Pages

Sunday, January 22, 2012

Syria gesa wanita goda pemantau Liga Arab

Anwar Malek
Anwar Malek

Perisik Damsyik ikut pemerhati hingga ke bilik air 

DAMSYIK: Syria mengancam pemerhati Liga Arab dengan ugutan bunuh dan menggunakan wanita untuk menggoda mereka, dakwa seorang delegasi Algeria kepada akhbar Britain, The Telegraph.
Bekas pegawai tentera Algeria, Anwar Malek, memberitahu akhbar itu bahawa dia meninggalkan negara itu selepas kerap diganggu selepas menyaksikan pembunuhan wanita dan kanak-kanak oleh pasukan keselamatan yang setia kepada Presiden Syria, Bashar Assad.
Beliau menyifatkan wilayah Homs, pusat penunjuk perasaan anti Bashar sebagai ‘zon bencana antarabangsa’. 

“Ugutan dari ancaman bunuh hingga kepada memalukan kami di khalayak. Kami ke sini untuk memantau usaha rundingan damai tetapi sebaliknya melihat orang ramai dibunuh, dipukul dan ditahan polis, tentera dan militia,” katanya. 

Malek meninggalkan Syria minggu lalu selepas keretanya diserang tembakan dan beliau berkata ia adalah dari penyokong Bashar. 

“Sebarang komen negatif diabaikan dan pihak berkuasa cuba memeras ugut kami bagi merahsiakan apa yang kami lihat. Telefon bimbit kami disekat dan kami tidak dibenar menggunakan emel atau laman rangkaian sosial seperti Facebook untuk menyiarkan maklumat,” katanya. 
Malek juga melaporkan bahawa kanak-kanak ditembak mati atau dibiarkan kelaparan manakala mereka yang terselamat didera setiap hari. 

Misi pemantau Liga Arab bertujuan melaporkan kekejaman pentadiran Bashar termasuk menindas penunjuk perasaan dalam tempoh 10 bulan Kebangkitan Arab, meragut lebih 5,000 nyawa dan ramai yang cedera. Delegasi pemantau itu turut dikritik kerana bertindak sebagai pelindung Bashar. 

Malek mengesahkan laporan sebelum ini bahawa pemerhati terbabit berada di bawah pemantauan berterusan pegawai perisikan Syria yang membawa mereka di seluruh negara. 

“Pengintip memerhatikan kami sepanjang masa, dengan kamera, teropong dan peralatan pemantauan rahsia,” katanya. 

“Saya diarahkan berada di hotel untuk tempoh yang lama dan kemudian gambar saya dirakamkan sepanjang masa termasuk semasa saya masuk keluar bilik air. 

“Ideanya ialah mendapatkan gambar bogel saya untuk digunakan bagi memalukan saya jika timbul masalah,” katanya.

Beliau berkata, beliau melihat mayat tiga tentera Syria yang ditembak di belakang kerana ingkar terhadap pemerintah. 

Jurucakap Liga Arab berkata sesetengah dakwaan Malek tidak berasas dan beliau tidak menghabiskan banyak masa menyertai lawatan pemerhati Liga Arab di negara itu. – Agensi 

New Zealand ikut AS serbu Megaupload

Kim Schmitz atau Kim Dotcom
Kim Schmitz atau Kim Dotcom

WELLINGTON: Polis New Zealand menyerbu beberapa rumah dan perniagaan dikaitkan dengan pengasas Megaupload.com, sebuah laman perkongsian fail internet yang ditutup pihak berkuasa Amerika Syarikat kelmarin dan merampas senapang, jutaan dollar dan hampir AS$5 juta (RM15.53 juta) dalam bentuk kereta mewah.

Polis menahan pengasasnya, Kim Dotcom dan tiga kakitangan Megaupload atas tuduhan bahawa mereka menyediakan jutaan kemudahan muat turun filem, muzik dan kandungan lain menyebabkan pemegang hak cipta kerugian pendapatan sekurang-kurangnya AS$500 juta (RM1.55 bilion). Prosiding ekstradisi ke atas mereka mungkin berlangsung setahun atau lebih.
Dengan 150 juta pengguna berdaftar, kira-kira 50 juta ‘hits’ setiap hari dan penajaan dari bintang muzik terkenal, Megaupload.com adalah antara laman perkongsian fail terbesar dunia. Menurut satu pendakwaan Amerika, laman itu, yang ditutup Khamis lalu, memberi Dotcom pulangan AS$42 juta (RM130.41 juta) pada 2010 saja.
Walaupun syarikat itu berpusat di Hong Kong dan Dotcom tinggal di New Zealand, sesetengah kandungan didakwa cetak rompak di hos pada pelayan disewa di Virginia dan ia mencukupi buat pendakwa raya Amerika untuk bertindak. 

Polis New Zealand menyerahkan 10 waran menggeledah ke atas beberapa perniagaan dan rumah di sekitar bandar di Auckland. 

Jurucakap polis Grant Ogilvie berkata kereta yang dirampas termasuk sebuah Rolls Royce Phantom Drophead Coupe bernilai lebih AS$400,000 (RM1.24 bilion) selain beberapa Mercedes. Dua senapang dan sejumlah hasil seni bernilai turut dirampas, beliau menambah. 

Katanya, polis merampas lebih AS$8 juta (RM24.84 juta) wang yang dilabur dalam pelbagai institusi kewangan New Zealand dan kini diletakkan dalam satu tabung amanah sementara menunggu hasil kes. 
Media Fairfax New Zealand melaporkan empat defendan hadir bersama dalam bilik mahkamah di Auckland dalam langkah pertama prosiding ekstradisi. 

Peguam Dotcom menyuarakan bantahan terhadap permintaan media mengambil gambar dan video, namun Dotcom kemudian bercakap dari kandang mengatakan dia tidak kisah diambil gambar atau video ‘kerana tiada apa untuk disembunyikan.’ 

