Pages

Tuesday, May 31, 2011

Pakistan rancang serang al-Qaeda



ISLAMABAD 30 Mei - Pakistan akan melancarkan serangan bersepadu melibatkan tentera udara dan darat ke atas gerila al-Qaeda dan Taliban di Waziristan Utara, dalam operasi pertama untuk menggempur militan tersebut selepas pembunuhan Osama bin Laden pada 2 Mei lalu.
Wilayah tersebut ialah kubu utama al-Qaeda dan Taliban di sempadan negara ini dengan Afghanistan.
Amerika Syarikat (AS) sudah lama menuntut Islamabad melancarkan serangan di wilayah itu bagi memburu rangkaian Haqqani, antara puak militan Afghan yang paling berbahaya memerangi askar Amerika di Afghanistan.
Pakistan sebelum ini keberatan berbuat demikian tetapi menghadapi tekanan makin hebat daripada AS untuk menyerang kem militan selepas Osama didapati tinggal bertahun-tahun di negara ini tanpa disedari, sebelum mati dibunuh oleh komando AS pada bulan lalu.
Akhbar News memetik sumber kanan Pakistan sebagai berkata, pesawat tentera udara Pakistan akan membedil kedudukan militan dalam 'serangan tentera bersepadu' sebelum operasi tentera darat dilancarkan.
Menurut akhbar itu, persetujuan telah dicapai berhubung serangan tersebut semasa kunjungan Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton pada minggu lepas.
Seorang pegawai Kedutaan AS di sini berkata, beliau masih menyiasat kesahihan laporan itu.
Islamabad sebelum ini mendakwa pasukan keselamatannya tidak lagi berupaya menjalankan operasi di Waziristan Utara kerana mereka sudah pun terlalu sibuk memerangi pemberontak Taliban di kawasan lain di bahagian barat.
Namun penganalisis berkata, sebab sebenarnya ialah Pakistan menganggap rangkaian Haqqani sebagai aset untuk menyekat pengaruh India yang semakin meningkat di Afghanistan. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Pemimpin Perancis pula terlibat skandal seks




Georges Tron


PARIS 30 Mei - Timbalan Menteri Perkhidmatan Awam Perancis, Georges Tron yang meletak jawatan semalam berikutan dakwaan melakukan serangan seksual ke atas dua wanita, memfailkan dakwaan fitnah terhadap wanita-wanita berkenaan.
Kerajaan pimpinan Presiden Nicolas Sarkozy, semalam dikejutkan dengan tindakan Tron mengumumkan peletakan jawatannya selepas beliau berhadapan siasatan berhubung dakwaan serangan seksual dan rogol yang dikemukakan dua pekerja wanita sebuah Dewan Perbandaran.
Surat peletakan jawatan timbalan menteri itu diserahkan kepada Presiden dan Perdana Menteri, Francois Fillon, semalam.
Dalam surat tersebut, Tron yang menyertai kerajaan Sarkozy pada Mac tahun lalu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dengan menyifatkannya sebagai 'tidak masuk akal' dan bersifat 'dendam peribadi' selepas beliau memecat dua wanita berkenaan.
Jelas beliau, seorang daripada wanita itu dipecat kerana menipu, sementara seorang lagi dibuang kerja kerana 'berkelakuan tidak senonoh'.
Peguam bekas timbalan menteri itu semalam turut menyifatkan wanita-wanita tersebut sebagai 'kaki pembohong'.
Dua wanita itu yang masing-masing berumur 34 dan 36 tahun dalam aduan mereka mendakwa, Tron telah melakukan serangan seksual terhadap mereka semasa bekerja di Dewan Perbandaran Draveil ketika beliau bertugas sebagai Datuk Bandar.
Insiden itu didakwa berlaku antara 2007 hingga 2010.
Pendedahan terbaru ini berlaku dua minggu selepas Perancis dikejutkan dengan penahanan bekas Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Khan yang didakwa melakukan serangan seksual terhadap seorang pekerja hotel di New York. - Agensi
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Baena mahu saman Schwarzenegger



SCHWARZENEGGER bersama Mildred.
SCHWARZENEGGER bersama Mildred.



