Sunday, October 23, 2011
Gempa bumi kuat landa Pasifik Selatan
NUKU'ALOFA, Tonga 22 Okt. - Satu gempa bumi kuat berukuran 7.6 pada skala Ritcher melanda pulau Pasifik Selatan dekat Tongga pagi ini.
Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS), gempa bumi itu melanda kira-kira 870 kilometer di selatan Nuku'Alofa, Tonga pada pukul 5.57 pagi (12.57 pagi waktu Malaysia).
Bagaimanapun, tiada laporan berkaitan kerosakan dan kemalangan dikeluarkan termasuk amaran tsunami oleh Pusat Amaran Tsunami Pasifik. - Agensi"
'via Blog this'
Presiden Yemen digesa letak jawatan
Resolusi yang disokong sebulat suara oleh 15 negara anggota majlis itu turut mengutuk serangan kerajaan terhadap penunjuk perasaan dan menyokong pelan damai Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang menuntut Saleh menamatkan pemerintahan beliau selama 33 tahun.
Sementara itu, pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Tawakkul Karman menggesa tekanan antarabangsa lebih besar dikenakan terhadap Saleh sambil menyifatkan resolusi itu masih belum cukup kuat. - AFP"
'via Blog this'
Jenazah Gaddafi terus diaib
MISRATA 22 Okt. – Jenazah Muammar Gaddafi yang berlumuran darah selepas terbunuh dalam satu serangan kelmarin kini umpama ‘bahan pameran’ apabila diletakkan di dalam bilik sejuk beku di sebuah pusat membeli-belah di Misrata.
Tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu berlaku ketika pihak berkuasa Libya terus berbalah mengenai apa yang perlu ‘dilakukan’ terhadap jenazah Gaddafi.
Pelbagai pihak menuntut jenazah Gaddafi termasuk tentera dari Misrata yang mendakwa ia adalah miliknya, sekali gus menangguhkan pengkebumian Gaddafi semalam.
Di Misrata, penduduk berbaris panjang untuk melihat jenazah Gaddafi yang dibaringkan dengan beralas tilam di dalam bilik sejuk beku di pusat membeli-belah itu.
Pada awalnya, pihak berkuasa merahsiakan lokasi jenazah Gaddafi ditempatkan namun selepas maklumat itu tersebar, orang ramai bertindak menyerbu pusat membeli-belah berkenaan.
Lelaki, wanita dan kanak-kanak dilihat berpusu-pusu untuk mengambil gambar bersama jenazah Gaddafi.
Kesan tembakan di dada, abdomen dan bahagian kiri kepalanya masih jelas kelihatan.
Sementara itu, dalam video terbaru yang muncul berkaitan Gaddafi, ia memaparkan imej bekas pemimpin Libya itu telah diseksa dan dipukul oleh tentera kerajaan ketika mereka mengheretnya keluar dari lokasi persembunyian.
Bagaimanapun, pembunuhan Gaddafi kelmarin masih diselubungi kekeliruan apabila banyak persoalan yang timbul berkaitan kematiannya.
Seorang lelaki, Sanad al-Sadek al-Ureibi muncul mendakwa menjadi individu yang menangkap serta menembak Gaddafi. Dakwaan itu bercanggah dengan laporan Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) sebelum ini.
Sementara itu, Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan Gaddafi mungkin ditembak mati selepas ditangkap hidup-hidup. – Agensi
'via Blog this'
Letusan Anak Krakatau dijangka lebih kuat
saharudin.musthafa@utusan.com.my
JAKARTA 22 Okt. - Kekerapan aktiviti gunung berapi Anak Krakatau semakin aktif sejak kebelakangan ini dan menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan ia akan meletus dengan lebih besar berbanding kejadian pada 2007.
Menurut laporan yang dikeluarkan pihak berkuasa, kemungkinan itu berdasarkan kepada kekerapan gempa dan pelepasan gas belerang di gunung itu.
Namun, letusan Anak Krakatau kali ini dijangka tidak sekuat yang pernah berlaku pada tahun 1883 yang sekali gus memusnahkan gunung Krakatau.
Ketua Pusat Volkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi, Surono berkata, aktiviti Anak Krakatau sejak kebelakangan ini berlaku sangat kerap dengan catatan lima kali gempa setiap minit.
Jelasnya, aktiviti gempa di gunung berkenaan berlaku sehingga 5,000 kali dalam sehari dan ia memberi petanda kemungkinan letusan besar akan berlaku.
‘‘Apa yang menghairankan ialah kejadian gempa sehingga ribuan kali di Anak Krakatau itu merupakan fenomena baru.
