Pages

Friday, August 19, 2011

Pemberontak, askar Libya tempur di loji minyak


KAMI MENANG: Wanita-wanita ini meraikan kemenangan pemisah Libya dalam pertempuran baru-baru ini dan tentangan mereka terhadap rejim Gaddafi sejak enam bulan lalu di bandar Benghazi, Libya, lewat kelmarin. -- Foto AP

ZAWIYAH: Kumpulan pemisah di barat dan timur ibu kota Libya bertempur dengan tentera yang taat kepada pemimpin negara itu, Encik Muammar Gaddafi, untuk menguasai kemudahan minyak yang strategik.
Amerika Syarikat juga telah mengerahkan dua lagi pesawat Predatornya bagi operasi pemantauan terhadap Libya, kata seorang pegawai kepada agensi Reuters, lewat kelmarin, sedang tentera Encik Gaddafi menghadapi tekanan yang belum pernah dialaminya sebelum ini.Pesawat-pesawat itu tiba awal minggu ini, kata pegawai itu, yang bercakap dengan syarat namanya tidak didedahkan.Tidak jelas dengan segera berapa banyak pesawat Amerika kini dikerahkan dalam misi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Libya itu.Di Zawiyah, kira-kira 50 kilometer ke barat Tripoli, para pemisah menyerang sebuah loji penapisan minyak cuba mengusir saki baki tentera Encik Gaddafi dan mengukuhkan penguasaan mereka di sekitar ibu kota Libya itu.Seorang jurucakap kumpulan pemisah berkata satu saluran paip ke Tripoli telah terputus. Sejauh ini, tidak ada berita mengenai hasil serangan yang mereka lakukan pada malam hari itu.Di Brega, di bahagian timur Libya, kumpulan para pembantah itu berkata mereka telah mengalami 18 kematian dan 33 lagi cedera dalam pertempuran yang berlaku pada Selasa lalu dan kelmarin, dalam usaha mereka untuk mengusir tentera Encik Gaddafi dari pelabuhan dan loji penapisan minyak itu.Sejumah 15 orang anggota pemisah terbunuh pada Selasa lalu dan tiga lagi kelmarin, kata jurucakap pemisah, Encik Mohammad Zawawi.Stesen televisyen Libya kelmarin menunjukkan rakaman video para penyokong Encik Gaddafi di sebuah terminal di Brega sambil melaungkan berulang kali nama pemimpin mereka itu.Selepas berkuasa selama 41 tahun, Encik Gaddafi, 69 tahun, kelihatan semakin terasing.Tentera pemisah kini semakin hampir ke barat, selatan dan timur, menguasai kawasan sekeliling kubu beliau di Tripoli, di kawasan pantai Laut Mediterannian.Namun, setakat ini, tiada sesiapa yang tahu di mana Encik Gaddafi berada. -- Reuters.

Penuntut tahun akhir perubatan rentung


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mayat penuntut yang rentung dari Perodua Myvi yang terbakar akibat kemalangan di Kilometer 7.2, Jalan Kangar-Alor Setar di Kangar, kelmarin.




KANGAR 18 Ogos - Seorang penuntut tahun akhir kursus perubatan Allianze College of Medical Sciences (ACMS) rentung selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan sebelum terbakar di Kilometer 7, Jalan Kangar-Alor Setar, Kedah dekat Kampung Bohor Mali di sini, semalam.
Ketika kejadian pukul 7.50 petang, mangsa, Mohammad Danial Zulkifli, 24, yang memandu kereta Perodua Myvi dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah ke Kangar, Perlis.
Pegawai Turus Trafik Perlis, Asisten Supritendan Rosli Yahaya berkata, mangsa difahamkan tiba-tiba membuat pusingan U di kawasan itu sebelum dirempuh oleh sebuah kereta Toyota Corolla.
"Kereta Toyota Corolla itu datang dari arah yang sama dan tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta mangsa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua kereta tersebut terbakar, namun pemandu Toyota Corolla, Lim Tai Eng, 58, seorang peniaga dari Jalan Raja Syed Alwi di sini, sempat menyelamatkan diri.
Katanya, Mohammad Danial yang berasal dari Presint 9, Putrajaya gagal menyelamatkan diri akibat tersepit.
"Tai Eng yang patah bahu kanan dan luka di seluruh badan dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah untuk rawatan," ujar beliau.-utusan

Fanatik Kristian Norway bina bom lebih besar




Polis Norway mengiringi Anders Behring Breivik (kanan) ke Pulau Utoeya pada 13 Ogos lalu. - REUTERs


