Pages

Sunday, January 6, 2013

Kemeja emas pikat wanita?


Kemeja emas pikat wanita?

Datta berharap kemeja yang dibuat daripada emas 24 karat itu dapat membantunya memikat wanita.
PUNE - Seorang lelaki kaya di India sanggup membelanjakan sebanyak £14,000 (RM68,526) bagi menempah sehelai kemeja emas tulen dengan harapan ia akan menarik perhatian golongan wanita.

Peminjam wang berasal dari Pimpri-Chinchwad, Datta Phuge, 32, berkata, seramai 15 tukang emas digunakan bagi menyiapkan sehelai kemeja yang mengambil masa lebih 16 jam sehari serta selama dua minggu untuk disiapkan.

"Saya bukan seorang lelaki paling kacak di dunia dan disebabkan itulah saya menghasilkan kemeja ini kerana yakin mana-mana wanita pasti akan terpesona dengan keindahan baju diperbuat daripada emas ini," kata Datta.

Datta memberitahu, selain bakal menarik perhatian wanita di luar sana, baju emas itu turut melambangkan dirinya sebagai 'lelaki emas Pimpri'.

Lapor akhbar Pune Mirror, kemeja emas tulen yang dicampur fabrik baldu putih import itu, turut dihiasi dengan enam butir kristal Swarovski pada bahagian butang serta tali pinggang emas. - MailOnline

Jutawan sapu jalan


pix_topright
Seorang jutawan hartanah bekerja sebagai tukang sapu jalan raya semata-mata kerana mahu mendidik anaknya erti kerja keras.

Yu Youzhen, 53, memiliki 17 blok rumah pangsa dan menjadi kaya hasil daripada ledakan harga hartanah.


Namun, daripada memanjakan diri dengan kekayaan yang dimilikinya dan menjalani kehidupan berfoya-foya di salun, spa atau kompleks beli-belah, wanita itu memilih bangun awal pagi enam hari seminggu untuk menyapu, membersih dan mengangkat sampah di sepanjang jalan raya yang sibuk di Wuhan, tengah China.

“Saya mahu menjadi contoh kepada anak saya. Saya tidak mahu duduk dan menghabiskan kekayaan saya,” kata Yu.


Dia juga tidak mahu memberi anaknya gambaran bawa dengan menjadi kaya serta menjalani kehidupan hasil daripada kekayaan itu adalah jalan mudah untuk hidup.


“Gaya hidup seperti itu hanya akan mengancam mereka dalam jangka panjang,” kata Yu.

Usahanya itu berjaya. Kedua-dua anaknya kini bekerja makan gaji. Anak lelaki menjadi pemandu bas dengan pendapatan RM1,000 sebulan sementara yang perempuan memperoleh gaji sebanyak RM1,500 dengan melakukan kerja yang tidak dinyatakan, lapor sebuah akhbar China.


Yu pula memperoleh pendapatan sebanyak RM550 sebulan sebagai tukang sapu.

“Saya sentiasa berasakan saya perlu melakukan sesuatu,” kata jutawan itu yang menjadi tukang sapu sejak 10 tahun lalu selepas mendapati kekayaan menjadikan hidupnya bosan.


Dia sebelum ini menanam sayur, mengangkat hasil tanaman itu dan menjualnya sendiri di pasar.


Apabila kerajaan komunis China melancarkan pembaharuan ekonomi pada hujungan 1980-an dan membenarkan petani berniaga, Yu dan suami berjaya mengumpul wang secukupnya untuk membina tiga blok rumah pangsa lima tingkat yang kemudian disewakan.


Mereka berjaya mengambil kesempatan terhadap ledakan harga hartanah dan meluaskan ‘empayar’ mereka hingga mampu memiliki 21 blok rumah pangsa.