‘‘Berbanding dengan gunung berapi lain dengan status amarannya di peringkat berjaga-jaga, ia sekadar mencatat puluhan hingga ratusan gempa dalam sehari,’’ katanya seperti dipetik akhbar Kompas hari ini.
Kata Surono, berikutan pelepasan gas belerang pada Anak Krakatau, ia menyebabkan gunung berapi berkenaan diliputi lapisan belerang putih kekuningan.
“Ia merupakan suatu fenomena yang belum pernah berlaku sebelum ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Surono meminta masyarakat setempat supaya tidak cemas dengan perkembangan terbaru Anak Krakatau kerana magmanya itu bersifat cair dan kurang gas.
‘‘Ia tidak seperti sifat magma kental pada gunung berapi Krakatau yang meletus pada 1883,’’ tegasnya.
Sementara itu, pihak pemerintah Indonesia mengeluarkan amaran berjaga-jaga dan menasihatkan masyarakat menjauhi Anak Krakatau dengan menetapkan zon bahaya pada jarak 2 kilometer dari kawahnya.
Letusan Krakatau pada 1883 telah mengorbankan 36,000
orang akibat terkena abu panas serta bencana tsunami yang melanda wilayah Lampung dan Banten. - mINGGUAN
'via Blog this'
40 wanita jaga Gaddafi
BERANI... Gaddafi berjalan bersama dua pengawal wanitanya. |
MUAMMAR Gaddafi yang maut dibunuh pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) di Sirte, bandar kelahirannya di Libya adalah antara pemimpin paling lama memerintah di dunia iaitu selama 42 tahun.
Gaddafi memegang tampuk pimpinan Libya sewaktu berusia 27 tahun dalam rampasan kuasa pada 1969, menggulingkan Raja Idris, dan paling lama dalam sejarah dunia Arab.
PERCAYA... Galyna doktor peribadi Gaddafi.
Sepanjang pemerintahannya, bekas pemimpin Libya itu dikatakan banyak mengamalkan perbuatan pelik antaranya dengan memilih wanita yang masih dara sebagai pengawal peribadinya.Gaddafi memilih sendiri 40 wanita yang disukainya yang kemudian dilatih menjadi pembunuh yang sangat cekap sebagai pelindung dirinya.BERSEDIA... sebahagian daripada pengawal Gaddafi.
Sebagai menghormati semua pengawal peribadinya itu, Gaddafi mensyaratkan mereka untuk memakai perhiasan seperti barang kemas, menggunakan kasut bertumit tinggi, menghias kuku serta mengenakan mekap.MEWAH... salah sebuah aset Gaddafi di luar negara asing.
Malah, sebelum pemberontakan berlaku, kesemua 40 wanita berkenaan dikatakan langsung tidak pernah meninggalkannya dan setia menanti di sisinya termasuk ketika lawatan ke luar negara.LENGKAP... Gaddafi suka tinggal di dalam khemah berhias mewah.
Dalam satu serang hendap pada 1998, salah seorang pengawal peribadinya terbunuh apabila menggunakan dirinya untuk melindungi bekas pemimpin Libya itu daripada puluhan peluru yang ditembak ke arahnya.
Ketaksuban Gaddafi terhadap wanita bukan setakat itu saja, malah beliau dikatakan turut membawa sekumpulan jururawat yang diketuai oleh seorang wanita Ukraine dikenali sebagai Galyna Kolotnytska bagi menjaganya.
Dilahirkan dalam khemah puak Badawi pada 1942, Gaddafi lebih suka memakai jubah selain menggayakan uniform tentera dengan pelbagai imej yang pelik.
Walaupun menentang segala bentuk aktiviti termasuk sukan yang dikatakan bersumberkan Barat dan melalaikan, Gaddafi dikatakan turut pernah membeli pegangan dalam kelab bola sepak Juventus pada 2002.
Antara sifat peliknya juga adalah tidak akan sesekali menginap di mana-mana hotel sewaktu di luar negara. Dia akan memilih untuk tinggal di dalam khemah yang diperlengkapkan dengan pelbagai kemudahan dan dihias indah seperti mahligai.
Malah, dalam kebanyakan perbincangan bersama pemimpin negara lain, Gaddafi lebih selesa melayan mereka di dalam khemah berbanding di rumah penginapannya.
Dalam satu kenyataan, Gaddafi mendakwa itu adalah cara bagaimana masyarakat Badawi menjalankan kehidupan dan tetamunya perlu menghormati adat dan budaya mereka yang tinggal di dalam khemah.
Selain itu, Gaddafi juga menggelar dirinya sebagai Raja segala Raja di Afrika. Malah dia sendiri menggelar dirinya sebagai ‘Anjing Gila daripada Timur’ sebagai amaran kepada kuasa Barat mengenai kekuasaannya.
