Pages

Thursday, January 19, 2012

Gempa bumi kuat landa pantai barat Pulau Selatan New Zealand

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Satu gempa bumi kuat bermagnitud 6.1 skala Richter melanda pantai barat Pulau Selatan New Zealand pada 2.48 petang tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, pusat gempa bumi tersebut terletak di 658km barat daya Christchurch, New Zealand.
Ia tidak membawa sebarang ancaman tsunami. - BERNAMA

Simbah asid: 2 pelajar ditahan



ROSMIZA KASIM
January 19, 2012
duda-disimbah-asid
KOTA BHARU - Dua pelajar ditahan kerana disyaki menyimbah asid terhadap seorang lelaki, Wan Hussin Wan Yusoff, 52, di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tendong, Ahad lalu.

Kedua-dua pelajar terbabit masing-masing berusia 16 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, dalam dua serbuan berasingan antara jam 2.35 hingga 2.45 pagi semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua pelajar terbabit dipercayai dijanjikan akan mendapat upah daripada bekas isteri kedua mangsa.

Beliau berkata, salah seorang daripada pelajar terbabit yang belajar di sebuah sekolah agama menyimbah asid terhadap mangsa jam 12.15 pagi.

Katanya, kedua-dua pelajar terbabit yang berasal dari Kampung Kutan, Wakaf Bharu, Tumpat kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.

“Sebaik menahan pelajar terbabit, hasil soal siasatan, kita berjaya menemui semula botol asid yang dibuang ke dalam parit yang mengandungi air sejauh kira-kira dua kilometer daripada rumah mereka,” katanya semalam.

Jalaluddin berkata, polis kini mengesan tudung botol asid terbabit yang dipercayai dibuang berhampiran tempat kejadian. Sebelum ini, polis menahan dua bekas isteri mangsa yang berusia 31 dan 42 tahun untuk membantu siasatan.

Pada 16 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan seorang duda cedera parah dipercayai disimbah asid oleh lelaki yang tidak dikenali.

Isteri ragui punca kematian suami



ROSMIZA KASIM DAN ROSALWANI CHE SOH
January 19, 2012
kematian-suami
KOTA BHARU - “Saya hanya tahu mengenai suami yang terlibat dalam kemalangan apabila diberitahu oleh jiran dan saya terus naik kereta bersama dua anak saya ke tempat kejadian,” kata isteri mangsa kemalangan, Zaiponi Lah, 43.

Menurut Zaiponi, sebelum kejadian suaminya baru pulang dari madrasah selepas solat Isyak dan sempat menjamah nasi di rumah sebelum keluar semula menuju ke rumah mertua yang juga terletak tidak jauh dari rumahnya.

“Sampai di tempat kejadian berhampiran masjid Badang, saya terus mencari suami dan saya dapati dia dibawa naik ke dalam ambulans sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). Pada ketika itu dia masih hidup namun dalam keadaan nazak dan saya nampak dia cedera di bahagian kepala dan lengan,” katanya.

Zaiponi berkata, suaminya disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8.15 pagi.

“Apa pun saya masih ragu-ragu dengan kematian suami saya ini kerana kecederaan yang dialaminya begitu teruk. Saya harap polis melakukan siasatan segera mengenai kes ini bagi mengetahui punca sebenar kematiannya,” katanya semalam.

Mangsa, Idris Mamat, 54, yang dipercayai dilanggar dari bahagian belakang oleh sebuah kenderaan ketika menunggang motosikal bersendirian mengalami kecederaan serius di bahagian kepala.

Paha bayi patah



WARTAWAN SINAR HARIAN
January 19, 2012
saiful
BAGAN SERAI – Kesal dengan kecuaian dilakukan seorang pegawai perubatan, seorang bapa di sini mahu pegawai yang melakukan pembedahan terhadap isterinya ketika melahirkan anak bertanggungjawab ke atas kecederaan pada paha kiri bayinya.

Bapa, Mohd Baki Hasan, 37, berkata, pegawai berkenaan sudah membuat pengakuan mengenai kecuaiannya iaitu menarik keluar bayi berkenaan sehingga mengakibatkan paha kiri anaknya patah.
Menurutnya, anaknya memerlukan tempoh lebih kurang tiga bulan untuk sembuh dan bayi itu mungkin mengalami kecacatan seumur hidup.

“Kejadian itu berlaku pada Jumaat lalu 13 Januari 2012 apabila isteri saya dikatakan mengandungkan anak dalam keadaan songsang dan perlu dibedah sekitar jam 10.55 pagi di salah sebuah pusat perubatan, di sini.

“Isteri saya berkata, sewaktu pembedahan dijalankan bayi saya didapati mengeluarkan kaki terlebih dan mendakwa pegawai berkenaan bertindak menarik keluar anak saya dengan agak kasar,” katanya yang membuat lapo­­ran polis semalam di Ibu Pejabat Polis Bagan Serai untuk siasatan lanjut.

Mohd Baki berkata, dia mendapati paha kiri anaknya patah selepas ujian x-ray dilakukan ke atas bayi itu.

Jelasnya, walaupun pihak berkenaan sudah memohon maaf namun, dia tidak sanggup melihat penderitaan bayinya dan mahu mereka me­nguruskan anaknya sehingga sembuh sepenuhnya.

“Saya berharap pegawai berkenaan bertanggungjawab di atas perbuatannya itu dengan menanggung semua kos pembedahan termasuk kos perjalanan saya untuk berulang-alik ke pusat perubatan berkenaan.

“Untuk menanggung sendiri kos pembedahan, perubatan dan perjalanan, saya tidak mampu kerana saya bukan orang senang,” katanya.

Dia turut berharap perkara kecuaian seumpama ini tidak berlaku lagi kepada orang lain kerana akan menjejaskan kredibiliti pusat perubatan berkenaan.

Mayat hampir reput ditemui



WARTAWAN SINAR HARIAN
January 19, 2012
jenazah-reput
KULIM - Bau busuk yang mengganggu penduduk sebuah rumah pangsa di Taman Jati Blok C, di sini terjawab apabila pihak polis menemui mayat seorang lelaki hampir reput, di tingkat tiga kediaman berkenaan.

Anggota Unit MPV Balai Polis Kulim yang menerima panggilan daripada penduduk bagaimanapun terpaksa memecah pintu sebelum memasuki rumah berkenaan.