Hakim memberi capaian kepada media dan memutuskan empat lelaki terbabit direman sehingga perbicaraan kedua Isnin. 

Dotcom, bekas ketua eksekutif Megaupload dan ketua pegawai inovasi terkini, adalah penduduk Hong Kong dan New Zealand dan mempunyai dua kewarganegaraan Finland dan Jerman yang mempunyai nama yang diubah dari segi undang-undang. 
Tertuduh berusia 37 tahun itu sebelum itu dikenali sebagai Kim Schmitz dan Kim Tim Jim Vestor. 

Dua lagi warga Jerman dan seorang warga Belanda turut ditahan dan tiga lagi defendan, seorang warga Jerman, Slovakia dan Estonia, masih bebas. 

Megaupload mengekalkan peguam Washington Bob Bennett untuk membela mereka, menurut seorang individu syarikat. 

Bennett terkenal kerana mewakili bekas Presiden Bill Clinton dalam skandal Monica Lewinsky. –AP 

Lelaki menyamar jadi jeneral

MAQSOOD (tengah) ditunjukkan kepada media oleh polis selepas ditahan.
MAQSOOD (tengah) ditunjukkan kepada media oleh
 polis selepas ditahan.

Maqsood Shah tipu ahli politik, desak menteri jual tanah harga murah 

ISLAMABAD: Seorang lelaki Pakistan mungkin yang paling berani melakukan penipuan apabila dengan gaya bersahaja menyamar sebagai jeneral meskipun dia akhirnya ditangkap.
Polis Pakistan menahan Maqsood Shah kerana menyamar sebagai pegawai tentera berpangkat jeneral dan cuba menipu menteri dan ahli politik supaya memenuhi kehendaknya.
Dia adalah pentadbir di sebuah hospital di bandar pelabuhan selatan Karachi. Maqsood ditahan di Malir Cantonment selepas berjalan sambil memakai seragam Leftenan Jeneral, kata Superintendan Ghulam Subhani dari Jabatan Jenayah Anti Keganasan pada sidang media. 

“Beliau cuba menipu semua orang tidak kira siapa. Malah, dia turut menghubungi Menteri Wilayah, ketua parti politik Pergerakan Muttahida Qaumi (MQM) dan Menteri Kerajaan Tempatan, Agha Siraj Durrani, sambil mendakwa dia seorang jeneral dan arahannya perlu dipatuhi,” kata Subhani yang dipetik The Express Tribune. 

“Ketika menghubungi Durrani, Maqsood mendakwa yang beliau adalah Jeneral Imtiaz. Kemudian dia mendesak Menteri Kerajaan Tempatan itu supaya menjual tanah bersebelahan hospital dengan harga murah,” kata Subhani. 

Maqsood pula mendakwa bahawa dia tidak lama lagi akan dilantik sebagai Komander Ibu Pejabat 5 Corp di Karachi, lapor akhbar Press Trust India. 
Polis turut merampas raifal AK-47, telefon BlackBerry dan sebuah kereta dalam pemilikannya. 

Ketika menggunakan nama Jeneral Imtiaz, Maqsood juga memaksa seorang pegawai cukai memulangkan 180,000 rupee (RM6,179) yang sudah dibayar hospital. 

Malah, beliau turut menyamar sebagai jeneral dengan memakai seragam lengkap tentera dan meluahkan rasa sedih berikutan kematian pemimpin politik dan agama, Pir Pagara. 

Apa yang lebih mengejutkan ialah Maqsood berjaya menyamar sebagai pemimpin tentera selama tiga tahun. 

Maqsood dikenakan tahanan reman selama tujuh hari dan boleh dihukum penjara jika didapati bersalah melakukan penipuan. – Agensi 

Kutu babi punca wanita rasa tua

Foto
KELUARGA Adelle Huckins.
Foto
Sengkenit



 Sengkenit hisap darah buat mangsa rasa sakit kepala, letih melampau

NEW MARSKE: Seorang ibu kepada tiga orang anak dari New Marske di utara England, berkata beliau menghidap penyakit misteri yang menyebabkan mengalami masalah kesihatan seperti seorang yang berusia 90 tahun, gara-gara digigit sengkenit 20 tahun lalu.
Sengkenit yang juga dikenali sebagai kutu babi atau pirah, adalah sejenis serangga parasit luaran (ektoparasit) yang hidup dengan menghisap darah pada mamalia, burung malah reptilia dan amfibia.
Adelle Huckins, 31, berkata beliau kerap menghidap sakit kepala yang kuat (migrain) rasa letih melampau, sakit seluruh badan manakala mata kirinya membengkak sejak 20 tahun lalu.

Bagaimanapun, hanya pada 2011, Huckins dapat memahami punca yang menyebabkan masalah kesihatannya, apabila pakar perubatan mengesahkan beliau menghidap sejenis penyakit dikenali sebagai penyakit Lyme (Lyme Disease), berpunca daripada jangkitan bakteria yang dibawa oleh sengkenit.

Bakteria dikenali Borrelia burgdorfer kerap ditemui dalam sistem penghadaman haiwan seperti tikus, rusa dan burung. Apabila sengkenit menghisap darah haiwan yang mempunyai bakteria terbabit, ia akan menyebabkan serangga itu turut dijangkiti. Sengkenit boleh memindahkan bakteria itu kepada manusia melalui gigitannya.

Penyakit Lyme melemahkan sistem imunisasi penghidapnya menyebabkan mereka mengalami keletihan melampau, sakit kepala dan bengkak di bahagian sendi. Jika dibiarkan penghidapnya boleh diserang jangkitan kuman pada otak, lumpuh dan boleh membawa maut.
Keterangan doktor berkenaan segera mengingatkan Huckins kepada satu lawatan sambil belajar ke Jerman yang disertainya pada 1991, ketika berusia 11 tahun, apabila beliau digigit sengkenit pada bahagian kaki.