 ROGELIO Baena.
ROGELIO Baena.


BOGOTA: Bekas suami kepada kekasih bintang Hollywood, Arnold Schwarzenegger memberitahu majalah Colombia, semalam bahawa dia merancang menyaman bekas gabenor terbabit kerana memalsukan sijil kelahiran anak luar nikah mereka.
Rogelio Baena dari Colombia mengahwini Mildred Patricia Baena, pembantu rumah kepada bintang Hollywood yang menjadi gabenor itu dan isterinya Maria Shriver.

Baena hanya mengetahui anaknya yang berusia 13 tahun itu adalah anak luar nikah Schwarzenegger dengan bekas isterinya, baru-baru ini.

Namun, nama Baena tercatat sebagai bapa pada sijil kelahiran remaja itu dan pendakwa raya memberitahunya sekiranya Schwarzenegger dan Midred tahu hal itu tidak benar, mereka bersubahat memalsukan dokumen awam - satu jenayah serius di California.

Baena berpisah dengan Mildred selepas 10 tahun berkahwin pada Oktober 1997, hanya beberapa minggu selepas remaja itu dilahirkan. Bagaimanapun, pasangan itu tidak memfailkan perceraian mereka hingga Februari 2008, menurut media hiburan AS.


Mildred, kini berusia 50 tahun bekerja di kediaman Schwarzenegger dan Maria selama 20 tahun. Pasangan selebriti itu mempunyai empat anak berusia antara 14 hingga 21 tahun dan anak bongsu mereka dilaporkan lahir hanya beberapa hari sebelum anak luar nikah Schwarzenegger dan Mildred dilahirkan. Schwarzenegger, 63, mengumumkan perpisahannya dengan Maria selepas 25 tahun perkahwinan pada 10 Mei lalu dan kemudian mendedahkan perpisahan mereka terjadi selepas dia memberitahu Maria tentang anak luar nikahnya yang selama ini dirahsiakannya.

Schwarzenegger menangguhkan rancangannya untuk kembali berlakon filem bagi menguruskan krisis keluarga yang tercetus ekoran pengakuannya itu. Dia memberitahu ejennya bahawa projek barunya termasuk filem ‘The Terminator’ dihentikan hingga notis berikutnya dikeluarkan, sementara dia menangani ledakan media yang berlaku empat bulan selepas meninggalkan karier politiknya. - AFPmyMetro | Baena mahu saman Schwarzenegger

‘Berdebar luar biasa’



SAAT BAHAGIA...Salih bersama isteri keempatnya, Emi.
SAAT BAHAGIA...Salih bersama isteri keempatnya, Emi.


KULAIJAYA: “Debaran yang saya rasakan ketika akad lafaz nikah kali ini amat luar biasa. Tapi, Alhamdulillah semua berjalan lancar dan saya bersedia menunaikan tanggungjawab sebagai suami Emi,” kata pelakon dan penyampai radio, Salih Yaacob, semalam.
Salih diijabkabulkan dengan Samihah Sheikh Ali, 25, atau mesra dengan panggilan Emi di Masjid Jamek Bandar Kulaijaya, di sini, pada kira-kira jam 3.40 petang semalam, sekali gus melengkapkan kuota empat isteri yang dibenarkan ajaran Islam.

“Saya akan berkongsi kegembiraan dengan berbulan madu di China tidak lama lagi dan lebih menarik, keempat-empat isteri dan semua anak akan menyertai rombongan, namun saya belum menetapkan tarikhnya,” kata Salih.

Menurutnya, walaupun pernah bernikah tiga kali, debaran dirasainya kali ini berbeza hingga dia melafazkan ikrar nikah dua kali.