Dari siasatan yang dijalankan, mayat lelaki yang ditemui dalam keadaan terduduk di atas kerusi ruang tamu dikenali sebagai Manivannam Ganiasamy, 33.

Mangsa sudah berumah tangga dan mempunyai empat anak. Dia tinggal bersendirian kerana isterinya T Murugammah, 29, mengambil keputusan untuk tinggal bersama ibunya di Block F di kawasan sama.

Ketua Balai Polis Kulim, Cif Inspektor Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, isteri mangsa kecewa dengan sikap mangsa yang sering mabuk dan tidak mahu bekerja.

Menurutnya, rumah yang didiami mangsa sekarang ini milik isterinya tetapi dilelong bank kerana kegagalan mangsa membayar wang ansuran bulanan.

“Kali terakhir isteri mangsa menghantar makanan kepada mangsa pada empat hari lalu. Namun berlaku perselisihan faham.

“Bagaimanapun isteri mangsa hanya mengetahui mengenai kejadian menimpa suaminya setelah dimaklumkan oleh jiran yang tinggal berdekatan dengan rumah mangsa, “ katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim bedah siasat semalam dan punca kematian masih dalam siasatan.

Aktivis muda Iran ditembak mati di Houston



WARTAWAN SINAR HARIAN
January 19, 2012
Aktivis muda Iran ditembak mati di Houston
HOUSTON - Seorang pelajar perubatan Texas, yang dikenali sebagai aktivis isu-isu Iran, ditemui mati ditembak tidak jauh dari rumahnya di sini, Isnin lalu.

Gelareh Bagherzadeh, 30, dilaporkan ditembak dari bahagian tingkap ketika sedang memandu tengah malam Isnin lalu.

Ketika kejadian, dia dikatakan sedang berbual dengan teman lelakinya menerusi telefon bimbit.

"Apabila pegawai-pegawai tiba, mereka temui satu kenderaan merempuh pintu garaj. Bagherzadeh ditemui tersembam di tempat duduk pemandu," demikian menurut Jabatan Polis Houston dalam satu kenyataan, semalam.

Laporan ABC News menyebut, menurut pihak berkuasa, barang-barang milik mangsa tidak hilang. Telefon bimbit dan dompetnya ditemui di dalam kereta dipandunya.

Kenyataan itu berkata, menurut saksi mereka mendengar beberapa das tembakan.

Bagherzadeh merupakan keturunan Iran dan seorang yang lantang memperjuangkan hak asasi wanita Iran dan mengeam kerajaan Teheran.

Malah menurut stesen ABC News, foto dan video dari laman web akhbar menunjukkan Bagherzadeh ada menyertai protes menuntut perubahan rejim Iran pada 2010.

Ketika itu dia telah meminta agar namanya tidak digunakan dalam video sebab bimbang pendakwaan, demikian menurut Houston Chronicle.

"(Kami) tidak dipercayai yang dia disasarkan disebabkan (faktor) etinik atau disebabkan dia seorang aktivis," kata jurucakap Jabatan Polis Houston Victor Senties kepada ABCNews.com.

Buat masa ini, pois tidak percaya yang kematiannya ada kaitan dengan aktivisme tetapi kejadian ini sesuatu yang misteri.

"Mereka masih dalam proses siasatan," kata Senties.

Bagherzadeh mengikuti pengajian teknologi genetik molekular di Texas Medical Center.

Polis menawarkan AS$5,000 kepada pemberi maklumat mengenai kejadian ini.

Kilang Apple upah pekerja kanak-kanak




Juruteknik wanita bergambar di kilang pemasangan iPhone di Shenzhen, China baru-baru ini. - AFP


CALIFORNIA 18 Jan. - Pemeriksaan yang dijalankan syarikat gergasi teknologi Apple Inc. mendapati pekerja-pekerja di kilang pengeluarannya di China terpaksa bekerja lebih masa sehingga 60 jam seminggu bagi menyiapkan iPhone dan iPad untuk pelanggan di Barat.
Menurut laporan pemeriksaan, pekerja di 93 daripada 229 kilang didapati bekerja lebih masa berbanding tempoh kerja maksimum yang ditetapkan Apple.
Syarikat itu juga mendapati terdapat bukti menyatakan sebanyak lima kilang turut mengambil kanak-kanak sebagai pekerja, namun mendakwa Apple tidak pernah berniat menggaji pekerja bawah umur.
Pendedahan tersebut dilihat memalukan dan juga satu tamparan baru kepada Apple, dua minggu selepas pekerja-pekerja di sebuah daripada kilang pengeluarannya mengancam untuk membunuh diri kerana masalah gaji.
Mengambil kira layanan yang diterima pekerja di kilang-kilang pengeluarannya terutama di China, Apple telah memperluas program pemeriksaan syarikatnya sejak beberapa tahun lalu.
Sebanyak 80 peratus kilang pengeluarannya diperiksa tahun ini berbanding tahun lalu, termasuk 100 buah kilang yang tidak pernah diperiksa sebelum ini.
Menurut laporan berkenaan, pemeriksa Apple mendapati 42 kilang telah melanggar peraturan pembayaran gaji termasuk lewat membayar gaji pekerja, sementara 108 kilang tidak membayar bayaran kerja lebih masa.
Sebanyak 49 buah kilang pula tidak membenarkan pekerja mengambil cuti berbayar atau bercuti, sementara 67 kilang turut memotong gaji pekerja kononnya sebagai langkah mendisiplinkan mereka.
Pengurus di 24 buah kilang juga didapati menjalankan ujian kehamilan ke atas pekerja wanita, satu amalan yang disifatkan Apple sebagai diskriminasi.
Walaupun Apple merupakan syarikat teknologi terbesar dunia, ia tidak mengeluarkan produknya sendiri, tetapi menyerahkan tugas itu kepada kilang-kilang pengeluarannya di seluruh dunia. - Agensi

