Pages

Friday, June 17, 2011

Debu gunung berapi di Chile punca gerhana bulan jadi merah


LONDON: Orang ramai berpeluang menyaksikan gerhana bulan yang menarik malam tadi apabila debu dari gunung berapi di Chile mengubahnya menjadi berwarna kemerahan.
Saintis berkata fenomena khusus - dikenali sebagai gerhana bulan penuh - sering mempamerkan warna tembaga. Namun, tahap warna bergantung pada jumlah debu dan habuk di atmosfera.

Mereka yang gemar merenung bulan bertuah kerana terdapat banyak debu di udara, jadi bulan muncul berwarna jingga atau kemerahan terutama di Asia. Insiden dramatik gerhana bulan penuh paling lama itu sejak 2000 mengubah bulan menjadi kemerahan selama 100 minit ketika gerhana penuh. Namun, rakyat Eropah terlepas peluang untuk melihat peringkat awal gerhana kerana ia muncul sebelum bulan mengambang.
Gerhana itu bermula jam 6.24 petang dan berakhir pada tengah malam tetapi matahari tidak tenggelam di United Kingdom hingga jam 9.19 malam. - DM
myMetro | Debu gunung berapi di Chile punca gerhana bulan jadi merah

China hantar kapal terbesar kawal Spratly


BEIJING: China menghantar satu daripada kapal laut peronda terbesarnya ke Laut China Selatan untuk melindungi hak dan kedaulatannya, lapor media kerajaan, semalam. Langkah itu dijangka meningkatkan ketegangan dengan jirannya ekoran perebutan kawasan perairan yang kaya dengan sumber minyak dan gas.
Kapal laut Haixun 31 milik China itu berlepas dari selatan negara itu kelmarin dan menuju ke Singapura, melalui kumpulan kepulauan Paracel dan Spratly yang menjadi rebutan dengan Vietnam, Filipina dan kerajaan negara lain.

Laporan berita di China melaporkan dengan jelas tujuan kapal itu dihantar ke Laut China Selatan dan ia menimbulkan kebimbangan kepada Filipina.
“Kapal laut peronda terbesar negara kita mengawal Laut China Selatan,” lapor tajuk akhbar kerajaan Beijing Daily. - Reuters
myMetro | China hantar kapal terbesar kawal Spratly

Seif al-Islam cadangkan pilihan raya


ROME: Muammar Gaddafi sedia mengadakan pilihan raya yang diselia komuniti antarabangsa di Libya dalam tempoh tiga bulan, kata anak pemimpin itu, Seif al-Islam, lapor media Itali semalam.
Akhbar Corriere della Sera melaporkan, Seif al-Islam berkata pilihan raya adalah satu-satunya jalan selamat merungkai kekusutan di Libya.

“Pilihan raya yang diselia antarabangsa boleh diadakan dalam tempoh tiga bulan atau selewat-lewatnya akhir tahun ini,” katanya.
Untuk menjamin ketelusan, kata Seif al-Islam, pilihan raya itu boleh dipantau wakil pemerhati antarabangsa.

“Mari kita adakan pilihan raya dengan harapan pihak yang terbaik akan menang,” katanya. Kesatuan Eropah dan Kesatuan Afrika antara pertubuhan dicadangkan Seif al-Islam. - AFP
myMetro | Seif al-Islam cadangkan pilihan raya

Tentera Turki mungkin masuki Syria


ANKARA: Tentera Turki mungkin memasuki Syria bagi mewujudkan zon penampan jika kekacauan di negara terbabit merebak menjadi perang saudara serta mencetuskan krisis pelarian, lapor akhbar semalam.
Menurut wartawan Posta, Mehmet Ali Birand, perang saudara di Syria mungkin memaksa sehingga 200,000 pelarian memasuki Turki.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mungkin campur tangan dan tentera Turki bertanggungjawab menutup sempadan dan mewujudkan satu zon penampan,” katanya.
Kata Mehmet, kemungkinan tindakan itu sangat besar sejak beberapa ketika lalu.