Kerana itu juga, beliau pernah menyuarakan hasrat untuk mewujudkan sebuah negara kesatuan Afrika apabila cuba menggabungkan Libya, Syria dan Mesir pada 1972 tetapi ia ditentang dan tidak mendapat persetujuan.
Walaupun usahanya itu gagal, pada 1974, sekali lagi Gaddafi menyuarakan hasrat untuk mewujudkan negara Republikan Arab dengan cuba untuk bergabung dengan Tunisia tetapi akhirnya gagal kerana tidak dipersetujui oleh pemimpin negara berkenaan.
Di segi kekayaan pula, Gaddafi dikatakan memiliki aset bernilai lebih RM500 bilion.
Walaupun lebih gemar duduk dalam khemah mewahnya, Gaddafi sebenarnya memiliki lebih tujuh rumah mewah yang setiap satunya bernilai jutaan ringgit dan didaftarkan atas nama anaknya, Saif Al-Islam.
Kebanyakan aset yang dimiliki itu bukan saja terdapat di negara Arab, sebaliknya membabitkan hartanah di Amerika Syarikat, Kanada, Austria dan Britain yang antaranya dilengkapi kolam renang serta set studio.
Namun, selepas pemberontakan menentangnya berlaku hingga mendapat sokongan NATO, semua harta kekayaannya di negara asing disita.
Walaupun kini Gaddafi hanya tinggal nama, kebanyakan penduduk, khususnya di Libya, bersetuju bahawa sejarah kepimpinannya tidak akan padam.
Biarpun sebahagian penduduk meraikan kematian Gaddafi, ada antara mereka masih bersedih berikutan kematiannya yang agak tragis dan tidak mendapat pembelaan yang sepatutnya sebagai seorang tawanan.myMetro40 wanita jaga Gaddafi:
'via Blog this'
Leher kena kelar
KEJAM... mayat pengawal keselamatan dibawa ke hospital untuk bedah siasat.
PETALING JAYA: Seorang pengawal keselamatan warga tempatan ditemui mati dalam keadaan mengerikan di sebuah rumah di Flat Sri Cempaka, Bandar Sri Damansara, di sini, kelmarin, dipercayai dibunuh dengan kejam.
Kejadian dimaklumkan rakan mangsa yang membuat laporan polis kira-kira jam 6 petang, selepas terhidu bau busuk dari rumah yang disewa mangsa bersama empat lagi rakannya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Muhammad, berkata sebaik menerima laporan, pihaknya membuat pemeriksaan di rumah berkenaan dan menemui mangsa terbaring dalam bilik dengan beberapa kesan tikaman.
“Mangsa warga tempatan berusia 57 tahun dipercayai menyewa bersama empat rakannya yang juga bekerja di beberapa syarikat kawalan keselamatan.
“Mangsa ditemui mati di dalam bilik di rumah berkenaan dengan kesan kelar di leher serta empat tikaman di badan, dada dan perut.
“Berdasarkan keadaan bilik dan rumah yang berselerak, kami percaya berlaku pergelutan antara mangsa dengan lebih daripada seorang suspek, dan kami tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh akibat perselisihan faham,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, tiada sebarang senjata ditemui di lokasi kejadian dan motif sebenar kejadian masih lagi disiasat, namun polis menahan dua lelaki dipercayai rakan serumah mangsa dan akan memanggil beberapa lagi rakannya yang berusia 25 hingga 55 tahun bagi membantu siasatan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
'via Blog this'
Keluarga tuntut mayat Gaddafi
RAKYAT Libya berbaris untuk melihat mayat Gaddafi yang ditempatkan di stor pembekuan di Misrata, semalam.
MISRATA (Libya): Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) akan mengakhiri serangan udara di Libya, sementara keluarga Muammar Gaddafi menuntut mayat pemimpin itu untuk dikebumikan dengan sempurna selepas kematian secara misteri pemimpin berkenaan menamatkan pemerintahannya selama 42 tahun.
Dalam satu kenyataan di stesen televisyen berpangkalan di Syria, keluarga Gaddafi menuntut mayat Gaddafi, anak lelakinya, Mo’tassim dan beberapa lagi pengikut setia pemimpin terbabit yang terbunuh, Khamis lalu.
“Kami menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Amnesty International menggesa Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menyerahkan mayat pejuang syahid berkenaan kepada suku kaum kami di Sirte bagi membolehkan mereka melakukan upacara pengebumian mengikut syariat Islam,” kata kenyataan itu.
Dalam satu kenyataan pada sidang akhbar lewat malam kelmarin, Setiausaha Agung Nato, Anders Fogh Rasmussen berkata, tentera sekutu Barat sudah mengambil keputusan untuk menghentikan operasi pada 31 Oktober depan.
