Pages

Monday, March 26, 2012

Gadis diculik, dirogol selepas motosikal dilanggar


SHAH ALAM 25 Mac - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Seorang gadis berusia 17 tahun bukan sahaja menjadi mangsa culik, malah dia turut dirogol seorang lelaki yang melarikannya di Parit 13, Tebuk Jaya, Sungai Panjang, Sabak Bernam malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam ketika mangsa bersama adiknya yang berusia 15 tahun menunggang motosikal Honda EX5 untuk pulang ke rumah dari kedai.
Motosikal dua beradik itu tiba-tiba dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta dipercayai Proton Saga.
Selepas kedua-dua beradik itu terjatuh, suspek berusia 19 tahun keluar dari kereta dan segera mendukung mangsa ke dalam kenderaan sebelum melarikannya.
Terkejut melihat kejadian itu, adik perempuan mangsa bergegas membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar.
Kejadian berlaku kira-kira satu kilometer dari rumah keluarga gadis tersebut.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supritendan Noor Mushar Mohamad berkata, suspek membawa remaja terbabit ke satu kawasan sunyi dan merogolnya di dalam kereta.
Menurutnya, mangsa kemudian ditinggalkan di tepi jalan sebelum diselamatkan pihak polis kira-kira pukul 10.30 malam.
"Pasukan peronda polis kemudian menemui kereta dinaiki suspek di tepi jalan namun lelaki itu telah melarikan diri ke kawasan kebun sawit selepas cuba dikejar penduduk yang mengetahui kejadian ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Noor Mushar memberitahu, identiti lelaki terbabit berjaya dikesan apabila siasatan lanjut ke atas nombor pendaftaran kereta itu mendapati ia adalah kepunyaan majikannya dan suspek merupakan individu terakhir yang menggunakan kenderaan tersebut.
Katanya, suspek yang mengambil upah mengangkat barang kemudian menyerah diri kepada pihak polis pagi ini setelah didesak oleh majikannya.
"Mangsa yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang masih trauma dengan kejadian yang menimpanya," kata beliau.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Sarjan Staf Robert Bales dipercayai lakukan dua serangan



Anar Gul menunjukkan mayat cucunya yang terbunuh dalam serangan seorang askar AS, Sarjan Robert Bales ke atas penduduk awam di Panjwai, wilayah Kandahar, selatan Kabul, pada 23 Mac lalu mengakibatkan 17 orang terbunuh. – AGENSI


WASHINGTON 25 Mac – Penyiasat tentera percaya askar Amerika Syarikat (AS) yang didakwa terlibat dalam insiden pembunuhan 17 orang awam di Afghanistan, baru-baru ini melakukan serangan tersebut sebanyak dua kali, lapor The New York Times, hari ini.
Memetik kenyataan seorang pegawai rasmi yang tidak mahu dikenali, Sarjan Staf Robert Bales dikatakan meninggalkan pangkalan tentera untuk melakukan serangan pertama dan kemudian kembali ke kem tersebut sebelum keluar semula untuk melakukan serangan buat kali kedua.
Selepas kembali melakukan serangan kedua, Bales ditahan.
Tanggapan itu dibuat selepas soal siasat dijalankan bagi mengumpul bukti mengenai apa yang terjadi sewaktu kejadian tersebut.
Bales berdepan dakwaan melakukan pembunuhan terancang 17 orang awam di daerah Panjwai, Kandahar pada 11 Mac lalu.
Pembunuhan tersebut dipercayai menjadi jenayah perang paling berat pernah dilakukan askar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), dalam konflik yang meningkatkan lagi hubungan tegang antara Washington dan Kabul.
Bales, 38, kini ditahan di Fort Leavenworth di Kansas dan jurucakap tentera AS berkata, besar kemungkinan perbicaraan akan dilakukan di negara ini, walaupun keputusan masih belum dibuat. – AFP

Teh baik untuk wanita


BOSTON 25 Mac - Pengambilan dua cawan teh secara teratur setiap hari mampu membantu wanita meningkatkan peluang untuk hamil sehingga 27 peratus.
Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Boston Amerika Syarikat itu, sebaliknya mendapati, pengambilan dua minuman berkarbonat, tidak kira sama ada versi diet atau biasa, pula akan mengurangkan peluang untuk hamil sehingga 20 peratus.
Ketua Penyelidik, Professor Elizabeth Hatch berkata, kajian tersebut dilakukan terhadap 3,600 wanita yang cuba untuk hamil bagi menilai kaitan antara pengambilan kafein dan kehamilan.
"Mungkin ia disebabkan kandungan kafain di dalamnya, namun mungkin juga terdapat faktor lain yang berkaitan dengan gaya hidup seseorang wanita atau bahan bermanfaat lain yang terkandung dalam minuman tersebut," katanya.
Menurut beliau, pihaknya tidak pasti bagaimana cara responden menikmati teh tersebut, sama ada menambah susu atau lemon di dalam minuman mereka, namun pengambilan teh didapati meningkatkan peluang wanita untuk hamil berbanding mereka yang tidak minum teh.
Kajian itu juga mendapati, teh hijau atau teh herba tidak mempunyai kaitan dengan peningkatan peluang untuk hamil.
Tambah Hatch, kajian mendalam perlu dilakukan mengenai kesihatan dan saiz bayi yang dilahirkan oleh ibu-ibu yang kerap mengambil teh, bagi mengesahkan lagi mengenai manfaat minuman itu.
Sementara itu, Pengarah Bersekutu Pusat Kesburan Bridge di London, Laurence Shaw pula menasihati wanita berusia 35 tahun ke atas yang ingin hamil agar mendapatkan nasihat daripada pakar dan tidak terus mengambil teh dalam kuantiti yang banyak. - AGENSI

