Pages

Wednesday, June 27, 2012

Nenek potong tangan cucu 8 bulan

Bayi malang ini terpaksa menjalani pembedahan selama 12 jam untuk menyambung semula kedua-dua tangan
Bayi malang ini terpaksa menjalani pembedahan selama 12 jam untuk menyambung semula kedua-dua tangannya.
BEIJING - Seorang bayi berumur lapan bulan berhadapan detik menyakitkan apabila kedua-dua belah tangan dipotong sehingga putus tanpa sebab oleh neneknya di wilayah Shandong, China.
Menurut polis, insiden kelmarin, berlaku semasa mangsa sedang dalam jagaan wanita tua itu berikutan ibu bapanya keluar bekerja.
Motif sebenar kejadian masih belum dipastikan kerana suspek dalam keadaan koma kerana cuba membunuh diri sejurus bertindak memotong tangan cucunya itu.
"Petang itu, saya nampak ibu bayi berkenaan meluru keluar daripada rumahnya sambil membawa anaknya yang dalam keadaan berlumuran darah selepas beberapa minit pulang dari kerja.
"Saya juga terdengar wanita itu bercakap dengan seseorang dalam telefon dan berkata tangan bayinya dipotong ibunya sebelum cuba membunuh diri," kata seorang jiran keluarga mangsa.
Difahamkan, bapa bayi malang itu terpaksa pulang ke rumah mereka untuk mengambil bahagian tangan anak perempuan mereka yang dipotong dan disambungkan semula ke badan bayi berkenaan di hospital.
Dalam pada itu, walaupun pembedahan menyambung semula tangan mangsa membuahkan hasil positif, doktor yang terlibat tidak dapat memastikan sama ada anggota itu dapat berfungsi dengan baik.

Turki beri Syria amaran jauhi sempadan

Turki dakwa Syria tembak jet kedua
Jet pejuang Turki F-4 ditembak jatuh oleh Syria Jumaat lalu. - Foto EPA
ISTANBUL - Diiringi sokongan daripada negara anggota Nato, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan memberi amaran agar tentera Syria menjauhi sempadan yang menyaksikan ketegangan atau berhadapan dengan respons ketenteraan negaranya.
Amaran itu dibuat susulan tindakan Syria menembak jatuh jet pejuangnya Jumaat lalu.
Recep Tayyip memberitahu Parlimennya bahawa jika tentera Syria mendekati sempadan Turki, negara jiran itu akan berhadapan dengan tindakan ketenteraan.
"Sebarang elemen ketenteraan dari Syria yang mendekati sempadan Turki dengan memperlihatkan risiko sekuriti dan bahaya, akan dianggap sebagai satu ancaman dan akan dilayan sebagai satu sasaran ketenteraan," kata beliau.
Ankara mendakwa senjara Syria menjadikan pesawat mencari dan menyelamat Turki sebagi sasaran.
Pagi semalam, Perdana Menteri itu mendakwa helikopter-helikopter Syria telah melanggar ruang udara Turki sebanyak lima kali tetapi Turki tidak mengambil tindakan balas.
Sebaliknya tegas beliau, sebarang pelanggaran akan ditangani dengan menggunakan kekerasan.
Dalam pada itu, Nato yang mengadakan mesyuarat semalam turut mengecam tindakan Syria menembak jatuh jet Turki.
Pesawat itu terhempas di Laut Mediterranean manakala dua juruterbangnya hilang.
Setiausaha Agung Nato, Anders Fogh Rasmussen menjelaskan bahawa pakatan itu belum mempertimbangkan respons bersenjata secara kolektif ke atas Syria.