OSLO 18 Ogos - Fanatik Kristian bersenjata yang mengaku melakukan serangan berkembar di Norway, Anders Behring Breivik, 32, membina bom lebih besar berbanding yang digunakan semasa letupan di kompleks pentadbiran daerah Oslo pada 22 Julai lalu, lapor stesen NRKsemalam.
Memetik sumber ketenteraan yang enggan dikenali, NRK melaporkan bom seberat satu hingga 1.5 tan dan sedia untuk diletupkan itu ditemui di ladang yang disewa Breivik, kira-kira 140 kilometer di utara Oslo.
Laporan tersebut turut membandingkan penemuan bom itu dengan letupan bom kereta yang digunakan semasa hari serangan di pekarangan pejabat kerajaan di Oslo yang mengorbankan lapan nyawa.
Menurut pakar, bom pada hari serangan hanya seberat 950 gram.
Jurucakap polis Oslo, Roar Hanssen di Twitter berkata, turut ditemui di ladang tersebut adalah baja telah diubah suai dalam kuantiti yang banyak.
Polis pada 27 Julai lalu menyatakan, pihaknya telah memusnahkan bahan letupan yang disimpan di sebuah ladang terpencil, tetapi tidak memperincikan kuantiti dan keadaan bom semasa ditemui.
Breivik, pengganas Kristian yang merancang serangan itu selama bertahun-tahun, menyewa ladang terbabit beberapa bulan sebelum serangan dilancarkan, kononnya untuk menanam sayur-sayuran. - AFP, UTUSAN

Asyik hingga hilang 4 jari

HANCUR...Ngah  menunjukkan tangannya dibalut selepas pembedahan.
HANCUR...Ngah menunjukkan tangannya dibalut selepas pembedahan.
KUALA TERENGGANU: “Itulah detik paling menakutkan sepanjang hidup saya apabila melihat empat jari tangan kanan perlahan-lahan dimamah mesin tebu sehingga darah memercik ke serata tempat,” kata penjual air tebu, Ngah Ismail, 69, ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.
Kejadian yang berlaku di gerai air tebu milik mangsa pada jam 6.30 petang, 10 Ogos lalu itu menyebabkan empat jari tangan kanannya hancur dan dia terpaksa dikejarkan ke HSNZ untuk rawatan.
Ngah yang menetap di Kampung Paloh Sungai Kiat, di sini, berkata, sebelum kejadian dia memulakan operasi perniagaannya di hadapan rumahnya pada jam 4.30 petang.

“Memandangkan mesin tebu rosak, menantu menghadiahkan mesin tebu baru kepada saya dua hari sebelum kejadian itu. Mesin tebu itu lebih cepat dan lancar berbanding mesin tebu lama.


“Ketika asyik memasukkan tebu ke dalam mesin sambil dibantu dua anak, tiba-tiba jari saya berasa sakit dan pedih sebelum menyedari ia dimamah mesin tebu.hmetro

Lelaki derma buah pinggang dibayar RM40,000

JEDDAH: Seorang lelaki Arab Saudi yang terpaksa menjual buah pinggangnya kerana kemiskinan dibayar 50,000 riyal (RM39,763) selepas tertunda, kata satu sumber, semalam.
“Pembayaran kepada penderma buah pinggang sering tertunda. Kes penangguhan yang mengaitkan penderma buah pinggang, Walid Al-Ghamdi disebabkan oleh masalah birokrasi,” kata pegawai perubatan Hospital Raja Fahd di Jeddah kepada Arab News. Pegawai itu menafikan sebarang kecuaian membabitkan kakitangan perubatan di hospital itu menjadi punca pembayaran tertunda.

Dia juga menambah pembayaran kepada penderma buah pinggang itu bukan harga sebenar organ itu tetapi sebagai amalan kebajikan dan tanda terima kasih. Kerajaan Saudi memberi perhatian khusus kepada pesakit buah pinggang kerana bilangan yang memerlukan rawatan semakin meningkat.-hmetro

Populasi dunia cecah 7 bilion

PARIS: Populasi dunia akan mencecah tujuh bilion hujung tahun ini dengan peningkatan penduduk di Afrika mengatasi kadar kematian di tempat lain.
Kajian terbaru yang dilakukan Institut Kebangsaan Bagi Kajian Demografi (INED) Perancis juga meramalkan peningkatan berterusan keseluruhan populasi sehingga jumlah itu stabil antara sembilan hingga 10 bilion menjelang akhir abad ini.

Daripada enam bilion penduduk, angka yang dianggarkan pada 1999, jurang antara kadar kelahiran dunia dengan kadar kematian meningkatkan jumlah populasi kepada tujuh bilion dalam masa 12 tahun saja.

INED menjangka jumlah penduduk akan bertambah kepada lapan bilion dalam masa 14 tahun lagi sebelum jumlah itu stabil, menurut kajian yang turut menggabungkan penyelidikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Bank Dunia dan beberapa institusi lain.