Pemberontak Syria tubuh majlis tentera



Seorang budak lelaki memerhati sebuah rumah yang ranap akibat dibedil tentera kerajaan di Sermeen, utara bandar Idlib, kelmarin. - REUTERS


BEIRUT 25 Mac - Tentera Pembebasan Syria (FSA), semalam mengumumkan pembentukan sebuah Majlis Tertinggi Tentera, yang menggabungkan semua ketua-ketua pemberontak.
Ketua FSA, Kolonel Riad al-Asaad berkata, majlis itu akan dipengerusikan oleh bekas seorang pegawai tentera kerajaan paling kanan yang berpaling tadah, Jeneral Mustafa al-Sheikh.
Katanya, penubuhan majlis tentera itu adalah usaha terbaru untuk menjamin perpaduan tentera dan angkatan bersenjata pergerakan pemberontak.
Menurutnya, majlis itu 'menolak tanggungjawab untuk sebarang tindakan yang diambil oleh organisasi lain' dan menggesa semua tentera yang berpaling tadah menyertai mereka.
"Hari ini satu pakatan keamanan telah ditandatangani di Turki dan Majlis Tertinggi Tentera pimpinan Jeneral Sheikh dan FSA pimpinan Assad secara rasminya telah bergabung.
"Jeneral Sheikh telah dilantik sebagai pengerusi majlis tersebut," menurut satu kenyataan FSA, semalam.
Menurut Leftenan Khaled Ali daripada kumpulan Jeneral Sheikh, Assad akan bertanggungjawab ke atas operasi ketenteraan.
"Beliau akan mengawal semua briged dan semua majlis tentera tempatan perlu mematuhi arahannya.
"Jeneral Sheikh dan 10 lagi jeneral lain pula bertanggungjawab bagi memutuskan strategi ketenteraan FSA dan berhubung persenjataan serta kewangan," katanya kepada AFP di Beirut. - AFP

Masa semakin suntuk: Obama

myMetro | Masa semakin suntuk: Obama:

SEOUL: Presiden AS, Barack Obama, semalam berkata masih ada masa untuk menyelesaikan kebuntuan isu program nuklear Iran melalui saluran diplomasi, tetapi “pintunya semakin tertutup.”
Kata Obama, dia yakin rundingan masih terbuka tetapi waktu kian suntuk.

Kenyataan seumpama itu pernah dibuat Obama ketika dia mengadakan sidang media bersama Perdana Menteri Britain, David Cameron, lebih dua minggu lalu.
Obama turut menasihati Teheran mengambil peluang rundingan dengan pelbagai pemimpin dunia bagi mengelak “kesan lebih buruk.” Terdahulu, akhbar harian Russia, Kommersant, memetik diplomat negara itu yang berkata, AS meminta Moscow memberi kata dua kepada Teheran. Kenyataan semalam dibuat selepas Obama bertemu Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, sempena sidang kemuncak keselamatan nuklear di Seoul. Dalam rundingan itu, Recep turut menyatakan rancangannya melawat Iran sebelum akhir bulan ini dan berunding dengan pemimpin negara berkenaan mengenai keganasan di Syria.

Pegawai AS berkata, turut dibincangkan kedua-dua pemimpin terbabit, rancangan menyediakan bekalan perubatan dan komunikasi kepada pembangkang Syria.

“Bagaimanapun, isu membekalkan senjata untuk pemberontak tidak diperkatakan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Penasihat Keselamatan Kebangsaan, Ben Rhodes, berkata Washington dan Ankara terus bersikap terbuka mengenai bantuan “bukan senjata api” untuk pembangkang Syria.

Kata Rhodes, isu itu akan dibincangkan dalam pertemuan “Sahabat Syria” di Turki pada 1 April ini.
“Kami bertindak atas agenda bersama untuk membantu usaha kemanusiaan dan misi Kofi Annan membawa perubahan yang mendesak di Syria,” katanya. - Reuters

'via Blog this'

Cheney terima jantung penderma tidak dikenali

myMetro | Cheney terima jantung penderma tidak dikenali: "WASHINGTON: Bekas Naib Presiden AS, Dick Cheney, kini semakin pulih di hospital selepas menjalani pembedahan menerima jantung individu tidak dikenali.

Menjadi tokoh utama dalam kempen “perang ke atas keganasan” AS selepas serangan 11 September 2001, Cheney, 71, masih ketika ini menjadi tokoh dominan dalam Parti Republikan.


Dia juga memang mengalami masalah jantung sejak sekian lama.

Berkhidmat di bawah George W Bush, Cheney terpaksa menunggu lebih 20 bulan sebelum mendapat jantung sesuai.


Jurucakap Cheney, Kara Ahern, berkata dia beransur pulih di unit rawatan rapi Hospital Inova Fairfax di Falls Church, Virginia.


“Walaupun Cheney dan keluarga tidak mengenali penderma, mereka akan terhutang budi kepada individu itu selama-lamanya,” katanya.

