Pages

Saturday, November 1, 2014

Fahami agenda Kristian Evangelis


Baru-baru ini, seorang bekas menteri Melayu zaman Tun Dr Mahathir Mohamad jemput Kunta Kinte ke pejabat dia sebab ada seorang rabbi nak jumpa dia. Rabbi adalah ketua agama Yahudi.Lebih kurang macam tok imam kita. Jadi kita pun jumpa dan bincang satu dua hal macam perdamaian di TimurTengah, rampasan tanah orang Palestin oleh peneroka Yahudi dan siapa dalangnya.
Kita juga bincang kemungkinan orang Islam dan Yahudi kerjasama wujudkan piawaian halal/kosher di negara- negara Eropah Timur di mana orang Islam dan Yahudi adalah minoriti. Bekas menteri itu kata, walaupun Presiden Barack Obama bukan kulit putih tapi dia pun tak berapa berminat dan tak berjaya bawa keamanan kepada Timur Tengah, khususnya antara Israel dengan negara-negara Arab.
Rabbi dari California, Amerika Syarikat itu kata, yang tentukan sama ada Israel dan Palestin berperang atau berdamai bukan orang Islam atau Yahudi. Juga bukan Israel atau negara-negra Islam. Yang tentukan perang dan damai di Timur Tengah adalah Amerika.
Rabbi itu kata lagi, di Amerika pula yang tentukan terhadap isu Arab-Israel dan Timur Tengah bukan presiden atau Kerajaan Amerika tetapi pelobipelobi Kristian. Pelobi-pelobi Kristian, kata rabbi itu, jadi kuat dan ekstrem masa pemerintahan Presiden George W Bush. Bush rapat dengan kelompok Kristian yang dikenali sebagai Christian Right dan golongan yang dipanggil Neo-Conservatives atau Neo-Cons.
Apa yang ditakutkan
Christian Right atau disebut juga Religious Right sangat cergas dalam politik. Pendirian mereka terhadap isuisu berkait Islam, Arab dan Palestin sangat keras. Bersama-sama dengan golongan Neo-Cons, mereka sokong dan desak Kerajaan Amerika guna kuasa tentera dalam krisis antarabangsa, khususnya yang babitkan dunia Islam.
Orang kita umumnya percaya Yahudi sangat berpengaruh ke atas dasar- dasar Amerika. Itu betul. Tapi yang gerakkan dasar pro-Israel adalah golongan Christian Right dan Neo-Cons. Kalau ikut logik, susah bagi orang Yahudi nak wujud dan pertahan negara Israel yang terletak di tengah-tengah dunia Arab kerana bilangan mereka tak ramai.
Ikut anggaran daripada badan amal Amerika, Carnegie Endowment for International Peace, pada tahun ini ada 2.01 bilion orang Kristian dan 2.08 bilion Islam. Bilangan orang Yahudi dianggarkan 13.9 juta orang saja pada tahun 2013. Inilah yang golongan Christian Right dan Neo-Con sangat takut - bilangan orang Islam mengatasi orang Kristian dan makin ramai orang Islam tinggal di negara-negara bangsa Eropah.
Balik kepada sejarah
Untuk lebih jelas mengenai peranan Christian Right dan Neo-Cons dalam isu Yahudi dan Israel, kita kena balik kepada sejarah. Mula-mula sekali, kita kena faham, iaitu bukan orang Yahudi yang wujudkan Israel.
Sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua, orang Yahudi tak ada negara dan mereka bercempera di Eropah, Amerika Utara, Russia dan negaranegara Eropah Timur. Masa Perang Dunia Kedua mereka diseksa oleh Nazi Jerman. Masa itu, paling ramai orang Yahudi tinggal di Jerman. Yang sempat lari mereka cari perlindungan di United Kingdom (UK), Russia dan Amerika Utara. Lepas perang, dua kuasa besar Eropah - UK dan Perancis - bimbang orang Yahudi yang bercempera di negara mereka tuntut hak dan jadi lebih berpengaruh.
Salah satu cara atasi masalah itu ialah dengan hasut orang Yahudi berhijrah ke Palestin. Masa itu, UK dan Perancis kuasai sebahagian besar wilayah Arab yang dulunya milik Empayar Uthmaniyyah.
Hasil dasar dan tindakan British, Perancis serta Amerika itu lahirlah Israel sebagai negara Yahudi pada Mei 1948 walaupun ditentang keras oleh umat Islam. Asal usulnya bumi Israel adalah kawasan pelbagai kaum. Sehingga abad ketiga Masihi, majoriti penduduknya Yahudi. Selepas itu ia jadi wilayah Kristian. Daripada abad ketujuh sampailah pembentukan Israel, majoriti penduduknya Islam.
Hari ini, yang jamin kewujudan Israel adalah orang Kristian. Pada 14 Oktober lalu, seorang rabbi wanita Amerika bernama Jill Jacobs, menulis dalam surat khabar Washington Post mengatakan pembayar cukai Amerika adalah antara pihak yang bertanggungjawab membiayai pencerobohan Yahudi ke atas tanah dan harta milik orang Palestin di Tebing Barat.
Manakala penulis laman web Christian Science Monitor, Christa Case Bryant, pula dalam rencana 18 Disember 2012 berkata, gerakan Zionis semakin berpengaruh ke atas politik Amerika sejak 10 hingga 15 tahun dengan kerjasama Kristian Evangelis, khususnya dalam hal kepentingan Israel.
Konspirasi peringkat antarabangsa
Jadi dalam kita orang Islam bergaduh dan bertelagah sama sendiri, kita kena faham konspirasi yang sedang berlaku pada peringkat antarabangsa untuk terus laga-lagakan Islam dengan Yahudi hingga orang Islam terlupa atau terlepas pandang keadaan sebenar.
Cabaran terhadap umat Islam hari ini, termasuk di negara kita, adalah gerakan Kristian Evangelis, Neo-Cons dan golongan liberal. Mereka inilah yang menuntut pelbagai hak dan persamaan seperti penggunaan kalimah Allah, kebebasan seksual dan hak bersuara tanpa batasan.
Kalau orang Islam negara kita masih tak sedar dan bertelagah mengenai hal remeh macam sentuh anjing, jangan salahkan sesiapa kalau nasib mereka jadi macam nasib orang Palestin. Wallahuaklam.

