Gambar diambil pada 5 Mac lalu merakamkan Misao Okawa wanita tertua di dunia meraikan hari lahirnya ke-115 di rumah orang tua di Osaka, barat Jepun. Misao kini manusia tertua di dunia selepas Kimura juga dari Jepun berusia 116 meninggal semalam kerana sakit tua. - AFP
TOKYO 12 Jun - Manusia tertua di dunia berusia 116 tahun, meninggal dunia di Kyoto, hari ini kerana sakit tua.
Jiroemon Kimura yang lahir pada 1897, meninggal dunia awal pagi ini di hospital, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pegawai kerajaan di Kyotango, bandar Kyoto.
Kimura yang berasal dari Kyotango dimasukkan ke hospital awal Mei lalu kerana masalah pneumonia dan keadaannya semakin kritikal sejak beberapa hari lalu.
Beliau diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai orang paling tua di dunia pada Disember lalu selepas seorang nenek dari Amerika Syarikat yang berusia 115 tahun meninggal dunia.
Kimura juga berjaya mencatat rekod apabila dia disahkan sebagai lelaki paling tua selepas hidup selama 115 tahun 253 hari.
Kimura yang dilahirkan sama tahun dengan perintis penerbangan Amerika, Amelia Earhart, menyambut ulang tahun ke-116 dengan menerima ucapan daripada Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe melalui rakaman video pada April lalu.
Kimura mempunyai tujuh orang anak, 14 cucu dan 25 cicit dan dia pernah berkhidmat di pejabat pos selama 40 tahun.
Selepas bersara, dia bertani sehingga usianya mencecah 90 tahun.
Kimura tidak merokok dan berhenti makan sebelum kenyang. Amalan hidupnya ialah makan tanpa berlebihan.
Datuk Bandar Kyotango akan memberi penghormatan kepada Kimura di rumahnya, manakala dewan bandaran akan menyediakan tempat untuk buku rakaman takziah.
Kimura merupakan penduduk yang terkenal, jadi kami jangka ramai yang ingin memberi penghormatan terakhir kepadanya, ujar pegawai kerajaan. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130613/lu_04/Orang-tertua-dunia-meninggal#ixzz2W8bxRcBF
© Utusan Melayu (M) Bhd