Cheney mengalami serangan jantung pertama ketika berusia 37 tahun pada 1978 dan menjalani empat pembedahan pintasan pada 1988. - AFP"

'via Blog this'

Budak ‘berjambang’

myMetro | Budak ‘berjambang’:ISTIMEWA...Nurul Afida menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal.
ISTIMEWA...Nurul Afida menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal.
BACHOK: Hampir keseluruhan tubuhnya dipenuhi bulu tebal sehingga wajahnya berjambang, malah suaranya juga garau. Itu keunikan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, Nurul Afida Batrisya Razi dari Kampung Canggong, dekat sini.
Walaupun berbeza, kanak-kanak itu menjalani kehidupan seperti rakan seusianya, malah bersekolah di prasekolah Taski Al-Yakubiah Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Kampung Nipah, dekat sini.
Ibunya, Asliza Omar, 37, berkata walaupun keadaan anaknya luar biasa dan sering menarik perhatian sesiapa yang melihatnya, dia tidak malu, malah tidak menghalang anaknya itu menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain.

“Ketika dilahirkan, beratnya hanya dua kilogram dan hampir seluruh tubuhnya dipenuhi bulu yang lebat. Bagaimanapun, saya bersyukur dia sihat.

“Kekurangannya ketika ini lambat bercakap,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

'via Blog this'

Sukar dakwa cinta songsang

myMetro | Sukar dakwa cinta songsang:

KUALA LUMPUR: Kesukaran membuktikan wanita menjalin hubungan cinta songsang dengan kaum sejenisnya sebagai satu kesalahan yang boleh didakwa di mahkamah sivil dan syariah, dipercayai antara punca masalah sosial terbabit kekal berleluasa.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal, berkata beliau tidak menafikan hukuman sukar dijatuhkan kerana pendakwaan sukar membuktikan kesalahan si pelaku meskipun terdapat laporan serta penguatkuasaan daripada pihak berkuasa.

“Selalu pasangan lesbian, tidak kira sama ada dia bercinta dengan pengkid atau sesiapa yang lahir sebagai perempuan, kita ada kesukaran untuk buktikan kesalahan itu kerana bukti perlu kukuh dan sahih.
“Jika ketika penguat kuasa menangkap pasangan ini, mereka sedang bermesra dengan kedua-duanya telanjang bulat di atas katil, itu boleh menjadi bahan bukti kuat dan dibantu pula alat sokongan seks...memang hukuman jelas untuk kesalahan ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad semalam mengenai seorang wanita berusia 46 tahun yang bergelar nenek kepada empat cucu dikatakan bernafsu untuk menjalin hubungan songsang dan belaian manja dengan wanita berperwatakan lelaki atau pengkid berusia 32 tahun dipanggil Ash.

'via Blog this'

Dukung dalam kereta sebelum dinoda

myMetro | Dukung dalam kereta sebelum dinoda:

SABAK BERNAM: Perjalanan pulang dua beradik ke rumah selepas membeli kad prabayar berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka dirogol dalam kereta selepas motosikal yang mereka naiki dilanggar dalam kejadian di Parit 13, Sungai Panjang, di sini, kelmarin.
Ketika kejadian mangsa berusia 17 tahun yang menunggang motosikal bersama adiknya berusia 15 tahun dilanggar sebuah Proton Saga, kira-kira jam 9 malam di kawasan sunyi.

Berikutan perlanggaran itu, kedua-dua beradik itu terjatuh sebelum suspek berhenti dan menarik mangsa ke dalam kereta.
Suspek yang berusia 19 tahun dikatakan sanggup mendukung mangsa yang meronta-ronta ke dalam kereta sebelum membawanya lari dengan meninggalkan adik remaja itu kesakitan seorang diri di tepi jalan.

Adik mangsa bergegas pulang ke rumahnya kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian dan menceritakan kepada keluarga yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Sabak Bernam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, siasatan awal polis mendapati suspek membawa mangsa ke tempat sunyi sebelum merogolnya dalam kereta, kira-kira jam 10.30 malam.
Menurutnya, mangsa terpaksa menuruti kehendak suspek selepas diugut akan dirogol beramai-ramai jika enggan mematuhi permintaan itu.

Katanya, selepas dirogol, mangsa ditinggalkan di tepi jalan sebelum ditemui orang ramai.
“Suspek melarikan diri selepas menyedari menjadi buruan penduduk.

“Akibat gagal mengawal kenderaannya, kereta dipandu suspek terbabas, tetapi lelaki itu dapat meloloskan diri ke kebun sawit berhampiran dan meredah sawah padi bagi menyelamatkan diri.

“Suspek dikatakan turut meminta bantuan di rumah majikannya yang terletak berhampiran tempat kejadian.

“Bagaimanapun, usaha suspek meraih simpati majikannya gagal kerana selepas menceritakan kejadian yang berlaku, lelaki itu dipaksa menyerah diri kepada polis, semalam,” katanya. Beliau berkata, siasatan polis mendapati suspek menggunakan kereta milik majikannya ketika melakukan jenayah itu.

'via Blog this'

Inspektor tumpas sindiket curi lori terbesar diiktiraf

myMetro | Inspektor tumpas sindiket curi lori terbesar diiktiraf:

SHAH ALAM: Kejayaannya menyelesaikan kes sindiket curi lori terbesar di Selangor yang mencecah jutaan ringgit di Kampung Ayer Puteh, Simpang, Taiping, Perak, Februari lalu, melayakkan Inspektor Mohd Aster Mohamad, 34, menerima anugerah Surat Penghargaan Ketua Polis Negara dalam Majlis Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-205 Peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan, di sini, semalam.
Mohd Aster berkata, dia tidak menyangka menerima penghargaan apabila menjalankan tugasnya kerana minat mendalam dalam bidang siasatan selain tanggungjawab yang dipikul selaku pegawai polis.