Malah, telatah penyampai radio Sinar FM itu yang seolah-olah bergurau, membuatkan kira-kira 100 saudara-mara ketawa seketika sebelum lafaz kedua disahkan jurunikah, Mohd Fahmi Samad.
myMetro | ‘Berdebar luar biasa’

‘Ucap terima kasih lepas mencuri’


LICIN...Mariam menunjukkan beg tangan kosong selepas barangan dikebas, kelmarin.
LICIN...Mariam menunjukkan beg tangan kosong selepas barangan dikebas, kelmarin.


PEKAN: Seorang wanita berjubah hitam bersama tiga anaknya yang melarikan wang tunai dan barang berharga bernilai RM13,500 daripada satu majlis kenduri sempat bersalam dengan tuan rumah dan mengucapkan terima kasih sebelum menghilangkan diri.
Mangsa, Mariam Ismail, 58, berkata, kejadian berlaku ketika dia mengadakan majlis kenduri menyambut menantu di rumahnya di perumahan Peramu Jaya Tiga, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin.

“Wanita itu bersama tiga anaknya menggunakan helah mahu ke tandas dan tanpa kami sedari dia masuk ke bilik tetamu mengambil empat dompet saya, anak dan menantu yang mengandungi wang tunai.

“Mereka turut mencuri barang kemas dan satu telefon bimbit bernilai lebih RM13,500. Selepas itu, dengan selamba mereka bersalam dengan saya sambil menghulurkan wang sumbangan tanda terima kasih sebelum pulang dengan motosikal,” katanya.


Mariam berkata, dia tidak mengenali wanita berusia 20-an itu namun menerimanya dengan baik sebagai tetamu di majlis kenduri itu.
myMetro | ‘Ucap terima kasih lepas mencuri’

Kanak-kanak jadi mangsa serangan udara barat


LASHKAR GAH (Afghanistan): Satu serangan udara tentera Nato di selatan negara ini membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang awam, kata pegawai tentera Nato dan Afghanistan, semalam dengan kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak.
Serangan itu adalah salah satu serangan tentera barat paling buruk di Afghanistan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Pembunuhan orang awam tanpa sengaja oleh tentera barat dalam serangan udara ataupun serangan pada waktu malam menimbulkan pergeseran antara Presiden Hamid Karzai dan tentera barat yang menyokongnya.

Komando Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) di barat daya Afghanistan memohon maaf di atas kematian sembilan orang awam itu, mengatakan tentera tanpa sengaja mensasarkan kediaman penduduk kerana kumpulan pemberontak menggunakannya sebagai kubu. - ReutersmyMetro | Kanak-kanak jadi mangsa serangan udara barat

Mangsa bawa zakar perogol ke balai polis


DHAKA: Seorang wanita Bangladesh berusia 40 tahun bertindak nekad memotong zakar seorang lelaki yang cuba merogolnya, sebelum membawa organ itu ke balai polis sebagai bukti semalam.


Ketua polis daerah Jhalakathi, 200 kilometer ke selatan Dhaka, Abul Khaer, berkata wanita yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak itu diserang lelaki terbabit ketika tidur di pondoknya malam kelmarin.
“Ketika lelaki itu cuba merogolnya, wanita itu bertindak memotong zakarnya dengan pisau. Dia kemudian membungkusnya dengan plastik dan membawa organ itu ke balai polis Jhalakathi sebagai bukti.
Wanita terbabit memfailkan kes mendakwa lelaki itu yang juga berusia 40 tahun dan bapa kepada lima anak, atas kesalahan cuba merogolnya.

Dia juga mendakwa bahawa lelaki itu sering mengganggunya sejak enam bulan lalu.
Kemaluan lelaki itu kini disimpan di balai polis terbabit, manakala suspek sedang menerima rawatan di hospital.

“Kami akan menahannya selepas dia pulih,” kata Khaer. – AFP
Berita Harian Online | Mangsa bawa zakar perogol ke balai polis

Jerman tutup semua loji nuklear 2022




KOMBINASI gambar menunjukkan loji tenaga nuklear Jerman yang akan ditutup menjelang 2022.
KOMBINASI gambar menunjukkan loji tenaga nuklear Jerman yang akan ditutup menjelang 2022.
Tindakan berikutan kesan buruk akibat gempa, tsunami di Jepun

BERLIN: Jerman menjadi kuasa besar industri pertama dunia yang bersetuju mengakhiri penggunaan tenaga nuklear menjelang 2022 selepas melihat bencana nuklear yang berlaku di Jepun akibat gempa bumi dan tsunami.

