Pages

Wednesday, April 25, 2012

Israel iktiraf 3 penempatan Yahudi di tanah Palestin

myMetro | Israel iktiraf 3 penempatan Yahudi di tanah Palestin: "BAITULMAQDIS: Israel semalam berkata, ia memberi pengikirafan dari segi undang-undang terhadap tiga penempatan Yahudi di wilayah Tebing Barat.

Tindakan itu dilihat sebagai langkah yang akan mengukuhkan kerajaan campuran rejim Zionis tetapi pada masa sama, mengundang kecaman Palestin.


Pegawai rejim terbabit tidak membesar-besarkan keputusan yang dibuat jawatankuasa peringkat menteri lewat kelmarin dan menolak tuduhan ia mewujudkan penempatan Yahudi pertama dalam masa lebih 20 tahun.

Ketiga-tiga penempatan itu, Bruchin, Sansana dan Rechelim dibina di tanah yang rejim itu isytihar sebagai ‘milik negara.’ Ia terletak di Tebing Barat tetapi ditawan Israel pada Perang 1967. Rakyat Palestin mahu menjadikannya sebahagian daripada negara Palestin. Majoriti masyarakat antarabangsa menganggap semua penempatan Yahudi di Tebing Barat sebagai haram. - AP"

'via Blog this'

Gunung berapi Lukon di Sulawesi Utara meletup

myMetro | Gunung berapi Lukon di Sulawesi Utara meletup: "JAKARTA: Gunung Lukon di Sulawesi Utara meletus kira-kira jam 10.20 pagi semalam selepas beberapa hari kelihatan aktif, lapor Agensi Bencana Kebangsaan (BNPB).

Ukuran ketinggian lava yang meletus keluar dari gunung berapi itu tidak diketahui kerana asap tebal menutup pemandangan kawasan itu. BNBP mengisytiharkan jarak 2.5 kilometer dari puncak gunung adalah berbahaya dan menggesa penduduk berhampiran sentiasa berjaga-jaga. Tiada kawasan penempatan penduduk terletak di sekitar kawasan itu.


Bagaimanapun, BNBP berkata, penduduk yang tinggal di luar kawasan itu tidak perlu berpindah setakat ini. “Mungkin akan ada lagi letupan susulan. Kami menyeru penduduk supaya bertenang,” kata jurucakap BNBP, Sutopo Purwo Nugroho. - Jakarta Post"

'via Blog this'

Berlusconi digelar ‘ketua segala ketua’

myMetro | Berlusconi digelar ‘ketua segala ketua’:


pix_middle
MILAN: Bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi dirujuk sebagai ‘ketua segala ketua’ oleh gadis panggung keturunan separuh Inggeris yang dituduh merekrut pelacur untuk parti bunga-bunganya.
Istilah itu yang biasa digunakan untuk ketua mafia itu, digunakan Nicole Minetti, pengacara televisyen yang menjadi ahli politik dan dibicarakan kerana mendapatkan pelacur kelas atasan untuk bekas perdana menteri Itali itu. 
Nicole juga memberitahu rakannya, terdapat ‘lima kategori wanita’ yang menghadiri parti Berlusconi, dalam salah satu daripada 50,000 perbualan yang dipintas dan dirakam pendakwa raya dalam tempoh tujuh bulan.

Selepas mengundang seorang rakan untuk menghadiri satu parti di rumah agam Berlusconi dekat Milan, Nicole yang turut merujuk kepada taikun media berusia 75 tahun itu sebagai ‘cinta hidupku’ didakwa berkata, adalah penting untuk wanita muda berkenaan dimaklumkan mengenai apa yang berlaku di parti itu.

“Kamu akan melihat keadaan yang terdesak,” katanya kepada seorang wanita, Melania Tumini, merujuk kepada keadaan model dan bakal aktres bersaing untuk mendapatkan perhatian Berlusconi.

Dalam satu lagi panggilan, penari, Lisa Barizonte memberitahu Nicole bahawa dia akan membawa pakaian seragam gurunya untuk dipakai dalam satu daripada parti itu.

“Saya akan bawa tali pinggang cerut serta cermin mata dan apabila saya tanggalkan semuanya, hanya pakaian dalam seksi yang tinggal,” kata Nicole, menurut rakaman audio itu.

