Pages

Friday, October 8, 2010

Anak orang terkaya dunia akan berkahwin


MEXICO CITY 7 Okt. - Anak lelaki sulung orang terkaya di dunia, Carlos Slim akan melangsungkan perkahwinannya pada hujung minggu ini dalam satu majlis besar-besaran, yang dijangka dihadiri oleh jutawan, tokoh politik, bintang sukan dan ratusan tetamu lain.
Carlos Slim Domit, 43, yang merupakan peminat lumba kereta dan antara pewaris kepada kekayaan bernilai lebih AS$50 bilion (RM155 bilion), dijadual mengahwini Maria Torruco, anak seorang usahawan pelancongan Mexico dan cucu seorang aktres terkenal.
Majlis tersebut yang mulanya dirancang diadakan di muzium kesenian yang baru dibina oleh Carlos Slim, sebaliknya akan diadakan di sebuah hotel mewah di bandar raya ini, menurut sumber, semalam.
Slim Domit yang diberi gelaran 'el Charal' atau 'Ikan Kecil' kerana tubuhnya yang lampai mengetuai lembaga pengarah Telefonos de Mexico, penyedia perkhidmatan talian tetap Mexico.
Dua adik lelaki Slim Domit juga memegang jawatan kanan dalam syarikat-syarikat yang dikuasai bapa mereka, yang menduduki tangga teratas dalam senarai Forbes sebagai ahli perniagaan terkaya di dunia pada tahun ini, buat kali pertama mengatasi pengasas Microsoft, Bill Gates dan tokoh pelaburan AS, Warren Buffett.
Senarai tetamu termasuklah bekas Perdana Menteri Sepanyol, Felipe Gonzalez yang merupakan sahabat keluarga Slim, Presiden Mexico Felipe Calderon, seorang pewaris gedung fesyen Itali, Benetton dan Buffett sendiri. - Reuters

Michelle Obama wanita paling berpengaruh




NEW YORK 7 Okt. - Michelle Obama muncul wanita paling berpengaruh di dunia, mengenepikan ketua-ketua negara, ketua eksekutif syarikat dan selebriti dalam senarai tahunan itu, yang dikeluarkan majalah Forbes, semalam.
Menurut Forbes, Wanita Pertama Amerika Syarikat AS itu dipilih mendahului senarai tersebut kerana beliau 'memegang jawatan itu dengan caranya tersendiri' dan kekal popular.
"Michelle, dalam satu cara berkesan menunjukkan karismanya, White House menampilkan beliau dalam kempen-kempen bagi mengutip derma untuk negeri-negeri bermasalah seperti California dan Colorado.
"Dia juga menjalankan tugas dengan amat baik. Sebagai respons kepada kempen 'Let's Move' untuk mengatasi obesiti di kalangan kanak-kanak, syarikat seperti Coca-Cola, Kellogg dan General Mills telah berjanji untuk menurunkan kandungan kalori dalam produk mereka menjelang 2015," jelas Forbes.
Ketua Eksekutif Kraft Food, Irene Rosenfeld, yang mengetuai pengambilan alih syarikat Cadbury di Britain dalam satu urusniaga bernilai AS$18 bilion (RM57.6 bilion) berada di tempat kedua, diikuti pengacara rancangan temubual terkenal, Oprah Winfrey di kedudukan ketiga.
Canselor Jerman, Angela Merkel, yang dipilih bagi penggal kedua tahun lalu, berada di tempat keempat sebagai wanita paling berpengaruh di dunia, sementara Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton yang bertanggungjawab mengendalikan rundingan damai Asia Barat berada di tempat kelima.
Naib Presiden dan penerbit ForbesWoman, Moira Forbes berkata, wanita yang berada dalam senarai majalah perniagaan tersebut merupakan mereka yang 'berjaya mempengaruhi kebanyakan perbincangan penetapan agenda masa kini'.
"Mereka membina syarikat dan jenama, yang kadangkala berada di luar kemampuan wanita dan mereka mengatasi jurang jantina dalam bidang perdagangan, politik, sukan, media dan budaya, sekali gus mempengaruhi kehidupan berjuta-juta dan berbilion-berbilion penduduk," katanya.
Forbes pada tahun ini mengambil kira pengaruh kreatif dan daya keusahawanan seseorang wanita dalam senarai tersebut berbanding faktor kekayaan dan kuasa yang digunakan pada tahun lalu.
merkel mengungguli senarai wanita paling berpengaruh di dunia pada tahun lalu, diikuti Pengerusi Federal Deposit Insurance Corp, Sheila Bair, sementara Michelle hanya menduduki tempat ke-40. - Reuters

India beli senjata Rusia AS$30 bilion



NEW DELHI 7 Okt. - India bersetuju membeli sehingga 300 jet pejuang 'stealth' tercanggih dari Rusia, dalam urus niaga yang dijangka bernilai AS$30 bilion (RM96 bilion).
Menteri Pertahanan India, A.K. Antony hari ini berkata, Rusia akan membekalkan 300 Pesawat Pejuang Generasi Kelima (FGFA) yang kalis radar itu, di samping 45 pesawat udara pengangkut pelbagai fungsi.
"India akan menerima 250-300 buah FGFA paling canggih dan 45 pesawat pengangkutan.
"Kedua-duanya merupakan dua projek utama bagi tempoh 10 tahun akan datang dan akan menjadi contoh terbaik kerjasama India-Rusia," kata Antony pada sidang media bersama dengan rakan sejawatannya dari Rusia, Anatoly Serdyukov.
Hindustan Aeronautic Ltd. (HAL) dari India dan United Aircraft Corp. serta Rosoboronexport dari Rusia menandatangani perjanjian usahasama pada bulan lalu untuk membina pesawat pengangkutan tersebut dalam projek bernilai AS$645 juta (RM2 bilion). - AFP

Hijrah Rasulullah ke Yathrib



KETIKA Rasulullah SAW dan sahabat mengalami tekanan di Mekah, baginda telah memberi keizinan kepada umat Islam di Mekah supaya berhijrah ke Yathrib bagi memulakan kehidupan baru di sana. Maka umat Islam di Mekah pun keluar dengan senyap dan berhati-hati agar tidak disedari oleh Musyrikin Quraisy.
Mereka keluar tanpa sebarang jaminan kehidupan yang bakal ditempuh di Yathrib melainkan jaminan yang diberikan oleh Rasulullah SAW. Oleh kerana itulah Allah SWT memuji mereka atas dasar keimanan yang kukuh.
Manakala Rasulullah SAW pula masih berada di Makkah menunggu wahyu daripada Allah untuk berhijrah. Apabila wahyu daripada Allah turun, dalam masa yang sama kaum Musyrikin Quraisy telah merancang untuk membunuh Rasulullah di Darul Nadwah. Dengan melantik wakil setiap kabilah untuk membunuh baginda, mereka berkumpul dan mengepung rumah Rasulullah SAW pada waktu malam. Namun dengan kuasa Allah, mereka tertidur dengan nyenyaknya lalu Rasulullah SAW pun keluar dengan menaburkan pasir di atas kepala mereka. Manakala tempat tidur baginda diganti oleh Ali bin Abu Talib yang sangat berani.
Maka berangkatlah Rasulullah ke rumah Abu Bakar as-Siddiq. Dengan perancangan yang teliti, mereka pun bergerak menuju ke Yathrib sebelum fajar menyingsing. Mereka melalui jalan yang jarang dilalui orang ramai, lalu singgah di Gua Thur di pertengahan jalan ke arah Yaman. Abu Bakar mendahului Rasulullah SAW untuk masuk ke dalam gua kerana risaukan keselamatan baginda. Apabila Rasulullah masuk, baginda pun berehat sambil menunggu masa yang sesuai untuk bertolak.
Kaum Musyrikin Quraisy yang terjaga daripada tidur telah tertipu apabila orang yang disangka Rasulullah rupanya Ali bin Abu Talib. Maka mereka pun bertindak mengejar Rasulullah sehinggalah sampai di Gua Thur. Abu Bakar mula panik apabila kaum kafir mengepung gua tersebut lalu ditenteramkan oleh Rasulullah. "Janganlah takut dan janganlah sedih sesungguhnya Allah bersama kita." Lalu Allah memerintahkan labah-labah dan merpati membuat sarang di pintu gua. Kaum kafir sekali lagi tertipu. Mereka tidak menyangka ada orang yang bersembunyi di dalam gua tersebut apabila melihat sarang labah-labah dan merpati tidak terusik.
Setelah kaum kafir jauh beredar, Abdullah bin Uraiqit pun tiba dengan membawa dua ekor kuda yang sangat pantas. Beliau sendiri diupah sebagai jurupandu untuk membawa Rasulullah dan Abu Bakar ke Yathrib.
Lalu mereka bergerak ke arah selatan Yaman, apabila sampai di jalan yang tidak dilalui orang mereka pun beralih ke utara menghampiri Laut Merah. Tujuan mereka berbuat demikian adalah supaya pergerakan mereka tidak dapat dijejaki oleh kaum kafir Quraisy sebelum mereka selamat tiba ke Yathrib.
Rasulullah SAW tiba di Quba' iaitu terletak di pinggir kota Yathrib pada 8 Rabiul Awwal 14 tahun kerasulan baginda. Di sana baginda mendirikan masjid yang terawal sepanjang menyebarkan dakwah Islam. Umat Islam yang mendapat berita ketibaan Rasulullah SAW di pinggir Kota Yathrib berasa amat gembira kerana Rasulullah telah selamat sampai. Mereka berkumpul beramai-ramai di tanah lapang Hurrah. Mereka begitu sabar menunggu walaupun panas terik kerana ingin melihat insan mulia yang diberitakan dalam kitab-kitab terdahulu. Justeru itu, bergemalah takbir memuji kebesaran Allah.
Mereka menyambut ketibaan Rasulullah dengan selawat dan puji-pujian. Anak-anak pula mengalunkan puisi-puisi indah. Rasulullah menamakan Yathrib dengan 'Madinah Al-Munawwarah' yang bermaksud 'Kota Yang Bercahaya'.
lPetikan daripada buku 366 Kisah dari Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