Mereka sudah menjual empat blok. Hasil jualan itu dicampur dengan pendapatan menyewa 17 blok rumah pangsa serta gaji sebagai tukang sapu sudah pasti akan membolehkan dia menjalani kehidupan selesa pada masa akan datang.

Minuman dalam botol lebih mudah tercemar



 
London: Minuman dalam botol mungkin lebih mudah tercemar dan menjadi sumber pencemaran berbanding air paip, dakwa satu kajian baru.

Walaupun kos bagi minuman botol lebih tinggi berbanding air paip, namun ia lebih tercemar dan menjadi sumber jangkitan, lapor akhbar Daily Mail yang memetik kajian oleh penyelidik pasaran Mintel.
Secara purata, penduduk Britain minum 33 liter minuman botol setiap tahun, tidak kira sama ada ia air mineral, minuman bergas atau air paip disulingkan.

Jalani ujian bulanan

Hampir satu perempat daripada penduduk yang minum air botol di rumah berkata, mereka melakukannya kerana percaya ia adalah lebih baik berbanding air paip.

Tetapi, apa yang pengguna tidak sedari adalah air paip diperiksa setiap hari di bawah pemeriksaan ketat.

Ia juga mengandungi klorin yang menghalang sebarang penyebaran pencemaran bahaya seperti jangkitan bakteria.
Ini berbeza sekali dengan air botol kerana pengeluarnya hanya dikehendaki menjalani ujian bulanan terhadap sumber produk itu.

Sebaik saja ia diisi dan diketatkan, minuman botol terbabit akan berada di dalam tempat simpanan selama beberapa bulan sebelum ia dijual.

Tiada bahan tambahan

Air botol tidak mengandungi bahan tambahan pembasmi kuman seperti klorin.
Selepas air botol dibuka, ia tidak lagi mengekalkan mutunya dan perlu diminum dalam masa beberapa hari.

Pernah beberapa bungkusan air botol terpaksa ditarik balik dari pasar raya Britain disebabkan kebimbangan mengenai pencemaran. - AGENSI

Tuna dilelong RM5.5 juta




KIYOSHI Kimura bergaya dengan ikan tuna yang dibeli pada harga RM5.5 juta di hadapan restoran sushi miliknya di Tokyo, Jepun semalam.


TOKYO - Seekor tuna sirip biru gergasi mencatat sejarah apabila ia dilelong pada harga AS$1.8 juta (RM5.5 juta) dalam satu majlis lelongan pertama di pasar ikan Tsujiki, dekat sini semalam.
Harga tersebut adalah tiga kali ganda berbanding rekod jualan tahun lalu iaitu AS$640,000 (RM1.9 juta). Ikan seberat 222 kilogram itu ditangkap di perairan Oma, utara Jepun. Pasar ikan Tsujiki sering mengadakan acara lelongan ikan dan menjadi antara lokasi kegemaran pelancong asing.
Ikan itu dibeli oleh Kiyoshi Kimura, presiden dan pemilik syarikat yang mengendalikan rangkaian restoran popular Sushi-Zanmai. Kimura juga memenangi bidaan ikan tuna sirip biru pada tahun lalu.
"Saya mahu memenuhi ekspektasi pelanggan yang ingin menikmati tuna terbaik Jepun pada tahun ini. Dengan tuna ini, saya harap dapat menceriakan rakyat Jepun," kata Kimura yang dipetik daripada akhbar Jiji Press.
Berdasarkan kepada harga itu, sekilogram ikan tuna tersebut berharga sekitar 700,000 yen (AS$7,940 atau RM24,180). Maka, sekeping sushi yang menggunakan ikan itu boleh mencecah harga kira-kira 30,000 yen (AS$340 atau RM1,036).
Namun, Kimura menyatakan dia tidak akan menjual sushi pada harga begitu mahal. Sebaliknya hanya dijual pada harga lebih realistik iaitu 398 yen (AS$4.50 atau RM13.75). - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2H9ISZCCC 
Hakcipta terpelihara