Pages

Wednesday, August 22, 2012

Ibu bunuh dua anak


Ibu bunuh dua anak
Beberapa anggota tubuh dua kanak-kanak malang itu turut ditemui berhampiran suspek yang sedang nyenyak tidur di rumahnya.
CHIANG MAI - Seorang wanita di daerah Mae Ai didakwa membunuh dan mengerat tubuh dua anaknya semasa suaminya tiada di rumah.
Kelmarin, polis memaklumkan mereka menerima laporan berhubung perbuatan kejam yang sanggup dilakukan oleh seorang ibu terhadap dua anak lelakinya berumur setahun dan lima tahun itu pada minggu lalu.
Menurut jurucakap pihak berkuasa, mereka turut menemui beberapa anggota tubuh dipercayai milik kedua anaknya berhampiran suspek yang sedang nyenyak tidur di rumahnya.
"Wanita itu tidak memberi kerjasama semasa disoal siasat polis. Hasil siasatan terhadap latar belakang suspek menunjukkan dia pernah dirawat kerana mengalami masalah mental pada 2007.
Pihak hospital juga mengesahkan semasa insiden itu, suspek mungkin mengalami halusinasi," jelas jurucakap polis tersebut lagi.

Sementara itu, suami kepada wanita itu menyatakan isterinya berhenti mengambil ubat sejak dua bulan lalu.

Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa juga menolak khabar angin tersebar di dalam laman media sosial yang mendakwa wanita itu memakan anaknya sendiri kerana tiada bukti menunjukkan dia melakukan perbuatan tersebut.

Suspek kini dihantar ke Hospital Suan Prung untuk mendapatkan rawatan.

Daging babi bertabur di taman tumpuan Muslim

Daging babi bertabur di taman tumpuan Muslim
Cebisan yang dipercayai daging babi.
NEW YORK - Polis  New York giat melakukan siasatan terhadap penemuan cebisan dipercayai daging babi di sebuah taman di New York yang menjadi lokasi pertemuan saudara Islam di bandar terbabit.

Jurucakap Majlis Hubungan Amerika-Islam New York, Cyrus McGoldrick berkata, kawasan New Diro Beach Park, Pulau Staten itu sering dikunjungi kira-kira 1, 500 umat Islam termasuk mengadakan majlis muzakarah.

“Polis masih melakukan siasatan dan berharap tiada spekulasi berhubung kejadian yang dianggap sebagai Islamofobia,” katanya.
Dipercayai kejadian terbabit mempunyai kaitan dengan pengharaman penjualan daging babi di beberapa pasaran secara terbuka terutama di kawasan penduduk umat Islam.
Insiden ini adalah yang terbaru dalam peristiwa sentimen anti-Islam sejak beberapa minggu lalu, selepas sebuah masjid di Missouri dibakar diikuti sebuah sekolah swasta Islam di luar Chicago dibaling dengan molotov cocktail.

Manakala bulan lalu, beberapa kaki babi digantung di sebuah masjid di bandar selatan California sehingga mencetuskan ketegangan antara umat Islam dan polis tempatan.

Galloway tampil bela Assange


WARTAWAN berkerumun untuk mendengar kenyataan media dibuat Assange dari balkoni Kedutaan Ecuador di London, semalam. Assange kini mendapatkan perlindungan daripada kerajaan Ecuador sejak 16 Ogos lalu.
WARTAWAN berkerumun untuk mendengar kenyataan media dibuat Assange dari balkoni Kedutaan Ecuador di London, semalam. Assange kini mendapatkan perlindungan daripada kerajaan Ecuador sejak 16 Ogos lalu.
LONDON: Ahli Parlimen yang disegani ramai, George Galloway, mempertahankan Julian Assange dengan mendakwa pengasas WikiLeaks itu tidak sepatutnya didakwa atas kesalahan merogol di Sweden.
Menurut Galloway, sebaliknya Assange hanya wajar didakwa kerana “etika seksual buruk.” Dalam kenyataannya semalam, Ahli Parlimen Bradford Barat itu berkata, dia tidak dapat mempercayai dua wanita yang mengaku dirogol Assange.