Turki dakwa sebuah lagi pesawatnya turut ditembak Syria

Gambar bertarikh 24 Jun 2012 menunjukkan sebuah kapal pengawal pantai Turki memulakan perjalanan ke pelabuhan Samandagi di bandar Hatay bagi mengesan jet tenteranya yang ditembak jatuh Syria pada 22 Jun lalu. - AFP
ISTANBUL 26 Jun - Timbalan Perdana Menteri Turki, Bulent Arinc menyifatkan insiden pesawat pejuang negaranya ditembak oleh Syria sebagai 'tindakan permusuhan tahap tertinggi' dan mendakwa sebuah pesawat penyelamat turut diserang.
Arinc semasa satu sidang akhbar semalam selepas mesyuarat Kabinet bagi membincang insiden itu turut menyatakan, Ankara mungkin akan menghentikan penyaluran bekalan tenaga kepada Damsyik.
"Menembak sebuah pesawat tanpa memberi amaran adalah tindakan bermusuhan tahap tinggi," katanya sambil menambah, pesawat F-4 Phantom tersebut terkena peluru berpandu kawalan haba di ruang udara antarabangsa.
Menurutnya, tentera Syria turut melepaskan tembakan ke arah sebuah pesawat penyelamat yang mencari juruterbang yang hilang akibat insiden itu, tetapi tidak memaklumkan bila ia berlaku.
"Satu daripada pesawat CASA kami berlepas membawa sepasukan penyelamat, tetapi ia turut ditembak. Kementerian Luar Turki dan tentera telah memaklumkan pihak berkuasa Syria dan mahu supaya ia dihentikan dengan segera.
"Semua pihak perlu tahu tindakan seperti ini tidak akan dibiarkan tanpa menerima hukuman," tegasnya.
Arinc berkata, Ankara juga akan bertindak balas mengikut undang-undang antarabangsa. - AFP

Mohammed Mursi mula tugas


Mohammed Mursi (dua dari kiri), tiba di pejabatnya di Istana Presiden di Kaherah, Mesir, kelmarin. - REUTERS
KAHERAH 26 Jun - Presiden baru Mesir, Mohammed Mursi semalam mula memilih calon untuk membentuk kerajaan ketika penyokongnya mengadakan demonstrasi bagi mendesak majlis pemerintah tentera menyerahkan kuasa penuh kepada pergerakan Islam.
Jurucakap kempen pilihan raya Presidennya, Nermine Mohammed Hassan berkata, beliau memasuki Istana Presiden dan memulakan perbincangan untuk melantik Kabinet barunya, beberapa hari sebelum majlis pemerintah tentera dijadual menyerahkan kuasa.
"Beliau kini sedang meneliti senarai nama calon anggota Kabinet. Keputusannya akan diumumkan tidak lama lagi,'' katanya.
Liputan televisyen rasmi menunjukkan imej pemimpin berjambang berumur 60 tahun itu duduk di sebuah kerusi di Istana Presiden selain gambar beliau duduk bersama Pengerusi Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir, Mohamed Hussein Tantawi ketika melawat ibu pejabat majlis pemerintah tentera tersebut.
Media rasmi melaporkan, Kabinet yang dilantik majlis pemerintah tentera mengumumkan peletakan jawatan mereka semalam.
Seorang pegawai majlis pemerintah tentera memberitahu AFP, peralihan kuasa tetap dijadual diadakan pada 30 Jun ini.
Seorang anggota kanan Ikhwan Muslimin, Sobhi Saleh berkata, Mursi akan mengangkat sumpah di Mahkamah Perlembagaan berbanding Parlimen yang dibubarkan pada awal bulan ini.
Di Dataran Tahrir, anggota Ikhwan mengadakan demonstrasi duduk selama sehari dalam mendesak majlis pemerintah tentera melepaskan pentadbiran. - AFP

Sindiket tujuh orang mahir lerai mesin RM5j

KUALA LUMPUR: Polis mengesyaki rompakan peralatan endoskopi bernilai lebih RM5 juta dari Hospital Columbia Asia, Hospital Tung Shin dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) baru-baru ini didalangi sindiket sama dengan bantuan orang dalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata siasatan pihaknya mendapati kumpulan itu dianggotai tujuh individu yang mahir dalam meleraikan mesin berkenaan.
Katanya, modus operandi digunakan kumpulan itu ialah dengan menyamar sebagai pesakit untuk mengenal pasti lokasi peralatan endoskopi sebelum mencurinya dua hari kemudian.
“Kumpulan itu dikatakan melerai dan mencuri peralatan itu sebelum melarikan diri dengan menaiki van dan kereta PERODUA Myvi.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hospital itu, kami percaya sindiket berkenaan turut dianggotai warga asing dari Amerika Latin atau Asia Barat,” katanya.