Katanya, dia mengambil masa lebih setahun untuk menyiasat kegiatan sindiket itu sebelum membongkar kegiatan mereka susulan penahanan dua lelaki yang mahu mencuri sebuah lori di Rawang.
“Cabaran utama polis ketika menyelesaikan kes itu ialah suspek yang disoal siasat tidak mahu bekerjasama dan menyukarkan polis untuk mengumpul maklumat dan bukti.

“Tetapi, siasatan berjalan lancar apabila polis mendapat kerjasama dan maklumat daripada orang awam dan maklumat hasil risikan,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah itu.

'via Blog this'

Budak peminta sedekah membanjiri jalan Madinah

myMetro | Budak peminta sedekah membanjiri jalan Madinah:

MADINAH: Jumlah kanak-kanak yang membarisi jalan raya, khususnya berhampiran lampu isyarat di bandar suci ini untuk meminta sedekah semakin meningkat sejak cuti sekolah yang bermula Rabu lalu.
Perkembangan itu mencetuskan rasa kurang senang di kalangan penduduk dan pengunjung yang mendesak pihak berkuasa bertindak sebelum jumlahnya bertambah ramai.

“Ini perkembangan baru di Madinah. Kami tidak pernah melihat begitu ramai kanak-kanak mengemis sebelum ini. Kawasan yang menjadi tumpuan ialah berhampiran persimpangan jalan raya, masjid dan stesen minyak,” kata seorang penduduk, Ghazi Falah ketika diwawancara wartawan Arab News.
Seorang lagi penduduk, Naif Al-Mitairi, menyalahkan keluarga terbabit kerana tidak memantau kegiatan anak masing-masing. Sebahagian besar pengemis kanak-kanak itu ialah warga asing.

“Penduduk dan pihak berkuasa perlu bersama-sama membanteras perkembangan ini sebelum ia menjadi tidak terkawal,” kata seorang pengunjung warga Mesir Mahmoud Essam Al-Din.

Seorang wanita Saudi, Maha Saeed berkata, dia melihat sendiri kanak-kanak mengemis di pusat beli-belah.
“Kebanyakan mereka anak pendatang asing. Jumlah mereka meningkat mendadak pada hujung minggu dan cuti sekolah. Mereka termasuk kanak-kanak perempuan yang semuda 10 tahun,” katanya. - AN

'via Blog this'

AS bantu penentang Bashar

myMetro | AS bantu penentang Bashar:

SEOUL: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, berikrar menghantar bantuan bukan senjata kepada pemberontak di Syria.
Dalam pada itu, konvoi keamanan yang diketuai oleh bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Koffi Annan, cuba meyakinkan Russia supaya bertindak lebih agresif terhadap Syria. Pengumuman Obama semalam adalah sokongan paling terbuka oleh AS kepada pemberontak dan ia pasti mencetuskan kemarahan Russia yang mengutuk Barat kerana mendesak Presiden Bashar al-Assad meletak jawatan. Sementara itu, di Syria, pemberontak dan pemerhati berkata, letupan terus menggegarkan bandar Homs.

Tentera kerajaan meningkatkan serangan di bandar berkenaan sementara kumpulan penentang menyerang pangkalan tentera di Damsyik.
Obama berkata, perbincangan telah dibuat dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sebelum Persidangan Keselamatan Nuklear di Seoul, dan mereka bersetuju mengenai perlunya proses untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang sah di Syria.

Seorang pegawai kanan Jabatan Keselamatan Negara AS berkata penghantaran bantuan perubatan dan bantuan lain perlu dijadikan tumpuan utama pada mesyuarat ‘Sahabat Syria’ yang dijadualkan pada 1 April di Istanbul. Jumaat lalu, Russia mengecam mesyuarat itu walaupun sebelum ini ia memberikan tindak balas yang bertentangan mengenai tahap jurang krisis itu dengan Barat.

Dalam pada itu, pertemuan Annan dengan Presiden Russia, Dimitry Medvedev diadakan beberapa hari selepas Moscow mengkritik Bashar dan menyokong Majlis Keselamatan PBB, meminta tenteranya keluar dari bandar Homs.
Bashar setakat ini tidak menunjukkan tanda untuk menuruti desakan itu.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 28 orang awam dilaporkan terbunuh, semalam dan pemerhati melaporkan pertempuran merebak dari pinggir bandar Damsyik hingga ke wilayah utara yang bersempadan dengan Turki.
Jawatan kuasa Penyelaras Tempatan berkata: “Tentera kerajaan melancarkan serangan sengit di Khalidiyeh, Hamidiyeh dan Homs Lama semalam hingga menggegarkan seluruh bandar.” Dalam perkembangan lain, pemerhati, berkata penentang melancarkan serangan roket terhadap pangkalan tentera dekat Damsyik. - AP

'via Blog this'

Pejuang MILF, MNLF bertempur: 2 terbunuh

myMetro | Pejuang MILF, MNLF bertempur: 2 terbunuh:

COTABATO: Pergaduhan antara pemberontak menyebabkan dua terbunuh dan kira-kira 270 keluarga meninggalkan rumah masing-masing, kata jurucakap tentera semalam.
Lapan rumah turut terbakar ketika anggota Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bertempur dengan penyokong Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).