Doktor mangsa rogol terima Ann Politkovskaya

LONDON 7 Okt. - Doktor Halima Bashir yang mendakwa dia dirogol bergilir-gilir oleh tentera Sudan setelah dia mendedahkan mengenai kekejaman di Darfur, memenangi anugerah Ann Politkovskaya bagi pembela hak asasi wanita.
Hadiah itu yang diperkenalkan bagi memperingati kempen yang dijalankan oleh empat wartawan Rusia yang mati dibunuh di Moscow empat tahun lalu, dijadikan anugerah tahunan oleh kumpulan hak asasi manusia, Reach All Women in War.
"Apa yang berlaku pada saya dan banyak lagi wanita Darfur adalah sesuatu yang tidak boleh dilupakan... Perkara yang boleh membuatkan kami melupakannya hanyalah apabila kami dapat mendapat keadilan," kata Halima, 30, yang kini menetap di Britian kepada Reutersdalam temubual ringkas melalui telefon sebelum majlis penganugerahan itu.
Keadilan hanya akan dapat ditegakkan apabila penjenayah dihukum, "apabila keamanan wujud di tanah air kami dan apabila semua pelarian dan orang yang telah berpindah ke serata dunia kembali semula ke rumah masing-masing dan hidup dalam keadaan aman," katanya.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Presiden Sudan, Omar Hassan al-Bashir atas tuduhan terbabit dalam jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan penghapusan etnik di Darfur. Omar bagaimanapun menafikan semua tuduhan itu.
Halima bekerja di klinik di sebuah kampung terpencil di Darfur pada 2004 apabila dia menyaksikan anggota bersenjata menyerang sebuah sekolah, di mana dia melihat kanak-kanak berusia lapan tahun telah dibelasah dan dirogol, sementara tentera Sudan hanya berdiam diri tidak bertindak menghentikannya.
Dia memberitahu petugas PBB mengenai serangan oleh militia Janjaweed itu. Tentera Sudan kemudian mencarinya dan dia telah dikelar dengan pisau, dicucuh dengan api rokok dan dirogol bergilir-gilir berulang kali.
Tentera Sudan terbabit kemudian melepaskannya dan mengeluarkan kata-kata cemuhan; 'Sekarang kamu boleh pergi dan beritahu dunia yang kamu dirogol." Dia kemudian menulis mengenai pengalamannya dalam memorinya bertajuk Tears of The Desert. - REUTERS

Tentera Israel malukan wanita Palestin



IHSAN al-Dababsi, menceritakan kepada pemberita mengenai tindakan tentera Israel memalukannya ketika dalam tahanan mereka dengan menyiarkan rakaman videonya di YouTube dalam keadaan matanya ditutup dan tangan digari sementara tentera Israel menari tarian gelek sambil mentertawakannya. - AFP


NUBA Palestin 7 Okt. - Seorang wanita Palestin semalam menceritakan bagaimana dia 'dimalukan' apabila rakaman videonya yang diambil tentera Israel ketika dalam tahanan rejim Zionis itu, disebarkan ke laman web perkongsian YouTube.
Dalam rakaman itu, seorang tentera lelaki Israel menari tarian gelek berhampiran Ihsan al-Dababsi, 35, yang memakai tudung ketika matanya ditutup dengan kain dan menghadap dinding.
"Saya terlihat video itu di Al-Jazera. Saya tidak tidur sepanjang malam kerana saya rasa terhina dan kecewa.
"Suara tentera-tentera ketawa dan bunyi muzik itu terngiang-ngiang di telinga saya," kata wanita itu di kampung Nuba, selatan Tebing Barat kepada AFP.
Dalam video lebih satu minit itu, Dababsi yang digari dan ditutup matanya berdiri menghadap dinding, ketika tentera Israel tersebut menari tarian gelek berhampirannya dan membuat pergerakan tidak senonoh sambil diiringi muzik Arab.
Ketika insiden itu dirakam, wanita tersebut turut dilihat menyebut perkataan 'Allahuakbar' dalam bahasa Ibrani.
Dababsi berkata, dia telah menghubungi Kelab Penjara Palestin, sebuah kumpulan pembela bukan kerajaan dan berhasrat meneruskan tindakan undang-undang terhadap tentera Israel.
Insiden itu berlaku semasa dia ditahan pada Disember 2007 atas dakwaan menyertai anggota kumpulan pejuang Jihad Islam, menyebabkan dia terpaksa menjalani hukuman penjara selama 22 bulan.
"Saya dibawa ke pusat tahanan Etzion berhampiran Baitulaham. selepas disoal siasat, mereka meletakkan saya di satu kaki lima dalam keadaan digari dan ditutup mata.
"Saya boleh dengar tentera-tentera itu ketawa, suara mereka dan bunyi lagu. Saya boleh nampak apa yang berlaku kerana ikatan di mata saya tidak ketat dan saya merayu supaya mereka tidak merakam kejadian itu," katanya. - AFP

Pakistan belum bersedia



Mahanuddin, seorang warga emas berusia 70 tahun yang kehilangan rumah akibat banjir di Pakistan seminggu yang lalu, tidak mengendahkan kejadian dua lori tangki minyak NATO terbakar di sebatang jalan di Nowshera, di wilayah Khyber-Pakhtunkhwa, semalam. – REUTERS


ISLAMABAD 7 Okt. – Pakistan belum bersedia untuk membuka semula pintu sempadan penting yang digunakan oleh tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi menghantar bekalan ke Afghanistan, walaupun Amerika Syarikat (AS) sudah memohon maaf kerana serangan helikopter tanpa juruterbang yang membunuh dua askar Pakistan.
AS dan NATO mengucapkan takziah semalam atas serangan pada 30 September lalu dan mendakwa helikopter Amerika itu menyangka askar Pakistan itu adalah pemberontak yang diburu cuba menyeberangi sempadan Afghanistan.
Berikutan permohonan maaf itu, pihak AS dan NATO menjangka pintu sempadan Torkham di Genting Khyber akan dibuka tidak lama lagi.
Namun, jurucakap Kementerian Luar Pakistan, Abdul Basit hari ini berkata, pihak berkuasa masih menilai situasi dan akan membuat keputusan ‘bila tiba masanya’.
Pakistan menutup Torkham kepada konvoi bekalan NATO pada hari serangan helikopter itu, menyebabkan beratus trak terkandas di lebuh raya negara ini atau terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di satu-satunya laluan yang masih dibuka dari selatan Pakistan ke Afghanistan.
Puak militan mengambil kesempatan daripada kebuntuan itu untuk menyerang trak yang terkandas atau yang mengambil laluan dari selatan.
Penyerang bersenjata membakar 70 lori tangki minyak dan membunuh seorang pemandu dalam dua serangan semalam.
Duta AS ke Pakistan, Anne Patterson dalam kenyataannya semalam berkata, ‘kami memohon maaf kepada Pakistan dan keluarga kepada askar-askar sempadan yang terkorban dan cedera’.
Siasatan AS dan NATO mendapati askar-askar Pakistan melepaskan tembakan ke arah dua helikopter AS sebelum serangan itu, dipercayai untuk memberitahu tentang kehadiran mereka selepas helikopter tersebut memasuki ruang udara Pakistan beberapa kali. – AP

Banjir di Vietnam semakin buruk



Seorang penduduk mengharungi banjir di sebatang jalan utama di bandar Qionghai, wilayah Hainan akibat hujan lebat, kelmarin. – REUTERS