“Gigitan itu menyebabkan ruam di kaki saya, tetapi saya menyangka ia perkara biasa dan tidak memikirkan langsung kesannya selepas itu. Saya tidak terfikir gigitan itu akan mengakibatkan saya dijangkiti penyakit yang membuatkan saya berasa seolah-olah sudah berusia 90 tahun.

“Sejak kembali daripada lawatan itu, kesihatan saya semakin merosot, tetapi pakar perubatan tidak mengetahui punca masalah saya. Serangga itu benar-benar menyebabkan hidup saya menjadi tidak keruan,” katanya.

Huckins berkata beliau mengalami pelbagai tanda penyakit tetapi doktor seringkali mengaitkannya dengan penyakit lain.

“Bagaimanapun apabila saya membaca mengenai penyakit Lyme, saya sedar bahawa saya adalah salah seorang mangsanya. Saya baru berusia 31 tahun tetapi saya berasa seperti sudah berusia 90 tahun,” katanya.

Selama beberapa tahun pakar perubatan kebingungan untuk menerangkan mengenai penyakit yang dialami Huckins, tetapi apabila beliau terbaca mengenai penyakit Lyme di internet, Huckinssedar ia mungkin boleh menjawab persoalan mengelirukan mengenai masalah kesihatannya.

Ujian kesihatan asas yang dijalankan selepas itu memberi jawapan negatif.
Bagaimanapun ujian kedua di Hostpital Nuffield di Newcastle terhadap Tyne membuktikan sangkaan Huckins adalah benar.

Kini Huckins dilanda kebimbangan suaminya Rob mungkin menghidap sama, kerana Lyme boleh berjangkit melalui hubungan seks.

Beliau juga bimbang dengan nasib anaknya Joshua, 9, Kaitlyn, 6 dan Dexter, walaupun tiada bukti Lybe boleh menjangkiti bayi ketika proses kehamilan.

Ketika ini Huckins diberi ubat antibiotik untuk meredakan pelbagai tanda penyakitnya.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika membuat perjalanan ke luar negara terutama di kawasan desa. Sengkenit hanya serangga halus, tetapi gigitannya menyebabkan hidup saya tunggang terbalik,” katanya. – Agensi 

Wanita 2 alat sulit tolak berlakon lucah

Hazel Jones
Hazel Jones

Hazel Jones tak berminat tawaran RM3.1 juta 

LOS ANGELES: Seorang wanita yang dilahirkan dengan dua saluran faraj dan mendapat perhatian industri filem lucah, tidak pernah terfikir untuk menerima sebarang watak dalam filem sebegitu.
Ketika muncul dalam rancangan televisyen awal minggu ini, Hazel Jones mendedahkan dirinya memiliki ‘uterus didelphys’, merujuk kepada keadaan dua rahim dan dua serviks.
Wanita berusia 27 tahun itu didekati syarikat Vivid Entertainment, sebuah syarikat produksi filem dewasa Amerika Syarikat. 

Mengakui terkejut, wanita berambut perang berasal dari High Wycombe, menegaskan akan menolak sebarang tawaran seumpama itu. 

Menurut rancangan This Morning, Jones memberitahu: “Saya tidak pernah terima apa-apa tawaran seperti itu mahu pun melakukannya pada masa depan. Jangan ganggu saya.” 

Jones memberi reaksi itu selepas pengasas Vivid, Steven Hirsch, menulis sepucuk surat kepadanya menawarkan AS$1 juta (RM3.1 juta) untuk membintangi satu daripada filemnya, lapor TMZ.com. 
Dalam surat itu, Hirsch menulis: “Anda jelasnya seorang wanita luar biasa dan saya mahu menjadikan anda seorang bintang untuk membintangi satu daripada produksi akan datang Vivid. 

“Kami akan membayar anda sehingga AS$1 juta untuk perkhidmatan anda.” 

Hirsch juga berjanji untuk membayar tambang dan kemudahan oleh kerana filem itu akan dilakukan di sini. 

“Kami akan bawa anda ke Los Angeles sebaik saja anda setuju dan memberi anda kemudahan kelas pertama,” katanya. 

Seorang jurucakap Vivid mengesahkan tawaran itu dengan berkata: “Memang benar. Steven membuat tawaran kepada Hazel Jones.” 

Vivid menjadi studio pertama memperkenalkan pita seks selebriti, menunjukkan rakaman Pamela Anderson dan suaminya ketika itu, Tommy Lee serta Kim Kardashian. Jones belum memberi maklum balas terhadap tawaran itu. 

Jones memberitahu rancangan This Morning terbitan ITV, dia selesa walaupun mempunyai keadaan luar biasa itu, walaupun terpaksa kehilangan dara sebanyak dua kali. 

“Sebaik saja saya tahu keadaan itu, saya beritahu semua orang. 

“Saya fikir ia menakjubkan dan sudah pasti mengejutkan jika berada dalam parti,” katanya kepada hos televisyen, Holly Willoughby dan Phillip Schofield. 

Beliau menambah: “Jika wanita mahu melihatnya, saya agak gembira menunjukkan kepada mereka, ia bukan sesuatu yang memalukan buat saya.” 

Jones pergi mendapatkan rawatan doktor selepas teman lelakinya memberitahu dia ‘rasa berbeza’ mengenai kemaluan wanita itu. – Agensi 

Jalan 130km cari perlindungan

Foto
HABIBAH bersama adiknya, Mohamad ditemui pada program bantuan makanan MERCY Malaysia di daerah Hamar Jajab, Mogadishu Somalia, semalam.


Remaja beratur seawal jam 8 pagi dapatkan bantuan makanan MERCY

MOGADISHU: Kira-kira enam bulan lalu, Habibah Adan, 15, menempuh saat sukar dalam hidupnya apabila terpaksa melarikan diri dari kampung halamannya di Tortoro ke Mogadishu untuk mencari perlindungan daripada kemarau, kebuluran dan konflik.
Untuk meneruskan hidup, Habibah dan keluarganya terpaksa berjalan kaki sehelai sepinggang selama tiga hari sejauh lebih 130 kilometer (km) untuk mencari perlindungan di kem penempatan dalaman (IDP) di Mogadishu.
“Kami berjalan dan terus berjalan sehinggalah makanan kami habis. Ayah dan adik juga jatuh sakit.