Jurucakap tentera berkata, selepas seminggu pertempuran berlaku di beberapa lokasi, pejuang MILF menyerang anggota MNLF di bandar pertanian Carmen, selatan Mindanao, kelmarin.
“Pertempuran itu menyebabkan seorang maut bagi setiap kumpulan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap MILF, Von al-Haq, berkata pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham di antara pemimpinnya, Komander Karim, dengan ketua MNLF, Komander Teo.

“Mereka menuduh Komander Teo mendalangi pembunuhan isteri Komander Karim tiga minggu lalu,” katanya.
Bagaimanapun, Von al-Haq tidak tahu-menahu mengapa wanita terbabit dibunuh.

Ekoran ketegangan itu, MILF menghantar pegawainya ke kawasan terbabit bagi menamatkan permusuhan, manakala tentera turut diarah ke situ bagi memisahkan kedua-dua kumpulan. - AFP

'via Blog this'

Michelle Obama anggap anjing anak lelakinya

myMetro | Michelle Obama anggap anjing anak lelakinya:

JAKARTA: Wanita pertama Amerika Syarikat, Michelle Obama semalam membuat kenyataan mengejutkan apabila berkata, anjing peliharaannya, Bo adalah anak lelakinya.
"Bo adalah anak laki-laki saya," kata Michelle kepada David Letterman, lapor majalah People. 
“Saya mempunyai dua anak perempuan dan seorang anak lelaki,” kata isteri Presiden Amerika Syarikat itu.

Michelle berkata, dia tidak pernah mengabaikan tugas selaku ibu dan memuja 'anaknya yang berbulu' itu.

“Bo amat menakjubkan. Dia anjing paling pintar di planet ini,” kata Michelle penuh bangga.

Beliau juga berkata, Bo memiliki kualiti yang positif serta dan sangat baik. - Agensi

'via Blog this'

Budak 9 tahun cuma boleh makan makanan bayi

myMetro | Budak 9 tahun cuma boleh makan makanan bayi:

NEW YORK: Ramai kanak-kanak lelaki yang meningkat remaja mengamalkan diet yang membosankan tetapi untuk seorang budak, dia tidak mempunyai pilihan lain kerana dia mungkin boleh mati.
Joshua yang berusia sembilan tahun, mengalami penyakit yang jarang ditemui, dikenali sebagai “eosinophilic esophagitis” yang bermaksud dia alah dengan pelbagai jenis makanan dan boleh membawa maut. 
Bagi kanak-kanak biasa makanan seperti piza, hot dog, sandwic mentega kacang dan jam adalah normal tetapi tidak bagi Joshua kerana dia mengalami alahan dengan muntah, cirit birit atau serangan anafilaksis.

Bau dari makanan juga boleh membawa maut kepadanya.

Ini bermakna, ibu dan bapanya mesti memasak untuk seluruh keluarga menggunakan gril di luar.

Bapanya, Brant berkata, “Yang paling sukar bagi saya, dia tidak boleh makan apa yang kami makan.”

Joshua hanya boleh makan makanan bayi setiap hari. Selain itu dia doktor memberikan formula untuk meningkatkan nutrien dalam badan melalui tiub di perutnya.

Joshua juga diberi pendidikan di rumah oleh ibunya, Cara, disebabkan penyakit yang membuatkan dia lesu.

“Setiap hari, Joshua akan bangun pada jam 6.45 pagi kerana dia mendengar bunyi enjin bas sekolah,” katanya.

Katanya, “Kadang-kadang dia akan memandang ke luar tingkap dan menangis kerana dia tidak boleh naik bas itu, dia tidak boleh naik bas sekolah dengan kanak-kanak lain.” - Daily Mail

'via Blog this'

Pasangan enggan lakukan seks dianggap kejam

myMetro | Pasangan enggan lakukan seks dianggap kejam:

NEW DELHI: Pasangan kelamin yang enggan melakukan hubungan seks, dianggap zalim oleh Mahkamah Tinggi di Delhi dalam satu kes rayuan untuk perceraian.
Mahkamah mengisytiharkan keengganan melakukan seks itu berasas setelah si suami berkata isterinya enggan tidur bersama di malam pengantin dan hanya membenarkan melakukan hubungan 10 hingga 15 kali, dalam masa lima bulan. 
Agensi Press Trust of India melaporkan hakim Kailash Gambhir ketika memberi keputusan berkata: “Keterangan suami mengatakan isteri tidak memberi tindak balas dan seperti tunggul kayu ketika melakukan hubungan seks, tidak dibantah.”

“Sudah terbukti tiada kemahuan melakukan hubungan seks tanpa sebab munasabah dan ini adalah kejam,” katanya.

Mahkamah Tinggi menolak rayuan wanita itu untuk tidak bercerai.

Pada 2001, mahkamah rendah membenarkan keputusan tidak bercerai. Pasangan itu berkahwin pada 1991.

“Hubungan seks adalah asas dalam perkahwinan dan perkahwinan tanpa hubungan seks adalah perkara dibenci,” katanya.

“Perkahwinan tanpa hubungan seks akan menjadikan ia hambar. Mungkin ada kes di mana seorang daripada pasangan terlalu ghairah dengan seks atau pasangannya tidak mempunyai tahap keghairahan yang sama, tetapi ia sangat penting.”

Keputusan dibuat setelah penggubal undang-undang menjelaskan lagi rangka undang-undang untuk memudahkan perceraian.