Menteri Alam Sekitar Norbert Roettgen mengumumkan keputusan itu awal semalam, yang dicetuskan krisis di loji nuklear Fukushima Daiichi di Jepun yang disifatkan sebagai tidak boleh dipulihkan.
“Selepas mesyuarat panjang, satu persetujuan dicapai kerajaan campuran ini iaitu untuk mengakhiri penggunaan tenaga nuklear,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat tujuh jam di pejabat Canselor Angela Merkel. “Keputusan ini konsisten, jelas dan tepat,”.

Jerman mempunyai 17 reaktor dan lapan daripadanya tidak menyalurkan kepada sistem rangkaian elektrik.

Tujuh daripadanya adalah reaktor nuklear paling tua di negara itu, dihentikan oleh kerajaan persekutuan selama tiga bulan untuk penyiasatan keselamatan selepas kecemasan yang berlaku di Fukushima Mac lalu.

Rektor kelapan ialah loji Kruemmel, utara Jerman yang mana dibekukan berikutan masalah teknikal yang berulang.
Keputusan semalam menjadikan Jerman negara kuasa besar industri pertama dunia yang mengumumkan rancangan untuk menghentikan penggunaan tenaga atomik secara keseluruhan.

Ini juga bermakna, negara itu perlu mencari 22 peratus bekalan elektrik yang pada masa ini dibekalkan loji nuklear dari sumber lain.

Roettgen menegaskan tiada kemungkinan bekalan elektrik akan terganggu.
“Kami akan memastikan bekalan elektrik sentiasa ada untuk semua pengguna,” katanya tanpa memberikan maklumat lanjut.

Jumaat, menteri alam sekitar daripada 16 wilayah Jerman dipanggil bagi menyaksikan penutupan tujuh loji secara kekal.

Roettgen berkata lapan reaktor itu tidak akan diaktifkan. Enam lagi reaktor akan ditutup penghujung 2021 dan tiga lagi loji yang paling moden akan turut ditutup operasi menjelang penghujung 2022.

Keputusan semalam secara berkesannya mengembalikan jadual yang ditetapkan oleh kerajaan campuran parti Sosial Demokrat – parti Green sejak sedekad lalu. – AFP Berita Harian Online | Jerman tutup semua loji nuklear 2022

‘Rejim Gaddafi bakal berakhir’



LETUPAN daripada serangan udara mengakibatkan asap tebal di kawasan Tajura, 30 kilometer dari timur Tripoli.
LETUPAN daripada serangan udara mengakibatkan asap tebal di kawasan Tajura, 30 kilometer dari timur Tripoli.

NATO yakin operasi di Libya berjaya

VARNA (Bulgaria): Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berkata rejim Muammar Gaddafi hampir sampai ke penghujung hayatnya.

Setiausaha Agung NATO Anders Fogh Rasmussen berkata demikian semalam ketika presiden Afrika Selatan Jacob Zuma dalam perjalanan ke Libya bagi memujuk Gaddafi berundur dan ketika NATO meningkatkan serangannya terhadap Tripoli.
Britain berkata kelmarin ia akan buat pertama kali dalam kempen menyerang Libya menggunakan bom pemusnah kubu bagi memberi mesej kepada Gaddafi agar berundur.
“Operasi kami di Libya sudah mencapai matlamatnya ... kami sudah mengurangkan keupayaan Gaddafi untuk membunuh rakyatnya sendiri,” Rasmussen memberitahu satu forum NATO di sini semalam.

“Pemerintahan zalim Gaddafi hampir berakhir. Beliau kini semakin disisih bukan saja di luar negara tetapi di negaranya sendiri.”