Panggilan telefon itu adalah sebahagian besar bukti yang digunakan pendakwa raya terhadap bekas perdana menteri itu dalam perbicaraan di Milan. Berlusconi menghadapi tuduhan menyalahgunakan kuasa dan membayar khidmat seks kepada penari kelab malam yang didakwa melacur ketika dia masih di bawah umur.

Berlusconi minggu lalu mendakwa dia menganjurkan majlis jamuan istimewa untuk wanita muda yang secara semula jadinya gemar menarik perhatian.


Bagaimanapun, Karima El Mahroug penari kelahiran Maghribi yang berusia 17 tahun ketika itu, berkata, Berlusconi sangat bimbang jika usianya yang sebenar diketahui.
Membayar gadis di bawah umur 18 tahun untuk khidmat seks adalah jenayah di Itali.

Karima yang juga dikenali dengan gelaran ‘Ruby si pencuri hati,’ mendakwa perdana menteri itu bersedia membayarnya 47,000 euro (RM235,000) seminggu untuk menutup mulut. - DT

Pentagon tubuh agensi perisikan baru

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



WASHINGTON 24 April - Pentagon menubuhkan sebuah agensi perisikan baru yang akan memberi fokus kepada Iran dan China ketika Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) itu mula mengalihkan perhatian dari zon perang di Iraq dan Afghanistan.
Agensi baru dikenali sebagai Perkhidmatan Rahsia Pertahanan (DCS) itu akan menggunakan ejen, kuasa dan aset sedia ada, di samping menjalinkan kerjasama erat dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk mengesan ancaman yang bakal timbul, lapor akhbar New York Times (NYT), semalam.
"Agensi itu akan membolehkan kami membuat liputan secara lebih rapi dan menyeluruh," kata seorang pegawai kanan Jabatan Pertahanan.
Pegawai kes daripada Agensi Perisikan Pertahanan (DIA) yang sedia ada sudah pun mengutip maklumat risikan di luar zon pertempuran konvensional dan penubuhan agensi baru itu mengukuhkan lagi kerjasama antara tentera dengan CIA, lapor NYT.
Agensi baru itu akan dianggotai oleh beberapa ratus lagi ejen pada tahun-tahun akan datang menerusi pertukaran kakitangan dan pembiayaan daripada peruntukan sedia ada, menurut laporan itu.
Pengumuman mengenai agensi baru itu dibuat seminggu selepas Pentagon mencalonkan Leftenan Jeneral Michael Flynn, yang sebelum ini berkhidmat dengan Pemerintah Operasi Khas Bersama (JSOC), untuk mengetuai perisikan tentera.
JSOC mendalangi pembunuhan ramai suspek ketua militan di Iraq dan Afghanistan dalam tempoh beberapa tahun lalu, dan melaksanakan operasi komando khas AS yang membunuh ketua al-Qaeda, Osama bin Laden hampir setahun yang lalu. - AFP

Ubat kesuburan tingkat risiko hidap leukemia?

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



LONDON 24 April - Ubat kesuburan dipercayai boleh meningkatkan risiko menghidap leukemia di kalangan bayi yang bakal dilahirkan, dedah satu kajian terbaru, hari ini.
Menurut kajian yang dibentangkan pada persidangan Kanser di kalangan Kanak-kanak 2012 di sini, bayi yang dilahirkan melalui rawatan kesuburan dikatakan menghadapi risiko 2.6 kali mendapat leukemia limfoblastik akut (ALL), iaitu jenis leukemia biasa yang sering dihidapi.
Risiko menghidap jenis leukemia yang jarang berlaku iaitu leukemia myeloid akut (AML) pula meningkat 2.3 kali ganda, manakala wanita yang hamil secara semula jadi selepas mencuba selama setahun didapati menghadapi 1.5 kali risiko melahirkan anak yang menghidap ALL.
Namun, kajian tersebut menunjukkan tiada peningkatan risiko leukemia bagi persenyawaan tabung uji (IVF) atau permanian beradas.
Kajian ini merupakan yang pertama menunjukkan kaitan antara ubat kesuburan dan leukemia di kalangan kanan-kanak.
Ketua penyelidik, Dr. Jeremie Rudant berkata, teknologi bantuan reproduktif mungkin terlibat dalam perkembangan kanser kanak-kanak, kerana ia melibatkan rawatan berulang ketika konsepsi berlaku.
Kajian yang dilakukan bersama Institut Penyelidikan Perancis, Inserm itu melibatkan ibu kepada 764 kanak-kanak yang menghidap leukemia dan 1,681 tanpa menerima sebarang rawatan.
Sebanyak 44,000 kitaran rawatan kesuburan dilakukan setiap tahun di United Kingdom dengan hampir dua peratus kelahiran dicatatkan pada 2007 berikutan rawatan yang diambil, berbanding hanya 0.5 peratus pada 1992.
Namun, di sebalik peningkatan risiko, jumlah kes leukemia di kalangan kanak-kanak di negara ini masih rendah, iaitu kira-kira 400 kes setiap tahun. - AGENSI