Sementara itu, seorang diplomat berkata, semua kemungkinan dibincangkan bagi menangani krisis di Syria. Sehingga semalam, 8,421 warga Syria melarikan diri ke Turki dan berlindung di bawah khemah disediakan Pertubuhan Bulan Sabit Turki di Hatay. - AFP
myMetro | Tentera Turki mungkin masuki Syria

Hefner gelar Harris 'pengantin lari'


AKTIVIS hak wanita memprotes pembukaan kelab Playboy di London dan tentu gembira dengan tindakan berani Harris.
AKTIVIS hak wanita memprotes pembukaan kelab Playboy di London dan tentu gembira dengan tindakan berani Harris.

LOS ANGELES: Pengasas Playboy, Hugh Hefner, yang ditinggalkan tunangnya menjelang perkahwinan mereka, berkata beliau akan meletakkan stiker 'Pengantin Lari' pada muka depan edisi terbaru majalah itu.

Hefner, 85, kelmarin mengumumkan Crystal Harris, 25, berubah fikiran untuk berkahwin Sabtu lalu di kediaman mewah Playboy di sini.
Apa yang tidak disangka ialah Harris menjadi muka depan edisi Julai Playboy yang mula dijual semalam dan majalah itu merujuknya sebagai ‘Puteri Amerika...Memperkenalkan Puan Crystal Hefner.”
Bagi membetulkan keadaan mengikut etika kewartawanan, Hefner mendedahkan rancangan meletakkan stiker pada muka depan majalah itu.

“Perkembangan terbaru menyebabkan perlu diletak stiker khas pada muka depan edisi Julai. Lihatnya di kedai,” kata Hefner menerusi Twitter.

Jurucakap Playboy berkata, stiker itu diletakkan pada majalah yang dijual di kedai tetapi tidak pada pembeli bulanan kerana mereka sudah mendapatnya lebih awal.

Tidak jelas mengapa pasangan itu berpisah. Hefner pula berkata, mereka tidak bergaduh.
TMZ melaporkan, Harris mahukan elaun mingguan lebih besar selain kerjaya dalam muzik. – Reuters Berita Harian Online | Hefner gelar Harris 'pengantin lari'

Gerhana warna 'darah pekat'



KOMBINASI foto menunjukkan keadaan bulan pada awal hingga akhir gerhana dilihat dari Baitulmaqdis.
KOMBINASI foto menunjukkan keadaan bulan pada awal hingga akhir gerhana dilihat dari Baitulmaqdis.




Proses bulan ditutup bayang bumi berlangsung 100 minit

LONDON: Ahli astronomi di Eropah, Afrika, Asia dan Australia, berpeluang menyaksikan gerhana bulan paling lama dalam tempoh 11 tahun dan yang pertama tahun ini malam semalam.
Ahli astronomi di Britian bagaimanapun tidak berpeluang menyaksikan peringkat awal gerhana, kerana ia berlaku sebelum bulan muncul. Matahari terbenam di Britain pada kira-kira jam 9.19 malam waktu tempatan.
Sebilangan penduduk yang cuba menyaksikan gerhana bulan di seluruh negara termasuk di Lake District dan London, kecewa apabila ia dilindungi awan.

Ramai di kalangan mereka berharap dapat menyaksikan gerhana penuh, apabila bulan ‘tenggelam’ dalam bayangan Bumi ketika ia bergerak ke ufuk dari Britain dan Ireland.

Pemerhati bintang di langit cerah di seluruh dunia berpeluang menyaksikan fenomena yang jarang dilihat apabila bayang-bayang bumi mula bergerak turun jam 6.24 petang dan naik semula sebelum tengah malam.

‘Gerhana penuh’ iaitu apabila permukaan bulan ditutup sepenuhnya oleh bayang bumi, berlangsung selama kira-kira 100 minit. Kalangan saintis berkata, ia adalah tempoh paling lama sejak ia berlaku pada Julai 2000.
Penduduk di Hemisfera selatan terutama Australia dan Asia Tenggara pula berpeluang menyaksikan pemandangan gerhana yang menarik berikutan awan debu dari gunung berapi di Chile.

Krisis awan debu menyebabkan keadaan lalu lintas menjadi kelam kabut di Australia, dengan beratus-ratus penerbangan di seluruh wilayahnya terpaksa dibatalkan.

