Pages

Friday, April 8, 2011

Gaddafi bayar AS untuk bersihkan imej





TRIPOLI - Hanya beberapa tahun sebelum pemimpin Libya, Muammar Gaddafi terlibat dalam peperangan dengan pemberontak, beliau dikatakan menghabiskan berjuta-juta dolar setahun untuk membersihkan imejnya.

Gaddafi dilaporkan mengupah sebuah syarikat perundingan yang berpusat di Boston, Amerika Syarikat, The Monitor Group sekurang-kurangnya AS$3 juta (RM9 juta) setahun untuk melancarkan kempen perhubungan awam rahsia untuk membersihkan imejnya sebagai seorang pemimpin pada 2006.

Syarikat perundingan itu diupah untuk melaksanakan satu strategi perhubungan awam termasuk membayar penganalisis dan bekas pegawai kerajaan ke Libya secara percuma untuk mengajar, mengadakan perbincangan dan mengadakan pertemuan peribadi bersama Gaddafi.

Menurut sumber, kempen itu adalah untuk meningkatkan pemahaman antarabangsa dan penghormatan kepada Libya untuk menekankan kemunculan Libya baru serta memperkenalkan Gaddafi sebagai seorang ahli falsafah dan intelektual.

GCC perantara krisis Yemen



DOHA 7 April - Negara-negara Teluk yang menjadi perantara dalam usaha untuk menamatkan krisis politik di Yemen, berharap untuk mencapai perjanjian yang akan membawa peletakan jawatan Presiden Ali Abdullah Saleh.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad bin Jassem al-Thani hari ini berkata, anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) 'berharap untuk mencapai perjanjian yang termasuk pengunduran Presiden Yemen'.
Menteri-Menteri Luar GCC pada Ahad lalu bersetuju untuk mula berhubung dengan kerajaan Yemen dan pembangkang 'dengan cadangan bagi menyelesaikan situasi semasa'.
Akhbar Qatar, Alarab melaporkan, cadangan GCC yang dikemukakan kepada pihak-pihak di Yemen menuntut Saleh meletakkan jawatan dan melepaskan kuasa kepada sebuah majlis kebangsaan sementara terdiri daripada para pemimpin kabilah dan politik.
Kedua-dua kem telah menerima jemputan untuk mengadakan rundingan di ibu negara Arab Saudi, Riyadh tetapi tarikh rundingan tidak diumumkan.
Menurut pasukan perubatan dan saksi, kira-kira 125 orang terbunuh apabila pasukan keselamatan Yemen bertindak ke atas penunjuk perasaan.
Demonstrasi dilancarkan di seluruh negara pada akhir Januari lalu bagi tujuan menjatuhkan Saleh, yang memegang kuasa sejak 1978.
GCC dianggotai oleh Bahrain, Kuwait, Arab Saudi, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). - AFP

2 kereta api bertembung di Israel


PENYIASAT Israel dan pasukan penyelamat berada di tempat kejadian di mana dua kereta api penumpang bertembung di stesen kereta api Netanya di utara Tel Aviv, semalam. – AFP

TEL AVIV 7 April – Sekurang-kurangnya 70 orang dimasukkan ke hospital selepas dua kereta api penumpang bertembung berhampiran sebuah stesen kereta api di utara Tel Aviv, hari ini.
Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata, beberapa mangsa dimasukkan ke hospital kerana terkejut dengan insiden itu, manakala kebanyakan mangsa mengalami cedera ringan kerana kedua-dua kereta api berkenaan sedang bergerak perlahan ekoran mendekati stesen di bandar Netanya itu.
Saksi menyatakan bahawa kereta api dua tingkat itu bertembung di lokasi di mana landasan-landasan kereta api bertemu beberapa ratus meter dari stesen berkenaan.
Kesilapan manusia dipercayai menjadi punca berlaku kemalangan itu.
Polis dan Perkhidmatan Kereta Api Israel kini menyiasat sama ada seorang daripada pemandu kereta api itu telah melanggar lampu isyarat.
Menurut saksi, sebuah kereta api telah melanggar satu lagi kereta api yang sedang berhenti dan menyebabkannya rosak teruk.
“Kami baru sahaja meninggalkan stesen Netanya ketika kami mendengar bunyi kuat,” kata seorang penumpang kereta api lain yang enggan dikenali kepada wartawan.
Dia juga turut percaya seorang daripada pemandu kereta api itu mungkin telah melanggar lampu isyarat. – Dpa

Balai polis kena rompak

LONDON: Detektif berkata, semalam mereka memburu beberapa pencuri yang memecah masuk sebuah balai polis dan mencuri pakaian seragam dan sistem radio.