Eropah amalkan diskriminasi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



LONDON 24 April - Negara-negara Eropah melakukan diskriminasi terhadap penduduk Islam kerana mereka mengamalkan agama mereka, terutamanya dalam bidang pendidikan dan pekerjaan.
Pertubuhan hak asasi manusia Amnesty International, hari ini dalam laporannya yang tertumpu kepada Belgium, Perancis, Belanda, Sepanyol dan Switzerland, menggesa kerajaan-kerajaan Eropah meningkatkan usaha bagi mengikis stereotaip negatif dan prejudis terhadap Islam.
Laporan itu menyuarakan kritikan, terutamanya terhadap negara-negara yang menguatkuasakan pengharaman ke atas pemakaian purdah atau burqa atau pemakaian simbol agama di sekolah.
"Parti-parti politik dan pegawai kerajaan tidak berusaha untuk menghapuskan prejudis, sebaliknya kerap menyokongnya dalam usaha untuk memancing undi," kata pakar Amnesty International mengenai diskriminasi, Marco Perolini.
Katanya, wanita Islam tidak mendapat pekerjaan dan kanak-kanak perempuan dihalang daripada menghadiri kelas, semata-mata kerana mereka berpakaian tradisional, seperti memakai tudung kepala, sementara lelaki boleh dipecat kerana menyimpan janggut yang dikaitkan dengan Islam.
Menurut laporan berjudul 'Pilihan dan prejudis: Diskriminasi terhadap Penduduk Islam di Eropah' itu, undang-undang yang mengharamkan diskriminasi dalam sektor pekerjaan belum dilaksanakan dengan sewajarnya di Belgium, Perancis dan Belanda.
Majikan dibenar mengharamkan pemakaian simbol agama atau budaya di tempat kerja atas alasan simbol itu boleh menyinggung perasaan pelanggan atau rakan sekerja, atau ia bercanggah dengan imej korporat syarikat atau dasar berkecuali yang dikatakan diamalkan oleh syarikat, kata Amnesty.
Pertubuhan itu menganggap pengharaman sedemikian sebagai bertentangan dengan undang-undang Kesatuan Eropah (EU).
"Undang-undang EU yang mengharamkan diskriminasi atas sebab-sebab agama atau kepercayaan dalam sektor pekerjaan nampaknya tidak 'bertaring' di seluruh Eropah, kerana kami mendapati kadar pengangguran lebih tinggi di kalangan penduduk Islam," kata Perolini.
Amnesty juga mengkritik Switzerland kerana pada 2009 mula mengharamkan pembinaan menara baru untuk masjid, dan menyatakan tentang pihak berkuasa di wilayah Catalonia, Sepanyol yang menolak permohonan untuk membina masjid atas alasan rumah ibadat Islam itu bercanggah dengan tradisi dan budaya Catalonia. - AFP