Rakyat Amerika bagaimanapun tidak berpeluang menyaksikan gerhana berkenaan. Gerhana bulan berlaku apabila Bumi membayangi keseluruhan bulan.

Kadangkala permukaan bulan boleh bertukar warna menjadi kemerahan, coklat tembaga atau oren, berikutan biasan cahaya matahari yang melintasi atmosfera.

Fenomena yang berlaku malam semalam dikenali sebagai ‘deep lunar eclipse’.

Namun, kepekatan warna bergantung kepada jumlah abu dan debu di atmosfera, manakala saintis berkata gerhana bulan boleh dilihat dengan mata kasar tanpa memerlukan perlindungan.

Di beberapa negara Asia, orang ramai mula berpusu-pusu mencari lokasi sesuai kira-kira empat jam sebelum gerhana bermula manakala beratus-ratus ahli astronomi profesional dan amtatur berhimpun sebelum subuh untuk membuat pemerhatian.

Bagaimanapun, ada pihak tidak berminat dengan perubahan planet menganggap fenomena ini membawa malang.

Pentadbir di beberapa buah kuil Hindu dilaporkan menutup pintu bagi mengelak terkena ‘kuasa jahat’ daripada gerhana bulan. – Agensi

INFO: Kronologi gerhana


  • Gerhana bulan penuh terakhir berlaku pada tahun 2000.







  • Debu gunung berapi Chile jadikan warna gerhana bulan merah pekat.







  • Ada menganggap gerhana sebagai kuasa jahat.





  • Berita Harian Online | Gerhana warna 'darah pekat'

    Khasiat susu lembu China seperti susu manusia

    BEIJING: Saintis China menghasilkan sekumpulan lembu yang diubah suai secara genetik dan mampu mengeluarkan susu seperti susu manusia, menghasilkan formula alternatif di sebuah negara yang dilanda skandal pencemaran susu tepung.

    Penyelidik Makmal Utama Negeri bagi Afrobioteknologi di Universiti Pertanian China memperkenalkan kod genetik manusia dalam DNA embrio lembu tenusu Holstein sebelum memindahkan embrio terbabit kepada lembu lain.

    Pada 2003, selepas bertahun-tahun menguji tikus, mereka berjaya menghasilkan lembu pertama yang boleh menghasilkan susu dengan kandungan khasiat sama seperti susu manusia, tetapi dengan rasa lebih kuat dan lebih manis.
    “Susu yang diubah suai secara genetik adalah 80 peratus sama dengan susu ibu manusia,” kata Li Ning, profesor dan pengarah projek yang juga ketua penyelidik.

    “Susu lembu yang diubah suai mengandungi beberapa khasiat utama susu manusia terutama protein dan antibodi yang dipercayai baik untuk kesihatan dan boleh meningkatkan sistem imunasi badan.”

    Lebih 300 klon ternakan itu kini hidup di sebuah ladang eksperimen di Beijing dengan anak baru dilahirkan setiap minggu.

    Kumpulan Li yang disokong oleh sebuah syarikat bioteknologi China utama menyasarkan untuk memiliki susu yang mampu dimiliki di pasaran dalam masa tiga tahun.
    Hasil usaha mereka menyusuli skandal toksin dan racun yang menjejaskan kepercayaan pelanggan dalam sektor tenusu China dan produknya. – Reuters
    Berita Harian Online | Khasiat susu lembu China seperti susu manusia

    Kos operasi di Libya RM3.35b





    PEMBERONTAK Libya melancarkan serangan roket  ke atas bandar   Misrata, kelmarin.
    PEMBERONTAK Libya melancarkan serangan roket ke atas bandar Misrata, kelmarin.


    Obama restu tindakan tentera Amerika, tak perlu kelulusan Kongres

    WASHINGTON: Perbelanjaan operasi tentera dan bantuan kemanusiaan Amerika di Libya kini berjumlah AS$716 juta (RM2.181 bilion) dan dijangka meningkat kepada AS$1.1 bilion (RM3.35 bilion) menjelang September depan, kata satu laporan Rumah Putih kepada Kongres disiarkan semalam.
    Laporan itu menyatakan dana berkenaan boleh dilihat dalam bajet Jabatan Pertahanan sedia ada dan berikutan itu tidak memerlukan permohonan mendapatkan peruntukan tambahan kepada Kongres.
    Untuk perbandingan, kos membiayai konflik di Afghanistan ialah kira-kira AS$10 bilion (RM30.47 bilion) sebulan.