India masih mempraktikkan perkahwinan yang diatur keluarga dan perceraian jarang berlaku, tetapi kadar perceraian dilaporkan semakin meningkat di bandar besar sejak kebelakangan ini. - AFP

'via Blog this'

Beckham jual ‘istana’

myMetro | Beckham jual ‘istana’:

KELUARGA Beckham lebih senang di Los Angeles.
KELUARGA Beckham lebih senang di Los Angeles.
RUMAH agam di Hertfordshire mempunyai laman sebesar 22 ekar di beli pada 1999
RUMAH agam di Hertfordshire mempunyai laman sebesar 22 ekar di beli pada 1999
LONDON: Mereka menjadikan Los Angeles kediaman mereka sejak lima tahun lalu.
Dan kini, keluarga Beckham membuat keputusan untuk terus menetap di sana dan mahu menjual rumah mereka di Britain yang lebih dikenali sebagai Beckingham Palace.
Menurut penialaian oleh ejen hartanah, rumah agam milik David dan Victoria itu di Hertfordshire, kini berharga kira-kira 18 juta pound (RM88 juta).

Mereka juga membuat keputusan untuk menjual rumah mereka di Perancis yang berharga RM12.2 juta yang akan memutuskan pertalian mereka dengan Eropah.

Pasangan itu yang bernilai RM781 juta, sukakan rumah itu kerana ia menyimpan banyak kenangan indah, tetapi menganggap ia membazir kerana mereka jarang menetap di situ.

Dalam wawancara dengan majalah Vogue tidak lama dulu, Victoria berkata sekiranya dia ke London, dia lebih suka tinggal di Hotel Savoy kerana dia terpaksa menghabiskan masa empat jam pergi dan balik pejabat dari rumahnya.

Sumber berkata, mereka merasakan membazir membiarkan rumah indah itu dibiarkan kosong bulan demi bulan.

Beckham baru-baru ini ditawarkan bermain dengan kelab bola sepak Paris, Saint Germain tetapi kerana tidak mahu berpindah lagi, dia menolak dengan memberi alasan ‘keluarga.’

Sumber itu berkata, “Mereka tidak perlukan wang tetapi kedua-dua rumah itu tidak digunakan lagi dan dalam keadaan ekonomi sekarang, adalah tidak masuk akal untuk membazir wang begitu saja.”

“Keluarga mereka telah menjadikan LA sebagai rumah dan anak mereka pun gembira di sana.”

Pasangan itu membeli Beckingham Palace yang mempunyai laman sebesar 22 ekar pada 1999, tidak lama selepas berkahwin.

Mereka membelanjakan RM88 juta untuk mengubahsuai rumah agam itu termasuk membina antara lain kolam renang dan gimnasium.

Mereka turut membeli sebuah rumah dengan lapan bilik tidur di Perancis pada 2003 tetapi jarang meluangkan masa di rumah itu.

Keluarga Beckham berpindah ke LA pada 2003, supaya David boleh bermain untuk kelab LA Galaxy.

Mereka terus menjadikan LA sebagai rumah mereka dan anak-anak lelaki mereka, Brooklyn, Romeo dan Cruz bersekolah di sana.

Ketika di Amerika Syarikat, mereka telah dikurnia seorang anak perempuan, Harper.

David, 36, pernah berkata, dia tidak mahu berpindah kerana anak-anaknya gembira di LA. - Daily Mail

'via Blog this'

Gempa bumi bermagnitud 7.2 gegar Chile

Berita Harian Online | Gempa bumi bermagnitud 7.2 gegar Chile: "WASHINGTON: Gempa bumi kuat bermagnitud 7.2 menggegarkan ibu kota Chile, Ahad (waktu tempatan), iaitu lokasi yang diancam kejadian sama dengan ukuran 8.8 skala Ritcher pada 2010.

Jabatan Kaji Selidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS), berkata gempa terbaru itu dikesan pada jarak 32 kilometer(km) barat laut Talca, Chile iaitu pada kedalaman 30km.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii yang memantau perkembangan di Chile berkata,"Kemusnahan berpunca daripada tsunami membabitkan kawasan di Pasifik adalah sesuatu yang dijangka tidak akan berlaku". - AFP"

'via Blog this'

Ibu tanggung derita dakwa anak gadis dilari kekasih

Berita Harian Online | Ibu tanggung derita dakwa anak gadis dilari kekasih:

SITI HAJERAH menunjukkan gambar anaknya, Siti Ruzaida yang dipercayai diculik.
SITI HAJERAH menunjukkan gambar anaknya, Siti Ruzaida yang dipercayai diculik.
ALOR SETAR: Seorang ibu sebak kerana sentiasa terkenangkan anak perempuan bongsunya berusia 18 tahun yang masih belum ditemui selepas dilarikan teman lelaki dari rumah mereka di Taman Aman, Anak Bukit, di sini, Oktober tahun lalu. 

Siti Hajerah Ahmad, 52, berkata anak bongsunya, Siti Ruzaida Ishak, pernah beberapa kali menghubunginya dan menyatakan mahu pulang ke pangkuan keluarga namun dihalang teman lelaki yang dikenali sebagai Mohd Faizal Issyam Ismail, 24, atau `Boy'.
Katanya, beliau difahamkan Siti Ruzaida yang lebih mesra dengan panggilan Fatin kini dipercayai berada di Kuala Lumpur.
“Sejak kehilangan Fatin, saya sudah melakukan pelbagai usaha termasuk melaporkan kes berkenaan kepada polis namun masih gagal mengesan kedudukan Fatin. 