1,200 askar Sudan Selatan maut

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Mayat seorang budak lelaki rentung dalam satu serangan udara yang dilancarkan tentera udara Sudan di sebuah pasar di Rubkona berhampiran Bentiu, semalam. - Reuters
HEGLIG, Sudan 23 April - Sekurang-kurangnya 1,200 askar Sudan Selatan terbunuh dalam pertempuran sengit dengan tentera Sudan untuk menguasai kawasan telaga minyak utama Sudan di Heglig, kata komander angkatan bersenjata Sudan hari ini.
"Bilangan anggota Pergerakan Pembebasan Rakyat Sudan (SPLM) yang terbunuh ialah 1,200 orang," kata Komander Kamal Marouf semasa berucap kepada beribu-ribu askar Sudan di kawasan itu.
Askar Sudan Selatan menduduki Heglig pada 10 April lalu sebelum dipaksa berundur semalam.
Angka kematian sukar disahkan tetapi seorang wartawan AFP yang mengiringi Marouf berkata, mayat askar Sudan Selatan yang reput bergelimpangan di bawah pokok-pokok di kawasan pertempuran.
Katanya, mayat askar itu begitu banyak sehingga 'tidak terkira' dan bendera Sudan Selatan tertera pada uniform mereka.
Dari jalan utama, kelihatan kenderaan syarikat minyak yang musnah, tetapi tiada penduduk awam, hanya askar Sudan yang meronda.
Sudan belum menyatakan bilangan askarnya yang terbunuh dalam operasi untuk menguasai semula kawasan telaga minyak itu.
Semasa menduduki Heglig, tentera Sudan Selatan mendakwa 19 askarnya terkorban, manakala 240 askar Sudan maut dalam pertempuran.
Sudan bertindak balas terhadap pendudukan telaga minyaknya itu dengan melancarkan gelombang demi gelombang serangan udara ke atas wilayah Sudan Selatan, termasuk serangan terbaru hari ini ke atas bandar Bentiu menyebabkan seorang kanak-kanak maut dan beberapa penduduk awam lain cedera.
Kedua-dua pihak menuduh satu sama lain merosakkan infrastruktur minyak di Heglig, yang menyumbangkan kira-kira separuh daripada pengeluaran minyak Sudan. - AFP

60 korban di Syria

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Gambar bertarikh 15 April merakamkan beberapa orang penduduk Syria berjalan di tengah-tengah bangunan yang rosak teruk di Inshaat, Homs akibat serangan tentera Syria. - AGENSI
DAMSYIK 24 April - Hampir 60 orang dilaporkan terbunuh dalam keganasan di beberapa kawasan di Syria semalam, walaupun gencatan senjata telah diisytiharkan dan 300 pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bakal dihantar untuk memantau gencatan senjata itu.
Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia hari ini berkata, sejumlah 54 orang awam dan lima askar terbunuh di beberapa wilayah.
Seramai 31 penduduk awam maut dalam serangan tentera ke atas kawasan kediaman Arbaeen di bandar Hama, tengah negara ini, manakala 13 lagi termasuk wanita dan kanak-kanak terkorban dalam letupan di kampung Jarjanaz, wilayah Idlib.
Rakaman video yang disiarkan di Internet oleh aktivis menunjukkan tompokan-tompokan darah di sebatang jalan di Arbaeen dan wanita menangis.
Keganasan itu berlaku sekalipun gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 12 April dan kehadiran pasukan awal pemerhati tentera PBB untuk memantau gencatan senjata itu.
Pertempuran juga dilaporkan berlaku pada subuh hari ini antara tentera dengan pemberontak di pinggir Damsyik.
Tiga orang cedera dalam satu letupan bom kereta di daerah Merjeh, tengah Damsyik hari ini, sementara bunyi tembakan dan letupan turut kedengaran di Douma, pinggir ibu negara ini.
Pertumpahan darah yang terus berlaku 12 hari selepas gencatan senjata berkuat kuasa mencetuskan kritikan daripada pemberontak terhadap misi awal pemantau PBB, yang masih terdiri daripada 11 pemerhati berbanding 30 anggota yang dirancangkan.
Dalam pada itu, Presiden Tunisia, Moncef Marzouki berkata, rejim Presiden Bashar al-Assad sudah berakhir dan beliau lambat-laun akan melepaskan kuasa sama ada 'hidup atau mati'.
"Rusia, China dan Iran yang menyokong Assad sejak pemberontakan meletus pada tahun lalu perlu menyedari orang ini (Assad) 'sudah habis' dan beliau tidak mungkin dipertahankan lagi," kata Marzouki dalam wawancara dengan akhbar Al-Hayat, semalam. - AFP

Kisah manusia dibela haiwan

Kosmo! Online - Rencana Utama:



P'NGIENG tidak dapat membiasakan diri dengan kehidupan manusia kerana telah hidup terlalu lama di dalam hutan.


