Pages

Tuesday, May 29, 2012

Rakyat Maghribi protes isu sosial


Anggota-anggota kesatuan pekerja dari Persekutuan Demokratik Buruh (FDT) dan Gabungan Demokratik Buruh (CDT) mengambil bahagian dalam demonstrasi pembaharuan sosial di Casablanca, Maghribi, kelmarin. - REUTERS
RABAT 28 Mei - Berpuluh-puluh ribu penduduk Maghribi memenuhi jalan-jalan utama di Casablanca semalam, bagi mengecam kegagalan kerajaan dalam menyelesaikan isu pengangguran dan masalah sosial yang lain.
Tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh kesatuan-kesatuan pekerja itu dipercayai merupakan protes pihak pembangkang yang terbesar sejak kerajaan baru mengambil alih tampuk pemerintahan.
Penunjuk perasaan menuduh Perdana Menteri Maghribi, Abdelilah Benkirane gagal melaksanakan keadilan sosial sejak beliau mentadbir kerajaan pada November tahun lalu.
"Kira-kira 50,000 penduduk menyertai tunjuk perasaan dalam usaha menggesa kerajaan mengadakan dialog bagi membincangkan isu sosial di negara ini.
"Kesatuan-kesatuan pekerja bersatu dalam mewujudkan keadilan sosial dan Perdana Menteri perlu menukar strategi pentadbirannya," kata Ahli Parlimen Sosialis, Hassan Tariq.
Para pemimpin kesatuan sebelum ini mengemukakan permohonan agar kerajaan mengadakan perbincangan mengenai peningkatan gaji dan situasi sosial di negara ini.
Menurut laporan Bank Dunia, hampir separuh daripada penduduk Maghribi yang berusia 15 hingga 29 tidak bersekolah atau bekerja.
Kerajaan Maghribi berdepan krisis ekonomi ekoran musim kemarau dan penurunan keuntungan secara mendadak dalam sektor pelancongan yang merupakan pendapatan terbesar negara ini. - AGENSI

Protes tuntut hak homoseksual, 40 ditahan


Polis antirusuhan Rusia menahan seorang aktivis homoseksual semasa satu bantahan di tengah Moscow, kelmarin. - AFP
MOSCOW 28 Mei - Sebanyak 40 orang ditahan polis di Moscow semalam, selepas berlaku pergaduhan melibatkan sekumpulan penyokong homoseksual yang cuba mengadakan dua tunjuk perasaan bagi menuntut hak kumpulan itu untuk menganjurkan perarakan.
Tindakan mereka itu bagaimanapun dihalang oleh kumpulan penentang terdiri daripada aktivis gereja Ortodoks Rusia.
Kumpulan pertama aktivis homoseksual itu berkumpul di luar bangunan dewan bandar raya, lokasi tercetus pergaduhan apabila pihak penentang cuba mengganggu tunjuk perasaan tersebut, dengan mendakwa kegiatan homoseksual merupakan satu dosa.
Selepas polis berjaya mengawal keadaan, satu lagi kumpulan cuba mengadakan tunjuk perasaan kedua di lokasi yang sama, namun sekali lagi berjaya dihalang polis yang bertindak menahan kumpulan penunjuk perasaan dan penentang.
Awal tahun ini, anggota Parlimen Rusia mencadangkan rang undang-undang yang bakal mengenakan denda kepada pihak yang menyebarkan propaganda homoseksual di kalangan penduduk.
Walaupun undang-undang tersebut kononnya menyasarkan tindakan seperti pengedaran gambar pornografi homoseksual kepada kanak-kanak, pengkritik berpendapat ia boleh digunakan untuk mengharamkan demonstrasi hak asasi golongan itu.
Undang-undang itu sememangnya sudah dikuatkuasakan di bandar tempat tinggal Presiden Vladimir Putin, di St Petersburg.
Kegiatan homoseksual tidak lagi dianggap jenayah di Rusia pada 1993, namun kumpulan yang menentang kegiatan itu semakin bercambah, dalam masa yang sama golongan yang menyokongnya kekal bergerak secara tidak rasmi.
Gereja Ortodoks Rusia, yang mana pengaruhnya berkembang sejak kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991, menentang kegiatan homoseksual secara besar-besaran.
Perhimpunan hak asasi homoseksual biasanya berakhir dengan pergaduhan melibatkan kumpulan aktivis anti-homoseksual dan mereka yang terlibat ditahan pihak berkuasa. - AGENSI