“Walaupun dakwaan dua wanita itu 100 peratus benar dan ditambah dengan rakaman kamera di dalam bilik berkenaan, ia tidak menjadikan insiden itu sebagai kes rogol - sekurang-kurangnya kejadian rogol sebagai yang sesiapa kenali,” katanya.
Dalam penghakiman Mahkamah Agung, hakim paling kanan di Britain berkata, dakwaan ke atas Assange, 41, dalam waran tangkap dikeluarkan Eropah boleh dianggap sebagai kes rogol.

Seorang daripada wanita yang membuat aduan itu mengaku melakukan hubungan seks dengan Assange secara rela pada Ogos 2010.

Bagaimanapun, kata wanita itu, dia terjaga keesokan harinya apabila mendapati sedang berasmara dengan Assange tanpa menggunakan kondom.

Kata Galloway, insiden itu tidak boleh dianggap rogol kerana kedua-dua mereka melakukan hubungan seks sebelum itu.

“Ia mungkin sangat tidak beradab apabila Assange tidak menepuk bahu wanita terbabit dan meminta izin berasmara sekali lagi,” katanya.
Menurut Galloway, walaupun dianggap tidak senonoh ia tidak boleh dianggap kejadian rogol.

“Kecuali anda benar-benar ketiadaan makna sebenar rogol,” katanya.

Malam kelmarin, seorang penyokong Assange mencetuskan kemarahan apabila menyiarkan nama seorang daripada ‘mangsa’ Assange dalam siaran program BBC.

Bekas Duta Britain ke Uzbekistan, Craig Murray, 53, menyebut nama wanita terbabit dua kali dalam program berkenaan sebelum ditegur pengacara, Gavin Esler. - DM

Israel kerugian RM130 bilion jika berperang dengan Iran




         
BAITULMAQDIS: Ekonomi Israel akan mengalami kerugian hingga 167 bilion shekel (RM130 bilion) jika ia menyerang Iran ekoran program nuklearnya, dedah kumpulan maklumat perniagaan BDI-Coface.

Kerugian langsung ekonomi bakal mencecah 47 bilion shekel (RM36.4 bilion), kata kumpulan penyelidikan itu, semalam. Ia bersamaan dengan 5.4 peratus pengeluaran negara kasar Israel tahun lalu.


Menurutnya, kerugian secara tidak langsung berjumlah 24 bilion shekel (RM18.6 bilion) setahun untuk tiga dan lima tahun ekoran kejatuhan perniagaan.

Terdapat desakan daripada ahli politik Israel bulan ini menyarankan supaya negara Yahudi itu menyerang loji nuklear Iran menjelang pilihan raya presiden Amerika Syarikat November depan. - Reuters

Russia kecewa Damsyik terlalu berhati-hati




         
MOSCOW: Russia semalam mempertahankan sekutunya, Syria, daripada ancaman luar selepas Presiden AS, Barack Obama, memberi amaran terhadap kemungkinan rejim Bashar al-Assad menggunakan senjata kimia ke atas penentangnya.

Kenyataan Obama itu meningkatkan kemungkinan berlaku tindakan ketenteraan satu pihak ke atas kerajaan Syria.


Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, berkata tidak wajar ada mana-mana pihak campur tangan di Syria.

“Satu-satunya tugas yang perlu dilakukan negara luar ialah mencipta keadaan yang membolehkan dialog bermula,” katanya kepada media selepas bertemu Timbalan Perdana Menteri Syria, Qadri Jamil, semalam.


Kelmarin, Obama memberi amaran Syria mungkin berdepan “kesan besar” jika ia mula menggunakan simpanan senjata kimianya.


Pemilikan senjata berbahaya itu hanya diakui dimiliki rejim Bashar untuk kali pertama bulan lalu.