    Sementara itu Presiden Barack Obama menegaskan tindakan tentera Amerika di Libya adalah sah dan menolak kritikan daripada Kongres mengenai matlamat dan kesahihan operasi terbabit.

    Dalam laporan setebal 30 halaman kepada Kongres, Rumah Putih menyatakan penyertaan Amerika dalam serangan diketuai Pertubhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tidak memerlukan kebenaran Kongres, kerana peranan Washington hanyalah sebagai sokongan.

    Laporan menyatakan pembabitan Amerika di Libya tidak membabitkan serangan dan peperangan terbuka yang memerlukan kebenaran anggota Kongres di bawah undang-undang Resolusi Kuasa Perang 1973.
    “Tentera Amerika memainkan peranan sokongan dalam pakatan pelbagai negara itu,” kata laporan berkenaan yang menambah, penggunaan tentera hanyalah untuk melindungi orang awam, menguatkuasakan zon larangan terbang dan gencatan senjata.

    “Operasi Amerika tidak membabit peperangan atau pertempuran dengan tindakan kekerasan. Mereka juga tidak terbabit dengan serangan darat,” kata laporan itu. – Reuters Berita Harian Online | Kos operasi di Libya RM3.35b

    Al-Qaeda pilih al-Zawahri ganti Osama

    pix_gal0
    Ayman al-Zawahri
    KAHERAH: Al-Qaeda memilih orang nombor dua untuk menggantikan Osama bin Laden berikutan serbuan komando Amerika Syarikat bulan lalu yang membunuh pemimpin militan itu, kata satu kenyataan yang disiarkan dalam satu halaman web yang dikaitkan dengan rangkaian itu.

    Ayman al-Zawahri (atas), yang akan memasuki usia 60 tahun minggu depan, dipercayai beroperasi dari tempat berhampiran sempadan Pakistan-Afghanistan.
    Beliau adalah anak seorang keluarga doktor dan ulama Mesir kelas pertengahan atas. Bapanya adalah seorang profesor farmakologi di sebuah sekolah perubatan di Universiti Kaherah, sebuah pusat pengajian agama utama.
    Dalam satu rakaman video disiarkan awal bulan ini, al-Zawahri memberi amaran bahawa Amerika Syarikat berhadapan dengan bukan pengganas individu atau kumpulan tetapi masyarakat antarabangsa Islam yang cuba untuk memusnahkannya dan sekutu beliau.

    “Hari ini, Amerika Syarikat tidak berhadapan dengan satu individu, sebuah kumpulan atau serpihan,” katanya yang memakai jubah putih dan serban dengan senapang bersandar di dinding di belakang beliau.

    Al-Zawahri juga memuji Osama, yang terbunuh dalam serbuan 2 Mei oleh Tentera Laut SEALs Amerika Syarikat di bandar tentera Pakistan, Abbottabad, dan mengkritik Amerika Syarikat kerana menguburkan beliau di laut.

    “Beliau pergi kepada Tuhannya sebagai syahid, orang yang menakutkan Amerika Syarikat ketika hidup dan menakutkan mereka dengan kematian, sehingga mereka mendapat idea dengan kubur terbabit,” katanya.
    Al-Qaeda tidak mempunyai butiran mengenai proses pemilihan bagi menggantikan Osama tetapi berkata bahawa ia adalah satu penghormatan terbaik untuk memperingati ‘kematian syahid’ beliau.

    Kenyataan itu mengumumkan penggantian al-Zawahri adalah penuh dengan retorik biasa rangkaian keganasan itu, berikrar untuk meneruskan perjuangan menentang apa yang dipanggil ‘penaklukan kafir yang diketuai Amerika dan Israel yang menyerang kediaman Islam.