Dari sudut sejarah, peningkatan populasi global meningkat sejak abad ke-19.

Menurut INED, kini hanya populasi di tujuh negara membentuk separuh daripada jumlah penduduk dunia menyebabkan peralihan demografi mereka akan memberi kesan yang besar. China berada di tempat teratas dengan 1.33 bilion penduduk sementara India di tempat kedua dengan 1.17 bilion.

Lima negara lain, mengikut turutan, ialah Amerika Syarikat, Indonesia, Brazil, Pakistan dan Nigeria. INED juga meramalkan India akan menjadi negara paling ramai penduduk antara sekarang hingga 2050. - AFP, hmetro

Pemandu nyaris maut lori rempuh tembok bangunan

BELUM TIBA MASA...pasukan penyelamat memerhatikan lori yang tergantung di tingkat dua sebuah bangunan di New York, semalam.
BELUM TIBA MASA...pasukan penyelamat memerhatikan lori yang tergantung di tingkat dua sebuah bangunan di New York, semalam.
NEW YORK: Seorang pemandu lori terpaksa diselamatkan dengan tangga selepas lori dipandunya merempuh dinding bangunan yang sedang diperbaiki, semalam.
Menurut sumber, pemandu terbabit hanya memberhentikan kenderaan itu selepas separuh daripada lori berkenaan terjulur keluar.

Saksi berkata, pemandu terbabit bernasib baik kerana bahagian belakang lori itu tersangkut pada bingkai tingkap dan menghalangnya daripada terhumban dari tingkat dua bangunan berkenaan.

“Saya terdengar bunyi letupan kuat dan terkejut melihat lori itu terkeluar dari bangunan.

“Pemandunya menjerit-jerit panik dan meminta tolong,” katanya.

Selepas diselamatkan anggota bomba, pemandu berusia 56 tahun itu dikejarkan ke hospital untuk dirawat kerana kecederaan di leher dan belakangnya. - TS, bharian

20 hari koma dibuli senior

KOMA...Mat Razarizu terlantar dipercayai akibat dibuli rakan sekelas.
KOMA...Mat Razarizu terlantar dipercayai akibat dibuli rakan sekelas.
GUA MUSANG: “Apa salah adik saya dipukul sehingga koma. Mengapa dia dizalimi begitu teruk sekali,” kata Mat Razarizi Mat Zaki, 21, yang mendakwa adiknya, Mat Razarizu, 14, koma selepas dibuli rakan sekelas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara, Bertam, di sini, 29 Julai lalu.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, Mat Razarizi dari Kampung Bertam Baru, di sini, mendakwa adiknya dipukul, ditumbuk serta dipijak di dada oleh lebih daripada seorang rakan sekelasnya.

Akibatnya, Mat Razarizu mengalami pendarahan dalaman sehingga koma dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu.

Menurutnya, sehari selepas kejadian, adiknya mengadu sakit badan sehingga demam sebelum dibawa ke Pusat Kesihatan Bertam Baru, di sini, untuk rawatan.

Katanya, doktor di situ merujuk adiknya ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, di HGM, keadaan adik semakin teruk apabila tidak boleh makan dan muntah menyebabkan HGM merujuknya ke Hospital Kuala Krai (HKK) pula. Di situ dia terus tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke HRPZII dan terus koma.


“Sebelum tidak sedarkan diri, adik ada memberitahu dia dibuli lebih daripada seorang rakan sekelas apabila dipukul, ditumbuk dan dipijak di dada. Pilu hati saya melihat adik saya dizalimi dan paling menyedihkan dia saya beritahu ketika dibuli, rakan lain termasuk pengawas hanya melihat tanpa memberi pertolongan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. Mat Razarizi yang membuat laporan di Balai Polis Bertam Baru, di sini, beberapa hari selepas kejadian mendakwa, pihak sekolah juga tidak mengambil sebarang tindakan berhubung kejadian itu walaupun dimaklumkan adiknya koma akibat dibuli rakan sekelas sehingga menerima rawatan di ICU HRPZII, dua minggu lalu.



Katanya, pelajar yang membuli adiknya itu dipercayai tinggal di Kampung Jerek di sini dan masih datang ke sekolah seperti biasa kerana tiada tindakan dikenakan. “Kami juga membuat laporan polis selepas kejadian itu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” katanya.
Menurut Mat Razarizi, dia percaya adiknya tiada musuh dengan rakan di sekolah itu kerana baik dan sentiasa memberi tumpuan kepada pelajaran berikutan menyedari keluarganya miskin.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian berkenaan.-bharian

Pertahanan awam sedia



JUTAAN umat Islam berhimpun di depan Masjidilharam sempena Ramadan 
di Makkah, kelmarin.
JUTAAN umat Islam berhimpun di depan Masjidilharam sempena Ramadan di Makkah, kelmarin.