“Lelaki itu dipercayai memecahkan tingkap bilik rumah pada kira-kira jam 2 pagi sebelum melarikan Fatin dan kehilangannya hanya disedari tiga jam selepas itu, " katanya. 

Siti Hajerah berkata, ketika itu suaminya, Ishak Abdullah, 61, ada terdengar bunyi bising di luar rumah namun tidak menyangka sesuatu yang buruk berlaku ke atas anak bongsu daripada empat beradik itu. 

Katanya, kehilangan Fatin hanya disedari kakaknya, Siti Fairuz, 22, yang memasuki biliknya kira-kira jam 5.30 pagi hari terbabit. 
Beliau berkata, kejadian itu berlaku ketika Fatin yang sebelum itu belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum, Jitra dan tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu. 

“Fatin ada menghubungi saya November tahun lalu menggunakan telefon bimbit seorang penduduk di Damansara Damai, Kuala Lumpur meminta diselamatkan. Beliau juga menangis teresak-esak dan merayu membawanya pulang ketika itu," katanya. 

Katanya, kali terakhir Fatin menghubunginya sebulan lalu menyebabkan mereka sekeluarga bimbangkan keselamatan gadis berkenaan. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya berusaha mengesan gadis terbabit dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang daripada jagaan sah. 

'via Blog this'

Mangsa bunuh tentera AS dapat pampasan

Berita Harian Online | Mangsa bunuh tentera AS dapat pampasan:

BEBERAPA lelaki melihat kesan darah dan mayat rentung di salah sebuah rumah mangsa serangan askar Amerika di Panjwai,  selatan Kabul, pada 11 Mac lalu.
BEBERAPA lelaki melihat kesan darah dan mayat rentung di salah sebuah rumah mangsa serangan askar Amerika di Panjwai, selatan Kabul, pada 11 Mac lalu.
KANDAHAR: Keluarga mangsa pembunuhan beramai-ramai oleh anggota tentera Amerika Syarikat (AS) akan menerima pampasan, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC). 
Tentera AS membayar ganti rugi sebanyak AS$50,000 (RM150,000) bagi setiap mangsa yang terbunuh dan AS$11,000 (RM33,000) bagi setiap seorang yang cedera. 
BBC melaporkan, keluarga mangsa menghadiri pertemuan sulit dengan pegawai tentera AS dan Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di pejabat gabenor Kandahar untuk membincangkan mengenai perkara itu. Anggota majlis daerah Kandahar, Agha Lalai, berkata wang itu dipercayai diperoleh daripada Presiden Barack Obama tetapi pegawai AS enggan memberikan sebarang reaksi.

Keluarga mangsa diberitahu sebahagian saksi sudah dibawa ke AS untuk memberikan keterangan manakala yang lain akan mengambil bahagian menerusi video apabila Staf Sarjan Robert Bales dibicarakan berhubung tragedi di daerah Panjwai pada malam 11 Mac lalu. 

Jumaat lalu, tentera AS berkata, Bales akan didakwa dengan 17 tuduhan secara rasmi melakukan pembunuhan terancang membabitkan sembilan kanak-kanak dan lapan orang dewasa Afghanistan. 

Bales, 38, juga didakwa dengan enam tuduhan cubaan membunuh seorang lelaki, seorang wanita dan empat kanak-kanak.
Dia kini ditahan dipenjara tentera di Fort Leavenworth, Kansas, selepas dibawa keluar dari Afghanistan minggu lalu. 

Peguam Bales, John Henry Browne yang tidak mempedulikan laporan bahawa anak guamnya mabuk pada malam pembunuhan, berkata Bales tidak ingat mengenai kejadian itu. 

John Henry Browne berkata, tiada bukti forensik terhadap Bales dan tidak pengakuan dibuat. 

Bales ialah satu-satunya suspek dalam pembunuhan berkenaan di sebalik dakwaan Afghanistan lebih daripada seorang tentera AS terbabit dalam kejadian itu. 

Perbicaraannya mungkin mengambil masa bertahun-tahun, bertentangan dengan tuntutan Afghanistan yang mahukan keadilan pantas dan tegas, dan dia berdepan hukuman mati jika disabitkan. 

Kes terbabit mengeruhkan lagi hubungan Kabul dan Washington manakala Taliban menarik diri daripada rundingan damai berikutan kejadian itu. – Agensi/AP 

'via Blog this'

Tentera Syria guna perisai manusia

Berita Harian Online | Tentera Syria guna perisai manusia:




2012/03/26

BEIRUT: Pergerakan Human Rights Watch (HRW) semalam berkata rejim tentera di Syria menggunakan penduduk awam sebagai perisai manusia untuk melindungi diri daripada diserang pemberontak. 

Memetik kenyataan saksi dan video YouTube, ia menuduh tentera dan militan Shabiha pro-rejim memaksa rakyat berarak di depan mereka ketika memasuki bandar yang dikawal pembangkang di Idlib.
“Dengan menggunakan penduduk awam sebagai perisai manusia, tentera Syria menunjukkan secara terang-terangan tidak mempedulikan keselamatan mereka.
“Tentera Syria perlu menghentikan perbuatan hina ini dengan segera,” kata penyelidik kecemasan HRW, Ole Solvang, dalam satu kenyataan. 

Dalam kenyataan, kumpulan hak asasi manusia yang beribu pejabat di New York itu berkata rejim tentera mula menggunakan perisai manusia di Idlib pada awal tahun selepas pemberontak cuba menyerang tentera. 