“Adik menangis lapar, tapi ayah tetap teruskan perjalanan,” katanya, sambil matanya mula berkaca.

Gadis genit itu ditemui penulis ketika sedang mengendong adik bongsunya, Mohamed Adan, 18 bulan, untuk menerima bantuan makanan sumbangan MERCY Malaysia dan Yayasan Keamanan Perdana Global (PGPF) di pusat pengedaran bantuan makanan Muslim Aid Somalia di Hamar Jajab di sini.

Habibah berkata, beliau terpaksa beratur seawal jam 8 pagi untuk mendapatkan bantuan makanan itu kerana ibunya, Khadijah Ibrahim, 42, terpaksa ke tempat lain, manakala bapanya, Adan Ahmad Omar, 60, kurang sihat.
“Empat lagi adik saya bersama ibu. Mereka akan datang sekejap lagi,” katanya sambil memegang kupon bantuan makanan berwarna biru tertera perkataan ‘sumbangan rakyat Malaysia’ dan logo MERCY Malaysia, PGPF dan Tabung Bencana NSTP-Media Prima.

Seramai 1,000 keluarga dari lima kem IDP Hamar Jajab, Hodan, Holwadag, Medina dan Wabare menerima bantuan makanan 25 kilogram (kg) beras, 25kg tepung, 25kg gula, 3kg minyak masak dan 2.5kg susu tepung, yang mampu bertahan untuk tempoh sebulan.

Seperti penerima bantuan lain, Habibah juga terpaksa beratur panjang, sebelum dibenarkan masuk ke kawasan pusat pengedaran makanan yang dikawal ketat pengawal bersenjata dan anggota polis tempatan.

Penulis amat sayu apabila melihat mereka, kebanyakannya golongan ibu, melambai-lambaikan kupon itu ibarat memegang sesuatu yang amat bernilai sambil puluhan lagi pelarian dari kawasan lain hanya melihat dari jauh.

Lebih menyedihkan apabila penulis mendapat tahu, ramai kanak-kanak termasuk Mohamed yang kelihatan lemah digendong Habibah, rupa-rupanya masih belum menyentuh sebarang makanan, walaupun hampir jam 10.30 pagi.

“Terima kasih,” kata Habibah apabila penterjemah penulis meminta petugas di pusat makanan itu memberikan adiknya air mineral, sebelum kami berlalu untuk menemubual penerima bantuan lain sambil diekori seorang pengawal bersenjata.

Seorang penerima bantuan, Nimco Abdullah, 22, yang turut membawa bayinya yang berusia tujuh bulan, Mohamad Ali, berkata beliau amat berterima kasih dengan kesudian rakyat Malaysia membantu mereka.

“Hanya Allah akan membalas budi kamu,” katanya yang terpaksa berpisah dengan suaminya, Ali Abdul Ghadir, 23, yang mencari kerja di Somaliland, kira-kira 1,500km dari Mogadishu.

Penterjemah penulis, Abdirisak Yusuf Barre, 40, berkata kemiskinan dan kebuluran yang menyebabkan 370,000 rakyat Somalia menjadi pelarian, berpunca dari kemarau dan konflik perang saudara yang berpanjangan sejak 20 tahun lalu.

“Tiada duit, tiada makanan dan tiada kerja. Mereka lakukan apa saja untuk hidup,” kata guru bahasa Inggeris itu menegaskan negara ‘Tanduk Afrika’ itu memerlukan bantuan asing untuk bangun semula.

Laporan terkini Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Koordinasi Bantuan Kemanusiaan (OCHA) menunjukkan 250,000 rakyat Somalia masih diancam kebuluran, manakala 1.3 juta lagi menjadi pelarian IDP dan memerlukan memerlukan bantuan asing untuk terus hidup. 

Gempa bumi 6.2 magnitud gegar Mexico

 MEXICO CITY: Gempa bumi berukuran 6.2 magnitud menggegarkan pantai selatan wilayah Chiapas, Mexico malam tadi dan kesannya dapat dirasai sehingga ke El Salvador tetapi tiada laporan mengenai kerosakan atau kecederaan.

Gempa bumi pada kira-kira jam 12:47 malam waktu tempatan melanda ibu negeri Chiapas, Tuxtla Gutierrez dan menggemparkan penduduk di jalan raya di beberapa bandar.
Kesan gegaran dapat dirasai dari wilayah, Veracruz sehingga ke Guatemala dan El Salvador. - AP

Saintis cuba buat buah zakar tiruan


SAN FRANCISCO: Sekumpulan saintis diberi kebenaran menghasilkan buah zakar tiruan yang menghasilkan sperma, dalam usaha membantu menyelesaikan masalah ketidaksuburan lelaki.

Saintis sebelum ini cuba menghasilkan sel sperma tetapi cuma mampu menyelesaikan tiga per empat daripada proses itu di dalam makmal kerana persekitaran khas dalam buah zakar lelaki diperlukan untuk menjayakan proses itu.
Kumpulan pakar diketuai Dr Paul Turek itu berharap dapat menghasilkan mesin biologi pembuatan sperma yang berbentuk beg silinder dan tidak dilekatkan pada tubuh.
Ia perlu diganti selepas setiap kitaran pengeluaran sperma yang mengambil masa 70 hari dan berbeza dengan alat tiruan, lelaki yang kehilangan buah zakar tidak menghasilkan sperma. 

Dr Turek kini menghasilkan prototaip dan menganggarkan ia mengambil masa lima hingga tujuh tahun untuk menyempurnakan kaedah itu. 

“Geran yang diperoleh adalah satu penghormatan dan diberi selepas beberapa tahun kami mengkaji idea ini. 