HANOI 7 Okt. – Banjir di bahagian tengah Vitenam semakin buruk dengan jumlah korban kini mencecah 140 orang, sementara banjir di selatan China pula memaksa 130,000 penduduk berpindah.
Jumlah baru angka kematian di Vietnam itu diperoleh selepas pegawai bencana tiba ke kawasan terpencil itu, yang sebelum ini terputus hubungan akibat paras air yang tinggi.
Seramai 23 yang lain dilapor masih hilang ketika penduduk kampung dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir surut.
“Penduduk kampung giat membersihkan rumah mereka untuk menjalani kehidupan seperti biasa.
“Banyak sekolah turut menjalankan operasi pembersihan bagi membolehkan sesi persekolahan disambung semula,” kata pegawai bencana, Nguyen Ngoc Giai di Quang Binh, wilayah paling teruk terjejas akibat banjir, di mana lebih kurang 20,000 penduduknya terpaksa dipindahkan.
Giai berkata, perkhidmatan kereta api menghubungkan utara dan selatan Vietnam turut mengalami gangguan di beberapa bahagian sejak Selasa lalu ekoran kerosakan landasan.
Tambah beliau, cuaca buruk semalam turut mengakibatkan operasi menggugurkan bantuan makanan melalui helikopter ke beberapa kawasan yang masih ditenggelami air tergendala.
Pakar kaji cuaca meramalkan, hujan akan terus turun.
Sementara itu, banjir terburuk yang melanda selatan China dalam tempoh setengah kurun, memaksa 130,000 penduduk berpindah.
Agensi berita Xinhua melaporkan, hujan lebat melanda wilayah pulau Hainan, memaksa 550 penduduk berpindah selain jalan-jalan dinaiki air mengalami kerosakan. – AP

Peringatan berkesan untuk yang beriman





Al-Quran menjadi hidayah, petunjuk serta membawa rahmat dan berita gembira bagi umat Islam. - Gambar hiasan


Sheikh al-Maraghi berkata: “Sesudah Allah SWT menjanjikan anugerah yang besar kepada rasul-Nya, iaitu kemampuan menghafal al-Quran dengan tidak lupa sama sekali, lalu memerintahkan kepadanya agar memberi peringatan kepada hamba-Nya akan sesuatu yang bermanfaat untuk agama dan dunia mereka.
Memperingatkan mereka akan kelalaian dan mengarahkan tujuan yang mengandungi kebajikan baginya.
“Kemudian memperjelaskan bahawa peringatan itu sekali-kali tidak akan mantap jika tidak ditujukan pada hati yang khusyuk yang takut kepada Allah SWT dan seksa-Nya. Sementara hati yang ingkar dan menentang, sedikitpun tidak akan berguna, kerana memandang randah kepada dirimu”.
Firman Allah SWT: Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran al-Quran), kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna).
Al-Mawardi berkata: Ada dua tafsiran iaitu al-Quran seperti pendapat Mujahid dan dengan Allah secara gemar atau takut. Inilah pendapat Ibn Syajarah.
Firman Allah SWT: kerana orang yang takut (melanggar perintah Allah) akan menerima peringatan itu.
Syed Qutub berkata: Peringatan Allah itu selama-lamanya berguna. Di sana ada sahaja orang yang mahu mendapatkan manfaat daripadanya sama ada sedikit atau banyak.
Mana-mana generasi dan mana-mana bumi tidak akan sunyi daripada kelompok manusia yang ingin mendengar dan mengambil manfaat daripada peringatan itu, biarpun bagaimana rosaknya umat manusia dan biarpun keras dan berkaratnya hati mereka.
Apabila kita memerhatikan tertib ini di dalam ayat-ayat tadi, dapatlah kita mengetahui betapa besarnya agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Juga betapa agungnya amanah yang dipikul olehnya, iaitu amanah yang memerlukan kepada pengurniaan taufik kepada kemudahan, kepada pembacaan al-Quran daripada Allah dan penghafalannya yang dijaminkan Allah agar dengan bekalan yang besar ini, Rasulullah SAW dapat melaksanakan tugas menyampai peringatan itu.
Firman Allah SWT: Dan (sebaliknya) orang yang sangat celaka akan menjauhinya, dialah orang yang akan menderita bakaran neraka yang amat besar (azab seksanya).
Al-Maraghi berkata: Menurut hikmah Allah SWT adalah tidak patut menyamakan antara orang yang kurang ajar, melalaikan perintah-Nya dan berbuat dosa yang keji dengan orang yang bersih jiwanya, lurus tingkah lakunya, taat kepada perintah-Nya, menjalankan kewajipan-kewajipan dan menjauhi kemungkaran.

Hikmah di sebalik idea Paderi Terry Jones





idea membakar al-Quran yang dicetuskan Terry Jones, biarpun menimbulkan kemarahan umat Islam namun ia secara tidak langsung dapat mempromosikan Islam.


Terima kasih Terry Jones! Ini kerana cetusan idea beliau untuk membakar al-Quran memberikan terlalu banyak hikmah kepada umat Islam. Ini termasuklah;
*Ia telah memberikan peluang perniagaan yang sangat menguntungkan. Ramai yang tercari-cari dan membeli buku-buku mengenai Islam, sekali gus naskhah al-Quran itu sendiri. Ini memberikan pendapatan kepada pengusaha kedai-kedai buku. Hikmah-hikmah lain yang kita nikmati dari idea Jones.
*Ramai kini tanpa mengira Islam dan bukan Islam mengunjungi masjid-masjid untuk menghadiri kelas-kelas pengajian mengenai Islam dan pulang dengan menerima pelbagai pesanan-pesanan indah mengenai Islam.
*Semakin ramai juga yang menghubungi talian panas (hotline) dan bertanya mengenai percaya, iman dan doktrin Islam. Ini memberikan kesempatan kepada umat Islam untuk menjelaskan mengenai Islam.
*Perkataan 'Islam' dan 'al-Quran' adalah antara yang paling banyak dilayari melalui Google atau Internet. Fenomena ini menyebabkan semakin ramai berbicara mengenai Islam dan al-Quran dengan mengunjungi pelbagai laman web Islam untuk belajar mengenai kebenaran Islam.
*Perpustakaan-perpustakaan menjadi semakin sibuk untuk melayani pinjaman cetakan al-Quran dan terjemahannya dalam pelbagai bahasa. Iaitu gedung-gedung perpustakaan terutamanya di Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah sibuk meminjamkan salinan al-Quran itu kepada orang ramai.
*Setinggi-tinggi terima kasih kepada Terry Jones dan watak-watak yang anti al-Quran kerana memberikan 'iklan-iklan' percuma mengenai Islam. Ia berjaya menjimatkan jutaan dolar untuk tujuan membeli tapak-tapak iklan untuk mempromosikan al-Quran dan Islam. Terima kasih sekali lagi kepada anda kerana firman-firman atau kata-kata Allah kini menjadi perkataan yang popular dan tersebar luas.
*Terima kasih juga kerana kenyataan Terry Jones telah membangkitkan umat Islam itu sendiri. Umat Islam seluruh dunia kini lebih ghairah untuk kembali kepada keindahan iman dan kedamaian dalam Islam untuk dikongsi bersama dengan seluruh ahli keluarga, jiran tetangga, para sahabat dan kemanusiaan.
*Terima kasih kerana anda telah memberikan 'dorongan' yang sangat kuat untuk lebih ramai lagi yang memeluk Islam.
*Terima kasih kerana 'berjaya' menyatupadukan hati nurani rakyat-rakyat Muslim, Yahudi, Kristian, Hindu, Buddha malah atheis pada platform kebaikan bersama, cinta dan toleransi untuk sama-sama melawan kebencian, bias dan fanatik.
*Umat Islam berdoa kepada Allah supaya anda benar-benar dapat membaca dan menghayati al-Quran dengan fikiran dan hati yang terbuka. Merenung kembali kepada keesaan tuhan.
*Semoga anda mendapat hidayah. Anda mulai menyembah Tuhan Yang Esa seperti mana yang dilakukan oleh Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Isa dan Nabi Muhammad. Selamat Datang kepada Islam wahai Terry Jones!

Pertahan al-Quran satu kewajipan





Umat Islam menjulang-julang al-Quran membantah tindakan Paderi Terry Jones memperkenalkan Hari Membakar al-Quran setiap kali tibanya tarikh 11 September.