Penjenayah memecah masuk balai polis di Uddingston tidak jauh dari Glasgow pada awal pagi kelmarin ketika balai itu sudah ditutup.


“Keselamatan orang ramai dan pegawai polis terancam ekoran kejadian itu,” kata jurucakap polis Strathclyde.

Jurucakap itu enggan memberitahu bagaimana penjenayah dapat memasuki bangunan berkenaan. - AP

300 bantah tindakan bakar Quran

KABUL: Beratus-ratus rakyat Afghanistan semalam meneruskan tunjuk perasaan, buat hari ketujuh di bandar raya ini kerana membantah tindakan biadap seorang paderi Amerika Syarikat membakar kitab suci al-Quran.


“Kira-kira 300 orang mengadakan bantahan secara aman di hadapan Masjid Eid Gah. “Tidak ada keganasan berlaku dan ia berakhir selepas satu jam,” kata jurucakap polis Kabul, Hashmat Stanikzai.




Saksi berkata penunjuk perasaan membawa sepanduk dan pelekat yang tertulis dengan ungkapan ‘Bunuh, bunuh Amerika’ dan ‘Quran adalah undang-undang kami’. Tunjuk perasaan itu dilakukan selepas solat Subuh.


Sekurang-kurangnya 24 orang termasuk tujuh kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terbunuh dalam beberapa bantahan di Afghanistan terhadap pembakaran al-Quran oleh paderi AS itu, bulan lalu. - AFP

14,700 mayat masih dicari

"MINAMI SOMA: Polis Jepun, semalam melancarkan gerakan besar-besaran mencari beribu-ribu mayat sebelum ia reput di kawasan pantai yang dilanda tsunami.


Hampir sebulan selepas gempa berukuran 9.0 magnitud yang menyebabkan tsunami melanda pantai di tenggara Jepun, lebih daripada 14,700 orang masih hilang.
Kebanyakannya dihanyutkan ke laut dan tidak mungkin ditemui lagi.


Pihak berkuasa berkata tidak banyak masa lagi untuk mencari dan mengenal pasti mayat. Usaha itu sebelum ini terjejas akibat kebocoran loji nuklear. - Agensi

5 pemberontak korban serangan Nato

AJDABIYAH: Satu serangan udara Nato membunuh sekurang-kurangnya lima pemberontak Libya berhampiran bandar pelabuhan Brega, semalam.


Dalam perkembangan lain, lima pemberontak turut terbunuh dalam serangan yang dilakukan tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi.
Anggota pemberontak yang dibawa ke hospital di Ajdabiyah, wilayah timur Libya yang dikuasai kumpulan itu berkata, kedudukan mereka dibom dalam satu serangan udara.


“Ia serangan yang dilakukan Nato. Kami berada hampir dengan kenderaan kami di Brega,” kata seorang mangsa, Younes Jumaa. - AP

Penduduk, pemberontak tinggalkan Ajdabiya

AJDABIYA: Beribu-ribu pemberontak Libya dan orang awam, semalam meninggalkan Ajdabiya selepas khabar angin tersebar kononnya tentera Muammar Gaddafi sudah mara ke bandar di timur Tripoli itu.


Wartawan AFP di bandar berkenaan berkata, penduduk bersesak-sesak menaiki kereta dan trak untuk bersama-sama dengan kenderaan pemberontak yang lengkap bersenjatakan pelancar roket dan mesingan, meninggalkan Ajdabiya untuk menuju ke Benghazi, kira-kira 160 kilometer, kubu kuat kumpulan penentang Gaddafi. - AFP

250 pelarian mati lemas

"ROME: Kira-kira 250 orang pelarian, kebanyakannya dari negara di Afrika masih hilang dan dikhuatiri mati lemas selepas bot yang mereka naiki dan berlepas dari Libya Isnin lalu, karam.


Jurucakap Pertubuhan Migrasi Antarabangsa, Jean-Philippe Chauzy berkata, bot itu karam kelmarin sebaik saja kapal penyelamat pasukan pengawal pantai tiba.
“Laut bergelora ketika itu dan apabila penumpang berkumpul di tepi, ia senget lalu tenggelam.