“Kami sudah mengumpulkan saintis hebat yang amat komited dengan kejayaan,” katanya. 
Bagi menghasilkan buah zakar tiruan itu, penyelidik perlu membangunkan teknik untuk menumbuhkan sel sperma manusia. 

Mereka bercadang menggunakan sel tunjang embrio lelaki dengan gen untuk mengemudikan ia menjadi sel reproduktif yang boleh digunakan dalam IVF. 

Ketika kajian menunjukkan ada kemungkinan dapat merawat tikus jantan tidak subur dengan menghasilkan sperma menggunakan sel tunjang, kajian ke atas manusia gagal. 

Dr Turek berkata, salah satu tujuan utama ialah menghasilkan semula buah zakar tiruan dengan semua komponennya. Bagaimanapun, sebahagian pakar skeptikal dengan kaedah itu. 

Pakar sakit puan dan sains reproduktif di Universiti Pittsburgh, Kyle Orwig, berkata: “Ia satu projek yang pastinya sukar tetapi mengagumkan jika berjaya. Ia akan memberi impak besar kepada bidang kesuburan.” 

Katanya, tiada siapa pernah mencuba menghasilkan sperma dengan mencipta semula ‘rumah pengeluaran’ sel sperma. Buah zakar bertanggungjawab menghasilkan dan menyimpan sperma. Jika rosak, ia boleh memberi kesan serius kepada kualiti sperma. – Agensi 

14 terbunuh trak polis bawa banduan diserang di Lubnan

BEIRUT: Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh selepas trak polis yang mengangkut banduan di kawasan bergolak, barat laut Syria di serang hendap, semalam.

Tentera kerajaan juga bertempur dengan pemberontak di utara wilayah berkenaan yang mengakibatkan 10 orang maut.
Agensi Berita Rasmi SANA berkata, serangan hendap terhadap trak polis itu berlaku di Lebuh raya Idlib-Ariha, kawasan berdekatan sempadan Turki dan menyaksikan pertempuran sengit dengan mereka yang berpaling tadah.
Empat bom meletup dua kali dan terkena trak polis dan pemberontak bertindak menyerang ambulans yang tiba untuk membantu mangsa yang tercedera. 

Enam Anggota polis yang mengiringi banduan juga cedera parah, sebahagian daripada mereka dilaporkan berada dalam keadaan kritikal. - AP

Penyerang sertai Taliban

PESHAWAR: Kumpulan Taliban Afghanistan semalam berkata, mereka menerima penyertaan seorang askar Afghanistan yang menembak mati empat tentera Perancis kelmarin.
“Emiriah Islam Afghanistan menerima kemasukan mereka yang menduduki jawatan penting. Sebahagian mereka sudahpun menamatkan misi masing-masing,” kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid kepada Reuters menerusi telefon.
Seorang pegawai kumpulan berkenaan berkata, kejadian seperti video yang menunjukkan anggota Marin Amerika Syarikat kencing pada mayat anggota kumpulan itu meningkatkan lagi sokongan kepada Taliban dan mendorong mereka untuk melancarkan lebih banyak serangan.

Sementara itu, Perancis berkata, ia masih komited untuk mewujudkan kestabilan di Afghanistan.


Menteri Pertahanan, Gerard Longuet berkata demikian kepada wartawan selepas tiba di Kabul untuk mengadakan perbincangan dengan Presiden Hamid Kar- zai.

Beliau memberitahu perkara itu selepas Paris mengancam untuk mempercepatkan pengunduran tenteranya berikutan kematian empat anggotanya itu.

“Misi itu kekal seperti dulu, untuk mewujudkan kestabilan di Afghanistan,” kata Longuet.

Ditanya mengenai kemungkinan pengunduran lebih awal tentera negaranya selepas terbabit dalam konflik dengan Taliban sejak 10 tahun lalu, Longuet berkata:
“Saya akan berbincang dengan presiden. Dia ketua saya.”

Longuet turut melawat beberapa tentera Perancis yang cedera parah dalam serangan kelmarin oleh seorang askar Afghanistan sebelum mereka dihantar pulang ke Paris.

Ini kali kedua dalam masa tidak sampai sebulan tentera Perancis menjadi sasaran tentera Afghanistan.

Terdahulu, Presiden Nicolas Sarkozy mengancam untuk mengundurkan tentera Perancis lebih awal dari negara itu.

Sembilan belas tentera Perancis mati atau cedera apabila seorang askar Afghanistan melepaskan tembakan sejurus selepas mereka menamatkan latihan di sebuah pangkalan tentera di Kapisa, timur Afghanistan.

Sarkozy serta-merta menggantung latihan tentera Perancis dan operasi ketenteraan dengan tentera Afghanistan. - AP

Lelaki makan kucing ditahan

 PHOENIX: Seorang lelaki tidak berumah ditangkap selepas didakwa membunuh seekor kucing dan memakannya di sebuah gudang.
Pemilik bangunan itu menelefon polis selepas menyedari ada sesuatu yang tidak kena di dalam gudang itu.

Polis yang memasuki gudang berkenaan menemui Russell Christopher Hofstad (gambar) di dalam dengan mukanya bercat and ekor serta sebahagian tali perut haiwan itu tergantung pada lehernya.

Polis menemui bahagian lain kuncing itu di tengah gudang. Hosstad memberitahu polis, dia mahu menggunakan tulang kucing itu sebagai barang hiasan. - AFP

Pasangan kekasih Facebook akui zina

DUBAI: Seorang pembantu rumah dan pekerja binaan dihadapkan ke mahkamah semalam kerana berzina di kediaman majikan pembantu rumah itu selepas jatuh cinta menerusi Facebook.
Amah warga Filipina berkenaan dan buruh rakyat Pakistan itu mengaku berkenalan menerusi laman sosial terbabit “Selepas bersembang selama dua minggu menerusi Facebook, dia memberi alamat majikannya dan membantu saya memasuki rumah itu. Kami mengadakan seks di sana,” kata warga Pakistan berusia 23 tahun itu yang dikenali di mahkamah sebagai IA.

