|
NIK Fatimah Embong di hadapan rumahnya yang musnah di Kampung Serdang Baru, Kuala Terengganu, semalam.
|
KUALA TERENGGANU 4 Ogos – Kehadiran Ramadan kali ini meninggalkan kisah sedih buat seorang ibu tunggal apabila rumahnya di Kampung Serdang Baru di sini, musnah dalam kebakaran malam tadi.
Turut musnah dalam kejadian pukul 8.30 malam itu adalah wang zakat dan pampasan yang baru diterima Nik Fatimah Embong, 62, akibat kemalangan tahun lalu, berjumlah lebih RM3,000.
Walaupun sedih, Nik Fatimah bersyukur kerana dia, tiga anak dan tiga cucunya yang berada dalam rumah tersebut ketika kejadian, terselamat.
Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika dia hendak menyalakan sumbu pelita untuk mengaji al-Quran di dalam biliknya sebelum menunaikan solat Isyak.
“Tanpa diduga, api menjulang secara tiba-tiba. Disebabkan cemas, saya cuba padamkan api tersebut menggunakan kain langsir.
“Api jadi lagi marak. Saya dan anak-anak cuba curah dengan air, pun tak berkesan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.
Menurut Nik Fatimah, tiada satu barang berharga pun yang mampu diselamatkannya akibat kebakaran itu.
“Tetapi yang paling sedih, saya kehilangan duit pampasan kemalangan jalan raya tahun lepas lebih RM3,000 dan duit zakat sebanyak RM350 yang baru diterima.
“Saya ingat nak gunakan duit itu untuk belanja hari raya (Aidilfitri),” katanya yang menetap di situ sejak 24 tahun lalu bersama empat anak dan empat cucunya.
Saksi yang juga jiran mangsa, Abdul Rashid Abdul Wahab, 64, berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas dan api marak hingga hampir mengenai rumahnya.
“Ketika kejadian, saya baru nak ke surau tetapi apabila nampak api, saya masuk ke dalam rumah dan telefon bomba,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung berkenaan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Kamerul Bieza Mohamed Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.35 malam dan sampai di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian.
“Kerugian dianggarkan mencecah RM200,000 dan kita tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca daripada api pelita yang dinyalakan mangsa.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dijalankan selepas ini,” katanya sambil memberitahu, operasi itu disertai oleh 22 anggota bersama empat jentera.
utusan