“Mereka lemas dalam sekelip mata. Yang tidak tahu berenang cuba berpaut antara satu sama lain,” katanya. - Reuters

Gaddafi rayu pada Obama




ANGGOTA kumpulan pemberontak Libya bersiap sedia melancarkan serangan roket terhadap tentera Gaddafi di Ajdabiya, semalam.
ANGGOTA kumpulan pemberontak Libya bersiap sedia melancarkan serangan roket terhadap tentera Gaddafi di Ajdabiya, semalam.





PENYOKONG kumpulan pemberontak, Abd El Halim Fakroun mara untuk memberi sokongan moral kepada pemberontak di luar Brega,  timur Libya, semalam.
PENYOKONG kumpulan pemberontak, Abd El Halim Fakroun mara untuk memberi sokongan moral kepada pemberontak di luar Brega, timur Libya, semalam.




WASHINGTON: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam merayu secara langsung kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama untuk menamatkan apa yang disifatkan sebagai peperangan yang tidak adil.
Beliau turut mengucapkan selamat kepada Obama dalam usahanya untuk mempertahankan jawatan dalam pilihan raya tahun depan.

“Anda adalah orang yang mempunyai keberanian secukupnya untuk membatalkan tindakan yang silap,” kata Gaddafi dalam surat tiga muka kepada Obama.

“Saya pasti anda mampu untuk bertanggungjawab terhadapnya.
“Untuk memastikan keamanan di seluruh dunia, persahabatan antara rakyat kita, dan demi kepentingan ekonomi serta kerjasama keselamatan dalam memerangi keganasan, anda berada dalam kedudukan untuk menghentikan Nato daripada mencampuri hal ehwal Libya,” kata Gaddafi.

Rumah Putih mengesahkan surat berkenaan tetapi enggan mengulasnya secara terperinci.


Gaddafi turut memberitahu Obama sebuah masyarakat demokratik tidak boleh dibina dengan menggunakan peluru berpandu dan pesawat pengebom.

Dalam surat yang dikatakan mempunyai banyak kesilapan ejaan dan tatabahasa Inggeris, Gaddafi memulakannya dengan menyebut Obama sebagai anak.
“Anak kami yang disayangi, yang dihormati, Baraka Hussein Abu Oumama,” kata pemimpin Libya itu dalam surat berkenaan.
Beliau juga tidak menyuarakan kemarahan pada Obama dalam surat yang bertarikh 5 April 2011 itu. - APmyMetro | Gaddafi rayu pada Obama

Israel tahan 100 wanita Palestin

NABLUS: Tentera Israel dilaporkan menyerbu sebuah kampung berhampiran Nablus awal pagi semalam, menahan lebih 100 wanita ketika memburu pembunuh sebuah keluarga Israel.


“Beratus-ratus tentera memasuki Awarta sebaik saja tengah malam dan mengenakan perintah berkurung selepas mereka mula mengepung wanita terbabit,” kata ketua majlis tempatan, Tayis Awwad.


Mereka meneruskan pencarian dari rumah ke rumah sepanjang malam, katanya. Sumber keselamatan Palestin mengesahkan maklumat yang sama.
Tentera mula menjalankan serbuan di kampung itu sejak empat minggu lalu, menahan sejumlah penduduk kampung berikutan pembunuhan sebuah keluarga yang tinggal berhampiran penempatan Itamar bulan lalu.


“Tetapi serangan semalam, menandakan kali pertama mereka menahan wanita,” kata Awwad. – AFP

Pujuk Saleh serah kuasa

PENUNJUK perasaan antikerajaan berarak menuntut Saleh meletakkan jawatan dalam bantahan di bandar Taiz, selatan negara itu, baru-baru ini.
PENUNJUK perasaan antikerajaan berarak menuntut Saleh meletakkan jawatan dalam bantahan di bandar Taiz, selatan negara itu, baru-baru ini.
GCC jadi broker krisis Yaman
LONDON/DUBAI: Negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menjadi orang tengah mewujudkan perjanjian supaya Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh meletak jawatan dan menyerah kuasa kepada satu majlis pemimpin puak dan politik sementara, selepas 32 tahun memerintah.
Tindakan balas Salleh terhadap penentangnya hingga membawa pertumpahan darah mencabar kesabaran penyokongnya iaitu Amerika Syarikat dan Arab Saudi, protes yang dianggap berpunca daripada perkembangan di Mesir dan Tunisia.