Pembunuhan pakar nuklear dorong semangat pelajar Iran



TEHERAN 18 Jan. - Kira-kira 1,300 pelajar universiti di Iran memohon untuk menukar bidang pengajian utama mereka kepada sains nuklear berikutan pembunuhan seorang pakar nuklear Teheran minggu lalu.
Menteri Penyelidikan Sains dan Teknologi, Kamran Daneshjo pada sidang media kelmarin berkata, 300 pelajar berbakat di Universiti Sharif dan kira-kira 1,000 pelajar pintar di pelbagai universiti di seluruh negara ini memohon untuk menukar kursus serta mula mempelajari fizik nuklear dan kejuruteraan nuklear.
Daneshjo membuat kenyataan itu lima hari selepas pembunuhan saintis nuklear, Mostafa Ahmadi Roshan (gambar) yang merupakan bekas lulusan Universiti Sharif.
Roshan telah memainkan peranan penting dalam program nuklear Iran selaku Timbalan Pengarah loji pengayaan uranium Natanz.
Beliau terbunuh pada 11 Januari lalu akibat letupan sebutir bom magnet dilekatkan pada keretanya oleh seorang penunggang motosikal.
Roshan ialah saintis nuklear Iran yang keempat dibunuh dalam tempoh dua tahun lalu.
Pegawai Iran menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Israel mendalangi pembunuhan beliau.
Sementara itu, Naib Presiden Pertama Iran, Mohammad Reza Rahimi berkata, Presiden Mahmoud Ahmadinejad mengarahkan 'langkah keselamatan tambahan' diambil bagi melindungi pakar-pakar dan jurutera nuklear Iran.
"Sebuah pasukan petugas keselamatan khas telah pun ditubuhkan bagi tujuan itu," kata Rahimi. - AGENSI.

3,000 kes laporan langgar peraturan pilihan raya di Rusia




Polis menahan seorang penunjuk perasaan berpakaian algojo yang berdemonstrasi secara haram di depan Kementerian Dalam Negeri di Moscow, semalam. Pada dadanya tertera ayat 'Rasuah'. - AFP


MOSCOW 18 Jan. - Sebanyak 3,000 kes pelanggaran peraturan dikesan semasa pilihan raya Parlimen Rusia yang dimenangi oleh parti pemerintah pimpinan Perdana Menteri, Vladimir Putin, kemenangan yang mencetuskan protes besar-besaran.
Bagaimanapun pendakwa raya tidak menyokong dakwaan penipuan dan manipulasi undi berlaku secara meluas.
Pencabulan itu antara lain termasuk konflik kepentingan dalam jawatankuasa pilihan raya dan pengundi tidak sah, kata pendakwa raya dalam laporan yang diserahkan oleh Peguam Negara Rusia, Yuri Chaika kepada Presiden Dmitry Medvedev.
Sehingga kini, 95 orang dikenakan tindakan disiplin berhubung pelanggaran tersebut, menurut laporan yang disiarkan di laman web Kremlin, hari ini.
Namun laporan itu tidak menyebut mengenai sebarang kes jenayah dan tidak menyokong dakwaan pembangkang bahawa penipuan dilakukan secara meluas untuk memastikan kemenangan Parti Kesatuan Rusia pimpinan Putin.
"Kira-kira 3,000 kes pelanggaran undang-undang pilihan raya ditemui dan 95 orang dikenakan tindakan," kata pendakwa raya
Di beberapa wilayah, pendakwa raya mematahkan percubaan untuk melantik orang yang bekerja untuk calon ke jawatankuasa pilihan raya.
Di wilayah Siberian Altai, senarai pengundi termasuk 986 orang yang tidak sepatutnya mengundi kerana mereka dianggap tidak layak di sisi undang-undang untuk mengundi atau mereka menjalani hukuman penjara. - AFP

Aktivis antipaus tempur nelayan Jepun




Anak kapal nelayan paus Jepun, Yushin Maru No. 2 menembak menggunakan meriam air ke arah bot aktivis Sea Shepherd Conservation Society di Lautan Selatan, kira-kira 483 km ke utara Semenanjung Mawson dekat Antartika, semalam. - REUTERS


SYDNEY 18 Jan. - Tiga aktivis anti pemburuan paus mengalami kecederaan akibat terkena cangkuk dan batang buluh selepas bertempur dengan kumpulan pemburu ikan paus Jepun di Lautan Selatan, hari ini.
Kumpulan aktivis Sea Shepherd dalam laman webnya berkata, kejadian itu berlaku di kawasan laut yang terletak kira-kira 482 kilometer di utara Semenanjung Mawson di persisiran pantai Antartika.
Kapten kapal aktivis Steve Irwin, Paul Watson berkata, dia bersama krew cuba memperlahankan kapal Jepun Yushin Maru No. 2 yang mengekori kapalnya secara berbahaya.
Katanya, seorang krew dari Amerika Syarikat, Brian Race mengalami kecederaan di bawah mata dan hidung akibat terkena buluh, manakala jurukamera dari Afrika Selatan, Russell Bergh dan jurugambar dari Perancis, Guillaume Collet, mengalami lebam terkena cangkuk besi.
Satu rakaman video menunjukkan meriam air ditembak dari kapal Jepun ke arah bot getah berwarna hitam, manakala kumpulan aktivis yang menaiki kapal kecil bertindak melontar sejenis peluncur ke arah kapal pemburu terbabit.
Jurucakap Institut Kajian Cetacean (ICR) Jepun, Glenn Inwood berkata, kumpulan aktivis cuba memotong tali menggunakan pisau, melontar cangkuk pada pukat cuba merosakkan kipas kapal.
"Dua tali yang diubah suai dengan mempunyai besi berat digunakan kumpulan terbabit untuk merosakkan kipas dan mereka turut melemparkan 30 botol cat.
"Pihak kapal Jepun kemudiannya bertindak menggunakan batang buluh untuk menolak bot getah tersebut daripada menghampiri.
"Berkemungkinan aktivis yang tercedera itu disebabkan terkena cangkuk mereka sendiri," katanya. - REUTERS

Kapten Costa Concordia dituduh kemudi kapal seperti memandu Ferrari




Lokasi kapal Costa Concordia karam begitu hampir dengan pelabuhan pulau Giglio. - AFP