Kawal jemaah di dua masjid 10 Ramadan terakhir

MAKKAH: Ketua Pengarah Pertahanan Awam Arab Saudi, Leftenan Jeneral Saad bin Abdullah Al-Tuwaijri, menegaskan jabatannya bersedia berdepan dengan jutaan jemaah yang memenuhi masjid di Makkah dan Madinah menjelang 10 hari terakhir Ramadan.
Beliau berkata, anggota pertahanan awam ditambah di dua masjid sebanyak 30 peratus untuk menanti kehadiran ramai jemaah dari dalam dan luar negara.
Anggota tambahan diletakkan sebagai bantuan kepada pegawai yang sudah berada dalam kedudukan masing-masing di beberapa bahagian bandar raya berkenaan untuk berdepan sebarang kemungkinan.

“Di Masjidilharam saja, kami akan menempatkan 1,000 anggota tambahan pada 10 terakhir Ramadan. Mereka dilengkapkan dengan peralatan diperlukan untuk sebarang urusan jika diperlukan.

“Masjid Nabi juga akan menerima 1,000 anggota tambahan. Anggota kami akan ditempatkan di banyak bahagian Masjidilharam, termasuk kawasan perluasan dan di laman selain jalan utama ke masjid,” katanya.

Beliau berkata, semua itu menunjukkan usaha Jabatan Pertahanan Awam untuk memastikan keselamatan jemaah.
“Kami akan membuang semua halangan yang menyusahkan penduduk awam dan bertindak tegas dengan sebarang langkah mengambil kesempatan di atas pertambahan jumlah jemaah,” katanya.

Al-Tuwaijri menyifatkan bilangan jemaah yang ramai pada 10 hari terakhir Ramadan sebagai cabaran besar kepada pegawai pertahanan awam selain agensi awam dan persendirian yang datang sebagai tetamu Allah.

Katanya, pegawai pertahanan awam memperoleh banyak pengalaman berurusan dengan situasi berbeza ketika kemuncak Ramadan.

“Kami mengawal aliran jemaah di Masjidilharam untuk mengelak kemungkinan berlakunya tolak menolak ketika kesesakan,” katanya.

Kamera juga dipasang di beberapa bahagian Masjidilharam dan wilayah tengah Makkah untuk mengawasi pergerakan jemaah dari bilik operasi dan bertindak jika diperlukan.

Jabatan Pertahanan Awam menempatkan 9,600 pegawai di Makkah dengan 1,440 peralatan dan 2,000 lagi dengan 400 peralatan. – Agensi , bharian

Wanita dera anak dengan sos panas

 BEAGLEY di dalam mahkamah pada hari pertama perbicaraan kes hukum anak dengan sos di  Anchorage, Alaska, Rabu lalu.
BEAGLEY di dalam mahkamah pada hari pertama perbicaraan kes hukum anak dengan sos di Anchorage, Alaska, Rabu lalu.

Mahkamah siar video cetus kemarahan ramai

ANCHORAGE (Alaska): Juri kelmarin menyaksikan rakaman video seorang wanita memancutkan sos panas ke dalam mulut anak lelaki angkatnya dan membiarkan kanak-kanak itu berdiri di bawah semburan air sejuk yang mencetuskan kemarahan orang ramai di Russia selepas ia disiarkan dalam rancangan bual bicara Dr Phil yang dihoskan Dr Phil McGraw Jessica Beagley, dari Anchorage, dakwa melanggar peraturan dengan mendera kanak-kanak.
Peguam Beagley berkata, anak guamnya berbuat demikian bagi menghukum kanak-kanak berusia tujuh tahun dari Russia itu kerana berkelakuan tidak baik di sekolah dan menipu mengenainya.
Beagley menggunakan 'kaedah luar biasa' kerana cara hukuman tradisional tidak berkesan kepada kanak-kanak itu. - William Ingaldson, Peguam
“Beagley menggunakan ‘kaedah luar biasa’ kerana kaedah hukuman tradisional tidak berkesan kepada kanak-kanak itu,” kata peguam William Ingaldson.

Ingaldson berkata, Beagley tampil dalam rancangan Dr Phil bagi mendapatkan bantuan untuk kanak-kanak itu dan dirinya, Tetapi pihak pendakwa berkata, apa yang Beagley lakukan melampaui batas disiplin ibu bapa dan dianggap penderaan kanak-kanak.

Wanita itu menghantar rakaman video selama sembilan minit yang dibuat pada 21 Oktober 2010 untuk episod ‘Pengakuan Ibu’. Rakaman itu menunjukkan ibu berusia 36 tahun itu bercakap dengan kasar kepada kanak-kanak lelaki di rumah keluarga itu.