Pelbagai sumber rasmi berkata, Amerika dan GCC bersedia mengetepikan Saleh dengan harapan mengelak huru-hara di negara Arab paling miskin itu yang dituduh melindungi al-Qaeda.

Walaupun diplomat yang biasa dengan rundingan tidak yakin perjanjian itu dapat dicapai, cadangan oleh negara Arab di Teluk adalah supaya Saleh bersetuju berundur dan menyerahkan kuasanya kepada sebuah majlis negara.

“Antara cadangan ialah membentuk majlis pemerintah yang mengumpulkan semua parti politik dan puak untuk satu tempoh tidak melebihi tiga bulan,” kata pegawai.

Syor itu akan disampaikan kepada Saleh dan pembangkang dalam rundingan tidak lama lagi di Arab Saudi. Tiada tarikh ditetapkan.
“Majlis itu akan menentukan proses pilihan raya,” tambah pegawai Teluk itu, sama seperti sumber lain di rantau itu dan sebaliknya.

Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang mengumpulkan Arab Saudi dengan jiran kecilnya Kuwait, Oman, Bahrain, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu, membuat jemputan Isnin lalu.

Saleh memaklumkan wakil GCC Selasa lalu, beliau akan datang untuk berunding di Riyadh. Duta sedang menunggu maklum balas daripada pemimpin pembangkang yang mereka temui di Yaman kelmarin.

Lebih 100 orang terkorban sejak bantahan di Yaman Februari lalu. Kematian 52 penunjuk perasaan pada 18 Mac lalu, jelasnya di tangan lelaki bersenjata yang menyokong Saleh menukarkan sekutu kedua-dua pihak di dalam dan luar negara menentang ketua negara veteran itu. – Reuters
Berita Harian Online | Pujuk Saleh serah kuasa

Gempa baru gegar Jepun


pix_gal0
Bangunan Tokyo bergoyang, gegaran tidak jejas loji nuklear 


TOKYO: Satu lagi gempa bumi besar 7.4 skala Richter melanda timur laut Jepun lewat semalam dan amaran tsunami dikeluarkan membabitkan kawasan yang dilanda gegaran pada kekuatan 9 skala Richter, bulan lalu menjadi punca loji nuklear Fukushima rosak dan melepaskan bahan radioaktif.
Pihak berkuasa masih menunggu laporan kematian dan kecederaan akibat gegaran terbaru, lapor televisyen. Tetapi, banyak kawasan terputus bekalan elektrik kerana gegaran terbaru.
Tiada kerosakan dikesan akibat gempa terbaru ke atas loji nuklear Fukushima dan pekerjanya dapat dipindahkan ke tempat selamat. Bangunan sejauh Tokyo dilaporkan bergoyang selama satu minit.


Di Ichinoseki, bangunannya bergoyang hingga peralatan pejabat jatuh tetapi struktur bangunan masih baik. Gegaran bermula pada 11.32 malam waktu tempatan.


Gegaran terbaru adalah yang terkuat daripada 1,000 gempa susulan sejak tragedi kemanusiaan Jepun berlaku akibat gempa dan tsunami bulan lalu.


Pembaca berita televisyen meminta penduduk di kawasan terbabit segera ke tempat tinggi jauh dari pantai. Sejam selepas gempa terbaru, belum ada tsunami dilaporkan.
Agensi Kaji Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran tsunami setinggi dua meter akan melanda kawasan yang dilanda ombak besar itu selepas gempa melanda bulan lalu.


Pegawai di loji nuklear Fukushima berkata, mereka belum menemui sebarang masalah baru selepas gegaran terbaru.


Mereka berkata, gegaran itu berlaku 50 kilometer di bawah laut tidak jauh dari wilayah Miyagi.


Sementara itu, beberapa jiran Jepun semakin menyuarakan kebimbangan mengenai risiko pencemaran radiasi di wilayah masing-masing akibat kebocoran loji nuklear Fukushima sejak gempa bumi dan tsunami melanda Jepun beberapa minggu lalu.


Di Korea Selatan, beberapa sekolah ditutup kerana ibu bapa pelajar risau anak mereka kena radiasi ketika hujan.


