Pages

Monday, April 1, 2013

Wanita dedah kisah dijaga monyet



Marina Chapman menunjukkan cara dia tidur di dalam hutan ketika dijaga sekumpulan monyet selepas diculik sekitar tahun 1950-an. - Agensi
YORKSHIRE 31 Mac - Seorang suri rumah di sini mendedahkan pengalamannya menjadi 'gadis Tarzan' ketika kecil selepas diculik daripada keluarganya dan dibuang ke dalam hutan Colombia.
Marina Chapman, dalam buku nukilannya, The Girl With No Name: The Incredible True Story of the Girl Raised by Monkeys, yang disiarkan secara bersiri oleh akhbar The Mail, menceritakan bagaimana sekumpulan monyet jenis capuchin menjaganya di dalam hutan selama lima tahun selepas dia ditinggalkan di hutan itu ketika berusia empat tahun.
Menurutnya, kumpulan monyet itu mengajarnya kelangsungan hidup dalam hutan termasuk mencari makanan, berkomunikasi, memanjat dari satu dahan ke satu dahan dan tidur di atas pokok.
"Semuanya berlaku dengan pantas sekitar tahun 1950-an. Saya melihat lelaki berkulit hitam memegang kain putih dan kemudian saya terbau bahan kimia yang sangat kuat. Selepas itu saya tidak lagi sedar apa yang berlaku," katanya.
Selepas terjaga, Chapman mendapati dirinya berada di dalam sebuah trak bersama beberapa kanak-kanak lain sebelum dibuang ke dalam hutan oleh lelaki yang tidak dikenali.
Pagi kedua berada di dalam hutan, dia terjaga dan berasa sangat lapar, namun berasa terkejut selepas mendapati sekumpulan monyet mengelilinginya.
Pada mulanya kumpulan monyet itu melihatnya dalam keadaan pelik, namun haiwan itu tidak menyerang, tetapi mendekati dirinya.
Disebabkan monyet tersebut memiliki makanan, Chapman sedar dia perlu mengikuti cara haiwan itu untuk terus hidup atau dia akan mati kerana kelaparan.
"Hari demi hari saya menunggu ibu bapa saya datang untuk menyelamatkan saya, namun mereka tidak muncul. Harapan saya semakin lama semakin hilang, malah saya berasa selesa bersama kumpulan monyet itu," katanya.
Selepas beberapa tahun di dalam hutan, dia mula berani meneroka kawasan lebih jauh daripada kebiasaannya sehingga bertemu dengan kumpulan manusia yang menghuni pinggir hutan dan akhirnya tinggal bersama keluarga tersebut.
Chapman mengakui dia mempelajari banyak perkara di dalam hutan, terutama sekali mengenai kehidupan berkeluarga, kasih sayang dan perhatian. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130401/lu_08/Wanita-dedah-kisah-dijaga-monyet#ixzz2PBw1wtMM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mufti gesa wanita Libya disekat kahwin lelaki asing



Tripoli: Mufti Besar Libya menggesa pihak berkuasa mengharamkan wanita negara itu berkahwin dengan warga asing walaupun mereka beragama Islam dan keturunan Arab.

Sheikh Sadeq Al-Gharian mengemukakan cadangan itu atas alasan keselamatan.


Menurutnya, beliau menerima banyak aduan bahawa lelaki Syiah dan Druze dari Syria dan Iran mengambil kesempatan terhadap kelonggaran sistem keselamatan di Libya.

Negara Islam Sunni seperti Libya amat sensitif dengan kehadiran golongan Syiah dalam masyarakat mereka menerusi pelbagai cara, termasuk perkahwinan dan pelancongan.


Awal bulan ini, pendakwah Mesir Safwat Hijazi menyuarakan bantahan terhadap persetujuan kerajaan negara itu untuk meningkatkan industri pelancongan dengan Iran.


Beliau meluahkan kebimbangan bahawa rejim Ayatollah di Teheran mungkin menghantar pendakwah Syiah yang menyamar sebagai pelancong.

Safwat memberitahu Al-Arabiya dalam satu wawancara bahawa sejak revolusi Iran, ulama Syiah negara itu berusaha untuk menyebarkan fahaman aliran itu ke luar negara terutama di kalangan masyarakat Sunni.