Britain dan beberapa negara anggota NATO sedang meningkatkan pembabitan masing-masing di Libya bagi memecahkan kebuntuan yang menyaksikan Gaddafi terus berkuasa walaupun ditentang pemberontak yang dibantu serangan udara NATO sejak beberapa minggu lalu.

Gaddafi yang menafikan menyerang orang awam, berkata tentera beliau terpaksa bertindak untuk melawan pemberontak dan militan al-Qaeda.
Pemimpin Afrika Selatan, Zuma yang mewakili Kesatuan Afrika tiba di Tripoli semalam, lawatan keduanya sejak tentangan terhadap pemerintahan empat dekad Gaddafi dicabar bagi mengusahakan gencatan senjata.

Lawatan Zuma sebelum ini tidak membuahkan sebarang hasil berikutan Gaddafi enggan berundur, manakala pemimpin pemberontak meletakkan syarat pengunduran itu sebelum bersetuju untuk diadakan gencatan senjata.

Menteri luar Gaddafi mengadakan perbincangan dengan bekas menteri Britain, Lord David Trefgarne di Tunisia, Sabtu lalu, kata seorang bekas duta ke Libya yang terbabit sama dalam perbincangan itu.

Bagaimanapun bekas duta yang tidak dinamakan itu enggan mengulas mengenai butiran perbincangan.

Britain berkata bom Enhanced Paveway III – setiap satu seberat satu tan berupaya menembus bumbung atau dinding bangunan yang diperkukuhkan.

“Kami bukan mahu menyasarkan individu yang rapat dengan Gaddafi tetapi kami mahu menghantar mesej jelas kepada mereka,” Setiausaha Pertahanan Britain Liam Fox berkata dalam satu kenyataan kelmarin.

“Gaddafi mungkin tidak mahu mendengar tetapi mereka di keliling beliau harus bijak mendengar.”

NATO berkata tindakannya dilakukan di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melindungi orang awam daripada diserang tentera Gaddafi.
Namun, tindakan semakin agresif NATO memberi petanda badan itu mungkin akhirnya akan mengerah tentera ke bumi Libya.

Ahad lalu, rangkaian televisyen antarabangsa, Al Jazeera menunjukkan rakaman video kehadiran tentera asing – kemungkinan Britain di Misrata, bandar dikuasai pemberontak.

Britain dan Perancis sebelum ini berkata pihaknya akan meningkatkan pembabitan masing-masing di Libya dengan mengerah helikopter tempur untuk menyerang tentera Gaddafi. – Reuters Berita Harian Online | ‘Rejim Gaddafi bakal berakhir’

Isteri maut dirempuh Pajero


ANGGOTA polis berkawal di lokasi Saw Ping mati akibat dirempuh Pajero dekat Plaza Tol Juru, Bukit Mertajam.


BUKIT MERTAJAM - Seorang wanita maut manakala suaminya cedera parah apabila motosikal yang mereka tunggangi terlibat dalam kemalangan di Kilometer 147.5, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala utara berhampiran Plaza Tol Juru di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, motosikal yang ditunggangi kedua-dua mangsa dikatakan telah dilanggar dari belakang oleh sebuah Proton Persona ketika berada di lorong kiri menyebabkan pasangan suami isteri itu tercampak ke lorong kanan.
Menurut sumber, ketika kejadian, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang berada di lorong kanan gagal mengelak lalu merempuh tubuh Ong Saw Ping, 36, menyebabkan wanita itu mati di tempat kejadian.
Suaminya, Tan Ee Siang, 37, pula cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya.
"Suami mangsa yang turut tercampak mengalami cedera parah dan telah dikejarkan ke hospital. Dia bernasib baik kerana tercampak agak jauh dari isterinya yang mati dirempuh Pajero tersebut," kata sumber itu.

Nenek 74 tahun ahli bina badan




ERNESTINE SHEPHERD tersenarai dalam Guinness Book of Records sebagai ahli bina badan wanita tertua.