“Kami juga menghantar risalah rasmi kepada pihak sekolah supaya tidak mengadakan aktiviti di luar darjah,” kata pegawai kementerian berkenaan di Seoul.


Agensi keselamatan nuklear Korea Selatan melaporkan kehadiran bahan radioaktif rendah iodin dan caesium dalam hujan di selatan negara itu meskipun parasnya tidak mengancam nyawa.


Tetapi, ramai penduduk Korea Selatan kini memakai topeng muka ketika keluar rumah. Kesesakan lebih ketara di jalan menuju sekolah kerana mereka tidak membenarkan anak berjalan ke sekolah.


“Kami dekat dengan Jepun berbanding Amerika atau Eropah. Penduduk kami tentunya lebih risau,” kata Presiden Lee Myung-bak yang membentuk jawatankuasa khas bagi memantau kesihatan awam.


Kementerian Kesihatan China pula mengesan bahan radioaktif di tiga wilayahnya manakala India berhenti mengimport makanan Jepun selama tiga bulan dan Singapura mengharamkan pengimportan sayur dan buah.


Di Vienna, pegawai nuklear Jepun disoal siasat rakan mereka dari negara lain, khususnya Russia.


“Rakan mereka meminta lebih banyak maklumat terutama Russia,” kata sumber diplomatik. Malah, pegawai Russia memberitahu pegawai Jepun supaya meningkatkan usaha menangani pencemaran radioaktif. – Reuters Berita Harian Online | Gempa baru gegar Jepun

Askar Gaddafi dituduh bom telaga minyak

BENGHAZI: Pegawai pemberontak anti Muammar Gaddafi yang menguasai timur Libya menuduh tentera setia kepada pemimpin itu menyerang telaga minyak Sarir dan menafikan dakwaan kerajaan bahawa ia dibedil askar Britain.


Pegawai itu awalnya berkata, tapak pengeluaran minyak di Misla dan Waha, juga di bahagian timur yang dirampas pemberontak, dihentikan operasi kerana serangan itu.


Penganalisis minyak menyaksikan konflik itu untuk melihat jika Gaddafi akan melakukan serangan ke atas pemasangan minyaknya bagi menghalang cubaan pemberontak menyokong ekonomi di bahagian timur.
Tripoli menafikan mensasarkan kemudahan minyak. – Reuters

Negara Asia makin gusar ancaman radiasi nuklear


Foto
PEGAWAI kesihatan awam Thailand memeriksa daging di sebuah restoran Jepun di Bangkok bagi mengesan pencemaran radiasi, semalam.

Foto
PELAJAR sekolah rendah Midong, Korea Selatan membawa payung ketika wujud kebimbangan hujan mungkin membawa bahan radioaktif dari Fukushima.

TOKYO: Beberapa jiran Jepun semakin menyuarakan kebimbangan mengenai risiko pencemaran radiasi di wilayah masing-masing akibat kebocoran loji nuklear Fukushima sejak gempa bumi dan tsunami melanda Jepun beberapa minggu lalu.


Di Korea Selatan, beberapa sekolah ditutup kerana ibu bapa pelajar risau anak mereka kena radiasi ketika hujan.
“Kami juga menghantar risalah rasmi kepada pihak sekolah supaya tidak mengadakan aktiviti di luar darjah,” kata pegawai kementerian berkenaan di Seoul.

Agensi keselamatan nuklear Korea Selatan melaporkan kehadiran bahan radioaktif rendah iodin dan caesium dalam hujan di selatan negara itu meskipun parasnya tidak mengancam nyawa.


Tetapi, ramai penduduk Korea Selatan kini memakai topeng muka ketika keluar rumah. Kesesakan lebih ketara di jalan menuju sekolah kerana mereka tidak membenarkan anak berjalan ke sekolah.


“Kami dekat dengan Jepun berbanding Amerika atau Eropah. Penduduk kami tentunya lebih risau,” kata Presiden Lee Myung-bak yang membentuk jawatankuasa khas bagi memantau kesihatan awam.


Kementerian Kesihatan China pula mengesan bahan radioaktif di tiga wilayahnya manakala India berhenti mengimport makanan Jepun selama tiga bulan dan Singapura mengharamkan pengimportan sayur dan buah.
Di Vienna, pegawai nuklear Jepun disoal siasat rakan mereka dari negara lain, khususnya Russia.