Taktik itu dilaporkan digunakan di bandar Al-Janudyah, Kafr Nabl, Kafr Ruma dan Ayn Laruz di Idlib. 

Di Kafr Nabl, seorang penduduk dikenali sebagai Abdullah berkata tentera memaksa dia dan beberapa penduduk lagi berjalan di depan kereta perisai ketika operasi memburu dan menangkap 2 Mac lalu. 
“Kami hendak pergi solat Jumaat apabila tentera dari pangkalan berhampiran masjid mengepung kami. Mereka menahan 25 orang termasuk saya dan lapan kanak-kanak. 

“Mereka memaksa kami berarak di depan dan di keliling kenderaan tentera ke beberapa rumah untuk menggeledah mencari aktivis pembangkang yang dikehendaki. 

“Mereka menahan beberapa orang. Kemudian mereka memaksa kami berarak kembali ke pangkalan, sebelum membebaskan melepaskan kami selain aktivis yang ditahan. Seluruh operasi berterusan kira-kira dua jam,” Abdullah dipetik sebagai berkata oleh HRW. 

Aktivis pembangkan di Kafr Nabl, Raed Fares, berkata tentera meningkatkan kehadiran mereka di bandar apabila bantahan bermula tujuh bulan lalu dan mula menggunakan perisai manusia Januari lalu selepas cubaan menyerang mereka dengan bom tepi jalan. – AFP
'via Blog this'

Anggota bomba kes samun kafe siber dicari

Kosmo! Online - Negara:




ALOR SETAR – Polis kini sedang mengesan seorang anggota bomba dan penyelamat bagi membantu siasatan berhubung kes samun sebuah kafe siber di Taman Ampang pada 13 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, Mohd. Suphian Ali, (gambar) 36, dengan kad pengenalan 760502-11-5003 masih bebas selepas disyaki menyamun sebuah kafe siber di sini bersama dua rakannya.
Menurut beliau, dalam kejadian samun pada pukul 2.55 pagi itu, suspek bersama dua lelaki dipercayai cuba menyamun pemilik kafe siber namun gagal selepas seorang daripada dua rakannya itu berjaya ditangkap ketika bergelut dengan mangsa.
“Salah seorang daripada tiga suspek membawa parang lalu mengacukannya ke arah pemilik kafe siber itu untuk meminta wang manakala dua lagi suspek memerhatikan keadaan sekeliling.
“Semaa itu berlaku pergelutan antara mangsa dengan seorang suspek dan mangsa berjaya menahan suspek terbabit manakala dua rakannya melarikan diri,” kata beliau pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Polis ke-205 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini semalam

'via Blog this'

Tolong pulangkan Ruzaida

Kosmo! Online - Negara:




Hajerah menunjukkan gambar anaknya, Ruzaida yang hilang sejak tahun lalu di Anak Bukit, Alor Setar semalam.



ALOR SETAR – Sebuah keluarga dari Anak Bukit di sini dirundung kesedihan ekoran kehilangan anak gadis mereka dipercayai dilarikan kekasihnya sejak 8 Oktober 2011.
Siti Ruzaida Ishak, anak bongsu daripada empat beradik itu keluar dari rumah melalui tingkap di biliknya pada pukul 2 pagi dengan membawa sebuah beg pakaian kerana dipercayai mengikut kekasihnya yang dikenali sebagai Boy.
Ibu mangsa, Siti Hajerah Ahmad, 52, memberitahu, Boy atau nama sebenarnya, Mohd. Faizal Issyam Ismail, 24, disyaki memecah mangga tingkap bilik anaknya sebelum membawa anaknya lari.
Katanya, pada waktu itu, suaminya, Ishak Abdullah, 61, terdengar bunyi bising di luar rumah namun terlalu mengantuk untuk bangun melihat apa yang berlaku.
“Saya pula tidak sedar kerana tidur dengan nyenyak. Kehilangan Ruzaida hanya disedari pada pukul 5.30 pagi pada hari kejadian,” kata Hajerah di sini semalam.

'via Blog this'

Gelanggang sabung ayam di Colombia

Kosmo! Online - Dunia:



KANAN: Sejumlah orang menonton satu pertandingan sabung ayam di sebuah gelanggang khas di Cali kelmarin.


CALI, Colombia - Sejumlah orang menyaksikan pertandingan sabung ayam di sebuah gelanggang khas di sini kelmarin.
Gelanggang itu mempunyai kemudahan tempat duduk untuk para penonton.
Walaupun bilangan penonton semakin berkurangan, pertandingan tersebut masih diadakan di beberapa wilayah di negara ini.
Pada satu kaki ayam tersebut, taji dilekatkan bagi membolehkan ia mencederakan lawan haiwan tersebut. - Agensi

'via Blog this'

Kereta tergantung jadi daya tarikan

Kosmo! Online - Dunia:



SEORANG pekerja, Maik Dannewitzsch berdiri di dalam kereta yang digantung dengan menggunakan kabel di sebuah taman di Moritzburg pada Selasa lalu.


MORITZBURG, Jerman - Sebuah kereta kecil digantung dengan menggunakan kabel di sebuah taman di sini.
Kereta itu digunakan dalam kursus memanjat di dalam hutan. Kursus itu ditawarkan kepada orang ramai di taman tersebut.
Dalam kursus itu, kereta Trabant itu menjadi pilihan untuk digantung kerana badan kenderaan tersebut diperbuat daripada plastik.
Kereta itu akan menjadi daya tarikan terbaharu di taman tersebut. - Agensi

'via Blog this'