GIGLIO 18 Jan. - Kapten kapal persiaran Costa Concordia, yang karam di perairan pantai barat Itali, dibebaskan daripada tahanan reman semalam, tetapi dikenakan perintah tahanan di rumah.
Francesco Schettino, 52, yang menjadi kapten kapal sejak 2006 berdepan dengan hukuman penjara 15 tahun atas tuduhan membunuh, menyebabkan nahas kapal dan meninggalkan kapalnya sebelum semua penumpang diselamatkan.
Dalam sebutan kes semalam, majistret mengarahkan beliau dibebaskan, walaupun pendakwa raya yang menuduh Schettino mengemudi kapal persiaran mewah itu seperti memandu Ferrari, berkeras mahu dia terus ditahan.
Menurut isterinya, Fabiola, tuduhan ke atas suaminya itu 'masih belum dibuktikan' dan dia turut mempertahankan Schettino dengan menyifatkannya sebagai seorang yang 'sangat berdedikasi dan profesional'.
Angka korban akibat nahas itu meningkat sekali ganda hari ini kepada 11 orang selepas penyelam menemui lima lagi mayat di bahagian belakang kapal berhampiran pusat pemindahan kecemasan, menurut Komander Pengawal Pantai Itali, Cosimo Nicastro.
Nicastro berkata, mangsa yang kesemuanya memakai jaket keselamatan itu dipercayai penumpang kapal.
Pendakwa raya berkata, Schettino cuba menunjuk-nunjuk dengan belayar melalui pulau Tuscan, Giglio, tempat ketua pelayannya tinggal, ketika dia mengemudi kapal persiaran itu hanya kira-kira 150 meter dari pantai.
Semalam pihak berkuasa turut mengarahkan ujian alkohol dijalankan walaupun ketua eksekutif Costa Cruises memberitahu The Times, kapten Schettino tidak pernah minum alkohol.
Namun seorang penumpang yang terselamat mendakwa dia melihat kapten itu meminum arak bersama seorang wanita di bar kapal.
Schettino mendakwa dia telah menyelamatkan beribu-ribu nyawa dan laporan media tempatan turut mengesahkan beliau berada di jambatan ketika kapal itu melanggar batu dan membawa kapal menghampiri pantai bagi memudahkan usaha menyelamat.
Dia turut bertegas tidak meninggalkan kapal itu. - AGENSI

Rayuan untuk rakyat Palestin




SEORANG lelaki Palestin bersama anaknya mengambil bantuan makanan bulanan mereka di pusat agihan makanan PBB di kem pelarian Shati di Gaza, kelmarin. – AFP


NEW YORK 18 Jan. - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini melancarkan rayuan bantuan kecemasan lebih AS$300 juta (RM900 juta) bagi membantu rakyat Palestin di Genting Gaza dan Tebing Barat yang masih bergelut meneruskan kehidupan berikutan serangan Israel tiga tahun lalu.
Rejim Israel melancarkan serangan besar-besaran selama tiga minggu ke atas Gaza pada Disember 2008 kononnya bertujuan menghentikan serangan roket Hamas dan kumpulan-kumpulan pejuang lain.
Sekurang-kurangnya 1,300 rakyat Palestin maut, sementara 5,300 yang lain cedera dalam serangan yang disasarkan ke atas kawasan penempatan di seluruh wilayah tersebut.
“Beratus-ratus buah rumah, sekolah, hospital dan pasar musnah sama sekali. Kesan perang itu masih wujud dan bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza amat diperlukan,” kata Timbalan Pesuruhjaya Besar Agensi Bantuan dan Kerja Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) untuk Pelarian Palestin, Margot Ellis (gambar).
Rayuan terbaru itu merangkumi tiga bantuan strategik utama iaitu keselamatan makanan, perlindungan dan kemampuan respons kecemasan.
Sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan bantuan akan disalurkan untuk menggalakkan keselamatan makanan melalui program bantuan makanan, bantuan kewangan dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Rayuan bantuan yang agak besar itu juga bertujuan melindungi hak pelarian serta meningkatkan akses rakyat Palestin ke atas bantuan kecemasan asas seperti air, kebersihan, pendidikan dan tempat perlindungan sementara.
Bercakap di ibu pejabat UNRWA di Gaza, Ellis berkata, walaupun sempadan Rafah telah dibuka, Gaza masih mengalami sekatan dan hak penduduknya terus diketepikan, satu tindakan yang salah di sisi undang-undang antarabangsa.
Israel menguatkuasakan sekatan ke atas Gaza kerana alasan keselamatan selepas Hamas yang tidak mengiktiraf Israel menyingkirkan Fatah di Gaza pada 2007.
Di sebalik sekatan tersebut, UNRWA masih meneruskan kerja-kerja pembinaan dan sehingga kini telah menyempurnakan 22 projek bernilai AS$22.5 juta (RM67.5 juta). - AGENSI