Umar Patek perlu dipenjara kurang 15 tahun


JAKARTA 28 Mei - Peguam bela kepada suspek pengeboman Bali, Umar Patek hari ini bertegas bahawa anak guamnya itu hanya memainkan peranan kecil dan perlu diberikan hukuman penjara kurang daripada 15 tahun.
Pendakwa raya minggu lalu mencadangkan supaya Umar dikenakan hukuman penjara seumur hidup kerana mengetuai pengeboman ke atas dua kelab malam di Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang dan serangan gereja menjelang Krismas pada tahun 2000.
“Hakim perlu menjatuhkan hukuman penjara kurang daripada 15 tahun kepada anak guam kami," kata seorang daripada peguam Umar, Asludin Hatjani kepada wartawan ketika di luar Mahkamah Daerah Jakarta Barat hari ini.
Asludin sebelum itu memberitahu mahkamah, Umar hanya ‘memainkan peranan kecil’ dalam kedua-dua serangan itu.
“Bom itu hampir siap sepenuhnya ketika dia tiba di Bali. Dia hanya membantu mencampurkan baki bahan letupan," katanya.
Umar yang merupakan anggota rangkaian pengganas Jemaah Islamiyah (JI), ditahan di Abbottabad, Pakistan pada tahun lalu, empat bulan sebelum tentera elit Amerika Syarikat (AS) membunuh pemimpin al-Qaeda Osama bin Laden di bandar itu.
Pendakwa raya pada minggu lalu menuntut supaya hukuman ke atas Umar diringankan selepas dia menyesal atas tindakannya itu dan memberikan kerjasama dalam kes tersebut.
Sejak perbicaraan bermula pada Februari lalu, Umar mengaku mencampurkan bahan kimia untuk membuat bom, tetapi menafikan sebarang penglibatan besar. - AFP

Bekas buluh dilelong RM1.8j


Bekas buluh dari China ini dilelong pada harga RM1.8 juta kerana nilai sejarahnya walaupun mengalami sedikit kerosakan. - AGENSI
LONDON 28 Mei - Sebuah bekas kecil yang sudah rosak dan didermakan kepada sebuah kedai kebajikan mengejutkan dunia seni halus apabila ia dijual pada harga mencecah 360,000 pound (RM1.8 juta).
Bekas yang digunakan untuk meletakkan berus buluh China itu dibawa ke kedai tersebut dalam beg bersama bahan-bahan terbuang lain, namun seorang daripada pekerja kedai berasa tertarik kerana berpendapat ia mungkin mempunyai nilai sejarah.
Ia kemudian ditunjukkan kepada John Axford, dari firma lelongan Woolley and Wallis, Salisbury, yang merupakan seorang pakar mengenai objek dari China.
Menurut Axford, bekas itu mungkin dihasilkan antara tahun 1662 hingga 1722 oleh seorang artis China terkenal ketika itu, Gu Jue.
"Walaupun bekas buluh itu sudah merekah dan dasar serta gelungannya sudah diperbaiki dengan tampalan gam, ia tetap laris di kalangan peminat berbangsa Cina kerana mempunyai nilai tersendiri," katanya.
Bekas dengan ukuran 16.2 sentimeter tinggi dan diameter 14.5 sentimeter itu diukir teliti dengan lukisan unik termasuk menggambarkan ahli falsafah China, Laozi dengan lembunya.
Ahli falsafah agung itu duduk bersama 12 watak dalam pelbagai peranan berbeza di bawah pohon pain dan di tepi sungai yang mengalir dengan landskap pergunungan yang cukup menarik.
Ia kemungkinan menggambarkan sebuah puisi lama yang terkenal bertajuk, Kehidupan Menyenangkan di Tanah Unggul.
Menurut Axford lagi, bekas tersebut masih boleh diperbaiki, namun hanya dua atau tiga individu sahaja yang mampu melakukannya. - AGENSI