“Kenapa kamu menipu saya? Apa yang kamu dapat dengan menipu saya,” katanya kepada kanak-kanak itu yang disiarkan dalam rakaman video itu. Saya akan dapatkan sos panas,” katanya dan kanak-kanak itu mula menangis.
Video itu menunjukkan Beagley mengarahkan kanak-kanak itu memasuki bilik air sebelum memancutkan sos panas dalam mulutnya.

“Jangan meludah. Adakah penipuan sepatutnya keluar dari mulut kamu,” jerit Beagley sambil mencengkam lengan kanak-kanak itu.

Beliau kemudian meletakkan kanak-kanak itu di bawah semburan air sejuk, tetapi video itu tidak menunjukkan aksi, hanya jeritan kanak-kanak itu kedengaran.
Penonton menghubungi polis Anchorage selepas episod Dr Phil disiarkan November lalu.

Beagley dan suaminya yang juga seorang polis Anchorage, cuba memberi dua anak yatim peluang kehidupan lebih baik, kata Ingaldson memberitahu juri. – Agensi , bharian

Syria henti operasi tentera

GAMBAR agensi berita Syria, SANA menunjukkan pasukan tentera negara itu meninggalkan bandar Deir Zor. Gambar kecil, Bashar al-Assad.
GAMBAR agensi berita Syria, SANA menunjukkan pasukan tentera negara itu meninggalkan bandar Deir Zor. Gambar kecil, Bashar al-Assad.

Tindakan Presiden sebagai reaksi desakan Setiausaha Agung PBB

NEW YORK: Presiden Syria, Bashar al-Assad, memberitahu Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, kelmarin operasi ketenteraan terhadap penunjuk perasaan di negaranya, sudah dihentikan.
Timbalan jurucakap PBB, Farhan Haq, berkata kenyataan Assad itu dibuat sebagai reaksi kepada desakan Ban dalam perbualan telefon supaya semua tindakan ketenteraan dan penangkapan ditamatkan segera.
“Ban melahirkan kebimbangan berhubung laporan terbaru mengenai pencabulan hak asasi manusia berterusan dan penggunaan kuasa tentera oleh pasukan keselamatan Syria terhadap penduduk awam di seluruh negara itu,” kata Haq dalam kenyataan merujuk kepada serangan ke atas bandar Lattakia, yang menyaksikan beribu-ribu pelarian Palestin terpaksa melarikan diri.

Ban menegaskan, semua tindakan ketenteraan dan penangkapan mesti dihentikan segera. Presiden Assad berkata operasi tentera dan polis sudah dihentikan. Tiada kenyataan daripada PBB atau kumpulan hak asasi berhubung dakwaan Assad.

Aktivis hak asasi menyatakan kira-kira 2,000 orang maut berikutan tindakan keras kerajaan sejak bantahan bermula pertengahan Mac lalu.

Assad menjanjikan pembaharuan tetapi kerajaan Barat berkata cuma sedikit yang dilakukan.
“Ban mengulangi desakan supaya siasatan bebas diadakan mengenai semua pembunuhan yang dilaporkan dan tindakan ganas, serta kebenaran masuk kepada media,” katanya.

Ban menggesa Syria memberikan kerjasama penuh kepada Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia yang cuba melancarkan siasatan mengenai tindakan Assad.
Beliau turut meminta Assad melancarkan proses pembaharuan yang aman dan dipercayai.

PBB berkata Assad menghitung pembaharuan yang akan dilakukan dalam masa beberapa bulan akan datang termasuk rombakan Perlembagaan dan pilihan raya.
Kata Haq, Ban menegaskan semua itu perlu dijalankan tanpa sebarang campur tangan tentera.

Pemimpin PBB itu juga mengalu-alukan persetujuan Syria menerima misi kemanusiaan PBB. Katanya, misi itu mesti diberi kemasukan tanpa had ke semua kawasan yang terjejas akibat keganasan. – AFP , bharian

Pusat pemulihan dadah terbakar


MOHD. MUZNI menunjukkan cebisan al-Quran yang turut musnah dalam kebakaran di pusat pemulihan dadah, Jitra semalam.

JITRA – Seramai 23 penghuni pusat pemulihan dadah yang baru selesai solat tarawih di surau Pusat Pemulihan Cahaya Petunjuk di Kampung Kota Mengkuang di sini bertempiaran lari apabila sebuah rumah yang terletak bersebelahan terbakar malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, rumah dua tingkat dengan binaan separuh batu separuh papan yang dijadikan pejabat, asrama dan dapur pusat pemulihan tersebut hangus sama sekali.
Pengurus pusat pemulihan itu, Mohd. Muzni Mohd. Noor, 53, memberitahu, ketika kejadian beliau dan 22 lagi pelatih baru sahaja selesai menunaikan solat tarawih.
“Ketika hendak memulakan zikir, seorang bilal yang hendak ke tandas ternampak api lalu menjerit menyebabkan kami semua bertempiaran lari keluar dari surau.
“Kami nampak rumah sebelah terbakar dan kami sempat memadamkan api serta menutup semua punca elektrik bagi mengelakkan api merebak ke surau,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.
Beliau percaya kebakaran itu berpunca daripada litar pintas.
Kata Mohd. Muzni lagi, pelbagai barangan dan dokumen penting di dalam pejabat serta kelengkapan asrama musnah.-kosmo