Seperti pegawai Barat lain, Rasmussen tidak menyuarakan kekesalan atas kematian mengerikan bekas pemimpin Libya itu yang ditangkap masih hidup oleh tentera NTC tetapi sudah mati ketika dibawa ke hospital.
Gaddafi yang cedera dan masih hidup ditangkap ketika bersembunyi di dalam saluran pembetung air di bawah jalan raya. Masyarakat dunia kemudian menyaksikan beberapa rakaman video menunjukkan beliau diseksa pejuang NTC yang menangkapnya ketika dia merayu supaya mereka menghormati haknya sebagai manusia.
Pegawai NTC berkata, Gaddafi kemudian mati di dalam ambulans akibat kecederaan dialami, tetapi pemandu ambulans, Ali Jaghdoun memberitahu media, Gaddafi sudah mati ketika dia mengangkut mayat pemimpin itu.
“Saya tidak cuba untuk menyelamatkannya kerana beliau sudah mati,” katanya. Kenyataan itu mengukuhkan lagi dakwaan Gaddafi dibunuh tentera NTC sebelum beliau sempat dibicarakan.
Sementara itu, badan hak asasi kemanusiaan PBB berkata, siasatan perlu dilakukan bagi memastikan sama ada Gaddafi dibunuh atau sebaliknya. - Reuters
'via Blog this'
Banjir Bangkok diramal sebulan
ANGGOTA polis trafik menunjukkan arah kepada pemandu yang berusaha mengelak dari banjir di wilayah Don Muang di Bangkok, Thailand, semalam.
SEBUAH pasar raya meminta maaf kepada pelanggan kerana kehabisan telur.
BANGKOK: Perdana menteri Thailand semalam memberi amaran bahawa negara itu akan dilanda banjir sekurang-kurangnya sebulan lagi, sambil meminta penduduk terutama di ibu negara, Bangkok bersiap sedia menghadapi kemungkinan kenaikan paras air lebih tinggi.Pihak berkuasa melancarkan usaha untuk menyalurkan air banjir dari tengah ibu kota itu ke laut menerusi terusan di bandar raya terbabit, yang sudah menyaksikan kenaikan air hingga paras pinggang di beberapa bahagian di utara pinggir Bangkok.Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra, yang menggunakan satu undang-undang bencana bagi mengawal penuh keadaan kecemasan itu memberitahu penduduk Bangkok supaya mengalihkan barangan mereka ke tempat lebih tinggi sekurang-kurangnya satu meter.
“Bangkok perlu membuka semua pintu penghalang banjir untuk membenarkan pengaliran keluar air,” kata Yingluck. “Jadi ketika hujung minggu yang panjang ini penduduk perlu mengalihkan barangan mereka, kereta dan barangan berharga lain ke tempat sekurang-kurangnya satu meter lebih tinggi.”
“Ada pengaliran air dalam jumlah yang besar dari utara dan kita tidak dapat menghalangnya secara berkesan tetapi boleh memperlahankan pengalirannya kerana penghalang yang ada bersifat sementara,” katanya melalui ucapan mingguan kepada seluruh negara yang disiarkan melalui televisyen.
“Ia adalah satu keadaan yang amat serius kerana menjejaskan nyawa dan harta benda penduduk,” kata Yingluck di mana kerajaan beliau yang berusia dua bulan berusaha untuk menangani bencana kemanusiaan itu.
Hujan lebat selama tiga bulan menyebabkan sekurang-kurangnya 256 orang terbunuh di Thailand dan memusnahkan kediaman serta kehidupan sembilan juta penduduk kebanyakan adalah di utara dan tengah negara itu.
Yingluck berkata kira-kira 113,000 penduduk diarahkan berpindah ke penempatan sementara, sambil menambah ketika beberapa kawasan di negara itu menyaksikan air mulai surut, banjir yang menghala ke ibu negara tidak dapat dihalang.
Secara keseluruhan banjir akan berterusan selama empat hingga enam minggu, katanya.
Di Bangkok yang menempatkan 12 juta penduduk dilaporkan menyimpan bekalan makanan dan air minuman, manakala orang ramai meletakkan beratus-ratus kenderaan mereka di atas jambatan atau jalan lebih tinggi.
Puluhan ribu askar dan polis ditempatkan untuk menjaga ketenteraman awam dan keselamatan.