SAAT paderi tua, Terry Jones mengumumkan untuk membakar beratus-ratus kitab suci al-Quran di Dove Otreach Center, Florida Amerika Syarikat (AS) sebagai memperingati tahun kesembilan kejadian serangan 11 Sept 2001, umat Islam tidak boleh sekadar berdiam diri membiarkan ia berlaku.
Ekoran tindakan Jones itu, umat Islam telah tampil menemui paderi tersebut dengan tawaran untuk membeli kitab-kitab al-Quran tersebut bagi mengelakkannya dibakar.
"Tuan Jones, daripada al-Quran itu dibakar, adalah lebih baik jika kitab itu tuan jualkan sahaja kepada saya. Berapa pun harganya saya sanggup bayar, malah ia memberikan untung yang besar kepada Tuan dengan hanya menjual kitab-kitab yang tidak memberikan faedah kepada tuan ini!"
Dialog itu sebenarnya mengingatkan kita kepada bagaimana Saidina Abu Bakar As Siddiq menyelamatkan hamba abdi, Bilal bin Rabah daripada terus diseksa oleh majikannya, Umaiyyah bin Khalaf yang begitu marah apabila hambanya itu memeluk Islam.
Abu Bakar menawarkan harga yang jauh berlipat kali ganda tinggi untuk membeli Bilal dan majikannya itu pasti beroleh untung luar biasa jika menjualkan sahaja Bilal itu kepada Abu Bakar.
"Saya mungkin tidak dapat apa-apa untung pun dengan membeli Bilal. Malah sangat rugi kerana pastinya hamba ini akan mati tidak lama lagi. lihatlah betapa teruknya kamu menyeksa dia," kata Abu Bakar yang akhirnya berjaya membeli dan menyelamatkan Bilal.
Malangnya peristiwa bagaimana Bilal diselamatkan itu tiada ulangannya, hanya tersimpan cantik dalam sejarah.
Hari Membakar al-Quran itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan ekoran bantahan, termasuk daripada pihak pentadbiran Rumah Putih. Namun rancangan jahat Jones untuk membakar al-Quran itu wajar mendapat perhatian serius daripada seluruh umat Islam.
Lebih-lebih lagi ada pihak mengambil baton daripada Jones untuk membakar al-Quran, iaitu ketika AS mengadakan sambutan majlis memperingati hampir 3,000 mangsa yang maut dalam serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC). Sekurang-kurangnya tiga insiden mengoyak dan membakar al-Quran dilapor berlaku di negara itu.
Dalam satu kejadian, seorang lelaki yang membantah rancangan pembinaan masjid berhampiran Ground Zero, mengoyakkan al-Quran sebelum membakarnya.
Pada insiden lain, seorang lelaki mengoyak dan menghina kitab suci Islam itu.
Di Nashville, Tennessee, paderi Bob Old dan Danny Allen menggunakan minyak pemetik api dan membakar sekurang-kurangnya dua naskah al-Quran di halaman rumahnya sambil Old menyifatkan Islam sebagai agama palsu.
"Jelas sekali daripada semua peristiwa-peristiwa ini, al-Quran perlu dipertahankan sepanjang masa. Umat Islam tidak mempunyai alasan untuk tidak berbuat demikian" kata Penolong Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Mohd. Meeftah Anuar.
Tidak ada yang peliknya di sebalik perbuatan membakar al-Quran itu kerana kata Mohd. Meeftah semenjak Islam diturunkan, al-Quran sentiasa dimusuhi.
Semua itu tidak akan dapat memadamkan bukti-bukti pengkhianatan musuh-musuh terhadap Islam yang berlanjutan sehingga hari ini.
"Di zaman yang semakin canggih yang kononnya telah mencapai ketamadunan yang tinggi, musuh-musuh Islam hanya bertukar nama watak sahaja. Perwatakan tetap sama, sekadar penjenamaan semula.
"Sejak dari zaman Amr bin Hisham (Abu Jahal), Utbah bin Rabiah, Musailamah Al Kazzab adalah watak-watak antagonis yang kini menjelma kembali dengan muka-muka baru untuk lebih dahsyat lagi menghina dan memfitnah al-Quran.
"Gerakan yang sentiasa berlegar-legar sama ada kita menyedarinya mahupun tidak," kata Mohd. Meeftah.
Sedangkan mereka sendiri mengakui kebenaran mengenai segala isi kandungan al-Quran, persoalannya mengapa musuh-musuh Islam ini begitu paranoid sehingga sanggup membakar dan menghina al-Quran?
"Mereka menjadi paranoid apabila al-Quran itu boleh menjadi sumber kekuatan kepada sesiapa yang mempercayai dan mengimani kitab suci itu.
"Lalu supaya umat Islam tidak menjadi kuat disebabkan adanya al-Quran, maka kitab itu hendak dibakar supaya kononnya umat itu akan menjadi lemah," kata Mohd. Meeftah.
Kata Mohd. Meeftah, tindakan mereka itu bukan disebabkan kononnya al-Quran mendalangi keganasan sebagaimana yang mereka tuduh. Tetapi kerana al-Quran telah menyebabkan umat Islam tidak dapat dikuasai atau tunduk di bawah telunjuk mereka.
Tetapi pihak musuh begitu berani menghina al-Quran ekoran perpecahan dan kelemahan umat Islam masa kini.
"Pihak musuh mengambil pelbagai kesempatan kala umat Islam berpecah. Mereka mengambil kesempatan di saat umat Islam tidak mampu untuk membebaskan bumi Palestin dengan membakar masjid dan al-Quran.
"Benar, ayat-ayat al-Quran akan tetap terpelihara sehingga ke akhirat walaupun ia dibakar, direndam atau diperlakukan apa sahaja.
"Tetapi jangan kita salah konsep apabila dikatakan al-Quran tetap kekal terpelihara maka kita tidak perlu melakukan apa-apa, lebih-lebih lagi apabila al-Quran dipijak-pijak dan lain-lain penghinaan.
"Ini samalah apabila kita yakin bahawa rezeki itu daripada Allah, maka adakah itu bermakna kita tidak perlu keluar untuk bekerja? Begitu juga dengan al-Quran.
"Mempertahankannya daripada dihina, daripada dimalukan, daripada difitnah adalah menjadi satu kewajipan kepada umat Islam. Hatta dengan nyawa kita sendiri, sebagaimana kita wajib mempertahankan maruah diri, keluarga dan umat Islam yang lain," katanya.

Siaran Langsung Perkahwinan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor di TV3


10 Oktober 2010, tarikh keramat yang membawa seribu erti kepada pasangan Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan juga tunangnya, Dr. Harlina Mohd. Yunos yang bakal menaiki jenjang pelamin selepas bertunang sejak 1 Januari 2010 lalu.
Malah tarikh 10.10.10 juga dilihat sebagai sesuatu yang amat menarik kerana bukan sahaja bakal menjadi ulangtahun perkahwinan pasangan yang diraikan ini, secara kebetulan, ia juga merupakan ulang tahun ketiga angkasawan negara ini ke angkasa lepas.
Istimewa untuk para peminat di Malaysia, acara gilang gemilang ini bakal dibawakan eksklusif oleh TV3 pada Ahad ini.

Detik bersejarah ini akan bermula pada pukul 2.00 petang menerusi slot Nona yang akan memaparkan persediaan dan proses perancangan majlis gilang-gemilangnya.
Liputan bermula daripada hari pertunangan di Hotel Allson Klana, Seremban, Negeri Sembilan Januari lalu termasuklah majlis akad nikah yang akan diadakan di Masjid Besi atau Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula pukul 11.00 pagi.
Turut dipaparkan adalah penceritaan menarik dan kenangan manis kisah cinta romantis Muszaphar yang akhirnya bertemu jodoh dengan pasangannya.

Siaran langsung majlis resepsi dan persandingan berkonsepkan istana kayangan dibawakan khas dari Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya sejurus berakhirnya Buletin Utama.
sumber-mangga online

Balangay selami masa silam





Kapal layar balangay dari Filipina ini mengelilingi rantau Asia Tenggara dalam ekspedisi antarabangsa pertama yang disertai 36 pelayar.


