Pages

Sunday, May 26, 2013

Jurugambar berani mati

Foto
MORGAN sanggup berdepan risiko ketika
 merakamkan fenomena unik ini.
Foto
MORGAN sanggup berdepan risiko menghampiri
laluan lahar membelah batuan yang boleh menyebabkannya
terjatuh apabila struktur batuan menjadi lemah.
Foto
ELEMEN yang digabungkan Morgan di Taman
Gunung Berapi Negara di Hilo, Hawaii.
Foto
ALIRAN lahar GunuAng Berapi Kilauea memasuki
laut sebelum terbit matahari.

Demi minat dan kesungguhannya kepada tugasan merakam gambar ekstrem, Miles Morgan rela berdepan dengan bahaya, selain kehilangan kasut serta sebahagian peralatan kamera.

Jurugambar berasal dari Portland, Oregon di Amerika Syarikat itu menghabiskan masanya sejak beberapa tahun lalu mendaki gunung berapi aktif di Kepulauan Hawaii untuk merakamkan aliran lahar dan asap tebal serta debu yang meletus dari kawahnya.

Di laman sesawang Morgan, jurugambar itu menyatakan dia lahir dalam keluarga yang meminati seni fotografi.

“Sepanjang zaman kanak-kanak sehingga remaja, kamera sentiasa menjadi peneman saya,” katanya.


Pada April 2009, Morgan mula merakamkan gambar landskap pergunungan, tasik, padang pasir tandus dalam skala besar.


Tidak lama dulu, jurugambar berusia 41 tahun itu mengubah minatnya kepada gunung berapi.

Dalam banyak misi, buruan Morgan sering membawanya hanya beberapa inci dari lahar gunung berapi yang berselerak di Hawaii.

Pada satu daripada gambar dirakam itu, Morgan mengambil imej dirinya berdiri hanya beberapa meter dari tebing kawah Gunung Berapi Kilauea tanpa mengenakan sebarang pakaian penahan panas.

Kata Morgan, hobinya itu memang sangat berbahaya.

“Di Hawaii, suhu lahar itu boleh mencecah 1,100 darjah,” katanya.

Memburukkan lagi keadaan, di sesetengah tempat batuan yang lebur dan mengalir itu menyebabkan tapak di sekitarnya menjadi tidak stabil.

Dalam keadaan itu, seseorang boleh terjatuh ke dalam lahar bila-bila masa.
Setiap kali menyiapkan misinya, Morgan sentiasa berdepan dengan ancaman lahar, air panas (akibat lahar yang masuk ke laut) serta gas beracun yang dikeluarkan bersama letusan gunung berapi.

Bagaimanapun, setakat ini dia bernasib baik - berbanding tapak kasut dan kaki kamera yang dibawanya.

Pada Januari 2011 lawatan Morgan ke Hilo, Hawaii membawa dia ke kawasan persendirian di pinggir pantai yang dipenuhi aliran lahar gunung berapi.

Fenomena itu memberi peluang kepada Morgan merakamkan imej istimewa yang memaparkan bagaimana aliran lahar membelah batuan hitam ketika ombak laut melanda pantai.

Dalam ceritanya, Morgan berkata, perhatiannya sentiasa terganggu oleh bau hangit daripada kesan terbakar pada tapak kasut serta peralatan kamera yang dibawa.

“Disebabkan ia kawasan persendirian, saya perlu menggunakan khidmat jurupandu.

“Lebih penting, ada aspek keselamatan yang perlu diberi perhatian dan jurupandu profesional dan berpengalaman dianggap satu kemestian,” katanya.

Hidup semula selepas 3 dekad

Foto
GAMBAR zaman remaja ketika Christine (dua dari kanan) bersama rakan sekelasnya, termasuk Viv (dua dari kiri).
London: Rakan Christine Greenslade terkejut apabila mendapat tahu dia meninggal dunia pada usia baru 34 tahun.
Bagaimanapun, mereka lebih terkejut apabila Christine menghubungi mereka semula untuk menganjurkan pertemuan semula, tiga dekad kemudian. 
Hakikatnya, Christine masih hidup dan menyedari sebuah akhbar tempatan tersilap dalam laporannya kerana mendakwa dia meninggal dunia pada 1980.

Ketika itu sebenarnya ibu Christine, Pamela yang meninggal dunia, tetapi ketika dia menguruskan notis kematian untuk disiarkan dalam akhbar, nama mereka tertukar.


Bagaimanapun, Christine tidak menyedari kesilapan itu dan berpindah ke tempat lain selepas kematian Pamela tanpa memaklumkan perkara itu kepada rakannya di Penzance, Cornwall yang berkabung.

Kekeliruan itu hanya terlerai apabila Christine menelefon rakan lamanya di Penzance untuk mengadakan majlis pertemuan semula baru-baru ini.

Kini berusia 66 tahun dan menetap di Perancis, Christine bersiap sedia melawat rakan zaman persekolahannya.

Kata Christine, ketika kali pertama bercakap dengan rakan karibnya, Viv Albright, dia kedengaran sangat aneh.

“Ia bukan reaksi yang saya jangkakan daripada sahabat lama,” katanya semalam.

Sejurus kemudian, Viv menelefon Christine semula untuk meminta maaf dan memberitahu, mereka menyangka dia meninggal dunia pada 1980.

Christine kemudian mengenang semula detik dia membuat tempahan notis kematian di akhbar tiga dekad lalu.

Katanya, seorang lelaki secara khusus meminta nama penuh ibunya, sebelum bertanya namanya sendiri di akhir perbualan.

“Ketika itu nama saya ialah Christine Downing dan ibu pula Pamela Greenslade.

“Ia kelihatan mustahil untuk kedua-dua nama kami tersilap,” katanya.

Keesokan harinya, notis kematian itu memaparkan “Christine Greenslade menghembuskan nafas terakhir, meninggalkan tiga anak dan seorang suami.”

Untuk kali pertama sejak 33 tahun, Christine akan kembali ke kampung halamannya di Penzance minggu depan.

Ibu kepada dua anak itu berkata, amat menyedihkan apabila mengenangkan ‘kematian’ itu diratapi rakan-rakannya bertahun-tahun.

“Tetapi, saya pasti ada banyak cerita untuk dikongsikan bersama mereka,” katanya.

Notis ‘kematian’ Christine itu disiarkan akhbar mingguan tempatan Penzance, The Cornishman, yang diterbitkan sejak 1878. - Daily Mail