Pembangkang menggesa kerajaan untuk mengisytiharkan darurat bagi memudahkan mengawal penduduk dan melindungi banjir tetapi menolak tindakan itu. – AFP
'via Blog this'
Amaran kepada pemimpin kuku besi Afrika
TRIPOLI: Selama empat dekad, Muammar Gaddafi berkuasa di Libya dan menyifatkan dirinya seorang pejuang revolusi menentang penjajahan Barat, namun kini yang tinggal hanyalah kisah tragis bekas pemimpin itu.Kematian beliau bakal membuka lembaran baru kepada rakyat Libya, namun pada masa sama ia menjadi satu amaran kepada beberapa lagi pemimpin kuku besi di Afrika dan Asia Barat, bahawa mereka mungkin menerima nasib seperti Gaddafi jika tidak segera melakukan perubahan.Gaddafi maut selepas dikatakan ditembak pemberontak di bandar kelahirannya sendiri, Sirte pada Khamis. Rakyat Libya dilaporkan bersorak mendengar khabar kematiannya, sebuah pengakhiran yang disifatkan tragis bagi pemimpin yang pernah menggelarkan dirinya sebagai ‘raja segala raja” ini.
Laporan terbaru menyatakan bahawa bedah siasat ke atas mayatnya akan dilakukan dalam masa terdekat, manakala anggota keluarga beliau menuntut siasatan terperinci dilakukan mengenai punca kematiannya.
Berdepan dengan wasangka pembunuhan dilakukan kumpulan samseng, arahan ‘tiada siapa di sini membunuh Gaddafi’, tersebar di kalangan pejuang yang menangkap bekas pemimpin Libya itu hidup-hidup Khamis lalu sebelum disahkan maut selepas itu.
Pejuang di ladang di pinggir bandar raya Misrata sedang menjalankan tugas ketika pangkalan briged Al-Ghiran bangga mempamerkan but hitam milik bekas pemimpin itu, selain senjata disadur emas dan skaf.
Lelaki berpangkat kolonel ini berkuasa selepas menggulingkan Raja Idris pada 1969. Ketika itu beliau adalah Kapten Gaddafi yang baru berusia 27 tahun.
Gaddafi sering tampil bergaya, baik ketika berseragam tentera mahupun ketika mengenakan jubah Arab Badwi, darah puak yang mengalir kuat dalam dirinya. Beliau tidak pernah meninggalkan aksesori yang sinonim dengan dirinya, iaitu kaca mata hitam. Begitu juga dengan jururawat dan pengawal peribadinya yang terdiri daripada wanita cantik.
Bekas penasihat undang-undang pemerintah Libya, Saad Djebbar mengatakan bahawa penampilan itu diambil kira Gaddafi untuk mewujudkan kesan pelik dan menarik.
“Bagaimanapun, ketika revolusi Arab, Gaddafi terpencil dari dunia luar,” kata Djebbar.
Ketika berkuasa beliau mengatakan dirinya nasionalis Arab sehingga menarik perhatian Amerika Syarikat. Namun ternyata kebijaksanaan Gaddafi bertentangan dengan Barat. Ini ditegaskan ketika tahun 1972 di mana beliau meminta seluruh umat Islam memerangi Barat.
Tiga tahun selepas itu Gaddafi memperkenalkan Buku Hijau bagi memberi panduan kepada negara membabitkan seluruh sistem politik, ekonomi dan sosial Libya.
Menurut bekas duta besar Britain ke Libya, Oliver Miles, ia adalah peluang kepada Gaddafi. “Beliau menjadi kuasa mutlak. Gaddafi merosak seluruh institusi di Libya sehingga menghapuskan satu sistem kemasyarakatan,” kata Miles.
Gaddafi berusaha menyatukan Mesir, Libya dan Syria pada 1972. Ketika itu Arab menentang Gaddafi dan ada yang menggelarnya sebagai badut.
Menurut pakar Libya di Universiti Dartmouth, Dirk J Candewalle, penolakan Arab dan cita-cita peribadi itu menyebabkan Gaddafi melakukan keganasan pada 1970-an dan 1980-an.
Selepas menggegarkan dunia dengan tindakan ganas dan mengakuinya, Gaddafi berusaha memperbaiki reputasinya. Sejak 2006, beliau memperuntukkan sejumlah AS$3 (RM9.4 juta) setiap tahun bagi strategi perhubungan awam.
Cita-cita beliau menyatukan Arab tetap tidak pernah padam. Pada 2009, Gaddafi menjadi ketua Kesatuan Afrika yang menyatukan 54 anggotanya dan merayu benua miskin Afrika itu menyediakan pelbagai bantuan. – Agensi
'via Blog this'
Gaddafi dijulang dan dibuang
KHAMIS lalu, pemimpin Libya yang digeruni selama 40 tahun oleh Barat, Muammar Gaddafi, 69, diheret keluar dari sebuah saluran pembetung di sebatang lebuh raya enam lorong di Sirte, tempat kelahiran Gaddafi. Dia ditangkap oleh sekumpulan pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC).