Kegiatan mereka didedahkan oleh tukang masak di rumah berkenaan yang melihat IA keluar dari bilik tidur amah berkenaan, NS, pada awal pagi.

NS, 27, dalam kenyataan kepada mahkamah mengaku melakukan seks dua kali dengan kekasih Facebooknya itu. - GN

Kahwin dengan mayat


DEFF menyarungkan cincin pada jari mayat kekasihnya.
DEFF menyarungkan cincin pada jari mayat kekasihnya.


PATTAYA: Satu majlis pahit manis yang diadakan baru-baru ini menandakan permulaan dan perpisahan sepasang kekasih yang sudah sekian lama bercinta.
Dalam kisah cinta yang memilukan dan juga aneh, seorang lelaki Thai menganjurkan upacara pengebumian dan juga perkahwinan serentak untuk teman wanitanya yang mati mengejut sebelum mereka dapat berkahwin secara rasmi.
Lelaki berkenaan ialah Chadil Deffy yang juga dikenali sebagai Deff Yingyuen, pengarah sebuah stesen televisyen di timur laut Thailand.

Sepanjang 10 tahun lalu, dia hanya memberi tumpuan terhadap hasrat untuk menyambung pelajaran dan kariernya selepas menamatkan pelajaran di Universiti Timur Asia, tempat dia berkenalan dengan Sarinya ‘Anne’ Kamsook.


Selepas jatuh cinta di universiti itu dan tinggal bersama selama 10 tahun, Anne memutuskan untuk berkahwin. Namun, hasratnya tertunda kerana Deff mahu memastikan kariernya kukuh dulu tetapi berjanji untuk mengahwini kekasihnya itu.

Tetapi Anne mati pada 3 Januari selepas terbabit dalam kemalangan. Deff yang kesal kerana tidak sempat untuk menunaikan janji, akhirnya mengambil keputusan berkahwin pada hari pengebumian Anne, kelmarin.

Anggota keluarga dan rakan dijemput menerusi Facebook untuk menghadiri majlis perkahwinan dan sekali gus upacara pengebumian di sebuah kuil di Surin.

Dengan berpakaian tuxedo pada majlis itu, Deff yang kelihatan sedih, menyarungkan cincin pada jari mayat Anne selepas dikahwinkan oleh seorang sami baru, yang mengikut tradisi penganut Buddha Thai, boleh menjamin perkahwinan yang berkekalan.

Pada majlis itu, mayat Anne dipakaikan dengan pakaian serba putih dan diletakkan diatas papan.

Selepas menyarungkan cincin, Deff mencium tangan dan dahi pengantin perempuan, disaksikan oleh anggota keluarga. - Agensi

Penoreh temui spesies ikan unik



NORADILA MAHAMAD
January 22, 2012
ikan tilan
KUALA BERANG – Penduduk Kampung Machang di sini gempar apa bila bubu ditahan seorang penoreh getah di Sungai Machang minggu lalu, dimasuki seekor ikan daripada spesies yang tidak dikenali.

Sejak itu, rumah Wahab Awang Ahmad, 53, tidak putus-putus dikunjungi mereka yang mahu melihat ikan itu yang kini dipelihara di dalam akuarium di rumahnya.

Menurut Wahab, badan ikan berkenaan seperti tiga jenis ikan berlainan.

“Jika diamati, kepala ikan ini menyerupai ikan haruan, separuh badannya pula seperti belut berwarna kekuningan di bahagian perutnya, manakala separuh badan lagi hingga ke hujung ekornya seperti ikan keli,” katanya.

Sekali imbas, ikan itu hampir menyerupai spesies ikan tilan namun kata Wahab, yang membezakannya ialah kepala atau mulut ikan itu tidak pula berbentuk tirus atau runcing seperti ikan tilan ataupun belut.

“Manakala di bahagian badannya juga tidak terdapat duri atau sengat,” katanya.

Wahab berkata, sejak ditemui sehingga sekarang, badan ikan itu kelihatan makin berisi.

“Itulah yang peliknya. Saya sudah beri macam-macam jenis makanan ikan untuk ia makan tetapi langsung tidak berkurangan. Udang dan anak ikan yang saya beri langsung tidak dimakan,” katanya.

Wahab berkata, dia sendiri masih tidak tahu apa yang dimakan ikan spesies luar biasa itu yang menyebabkannya kelihatan semakin gemuk.

Namun katanya, bagi dirinya sendiri dan keluarga, tiada pula berlaku apa-apa kejadian yang ganjil melibatkan mereka sejak dia bawa ikan yang panjangnya 90 sentimeter itu pulang ke rumah.

Menceritakan penemuan ikan pelik tersebut, kata Wahab, dia bersama anaknya, Zawawi, 26 turun ke Sungai Machang untuk mengambil bubu yang diletakkan sehari sebelumnya, kira-kira jam 8.30 pagi seminggu lalu.

Ketika mengangkat bubu berkenaan, dia mendapati salah seekor ikan yang ada di dalamnya itu kelihatan pelik.

“Pada mulanya kami ingatkan belut, tetapi apabila diperhatikan secara dekat bersama anak saya ini, rupa-rupanya bukan belut tetapi tidak dapat dikenal pasti.
“Kami kemudian memutuskan untuk membawanya pulang bersama ikan keli, puyu, sepat yang turut berada dalam bubu,” katanya.

Kata Wahab, sepanjang hayatnya, dia tidak pernah melihat ikan seperti itu dan begitu juga dengan penduduk sekitar.

"Bisikan panggil adik keluar"



WARTAWAN SINAR HARIAN
January 22, 2012
berubat
KASAR – Seorang kakak sanggup mengorbankan masa dan kudratnya, untuk menjaga adiknya yang sakit di Kampung Lorong Rogayah Lama, sejak lima bulan lalu.

Kakak, Hasmah Nuh, 54, berkata, adiknya, Rohani Nuh, 53, sering keluar rumah kerana dikatakan dipanggil oleh suara yang berbisik.