“Rakan mereka meminta lebih banyak maklumat terutama Russia,” kata sumber diplomatik. Malah, pegawai Russia memberitahu pegawai Jepun supaya meningkatkan usaha menangani pencemaran radioaktif. – Reuters Berita Harian Online | Negara Asia makin gusar ancaman radiasi nuklear

100 juta alamat e-mel bakal dijual


pix_gal0
Penggodam curi data 2,500 syarikat termasuk Hotel Hilton, Citigroup 


WASHINGTON: Penggodam berjaya melakukan rompakan data siber terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat membabitkan berjuta-juta nama dan e-mel daripada firma pemasaran online, Epsilon, dan merancang untuk menjual maklumat itu kepada penjenayah siber.
Epsilon memberi perkhidmatan e-mel kepada 2,500 syarikat di seluruh dunia. Ia mendedahkan, data pelanggan kira-kira dua peratus daripada keseluruhan pelanggannya sudah dicuri penggodam selepas mengesan ‘kes masuk tanpa kebenaran.’
Ed Heffernan, ketua eksekutif Alliance Data Systems Corp, syarikat induk Epsilon, memohon maaf atas kecurian itu kelmarin dan berkata ia sedang disiasat oleh pihak berkuasa persekutuan dan pakar forensik komputer luaran.

“Kami tidak akan biarkan perkara ini begitu saja dan sedang menangani tindakan jahat pencuri siber canggih dengan sedaya upaya,” kata Heffernan.

Epsilon yang menghantar lebih 40 bilion e-mel setahun, tidak mengenal pasti firma mana nama pelanggan dan alamat emel diambil namun berpuluh syarikat Amerika memaklumkan perkara itu sejak beberapa hari lalu.

“Secara asasnya, data itu membabitkan tokoh industri penting peruncitan dan perbankan online. Sesetengahnya membabitkan jenama terkenal dunia,” kata Ketua SpiderLabs Trustwave, Nicholas Percoco.
Ia termasuk hotel Hilton dan Marriott, gergasi telekom Verizon, rangkaian kedai ubat Walgreens, Home Shopping Network dan peruncit Best Buy, Kroger, New York & Co. serta Target.

Firma kewangan dan perbankan pula termasuk Citigroup, JPMorgan Chase, Capital One, US Bank, Barclays Bank of Delaware dan Ameriprise Financial.

Percoco berkata kecurian data Epsilon mungkin membabitkan 100 juta alamat e-mel dan ‘mungkin berakhir dengan pelanggaran terbesar data mentah peribadi, data pelanggan.’

Tidak hairanlah, bank utama Amerika selain hotel, peniaga dan syarikat lain mula memberi amaran kepada pelanggan supaya berhati-hati dengan e-mel palsu selepas Epsilon mengakui minggu lalu penggodam berjaya mendapat capaian terhadap sistem e-mel syarikat itu.

Pakar berkata, kecurian data di Epsilon mungkin terbesar dari segi jumlahnya berbanding dengan eksploitasi oleh Albert Gonzalez, seorang penggodam yang merengkok 20 tahun dalam penjara kerana mencuri puluhan juta nombor kad kredit dan debit. – AFP
Berita Harian Online | 100 juta alamat e-mel bakal dijual

Gunting dalam perut wanita selama tiga tahun


GAMBAR sinar X menunjukkan sebilah gunting dalam perut Veronika Cruz.


SAO PAULO, Brazil - Sebilah gunting besar tertinggal di dalam perut seorang wanita, Veronika Cruz selama tiga tahun selepas dia menjalani pembedahan, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Gunting itu tertinggal semasa dia menjalani pembedahan untuk memindahkan ovarinya di sebuah hospital di sini.
Selepas pembedahan itu, dia mengadu terdapat sesuatu dalam perutnya sehingga mengakibatkan dia pengsan namun beberapa doktor menafikan dakwaan Cruz.
Namun, selepas ujian sinar X menunjukkan gunting tersebut, Majlis Perubatan Sao Paulo berjanji akan melakukan siasatan. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Ujian kerusi anjal jet pejuang F-35


SATU rakaman video yang disiarkan semalam menunjukkan kerusi anjal (dalam bulatan) keluar dari sebuah replika jet pada kelajuan 956 kilometer sejam di Samlesbury, Britain baru-baru ini.