Di Libya, gesaan mufti besar itu yang jika dilaksanakan kerajaan akan menjadi satu lagi halangan kepada hak wanita selepas era Gaddafi.

Februari lalu, Dewan Perlembagaan Mahkamah Agung menyekat poligami selepas ia memansuhkan pindaan lama yang mensyaratkan lelaki untuk mendapatkan persetujuan isteri pertama untuk berkahwin lagi. - Al-Arabiya

Senyuman dalam rahim



London: Imej kabur pada skrin hospital adalah gambar pertama untuk kebanyakan bakal ibu bapa melihat anak mereka.

Bagaimanapun, perisian pengimejan terkini mampu untuk mempamerkan janin dengan maklumat yang lebih menakjubkan.


Perisian itu menjalankan pengimbasan ultra bunyi 3D konvensional dan menambah warna, tekstur kulit, pencahayaan dan bayangan. Teknologi itu menghasilkan imej yang sungguh jelas dan membenarkan ibu bapa melihat wajah anak mereka sebelum ia dilahirkan.

Terdapat juga versi 4D yang bermakna ibu bapa boleh melihat anak mereka tersenyum dan menendang dalam perut secara langsung. Ia boleh juga dirakam dan dijadikan dalam bentuk DVD.


Perisian itu membenarkan doktor mengesan masalah pada janin lebih pantas daripada sebelum ini.


Perisian itu dihasilkan oleh Dr Bernard Benoit dari Hospital Princes Grace, Monaco yang terkenal di seluruh dunia kerana komitmennya memperkenalkan teknologi imbasan ultra bunyi yang inovatif.

Foto
FOTO jelas janin membolehkan ibu bapa melihat wajah bayi mereka sebelum dilahirkan.
Foto
PENGIMEJAN terhasil dengan penambahan warna, tekstur kulit dan bayangan imbasan 3D konvensional.
Beliau juga pakar dalam mengesan kecacatan pada janin pada peringkat awal kehamilan. - Daily Mail

Anak lembu berkaki lima di AS




GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan seekor anak lembu yang mempunyai kaki kelima di atas badannya di ladang milik Harmel di Burton, Texas.


BURTON, Texas - Seekor anak lembu yang berkaki lima dilahirkan di ladang milik Charles Harmel di sini pada 9 Mac lalu.
Seorang pakar pembedahan haiwan, Dr. Lee Panko kemudian membuat pembedahan bagi membuang kaki kelima itu pada Selasa lalu.
Kaki kelima itu terdapat di atas badan dekat kepala haiwan tersebut.
Menurut Panko dari Hospital Veterinar Brenham di Brenham, Amerika Syarikat (AS), ia merupakan kejadian yang jarang berlaku.
Menurutnya, dia tidak pernah menyaksikan anak lembu berkaki lima itu sebelum ini. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2PA2PlxR9 
Hakcipta terpelihara 

Album The Beatles dilelong AS$290,500




GAMBAR fail menunjukkan salinan album kumpulan The Beatles yang berjudul Sgt. Pepper's Lonely Hearts Club.- AP


LOS ANGELES - Sebuah salinan album The Beatles yang jarang ditemui dilelong pada harga AS$290,500 (RM898,284), lapor portal berita The Hollywood Reporter.
Album tersebut berjudul "Sgt. Pepper's Lonely Hearts Club Band mempunyai tandatangan empat anggota kumpulan berkenaan.
Ia dibeli kelmarin oleh seorang pembeli yang identitinya tidak didedahkan.
Lelongan itu dibuat oleh firma Heritage Auctions yang berpangkalan di Dallas.
Menurut portal itu, album itu sebelum ini dijangka dilelong pada harga hanya AS$30,000 (RM92,766).
Ia dipercayai ditandatangani oleh empat anggota kumpulan itu pada kulit album tersebut pada Jun 1967.
Menurut portal itu, sebelum ini kulit album Meet the Beatles dilelong pada harga AS$150,000 (RM463,830). - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2PA0i9NBj 
Hakcipta terpelihara