Kemudian, dalam video yang dirakam oleh seorang pejuang NTC, Gaddafi kelihatan cedera dan keliru apabila ditarik dari atas sebuah kenderaan dengan beberapa orang merentap rambutnya untuk menjatuhkan tubuhnya ke tanah.
Dalam tempoh sejam selepas diseksa, dia didapati sudah tidak bernyawa lagi.
Kisah kematiannya masih menjadi satu misteri. Bagaimanapun, keperibadian tokoh itu dianggap lebih eksentrik.
Musuh
Dilahirkan di dalam khemah puak Badwi berdekatan Sirte pada tahun 1942, Gaddafi seperti kanak-kanak lain mendapat pendidikan di sekolah Islam.
Beliau mempelajari asas-asas ketenteraan apabila memasuki Akademi Tentera Libya pada tahun 1961. Kekecewaan terhadap kepimpinan dunia Arab yang dimalukan oleh Israel menyebabkan Gaddafi mula menanam ideologi tersendiri.
Impian pegawai tentera muda itu ketika itu ialah mahu menyatukan dunia Arab dalam satu perikatan selain menyingkirkan sistem pemerintahan monarki Libya di bawah Raja Idris I.
Bersemangat bersama sekumpulan pegawai tentera muda, Gaddafi berjaya merampas kuasa daripada Raja Idris yang sedang mendapat rawatan di Turki dan membentuk Republik Arab Libya pada 1 September 1969.
Inspirasi beliau mengenai demokrasi, ekonomi dan sosial sebuah negara Islam mendapat pujian ramai apatah lagi ia diadaptasikan melalui buku bertajuk The Green Book yang dihasilkan Gaddafi pada tahun 1975.
Cetusan ideanya dengan menjadikan Amerika Syarikat (AS) sebagai musuh ketat selain membentuk Republik Arab Libya cukup memikat.
Malah, ia menjadi satu ideologi unik yang berjaya menyatukan penduduk Libya yang berpuak-puak sebelum itu.
Gaddafi juga pernah menjemput lebih 200 kerabat raja Afrika dan pemimpin puak ke bandar Benghazi yang terletak di pinggir Laut Mediterranean bagi menyokong kempen Penyatuan Afrika.
“Kita mahu tentera Afrika mempertahankan Afrika, kita mahu mata wang tunggal Afrika dan kita hanya perlukan satu pasport untuk mengembara ke seluruh negara di Afrika,” beritahu Gaddafi kepada kumpulan itu yang datang dengan memakai mahkota emas dan pakaian kebesaran berwarna-warni.
Selepas peristiwa itu, Gaddafi mula digelar ‘Raja Segala Raja’ di Afrika.
Salah satu sumbangan terbesar Gaddafi kepada negaranya ialah usahanya membina ‘sungai buatan’ bertujuan menyalurkan air bawah tanah ke seluruh negara Libya yang tandus itu. Malah bagi rakyat Libya, projek yang dikenali sebagai Great Man-Made River Project itu merupakan Keajaiban Kelapan Dunia.
Pembaharuan
Gaddafi menggunakan kepintaran dan kekayaan negara itu untuk mengairi kawasan tandus berkenaan.
Bagi mengatasi masalah mendapatkan air bersih buat seluruh warga Libya, pembinaan paip air gergasi itu dimulakan pada Ogos 1984 di Brega.
Libya tidak mempunyai kepakaran tempatan untuk membina projek besar itu. Tetapi atas kekayaan hasil minyak, Gaddafi menjemput kepakaran luar untuk membantunya termasuklah dari Korea Selatan, Turki, Jerman, Filipina dan Britain.
Pada September 1993, lengkaplah pembinaan fasa pertama projek itu yang bermula dari timur di Sarir dan Tazerbo hinggalah ke Benghazi. Tiga tahun kemudian usaha menyalurkan air dari Tripoli ke barat iaitu di Jebel Hassouna siap.
Menyingkap sejarah lalu, air bawah tanah Libya itu ditemui secara tidak sengaja ketika usaha mencari telaga minyak baharu pada tahun 1953.
Daripada analisis radio karbon, sumber air fosil itu dianggarkan berusia kira-kira 40,000 tahun.
Kini, usaha itu membuahkan hasil apabila kira-kira 1,300 kilometer persegi tanah disalurkan dengan air untuk perladangan. Sebahagian tanaman itu adalah untuk makanan di dalam negara.
Tetapi bagi ladang-ladang besar yang mendapat bekalan air itu, ia ditanam dengan gandum, oat, jagung dan barli. Semua tanaman itu perlu diimport sebelum ini.
Kini, paip sepanjang 5,000 kilometar (km) itu boleh menyalurkan sebanyak 6.5 juta meter padu air sehari ke lebih 1,000 kawasan padang pasir.