Ribut Tropika Beryl landa tenggara Amerika Syarikat


Ribut Tropika Beryl yang melanda pantai tenggara Amerika Syarikat (AS) turut menyebabkan keadaan laut bergelora. - AGENSI
MIAMI 28 Mei - Ribut Tropika Beryl melanda pantai tenggara Amerika Syarikat (AS) dengan kekuatan hampir menyamai taufan hari ini, sekali gus menumbangkan pokok-pokok dan merosakkan kabel elektrik.
Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) melaporkan, pusat ribut tersebut dikesan 60 kilometer ke timur Jacksonville, Florida awal pagi ini.
Beryl membawa angin dengan kelajuan 110 kilometer sejam dan bergerak ke bahagian barat dengan kelajuan 11 kilometer sejam.
Walaupun ribut tersebut dijangka tidak berubah menjadi taufan, kemungkinan itu tetap ada apabila ia melanda timur laut Florida dan tenggara Georgia malam ini.
Peramal kaji cuaca berkata, Beryl akan bergerak ke Florida dan Georgia hari ini dan esok sebelum berpatah balik ke kawasan pantai dan menuju ke Atlantik.
Dalam pada itu, amaran ribut tropika ditingkatkan dari utara Florida ke Selatan Carolina, manakala NHC mengeluarkan amaran bahawa kawasan berhampiran pantai akan dinaiki air.
Selain itu, Beryl juga dijangka menyebabkan hujan lebat sepanjang pantai dari utara Florida ke tenggara Utara Carolina.
Akhbar The Florida Times-Union melaporkan, Beryl telah merosakkan tingkap di Muzium Seni Kontemporari Jacksonville, manakala kira-kira 12,000 penduduk kawasan berhampiran terputus bekalan elektrik.
Satu daripada jambatan terbesar di bandar ini iaitu Jambatan Mathews juga terpaksa ditutup atas faktor keselamatan sehingga notis dikeluarkan. - AFP

Bukti baru komplot pembunuhan Iran


WASHINGTON 28 Mei - Penyiasat dari empat negara berjaya mengumpul bukti baru yang mengaitkan cubaan membunuh pegawai dan ahli perniagaan sama ada dibiaya oleh pergerakan Hezbollah, yang mendapat sokongan Iran atau kumpulan yang beroperasi di negara itu, lapor akhbar The Washington Post, hari ini.
Memetik kenyataan pegawai keselamatan Amerika Syarikat (AS) dan Asia Barat yang tidak mahu namanya disiarkan, bukti itu termasuk rekod telefon, ujian forensik serta penyusunan koordinasi perjalanan termasuk kad telefon bimbit yang dibeli di Iran dan digunakan oleh beberapa suspek penyerang.
Tahun lalu, Azerbaijan membongkar rancangan pembunuhan kakitangan Kedutaan AS atau ahli keluarga mereka di negara itu.
Namun, plot tersebut hanya satu daripada beberapa yang dirancang. Kumpulan yang beroperasi di Iran turut dikaitkan dengan cubaan membunuh diplomat luar sekurang-kurangnya di tujuh negara sepanjang 13 bulan ini, lapor akhbar itu lagi.
Sasaran itu termasuk dua pegawai Arab Saudi, enam Israel dan dalam kes Azerbaijan, beberapa warga AS.
Cubaan itu bagaimanapun senyap tiba-tiba pada awal musim bunga lalu, ketika Iran mula mengubah pandangan mengenai perang anti Barat dan mengancam menutup laluan utama perkapalan di Terusan Suez.
Mac lalu, pegawai Iran secara formal menerima cadangan meneruskan rundingan dengan enam kuasa dunia mengenai cadangan menghentikan program nuklearnya.
"Mereka kelihatan secara sengaja cuba berlagak seperti tiada apa-apa berlaku. Apa akan terjadi seandainya rundingan itu gagal? Perkara itu kini menjadi persoalan semua," kata seorang diplomat Barat yang tidak mahu dikenali.
Akhbar itu turut menyatakan, tidak dipastikan sama ada cubaan tersebut arahan daripada pegawai kerajaan Iran atau dilakukan oleh pihak yang diluluskan kumpulan proksi seperti Hezbollah.
Kebanyakan pegawai AS dan pakar Asia Barat melihat insiden itu sebahagian daripada perang bayangan yang sedang berlaku dalam pelbagai bentuk terselindung, yang mana warga Iran juga turut menjadi mangsa.
Ia terbukti apabila empat saintis yang bekerja dengan program nuklear Iran dibunuh oleh penyerang tidak dikenali tiga tahun kebelakangan ini dan laman web nuklear Iran kucar-kacir akibat diceroboh penyerang siber. - AFP