Menurutnya, apabila ditanya, Rohani tidak dapat menggambarkan bisikan yang menyuruhnya membuat semua perkara tersebut.

“Ia berlaku terutama sejurus selepas waktu mandi dan dia akan berlari keluar rumah, tanpa seurat benang.

“Kami mencuba pelbagai cara bagi mengubatinya dan berharap kunjungan kami di Pusat Rawatan Darussyifa’ di Madrasah Taman Mekasar, akan membuahkan hasil,” katanya, semalam.

Sementara itu, pengerusi Darussyifa’ Kelantan, Zaki Ya berkata, berdasarkan kes yang berlaku kepada Rohani, bisikan yang didengar merupakan salah satu penyakit yang banyak berlaku kepada pesakitnya di sini.

“Antara penyakit yang sering dilaporkan adalah, sikap membenci antara suami isteri, tertahan nafsu seks, berkudis seluruh badan, tidak ditemukan jodoh dan banyak lagi.

“Bukan hanya penyakit gangguan halus, malah kita turut menawarkan rawatan penyakit fizikal seperti barah, kencing manis, darah tinggi dan banyak lagi,” katanya.

Menurutnya, Darussyifa’ yang terletak berdekatan Masjid Mekasar, baru sahaja dirasmikan hari ini (semalam) dan ia mencakupi pusat rawatan ke enam di seluruh Kelantan.

Selain daripada itu katanya, pusat pentadbiran Darussyifa’ juga boleh didapati di Masjid Lundang, Pusat Islam Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Bachok, Besut dan Kuala Krai.

Beliau berkata, pihaknya juga akan membuka satu lagi pusat rawatan Darussyifa’ baru, bertempat di Machang, tidak lama lagi.

Menurutnya, berbeza dengan pendekatan yang digunakan oleh bomoh dan pawang, rawatan Darussyifa’ menggunakan ayat-ayat al-Quran, solat hajat, bacaan Yasin dan zikir.

Justeru itu, konsep menghalau jin dan syaitan sepertimana yang dilakukan pihak lain, tidak digunakan di Pusat Rawatan Darussyifa’.

“Doa merupakan satu pendekatan paling mujarab, maka semua yang mempunyai masalah, jangan sekali-kali lupa untuk solat dan memohon petunjuk daripada yang maha esa,” katanya.

Cuaca sejuk berlebihan buka lubang ozon



WARTAWAN SINAR HARIAN
January 22, 2012
BERLIN - Lubang ozon pertama yang terbuka di atas udara Kutub Utara menjadi semakin teruk berikutan musim sejuk luar biasa sejak akhir-akhir ini.
Menurut saintis, suhu terlampau sejuk pada lapisan ozon menyebabkan bahan pemusnah ozon seperti klorofluorokarbon (CFC) berkembang dengan mudah.
 
Saintis dari Institut Meteorologi dan Iklim KIT memberitahu, kemungkinan besar akan wujud satu lagi lubang ozon di udara Artik dan tahun lalu, satu degradasi ozon berjaya dikesan di udara Artik buat kali pertama yang lebih kurang sama dengan lubang ozon di Kutub Selatan.
 
Pada satu tahap kira-kira 21 kilometer (km) di atas tanah, 80 peratus ozon telah pun hilang, dan berpotensi mendedahkan penduduk bumi menerima sinaran ultralembayung-B berbahaya daripada matahari yang menyebabkan selaran matahari dan barah kulit.
 
Menurut kajian, kajdian lubang ozon Artik terutamanya disebabkan suhu luar biasa sejuk dalam lapisan ozon yang terletak kira-kira 18km ketinggian dalam stratosfera, iaitu pelapis kedua atmosfera bumi, adanya sebatian klorin berasal dari klorofluorokarbon dan bahan pencemar lain ditukar secara kimia pada suhu di bawah 78 darjah Selcius.
 
Bahan-bahan kimia ini mampu menyerang lapisan ozon dan memusnahkannya dan jika corak suhu lebih sejuk dalam stratosfera berulang dalam sedekad, kemungkinan adanya pertambahan lubang ozon di Artik.

Perintah berkurung untuk bandar Kano



WARTAWAN SINAR HARIAN
January 22, 2012
Abuja
ABUJA - Bandar Kano, Nigeria kini di bawah arahan perintah berkurung selepas berlaku beberapa serangan melibatkan letupan bom dan tembak-menembak di beberapa kawasan sasaran termasuk pejabat imigresen dan balai polis.
Menurut saksi, selepas kejadian Jumaat lalu, sekurang-kurannya tujuh mayat bergelimpangan termasuk lima mayat pegawai imigresen.
 
Kumpulan radikal Boko Haram turut mendakwa bertanggungjawab dalam serangan itu, menurut agensi berita Associated Press.
 
Seorang penduduk berhampiran pejabat imigresen memberitahu, berlaku aksi tembak-menembak antara kakitangan imigresen dan polis dengan penyerang-penyerang yang juga melibatkan berlakunya beberapa letupan bom.
 
Dipercayai, lokasi sasaran adalah pejabat pasport di perkhidmatan imigresen dalam kawasan Marhaba.
 
31 Disember lalu, Presiden Goodluck Jonathan mengumumkan darurat terhadap empat kawasan di negara itu, selepas berlakunya serangan demi serangan yang mempersalahkan kumpulan Boko Haram.

Parti diketuai Ikhwan Muslimin menang besar PRU Mesir



WARTAWAN SINAR HARIAN
January 22, 2012
Kerusi Mesir
KAHERAH - Ikhwan Muslimin Mesir, pertubuhan politik paling tersusun di negara itu, memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum bebas pertama, sekali gus memberikannya peranan besar dan kedudukan kukuh untuk merangk perlembagaan baru.

Parti Salafist Nour berada di tempat kedua.