BALTIMORE - Walaupun sudah berusia 74 tahun dan bergelar nenek, kekuatan dan stamina Ernestine Shepherd sukar ditandingi oleh wanita muda.
Malah, warga emas itu diiktiraf Guinness Book of Recordssebagai ahli bina badan wanita kompetitif paling tua di dunia.
"Usia hanyalah angka semata-mata," kata Ernestine yang mempunyai perut langsing dan berotot.
Suaminya yang berusia 54 tahun, Collin Shepherd berkata, sejak 18 tahun lalu, isterinya telah menyertai 18 acara marathon dan memenangi dua pertandingan bina badan.
Pasangan tersebut menetap di Baltimore, Amerika Syarikat (AS) bersama anak lelaki dan seorang cucu yang berusia 14 tahun.
Mengenai rutin hariannya, Ernestine bangun seawal pukul 3 pagi untuk bermeditasi sebelum berjoging sejauh 16 kilometer di sebuah taman.
Dia cuma makan nasi perang, dada ayam dan sayuran bersama segelas putih telur tiga kali sehari untuk kekal bertenaga dan langsing. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Lori 'ditelan' lubang besar




SEORANG pegawai melihat lubang besar di jalan raya yang 'menelan' sebuah lori di Changchun, China.


CHANGCHUN - Tindakan sebuah lori melalui jalan raya yang merekah mengundang padah apabila jalan berkenaan tiba-tiba runtuh dan menyebabkan kenderaan itu terbenam ke dalam satu lubang besar.
Kemalangan itu berlaku Changchun, wilayah Jilin di timur laut China kelmarin.
Pemandu dan kelindan lori cedera dalam nahas tersebut, tetapi tiada laporan sama ada mereka parah atau sebaliknya.
Pihak berkuasa yang menyiasat kejadian tersebut mengesyaki lori berkenaan membawa muatan berlebihan semasa kejadian.
Terdapat sekitar 100,000 kematian pada setiap tahun akibat kemalangan jalan raya di China iaitu dua kali ganda lebih tinggi daripada Amerika Syarikat (AS). Sedangkan AS memiliki empat kali ganda lebih banyak kenderaan berbanding China. .
- Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Jurugambar dedahfoto Marilyn Monroe




GAMBAR menunjukkan aktres Marilyn Monroe berbikini di sebuah kolam mandi dipercayai di Los Angeles pada tahun 1950.


LOS ANGELES - Seorang jurugambar di Amerika Syarikat (AS), Anton Fury mendedahkan lapan gambar aktres legenda Marilyn Monroe yang belum pernah disiarkan sebelum ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia membeli dua keping sampul surat yang mengandungi negatif filem pada harga cuma AS$2 (RM6) dalam satu jualan garaj di bandar Parsippany, negeri New Jersey pada tahun 1980.
Sekeping sampul surat mengandungi lapan imej termasuk beberapa imej Monroe memakai bikini dan bergaya di tepi kolam mandi, selain gambar aktres berkenaan berbaring di katil bersama seorang lelaki misteri di sisinya.
Sampul surat kedua pula mengandungi 70 negatif filem yang menampilkan aktres Hollywood, mendiang Jayne Mansfield.
"Saya membawanya pulang dan melihatnya di bawah cahaya lampu dan mendapati negatif ini mengandungi gambar Marilyn Monroe," katanya.
Fury merahsiakan penemuannya sehingga minggu lalu apabila dia membawa kedua-dua negatif filem itu kepada seorang peniaga hasil seni, David W. Streets yang juga pakar tentang arkib Monroe.
Streets percaya imej-imej itu tulen dan dirakam di sini pada tahun 1950 ketika Monroe berusia 24 tahun, tetapi tidak tahu siapa yang merakamnya.
Monroe yang popular menerusi filem Gentlemen Prefer Blondes, How to Marry a Millionaire dan The Seven Year Itch dianggap simbol seks Hollywood.
Dia meninggal dunia pada tahun 1962 ketika berusia 36 tahun dipercayai akibat pengambilan ubat penenang berlebihan.
Kosmo! Online - Dunia