Rakyat dibedil dengan meriam


Penduduk Homs menghadiri majlis pengebumian beramai-ramai mangsa yang maut akibat bedilan meriam tentera rejim di Houla, berhampiran Homs, kelmarin. - REUTERS
GENEVA 28 Mei - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan kuat mengecam kerajaan Syria kerana menggunakan meriam dalam pembunuhan beramai-ramai yang menyebabkan sekurang-kurangnya 180 orang terbunuh dan 300 lagi cedera sejak Jumaat lalu.
Pegawai-pegawai PBB berkata, pembunuhan kejam di Houla yang menjadi tajuk perbincangan ketika mesyuarat kecemasan Majlis Keselamatan semalam, turut menyebabkan 49 kanak-kanak dan 34 wanita terbunuh.
Rusia, sekutu kuat Syria, turut menandatangani kenyataan Majlis Keselamatan yang 'mengecam dengan kuat' pembunuhan di perkampungan berhampiran pusat tunjuk perasaan di bandar Homs itu.
Menurut kenyataan, angka korban telah disahkan oleh pemantau PBB dan menyatakan kematian berpunca daripada 'serangan melibatkan beberapa siri tembakan meriam dan bedilan kereta kebal kerajaan ke atas penduduk'.
Majlis yang dianggotai 15 negara itu turut membuat tuntutan baru terhadap Presiden Bashar al-Assad, mendesak beliau mengundurkan senjata berat dari kawasan penduduk dan mahu 'mereka yang bertanggungjawab melakukan keganasan dihukum'.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan wakil damai Liga Arab-PBB, Kofi Annan menyifatkan pembunuhan beramai-ramai di Houla sebagai 'tindakan yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa'.
Sementara itu, beribu-ribu orang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan di seluruh Syria semalam bagi menentang pembunuhan di Houla.
Britain dan Perancis mencadangkan supaya PBB mengambil tindakan berbanding hanya membuat kecaman keras ke atas kerajaan Syria.
Namun, Rusia tidak bersetuju dan mahu satu mesyuarat khas diadakan sebelum meluluskannya.
Kerajaan Syria menafikan bertanggungjawab atas insiden itu dan Rusia masih tidak menerima jika Damsyik dipersalahkan. - AFP

Tentera NATO terkorban helikopter terhempas


KABUL 29 Mei - Dua tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) terkorban semalam apabila helikopter yang dinaiki terhempas di timur Afghanistan, lapor pihak berkuasa.
Menurut jurucakap Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF), punca kejadian masih dalam siasatan tetapi laporan awal menunjukkan tiada aktiviti musuh ketika kejadian tersebut berlaku.
Dalam kejadian berasingan, sebuah lagi pesawat NATO terhempas awal pagi semalam ketika aktiviti rutin harian dilakukan di timur Afghanistan, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - AFP

Gempa bumi kuat gegar Santiago Del Estero di Argentina

KUALA LUMPUR - Gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter menggegar Santiago Del Estero di Argentina pada 1.07 tengah hari ini.
   
Dalam satu kenyataan, Jabatan Meteorologi Malaysia berkata gempa itu berpusat di 822km timur laut La Serena di Chile dan 16,728km barat daya Pontian di Johor.
   
Tiada ancaman tsunami dilaporkan. - Bernama

Russia tidak sokong ubah rejim di Syria

MOSCOW: Russia semalam berkata, ia tidak menyokong kerajaan Syria pimpinan Bashar al-Assad, tetapi menggesa kuasa dunia berusaha dalam pelan damai utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) Kofi Annan dan bukan perubahan regim pemerintahan.
“Kami tidak menyokong kerajaan Syria. Kami menyokong pelan Kofi Annan,” kata Menteri Luar, Sergei Lavrov dalam sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatnya dari Britain, William Hague. Namun, dia menambah kuasa dunia perlu “memainkan peranan memenuhi pelan Kofi Annan dan bukan percaturan perubahan rejim pemerintahan.” - AFP

Iran nafi main peranan guling kerajaan Bahrain

TEHERAN: Kementerian Luar Iran menafikan peranan negara itu dalam rancangan untuk menumbangkan pemerintahan kerajaan di Bahrain.
Bahrain semalam menjatuhkan hukuman penjara terhadap lapan orang selepas mereka dituduh bersubahat dengan ejen warga Iran yang disyaki ingin menggulingkan pemerintahan beraja ahli Sunnah di negara Teluk itu.