Roslin Hashim mengaku berkahwin kali ketiga, enggan dedah isteri




Roslin Hashim dan Faizah Mohamed (duduk, dua dari kanan) yang hadir pada perbicaraan tuntutan ganti rugi perkahwinan mereka di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 18 Jan. - Bekas pemain badminton kebangsaan, Roslin Hashim yang pernah dikaitkan atas dakwaan khalwat dengan penerbit kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman, mengaku berkahwin buat kali ketiga pada tahun lalu.
Bagaimanapun, Roslin enggan memberitahu siapa wanita yang menjadi isterinya itu walaupun berulang kali diasak dengan soalan tersebut oleh wartawan yang menemu ramah beliau di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.
Ketika ditanya mengapakah Roslin, 36, bertindak merahsiakan identiti isterinya, beliau hanya menjawab:
"Minta maaf, saya tidak boleh menceritakan lebih lanjut mengenai wanita itu bagi menghormati beliau dan keluarganya."
Pemain badminton itu berkata demikian selepas perbicaraan secara tertutup tuntutan ganti rugi perkahwinan yang dikemukakan beliau terhadap bekas isterinya, Faizah Mohamed, 35.
Selain Faizah yang dinikahi pada 30 Januari 2007, Roslin pernah berkahwin buat kali kedua dengan Pengarah Pemasaran dan Promosi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Nurhayati Othman, 41, 9 Julai 2010.
Perceraian Roslin dan Faizah pernah mengejutkan banyak pihak bukan sahaja kerana ia berlaku dalam masa 12 hari selepas pernikahan tetapi lelaki itu ketika prosiding pengesahan perceraiannya bersumpah bahawa tiada hubungan kelamin berlaku dalam tempoh tersebut.
Hubungan suami isteri antara Roslin dan Nurhayati juga bertahan dalam tempoh tidak sampai sebulan sebelum mereka disahkan bercerai dengan lafaz talak satu oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini, dua tahun lalu.
Nurhayati dalam keterangannya ketika prosiding untuk mengesahkan lafaz cerai itu, mendakwa Roslin mengucapkan, 'I cerai u lah' terhadapnya di bilik 533, Hotel Corus, Jalan Ampang di sini pada pukul 8.32 malam, 7 Ogos 2010.
Pegawai Finas itu turut mendakwa dia bersama-sama ibu dan dua adik lelakinya telah pergi ke hotel berkenaan selepas mengetahui bahawa Roslin dan Raja Azmi berada di bilik hotel tersebut.
Pada Ogos tahun lalu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebaliknya mendapati Roslin dan Raja Azmi bebas daripada dakwaan khalwat setelah mereka didapati tidak bersama dalam satu bilik dalam satu serbuan dibuat oleh Nurhayati selaku pengadu dalam kes berkenaan.
Sementara itu, peguam syarie Ruslizam Rahim yang mewakili Roslin selaku plaintif memberitahu pemberita, perbicaraan tuntutan ganti rugi perkahwinan tersebut akan disambung semula di hadapan Hakim Syarie, Abdul Walid Abu Hassan pada 22 Mac ini.
Menurut Ruslizam, pada prosiding akan datang, pihaknya akan memanggil tiga saksi termasuk Raja Azmi.
Pada 12 Ogos 2009, Roslin memfailkan tuntutan ganti rugi perkahwinan terhadap defendan, Faizah yang merangkumi perbelanjaan ketika merisik dan berkahwin dengan wanita pertama dinikahinya itu.
Roslin antara lain menuntut semua perbelanjaan semasa merisik, bertunang dan berkahwin termasuk cincin risik bernilai RM1,900, kos pengangkutan (RM200) dan barangan pertunangan (RM2,915).
Bagi perbelanjaan sewaktu perkahwinan pula, Roslin menuntut duit hantaran dan mas kahwin (RM15,080); bayaran juru nikah (RM150), upah solekan pengantin dan sewa barang kemas (RM500); barang hantaran (RM11,465); baju dan kasut pengantin perempuan (RM6,750).
Turut dituntut adalah khidmat video (RM2,000), kad jemputan kahwin (RM700), pengangkutan dan penginapan (RM1,300), perbelanjaan kenduri di Kelantan (RM10,000) serta tiket kapal terbang pengantin (RM500).
Faizah turut hadir ke prosiding hari ini dengan ditemani peguam syarie yang mewakilinya, Amir Nazli Hussin.

Mustaffa tiba ke destinasi larian di Seremban




MUSTAFFA Kamal Abdul Karim berlari secara solo sambil diiringi pembantunya, Mohd Rozi Haid, 57, (bermotosikal) ketika tiba di pekarangan Wisma UMNO negeri di Seremban, semalam.


SEREMBAN 18 Jan. - Faktor usia bukan penghalang bagi Mustaffa Kamal Abdul Karim, 53, untuk merealisasikan hasratnya berlari secara solo sejauh 2,500 kilometer mengelilingi Semenanjung.
Sebaliknya, berteraskan azam serta semangat yang tinggi, pesara tentera itu bertekad untuk melengkapkan larian tersebut dengan merentas 12 negeri dalam tempoh dua bulan bermula 31 Disember lalu yang dijangka berakhir hujung Februari ini.
Menurut bapa kepada tiga orang anak itu, tujuan utama larian itu diadakan adalah bagi membolehkan beliau memupuk semangat cintakan bangsa, agama dan negara khususnya di kalangan generasi muda.
"Sesuai dengan moto larian Seruan Bangsa Merdeka, saya berharap ia akan memberikan impak kepada masyarakat agar tidak lupa terhadap pengorbanan serta jasa pemimpin terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan, perpaduan dan kesejahteraan negara.
"Paling utama saya mahu menyemai serta mengingatkan generasi muda supaya tidak menggadaikan masa depan negara gara-gara terpengaruh dengan unsur negatif serta gejala sosial," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas tiba di destinasi ke-20 di bandar ini hari ini.
Menceritakan pengalaman berlari hampir 19 hari bermula dari Pulau Pinang, Mustaffa Kamal memberitahu, dia berlari sejauh 40 hingga 50 kilometer setiap hari.
"Tanpa mengira cuaca panas atau hujan, saya tetap akan berlari sehingga sampai ke destinasi yang ditetapkan.
"Larian ini hanya dirancang pada November tahun lalu dan saya memilih 31 Disember untuk memulakan larian itu kerana ia jatuh pada 1 hijrah dalam kalendar Islam," ujarnya yang turut diiringi oleh dua pengiring sepanjang lariannya itu.
Beliau yang juga Ketua UMNO Cawangan Pantai Kampung Gajah, Pulau Pinang berkata, larian berkenaan tidak bertujuan untuk mencari keuntungan dan tidak menerima sebarang tajaan daripada mana-mana pihak.
"Saya berlari demi kepuasan dan moto perjuangan yang saya bawa," katanya yang turut menjelaskan kekuatan minda serta berkat izin daripada Allah SWT diharapkan dapat membantunya melengkapkan larian berkenaan.
Mustaffa Kamal telah memulakan lariannya dari Pulau Pinang sebelum melalui Parit Buntar, Kemunting, Kuala Kangsar, Ipoh, Seri Iskandar, Kampung Gajah, Teluk Intan, Hutan Melintang, di Perak seterusnya memasuki Sg Besar, Tanjung Karang, Kuala Selangor, Telok Panglima Garang, Banting, Dengkil, Putrajaya, Semenyih di Selangor sebelum merentasi Mantin dan tiba di sini hari ini.
Dia dijangkakan singgah ke beberapa daerah di negeri ini sebelum memasuki Johor dan kemudiannya ke Pahang, Terengganu, Kelantan dan Kedah seterusnya mengakhirinya di Pulau Pinang.