SAMLESBURY - Para jurutera di syarikat produk pertahanan BAE Systems di Britain membuat ujian kerusi anjal untuk juruterbang keluar dari jet pejuang F-35 semasa kecemasan, lapor sebuah akhbar semalam.
Ujian itu disiarkan dalam satu klip video yang menunjukkan kerusi ditolak keluar dari sebuah jet pada kelajuan 965 kilometer sejam di sini dekat Preston.
Sistem kerusi anjal itu kini disahkan selamat untuk penerbangan dan ia akan dipasang pada jet yang ditempah oleh tentera Britain dan Amerika Syarikat.
Pengurus Ujian BAE Systems, Rick Whittaker berkata: "Keluar dari sebuah pesawat seperti F-35 mengambil masa tidak lebih daripada tiga saat bermula dari pemegang kerusi anjal ditarik sehingga payung terjun juruterbang dibuka." - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

126 sekolah ditutup


BEBERAPA pelajar memegang payung kerana bimbang terkena hujan yang mengandungi radioaktif di sebuah sekolah di Seoul semalam.


SEOUL - Sebanyak 126 buah sekolah di Korea Selatan ditutup kerana bimbang hujan di negara itu dicemari radiasi dari loji nuklear Fukusihima Daiichi di timur laut Jepun.
Pejabat Pendidikan Wilayah Gyeonggi semalam dalam satu kenyataan memberitahu, ia membenarkan pihak pengurusan sekolah membuat keputusan sama ada mahu meneruskan sesi persekolahan atau sebaliknya.
Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa kadar radiasi dalam air hujan adalah rendah dan ia tidak mengancam kesihatan manusia.
Menurut beberapa pegawai, 126 buah sekolah di wilayah Gyeonggi telah ditutup manakala 43 lagi menyingkatkan waktu pembelajaran sebagai langkah berjaga-jaga.
Wilayah berkenaan terletak berdekatan Seoul.
Sementara itu, pakar-pakar keselamatan nuklear memberitahu, kebocoran radiasi dari loji Fukushima Daiichi ke dalam air dan udara, tidak mengancam kesihatan mereka yang tinggal di luar zon perpindahan sekitar 20 kilometer dari sekitar loji itu.
Loji nuklear Fukushima Daiichi itu rosak selepas gegaran kuat gempa bumi berukuran 9.0 pada skala Richter yang berlaku di timur laut Jepun pada 11 Mac lalu.
Para pekerja bertungkus-lumus menghalang radioaktif tersebar ke udara dan laut akibat kebocoran di beberapa reaktor nuklear di loji berkenaan.
Ekoran gempa bumi kuat itu, tsunami setinggi 10 meter melanda wilayah timur laut Jepun mengakibatkan lebih 27,500 orang terbunuh dan hilang. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Jepun bimbang loji nuklear meletup lagi




LOJI nuklear Fukushima Daiichi di bandar Okuma, timur laut Jepun.


TOKYO - Para pekerja di loji nuklear Fukushima Daiichi, Jepun mengepam gas nitrogen ke dalam reaktor yang rosak bagi mencegah letupan daripada berlaku manakala kerajaan Jepun menimbang untuk meluaskan zon pengasingan di sekitar loji berkenaan.
Ketika krisis kebocoran loji nuklear Fukushima Daiichi masuk minggu keempat semalam, pengendalinya, Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) menyatakan, pihaknya bimbang pengumpulan gas hidrogen di reaktor No.1 boleh menyebabkan satu lagi letupan berlaku di tapak loji tersebut.
Sebelum ini berlaku beberapa letupan di loji tersebut yang bermula sejak 12 Mac lalu.
Ketua Jurucakap Kerajaan Jepun, Yukio Edano menyatakan, Tokyo sedang menimbang untuk meluaskan zon perpindahan di sekitar loji itu daripada 20 kilometer yang dikuatkuasakan sekarang.
Langkah tersebut susulan kenyataan sebuah pertubuhan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa zon tersebut perlu diperluaskan.
"Setakat ini, standard keselamatan kami untuk penduduk tempatan adalah mereka akan diarah supaya berpindah jika tahap radiasi mencecah bacaan 50 milisievert atau lebih tinggi," katanya.
Mengulas mengenai usaha mengepam gas nitrogen ke dalam reaktor terbabit, Edano memberitahu bahawa proses itu berjalan dengan lancar.
Katanya, sebanyak 6,000 kubik meter nitrogen akan digunakan dengan proses itu yang dijangka mengambil masa enam hari.
TEPCO menyatakan, ia turut merancang mengepam nitrogen ke dalam reaktor No.2 dan No.3 sebagai langkah berjaga-jaga.
Loji nuklear Fukushima Daiichi mengalami kerosakan akibat gempa bumi sekuat 9 pada skala Richter dan tsunami yang melanda timur laut Jepun pada 11 Mac lalu yang turut mengorbankan lebih 12,500 orang dengan 15,000 lagi masih hilang setakat ini. - AFP
Kosmo! Online - Dunia