CERITA manusia hidup dan membesar bersama haiwan cukup popular dalam siri Tarzan yang dihasilkan oleh ‘penciptanya’ Edgar Rice Burroughs yang berasal dari Illinois, Amerika Syarikat (AS).
Tarzan mengisahkan seorang lelaki yang diasuh sejak kecil oleh sekumpulan gorila di hutan Afrika. Budak itu mampu menyesuaikan diri dengan gorila yang dikenali dengan sifat agresif dan ganas. Tarzan juga bersahabat dengan haiwan lain seperti gajah, beruk dan ular.
Tetapi sisi kehidupan ‘normal’ Tarzan digugat dengan ketibaan sekumpulan pengembara dari Britain, Profesor Archimedes Q. Porter, anaknya Jane dan pembantu mereka, Clayton yang juga seorang pemburu.
Walaupun Burroughs telah lama meninggal dunia, bukunya, Tarzan of the Apes telah diterjemahkan ke dalam 58 bahasa.
Kisah mitos Tarzan sering menimbulkan persoalan sama ada bolehkah manusia hidup malah berinteraksi dengan haiwan? Hakikatnya, lebih 100 kes telah direkodkan di seluruh dunia membabitkan dakwaan seperti itu.
Antara cerita yang mendapat liputan meluas media adalah tentang seorang wanita bernama Oxana Malaya yang dilahirkan pada tahun 1983 di Ukraine. Malaya berkelakuan seperti anjing.
Ketika gadis itu ditemui oleh pihak berkuasa tempatan pada tahun 1991, dia hidup dengan sekumpulan anjing liar. Ibu bapanya menghadapi masalah ketagihan dadah yang kronik menyebabkan Malaya terabai sejak kecil.
Rumahnya terletak di kawasan pinggir bandar yang kotor dan dipenuhi anjing liar.
Semasa ditemui, kelakuannya sama seperti anjing. Dia menyalak serta berjalan menggunakan kedua-dua belah tangan dan kaki.
Curi beras
Malah, Malaya juga sukar berkomunikasi dengan manusia. Dia dihantar ke sebuah klinik mental di Ukraine sejak ditemui.
Kisah Malaya turut dialami oleh seorang wanita bernama Rochom P’ngieng yang hilang secara tiba-tiba dari kampungnya di Kemboja semasa berusia lapan tahun.
P’ngieng dikesan kembali semula ke kampungnya selepas hilang selama berpuluh-puluh tahun pada tahun 2007 semasa dia ingin mencuri beras milik seorang penduduk kampung.
Ibu bapa P’ngieng mendakwa, gadis itu ialah anak mereka yang hilang berdasarkan parut luka di badannya.
Walaupun telah berumur lebih 30 tahun, gadis itu tidak mampu bertutur dalam bahasa Kemboja. Akhirnya, dia lari semula ke hutan dan tidak ditemui sehingga kini.
Mungkin kisah lelaki bernama John Ssebunya paling menyayat hati. Ini kerana dia yang berumur empat tahun melarikan diri dari rumah ke hutan pada pertengahan tahun 1988 akibat trauma melihat ibunya mati ditembak bapanya sendiri.
Semasa ditemui oleh seorang wanita tiga tahun kemudian, fizikal lelaki itu begitu menyedihkan dengan rambut lebat tidak terurus, berjalan menggunakan kedua-dua tangan dan kaki serta tidak boleh menjamah makanan yang dimasak.
Dia bernasib baik kerana diambil sebagai anak angkat oleh sebuah keluarga. Uniknya, dia mampu menjadi ahli kumpulan koir.
Kelakuan
Pakar sakit mental dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Nor Zuraida Zainal, berkata, walaupun kisah manusia dipelihara oleh haiwan tidak berlaku di negara ini, manusia yang sejak kecil tinggal di habitat semula jadi mampu berkelakuan seperti haiwan tersebut.
Katanya, semasa manusia kecil mereka belajar dengan memerhatikan tindak tanduk individu atau haiwan yang mereka anggap sebagai ibu.
Proses itu juga dikenali sebagai etologi ataupun kajian tingkah laku haiwan. Sama seperti anak itik yang sebaik sahaja menetas mendapati ada seekor monyet di sebelahnya, ia akan menganggap monyet itu sebagai ibunya.
“Lebih-lebih lagi jika manusia itu terdedah selama bertahun-tahun. Haiwan kebiasaannya tidak menyerang budak kecil kerana mereka tidak mengancam keselamatan haiwan tersebut.
“Haiwan tidak boleh berfikir. Segala tindakannya berdasarkan pemerhatian dan kebiasaan semata-mata. Hasilnya, manusia yang hidup dengan binatang kurang cerdas mentalnya,” ujarnya.
Namun, Zuraida memberitahu, sekiranya ditemui dan dipulihkan ketika masih kecil potensi untuk mereka sembuh adalah tinggi.
“Tetapi jika sudah meningkat dewasa, mungkin mereka akan memberontak dan melarikan diri ke hutan semula,” katanya.
Beliau juga tidak menolak sebahagian besar cerita manusia hidup dengan haiwan adalah rekaan dan penipuan pihak tertentu.
“Mereka mungkin menghadapi masalah kekurangan fizikal sejak kecil ataupun berpenyakit, jadi mereka dibuang oleh keluarga.
“Kadangkala kekurangan fizikal itu juga digunakan untuk mencari keuntungan menerusi kutipan derma,” katanya.
Pengarah Zoo Negara, Dr. Mohamad Ngah tidak menolak manusia boleh hidup bersama binatang tetapi kes tersebut jarang sekali berlaku.
“Haiwan sendiri mempunyai habitat dan cara hidup tersendiri sama seperti manusia. Lagipun mengapa kita ingin merendahkan martabat manusia sebagai makhluk yang paling bijak di muka bumi ini?” katanya.