4 maut nahas tiga kenderaan




Kemalangan yang melibatkan tiga buah kereta mengakibatkan empat maut di Jalan Sultan Mizan berdekatan Taman Semarak Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/Shaifudin Mohd. Nor


KUALA TERENGGANU 18 Jan. - Empat maut dalam satu kemalangan ngeri melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Sultan Mizan berdekatan Taman Semarak di sini petang ini.
Tiga daripada mangsa tersepit dalam kenderaan yang remuk menyebabkan pihak bomba dan penyelamat terpaksa mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mereka.
Seorang lagi mangsa dikatakan tercampak keluar dalam nahas yang berlaku pukul 6.15 petang itu.
Empat yang maut itu ialah Nor Azmi Mat Jusoh, 21; Mohd. Zaini Abdul Razak, 43; Mohamad Faris Shaimi, 26 dan Mohd. Rizal Ibrahim, 30.
Nahas dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda yang dinaiki Mohamad Faris dan Mohd. Rizal terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh kereta Kancil dinaiki Nor Azmi dan Mohd. Zaini.
Berikutan itu, tiga daripada mereka tersepit, manakala Mohd. Rizal pula tercampak lebih lima meter ke dalam semak di tepi jalan.
Bagaimanapun, pemandu kenderaan ketiga iaitu Noraini Mohamad, 32, tidak mengalami kecederaan sebaliknya kereta jenis Proton Persona dipandunya hanya remuk di bahagian hadapan.
Noraini ketika ditemui berkata, dia sedang memandu di belakang kereta Kancil sebelum ternampak sebuah kereta Honda yang dipandu laju dari arah bertentangan.
"Ketika itu, saya dalam perjalanan pulang dari bandar Kuala Terengganu ke rumah di Wakaf Tengah. Tiba-tiba saya nampak kereta Honda itu terbabas lalu 'terbang' dan merempuh kereta di depan dan kereta saya.
"Saya tergamam dan tak sempat buat apa-apa," katanya yang tidak mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.
Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Abdullah Zawawi Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 6.26 petang dan tiba tujuh minit kemudian dengan sebuah jentera yang disertai enam anggota.
Berdasarkan keterangan polis, Nor Azmi berasal dari Felda Mengkawang, Ajil, Hulu Terengganu manakala rakannya, Mohd. Zaini pula berasal dari Ayer Keroh, Melaka.
Mohd. Rizal pula difahamkan berasal dari Baling, Kedah manakala rakannya Mohd. Faris berasal dari Perak dan kedua-duanya dipercayai tenaga pengajar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Gong Badak di sini.

Israel lakukan serangan udara ke atas Gaza


19/01/2012 1:45am

GAZA 19 Jan. - Seorang rakyat Palestin terbunuh dan dua lagi cedera dalam satu serangan udara oleh tentera Israel di utara Semenanjung Gaza, hari ini.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan di Hamas, Adham Abu Selmiya berkata, serangan itu berlaku di sebuah padang di timur bandar Beit Hanun.

“Kami menemui satu mayat dan dua orang dalam keadaan cedera selepas serangan tersebut,” katanya. - AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Helah lama tauke degil

KUALA LUMPUR: Segelintir pengusaha restoran bukan Islam di ibu kota masih berdegil dengan menggantung ayat al-Quran dan menggunakan sijil halal palsu di premis mereka bagi menarik pelanggan, khususnya beragama Islam.
Malah, ada antara mereka mendakwa tidak tahu perkara itu salah di sisi undang-undang, selain saluran untuk memohon sijil halal Malaysia.

Perkara itu terbongkar dalam operasi bersepadu membabitkan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) terdiri daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), semalam.

Dalam operasi di premis makanan sebuah pusat beli-belah di Jalan Putra, di sini, pihak berkuasa memeriksa 11 premis dan kebanyakan mereka melakukan pelbagai kesalahan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Hab Halal Jakim, Azizan Shaari berkata, operasi semalam lebih kepada kempen kesedaran dan pemantauan sebelum Akta Perihal Dagangan 2011 (APD2100) dikuatkuasakan Julai ini.

“Hari ini (semalam) operasinya lebih kepada kempen kesedaran. Tetapi jika kami dapati premis yang diperiksa mempamer atau menggunakan logo atau ungkapan halal, termasuk penggunaan ayat al-Quran, kami akan rampas.


“Ini bagi mengelak disalah guna premis terbabit bagi menarik pelanggan Islam,” katanya di sini, semalam.

Operasi hampir dua jam bermula jam 12 tengah hari itu membabitkan 23 anggota daripada pelbagai agensi.

Sementara itu, Presiden LPKPM, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata, pihaknya akan terus bergabung dengan agensi kerajaan bagi membuat pemantauan berterusan ke atas premis meragukan mengelak pelanggan terus tertipu.

Belum siap sudah terbakar


MARAK...bangunan masih dalam pembinaan  terbakar, semalam.
MARAK...bangunan masih dalam pembinaan terbakar, semalam.


KUALA LUMPUR: Ratusan pemilik kenderaan yang ingin ke tempat kerja terperangkap dalam kesesakan di laluan sekitar KL Sentral, di sini, apabila sebuah bangunan pejabat setinggi 31 tingkat yang masih dalam pembinaan terbakar, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, bangunan terbabit yang dibina dua tahun lalu dan dijangka siap hujung tahun ini terbakar sebelum merebak pantas di tingkat 30 dan 31.

Pengawal keselamatan yang menyedari kebakaran itu segera menghubungi bomba.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.53 pagi dan sebaik menerima maklumat itu, 17 jentera dengan 95 anggota dari balai bomba di Lembah Klang dikerah ke tempat kejadian.

Menurutnya, api merebak pantas disebabkan bahan binaan mudah terbakar seperti kepingan kayu di atas bangunan berkenaan, malah ada yang jatuh dan membahayakan orang ramai.

“Kami pada mulanya menghadapi kesukaran untuk mengawal api kerana kedudukannya yang tinggi dan menggunakan perancah bermula di tingkat 26 untuk naik ke tingkat atas.


“Selepas beberapa jam bertungkus-lumus memadamkan kebakaran, api berjaya dikawal sepenuhnya jam 8.30 pagi,” katanya.

Terima kasih lepas samun


RAKAM...rakaman CCTV menunjukkan suspek berbual dengan mangsa.
RAKAM...rakaman CCTV menunjukkan suspek berbual dengan mangsa.


KUALA LUMPUR: Dua penyamun mengucapkan terima kasih kepada pemilik sebuah kedai runcit selepas menyamun premis itu di sebuah pangsapuri di Jalan Klang Lama, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.10 malam itu, mangsa yang juga wanita yang sarat mengandung berseorangan sebelum didatangi seorang pelanggan lelaki berpakaian serba hitam.

Suami mangsa yang mahu dikenali sebagai Puven, 38, berkata ketika kejadian, dia berada di rumah di tingkat dua blok pangsapuri di kawasan sama untuk mandi dan ketika hendak turun semula ke kedai, dia menerima panggilan daripada isteri yang memaklumkan kedai mereka disamun dua lelaki bersenjatakan parang.