KUALA TERENGGANU 7 Okt. - Diwata ng Lahi, Masawa Hong Butuan dan Sama-Tawi-Tawi singgah di sini baru-baru ini dalam pelayaran dari Filipina ke negara di rantau Asia Tenggara yang keseluruhannya sejauh 14,000 kilometer.
Ketiga-tiganya merupakan kapal layar yang dibina mengunakan bahan, teknik reka bentuk kapal dikenali sebagai 'balangay' di negara itu yang lenyap dan ditemui di Butuan Mindanao, dipercayai berusia lebih 1,600 tahun.
Ekspedisi pelayaran antarabangsa pertama yang disertai 36 pelayar itu merupakan misi bersejarah bagi penganjurnya, Yayasan Kaya ng Pinoy (Filipina Boleh) dan rakyat negara itu umumnya.
Ia membawa bersama mesej persahabatan dan perpaduan di samping berkongsi kebanggaan serantau dengan kapal yang pernah membawa peranan penghubung pada masa silam.
Sebahagian daripada anak kapal itu adalah pembina kapal replika balangay di samping anggota tentera laut, pengawal pantai Filipina dan sukarelawan.
Malah mereka menggunakan kaedah pelayaran lama bagi menyelami dan membuktikan keupayaan masyarakat silam mengharungi cabaran meredah lautan luas menjengah dunia.
Tempat persinggahan mereka di sini sebelum meneruskan pelayaran ke Thailand adalah berhampiran Pulau Duyong di mana sejak berabad lamanya tukang-tukang di sini membina perahu dan kapal layar tradisonal yang begitu menarik perhatian masyarakat pelayaran dunia.
Justeru, mereka menemui banyak persamaan termasuk teknik pembinaan yang tidak menggunakan sebarang paku, ketahanannya di samping turut mengagumi keunikan reka bentuk kapal layar Bedar dan Pinis di mana pada masa silamnya meredah batasan perairan negara.
Kemunculan balangay tentunya mengingatkan kapal layar tradisional tempatan yang dikatakan sukar ditandingi itu, kini menjadi bahan pelengkap pameran di Muzium Negeri Terengganu.
Juga ketika generasi terakhir yang mewarisi kemahiran itu semakin lenyap dan memadam tradisi kegemilangan perkapalan Melayu.
Ketua ekspedisi itu, Arturo T. Valdez ketika ditemui berkata, keunikan pembuatan tradisional kapal di negeri ini sememangnya diketahui.
Justeru, katanya, ia menarik mereka untuk memasukkan Terengganu sebagai salah satu destinasi persinggahan.
Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Pengangkutan dan Komunikasi Filipina itu memberitahu, mereka bermula di Manila pada 1 September tahun lalu dengan mengelilingi negara kepulauan itu.
Selepas 11 bulan, mereka kemudiannya memulakan pelayaran antarabangsa dengan persinggahan pertama di Sandakan, Sabah pada 15 Ogos lalu.
Ia disusuli dengan menyusuri, Sarawak dan Brunei, mereka tiba di Pulau Duyong, di sini pada 1 Oktober lalu sebelum ke Thailand dan Vietnam.
"Ekspedisi tersebut timbul daripada penemuan kapal berkenaan di Butuan
"Bot ini dipercayai digunakan pelayar Filipina dan pedagang Indo-Melayu pada waktu itu untuk berdagang dengan China dan negara sekitarnya.
"Bagaimanapun, penggunaan kapal ini pupus selepas Filipina dijajah oleh Sepanyol," katanya.
Beliau berkata, kolonialisme menyebabkan kemahiran membuat kapal tersebut hampir pupus dan kini ia hanya dimiliki dua kumpulan tukang daripada puak Ivatan di utara negara itu, Batanes dan puak Sama yang tinggal di Tawi-Tawi, Butuan, kawasan paling selatan di negara itu.
"Kedua-dua kumpulan penduduk itu berjaya mengekalkan kemahiran mereka kerana tinggal jauh dari kawasan dijajah dan penjajah," katanya.
Katanya, Yayasan Kaya ng Pinoy mengambil inisiatif untuk menceritakan mengenai kapal berkenaan kepada masyarakat Filipina yang melupakan atau tidak tahu langsung mengenai kewujudan kapal balangay.
Beliau menambah, apabila merangka perjalanan antarabangsa, mereka dimaklumkan mengenai Terengganu yang mempunyai kemahiran membuat kapal yang hampir sama.
"Mungkin juga kita mewarisi kaedah sama dalam pembuatan kapal ini di samping menunjukkan wujudnya hubungan rakyat melalui laut dengan kegiatan perdagangan atau penghijrahan.
"Kami ingin melihat bagaimana penduduk Terengganu melaksanakan kaedah berkenaan dalam membina kapal," katanya.
Beliau berkata, pelayaran tersebut turut disertai anggota puak Sama yang diketuai Prof. Jubail Mubong dari Universiti Mindanao.
"Jubail merupakan orang memantau pembinaan balangay yang kami gunakan dalam ekspedisi mencabar ini," katanya.
Arturo berkata, pihaknya dimaklumkan usaha sedang dijalankan kerajaan negeri untuk menghidup dan memperluaskan kemahiran berkenaan.
"Ia tentunya satu perkembangan baik. Di Filipina, kemahiran membuat kapal secara tradisional juga semakin hilang.
"Pembuatan semula kapal ini tidak mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan dan mereka terpaksa berjalan sendiri untuk mengekalkan kemahiran tersebut," katanya.

Jeritan ibu 'paksa' kera lepaskan bayi



Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my
2010/10/08

 REVATHY sayu melihat melihat gambar bayinya yang maut digigit kera liar di rumahnya di Taman Happy, Seremban, semalam.
REVATHY sayu melihat melihat gambar bayinya yang maut digigit kera liar di rumahnya di Taman Happy, Seremban, semalam.
Wanita lihat haiwan liar cengkam leher anak 

SEREMBAN: "Saya melihat kera itu mencengkam leher bayi saya yang berlumuran darah dan melepaskannya sebentar, sebelum mengangkat semula sambil berundur beberapa langkah dan akhirnya melepaskan anak saya lalu melarikan diri," kata ibu bayi berusia empat hari yang mati digigit kera di Taman Happy di sini, kelmarin.
Ketika ditemui di rumahnya semalam, V Revathy, 26, berkata kejadian berlaku ketika dia selesai mandi dan memakaikan anak pertamanya itu pakaian sebelum ke tandas.
“Saya letakkan anak di atas sofa berhampiran bapa mentua, A Valayutham, 70, tetapi terkejut sebaik keluar tandas apabila mendapati anaknya tiada dan bapa mentua pula tidak mengetahui di mana bayi itu berada. 

“Saya berlari keluar rumah dan terkejut apabila melihat kera itu mencengkam leher bayi saya dan ia hanya melepaskan gigitan selepas kami menjerit menghalaunya,” katanya. 

Revathy berkata, dia terus mengangkat bayinya yang berlumuran darah dan masih merasai denyutan jantung bayi terbabit, namun bayi itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS). 

Dalam kejadian pada jam 1 tengah hari kelmarin, bayi perempuan yang belum diberi nama itu mati akibat kecederaan parah pada kepala, leher dan telinga akibat digigit kera liar yang dipercayai datang ke rumah itu kerana tertarik kepada seekor kera betina yang dibela keluarga berkenaan. Revathy berkata, suaminya sejak tujuh tahun lalu pernah dilepaskan ke hutan, tetapi kembali ke rumahnya. 
Katanya, kera jantan yang menyerang bayinya itu memang kerap datang ke kawasan perumahan berkenaan berikutan tertarik dengan kera betina peliharaan keluarga suaminya selain mencari makanan dan sangat agresif, malah haiwan itu pernah beberapa kali bertindak seolah-olah mahu menerkam anggota keluarganya di luar rumah. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan, Ishak Muhamad, mengesahkan kera yang ditembak kelmarin adalah haiwan sama menyerang mangsa. 

“Pemeriksaan terhadap bangkai kera itu menemui beberapa kesan serangan terhadap mangsa,” katanya. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan anggotanya menembak kera itu dibuat mengikut prosedur standard kerana membabitkan serangan terhadap manusia.

Tangkapan warga Iran edar dadah di Malaysia bertambah





2010/10/08

KUALA LUMPUR: Penglibatan warga Iran dalam kegiatan pengedaran dadah di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara dalam masa dua tahun ini dengan 138 rakyat negara itu diberkas tahun ini berbanding 16 tangkapan pada 2009. 

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata daripada jumlah itu, 121 tangkapan terdiri daripada "keldai dadah", iaitu orang yang dipergunakan untuk membawa dadah, dan bakinya disyaki pengendali dan anggota sindiket dadah.

Antara Beijing Dan Kaherah



Oleh - Dr Mohd Asri Zainul Abidin 


Seminggu dua ini saya agak sibuk dengan banyak lawatan. Selama seminggu saya berada di China, melawat Shanghai, Xian dan Beijing. Lawatan ke China itu rasmi. Pulang sahaja dari China saya ke Kaherah dan Iskandariah, Mesir, itu lawatan separa rasmi. Ini bukan kali pertama saya ke Mesir, sudah beberapa kali. Namun, lawatan saya ke Beijing, selepas itu ke Kaherah membuatkan saya berfikir tentang realiti kita umat Islam hari ini. 

Ada beberapa persamaan antara Beijing dan Kaherah dari sudut sejarah ketamadunan silam. Kedua-dua kota ini menyimpan sejarah ketamadunan ribuan tahun lamanya. Di Beijing, ada Tembok Besar China yang merupakan salah satu perkara ajaib dunia. Tembok yang begitu besar dibina merentasi pergunungan sejauh 5000 kilometer. Bayangkan hebatnya manusia di China ketika hampir tiga ribu tahun yang lalu. Mengkagumkan! Di Mesir pula terdapat pyramid yang sudah berusia mungkin melebihi lima ribu tahun. Seni bina yang hebat. Ia juga salah satu perkara ajaib di dunia ini. Ya, kedua binaan itu juga menyimpan sejarah kezaliman dan kerakusan kuasa. 