Saintis China hasilkan biri-biri daripada gen cacing

Kosmo! Online - Dunia:




SEEKOR biri-biri yang bernama Peng Peng cuba berdiri di sebuah ladang di Urumqi, Xinjiang pada 26 Mac lalu.


HONG KONG - Sekumpulan saintis China mengklonkan seekor biri-biri modifikasi genetik bercirikan lemak 'baik' yang ditemui secara semula jadi dalam kacang, biji benih, ikan dan sayur-sayuran hijau.
Biri-biri berkenaan, Peng Peng yang mempunyai gen cacing bulat dilahirkan dengan berat 5.74 kilogram di sebuah makmal dalam wilayah Xinjiang, barat China pada 26 Mac lalu.
"Ia membesar dengan baik dan sihat seperti seekor biri-biri biasa," kata Ketua Saintis Institut Genom Beijing, Du Yutao di Shenzhen, selatan China.
Yutao dan beberapa saintis lain memasukkan gen yang memiliki ciri pengeluaran asid lemak politaktepu ke dalam sel penderma yang diambil daripada telinga seekor biri-biri Merino China.
Sel tersebut kemudian dimasukkan ke dalam sebiji telur yang belum disenyawakan dan dipindahkan ke dalam rahim seekor biri-biri tumpang.
"Gen berkenaan berasal daripada C. elegans (cacing bulat) yang didapati dapat meningkatkan kandungan asid lemak tak tepu yang baik untuk kesihatan manusia," kata Yutao.
China perlu membekalkan makanan kepada rakyatnya.
Namun, hanya tujuh peratus daripada tanah subur di dunia terdapat di China.
Bagi membantu menyelesaikan masalah berkenaan, Beijing giat meningkatkan pengeluaran gandum, daging dan produk makanan lain untuk bekalan domestik sejak beberapa tahun lalu. - Reuters

Kereta tersadai di tangga

Kosmo! Online - Dunia:




SEBUAH kereta berhenti di kawasan tangga menuju ke stesen Chaussee d'Antin La Fayette, Paris semalam.


PARIS - Seorang pemandu sebuah kereta pada mulanya menyangka sebuah laluan bawah tanah di sini menuju ke tempat meletak kenderaan.
Dia terus memandu kereta memasuki laluan itu sebelum menyedari ia sekiranya adalah tangga untuk menuju ke stesen tren bawah tanah.
Bagaimanapun, dia sempat menekan brek menyebabkan keretanya tersadai di kawasan tangga itu di stesen Chaussee d'Antin La Fayette semalam.
Polis kemudian menahan pemandu kereta itu yang merupakan seorang lelaki untuk menjalani ujian kandungan alkohol dalam badannya.
Keputusan ujian itu mendapati pemandu tersebut negatif alkohol yang menunjukkan dia tidak mabuk. - AFP

Tiga pegawai perisikan terbunuh di Damsyik

Kosmo! Online - Dunia:




TOMPOKAN darah terdapat dekat sebuah kenderaan selepas bom meletup di Damsyik semalam.