Kata Obama, dia tidak mengarahkan sebarang tindakan ketenteraan ke atas Bashar “setakat ini,” tetapi penggunaan senjata kimia “mungkin mengubah perkiraannya secara drastik.” Selepas memberi kenyataan semalam, Lavrov enggan membenarkan media mengemukakan soalan, serta tidak menyebut secara khusus mengenai Obama atau senjata kimia. Sementara itu, Lavrov menyatakan kekecewaannya terhadap sikap Syria yang terlalu berhati-hati untuk memulakan rundingan secara langsung dengan pemberontak. “Polisi semasa Damsyik tidak mencukupi untuk menamatkan konflik sejak 17 bulan lalu dan pendekatan lebih baik diperlukan,” katanya. - AFP

Doktor asing rawat mangsa perang Syria di vila rahsia




         
PARIS: Sepasukan doktor antarabangsa mengubah suai sebuah vila dalam pembinaan menjadi hospital rahsia sejak dua bulan lalu untuk merawat orang ramai yang cedera akibat pertempuran.

Sesetengah pesakit terpaksa menempuh perjalanan dua hari sebelum sampai ke hospital berkenaan. Menurut pertubuhan Medecins Sans Frontieres, doktor terbabit mengambil masa seminggu mengubah suai rumah berkenaan menjadi hospital bagi merawat mangsa perang. Hospital berkenaan dikendalikan tujuh doktor asing dan kira-kira 50 warga Syria.


Jurucakap kumpulan itu, Brian Moller, berkata mereka memastikan kerajaan Syria tahu kewujudan hospital berkenaan tetapi tidak menyatakan lokasi mereka beroperasi. “Mereka tidak menghargai atau suka dengan kehadiran kami,” katanya.

Doktor bedah dari Denmark, Katherine Holte, dia menghabiskan masa empat minggu di situ dan keadaannya semakin terdesak.


Katanya, hampir semua pesakit mangsa pertempuran.


“Kira-kira 60 peratus cedera akibat letupan dan 40 peratus terkena tembakan.



“Mereka hidup dalam ketakutan setiap hari,” katanya. Kata Katherine, kebanyakan pesakit menggunakan laluan jauh bagi mengelak pos pemeriksaan serta operasi tentera.


Bagi jarak 24 kilometer, katanya, kadang-kadang pesakit terpaksa menempuh perjalanan dua hari. Awal bulan ini, tentera Perancis menghantar sepasukan doktor ke sempadan Syria - Jordan bagi mengendalikan sebuah hospital bergerak. - AP

Muslim NY bukan ganas




         
NEW YORK: Selepas enam tahun mengintip komuniti Islam, Unit Demografi Jabatan Polis New York (NYPD) gagal mengesan sebarang petunjuk bagi membolehkan siasatan keganasan dijalankan, kata jabatan itu, semalam.

Dalam pengakuan mahkamah itu, polis berkata, risikan berkenaan dijalankan - antara lain - melalui curi dengar perbualan dan analisis katalog di masjid sekitar New York. Unit Demografi - sebuah unit rahsia di bawah polis bandar raya itu - adalah pusat program perisikan yang ditubuhkan dengan bantuan Agensi Perisikan Pusat (CIA).


Mereka membina pangkalan data memuatkan maklumat mengenai tempat tinggal penduduk Islam serta aktiviti mereka, termasuk di mana mereka membeli-belah, bekerja dan beribadat. Polis, kata dokumen itu, menyamar dalam kumpulan pelajar Islam, selain meletakkan penyalur maklumat di masjid dan memantau sebarang syarahan agama. “Polis berharap Unit Demografi boleh bertindak sebagai sistem amaran awal bagi keganasan.

“Jika polis mendapat sebarang maklumat, misalnya ada pengganas Afghanistan di bandar raya ini, pihak berkuasa tahu di mana dia menyewa bilik, membeli barang keperluan dan menonton sukan,” kata dokumen itu. Namun, pada 28 Jun, penolong ketua unit itu, Thomas Galati, mengakui tiada sebarang bukti menunjukkan komuniti Muslim di bandar raya itu mempunyai kaitan dengan pengganas. NYPD adalah jabatan polis terbesar di AS dan Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg, membantu menubuhkan unit antipengganas sebagai model bagi AS menangani ancaman selepas insiden 11 September. - AP

Wanita lapah, masak anak kerana disangka babi




         
BANGKOK: Seorang wanita yang dituduh melapah, memasak dan memakan dua anaknya dipercayai melakukan demikian kerana menyangka mereka adalah babi, kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Mental, Kiattiphum Wongrachit, semalam.