Pada 5 Jun lalu, satu mesin endoskopi bernilai RM100,000 dilaporkan dicuri di Hospital Columbia Asia, Kajang.

Pada 12 Jun, 15 mesin endoskopi dan dua set mesin pemprosesan bernilai RM600,000 dilaporkan hilang di Hospital Tun Shin. Kejadian itu disedari kakitangan hospital jam 7 pagi sebaik melihat pintu bilik yang menempatkan peralatan itu pecah. 
Kejadian sama turut dilaporkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sembilan hari kemudian apabila tiga mesin pemprosesan dan 22 peralatan endoskopi bernilai RM4 juta dilaporkan hilang.

Khairi berkata, sehingga kini pihaknya sudah memanggil enam kakitangan daripada dua hospital berkenaan untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Syria dalam kancah peperangan sebenar: Assad

DAMSYIK: Presiden Syria, Bashar al-Assad hari ini mengakui kebangkitan kumpulan yang menentang rejim pemerintahannya sejak 16 bulan lalu kini membawa Syria dalam kancah peperangan. 

“Kita sekarang menyaksikan keadaan perang yang sebenar," katanya dipetik agensi berita SANA ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet baru Syria.
Namun Assad menegaskan bahawa "apabila negara itu dalam peperangan, semua dasar dan kemampuan mesti digunakan untuk memastikan kemenangan."
Kenyataannya itu dikeluarkan selepas Amerika Syrikat (AS) semalam menegaskan bahawa Assad yang kini dalam keadaan tertekan akibat kehilangan kuasa pemerintahan. - AFP

Sekatan jejas rundingan

TEHERAN: Sekatan baru Kesatuan Eropah (EU) yang bakal berkuat kuasa ke atas Iran Ahad ini akan menjejaskan rundingan program nuklear negara itu, kata jurucakap Kementerian Luar, Ramin Mehmanparast.
“Tindakan yang bertentangan dengan persetujuan di antara Iran dan P5+1 memberi kesan negatif dalam usaha mencari penyelesaian yang diterima semua pihak,” katanya kepada media, semalam. Iran dan kumpulan negara P5+1 (anggota tetap Majlis Keselamatan PBB bersama Jerman) menghidupkan semula rundingan bagi menyelesaikan isu aktiviti loji nuklear yang dipertikaikan.

Bagaimanapun, tidak banyak perkembangan dicapai hasil rundingan itu. Selepas tiga pusingan, rundingan itu diturunkan tarafnya apabila hanya membabitkan kakitangan peringkat pakar dan pertemuan selanjutnya dijadual di Istanbul, Turki pada 3 Julai ini atau dua hari selepas pelaksanaan sekatan baru EU ke atas minyak Iran. Sekatan terdahulu yang dilaksanakan lima bulan lalu menyebabkan penjualan minyak mentah Iran menurun 40 peratus. Pegawai Iran pula menyatakan, sekatan berkenaan hanya memberi kesan kecil kepada negara itu, sebaliknya akan lebih memudaratkan ekonomi EU. - AFP

Tentera Israel seludup dadah dari Sinai

BAITULMAQDIS: Polis tentera Israel menahan 15 orang kebanyakannya tentera kerana membantu menyeludup dadah dari Semenanjung Sinai di Mesir melepasi sempadan negara mereka di selatan.
Jurucakap tentera berkata, sindiket itu dianggap yang terbesar jika mengambil kira aspek kuantiti dadah yang terbabit.

“Hasil operasi penyamaran, heroin, hashish dan pil ecstasy bernilai 800,000 shekel (RM652,900 ) ditemui,” katanya.
Jurucakap itu berkata, suspek bersekongkol menyalurkan maklumat rondaan sempadan dengan penyeludup melalui komuniti Badwi di kedua-dua negara. - AFP

Teheran tawar diri jadi orang tengah konflik Turki - Syria

TEHERAN: Iran semalam menawarkan diri menggunakan hubungan baiknya dengan Damsyik bagi menjadi orang tengah dalam pertikaian Syria - Turki.
Syria menembak jatuh jet tentera Turki Jumaat lalu dan Kementerian Luar Iran berkata, isu itu menjadi sangat sensitif serta membimbangkan mereka.