    Kumpulan itu juga berkata bahawa ia tidak akan menerima kesahihan Israel dan akan meneruskan sokongan umat Islam di Afghanistan, Iraq dan Afrika Utara. – AP Berita Harian Online | Al-Qaeda pilih al-Zawahri ganti Osama

    Laman web CIA digodam





    PENUNJUK perasaan memakai topeng kumpulan Anonymous di Puerta del Sol, Madrid, Ahad lalu.
    PENUNJUK perasaan memakai topeng kumpulan Anonymous di Puerta del Sol, Madrid, Ahad lalu.


    Lulz Security mengaku serang

    BOSTON: Laman web awam Agensi Perisikan Pusat (CIA) lumpuh semalam apabila kumpulan penggodam yang menggelar diri mereka Lulz Security mengaku melancarkan serangan ke atasnya.
    Lulz Security sebelum ini mengaku bertanggungjawab dalam beberapa serangan ke atas Senat Amerika, Sony Corp, News Corp dan Rangkaian Sistem Penyiaran Amerika.
    Laman CIA pada mulanya tidak boleh diakses dari New York ke San Francisco dan Bangalore ke London. Bagaimanapun pada sebelah petang ia boleh diakses sekali sekala.

    “Kami sedang menyiasat laporan ini,” kata jurucakap CIA.
    Lulz Security menghapuskan halaman depan laman web, menghantar maklumat peribadi mengenai pelanggan dan pentadbir dan mendedahkan carta organisasi beberapa laman.

    Penganalisis keselamatan bagaimanapun tidak memandang serius kesan serangan ini dan berkata penggodam sekadar menunjuk-nunjuk untuk mendapat seberapa banyak perhatian yang boleh.
    “Dalam kes serangan ke atas laman CIA, penggodam tidak boleh mengkases data sensitif dengan menceroboh laman web umum agensi itu. Apa yang dilakukan hanyalah untuk menyatakan betapa hebatnya mereka dan betapa teruknya sistem keselamatan CIA,” kata penulis bersama buku Inside Cyber Warfare: Mapping the Cyber Underworld, Jeffrey Carr.

    Lulz yang mempunyai anggota di seluruh dunia, mengumumkan serangan itu sejurus sebelum jam 6 petang waktu Pantai Timur.

    Walaupun kumpulan itu yang juga dikenali sebagai Lulz Boat, menunjukkan imej yang lebih menjurus kepada aktivis, anggotanya dikehendaki oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan pihak berkuasa lain kerana melanggar undang-undang. – Reuters Berita Harian Online | Laman web CIA digodam

    Tiga ditahan kurung, dera pelatih

    INILAH asrama pelatih lelaki (kiri) dan perempuan yang didakwa menjadi tempat 13 penagih dadah dikurung dengan kaki mereka dirantai di Kampung Bukit Gasing, Marang semalam.


    KUALA TERENGGANU - Polis menahan tiga lelaki termasuk pengurus sebuah pusat rawatan dan pemulihan akhlak penagih dadah bagi membantu siasatan berhubung kes mengurung dan merantai kaki 13 pelatih dalam kejadian di Marang dekat sini.
    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, perbuatan itu terbongkar selepas pihaknya menjalankan siasatan sebaik menerima laporan yang dibuat bapa salah seorang mangsa selepas gagal menemui anaknya di situ.
    Katanya, sebaik diserbu, pihaknya menemui 11 lelaki berusia di antara 15 dan 36 tahun dikurung dan kaki mereka dirantai di sebuah rumah yang dijadikan asrama untuk penagih dadah di Kampung Bukit Gasing, Marang.
    "Kita turut menyelamatkan dua wanita berusia 23 dan 24 tahun yang dikurung di sebuah rumah berasingan di Jalan Bukit Gasing berdekatan dengan asrama lelaki.
    "Pemeriksaan awal mendapati kesemua 11 lelaki yang dikurung dan dirantai di rumah tersebut dipercayai turut didera, ditampar dan dirotan," katanya di sini semalam.
    Kosmo! Online - Negara

    Bomoh Siam ragut nyawa pemuda


    INILAH rumah yang didiami Kah Yah di Kampung Pulau Rusa, Merchang, Kuala Terengganu, tempat Faizal dirawat sehingga menemui ajal malam kelmarin.