Laporan agensi berita separakerajaan, Mehr, semalam memetik jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast sebagai berkata, Iran tidak “campur tangan” dalam hal ehwal dalaman di Bahrain. Ramin menggesa Bahrain supaya menimbangkan “tuntutan rakyat” daripada menuduh negara lain seperti Iran.
Negara Arab di Teluk mendakwa Iran mempunyai kaitan dengan pemberontakan 15 bulan yang menuntut lebih banyak hak terhadap majoriti penduduk Syiah di Bahrain. Iran menafikan memainkan sebarang dalam bantahan itu. - AP

Mahkamah Turki dakwa tentera Israel

ANKARA: Mahkamah Turki secara rasmi mendakwa anggota tentera Israel atas pembunuhan sembilan orang penumpang kapal Turki yang cuba memecahkan sekatan Israel terhadap Gaza pada 2010.
Agensi berita kerajaan Anadolu berkata, mahkamah di Istanbul semalam sebulat suara meluluskan tuduhan terhadap bekas ketua tentera Israel Leftenan Jeneral Gabi Ashkenazi bersama ketua tentera laut, udara dan perisikannya. Mereka menghadapi sembilan hukuman penjara seumur hidup kerana “menyebabkan penyeksaan dan pembunuhan kejam.” Anggota tentera Israel tidak mungkin menjalani perbicaraan di Turki, tetapi mahkamah boleh mengeluarkan arahan penahanan mereka jika mereka tidak hadir ketika dakwaan disabitkan. - AP

Penerbangan Palestin beroperasi semula

PANGKALAN UDARA MARKA (Jordan): Syarikat Penerbangan Palestin kembali terbang di udara selepas tidak beroperasi selama tujuh tahun ekoran konflik berlarutan Israel-Palestin.
Pernah menjadi simbol negara Palestin, pengangkutan udara itu hanya beroperasi secara kecil-kecilan melalui pesawat turboprop 48 tempat duduk dan terbang dua kali seminggu serta meminjam hab udara di Mesir.

Bagaimanapun, rakyat Palestin berkata, keupayaan untuk beroperasi semula adalah perkara paling utama.
“Tangan saya menggeletar ketika saya membeli tiket...dan nama pengangkutan udara yang tertera adalah Penerbangan Palestin,” kata penumpang yang juga seorang guru berusia 38 tahun dari Gaza, Zuhair Mohammed. Nasib syarikat penerbangan berusia 15 tahun itu mempunyai kaitan rapat dengan tuntutan untuk kewujudan negara Palestin.

Pada akhir 1990-an, ketika rakyat Palestin dalam usaha meyelesaikan perjanjian mengenai pembentukan negara Palestin dengan Israel, Penerbangan Palestin beroperasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Gaza, menerbangkan puluhan ribu penumpang setahun ke destinasi Timur Tengah dan merancang untuk mengembangkan operasi ke Eropah.

Impian itu musnah akibat berlakunya pemberontakan rakyat Palestin terhadap penjajahan Israel pada September 2000, ekoran kegagalan rundingan damai diketuai oleh AS. Setahun selepas itu, tentera Israel memusnahkan Lapangan Terbang Gaza dan Penerbangan Palestin terpaksa memindahkan pangkalannya ke El-Arish, pusat peranginan tepi laut di Mesir kira-kira 60 kilometer dari Gaza.
Tujuh tahun lalu, syarikat penerbangan itu menghentikan penerbangan sama sekali selepas jumlah penumpang semakin berkurangan. - AP

Garam daripada air mata?

GARAM yang didakwa diperbuat daripada air mata ketawa.
GARAM yang didakwa diperbuat daripada air mata ketawa.
LONDON: Bila kali terakhir anda menangis? Ketika menonton sebuah filem? Atau ketika bergaduh?
Dan ketika anda menangis, adakah anda menjilat air mata anda yang masin itu? 
Sebuah emporium di sini mendakwa menghasilkan pelbagai jenis garam yang mereka kata diperbuat daripada air mata manusia.

Mereka berkata: ‘Garam Daripada Air Mata’ mengandungi ‘air mata manusia paling segar yang dimasak.

“Malah anda boleh memiliki jenis air mata yang anda suka seperti Air Mata Daripada Kemarahan, Kesedihan, Ketawa, Menghiris Bawang atau Bersin.