Tidak sabar beraya




SHAFIQ AIMAN (kanan) dan Shafiq Haikal yang cedera di muka akibat disimbah asid masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Dua beradik yang menjadi mangsa simbah asid, Shafiq Haikal Mat Safar Zaidi, 13, dan Shafiq Aiman, 10, tidak sabar untuk pulang ke kampung mereka di Felda Jengka 9, Maran, Pahang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Bagaimanapun, dua beradik tersebut yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hampir sebulan lalu mengakui mereka agak malu kepada rakan-rakan di kampung kerana wajah mereka cacat selepas kejadian disimbah asid.
Namun hasrat Shafiq Haikal untuk memakai baju baharu di pagi hari raya dan berjumpa rakan-rakan sambil mengutip duit raya di sekitar kampungnya tetap membara.
“Memang saya tidak sabar hendak balik kampung tetapi saya masih tidak tahu lagi sama ada doktor bagi balik beraya di kampung atau sebaliknya, saya sangat rindu kepada kawan-kawan dan tidak sabar pakai baju raya,” jelasnya ketika ditemui di HKL di sini semalam.
Sebelum itu, Timbalan Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Datuk Abdullah Abu Bakar menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada dua beradik itu bagi meringankan beban keluarga mereka sepanjang menerima rawatan di HKL.
Dalam kejadian 19 Julai lalu, kedua-dua beradik itu cedera parah di beberapa bahagian badan termasuk muka akibat disimbah asid oleh seorang lelaki ketika melalui rumah mereka.
Pada 26 Julai pula, penyimbah asid itu yang juga seorang buruh ladang dihukum penjara lapan tahun dan empat kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Temerloh setelah mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap dua beradik dengan menyimbah cuka getah terhadap kanak-kanak tersebut di Maran.-kosmo

Tragedi baju raya tiga beranak


BEGINILAH keadaan kereta Perodua Viva yang terlibat dalam kemalangan hingga mengakibatkan tiga beranak maut di persimpangan Awana Kijal, Kemaman kelmarin.

KEMAMAN – Tiga beranak menemui ajal dalam keadaan mengerikan apabila mayat kesemua mereka ditemui dalam keadaan renyuk dengan kepala salah seorangnya pecah selepas kereta sewa jenis Perodua Viva yang dinaiki terlibat dalam kemalangan kelmarin.
Kejadian pukul 11 malam di Kilometer 127 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di persimpangan resort Awana Kijal dekat sini itu mengakibatkan Aswari Ariffin, 36; isterinya, Nik Herna Hariany Mokhtar, 28, dan anak tunggal mereka, Muhammad Airell Zulfairy, 4, maut di tempat kejadian.
Seorang lagi penumpang kereta itu, Nik Nor Syafiqah, 10, parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Dia merupakan adik Nik Herna Hariany.
Sebelum kejadian, empat sekeluarga tersebut dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Gong Cengal, Kemasik selepas membeli baju raya di Kuantan, Pahang.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Aswari itu terbabas lalu melanggar penghadang jalan dan tiang elektrik. Kenderaan tersebut kemudian telah memasuki laluan bertentangan dan berpusing beberapa kali sebelum dirempuh sebuah lagi kereta jenis Suzuki Swift.
Pemandu Swift yang dalam perjalanan dari arah Dungun ke Kemaman itu, Ahmad Tajudin Mohd. Arifin, 34, parah dan dirawat di Hospital Kemaman.-kosmo

Tiga militan India ditahan ISA



KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga lelaki warga India di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 kerana disyaki terlibat dalam menyalurkan bantuan logistik kepada sebuah kumpulan militan yang terlibat aktiviti keganasan di India.
Ketiga-tiga yang ditahan itu ialah pengusaha restoran, Amarjit Singh Jasvir Singh, 28, seorang guru muzik, Daljit Singh Ajaib Khalsa, 37, dan kontraktor binaan, Kawal Singh Soundh, 39. Mereka ditahan pada pukul 8 pagi 4 Ogos lalu.
Tiga warga asing itu ditahan berasingan di kawasan Sentul dan Ampang.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, tiga warga asing disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Babbar Khalsa International (BKI) yang berpangkalan di India.
“Siasatan mendapati tiga lelaki itu terlibat memberi bantuan logistik kepada operasi kumpulan BKI.
“Tiga warga asing itu bagaimanapun telah diusir ke negara asal mereka pada Selasa lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Sementara itu, satu sumber keselamatan memberitahu Kosmo!, dua daripada tiga lelaki yang ditahan itu dikehendaki polis Punjab kerana bersubahat dengan kumpulan BKI.-kosmo

Gadis perdaya ibu bapa direman




AZIZAN (kiri) dan Shahrizad ketika datang meminta bantuan mengesan anaknya di pejabat Kosmo! Isnin lalu.