Bagaimanapun, kekejaman Gaddafi semasa berkuasa menyebabkan rakyat Libya menentang beliau. Sejak berkuasa pada tahun 1969, Gaddafi sanggup menghukum musuhnya tanpa belas kasihan.
Pada tahun 1970, beliau sendiri mengarahkan hukuman gantung sampai mati dilakukan di tempat awam kemudian. Pada tahun 1977, beliau hadir semasa pelajar-pelajar yang memberontak ke atas rejimnya dihukum gantung.
Malah, kuasanya bukan setakat di Libya malah diakui di seluruh Afrika.
Tetapi, apabila menerima tekanan dunia berikutan insiden pengeboman pesawat Pan Am Flight 103 yang membunuh 270 orang pada tahun 1988 di Lockerbie, Scotland, nada keras Kolonel Gaddafi tidak sekuat dahulu terhadap dunia Barat.
Gaddafi mula cenderung kepada sekularisme dan tidak lagi pro-Islamik.
Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Ronald Reagan pernah menggelar lelaki itu anjing gila dari Timur Tengah, manakala Presiden Sudan, Gaafar Nimeiry menggelarkannya sebagai lelaki dengan dua personaliti, tetapi kedua-duanya adalah jahat.
Dengan riak wajah yang bengis diiringi renungan tajam yang menggerunkan, gelaran-gelaran tersebut hakikatnya bukanlah asing untuk Gaddafi.
Walaupun The Green Book memperlihatkan perjuangan Gaddafi sebagai seorang pemimpin Islam, tetapi retorik keagamaan yang dibawa Gaddafi sukar dibendung kerana sifat penyalahgunaan kuasa, kekejaman, mengumpul kemewahan dan kaki perempuan semakin terserlah.
Kemuncak kepada kemarahan rakyat ialah apabila pada saat rakyatnya hidup dalam kemiskinan kerana kadar pengangguran yang tinggi, Gaddafi didapati memiliki harta berjumlah AS$60 bilion (RM182.64 bilion)
Akhirnya, selepas memerintah Libya lebih empat dekad beliau dibunuh oleh rakyatnya sendiri.
'via Blog this'
Tiga doktor 'tuai' organ dipenjara
RIO DE JANEIRO - Tiga doktor di Brazil didapati bersalah membunuh empat pesakit dengan mengeluarkan organ mereka yang kemudian digunakan dalam beberapa pembedahan pemindahan organ di sebuah klinik swasta untuk golongan elit.
Hakim Negeri Sao Paulo, Marco Montemor menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun dan enam bulan masing-masing terhadap Dr. Rui Sacramento, Dr. Pedro Torrecillas dan Dr. Mariano Fiore.
Sacramento dan Torrecillas didakwa melakukan pembunuhan kerana mengeluarkan kedua-dua ginjal beberapa pesakit dan menyediakan organ tersebut untuk dipindahkan.
Fiore yang merupakan seorang pakar bedah saraf pula didakwa bersama seorang konconya kerana tersilap mengisytiharkan beberapa pesakit mengalami mati otak dan meluluskan pengeluaran organ mereka.
Seorang lagi pakar bedah saraf yang didakwa dalam kes berkenaan, Antonio de Carvalho Monteiro meninggal dunia tahun lalu.
Sacramento pengsan apabila hukuman dibacakan pada Khamis lalu manakala anggota keluarga mangsa-mangsa kes tersebut saling berpelukan selepas keputusan mahkamah akhirnya memihak kepada mereka.
Kes itu disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai amat rumit kerana mengambil masa selama 25 tahun sebelum penghakiman dapat dibuat.
Pendakwa raya negeri Sao Paulo, Marcio Friggi de Carvalho memberitahu, kes itu timbul pada 16 Disember 1986 apabila ketua sekolah perubatan Universiti Taubate menyedari sebuah hospital gabungannya melakukan beberapa pembedahan pemindahan ginjal tanpa pengetahuannya.
Kalume kemudian memeriksa rekod berkaitan pembedahan-pembedahan tersebut dan menemui unsur-unsur mencurigakan.
Beliau seterusnya melakukan siasatan terhadap pasukan doktor berkenaan dan menyerahkan bukti yang ditemui kepada Majlis Perubatan Persekutuan iaitu agensi yang memantau dan mengeluarkan lesen amalan perubatan kepada doktor-doktor perubatan di Brazil, kata Carvalho.
Kes tersebut katanya diambil alih pihak polis sehingga membawa kepada penangkapan keempat-empat doktor berkenaan.