    KUALA TERENGGANU – Seorang bapa hanya mampu melihat anak lelakinya dipaksa minum air menggunakan hos getah oleh seorang bomoh Siam sehingga pemuda itu pengsan dan meninggal dunia ketika berubat di sebuah rumah di Kampung Pulau Rusa, Merchang dekat sini kelmarin.
    Dalam kejadian pukul 7.45 malam itu, Faizal Harun, 26, yang didakwa menghidap penyakit ganjil empat tahun lalu dibawa ke rumah bomoh dipanggil Kak Yah dari Thailand oleh ahli keluarganya untuk dirawat secara tradisional.
    Semasa berada di rumah itu, mangsa disuruh melalui beberapa ritual perubatan selama empat jam. Antara ritual itu adalah upacara membaca mentera, bercakap-cakap dengan mangsa dan memberikan mangsa minum air kosong dalam jumlah yang banyak.
    Sepanjang berubat mangsa diarahkan baring. Mangsa turut disuruh menggigit sebilah pisau. Dalam ritual itu mangsa pengsan dua kali kerana lemas minum air terlalu banyak.
    Kemuncak ritual itu, mangsa dikatakan terpaksa dipegang beberapa ahli keluarganya sebelum mulutnya disumbat oleh bomoh itu dengan hos getah yang mengalirkan air.
    Kosmo! Online - Negara

    51 laman web kerajaan kena godam



    LAMAN web KRU Studios yang sebelum ini ditutup akibat diserang oleh penggodam kembali pulih semalam.


    KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan sebanyak 51 laman web milik agensi kerajaan digodam oleh penggodam yang tidak dikenali.
    Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat SKMM, Muhamad Tahir Muhamad Noor berkata, sehingga awal pagi semalam, 41 daripada jumlah itu mengalami gangguan pada tahap yang berbeza.
    Menurutnya, serangan tersebut dikesan bermula pada pukul 11.30 malam kelmarin dan menjangkakan tempoh memulihkan kesemua laman web tersebut dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
    "Pemantauan kami mendapati serangan semakin berkurangan menjelang pukul 4 pagi semalam (kelmarin) dan selepas membuat penilaian, kami menganggap kesan serangan itu terhadap pengguna di Malaysia adalah kecil," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
    Kosmo! Online - Negara

    Kenderaan tenggelam kerana pemandu percaya GPS




    GAMBAR menunjukkan kenderaan utiliti sukan ditarik keluar dari dalam tasik.


    WASHINGTON - Sebuah kenderaan utiliti sukan tenggelam di dalam sebuah tasik dekat Taman Mercer Slough di sini kelmarin selepas seorang daripada tiga wanita yang memandu kenderaan itu mengikut laluan yang ditunjukkan menerusi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).
    Kejadian itu berlaku pada awal pagi semasa mereka tersesat dalam perjalanan untuk kembali ke sebuah hotel.
    Pemandu kenderaan tersebut menyangka dia memandu di atas jalan raya semasa mengikuti arah panduan menerusi GPS.
    Namun, kenderaan itu bergerak memasuki sebuah tasik.
    Ketiga-tiga wanita itu menggigil selepas mereka berjaya keluar dari kenderaan tersebut yang kemudian tenggelam ke dalam tasik berkenaan.
    Sebuah trak tunda tiba di tempat kejadian pada kira-kira pukul 5 pagi namun kenderaan tersebut sudah tenggelam ke dalam tasik.
    Ia kemudian ditarik keluar dari tasik tersebut dengan menggunakan trak penunda itu. - Agensi
    Kosmo! Online - Dunia

    Misteri helikopter Rusia angkut UFO




    KLIP video di laman YouTube semalam menunjukkan sebuah helikopter tentera Rusia mengangkut sebuah piring terbang.


    MOSCOW - Satu klip video yang disiarkan di laman YouTube menunjukkan sebuah helikopter tentera Rusia mengangkut sebuah piring terbang, lapor laman Allnewsweb.com semalam.
    Imej itu telah mencetuskan perdebatan di dalam forum-forum objek terbang tidak dikenali (UFO) di Internet.
    Ada di antara komen dalam forum itu mendakwa piring terbang itu mungkin UFO yang jatuh dekat Irkutsk, Rusia pada awal tahun ini. - Agensi
    Kosmo! Online - Dunia

    Abu Bakar Bashir mangsa konspirasi jahat


    Abu Bakar Bashir dihukum penjara 15 tahun


    ABU BAKAR bercakap kepada pemberita dari dalam lokap sebelum keputusan penghakiman dibacakan oleh Hakim Herri Swantoro di sebuah mahkamah di Jakarta semalam.