KUALA LUMPUR – Seorang gadis yang berpakat dengan teman lelaki bagi merancang penculikan dirinya sendiri dan meminta wang tebusan RM50,000 daripada keluarganya direman selama empat hari mulai semalam.
Gadis tersebut, Ameerah Asha Azizan, 17, dan teman lelakinya yang dikenali sebagai Shamsul Bukhari, 19, kini ditahan di lokap Balai Polis USJ8, Subang Jaya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, pihaknya mendapat perintah tahanan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi semalam.
Jelasnya, siasatan awal mendapati Ameerah Asha sanggup bersubahat dalam penculikan itu kerana dipercayai dipengaruhi kekasihnya.
“Mereka masih muda dan bertindak demikian (merancang penculikan) semata-mata kerana wang,” katanya ketika dihubungi semalam., kosmo

Ferrari termasuk ke dalam laut




SEBAHAGIAN badan kereta Ferrari termasuk ke dalam laut di Pulau Pag, Croatia baru-baru ini.


ZAGREB, Croatia – Seorang pemilik kereta mewah Ferrari yang selesai menikmati hidangan di sebuah restoran terkejut apabila melihat sebahagian badan kenderaannya itu berada di dalam laut, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Kejadian itu berlaku disebabkan brek sebuah van Renault berwarna putih tidak berfungsi menyebabkan ia berundur dan melanggar kereta Ferrari 360 Spider itu yang berharga £120,000 (RM591,273).
Sebahagian badan kereta itu terjatuh ke dalam laut selepas dilanggar dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini.
Pemandu Ferrari itu meletakkan keretanya di tepi pelabuhan kerana dia mahu makan di sebuah restoran berdekatan.
Seorang komposer, Tibor Szirovicza, 29, sempat merakamkan gambar kejadian yang memalukan itu yang berlaku di Pulau Pag.
Namun, pemandu Ferrari tersebut memiliki sebuah trak tunda dan mengarahkan salah sebuah trak penunda miliknya untuk menunda kereta miliknya itu. – Agensi, kosmo

Insiden unik kapal kargo




SEBAHAGIAN badan kapal kargo terdampar di atas daratan di Pelabuhan Littlehampton, Britain kelmarin.


LITTLEHAMPTON, Britain – Satu operasi dilakukan untuk menarik sebuah kapal kargo yang sebahagian badannya terdampar di daratan sekali gus menghalang laluan masuk ke Pelabuhan Littlehampton di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Kapal kargo berkenaan, Mungo, yang membawa 1,000 tan granit dipercayai hanyut ke daratan selepas mengalami masalah mekanikal.
Seorang pegawal pantai memberitahu Perbadanan Penyiaran British (BBC) bahawa semua empat kru dan dua jurumudi di atas kapal tersebut selamat dalam insiden yang berlaku kelmarin. – Agensi, kosmo

Kereta Lexus tersekat di atas simen



SEBUAH kereta Lexus GS tersekat di atas simen basah di sebuah jalan raya di Houston pada Rabu lalu.


HOUSTON, Amerika Syarikat (AS) – Seorang pemandu wanita terpaksa diselamatkan selepas kereta mewah jenis Lexus GS berharga AS$70,000 (RM208,963) yang dipandunya tersekat di atas simen basah, lapor sebuah akhbar semalam.
Kejadian itu berlaku pada Rabu lalu apabila wanita berkenaan cuba membuat pusingan U dan memasuki jalan yang sedang dibaiki di sini.
Dalam gambar yang disiarkan di Internet, pemandu wanita itu masih berada di dalam kenderaannya semasa insiden tersebut berlaku.
Seorang pengguna Internet menyatakan, pemandu tersebut mungkin sedang menunggu simen itu kering sebelum dia keluar dari kenderaannya kerana tidak mahu kasutnya rosak.
Namun, seorang saksi memberitahu, polis tiba di tempat kejadian selepas dihubungi pekerja-pekerja membaiki jalan.
Menurutnya, anggota polis mengarahkan wanita itu supaya berada di dalam keretanya kerana faktor keselamatan.
“Kereta itu ditarik keluar oleh sebuah trak tunda sekitar 20 minit selepas kereta tersebut tersekat manakala jalan berkenaan dibaiki semula 15 minit kemudian,” kata saksi tersebut. – Agensi, kosmo

Remaja terperangkap di tepi tebing tinggi




EMPAT orang remaja (dalam bulatan) terperangkap di tepi tebing tinggi di Teluk Dunraven, Wales baru-baru ini.