Maka, berdasarkan kemampuan teknologi binaan, sepatutnya kedua-dua negara ini mampu menjadi negara yang maju, kerana tamadun di tempat mereka sudah lama bermula. Jika tidak pun di tempat teratas, mereka sepatutnya melangkah mendahului banyak negara lain. Ya, China memang maju ke hadapan dan sedang menjadi kuasa besar ekonomi dunia hari ini, setelah sekian lama menjadi kuasa besar senjata dunia. Malangnya, Mesir pula, terus mundur dan kotor, terus meminta ‘sedekah’ dan bantuan kewangan dari negara-negara besar. Hutangnya yang begitu tinggi menjadikan ia sering menghambakan diri kepada kuasa lain. 

China, dulu diperintah pelbagai mahajara. Mesir pula diperintah pelbagai firaun. Kemudian China digenggam oleh kuasa komunis. Moa Tse Tung, pemimpin China era komunis yang dianggap agung. Mayatnya diawet dan ribuan manusia mengunjungi mayat awet itu saban hari. Mereka sanggup dan sabar berbaris berkilomer jauhnya untuk lalu dan melihat mayat yang disimpan di Medan Tiananmen itu. Dari sudut penghayatan mana-mana agama, China boleh dikatakan terkebelakang disebabkan tekanan kuasa politik. Maka China dan komunis sukar dipisahkan walaupun usaha ke arah demokrasi itu bergerak, namun perjalanannya masih jauh. Sementara Mesir, ia dibuka oleh kerajaan Islam sejak zaman Umar Al-Khattab r.a. Sahabat Nabi 'Amr al-‘As pernah menjadi Gabenor Mesir. Umat Islam pernah cemerlang di Mesir. Islam disebarkan dan rakyat Mesir majoriti Muslim. Sejak dahulu, ramai tokoh ilmuwan pernah berada di sana, termasuk al-Imam al-Syafi’i r.h. Mesir terkenal kerana Universiti Al-Azhar. Hari ini ia diperintah aliran sosialis Arab, namun menjadi hamba Barat. Pun begitu, masih ramai yang beranggapan Mesir lambang ilmu Islam dan menara umat Islam. 

Malangnya, jika seseorang melawat Beijing, dia akan dapati begitu maju sekarang. Keretapi laju bawah tanah antara yang terpantas di dunia. Bandarnya berpenduduk sekitar 18 juta - bersih, cantik dan tersusun. Kita berasa aman untuk berjalan, penduduknya tahu untuk beratur apabila perlu, memandu ikut aturan bahkan China hari ini mementingkan kenderaan tidak cemarkan alam sekitar - keretapi dan bas elektrik digunakan. 

Jika ke Kaherah atau Mesir, keseluruhannya kotor dan tidak tersusun. Penduduk sekitar 18 juta, tetapi sampah-sarap jadi hiasan. Tabiat buang air kecil ke dinding bangunan masih dilakukan sesetengah rakyatnya. Kereta dan bas yang sudah uzur yang hanya kita lihat sebelum merdeka masih memenuhi jalan raya Kaherah. Peraturan jalan raya tiada makna. Round about sehala, boleh jadi dua hala ikut selera pengguna. Jalan sehala, boleh jadi dua hala. Sign board dan peraturan tidak memberi kesan. Tiada guna diadakan lampu trafik, sebab itu polis terpaksa jaga di setiap simpang sibuk. Sehingga, kononnya seorang arkitek Jerman yang cuba merangka semula Kaherah menyatakan, cara untuk baik pulih Kaherah ialah dengan hapus semua penduduknya dan digantikan dengan penduduk baru yang berdisiplin. Sungai Nil begitu tercemar. Sampah-sarap memenuhi sungai legenda itu. Rasa malu benar kita sebagai Muslim terhadap pelancong-pelancong Barat dan Jepun. 

Di Kaherah, jutaan penduduk hidup atas perkuburan lama kerana tiada tanah dan rumah. Kawasan perkuburan bagaikan pesta yang tengit penuh dengan bermacam bau. Tidak hairanlah jika ada tarikat dari Mesir yang gemar ke kubur dan memuja. Penduduk miskin dan fakir terlalu ramai. Tabiat menipu atau suka ‘pau’ berleluasa dan atas nama ‘bakhshish’ atau hadiah, rasuah; kezaliman dan penipuan berlaku di sana sini. Jika anda makan di restoran, di samping bayar harga, pekerja di situ akan menuntut wang ‘bakhshish’ untuknya. Itu mungkin masih kecil, tetapi bakhshish menjadi amalan pegawai-pegawai kerajaan; polis, kastam dan segalanya. Jika tidak diberikan, kerja tidak berjalan atau masalah lain timbul. Semasa ingin pulang, pelajar-pelajar Malaysia yang hantar saya mengingatkan supaya sedia wang ‘bakhshish’ sebelum memasuki airport. Di sana sini, 'bakhshish' menanti. Barang saya discan, polis airport meminta saya buka kotak-kotak yang mereka pun dapat tahu tiada apa luar biasa, sambil tangan mereka memberi isyarat mahukan wang ‘bakhshish’. Tanpa segan silu dan zalim, mereka meminta. Jika tidak diberi, barang tidak dilepaskan tanpa sebab. Maka, sesiapa pun terpaksa beri untuk mengelakkan kezaliman. Itulah kehidupan mereka. Kali yang lepas saya sampai di airport Kaherah, bas enggan bergerak sehingga pemandunya diberi wang ‘bakhshish’. Jangan ditanya lagi tentang penipuan di pasar atas nama Islam. Peniaga sanggup bersumpah dengan nama ‘Allah’ atau menyatakan ‘saya jual murah sebab awak Muslim’, padahal itu harga termahal. Hal ini berleluasa di kota yang ada pusat pengajian Islam. ‘Bakhshish’ menjadi simbol Mesir daripada rakyat bawahan sehingga orang politik, orang biasa sehingga bertitle agama. Walaupun kita sedar, masih ramai juga yang baik dan soleh, namun suasana tersebut telah menguasai keadaan. Pelajar kita di sana semua terpaksa berurusan dengan kerenah ‘bakhshish’. 

Di Beijing, hal ‘bakhshish’ tidak nampak jelas. Mungkin ada, tapi bukan simbol seperti Kaherah. Naikkan harga barang, ya! Itu memang ada, mungkin berlipat kali ganda dijual. Mungkin barang tidak asli dan pelbagai kemungkinan. Itu fenomena biasa di setiap kota. Bezanya, mereka tidak beragama, sementara Kaherah dianggap konon pusat pengajian agama. 

Bayangkan, jika seorang pelancong tidak beragama dan sedang mencari agama, pergi ke Kota Beijing tidak berslogan agama, bahkan prejudis dengan segala agama; namun didapati bersih, tersusun, berperaturan dan maju. Dia pergi pula ke Kaherah yang berslogan Islam sebagai agama rakyat, ulamanya pula dengan lantang menyatakan umat Islam umat terpilih, Islam membentuk kehidupan teratur di dunia dan pelbagai lagi. Apakah pelancong akan terpengaruh dengan Beijing atau Kaherah? Banyak persoalan akan timbul dalam benaknya. Orang Beijing sekurang-kurang mewarisi ketamadunan mereka. Orang Kaherah, tidak mewarisi teknologi firaun dan kecemerlangan sejarah Islam yang lepas. 

Saya membayangkan, jika maharaja-maharaja yang bina Tembok Besar China diberi peluang bangkit semula, mereka mungkin tidak boleh begitu bongkak disebabkan Beijing hari ini juga hebat dari segi pembangunannya. Namun, jika firaun yang membina piramid itu diberi peluang bangkit, dia mungkin akan terus bongkak dan berasakan dia masih patut mentadbir Mesir kerana mundur dan gagal menyainginya. 

Kita jangan hairan jika orang Barat prejudis dan menuduh Islam mundur, tidak beraturan. Mereka salah tafsir terhadap Islam kerana kita tersalah memberikan lambang. Beijingkah yang lebih mendekati wajah pembangunan Islam atau Kaherah? Kita mungkin mempunyai seribu huraian dan alasan, tetapi Barat dan Timur banyak melihat realiti berlaku. Terhijabnya hidayah Islam kerana perlambangan yang dirosakkan. Tersalah sangka terhadap kesesatan kerana kejayaan yang ditonjolkan. Siapa patut disoal?

Maher Zain pernah jauh dari Islam, lupa baca al-Fatihah



Nama Maher Zain sudah tidak asing lagi kepada peminat seni hiburan, apatah lagi album pertamanya, Thank You Allah, mendapat sambutan yang amat membanggakan. 

Penyanyi berasal dari Lubnan ini, berharap akan dapat berkongsi sesuatu bersama peminat-peminatnya menerusi album yang memuatkan 14 buah lagu itu. 

Berhasrat agar lagu-lagu bercorak ketuhanan semakin dekat di hati pendengar di seluruh dunia, penyanyi yang berusia 28 tahun ini tidak lokek berkongsi pengalaman di sebalik pembikinan album tersebut. 

“Saya mahu sesuatu yang baru dan segar untuk pendengar. Saya mahu mereka terkesan apabila mendengar bait-bait lirik lagu yang saya nyanyikan. 