Sekolah tidak benarkan rambut palsu merah jambu



AGENSI - SMITH memakaikan Ashanti yang menghidap sejenis penyakit penuaan dengan rambut palsu berwarna merah jambu.


SUSSEX, England – Seorang kanak-kanak yang dijangka tidak dapat hidup lama kecewa selepas seorang guru mengarahkannya supaya menanggalkan rambut palsunya yang berwarna merah jambu, lapor MailOnline semalam.
Pihak sekolah khuatir tindakan kanak-kanak itu, Ashanti Elliott-Smith, 11, yang menghidap sejenis penyakit penuaan yang jarang berlaku dan dikenali sebagai Hutchinson Gilford Progeria boleh menyebabkan pelajar lain akan turut mewarnakan rambut mereka.
Kanak-kanak itu yang kini kelihatan seperti seorang warga emas yang berusia 80 tahun dijangka tidak dapat meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-15.
Ibu kanak-kanak itu, Smith, 29, berkata, anaknya amat sedih apabila guru-guru di sekolahnya tidak membenarkan dia memakai rambut palsu.
“Warna rambut itu memang terang tetapi dia mempunyai hak untuk memakai apa sahaja warna rambut memandangkan dia tidak dapat hidup lama. Pihak sekolah menyuruhnya membuka rambut itu. Dia malu kerana keadaannya yang botak,” katanya.
Sementara itu, Pengetua Kolej Komuniti Oakmeeds, Colin Taylor berkata, pihaknya membenarkan kanak-kanak itu memakai topi atau rambut palsu pada musim sejuk tetapi cuma menggunakan warna semulajadi. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1101&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz3HllY4O7C 
Hakcipta terpelihara 