“Wanita itu membunuh dua anaknya kerana dia tidak meneruskan rawatan dan tidak mengambil ubat yang diperlukannya,” katanya.


Polis minggu lalu menerima laporan bahawa seorang wanita Musur mengerat dua anak lelakinya yang berusia setahun dan lima tahun di daerah Mae Ai di Chiang Mai.

Polis berkata, mereka menemui wanita itu sedang tidur ketika tiba di kediamannya dan beberapa bahagian tubuh anaknya bergelimpangan di atas lantai.


Polis kemudian menahan wanita terbabit, tetapi dia tidak berkata apa-apa ketika disoal siasat.


Siasatan ke atas latar belakangnya mendapati wanita itu pernah menjalani rawatan sakit mental pada 2007. Dia kemudian dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. - Bangkok Post

AS rampas duit Hizbullah RM450j


New York: Pihak berkuasa Amerika Syarikat mendakwa berjaya merampas sejumlah AS$150 juta (RM450 juta) dari sebuah bank Lubnan disyaki menjadi pusat skim penggubahan wang antarabangsa membabitkan kumpulan Syiah, Hizbullah.

Pada Februari 2011, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat menyatakan kebimbangan bahawa Lebanese Canadian Bank (gambar) adalah tempat penggubahan wang utama.

Bank dimiliki secara persendirian itu bergabung dengan anak syarikat Lubnan, Societe Generale.
Pendakwa persekutuan di Manhattan dan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat mendakwa pegawai bank mengetahui perkara terbabit.

Wang dari Lubnan

Ia adalah satu skim di mana wang daripada pelbagai individu dan syarikat di Beirut dihantar dari Lubnan untuk membeli kereta terpakai di Amerika.

Kereta itu dijual di Afrika Barat dan kumpulan dikaitkan dengan Hizbullah akan membantu menyeludup ke Lubnan, kata pihak berkuasa.
Hizbullah adalah pejuang Islam Syiah dan pergerakan politik diasaskan dengan bantuan Iran selepas serangan Israel terhadap Lubnan pada 1982.
Washington menyifatkan Hizbullah sebagai kumpulan pengganas.

Pegawai Amerika berkata, anggota Hizbullah semakin banyak terbabit dalam perdagangan dadah, memudahkan pengedaran dan jualan kokain di Afrika Barat.
Reuters

Lelaki kahwin 14 kali



 
MANAMA: Seorang lelaki Arab Saudi berkahwin sebanyak 14 kali dalam tempoh 37 tahun dalam usahanya untuk menjadi bapa tetapi ia tinggal impian.

Mutlaq Sulaiman, 53, dilaporkan berkahwin buat pertama kali ketika berusia 16 tahun tetapi tiga tahun selepas itu dia sekali lagi berkahwin berikutan tekanan daripada keluarganya kerana gagal mendapat anak.

Perkahwinan kedua itu diikuti dengan beberapa perkahwinan dengan beberapa wanita pelbagai peringkat usia dan warga negara atas sebab yang sama kerana Mutlaq terus gagal mendapat anak sendiri, lapor harian Al Watan.
Mutlaq adalah seorang kakitangan di sebuah jabatan pendidikan di sempadan utara Arab Saudi. Dia dilaporkan mengatasi bapanya sendiri yang berkahwin sebanyak lima kali manakala abangnya pula hanya berkahwin sekali.

Seorang daripada isterinya 23 tahun lebih tua daripada dirinya manakala seorang wanita warga Syria pula berusia 36 tahun lebih muda daripadanya.