    JAKARTA - Seorang guru agama yang dikenali sebagai pemimpin spiritual untuk para militan Indonesia, Abu Bakar Bashir semalam dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun oleh seorang hakim sebuah mahkamah di sini selepas dia didapati bersalah memberi bantuan ke atas sebuah kem latihan militan di Aceh pada tahun lalu .
    Kem militan itu dikesan oleh pihak berkuasa pada tahun lalu.
    Pendakwah berusia 72 tahun itu menunjukkan sedikit emosi semasa hakim, Herri Swantoro membacakan keputusan penghakiman selepas perbicaraan berlangsung selama empat bulan.
    "Abu Bakar dibuktikan bersalah kerana merancang dan memperdayakan orang lain untuk memberi sumbangan ke atas aktiviti pengganas... dan dia dihukum penjara 15 tahun," kata hakim berkenaan.
    Abu Bakar yang memakai jubah dan ketayap yang berwarna putih, berjanji akan membuat rayuan berhubung keputusan itu.
    "Ini adalah haram. Saya menolak (keputusan penghakiman) kerana ia zalim dan mengabaikan undang-undang syariah.
    "Keputusan ini dibuat oleh rakan-rakan syaitan dan adalah haram buat saya untuk menerimanya," tambahnya.
    Sebelum ini, percubaan untuk membawa Abu Bakar ke muka pengadilan gagal sebanyak dua kali termasuk mengaitkannya dengan aktiviti keganasan dan serangan di Bali yang menyebabkan 202 orang terbunuh pada 2002.
    Kawalan keselamatan dibuat pihak berkuasa dengan melibatkan kehadiran 3,200 anggota polis dan tentera di mahkamah selepas terdapat ancaman bom menerusi khidmat pesanan ringkas dan Twitter. - Agensi
    Kosmo! Online - Dunia

    Wakil rakyat AS letak jawatan




    GAMBAR yang disiarkan oleh laman hiburan TMZ baru-baru ini menunjukkan salah satu foto Anthony Weiner yang hanya memakai tuala.


    WASHINGTON - Wakil rakyat Amerika Syarikat (AS), Anthony Weiner semalam meletakkan jawatan selepas dia berkeras enggan melakukannya setelah skandal penyiaran gambar tidak senonoh yang dihantarnya kepada beberapa wanita disiarkan media.
    Weiner yang mewakili sebahagian penduduk di bandar raya New York sebelum ini didesak oleh anggota-anggota parti Demokrat yang disertainya supaya meletakkan jawatan.
    Presiden AS, Barack Obama pada minggu lalu menyatakan akan meletakkan jawatan jika beliau adalah Weiner ekoran skandal tersebut.
    Obama juga merupakan anggota parti Demokrat yang disertai Weiner.
    Weiner sebelum ini mengaku menghantar gambar yang menunjukkan beliau memakai seluar dalam kepada seorang wanita dan berkomunikasi seks dengan beberapa wanita lain.
    Beliau membuat pengakuan itu pada satu sidang akhbar baru-baru ini selepas menafikan melakukan perbuatan tersebut.
    Weiner yang berusia 46 tahun mendirikan rumah tangga dengan Huma Abdein, 35, yang merupakan pembantu Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton.
    Wakil rakyat itu dikatakan membuat keputusan untuk meletakkan jawatan selepas berbincang dengan isterinya yang pulang dari lawatan ke luar negara pada Selasa lepas, lapor akhbar New York Post.
    Keputusan untuk meletakkan jawatan itu juga dibuat selepas seorang bekas pelakon filem lucah, Ginger Lee pada Rabu lalu menyatakan Weiner meminta dia berbohong berhubung skandal komunikasi dengan wakil rakyat itu menerusi e-mel dan Twitter.
    Pelakon lucah itu memberitahu bahawa Weiner mengambil kesempatan untuk berbual mengenai seks dengannya semasa mereka berkomunikasi. - Agensi