Budak hidap penyakit tidak lapar

Perbezaan wajah Landon Jones, 12, selepas menghidap penyakit misteri
Perbezaan wajah Landon Jones, 12, selepas menghidap penyakit misteri yang membuatkan dia tidak berasa lapar atau dahaga. Gambar kiri diambil pada tahun lalu, manakala gambar kanan merupakan gambar terbaharu. – AGENSI
NEW YORK 31 Okt. – Seorang budak lelaki di Amerika Syarikat (AS) menghidap sejenis penyakit misteri apabila dia tidak berasa lapar atau dahaga sejak lebih setahun lalu, sekali gus mengundang kebimbangan ibu bapanya terhadap kesihatan anak mereka itu.
Portal odditycentral.com melaporkan kanak-kanak tersebut, Landon Jones, 12, mula mengalami keadaan pelik itu sejak 14 Oktober tahun lalu selepas makan piza dan aiskrim dengan banyak pada malam sebelumnya.
Apabila dia bangkit dari tidur keesokan harinya, Landon telah kehilangan rasa lapar dan dahaga, menyebabkan keadaan badannya menjadi lemah tidak bertenaga dan sering mengalami pening kepala.
Meskipun Landon, yang berasal dari Iowa, dibawa ke banyak klinik dan hospital untuk mendapatkan rawatan, tetapi kebanyakan doktor buntu mencari punca sebenar kanak-kanak tersebut menghidap penyakit misteri itu.
Pakar perkembangan otak kanak-kanak di Klinik Mayo, Dr. Marc Patterson berkata, kes Landon mungkin satu-satunya kes di dunia dan dia mungkin mengalami gangguan fungsi hipotalamus iaitu bahagian otak yang bertanggungjawab untuk mengawal deria lapar, haus, suhu badan, tekanan darah dan kitaran tidur, namun tidak ada bukti kukuh menyokong teori itu.
Ayah Landon, Jones pula menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan anaknya yang kehilangan berat badan daripada 47 kilogram kepada 30 kilogram, selain tidak bersemangat dan tidak menjamah walaupun sedikit roti atau seteguk air.
“Anak saya hanya hadir ke sekolah sebanyak 65 hari dalam tempoh setahun sejak menghidap penyakit tersebut dan banyak menghabiskan masa terbaring di atas sofa di rumah.
“Dia akan menjalani ujian kesihatan di Institut Kesihatan Negara, tempat yang hanya mengkaji kes unik seperti Landon dan saya berharap dia akan pulih semula menjadi kanak-kanak yang riang dan sihat seperti dahulu,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/budak-hidap-penyakit-tidak-lapar-1.19264#sthash.rXjayhDw.dpuf

Kumpulan militan IS bunuh 300 pengikut Sunnah


Orang ramai memerhati berpuluh-puluh mayat yang bergelimpangan
Orang ramai memerhati berpuluh-puluh mayat yang bergelimpangan dipercayai pengikut Sunnah yang ditembak mati oleh kumpulan militan IS di sebatang jalan di bandar Hit, 140 kilometer ke barat Baghdad, pada 29 Oktober lalu, – AP
BAGHDAD 31 Okt. - Kumpulan militan Negara Islam (IS) dilapor membunuh lebih 300 penduduk Iraq sepanjang minggu ini, sebagai membalas dendam terhadap tindakan puak kabilah di barat ibu negara ini membantu tentera pakatan menentang IS.
Menurut saksi, dua kubur besar turut ditemui di berasingan di wilayah Anbar mengandungi kira-kira 300 mayat pengikut Sunnah Muslim Albu Nimr dengan kesemua mangsa dipercayai berusia antara 18 dan 55 tahun.
Kesan tembakan jarak dekat turut ditemui ada mayat-mayat tersebut.
Selain itu, lebih 70 mayat lelaki daripada kumpulan yang sama ditinggalkan dekat pekan Hit yang merupakan kawasan majoriti penduduk Sunnah di wilayah tersebut.
Kebanyakan mangsa merupakan anggota polis atau pejuang anti-IS yang digelar sebagai Sahwa (kebangkitan).
Satu lagi kubur besar ditemukan dekat bandar Ramadi di wilayah yang sama, mengandungi 150 mayat pengikut tersebut.
“Militan IS mengarahkan pengikut kumpulan itu meninggalkan kampung mereka dan berpindah ke Hit, terletak kira-kira 130 kilometer di barat Baghdad dan memberi jaminan mereka tidak akan diapa-apakan.
“Tetapi militan IS bertindak kejam apabila menahan dan menembak mati kesemua mangsa tersebut,” kata saksi berkenaan yang enggan dikenali.
Dalam perkembangan di Syria, militan IS mendakwa menawan sebuah lapangan minyak di wilayah tengah Homs, selepas bertempur dengan tentera kerajaan, serta berjaya merampas lima kereta kebal, dua kenderaan berperisai, mesingan dan peluru.
Di pekan strategik Kobani pula, kumpulan pertama puak Kurdis Iraq tiba untuk membantu kumpulan bersenjata puak Kurdis Syria menentang kemaraan militan IS yang tidak terjejas, walaupun diserang tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat. – REUTERS/AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kumpulan-militan-is-bunuh-300-pengikut-sunnah-1.19269#sthash.vBf8eOQE.dpuf