Ikhwan Muslimin yang diharamkan ketika kepimpinan bekas Presiden Hosni Mubarak muncul pemenang dalam pilihan raya umum Parlimen. Ia memperoleh dua pertiga kerusi sebagaimana diramalkan sebelum ini.

Parti Kebebasan dan Keadilan diterajui Ikhwan Muslimin memberi jaminan kepada kesemua rakyat Mesir bahawa setiap orang akan ada suara di Parlimen.

Di bawah sistem pilihan raya yang kompleks, dua pertiga atau 332 kerusi di dewan rendah ditentukan menerusi perwakilan berkadar, berdasarkan parti-parti bertanding. Baki satu pertiga ditandingi orang perseorangan.

Berdasarkan keputusan akhir diumumkan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya semalam.

Rakyat Mesir telah membuang undi dalam tiga peringkat sepanjang enam minggu lalu untuk memilih 498 wakil rakyat.

Seramai 10 lagi akan dilantik oleh pihak tentera yang memerintah.

Kembar terpisah 67 tahun


KAMARUL HALIM M KAMAL
January 22, 2012
Kembar

BATU PAHAT – Siapa sangka, dalam keadaan berputus asa setelah usaha mencari kembarnya di negara asing selama berpuluh tahun, bukan setakat gagal malah langsung tiada petunjuk, ketika itulah doa Walitah Sawiyan, 70, dimakbulkan.

”Saya sudah bertekad, jika tak jumpa juga dengan kembar saya, Walitih, inilah kali terakhir saya mencarinya. Saya akan pulang ke Indonesia dan terus tinggal di sana. Kiranya saya sudah putus asa,” kata Walitah.
Namun takdir menentukan pada 4 Januari lalu ketika menunggu feri di Jeti Kukup, Pontian untuk pulang ke Tembilahan, Sumatera dalam perjalanan yang disangkanya adalah yang terakhir untuk mencari kembarnya itu, dia tiba-tiba ditegur oleh seorang wanita yang tidak dikenali.
”Orang itu tegur saya kerana menyangka saya jirannya di Batu Pahat,” katanya.
Lalu Walitah mengajak wanita yang menegurnya itu untuk membawa dia bertemu dengan jirannya yang dikatakan wajah saling tak tumpah itu.
”Hati saya melonjak-lonjak mahu dibawa bertemu dengan jirannya. Tiba di sana, memang benarlah. Dialah Walitih yang saya cari-cari selama ini, malah saya pun sudah hampir berputus asa untuk mencarinya lagi,” kata Walitah sambil mengesat air mata.
Terharu sungguh dia dengan pertemuan yang tidak disangka-sangkanya itu.
Walitih yang turut serta dalam pertemuan dengan Sinar Harian, bagaimanapun memilih untuk tidak berkata apa-apa.
Dia lebih selesa melayan perasaan dengan caranya yang tersendiri setelah dipertemukan dengan kembar yang dirinduinya selama 67 tahun itu.
Apa pun, setelah bertemu Walitih, pencarian Walitah sebenarnya masih juga belum berakhir. Mereka kini sedang mencari seorang lagi adik, Tiwan yang berusia 10 tahun ketika hilang sebaik Perang Dunia Kedua meletus.
Menceritakan detik perpisahan mereka, Walitah berkata, dia diserahkan kepada keluarga angkat yang kemudian membawanya ke Sumatera untuk menyelamatkan diri daripada serangan tentera Jepun ke atas Malaya.
”Walitih pula diserahkan kepada keluarga angkat yang lain. Dia terus tinggal di kampung halaman kami, Kampung Parit Jorak Senawi, Batu Pahat,” katanya.
Meskipun berjauhan, kata Walitah, sejak itu dia tidak pernah melupakan adik beradiknya, yang kesemuanya lima orang.
”Dua daripada saudara saya, lelaki. Kedua-duanya hilang pada zaman perang. Seorang lagi perempuan, sudah meninggal,” katanya.
Bermula awal 2010, Walitah berkali-kali datang mencari kembarnya di sekitar Bukit Naning dan Batu Pahat.
”Saya bukan saja gagal temui dia, malah langsung tidak ada petunjuk,”katanya.
Rupa-rupanya, usaha Walitah itu disukarkan oleh satu sebab, Walitih kini bukan lagi dikenali sebagai Walitih.
”Dia sudah punya nama baru, Patimah Ijap. Sebab itu saya tak jumpa dia,” kata Walitah dengan sedikit senyuman terukir di bibirnya.
Kerana itulah juga, kata Walitah, jika Walitih tidak juga ditemui, dia akan hentikan terus pencarian itu.
Kini, setelah bertemu dengan kembar yang dicari-carinya, Walitah sebaliknya sudah tidak mahu kembali ke Indonesia lagi.
”Di sini kampung halaman saya, tanah tumpah darah saya. Saya mahu tinggal terus di sini bersama kembar saya sampai akhir hayat,” katanya.
Sehubungan itu, kata Walitah, dia berharap ada pihak dapat membantu memakbulkan satu lagi hajatnya iaitu menjadi warga Malaysia.
”Kami tidak sanggup untuk berpisah lagi. Biarlah sisa usia yang ada kami isi bersama setelah 67 tahun kami terpisah,” katanya dengan nada dan wajah yang sangat terharu.
Bersuara bagi pihak ibunya, anak Walitih, Saniyah Sahidan, 43, berkata, dia dapat merasai kegembiraan dan kelegaan hati ibunya setelah dipertemukan semula dengan kembar yang dirinduinya sejak sekian lama.
”Saya tak sanggup melihat dia sedih semula. Kerana itu, saya harap ada pihak sudi membantu ibu saudara saya ini kembali semula menetap di tanah air yang telah ditinggalkannya sekian lama. Ini negaranya, dia lahir di sini dan ibu bapa mereka juga orang sini. Cuma kepayahan hidup pada zaman perang yang membawa dia ke sana sedangkan itu bukan negaranya,” katanya.
Kembar terpisah 67 tahun - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'