Jurucakapnya berkata, Teheran akan menggunakan hubungan baiknya dengan kedua-dua negara bagi menyelesaikan isu berkenaan. Katanya. Iran berharap pihak yang terbabit di rantau itu mampu mengawal insiden berkenaan bagi mengelak negara lain memperbesarkannya.
“Pertikaian ini perlu diselesaikan melalui rundingan dan kedua-dua pihak mesti mengelak daripada mengambil langkah yang mengganggu keselamatan rantau itu,” katanya. - AFP

Disiasat kerana hidang kemaluan

TOKYO: Polis Tokyo menyiasat sama ada seorang lelaki yang memasak zakar sendiri dan menghidangnya kepada lima pelanggan berbayar melakukan jenayah atau tidak.
Kemaluan Mao Sugiyama dibuang melalui pembedahan pada Mac lalu dan dia menyimpan organ itu dalam peti sejuk selama dua bulan sebelum dimasak di tempat terbuka bulan lalu. Pelanggan kemudian membayar 20,000 yen (RM801.5) untuk menikmati masakan berkenaan. Polis memulakan siasatan selepas pegawai daerah Suginami mendakwa, kejadian itu turut membabitkan paparan objek lucah. - AFP

Paderi dituduh gelap RM57j

SINGAPURA: Pengasas sebuah gereja terkaya di republik ini ditahan semalam kerana dituduh menyalahgunakan sekurang-kurangnya AS$18 juta (RM57.5 juta) wang sumbangan daripada lebih 30,000 pengikut gereja, kata polis.
Paderi Kong Hee dan empat lagi eksekutif kanan gereja City Harvest sebuah kumpulan Krsitian yang didaftarkan sebagai badan kebajikan ditahan oleh Jabatan Hal Ehwal Komersial, unit polis yang diwujudkan untuk menentang jenayah kewangan.

Polis berkata, mereka disyaki menyelewengkan sekurang-kurangnya Sg$23 juta (RM57.4 juta) yang diperuntukkan untuk projek kebajikan apabila menggunakannya untuk kegunaan isteri paderi itu, Ho Yeow Sun membina kerjaya muzik gerejanya di Amerika Syarikat.
Gereja itu yang mempunyai hubungan dengan negara jiran Malaysia dan negara lain terkenal dengan upacara keagamaan yang menyerupai konsert pop.

“Kami mengesahkan lima orang ditahan dan Kong Hee seorang daripadanya,” kata polis kepada media.

Kelima-lima itu yang dibebaskan dengan ikat jamin turut digantung daripada jawatan yang dipegang di gereja berkenaan. - AsiaOne

Campak 2 anak kerana bosan

GALINA dibawa oleh pegawai polis untuk siasatan.
GALINA dibawa oleh pegawai polis untuk siasatan.
MOSCOW: Seorang ibu ditahan selepas didakwa mencampak dua anak lelakinya dari balkoni tingkat 15 kerana dia bosan dengan mereka.
Galina Ryabkova, 30, dilihat dalam keadaan selamba dalam video pengawasan yang diambil daripada blok flet di Moscow Russia selepas insiden itu. Jiran di kompleks perumahan itu dikejutkan dengan bunyi tubuh kanak-kanak lelaki berusia empat dan tujuh tahun itu jatuh ke tanah. Walaupun mereka berusaha untuk membantu, kanak-kanak terbabit meninggal dunia sebelum petugas kecemasan tiba. Menurut RT, Galina berkata, “dia bosan dengan anaknya” dan memutuskan “untuk menghapuskan mereka.” Galina yang suaminya keluar atas urusan perniagaan tinggal di tingkat lapan bangunan itu dan dipercayai membawa kanak-kanak berkenaan ke tingkat 15 sebelum mencampakkan mereka kelmarin. Seorang jiran di blok apartmen yang sama menceritakan kejadian ngeri itu kepada Life News.

