Pages

Saturday, December 4, 2010

Kereta api terlaju China



BEIJING - Kementerian Kereta Api China mengumumkan bahawa kereta api penumpang terbaru negara itu mencatat rekod baru dunia dengan mencecah kelajuan sehingga 486 kilometer sejam semasa dalam satu jalanan ujian yang diadakan, semalam. 

Agensi Berita Xinhua melaporkan ujian tersebut dibuat di atas landasan baru yang belum dibuka yang akan menghubungkan dua bandar utama China iaitu Beijing dan Shanghai. 

Menurutnya, kereta api itu mampu tiba di tempat destinasi dengan hanya lima jam berbanding masa sebelum ini dan ia dijadualkan untuk beroperasi pada 2012.

China adalah negara pertama dan satu-satunya memiliki perkhidmatan kereta api komersial pada jalur rel konvensional yang mampu mencecah kelajuan sehingga 486 kilometer sejam. 

Sebelum ini, kereta api peluru Wuhan-Guangzhou mampu mencapai kelajuan sehingga 350 kilometer sejam untuk seluruh perjalanan dan ia dirasmikan pada 2009.

Anak bos F1 beli rumah RM275j



PETRA


LONDON – Seorang model, Petra Ecclestone yang merupakan anak bos perlumbaan Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone akan membeli sebuah rumah bernilai £66 juta (RM275 juta), lapor sebuah akhbar semalam.
Rumah baru yang dibeli itu mempunyai sebuah bilik pengawal, enam ruangan resepsi dan 10 bilik mandi serta baki bilik lain ialah untuk teman lelakinya, James, 28, menyimpan koleksi wain dari tahun 1945 hingga 2005 yang bernilai £15,000 (RM62,496)
Empat anjing juga akan mempunyai bilik sendiri.
Bangunan rumah tersebut diisytiharkan sebagai harta yang paling bernilai di Chelsea.
Seorang rakan karib Petra berkata, penjualan rumah tersebut masih dalam proses.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa gadis yang muda dan tidak berkahwin mahukan rumah itu. Namun, seorang rakannya berkata: “Dia mampu membelinya.” – Agensi

Kecoh gambar bogel mirip Miley Cyrus



GAMBAR fail menunjukkan Miley Cyrus tiba untuk menghadiri majlis Anugerah Muzik Amerika 2010 di Theater Nokia, Los Angeles pada 21 November lalu.


NEW YORK - Penyanyi dan pelakon bersiri televisyen The Hannah Montana, Miley Cyrus menjadi bahan perdebatan di Internet apabila sebuah laman web menyiarkan sekeping gambar bogel seorang wanita yang mempunyai wajah miripnya, lapor sebuah akhbar semalam.
Gambar tersebut menunjukkan seorang wanita sedang berdiri di tingkap bilik mandi sambil memegang telefon bimbit dalam keadaan cuma memakai baju yang terdedah.
Laman web GossipCop.com pula mendakwa wanita itu bukan milik penyanyi yang berusia 18 tahun itu.
Alasan yang diberikan ialah wanita itu tidak mempunyai tatu pada bahagian bawah payu dara kiri seperti yang terdapat pada badan Miley.
Beberapa jam kemudian, laman web tersebut memberitahu bahawa gambar itu bukan Miley dan menjelaskan bahawa ia milik seorang gadis dari London yang berusia 19 tahun yang memiliki wajah mirip penyanyi tersebut. - Agensi

Siren berbunyi paras air naik di Venice





PARAS air naik di Dataran St. Mark di Venice, Itali semalam.



VENICE, Itali - Pelancong-pelancong asing semalam di Venice bangun akibat terdengar bunyi siren ekoran paras air naik menyebabkan 55 peratus di bandar itu dipenuhi dengan air.
Sejurus sebelum subuh, siren dibunyikan bagi memberi amaran bahawa paras air naik setinggi 1.10 meter.
Pada pagi semalam, paras air itu meningkat kepada 1.40 meter di atas paras laut.
Paras air itu naik ekoran cuaca buruk dan arus yang luar biasa di lagun Venice. Bandar Venice yang dibina daripada ribuan pulau kecil kerap dilanda banjir.
Dataran St. Mark di sini telah dilanda banjir 100 kali setahun. - AFP

Presiden AS kritik FIFA





ZURICH – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (gambar) mengkritik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana memberikan hak penganjuran Piala Dunia 2018 kepada Qatar.
“Saya berpendapat FIFA telah tersilap membuat keputusan,” kata Obama.
Bukan sahaja Obama, tetapi ramai pemimpin lain hairan bagaimana sebuah negeri kecil seperti Qatar yang tidak pernah layak ke pertandingan akhir Piala Dunia dan memiliki suhu panas melampau pada bulan Jun serta Julai ketika kejohanan itu diadakan, boleh mendapatkan hak penganjuran Piala Dunia.
Qatar mengetepikan AS, Jepun, Korea Selatan dan Australia dalam sesi pengundian rahsia delegasi FIFA pada minggu ini. – AFP

Perang dingin Rusia-Britain





WAJAH-Wajah kesedihan (dari kiri) Putera William, David Cameron dan David Beckham selepas England diumumkan gagal menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018 di Zurich, kelmarin.