Beliau berkata, dua lelaki itu memasuki kedainya dengan berpura-pura membeli rokok sebelum seorang daripada mereka bercakap dengan isterinya mengenai pelbagai barangan yang dijual di kedainya.

Katanya, seorang lagi yang memakai topi keledar pula berkawal di luar kedai dan menghalang pelanggan lain masuk ke kedai itu dengan menyatakan tuan kedai keluar makan.

“Selepas bercakap dengan isteri saya, tiba-tiba lelaki itu meminta dia mengeluarkan semua wang yang disimpan dalam peti simpanan dan apabila enggan berbuat demikian, lelaki itu mendekatinya sebelum meletakkan pisau di perutnya.


“Akibat panik, isteri menyerahkan semua wang tunai dan kad sim prabayar bernilai RM1,500 kepada lelaki terbabit. Mereka tidak segera meninggalkan kedai sebaliknya terus berbual dengan isteri lebih 10 minit,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, lelaki terbabit menyatakan sekiranya isterinya enggan menyerahkan wang tunai itu secara ‘percuma’, suspek sanggup meminjam wang itu dengan isterinya dan membayar semula pada hari lain.

“Selain itu, lelaki terbabit mengucapkan terima kasih kerana isteri saya menyerahkan wang kepadanya sebelum beredar.

“Sebelum memasuki kawasan perumahan yang dikawal pengawal keselamatan, kedua-dua lelaki itu dipercayai mengugut pengawal terbabit dengan menyatakan akan memecahkan kepala pengawal itu jika enggan membenarkan mereka masuk, malah mereka dipercayai tinggal di kawasan berdekatan,” katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) di kedainya dan sudah menyerahkan rakaman berkenaan kepada polis ketika membuat laporan di Balai Polis Petaling, semalam.

Simbah air panas

KUALA LUMPUR: Tidak tahan mendengar leteran, seorang lelaki berusia lewat 30-an bertindak kejam apabila mencurahkan air panas terhadap adiknya dalam kejadian di rumah mereka di Jinjang Utara, di sini, tengah hari kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa yang berusia 31 tahun melecur teruk di tangan kanan dan badan selain mengalami kecederaan di kaki akibat terjatuh.

Mangsa kini masih dirawat di wad Hospital Selayang (HS) dan difahamkan, keadaannya stabil.

Menurut sumber, kejadian itu bermula apabila mangsa meleteri abangnya itu yang malas bekerja.

“Mangsa turut memarahi sikap abangnya itu yang sering meminta wang daripada ibu mereka. Ketika itu, abang mangsa sedang membaiki basikal miliknya di hadapan rumah,” katanya.

Sumber berkata, akibat tidak tahan dengan leteran itu, abang mangsa memarahi pula mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran.


“Selesai bertengkar, abang mangsa terus masuk ke dalam rumah dan kira-kira 15 minit, dia keluar semula dengan membawa cerek sebelum menyimbah air panas ke arah mangsa.

“Mangsa yang cuba melarikan diri bagaimanapun gagal sebelum terkena air panas berkenaan,” katanya.

Katanya, mangsa kemudian menggelupur menahan kesakitan sebelum ibunya yang berada di dalam rumah bergegas keluar mendapatkannya.

“Abang mangsa yang panik melihat kecederaan adiknya itu kemudian melarikan diri sebelum mangsa dibawa ke HS untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mangsa yang melecur di tangan kanan dan badannya itu turut mengalami kecederaan di kedua-dua kakinya dipercayai akibat terjatuh.

Lelaki terbabit dilaporkan stabil namun masih dirawat di hospital berkenaan.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di pondok polis hospital berkenaan sebelum kes itu dirujuk semula ke Balai Polis Jinjang, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Difahamkan, sehingga kini abang mangsa belum ditahan, namun usaha memburunya sedang giat dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

Tiga mayat dibuang dipusat peranginan terkemuka Mexico

ACAPULCO: Tiga mayat dikerat-kerat ditemui di lokasi berasingan di bandar peranginan Mexico dalam kejadian dipercayai berkaitan keganasan kartel dadah, kata jurucakap kerajaan Guerrero semalam.
Menurut jurucakap itu, satu mayat ditemui dalam sebuah kereta terbakar dan satu lagi laluan pejalan kaki di pintu masuk sebuah pusat peranginan di Acapulco.

Bomba yang dimaklumkan mengenai kebakaran sebuah kereta menemui dua kepala di laluan pejalan kaki, manakala bahagian bawah badan dalam bonet.

Anggota badan yang lain ditemui dibungkus dalam dua beg di dalam kereta berkenaan.

Sebelum itu, orang awam menemui satu mayat lelaki dalam sebuah rumah di kawasan kediaman Acapulco.

Bandar Acapulco adalah pusat pelancongan paling sibuk di Mexico.


Sejak 2010, kejadian pembunuhan serta penculikan berkaitan kumpulan penjenayah menunjukkan peningkatan begitu ketara di bandar berkenaan. Lebih 50,000 maut di Mexico sejak kerajaan melancarkan perang ke atas pengedar dadah pada 2006. - AFP

Cincin tauke Chopard dicuri

HONG KONG: Polis semalam berkata, mereka sedang menyiasat kehilangan cincin permata bernilai hampir RM5 juta yang dilaporkan dicuri di bilik air sebuah hotel di Hong Kong.
Jurucakap polis berkata, seorang wanita warga asing meninggalkan cincin zamrud bernilai HK$12 juta (RM4.8 juta) di bilik air di tingkat empat Hotel Four Seasons di Hong Kong.

“Beberapa minit kemudian apabila dia kembali ke situ untuk mengambilnya, cincin berkenaan tiada,” katanya.

Akhbar South China Morning Post melaporkan, cincin berkenaan milik presiden bersama syarikat pembuat barang kemas terkemuka dunia, Chopard.

Memetik sumber tidak didedahkan, akhbar itu menyatakan, cincin berkenaan dimiliki Caroline Scheufele, yang berada di Hong Kong untuk majlis pembukaan kedai baru Chopard.

Walaupun polis tidak mengesahkan identiti itu, mereka mengumumkan pemiliknya menyediakan hadiah RM200,700 kepada sesiapa yang dapat mengembalikan barang kemas berkenaan.