Lelaki itu yang tidak mahu dikenal pasti, berkata, isterinya mengejutkannya memberitahu bahawa kanak-kanak terbabit jatuh dari bangunan itu. Pasangan berkenaan berlari keluar dan melihat dua kanak-kanak itu terbaring di tanah di depan pintu masuk utama kompleks apartmen terbabit.
Lelaki itu berkata: “Pada waktu sama, ibu mereka meninggalkan bangunan itu. Kami bertanya kepadanya jika mereka adalah anaknya dan dia menjawab dengan selamba, “Ya, saya yang mencampakkan mereka.” CCTV dari blok apartmen itu sebagaimana dilaporkan New York Daily News menunjukkan seorang daripada kanak-kanak itu jatuh di depan bangunan itu.

Kemudian ia menunjukkan Galina turun ke bawah memakai jeans dan kemeja-T putih.

Dia duduk dengan tenang di lobi bangunan, mengejutkan jiran tetangga yang mengelilinginya bagi mengelakkan dia melarikan diri.
Video itu berakhir dengan pegawai polis tiba di bangunan itu untuk menyiasat kejadian ngeri berkenaan dan menahan ibu kanak-kanak malang terbabit.

Galina juga dilaporkan cuba untuk membunuh diri pada masa lalu dan suaminya mungkin berlaku curang kepadanya.
Galina akan dihantar ke hospital psikiatri untuk pemeriksaan manakala siasatan diteruskan. - DM

PM Pakistan mula buat perangai

SLAMABAD: Rumah peribadi milik perdana menteri Pakistan yang baru bakal dilengkapkan dengan sebuah tempat pendaratan helikopter menggunakan perbelanjaan kerajaan bertujuan mengurangkan kawalan keselamatan polis di kediaman sejauh 23 kilometer perjalanan darat dari ibu negara, kata pihak berkuasa. 

Polis memberitahu AFP bahawa tempat pendaratan helikopter berkenaan adalah tambahan kepada kediaman peribadi presiden sebahagian daripada kawalan keselamatan orang kenamaan di sebuah negara di mana serangan Taliban berulang kali dan Osama bin Laden pernah tinggal di negara itu tanpa dapat dikesan selama satu dekad.
Bagaimanapun pengkritik melihatnya sebagai ‘mengecewakan’ selepas Raja Pervez Ashraf berkata keutamaan beliau adalah untuk mengurangkan pemotongan bekalan elektrik yang menyebabkan berjuta penduduk tidak menerima bekalan elektrik selama 18 jam sehari.
Ashraf yang bertugas pada Jumaat berpindah ke kediaman rasmi beliau tetapi seperti juga perdana menteri sebelum ini menjangkakan akan menghabiskan masa hujung minggu di rumah peribadi beliau sebuah rumah agam di Gujar Khan, 23 kilometer ke selatan ibu negara. 

“Pegawai kanan melawat tempat itu kelmarin untuk urusan keselamatan. Satu kawasan dipilih untuk helipad dan pembinaan akan dilakukan secepat mungkin,” kata seorang pegawai polis kepada AFP. 

Beliau enggan membuat spekulasi mengenai belanja tetapi berkata ia akan mengurangkan penggunaan polis yang perlu ditempatkan di 300 kawalan keselamatan antara Islamabad dan Gujar Khan. 

Presiden Asif Ali Zardari terkenal mengenai kebimbangan beliau dengan keselamatan menyebabkan beliau sering menggunakan helikopter walaupun untuk perjalanan yang dekat ke lapangan terbang. 
Seorang pegawai lain berkata sebuah helipad adalah satu daripada cadangan yang dipertimbangkan untuk keselamatan perdana menteri dan belum ada keputusan akhir. 

Pengkritik berkata ia memberi mesej yang salah apabila berjuta-juta penduduk tinggal dalam kemiskinan, krisis kewangan yang boleh menyebabkan Pakistan memilih IMF ketika hubungan mereka dengan Washington dalam keadaan goyah. 