Isteri galak kahwin

Mutlaq berkata, dia amat mencintai isterinya dari Syria itu tetapi terpaksa bercerai selepas keluarga wanita terbabit menghalangnya pulang ke pangkuannya atas alasan mereka tidak mendapat anak.
Dia kemudian berkahwin dengan isteri terbaru dua tahun lalu dan masih bersama wanita berkenaan.

Dia juga berjanji untuk mendapatkan rawatan sepatutnya dalam usaha untuk mendapat anak, lapor akhbar harian terbabit.

Saya tidak pernah memikirkan akan berkahwin sebanyak 14 kali tetapi saya terpaksa melakukannya kerana benar-benar mahukan seorang anak.

Saya berusia 16 tahun ketika pertama kali berkahwin dengan seorang saudara tetapi tidak menyangka akan berkahwin lagi dengan orang lain selepas itu, katanya.

Malah isteri pertama menggalakkan saya untuk berkahwin lagi supaya saya mempunyai seorang anak. katanya.

Mutlaq berkata, tempoh yang paling lama beliau bersama seseorang isteri yang sama adalah selama lapan tahun.

Tempoh itu adalah dengan isteri pertama saya, katanya sambil menambah tempoh perkahwinannya yang paling singkat adalah selama dua tahun.
Agensi

Bayi disuntik antibiotik boleh obes



CHICAGO: Bayi yang diberi antibiotik sebelum mereka berusia enam bulan dilaporkan boleh membawa kepada kegemukan apabila mereka menjadi kanak-kanak, menurut satu kajian yang disiarkan semalam.

Kita biasanya menyifatkan obesiti satu permasalahan serius disebabkan diet yang tidak menentu dan kurang senaman, tetapi kajian menunjukkan faktor penyumbang lebih daripada perkara itu saja, kata penulis bersama kajian itu dari Sekolah Perubatan Universiti New York, Leonardo Trasande.

Mikrob dalam usus kita memainkan peranan dalam bagaimana kita menyerap kalori dan pendedahan kepada antibiotik terutama ketika awal kehidupan boleh membunuh bakteria sihat yang mempengaruhi bagaimana kita menyerap khasiat dalam tubuh, katanya.
Kajian berkenaan memberi amaran terhadap bahaya antibiotik terutama kepada kanak-kanak.

Kajian awal itu mengaitkan perubahan berjuta-juta mikrob dalam tubuh hingga mencapai trilion sel disebabkan obesiti, penyakit usus, asma dan keadaan lain. Bagaimanapun bukti kukuh belum ditemui.

Ini adalah kajian pertama menganalisis hubungan antara penggunaan antibiotik dan jisim tubuh bermula daripada peringkat selepas kelahiran bayi.

Penyelidikan menilai penggunaan antibiotik di kalangan 11,532 kanak-kanak dilahirkan di wilayah Avon, Britain pada 1991 dan 1992 terbabit dalam kajian jangka panjang membabitkan kesihatan dan pembesaran mereka. AFP

Tengkorak berusia antara 43,000 hingga 63,000 tahun ditemui




GAMBAR menunjukkan bahagian-bahagian tengkorak yang ditemui di kawasan pergunungan Annamite di Laos.


CHICAGO - Satu tengkorak yang ditemui di dalam sebuah gua di Laos mungkin merupakan fosil manusia yang paling tua pernah ditemui di Asia Tenggara, menurut satu kajian yang disiarkan kelmarin.
Tengkorak yang ditemui di kawasan pergunungan Annamite itu dipercayai berusia antara 46,000 hingga 63,000 tahun.
Penemuan itu memperkukuhkan kajian genetik sebelum ini yang mempercayai manusia moden tinggal di kawasan tersebut sejak 60,000 tahun lalu.
Tengkorak itu ditemui pada kedalaman lebih dua meter di gua tersebut pada tahun 2009.
Kajian tentang tengkorak itu disiarkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences. - AFP

Perang di Syria merebak kembali ke Lebanon





ASAP menjulang dari sebuah bangunan di lokasi pertempuran antara kumpulan Sunah dengan Syiah di Bab al-Tabbaneh, Lebanon semalam. - AFP