Cincin itu hilang kira-kira jam 11.30 malam pada 8 September lalu dan polis menganggapnya sebagai kes curi.

Cincin itu dihiasi 16.83 karat zamrud yang diapit dua berlian - masing-masing 1.15 dan 1.29 karat - selain 674 berlian kecil di sekelilingnya. - AFP

Jabatan Zakat kutip RM17b

RIYADH: Jabatan Zakat dan Cukai Pendapatan mengumpulkan hasil 20 bilion riyal (RM16.62 bilion) tahun lalu, menurut kenyataan dipetik daripada Agensi Berita Saudi, kelmarin.
Hasil pendapatan 2011 itu adalah 23 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Jabatan itu menyumbang kepada peningkatan besar dalam pendapatan negara berikutan aktiviti ekonomi yang semakin giat di samping kecanggihan teknologi yang digunapakai jabatan untuk mengumpulkan bayaran. Kenyataan menyebut kutipan zakat daripada perniagaan tahun lalu adalah 10 bilion riyal (RM8.31 bilion), manakala kutipan cukai daripada syarikat asing berjumlah sembilan bilion riyal (RM7.48 bilion). - AN

5,000 bungkusan makanan diagih di Makkah, Masjidil Haram setiap hari

JEDDAH: Persatuan Kebajikan Takaful dan Ihsan mula mengagihkan kira-kira 5,000 bungkusan makanan setiap hari kepada golongan fakir miskin di Makkah, jemaah dan pengunjung Masjidil Haram.
“Kerja kebajikan ini akan berterusan sepanjang tahun,” kata pengerusi persatuan itu, Sulaiman Awwad al-Zaidi kepada Arab News. Menurutnya, makanan segar itu dipastikan dibungkus bersih sebelum diagihkan.

“Melalui projek ini, persatuan bertujuan memenuhi keperluan fakir miskin, mencegah mereka daripada mengemis,” katanya.

Sulaiman meminta semua lapisan masyarakat termasuk ahli perniagaan dan indvidu supaya bekerjasama dalam projek kemanusiaan ini.

Projek itu bermula beberapa hari lalu dan makanan diagihkan kepada fakir miskin di pelbagai daerah di Makkah dan juga pengunjung Masjidil Haram. “Jemaah umrah dan haji serta pengunjung Masjidil Haram akan mendapat faedah daripada skim ini yang akan dilaksanakan di bawah rancangan pemakanan,” katanya. - AN

Belum ada keputusan serang loji nuklear Teheran

BAITULMAQDIS: Sebarang keputusan oleh Israel sama ada untuk melancarkan serangan ke atas loji nuklaer Iran ‘masih terlalu jauh’, kata Menteri Pertahanannya, Ehud Barak (gambar), ketika ketegangan meningkat antara Iran dan kuasa Barat.
“Kami belum memutuskan untuk meneruskan tindakan itu. Kami belum mencapai keputusan atau tarikh untuk mengambil tindakan itu. Semuanya masih jauh,” katanya kepada radio tentera. Washington menganjurkan kempen supaya sekatan lebih tegas dikenakan terhadap ekonomi Iran, dalam usaha mengekang program nuklear Iran yang didakwa Israel dan kerajaan Barat sebagai topeng untuk penghasilan senjatanya. - AFP

Penyerang Obama hadapi 17 tuduhan

WASHINGTON: Seorang lelaki yang dituduh cuba membunuh Presiden Barack Obama dengan melepaskan berbelas tembakan ke arah Rumah Putih pada September lalu kini berdepan lebih banyak dakwaan.
Oscar Ramiro Ortega-Hernandez ditahan beberapa hari selepas insiden 11 November itu dan secara rasmi didakwa di mahkamah semalam.

Melalui dakwaan setebal lima halaman itu, Ortega-Hernandez berdepan 17 tuduhan, termasuk cubaan membunuh presiden.

Dia juga menghadapi dakwaan menyerang dengan senjata berbahaya, menggunakan senjata ketika melakukan jenayah dan merosakkan Rumah Putih mengakibatkan kerugian lebih RM3,000. - AP

Laman web bantah undang-undang anticetak rompak AS

WASHINGTON: Wikipedia bercadang ‘bergelap’ hari ini, manakala Google dan laman sesawang lain merancang protes bersama bagi menyatakan kebimbangan terhadap cubaan Kongres Amerika Syarikat menggubal peraturan mengekang aktiviti cetak rompak dalam talian.
Wikipedia akan menutup perkhidmatan versi bahasa Inggeris selama 24 jam bagi membantah Akta Menghentikan Cetak Rompak Dalam Talian (SOPA) diperkenalkan AS.

Draf itu mendapat sokongan Hollywood, industri muzik, Business Software Alliance dan Dewan Perdagangan AS.

Bagaimanapun, ia dikecam hebat pertubuhan hak asasi digital dan pejuang kebebasan bersuara kerana memberi ruang kepada pihak berkuasa AS menutup mana-mana laman sesawang yang didakwa melakukan cetak rompak. - AFP

Kepala manusia ditemui di bawah papan tanda Hollywood

LOS ANGELES: Satu kepala manusia ditemui di laluan pendaki menuju ke papan tanda Hollywood yang menjadi simbol ikon berjuta-juta pelancong setiap tahun, kata polis semalam.
Setakat ini polis masih cuba mengesan identiti kepala berkenaan yang ditemui dua wanita dalam satu beg lewat kelmarin.

Menurut sumber, wanita terbabit membawa anjing mereka bersiar-siar ketika terjumpa kepala berkenaan.

Katanya, wanita itu melihat anjing mereka bermain-main dengan satu objek yang mencurigakan.

“Apabila diperiksa, mereka mendapati objek itu adalah kepala manusia,” katanya.

Stesen televisyen ABC7 melaporkan, kepala itu “agak baru.” Sementara itu, akhbar LA Times melaporkan, kepala berkenaan adalah milik seorang lelaki Amerika keturunan Armenia berusia 40-an.


Polis mengawal ketat kawasan berkenaan dan akan meneruskan usaha mencari anggota tubuh lain. Kawasan pinggir gunung di sekitar papan tanda Hollywood berselirat dengan laluan pendaki, penunggang kuda dan pelancong yang cuba menjejaki simbol Tinsel Town berkenaan.

Ia boleh dilihat beberapa kilometer dari utara Los Angeles. - AFP