ZURICH, Switzerland – Kegagalan memalukan England dalam perlumbaan untuk menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Dunia 2018 mencetuskan ‘Perang Dingin’ baru dengan Rusia kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.
Usaha England membida sebagai hos Piala Dunia 2018 diketuai tiga wira mereka iaitu Perdana Menteri Britain, David Cameron, pewaris kedua takhta diraja Britain, Putera William dan bintang bola sepak, David Beckham dengan bidaan berjumlah £15 juta (R73.80 juta).
Sebuah akhbar melaporkan, bidaan mereka gagal melepasi pusingan pertama sesi pengundian rahsia ahli jawatankuasa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di sini bagi memilih hos Piala Dunia 2018 dan Piala Dunia 2022.
“Saya ingin memohon maaf kepada semua peminat bola sepak England. Kami telah mencuba sedaya upaya kami tetapi gagal,” kata Putera William.
Berbeza dengan Putera William, kekalahan England kepada Rusia sukar diterima Perdana Menteri Britain sehinggakan beliau enggan menghubungi rakan sejawatannya, Vladimir Putin bagi mengucapkan tahniah.
Kelmarin, Presiden FIFA, Sepp Blatter mengisytiharkan di sini bahawa Rusia merupakan hos Piala Dunia 2018 diikuti dengan Qatar sebagai tuan rumah kejohanan tersebut pada tahun 2022.
Rusia memperoleh sembilan undi daripada 22 ahli jawatankuasa FIFA manakala nasib England amat malang apabila ia cuma mendapat dua undi dalam sesi pengundian rahsia itu pada minggu ini.
Namun, isu itu tidak berakhir di situ apabila media Britain mengeruhkan keadaan dengan mendakwa Rusia adalah sebuah negara mafia yang bermain kotor bagi mengetepikan bidaan England sebagai tuan rumah Piala Dunia 2018. – Agensi

Pengasas WikiLeaks ambil langkah keselamatan





GAMBAR yang dirakamkan semalam di Paris menunjukkan laman WikiLeaks yang menampilkan gambar pengasasnya, Julian Assange.



GENEVA - Laman web pembocor maklumat kabel diplomatik Amerika Syarikat, WikiLeaks berpindah ke sebuah alamat baru di Switzerland semalam selepas perkhidmatan hos Internetnya di Amerika Syarikat (AS) ditutup.
Laman web berkenaan sedang mendedahkan lebih 250,000 maklumat sulit diplomatik AS yang mencetuskan kemarahan Washington.
WikiLeaks kini boleh dilayari di alamat www.wikileaks.ch, laman web yang didaftarkan oleh sebuah parti politik Switzerland.
Perubahan alamat Internet itu dibuat ekoran laman web www.wikileaks.org gagal berfungsi kelmarin akibat disekat sehingga memaksa laman web itu ditutup.
Pada awal bulan lalu, pengasas WikiLeaks, Julian Assange berkata, dia bimbang nyawanya terancam dan mungkin akan mencari perlindungan di Switzerland.
Semalam, beliau turut mendedahkan dalam sesi soal jawab dengan akhbar Guardian bahawa, pasukannya mengambil beberapa langkah bersesuaian ekoran ancaman untuk membunuh mereka.
Menurut agensi berita Switzerland, ATS, WikiLeaks turut menempah satu lagi alamat Internetwww.wikileaks.li di Liechtenstein, negara kecil yang terletak di antara Switzerland dan Austria sebagai langkah berjaga-jaga.
Pada awal minggu ini, laman web penjualan buku di AS, Amazon berhenti menjadi hos WikiLeaks di Internet selepas ia dikritik oleh anggota-anggota Senat Kongres AS termasuk Senator Joe Leiberman.
Kelmarin, media melaporkan bahawa Assange tidak ditangkap di Britain kerana pihak berkuasa Sweden melakukan kesilapan dalam mengisi waran tangkapnya berhubung dakwaan merogol dan mencabul dua wanita di Sweden.
Akhbar The Times menyatakan, polis Britain telah mengenal pasti Assange bersembunyi di satu lokasi di tenggara England tetapi mereka tidak dapat menahannya kerana waran tangkap itu tidak lengkap. - Agensi

Seoul akan lancar serangan udara



Pesawat E-2C Hawkeye mendarat di atas dek kapal pengangkut pesawat USS George Washington semasa menyertai latihan perang bersama tentera laut Korea Selatan di Laut Kuning, di barat semenanjung Korea pada 30 November, 2010. - AFP


SEOUL 3 Dis. - Korea Selatan akan melancarkan serangan udara ke atas Korea Utara dan 'menghukum penyerang habis-habisan' jika rejim komunis itu melakukan provokasi pada masa depan, kata calon Menteri Pertahanan hari ini.
Calon Menteri Pertahanan itu, Kim Kwan-jin memaklumkan kepada majlis pengesahan Parlimen tentang kesediaan Korea Selatan menggunakan tentera udara jika Pyongyang sekali lagi melakukan serangan.
Kenyataan tegas itu dibuat ketika Amerika Syarikat (AS) dan Jepun memulakan latihan perang di perairan berdekatan semenanjung Korea.
Latihan di Laut China Timur itu adalah lebih besar daripada latihan perang antara AS-Korea Selatan di Laut Kuning minggu lalu, bertujuan mempamerkan kekuatan kepada Pyongyang selepas negara komunis itu melancarkan serangan artileri ke atas pulau Korea Selatan.
Tentera Korea Selatan melancarkan serangan balas menggunakan artileri selepas Korea Utara menyerang Pulau Yeonpyeong, membunuh dua orang awam dan dua anggota marin tetapi tidak menggerakkan tentera udara bagi mengelakkan keadaan menjadi bertambah buruk.
Kwan-jin yang merupakan bekas jeneral empat bintang dan pernah menjadi Pengerusi Ketua Turus Bersama berkata, Korea Selatan mempertahankan diri dan 'menghukum penyerang sehinggalah sumber penentangan dimusnahkan'.
Beliau bagaimanapun menyatakan bahawa risiko berlakunya perang besar sebagai rendah. - AFP