TRIPOLI – Dua orang terbunuh dan lebih 60 cedera dalam pertempuran antara kumpulan penganut Sunah dengan mazhab Syiah Alawi di bandar Tripoli, Lebanon, kata beberapa sumber perubatan dan keselamatan semalam.
Kumpulan lelaki bersenjata di daerah Bab al-Tabbaneh yang didiami penduduk Sunah bertempur dengan kumpulan penganut Syiah itu.
Mereka saling berbalas tembakan dan membaling bom tangan.
Menurut beberapa penduduk, pertempuran itu berlaku walaupun tentera Lebanon ditempatkan di bandar tersebut.
Menurut kenyataan tentera, askar-askar menyerbu bangunan yang digunakan oleh kumpulan lelaki bersenjata. Pada kejadian yang berlaku kelmarin, lima askar cedera dan lima lagi termasuk seorang lagi pegawai mengalami nasib yang sama semalam.
Selain daripada askar itu, seramai 35 orang awam dan lelaki bersenjata terbunuh.
Pertempuran itu berlaku disebabkan kesan peperangan di Syria.
Kebangkitan rakyat di Syria kebanyakannya didalangi oleh penduduk Sunah yang menentang Presiden Bashar Al-Assad yang merupakan penganut Syiah Alawi.
Pada awal Jun lalu, seramai 15 orang terbunuh di bandar ini kerana pertempuran melibatkan kedua-dua kumpulan tersebut. – Reuters

Tiga anggota tentera Thai maut diserang hendap



BEBERAPA anggota skuad pemusnah bom memeriksa kawah yang terbentuk akibat letupan bom di tepi jalan yang dilakukan oleh kumpulan gerila pemisah di Narathiwat semalam.


BANGKOK - Tiga anggota keselamatan tentera Thailand maut dan dua lagi cedera semalam dalam serangan yang dilakukan gerila pemisah di selatan negara ini.
Menurut seorang pegawai Pusat Arahan Operasi Keselamatan, Kolonel Chatuporn Klumsud, seorang askar dan penduduk kampung menaiki sebuah trak pikap semasa mereka diserang hendap kira-kira pukul 10 pagi oleh sekumpulan gerila pemisah di daerah Rangae, wilayah Narathiwat, 825 kilometer ke selatan Bangkok.
Dalam kejadian itu, askar-askar tersebut mati manakala penduduk kampung itu cedera.
Menurut Klumsud, dua lagi anggota separa tentera mati ditembak dalam dua kejadian yang berasingan yang berlaku di Narathiwat dan Pattani
Agensi perisikan negara ini meramalkan peningkatan keganasan selepas bulan Ramadan berakhir.
Kira-kira 5,300 orang terbunuh dalam kejadian serangan bom, tembakan dan kebakaran sejak kumpulan gerila pemisah melancarkan serangan pada tahun 2004.
Para gerila itu mendakwa perjuangan mereka adalah untuk memisahkan tiga wilayah yang mempunyai majoriti penduduk Islam iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala daripada Thailand. - dpa

‘Ambillah kereta saya’

LAPOR...Musyrif menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas kereta miliknya dilarikan penjenayah.
LAPOR...Musyrif menunjukkan laporan polis yang
 dibuat selepas kereta miliknya dilarikan penjenayah.

KEPALA BATAS: “Dalam keadaan cemas, saya hanya mampu merayu kepada lelaki itu supaya tidak mengapa-apakan saya dan anak. Jika dia nak ambil kereta, ambillah, tapi tolong lepaskan saya dan anak,” kata Nurul Izzah Khalid, 26, ketika menceritakan detik cemas menjadi ‘tawanan’ 10 minit oleh seorang lelaki yang melarikan keretanya dalam kejadian dekat simpang keluar Kompeks Dato’ Kailan, di sini, Sabtu lalu.
Nurul Izzah ketika ditemui di rumahnya di Pajak Song berkata, dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku sebaik suami keluar dari kenderaan untuk membeli ubat anak mereka, Muhammad Qayyum Musyrif, lima bulan yang demam di sebuah farmasi berhampiran, kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, dia baru hendak mengunci pintu kereta, sebelum seorang lelaki tiba-tiba meluru masuk dan terus menekan pedal minyak.
“Saya jadi panik kerana lelaki itu terus memecut laju dan mahu membawa saya dan anak bersama kereta ke Pulau Pinang. Saya menghubungi suami menggunakan telefon bimbit yang masih di tangan bagi meminta bantuan.