NATO didakwa bunuh 10 pemberontak Libya


BEBERAPA anggota pemberontak menaiki trak di luar bandar Brega di timur Libya semalam.



AJDABIYA - Serangan udara tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Libya didakwa menyebabkan lebih sepuluh pemberontak maut.
Seorang pegawai NATO menyatakan bahawa pesawat-pesawat perikatan itu membunuh lebih 10 anggota pemberontak yang menentang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Kejadian itu berlaku dalam satu serangan udara di antara bandar ini dan bandar minyak, Brega semasa para pemberontak menentang tentera Gaddafi.
"Kami sedang melakukan siasatan dan kami cuba untuk mendapatkan fakta," kata pegawai berkenaan kepada agensi berita Jerman, Dpa.
"Adalah sukar untuk kita mendapatkan fakta kerana kami tidak mempunyai tentera di darat," jelas pegawai berkenaan.
Pada Selasa lalu, NATO mengaku bahawa beberapa anggota pemberontak dan orang awam terbunuh dalam serangan pada hujung minggu.
Kejadian itu berlaku disebabkan tentera NATO tersilap membuat tanggapan dengan menganggap satu tembakan keraian sebagai satu serangan musuh.
Perikatan itu juga menolak dakwaan Gaddafi bahawa tentera NATO telah mengebom sebuah kilang penapis minyak.
"Dakwaan yang dibuat Gaddafi bahawa NATO bertanggungjawab dalam kebakaran di Telaga Minyak Sarir adalah palsu dan ia berlaku disebabkan oleh serangan tentera Gaddafi ke atas rakyatnya sendiri," kata Ketua Operasi NATO di Libya, Leftenan Jeneral Charles Bouchard.
NATO megambil alih kawalan daripada tentera Barat diketuai Amerika Syarikat (AS) bagi melaksanakan zon larangan terbang di Libya selepas dipersetujui pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Zon larangan terbang dikuatkuasakan bagi mengelak Gaddafi membunuh rakyatnya sendiri bagi menghalang kemaraan tentera pemberontak.
Kebangkitan rakyat di Libya berlaku sejak 15 Februari lalu di bandar Benghazi sebelum ia merebak ke bandar-bandar lain di negara ini.
Para pemberontak itu menuntut perubahan politik dilakukan dengan melibatkan pengunduran Gaddafi sebagai pemimpin selepas beliau memerintah selama empat dekad sejak 1969 melalui rampasan kuasa. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Derita bayi jantung di luar badan


GAMBAR ini menceritakan segalanya. Koh Jun Hao perlu dibedah 20 kali untuk menutup organ jantungnya yang terletak di luar tubuh menerusi pembedahan.

JOHOR BAHRU - Sukar dipercayai apabila seorang bayi lelaki comel dilahirkan dalam keadaan organ jantungnya terletak di luar tubuhnya sendiri.
Itulah takdir Koh Jun Hao yang kini berusia 14 hari apabila organ jantungnya terletak di dada, bukan di dalam tubuh sebagaimana kebiasaan.
Lebih menyayatkan hati, bayi berkenaan memerlukan 20 kali pembedahan bagi membolehkan jantungnya itu ditutup dengan kulit tiruan.
Bapanya, Koh Guan Siang, 33,berkata, anak keempatnya itu dijadualkan menjalani pembedahan pertama bulan ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Meskipun segala perbelanjaan untuk pembedahan menggunakan tabung bantuan perubatan HKL namun menurut Guan Siang, banyak kos lain yang perlu ditanggungnya.
Menurutnya, rawatan susulan Jun Hao terutama bagi kos susu khas dan ubat-ubatan yang perlu dimakan setiap hari amat tinggi.
Beliau menganggarkan kos itu kira-kira RM3,000 sebulan yang terpaksa ditanggung olehnya semasa bayinya itu dirawat di HKL.