Sebenarnya ia satu gimik pintar emporium berkenaan. Tetapi dengan RM150 satu set, harganya sudah cukup untuk membuat air mata anda meleleh. - Daily Mail

Ikan miliki ciri-ciri tiga spesies berbeza

SAWYER dengan ikan Frankenstein yang ditangkapnya.
SAWYER dengan ikan Frankenstein yang ditangkapnya.
LONDON: Pemancing, Mark Sawyer terkejut apabila dia menangkap ikan ‘Frankenstein.’
Sawyer, 53, pengarang majalah Angling Times berkata, ikan itu kelihatan terdiri daripada tiga spesies berbeza. 
“Kepala ikan itu seperti ikan lipas, badan dan ekornya seperti ikan emas coklat sementara sirip duburnya seperti ikan kakap,” kata Sawyer.

Dia menangkap ikan berkenaan ketika memancing ikan kap di Tasik Magpie di Cambridge. - DM

Enam dihukum mati kerana menyanyi, menari

ISLAMABAD: Empat wanita dan dua lelaki dijatuhi hukuman mati di utara Pakistan kerana menyanyi dan menari dalam satu majlis perkahwinan. 

Pemimpin agama mengeluarkan satu perintah selepas rakaman telefon bimbit menunjukkan enam tertuduh bersuka ria dalam kejadian di sebuah kampung pedalaman di daerah pergunungan Kohistan, 176 kilometer ke utara ibu negara Islamabad.
Pihak berkuasa Pakistan di kawasan terbabit berkata ulama tempatan mengarahkan hukuman terhadap lelaki dan wanita terbabit yang didakwa, perbuatan menyalahi adat tempatan puak yang mengasingkan wanita dan lelaki dalam majlis perkahwinan.
“Pemimpin agama tempatan mengeluarkan perintah menjatuhkan hukuman mati terhadap semua wanita dan lelaki yang dirakamkan video berkenaan,” kata pegawai polis daerah, Abdul Majeed Afridi, semalam. 

“Mereka memutuskan bahawa lelaki terbabit akan dibunuh terlebih dulu, tetapi tertuduh sempat melarikan diri jadi wanita yang dituduh selamat setakat ini. 

“Saya menghantar satu pasukan menyelamatkan mereka dan menunggu berita selanjutnya,” katanya sambil menambah bahawa wanita terbabit dikurung di rumah mereka. 

Afridi berkata, permasalahan itu berpunca daripada satu pertikaian membabitkan dua pihak dan tiada bukti menunjukkan bahawa lelaki dan wanita terbabit bergaul bebas. 
“Semua tertuduh dilihat menerusi rakaman berasingan dalam video berkenaan. Saya melihat rakaman yang diambil daripada telefon bimbit saya sendiri, menunjukkan empat wanita menyanyi dan seorang lelaki menari dalam adegan berasingan manakala rakaman lain menunjukkan seorang lelaki lain duduk,” katanya. – AFP

WWW 1 milik Sultan Johor


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar


KUALA LUMPUR - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sah menjadi pemilik bagi nombor pendaftaran baharu kenderaan WWW 1 yang berjaya dibida pada harga RM520,000.
Keputusan itu diketahui melalui pengumuman yang dibuat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semalam dan boleh dilayari di laman portal agensi tersebut.
Keputusan tersebut turut dipamerkan di tiga buah pejabat cawangan JPJ Wilayah Persekutuan-Kuala Lumpur masing-masing di Wangsa Maju, Maju Junction dan Bandar Sri Permaisuri.
Bidaan bagi nombor pendaftaran WWW 1 oleh Sultan Ibrahim itu mengatasi nombor pendaftaran termahal yang dicatatkan sebelum ini iaitu MCA 1 dengan harga RM300,100 diikuti TAY 1 (RM220,000) dan WVW 1 (RM202,000).
Selain WWW 1, turut mencatat rekod menerima bidaan tertinggi ialah WWW 3.
Nombor tersebut dibida pada harga RM360,000 oleh syarikat One Power International Sdn. Bhd.
Nombor pendaftaran siri WWW lain yang mencatat nilai bidaan ketiga tertinggi ialah WWW 9 yang dimiliki oleh Aspen Sunrise Sdn. Bhd..
Harga WWW 9 ialah RM350,000.

Muzium ketam di bandar Rusia


PELBAGAI jenis ketam yang terdapat di dalam muzium milik Islentyev.