BEIRUT - Beberapa aktivis Syria menyatakan tiga pegawai perisikan Syria terbunuh di kawasan kejiranan Barzeh, Damsyik semalam.
Bagaimanapun, mereka tidak menyatakan secara terperinci tentang kejadian tersebut.
Seramai tiga orang lagi cedera dalam satu letupan bom yang berlaku di Damsyik semalam.
Letupan itu berlaku berhampiran Pusat Kebudayaan Iran yang menyebabkan terdapat tompokan darah dan tingkap kaca berkecai.
Ia berlaku semasa sebuah trak tentera yang melalui Dataran Marjah meletup.
Pemandu trak dan dua penumpang dalam sebuah kereta berhampiran yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Seorang pegawai keselamatan di tempat kejadian berkata, bahan letupan didapati telah diletakkan di atas trak tersebut.
Bagaimanapun, pemandu lori itu tidak mengetahui tentang kehadiran bom berkenaan.
Pemerintah Syria tidak memberikan komen tentang serangan itu.
Para pemberontak berusaha untuk menggulingkan Presiden Bashar Al-Assad.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih 9,000 ornag telah terbunuh sejak konflik di Syria berlaku pada Mac 2011. - Agensi

Tiga pegawai perisikan terbunuh di Damsyik

Kosmo! Online - Dunia:




TOMPOKAN darah terdapat dekat sebuah kenderaan selepas bom meletup di Damsyik semalam.


BEIRUT - Beberapa aktivis Syria menyatakan tiga pegawai perisikan Syria terbunuh di kawasan kejiranan Barzeh, Damsyik semalam.
Bagaimanapun, mereka tidak menyatakan secara terperinci tentang kejadian tersebut.
Seramai tiga orang lagi cedera dalam satu letupan bom yang berlaku di Damsyik semalam.
Letupan itu berlaku berhampiran Pusat Kebudayaan Iran yang menyebabkan terdapat tompokan darah dan tingkap kaca berkecai.
Ia berlaku semasa sebuah trak tentera yang melalui Dataran Marjah meletup.
Pemandu trak dan dua penumpang dalam sebuah kereta berhampiran yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Seorang pegawai keselamatan di tempat kejadian berkata, bahan letupan didapati telah diletakkan di atas trak tersebut.
Bagaimanapun, pemandu lori itu tidak mengetahui tentang kehadiran bom berkenaan.
Pemerintah Syria tidak memberikan komen tentang serangan itu.
Para pemberontak berusaha untuk menggulingkan Presiden Bashar Al-Assad.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih 9,000 ornag telah terbunuh sejak konflik di Syria berlaku pada Mac 2011. - Agensi

Palestin mahu tiada negara Israel

Kosmo! Online - Dunia:



GAMBAR fail menunjukkan penduduk Palestin menyertai tunjuk perasaan menentang penempatan haram Yahudi di sebuah kawasan yang menghadap pemandangan Masjid Kubah Emas di Baitulmuqaddis pada 20 April lalu.




TEBING BARAT - Seorang tokoh terkemuka Palestin mahu Palestin menggugurkan cadangan penubuhan dua buah negara bagi menyelesaikan krisis di Asia Barat.
Rundingan yang melibatkan penubuhan negara Israel dan Palestin telah berlanjutan selama beberapa dekad.
Sebaliknya, penduduk Palestin mungkin berusaha menubuhkan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai etnik yang meliputi Palestin termasuk Israel.
Kenyataan itu dibuat oleh bekas Perdana Menteri Palestin, Ahmed Qureia.
Menurutnya, rundingan damai yang melibatkan kedua-dua negara hanya merugikan masa.
Beliau berkata, Israel menggagalkan rundingan itu sendiri kerana ia menempatkan penempatan haram di Tebing Barat dan menghalang penduduk Palestin daripada memenuhi cita-cita untuk menjadikan timur Baitulmuqaddis sebagai ibu kota mereka.
"Jika itu ialah dasar, saya rasa ia merupakan pembohongan besar untuk bercakap tentang penyelesaian dua buah negara," katanya kelmarin.
"Israel yang membunuh peluang untuk mewujudkan dua buah negara," tambahnya. - Agensi