TELUK DUNRAVEN, Wales – Dua remaja lelaki dan dua gadis terlepas daripada maut selepas mereka berjaya diselamatkan dari tebing setinggi 60.96 meter di sini, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Semua remaja berusia 17 tahun itu pada mulanya pergi ke kawasan pantai di Teluk Dunraven dekat Southerndown untuk bersuka ria sempena cuti sekolah.
Mereka kemudian memanjat tebing batu untuk menyanyi. Malangnya, mereka terperangkap di tepi tebing kerana air laut mula pasang.
Mujurlah ada beberapa orang yang terlihat mereka dari arah pantai yang memberitahu pihak keselamatan menyebabkan sebuah helikopter dihantar untuk melakukan operasi menyelamat.
Keempat-empat remaja itu diangkat dengan menggunakan tali ke tempat yang lebih selamat.
Beberapa pegawai keselamatan yang menaiki bot gagal untuk mendekati lokasi tempat keempat-empat remaja berkenaan terperangkap kerana ombak kuat.
Keempat-empat remaja itu dihantar oleh helikopter berkenaan ke kawasan berhampiran. – Agensi, kosmo

Penduduk Jepun pulangkan semula RM246.41 juta

TOKYO – Beberapa penduduk Jepun menyerahkan kepada pihak berkuasa wang tunai yang ditemui mereka berjumlah £50 juta (RM246.41 juta), lapor sebuah akhbar semalam.< Wang itu ditemui oleh beberapa penduduk selepas gempa bumi dan tsunami melanda timur laut negara itu pada 11 Mac lalu.< Sifat jujur rakyat Jepun itu didedahkan oleh media Britain. Sebelum ini sejumlah golongan muda didakwa di mahkamah-mahkamah di Britain ekoran kes kecurian yang berleluasa semasa beberapa bandar utama di negara itu dilanda rusuhan baru- baru ini. Lebih 5,700 peti simpanan yang terdampar di pesisiran pantai telah diserahkan ke balai-balai polis oleh sukarelawan dan petugas penyelamat. Di dalam peti-peti berkenaan, polis menemui sekitar £20 juta (RM98.49 juta) dalam bentuk wang tunai. Polis juga menemui wang tunai berjumlah £600,000 (RM2.95 juta) dalam sebuah peti simpanan tersebut. Menurut polis, hampir semua wang tunai yang ditemui di kawasan-kawasan yang paling teruk terjejas akibat tsunami itu telah dipulangkan kepada pemilknya. Ramai yang menyimpan buku akaun dan dokumen hak tanah bersama nama serta alamat mereka dalam peti simpanan tersebut. – Agensi, kosmo

Isteri ditembak mati semasa berjalan



NASISH NOORANI


BOONTON, Amerika Syarikat (AS) – Polis mengesyaki sepasang suami isteri beragama Islam yang berketurunan Pakistan ditembak semasa sedang menolak kereta sorong anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun di sini merupakan sasaran serangan terancang.
Serangan itu berlaku ketika umat Islam menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.
Dalam kejadian tersebut pada Selasa lalu, si isteri, Nasish Noorani, 27, terbunuh manakala suaminya, Kashif Pervaiz, 26, cedera ditembak sebanyak empat kali.
Kashif menjalani pembedahan di sebuah hospital kelmarin.

POTRET perkahwinan Nasish Noorani dan suaminya, Kashif Pervaiz.


Namun anak mereka tidak ditembak Kashif merupakan pelajar doktor falsafah (Ph-D) di Universiti Harvard dalam bidang kejuruteraan dan seni bina.
“Kes ini masih dalam siasatan dan pendedahan maklumat pada peringkat ini akan menjejaskan siasatan,” kata pendakwa raya Daerah Morris, Robert Bianchi dalam satu kenyataan.
“Berpandukan maklumat yang telah kami peroleh, sasaran tembakan ini telah dirancang dan kejadian ini bukan kes tembakan rambang yang membahayakan nyawa orang ramai,” tambahnya.
Pasangan suami isteri itu berada di rumah saudara perempuan Nooraini di sini untuk berbuka.
Mereka ditembak ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai berbuka puasa.
Laman berita NJ.com melaporkan bahawa lima das tembakan dilepaskan sekitar pukul 11.30 malam waktu tempatan. Noorani ditembak dekat dengan jantungnya manakala suaminya pula ditembak di pergelangan kaki dan bahu.
Polis masih memburu tiga suspek yang terbabit dalam serangan kejam itu. – Agensi, kosmo