KRASNOYARSK, Rusia - Seorang pesara, Vitaly Islentyev menyimpan pelbagai jenis peralatan ketam di sebuah muzium miliknya di bandar Yeniseisk.
Menurut maklumat yang terdapat dalam Book of Records of Russia, dia mempunyai koleksi peralatan itu yang terbanyak di negara ini.
Kira-kira 760 ketam yang diperbuat di Jerman, United Kingdom, Perancis, Rusia dan negara-negara lain dipamerkan di muzium itu.
Muzium tersebut turut mempamerkan ketam yang dihasilkan pada abad ke-18 dan ke-20.
Ketam digunakan untuk melicinkan permukaan kayu.
Islentyev, 65, yang pernah bekerja sebagai seorang pemandu kenderaan turut mempunyai sejumlah koleksi akordion dan alat pemain piring hitam. - Agensi

Harimau jatuh ke dalam kolam air


SEORANG anggota penyelamat melihat harimau bintang yang terjatuh itu.


SANGATRAM, India - Seekor harimau bintang liar terjatuh ke dalam kolam takungan air di sebuah ladang teh di sini semalam.
Namun, haiwan itu berjaya keluar dari kolam tersebut selepas ia memanjat tangga.
Tangga itu diletakkan oleh seorang anggota penyelamat daripada Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Mahananda. - AFP

AS sedia serang Syria


SEJUMLAH orang menghadiri majlis pengebumian mangsa-mangsa serangan tentera Syria di Houla pada Sabtu lalu.


WASHINGTON - Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) bersedia untuk menyediakan pilihan ketenteraan bagi menamatkan keganasaan di Syria.
Seorang pegawai kanan tentera AS, Jeneral Martin Dempsey memberitahu, pilihan itu akan dilakukan jika tekanan diplomatik gagal menamatkan pertempuran di negara tersebut.
"Justeru, saya akan menyediakan pilihan ketenteraan jika diminta untuk berbuat demikian," katanya kepada program terbitan stesen televisyen CBS, This Morning semalam.
Beliau membuat komen itu selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara mengutuk penggunaan kereta kebal dan meriam dalam satu serangan tentera Syria di bandar Houla.
Dalam serangan itu, seramai 108 orang dilaporkan terbunuh.
Ia merupakan serangan terbaharu yang melibatkan kematian yang ramai.
Angka kematian akibat kebangkitan penduduk Syria menentang pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad sejak tahun lalu dilaporkan mencecah lebih 12,000 orang.
Menurut pegawai tentera itu, beliau menjangkakan tekanan masyarakat antarabangsa yang menentang keganasan di Syria akan meningkat.
"Saya tidak pasti sama ada dalam kes di Syria, satu kombinasi tekanan diplomatik dan ekonomi akan memperoleh kejayaan.
"Namun, sudah pasti saya menggalakkan para pemimpin kami, pemimpin-pemimpin antarabangsa untuk bersama dalam satu cara yang boleh menyebabkan Bashar membuat keputusan yang betul," katanya.
Sementara itu, Utusan Khas PBB dan Liga Arab, Kofi Annan menyatakan, beliau terkejut dengan kejadian pembunuhan besar-besaran di bandar Houla.
Beliau menyatakan demikian semasa tiba di Damsyik untuk mengadakan perbincangan dengan beberapa pegawai semalam.
Annan berkata, pihak yang melakukan pembunuhan di bandar tersebut pada Jumaat dan Sabtu lalu perlu bertanggungjawab berhubung kejadian tersebut.
Beliau juga menyatakan setiap orang yang memegang senjata di Syria perlu mendengar mesejnya tentang keamanan bagi membolehkan pertumpahan darah dapat dihentikan.
"Saya berhasrat untuk mengadakan perbincangan yang serius dengan Bashar. Saya juga mahu berbincang dengan sejumlah orang semasa saya berada di sini," kata Annan.
Kelmarin, Syria menafikan dakwaan bahawa berlaku pembunuhan besar-besaran di bandar tersebut.
Jurucakap Kementerian Luar Syria, Jihad Makdissi menyatakan, pasukan tenteranya berada di sebuah pangkalan tentera pada Jumaat lalu semasa diserang oleh ratusan lelaki bersenjata.
Menurutnya, lelaki-lelaki bersenjata itu melepaskan tembakan mortar dan mesingan dalam pertempuran selama sembilan jam.
Dalam pertempuran itu, seramai tiga askar maut dan 16 lagi cedera. - Agensi