Pages

Tuesday, January 8, 2013

Bilionair cadang bina penempatan di Marikh




IMEJ yang dirakamkan kenderaan robotik Curiosity milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan menunjukkan sebuah kawasan di Marikh pada 23 Ogos tahun lalu.


NEW YORK - Bilionair yang merupakan pengasas sistem pembayaran internet, PayPal merancang membina penempatan masa depan di planet Marikh untuk beribu-ribu penjelajah angkasa lepas, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Bilionair berkenaan, Elon Musk merancang membina sebuah bandar di planet itu untuk 80,000 penjelajah.
Musk, 41, memiliki roket Falcon 9 yang digunakan untuk membawa kargo Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa.
Tamadun baharu itu kelak akan dibekalkan dengan teknologi canggih dan terhad kepada golongan yang suka memakan sayur-sayuran.
Bercakap kepada Persatuan Aeronautik Diraja, usahawan tersebut berkata, beliau telah menunggu selama 10 tahun untuk berkongsi visi tersebut.
"Adalah tidak munasabah kerana tiada roket, tiada prasarana dan NASA yang mendominasi penjelajahan angkasa lepas tidak merancang untuk meneroka Marikh.
"Namun, dengan usaha saya dan ramai lagi usahawan sektor swasta, misi itu semakin hampir menjadi kenyataan," katanya.
"Di Marikh, anda boleh memulakan sebuah tamadun baharu," tambah Musk.
Beliau yang juga seorang jurutera pernah bercadang untuk menghantar sebuah roket ke Marikh.
Roket tersebut akan membawa beberapa suka-relawan dengan bayaran £300,000 (RM1.4 juta) seorang. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2HKqKfrt0 
Hakcipta terpelihara 

Penduduk pakai kostum pelik di Silio


SEORANG lelaki memakai kostum seperti pokok pada Festival Vijanera di Silio kelmarin.


SILIO, Sepanyol - Beberapa orang lelaki memakai kostum pelik yang menyebabkan sebahagian mereka kelihatan seperti pokok pada Festival Vijanera di Silio, utara negara ini kelmarin.
Terdapat juga penduduk yang memakai topeng muka, kulit haiwan dan pakaian yang berwarna cerah pada festival itu.
Ia merupakan festival pertama diadakan di Eropah pada awal tahun ini.
Festival tersebut berasal dari era empayar Rom.
Muka penduduk yang menyertai festival itu diwarnakan hitam dengan kepercayaan ia akan dapat mengelak kedatangan roh jahat. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2HKpbAwLm 
Hakcipta terpelihara 

Imej sotong gergasi yang dirakam di Lautan Pasifik didedahkan saintis




IMEJ yang disiarkan pihak stesen televisyen NHK dan Discovery Channel semalam menunjukkan sotong gergasi di dalam laut dekat Kepulauan Ogasawara, Jepun.


TOKYO - Beberapa saintis menyatakan mereka berjaya merakamkan gambar seekor sotong gergasi sepanjang kira-kira lapan meter di dasar Lautan Pasifik.
Pendedahan itu dibuat semalam selepas pihak Muzium Sains Kebangsaan Jepun berjaya membuat penggambaran haiwan laut dalam itu di habitat semula jadi sotong berkenaan buat kali pertama.
Ia merupakan hasil kerjasama dengan stesen televisyen NHK dan saluran Discovery Channel.
Para saintis itu menemui sotong tersebut pada kedalaman 630 meter dengan menggunakan sebuah kapal selam pada Julai tahun lalu sekitar 15 kilometer ke timur Pulau Chichi di utara Lautan Pasifik.
Penyelidik muzium tersebut, Tsunemi Kubodera berkata, pasukan penyelidikannya mengekori sotong besar itu pada kedalaman 900 meter ketika haiwan berkenaan menyelam jauh ke dasar lautan.
Rakaman stesen televisyen NHK menunjukkan haiwan berwarna perak dan bermata hitam besar itu berenang melawan arus laut dengan belalainya melilit umpan sotong.
"Haiwan itu bersinar dan amat cantik," kata Kubodera.
Sebelum ini, Kubodera hanya merakamkan gambar seekor sotong raksasa yang ditangkap dan dinaikkan ke dalam botnya pada tahun 2006. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2HKpmlhr8 
Hakcipta terpelihara