“Lelaki itu marah dengan tindakan saya dan bertindak mahu merampas telefon dari genggaman, tetapi tidak berjaya sebelum menarik tangan anak dan mengugut mahu membunuh kami berdua,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Dia yang juga adik kepada Ketua Biro Bernama Perak, Muna Khalid berkata, dalam keadaan cemas itu dia merayu supaya lelaki berkenaan melepaskan dia dan anak.
Mengalah dengan rayuan itu, lelaki berbadan kurus berusia 20-an itu kemudian memberhentikan kenderaan di tengah jalan sebelum menolak mangsa dan anaknya keluar.

Bagaimanapun, Nurul Izzah menyifatkan tindakan lelaki itu tidak bijak dan kemungkinan masih baru dalam ‘bidang’ berkenaan kerana tidak tahu cara membuka kunci kereta.
Lelaki itu juga, katanya, dilihat panik dengan menekan semua butang yang ada sebelum pintu itu dapat dibuka.

Sementara itu, suami mangsa, Musyrif Abu Bakar, 29, yang menyedari kejadian bertindak mencari isterinya dengan bantuan orang ramai yang melihat kejadian itu sebelum menemui anak dan isterinya ditinggalkan 500 meter dari lokasi kejadian.

Musyrif berkata, dia bersyukur kerana isteri dan anaknya selamat walaupun kereta Proton Pesona warna gangsa yang baru dibeli tahun lalu hilang.

Turut dilarikan wang tunai RM200 bersama barangan keperluan hari raya.

Berikutan kejadian itu, laporan dibuat di Balai Polis Kepala Batas. “Seorang rakan memberitahu ada terlihat kereta saya di sekitar Sungai Dua kira-kira jam 6 petang hari kejadian, tetapi sehingga kini kereta itu masih belum ditemui,” katanya yang menyifatkan kejadian itu sebagai pengajaran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan masih lagi dijalankan.

Etnik Rohingya: 'Kami tidak akan lupakan Arakan'


Abib Syah Hassan Shah
Abib Syah Hassan Shah
Mohamad Sahfi Habibullah
Mohamad Sahfi Habibullah
SENAI – "Walaupun di mana kami berada, tidak sesekali akan melupakan Arakan."
"Kami bersyukur dilayan baik di sini,” kata seorang pelarian Rohingya, Abib Syah Hassan Shah yang tinggal di selatan Semenanjung ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.

Abib yang berusia 33 tahun telah menjadi pelarian sejak berumur lapan tahun lagi. Terpisah dengan ibu bapa dan adik-beradiknya selepas kampung halamannya menjadi sasaran junta tentera negara itu.

Menurut Abib, walaupun ketika itu dia masih kecil, namun atas bantuan penduduk kampungnya yang turut melarikan diri, telah memasuki Thailand sebelum ke Malaysia, seterusnya mendapat perlindungan di bawah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

