20 tahun tagih dadah

KUANTAN - “Kalau saya tak ambil benda tu, saya tak boleh melakukan sebarang kerja, saya rasa seperti orang bodoh,” demikian pengakuan salah seorang penagih tegar warga emas, Din, 54, yang ditahan dalam Ops Tapis, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini.

Menurutnya, dia sudah ketagih dadah lebih 20 tahun lalu malah keluarganya mengetahui keadaannya.

“Saya rasa seperti orang gila dan tidak boleh buat kerja. Kalau saya tak dapat kerja, macam mana saya nak cari makan untuk anak isteri.

“Saya tidak boleh mengambil metadon kerana dinasihatkan mengambil ubat mental,” katanya.

Dalam operasi selama tujuh jam bermula 9 pagi itu, seramai 43 daripada 75 mat gian yang ditahan pihak berkuasa berusia 24 hingga 54 tahun disahkan positif dadah jenis heroin dan methamphetamine oleh pihak berkuasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Polis, Superintendan Yap Toon Kuan berkata, dalam operasi tersebut, beberapa port mat gian di sekitar jeti tersebut diserbu.

Menurutnya, port berkenaan sudah menjadi pilihan penagih untuk melepaskan gian malah ada di antara mereka orang luar.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada nelayan dan ada juga orang luar yang datang ke sini semata-mata mahu melepaskan gian.

“Hasil pemeriksaan awal didapati kebanyakan mereka menyertai program pertukaran jarum yang disediakan kerajaan, bagaimana pun pelbagai alasan diberikan untuk kembali menagih dadah,” katanya, semalam.

Toon Kuan berkata, pihaknya menggalakkan penagih yang belum mengikuti program yang disediakan supaya menyertainya supaya tidak bergantung pada bekalan yang dijual tokan.

Katanya, dalam operasi itu juga pihaknya turut menahan lima warga Myanmar dan dua daripada mereka didapati positif.