17 Mac 2013
ALMATY - Sebuah kapsul Soyuz Rusia membawa pulang tiga angkasawan antarabangsa ke bumi selepas enam bulan di atas Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Kesemua angkasawan itu melakukan pendaratan selamat di atas dataran berumput di bandar Arkalyk di utara Kazakhstan.
Mereka adalah angkasawan Amerika Syarikat, Kevin Ford dan dua jurutera Rusia, Oleg Novitskiy dan Evgeny Tarelkin mendarat menggunakan pesawat TMA-06M pada jam 3.30 pagi waktu tempatan.
Jurucakap Kawalan Misi Rusia, Chris Hadfield berkata, kesemuanya sudah mendarat dan misi berjalan lancar seperti dirancang.
“Kesemua angkasawan itu akan menjalani pemulihan selepas penerbangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pendaratan yang sepatutnya dilakukan kelmarin tertangguh disebabkan cuaca buruk.
“ Pasukan penyelamat dan sebuah helikopter terpaksa bersedia sejak kelmarin kerana terdapat kabus tebal dan awan yang menyukarkan pendaratan mereka,” katanya dalam laporan Reuters
Beliau berkata, kapal Soyuz melakukan pendaratan secara menegak dan terpisah daripada kapsul pada jam 02.40 pagi.
Ketiga-tiga angkasawan itu berlepas ke orbit sejak Oktober tahun lalu bertujuan melakukan pelbagai penyelidikan khas berkaitan pembangunan di angkasa lepas.