NEW DELHI 10 Ogos - Kebiasaannya duit pencen akan digunakan untuk menampung kehidupan apabila bersara, tetapi berbeza dengan seorang warga emas di India, yang sanggup menggunakan wang pencen untuk membaiki lebih 1,000 jalan yang berlopak di kampung halamannya di Hyderabad.
Lebih mengagumkan, Gangadhara Tilak Katnam yang dikenali sebagai ‘doktor jalan’, sanggup menghabiskan masa meronda pada setiap hari untuk mencari jalan yang berlopak dan membaikinya sendiri.
Menurut portal Oddity Central, lelaki berusia 66 tahun itu memulakan misi murni tersebut sejak tahun 2011 dengan membawa empat guni kosong bagi mengumpulkan bahan terbuang termasuk tar untuk digunakan menampal jalan berlubang di seluruh bandar.
Menurut bekas pekerja syarikat Kereta Api South Central itu, dia bersara pada Oktober 2008 dan berehat selama setahun selain berkunjung ke Amerika Syarikat (AS) untuk menziarahi anaknya pada 2009 sebelum pulang semula ke Hydershakote di Hyderabad pada 2010 untuk bekerja sebagai perunding agensi perisian komputer.
Jelasnya, pada hari pertama ke pejabat, kereta yang dipandunya terlanggar lopak sehingga menyebabkan lumpur terpercik, terkena kepada seorang murid sekolah mengakibatkan baju kanak-kanak itu kotor dan kejadian sama berulang beberapa kali.
“Kemudian satu kemalangan yang berlaku di depan mata saya di Langer House apabila sebuah bas merempuh beca tiga roda akibat terlanggar lopak, menyebabkan seorang mangsa terbunuh.
“Insiden mengerikan itu memberi kesedaran kepada saya untuk membaiki sendiri jalan yang rosak bagi mengelakkan lebih banyak kemalangan maut berulang,” katanya.
Pada awalnya, Majlis Perbandaran Greater Hyderabad (GHMC) tidak menggalakkan Katnam memperbaiki jalan kerana mereka mampu menguruskan masalah itu, tetapi terpaksa akur dengan kesungguhan lelaki tersebut sehingga mereka menyediakan sumber dan bahan membaiki jalan.
Malah, Katnam turut mempunyai surat daripada Kementerian Perumahan yang memberi kebenaran kepadanya melakukan kerja-kerja pembaikan jalan bagi mengelakkan salah faham kepada pihak polis jika curiga dengan peralatan yang dibawanya.
“Saya mendapat pencen sebanyak 20,000 rupee (RM1,228) dan menggunakan kira-kira 25,000 rupee (RM1,536) pada setiap bulan untuk membaiki jalan, tetapi selepas mendapat bantuan GHMC, kos berkurangan kepada 15,000 rupee (RM921),” katanya.