 
“Ketika melarikan diri, saya sebatang kara kerana terpisah dengan keluarga. Saya kemudiannya mendapat khabar bahawa kedua ibu bapa saya sudah berada di Malaysia membuatkan saya nekad untuk mencari mereka dengan bantuan kenalan yang berada di Kuala Lumpur.
“Dua tahun saya mencari akhirnya saya berjumpa mereka. Kami bersyukur setelah lama terpisah namun masih mampu bertemu semula.
"Kini lebih 20 tahun kami berada di Malaysia dan tidak pernah pulang ke Arakan,” katanya.
Mengimbas sambutan Aidilfitri di Arakan, Abib mengakui ia tidak semeriah di negara ini.
Mereka menyambutnya secara sederhana, namun tetap memasak makanan tradisi Rohingya seperti 'ludisida' dan 'cemai’.
“Pada pagi Aidilfitri, kami juga berkesempatan menziarahi kediaman penduduk kampung dan berjalan beramai-ramai.
"Namun disebabkan peperangan, kami perlu sentiasa berjaga-jaga, tidak seperti di sini, kita bebas untuk ke mana-mana sahaja," ujarnya.
Bagi, Abdul Rahim Abu Hassan, 34, berkata, sepanjang 10 tahun berada di negara ini, dia mengakui begitu merindukan kampung halamannya di Arakan.
"Disebabkan pergolakan yang tidak berkesudahan, saya terpaksa melupakan hasratnya itu.
“Sewaktu saya masih kecil, pergolakan tidak seteruk sekarang. Apabila berakhirnya Ramadan, penduduk kampung akan bergotong–royong menyembelih lembu dan memasak kari daging untuk dimakan bersama ludisida dan cemai.
"Tiada kuih raya dihidangkan kepada tetamu seperti di sini,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Shafi Habibullah, 52, mengakui kagum dengan keamanan yang dikecapi di negara ini.
“Saya telah berada di Malaysia dan mendapat perlindungan UNHCR sejak 28 tahun lalu.
"Dalam tempoh itu, saya tidak pernah kembali di Arakan, namun tetap menghubungi kenalan dan saudara mara di sana.
"Paling menyedihkan apabila ada adik-beradik dan keluarga saya terbunuh dalam pergolakan itu,” katanya.

Mendapat hidayah semasa 'mati'


Mendapat hidayah semasa mati
Mohd Fadhil menceritakan kisah ‘luar biasa’ yang membawa kepada pengislamannya sejak 12 tahun lalu.
KUANTAN - “Saya benar-benar terkejut apabila ahli keluarga memberitahu bahawa saya ‘sudah mati’ malah rekod perubatan tertera pengesahan itu,” kata Chow King Kong atau Mohd Fadil Chow Abdullah, 38, salah seorang mangsa kemalangan maut yang meragut tiga nyawa di kawasan Perindustrian Gebeng dekat sini, 14 tahun lalu.
Katanya, ALLAH Maha Berkuasa, ketika persiapanmenuntut dan membawa pulang mayatnya sudah dilakukan keluarga, tiba-tiba mereka dikejutkan kejadian luar biasa apabila mayat terbaring kaku itu kembali bernyawa.
“Saya disahkan ‘kembali sedar’ dan ambil masa kira-kira lima tahun untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan akibat kemalangan itu,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis anjuran Yayasan Pahang bersama Persatuan Cina Muslim Pahang (MACMA) dan Pusat Perkembangan Tamadun Masyarakat Asli (Petama) di sini, kelmarin.
Mohd Fadhil berkata, dia bersyukur kerana mendapat peluang kedua bagi membolehkan dia memperbetulkan perjalanan hidupnya.
“Ternyata ada rahmat di sebalik kemalangan yang ‘meragut’ nyawa saya itu kerana di sebalik dugaan itulah ALLAH memilih King Kong menerima hidayah-Nya,” kata bapa kepada empat anak ini.
Mohd Fadhil mengakui, di saat nyawanya berada di penghujung, seorang lelaki berjubah dan bersongkok putih dengan bau harum mendampinginya sambil perdengarkan bacaan ayat suci al-Quran di telinga.
“Kehadiran ‘lelaki’ itu beri satu perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata kerana saya bukan Islam dan peristiwa itu berlaku ketika saya 'koma',” katanya.
Menurutnya, kejadian itu buka pintu hatinya memahami Islam dan seterusnya ambil keputusan ‘berhijrah’ sebagai Islam dua tahun selepas peristiwa itu pada usia 26 tahun.
“Selepas memeluk Islam, jiwa dan hati saya semakin tenteram. Saya banyak belajar daripada isteri, Salamah Mahmud, 32, yang sentiasa beri perangsang dan nasihat bagi bina semula  kekuatan.