“Beliau menikmati kedudukan tanpa menghiraukan masalah ekonomi negara,” kata seorang jurucakap parti pembangkang utama, PML-N, Siddiq-up Farooq. – AFP

Mengajar cara mencari emas di sungai




FOZ DO COBRAO, Portugal - Seorang warga emas berusia 85 tahun, Manuel Goncalves mengajar kanak-kanak dan golongan muda cara untuk mencari emas di sebatang sungai di sini.
Goncalves menunjukkan kepada mereka cara mendulang emas dengan betul di sungai tersebut.
Dia pernah mencari emas melalui kaedah itu pada tahun 1950-an.
Goncalves mengajar mereka cara untuk mengenal pasti batu kecil yang mengandungi emas semasa mendulang di sungai tersebut. - Agensi

Ust Azhar Idrus- Alkohol / Ubat Batuk ; Terkena Pakaian



GAMBAR fail pada 22 Jun lalu menunjukkan ahli-ahli Persatuan Joging Sheetal melakukan senaman yoga ketawa di tepi tasik Sheetal Talao, Mumbai.


MUMBAI - Sebuah mahkamah di India memerintahkan sebuah kumpulan senaman ketawa supaya berhenti gelak dengan kuat selepas seorang penduduk setempat mengadu mengalami "penderaan mental".
Sejak arahan tersebut dikeluarkan susulan satu perbicaraan pada minggu lalu, ahli-ahli kumpulan senaman ketawa itu cuba sedaya upaya untuk memperlahankan bunyi ketawa mereka.
Sesi senaman ketawa tersebut diadakan di pinggir bandar raya ini.
Presiden kumpulan itu, Sadanand Ghate berkata, beliau cuba menerangkan kepada polis bahawa ahli-ahlinya mahukan suasana damai dan bukan bertujuan untuk mengganggu ketenteraman awam.
Namun, polis telah mengarahkan kumpulan tersebut supaya mengurangkan bunyi bising selepas perbicaraan kes itu diadakan pada 18 Jun lalu.
Seorang doktor, Madan Kataria mendakwa telah menunuhkan kelab yoga pertama di Mumbai pada pertengahan tahun 1990-an.
Beliau menubuhkan kelab tersebut berdasarkan tanggapan bahawa ketawa boleh memberi manfaat psikologi.
Menurut laman webnya, terdapat lebih 6,000 kelab ketawa di seluruh dunia. - Agemsi

Misteri kubur dekat pejabat PM Timor Leste

SALAH satu rangka manusia yang ditemui dekat pejabat Perdana Menteri Timor Leste di Dili pada minggu lalu.



DILI - Polis di Timor Leste menemui sebuah kubur yang mengandungi rangka tulang 52 orang dekat pejabat Perdana Menteri, Xanana Gusmao, kata seorang pegawai semalam.
Beberapa pekerja pembinaan menemui kubur tersebut pada minggu lalu sebelum mereka menghubungi polis.
Pada tahun 1975, Tentera Indonesia menceroboh Timor Leste yang merupakan bekas jajahan Portugal itu.
Timor Leste yang ketika itu dikenali sebagai Timor Timur diduduki selama 24 tahun oleh Indonesia.
Dianggarkan seramai 183,000 orang terbunuh akibat pencerobohan itu.
Ketua Perkhidmatan Siasatan Jenayah Timor Leste, Calisto Gonzaga menyatakan rangka itu terlalu besar dan tidak mungkin ia milik penduduk Timor Leste.
"Kami melihat tengkorak dan ia amat besar dan sebilangan tulang amat panjang. Saya berpendapat rangka itu bukan (milik) penduduk Timor Leste," katanya.
Menurutnya, kedudukan rangka itu memberi petunjuk bahawa si mati mungkin dibunuh.
Gonzaga berkata, polis akan menunggu laporan seorang pakar dari Australia yang akan tiba pada Julai depan sebelum membuat sebarang penyiasatan.
Seorang profesor dari Australia, Damien Kingsbury menyatakan, tulang-tulang itu mungkin milik penduduk berketurunan Cina.
"Penduduk Cina masih berada di Timor Leste semasa Indonesia menceroboh pada tahun 1975.
"Mereka mungkin menjadi sasaran serangan tentera Indonesia pada masa itu," katanya. - AFP