“Lagi pula, tiga tahun lalu, saya pernah leka dalam menunaikan tanggungjawab saya sebagai Muslim. Saya jauh dengan Allah dan pernah terlupa bagaimana untuk membaca surah al-Fatihah. Saya rasa seperti orang lain,” katanya pada sidang media pelancaran albumnya di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini. 

Menurutnya lagi, kehidupannya di negara Barat banyak mengajarnya untuk lebih dekat dengan Allah. 

“Saya pernah tersilap memilih kawan dan mengakibatkan hidup saya tidak ada arah tuju. Bukan mudah untuk saya hidup di negara orang. Jika tak ada iman yang kukuh pasti boleh jauh tersesat,” ceritanya yang mula berhijrah ke Sweeden bersama keluarganya seawal usia lapan tahun. 

Selain hadir untuk melancarkan album, Maher Zain juga akan mengadakan konsert mini Save The Soul bagi membantu mengutip dana untuk Raudhatus Sakinah sebuah institusi yang menjadi pelindung kepada mangsa sosial. 

Konsert mini tersebut akan di adakan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam pada 14 dan 15 Oktober ini.

Askar rejim malukan negara



TEL AVIV - Perdana Menteri Israel mengecam rakaman di Internet yang menunjukkan seorang askar rejim itu menari di sebelah tahanan wanita Palestin dengan menggelar perbuatan itu sebagai 'memalukan negara'. 

"Perbuatan dan rakaman ini adalah sesuatu yang memalukan tentera dan negara Israel," katanya. 

Rakaman biadap itu yang tersebar di laman sesawang YouTube mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa yang menganggap tentera rejim itu sebagai menghina wanita. 

Netanyahu juga mengakui beberapa insiden sama yang berlaku sepanjang tahun lalu, melibatkan penghinaan tentera terhadap tahanan Palestin menjejaskan imej negara rejim itu. 

Tentera Israel dilapor mengarahkan siasatan serta-merta berhubung insiden terbaru yang mula diketahui selepas disiarkan sebuah stesen televisyen swasta di Israel.

4 cedera serangan Israel di Gaza



BANDAR GAZA - Sekurang-kurangnya empat penduduk Palestin cedera selepas jet pejuang Israel melancarkan tiga serangan ke atas Genting Gaza, awal pagi semalam. 

Menurut polis Hamas, dua individu cedera dalam serangan di timur dan barat Bandar Gaza, manakala dua lagi cedera dalan serangan ketiga yang dilancarkan di tengah-tengah wilayah Palestin itu. 

Jurucakap tentera Israel mengaku melancarkan serangan itu 'sebagai operasi tentera bagi menyerang dua pusat latihan pengganas di Genting Gaza.' 

Terdahulu, dua roket dilancarkan dari Gaza dan mengenai selatan Israel tetapi tiada kecederaan atau kemusnahan dilaporkan, kelmarin.

'Saya pasrah'

KUALA LUMPUR: Pelakon, pengacara dan penyampai radio, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 38, menganggap perceraian yang berlaku dalam hidupnya suratan takdir walaupun situasi itu sangat berat untuk ditempuhi.


SAAT BAHAGIA...Kak Engku bersama Adzmin dan tiga anak mereka.
SAAT BAHAGIA...Kak Engku bersama Adzmin dan tiga anak mereka.

Sambil menyifatkan jodoh antara dia dan bekas suami, Adzmin Osman, 37, hanya sekadar ‘di sini’ (sembilan tahun), Raja Azura atau Kak Engku tetap pasrah malah bertawakal agar Tuhan memberikan kekuatan untuk meneruskan hidup.

“Saya seboleh-bolehnya tidak mahu komen langsung mengenai perkara ini. Saya sedar kebenaran itu kadangkala sangat pahit untuk ditelan, tapi saya tetap pasrah menerima dugaan terhebat dalam hidup saya ketika ini.

“Cuma saya mohon, buat masa ini, berilah ruang privasi kepada saya untuk bertugas seperti biasa, menenangkan fikiran dan berdampingan dengan anak-anak,” katanya dalam nada sebak ketika dihubungi.

Raja Azura atau Kak Engku (KE) bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berkata, dia mungkin membuat sidang media dalam waktu terdekat bagi menjelaskan perkara sebenar agar situasi tidak menjadi keruh selain menghindari spekulasi.

Semalam, Harian Metro memaparkan laporan eksklusif perceraian Raja Azura dan Adzmin selepas rumah tangga yang dibina sejak 10 Mac 2001, gagal diselamatkan lagi.
Sebelum ini, sumber mengesahkan, Raja Azura dan Adzmin bercerai talak satu di sebuah mahkamah syariah di Selangor, pada 28 September lalu dan ia dilaksanakan dalam prosiding tertutup atas permintaan pasangan terbabit.

Pada 6 Ogos lalu, pengacara program Ewah-Ewah itu mengadakan sidang media tergempar untuk menjelaskan khabar angin menyatakan rumah tangganya bergolak, sekali gus memberitahu sebab kunjungannya bersama Adzmin ke Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, pada 3 Ogos lalu.Pada sidang media itu, Raja Azura menegaskan kunjungan mereka ke mahkamah berkenaan tiada kena mengena isu memfailkan permohonan cerai seperti dihebohkan, sebaliknya bagi mendapatkan khidmat kaunseling demi menyelesaikan krisis rumah tangga.

Hasil perkongsian hidup, Raja Azura dan Adzmin yang juga anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, dikurniakan tiga anak, Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Hakim, 7, serta Puteri Mia Maizurah, 4.

Sementara itu, Pengurus Saluran Sinar FM, Rostam Said, ketika dihubungi semalam berkata, dia tiada hak memberi komen lanjut mengenai masalah rumah tangga membabitkan kakitangannya itu. Kata Rostam, ia masalah peribadi dan biarlah Raja Azura sendiri menjawabnya.

“Saya tidak mahu komen. Setakat ini, Raja Azura datang kerja seperti biasa dan mampu menjalankan tugasnya sebagai penyampai radio dengan baik. Selagi dia tidak membuka mulut memaklumkan kisah peribadinya, selagi itu saya takkan memberi apa-apa komen.

“Saya harap semua orang memahami perasaan Raja Azura. Saya menghormatinya sebagai penyampai yang sangat komited, rajin dan berdisplin,” katanya. Sementara itu, rakan baik Raja Azura yang juga pengacara popular, Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar berkata, biarpun persahabatan mereka erat, Raja Azura tidak pernah memberitahu secara mendalam mengenai masalah rumah tangganya apa lagi soal perceraian.

“Kalau bercerita pun, yang biasa-biasa saja, bukan secara keseluruhan sebab adat setiap pasangan berkahwin, mesti ada salah faham. Tapi, saya tak sangka mereka sampai bercerai-berai. Semua ini ketentuan Tuhan. Hari ini, dugaan untuk Raja Azura, esok lusa belum tentu siapa pula. Justeru, sebagai manusia saya sentiasa berdoa yang terbaik untuk diri, keluarga dan sahabat.

“Saya harap sekalipun sudah berpisah, Raja Azura dan Adzmin teruslah berbaik demi anak-anak. Mengenali Raja Azura, saya yakin dia seorang yang sangat tabah,” katanya.

Ditanya apakah dia tidak gusar jika Raja Azura tidak dapat hadir pada saat-saat akhir untuk mengacarakan majlis persandingan Datuk Wan Mohamad Sani Salleh dan pasangan, Fatimah Dalilah Omar di Ri-Yaz Heritage & Marina Resort & Spa, Pulau Duyong, Terengganu, Ahad ini, Sharifah Shahirah yakin Raja Azura pasti mengotakan janji.

“Kami sudah tempah tiket pesawat dan insya-Allah semua akan baik,” katanya.

Apabila tersiarnya berita perceraian itu semalam, beberapa wakil media terus memburu Raja Azura di Pusat Penyiaran Asia (ABC), Bukit Jalil sebaik saja dia selesai dari tugasan pagi di konti Sinar FM.

Namun, usaha mereka untuk mendapatkan komen dan pengesahan gagal kerana dia berjaya mengelakkan diri, dipercayai terlalu bersedih sekalipun tetap ceria tatkala ke udara di radio.

Dekati Islam melalui muzik

NAMA penyanyi Sweden berketurunan Lubnan, Maher Zain, 28, mungkin agak asing buat peminat dunia seni tanah air tetapi lagunya seperti Thank You Allah mungkin sering didengar.
pix_middle 





MAHER...sampai mesej menerusi lagu.





MAHER...sampai mesej menerusi lagu.
Maher yang popular menerusi lagu Insha Allah, Thank You Allah dan Baraka Allahu Lakuma mencipta sejarah tersendiri apabila mencatat rekod jualan Platinum sekitar 25,000 unit apabila album pertamanya, Thank You Allah berada di pasaran Malaysia sejak Mei lalu.

