelia pusat tersebut.
KANAK-KANAK dari kawasan berhampiran turut dibenarkan mengunjungi pusat pemulihan Mia Ali Baba.


Pemulihan tersebut telah berjalan sejak 360 tahun lalu dan dipercayai ribuan pesakit berjaya dipulihkan. Pada peringkat akhir pemulihan, para pesakit akan diberi minum air rebusan kepala kambing untuk melengkapkan proses pemulihan.
Kesemua penghuni pusat pemulihan tidak bercakap antara satu sama lain kerana keletihan selepas mengikuti kaedah rawatan yang ketat semasa proses pemulihan. Ia juga menyebabkan tahap kesihatan mereka semakin merosot.
"Saya tidak mahu masuk ke sini, abang memaksa saya masuk. Dia kata mahu membawa saya berjumpa doktor dan meminta wang sebanyak 5,000 Afghani (RM293) daripada saya. Tidak lama kemudian, saya berasa pening dan mula sakit kepala," kata seorang lagi pesakit, Abdul berumur 30-an yang tidak mampu menjelaskan punca dia dihantar ke pusat pemulihan itu.
Keadaan bilik kurungan Abdul sangat menjijikkan. Ia berbau busuk dan dipenuhi sampah sarap. Kanak-kanak yang melintasi kawasan tersebut selalu mengetawakannya sebelum mereka melarikan diri.
Mengurung pesakit
Menurut pengarah dan juga seorang doktor di Hospital Psikiatri Kabul, Dr. Shah Temor Mosamim, dia tidak bersetuju dengan kaedah rawatan tersebut kerana ia tidak mempunyai rujukan asas mengikut aspek penyelidikan sains.
"Tidak kira berapa agresifnya seseorang pesakit, jika tidak memberinya makanan dalam tempoh 40 hari mereka akan lemah," katanya.
Menurutnya, di Afghanistan, terdapat beberapa rawatan tradisional untuk merawat pesakit mental iaitu merantai dan mengurung di dalam bilik atau menghantar mereka ke pusat pemulihan.
MUHAMMED dikurung di pusat pemulihan Mia Ali Baba selepas mengambil duit bapanya untuk membeli sebuah motosikal.


Kumpulan kempen Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) menggesa pusat pemulihan tersebut ditutup yang turut mendapat reaksi sama daripada aktivis hak asasi tempatan.
"Pusat pemulihan ini perlu ditutup kerana mengamalkan kaedah rawatan yang tidak sesuai dengan hak-hak asasi manusia," kata penyelidik HRW, Heather Barr.
Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Afghanistan, Rafiullah Bidar mempersoalkan tindakan keluarga yang sanggup membiarkan ahli keluarga mereka hidup di sana.
"Mereka fikir, ia pilihan terakhir... kita tidak boleh menolak kenyataan ini. Keluarga tersebut tidak berpuas hati dengan perkhidmatan perubatan di hospital kerajaan, sebab itu mereka bergantung kepada perkhidmatan pusat pemulihan berkenaan.
"Persekitaran tempat tinggal pesakit di pusat pemulihan itu tidak sihat, mereka membuang air besar dan kencing di dalam bilik kecil masing-masing. Saya masih ingat keadaan bau busuk dan suasana yang tidak sihat di pusat pemulihan itu ketika saya melawatnya dahulu," katanya.
Bagi Muhammed dan Abdul, ketakutan terbesar apabila berada di sana ialah kematian dan bukan sembuh daripada penyakit masing-masing.
Dari bilik kurungan, mereka boleh melihat kubur-kubur mereka yang telah meninggal dunia.
"Sesetengah keluarga tidak datang semula melihat pesakit sehingga mencecah enam hingga lapan bulan dan adakalanya pesakit tersebut meninggal dunia. Kami mengebumikan mereka di sana," kata penjaga pusat pemulihan itu, Mir Shafiqullah sambil menunjukkan satu kawasan perkuburan di luar pusat pemulihan itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz2p619YOKy 
Hakcipta terpelihara