"Mereka membedah pesakit, mengeluarkan ginjal mereka dan menghantarnya," kata Carvalho. - AP
'via Blog this'
Putera Mahkota Arab Saudi meninggal dunia
RIYADH - Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Sultan bin Abdul Aziz Al-Saud meninggal dunia, menurut satu pengumuman istana yang disiarkan di televisyen negara berkenaan semalam.
Tempat beliau sebagai pengganti Raja Abdullah Al-Saud digantikan oleh saudara lelakinya , Putera Nayef Abdul Aziz Al Saud, 77, yang juga Menteri Dalam Negeri Arab Saudi.
Putera mahkota berkenaan yang berusia sekitar 86 tahun berkhidmat sebagai ketua keselamatan negara selama hampir lima dekad.
Beliau meninggal dunia semasa berada di Amerika Syarikat (AS). Putera Sultan dipercayai dirawat di sebuah hospital di bandar raya New York sejak pertengahan Jun lalu kerana menghidap kanser kolon sejak 2004.
Kerabat diraja itu akan dikebumikan Selasa ini selepas jenazahnya tiba dari AS.
Kematiannya berlaku semasa Raja Abdullah Al Saud, 87, masih dirawat di sebuah hospital di sini, seminggu selepas beliau menjalani pembedahan untuk membetulkan tulang belakang.
Keluarga Al-Saud memerintah Arab Saudi sejak penubuhan negara berkenaan pada tahun 1932 oleh Raja Abdul Aziz yang juga digelar Ibnu Saud. - AFP
'via Blog this'
Mayat Gaddafi dipamer di pasar raya
MISRATA, Libya - Jenazah Muammar Gaddafi yang masih berlumuran darah dipamerkan kepada umum di dalam bilik sejuk beku sebuah pasar raya di sini.
Orang ramai semalam berbaris panjang untuk menatap jenazah bekas pemimpin Libya berusia 69 tahun itu yang diletakkan di atas sebuah tilam di bilik berkenaan.
Pada mulanya, jenazah Gaddafi disimpan di bilik itu untuk mengelakkan daripada tatapan umum. Namun, orang awam berpusu-pusu tiba untuk melihat jenazah pemimpin yang mereka benci itu sebaik sahaja rahsia lokasi tersebut terbongkar.
Malah, untuk memudahkan orang ramai melawat arwah, pengawal-pengawal di premis itu menetapkan masa lawatan berasingan untuk keluarga dan lelaki bujang.
"Kami mahu melihat anjing ini (Gaddafi)," kata beberapa penduduk setempat.
Berpuluh-puluh lelaki, wanita dan kanak-kanak turut tidak ketinggalan bergambar bersama jenazah bekas pemimpin Libya tersebut.
Jenazah Gaddafi dibiarkan terbujur dalam keadaan terdedah hingga ke paras pinggang dengan dada dan tangannya berlumuran kesan darah sebelum ditutup dengan sehelai selimut.
Kesan luka akibat tembakan turut dilihat pada dada, perut dan bahagian kiri kepala jenazah.
Turut diletakkan di dalam bilik sejuk beku tersebut ialah jenazah anak lelakinya, Mutassim Gaddafi.
Gaddafi meninggal dunia pada Khamis lalu selepas dia ditangkap pejuang-pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) ketika cuba meninggalkan bandar kelahirannya, Sirte bersama pengawal-pengawalnya.
NTC yang memerintah Libya masih tidak dapat memutuskan bila dan di mana jenazah Gaddafi akan dikebumikan.
Penduduk di sini yang merupakan bandar paling teruk dibedil tentera Gaddafi dalam perang saudara sejak beberapa bulan lalu mendakwa jenazah Gaddafi adalah hak milik mereka.
Pertelingkahan itu menyebabkan rancangan untuk mengebumikan jenazah Gaddafi kelmarin terpaksa ditanguhkan.
Pemerintah tentera NTC di bandar ini juga tidak membenarkan pembedahan autopsi dilakukan keatas jenazah Gaddafi untuk mengetahui punca kematiannya.
"Tiada pembedahan autopsi keatas jenazahnya akan dilakukan hari ini (semalam) atau pada mana-mana hari," kata jurucakap majlis tentera Misrata, Fathi al-Bashaagha.
Sementara itu, NTC mengeluarkan kenyataan bahawa satu pentadbiran sementara akan ditubuhkan dalam masa sebulan. Rakyat Libya pula akan memilih pentadbiran baru dalam pilihan raya umum yang dijadual diadakan dalam tempoh lapan bulan lagi.
NTC akan mengisytiharkan pembebasan Libya di bandar Benghazi, timur Libya hari ini untuk membuka laluan kepada usaha-usaha mengubah negara yang kaya dengan minyak itu menjadi sebuah negara demokrasi. - Agensi
'via Blog this'