Tidak cukup dengan itu, laman web, YouTube yang memaparkan klip video, Insha Allah nyanyiannya mencatat sejarah tersendiri apabila menerima lebih dua juta pengunjung.

Lagunya menjadi nada dering popular di kalangan remaja Islam, khususnya di Asia Barat dan sering disiarkan di radio tempatan. Boleh dikatakan penyanyi tinggi lampai yang tampil dengan konsep lagu Islam dan mesej kerohanian ini, turut mencetuskan fenomena baru di Malaysia.

Graduan jurusan Kejuruteraan Penerbangan ini memilih untuk membabitkan diri dalam dunia muzik selepas menamatkan pengajian.

Bagi dirinya, muzik sebahagian daripada kehidupannya sejak zaman kanak-kanak lagi. Malah, minat mendalam pada muzik tidak pernah padam sehingga membuatkan dia membabitkan diri sebagai produser muzik.
Dari sisi peribadinya, Maher yang ditemui pada majlis sidang media sempena Maher Zain Save The Soul Showcase di Menara Kuala Lumpur, memaklumkan dia juga seorang insan biasa yang tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan.

Dia pernah melalui kehidupan gelap kerana terjebak dengan pelbagai gejala negatif disebabkan tersilap memilih kawan. Namun, mujur Tuhan masih lagi memberi petunjuk untuk berubah.
“Tiga tahun lalu, saya pernah melalui kehidupan yang tersasar daripada landasan Islam. Saya banyak melakukan perkara yang menyalahi hukum agama seperti berhibur di kelab malam dan minum arak.

“Apa saja perkara yang selalu dilakukan demi keseronokan selain dipengaruhi sikap nakal bagi anak muda zaman sekarang, menguasai diri saya. Ketika itu, saya sering bertengkar dan bergaduh dengan rakan.

“Begitupun, saya bersyukur kerana diberi hidayah dan tersedar daripada lamunan bahawa saya sudah tersasar jauh daripada tuntutan Islam. Sejak itu, saya menjadikan muzik sebagai sumber untuk mendekatkan diri dengan Islam.

“Selepas mendapat peluang bekerjasama dengan rakan produser, RedOne, akhirnya saya berpindah ke New York. Ketika pulang ke Sweden untuk lawatan jangka pendek, saya berpeluang bertemu beberapa rakan di masjid yang turut menjadi pendorong untuk saya berkarya dalam muzik.

“Pada pandangan saya, muzik sebahagian daripada kehidupan harian kita. Ketika mempelajari mengenai Islam dengan lebih mendalam, saya mendapat inspirasi mencipta lagu. Saya juga mahu menjadikan lirik lagu yang dihasilkan ini sebagai inspirasi kepada pendengar.

“Tidak hanya kepada masyarakat Muslim, malah bukan Muslim juga dapat menerima melodi lagu yang cuba saya sampaikan. Konsep yang cuba saya ketengahkan menerusi muzik cukup mudah, ringkas dan mempunyai melodi catchy,” katanya.

Biarpun mengakui perjalanan dalam bidang seni masih baru bermula dengan beberapa perancangan sedang giat ­dijalankan, artis bernaung di bawah syarikat rakaman antarabangsa Awakening Records ini berharap penampilan bersama album solo dapat diterima semua peminat muzik.

Tanpa mempunyai sumber inspirasi tetap, dia mengakui banyak mempelajari melodi muzik daripada produser berpengalaman seperti RedOne yang pernah berkerjasama dengan bintang Hollywood seperti Lady Gaga dan Kat Deluna.

Menurut Maher, membesar dalam persekitaran dunia Barat cukup mencabar, malah sentimen seperti Islamofobia yang merujuk kepada prasangka dan diskriminasi pada Islam dan Muslim tetap ada di mana-mana. Namun terpulang kepada cara individu atau masyarakat yang menilainya.

“Saya melihat perkembangan Islam di Sweden semakin kuat. Tidak ada unsur diskriminasi atau paksaan. Masyarakat diberi kebebasan untuk menuntut ilmu. Hampir setiap minggu, ada sahaja program atau ceramah yang diadakan di masjid. Ajaran Islam cukup menarik dan agama yang lengkap,” katanya.

Buat julung kali Maher didatangkan khas ke Malaysia untuk menjayakan persembahan Maher Zain Save The Soul Showcase yang bakal berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 14 dan 15 Oktober ini. Konsert anjuran Raudhatus Sakinah Pusat Bimbingan Remaja Puteri dengan kerjasama wakil pengedar di Malaysia, Inteamrecords. Difahamkan, pihak penganjur memaklumkan tiket untuk menyaksikan persembahan solo artis itu sudah habis terjual.

Penampilan menerusi konsert itu sebagai pengenalan buatnya. Kehadiran selain menyempurnakan majlis pelancaran album, ia juga sebagai peluang bertemu peminat di Malaysia. Berdasarkan sambutan yang menggalakkan menerusi showcase berkenaan, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan mempunyai perancangan untuk menjayakan konsert berskala besar pada masa akan datang.

Mengenai perancangan masa depan pula, Maher memberitahu, buat masa ini, dia mahu terus menghasilkan lagu dengan konsep yang segar dan boleh diterima masyarakat semua peringkat.

Ketika proses menyiapkan lagu untuk album pertama, dia turut mendapat kerjasama daripada pemuzik bukan Muslim, malah mereka memberi sokongan yang cukup padu untuk berusaha menampilkan pilihan lagu terbaik.

“Memang saya mempunyai perancangan untuk menghasilkan album kedua selepas ini. Begitupun, semuanya masih dalam peringkat mengumpul material. Begitupun, saya juga mempunyai beberapa tajuk lagu yang bakal dirakamkan seperti Ya Allah dan Masya Allah,” katanya yang mendirikan rumah tangga pada Jun, tahun lalu.

Sememangnya kunjungan ke Malaysia buat julung kali turut memahatkan memori indah buatnya. Selain melebarkan sayap seni di rantau Asia, ia juga peluang buatnya mengenali budaya masyarakat Malaysia.

Maher turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi artis antarabangsa pertama yang menerima tajaan kereta Proton Persona untuk kegunaan harian sepanjang dua minggu kunjungannya ke Malaysia.

Ternyata sentuhan muzik yang disampaikan Maher berbeza daripada artis Muslim seperti Yusuf Islam dan Sami Yusof. Begitupun, mereka memperjuangkan mesej kerohanian yang sama. Ia turut diakui Maher, menyifatkan Yusuf dan Sami melaksanakan tugas mereka dengan cukup baik iaitu menyampaikan mesej menerusi lagu.

Selain menjayakan persembahan, Maher juga terbabit dalam beberapa aktiviti promosi dan jelajah. Dia juga dijadualkan menjayakan persembahan amal Maher Zain Save A Soul anjuran Islamic Information & Services Foundation di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 12 Oktober jam 8 malam.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Noraini 03-42604160 atau 0133654829, Rosmalina 03-42518792 atau 019-2240995.


PROFIL
Nama sebenar: Maher Zain
Tarikh lahir: 1982
Tempat lahir: Lubnan
Umur: 28 tahun
Status: Berkahwin
Kerjaya: Penyanyi, pemuzik
Genre: R&B, Soul, World Music, akustik
Label: Awakening Records
Album: Thank You Allah (2009)
Pencapaian: Lagu Keagamaan Terbaik 2009 (Ya Nabi Salam Alayka) dari Nujoom FM (stesen radio terbesar Mesir)


Thank You Allah 

I was so far from you
Yet to me you were always so close
I wandered lost in the dark
I closed my eyes toward the signs
You put in my way
I walked everyday
Further and further away from you

Ooooo Allah, you brought me home
I thank You with every breath I take.

Alhamdulillah, Elhamdulillah
All praises to Allah, All praises to Allah
Alhamdulillah, Elhamdulillah
All praises to Allah, All praises to Allah.

I never thought about
All the things you have given to me
I never thanked you once
I was too proud to see the truth
And prostrate to you

Until I took the first step
And that’s when you opened the doors for me
Now Allah, I realized what I was missing
By being far from you.
Alhamdulillah, Elhamdulillah
All praises to Allah, All praises to Allah
Alhamdulillah, Elhamdulillah
All praises to Allah, All praises to Allah.

Allah, I wanna thank You
I wanna thank you for all the things that you’ve done
You’ve done for me through all my years I’ve been lost
You guided me from all the ways that were wrong
And did you give me hope

O Allah, I wanna thank you
I wanna thank You for all the things that you’ve done
You’ve done for me through all my years I’ve been lost
You guided me from all the ways that were wrong
I wanna thank You for bringing me home

Alhamdulillah, Elhamdulillah
All praises to Allah, All praises to Allah
Alhamdulillah, Elhamdulillah
All praises to Allah, All praises to Allah.

Artist: Maher Zain
Album: Thank You Allah
Copyright: Awakening Records 2009