Sunday, May 15, 2011
4 Golongan yang mendapat laknat Allah SWT siang dan malam
22 Hadis berkaitan dengan dosa
Ketika seorang berzina, mencuri dan minum khamar maka pada saat itu dia bukan seorang mukmin.
20 Fadhilat berselawat kepada Rasulullah SAW-Ibnu Qayyim
Wilders cucuk Barat anti-Islam
Pemimpin berhaluan kanan Belanda mahu Kanada sekat imigran Muslim
TORONTO: Pembuat dasar haluan kanan Belanda, Geert Wilders dalam mesej anti-Islamnya kepada Kanada, menggesa pendatang Islam dilarang memasuki negara Barat serta memberi amaran bahawa Islam memberi ancaman kepada kebebasan masyarakat.
“Apa yang berlaku di Eropah juga akan berlaku di sini,” kata Wilders kepada rangkaian berita tempatan di Kanada, baru-baru ini.
“Kita perlu bangkit dengan hakikat bahawa Islamisasi membawa kepada kurangnya kebebasan kepada kami dan anak-anak kami.”
Wilders, pemimpin Parti Kebebasan haluan kanan (PVV), dijangka berucap kepada kumpulan Kristian tempatan dalam apa yang digambarkannya sebagai ancaman diberi oleh Islam kepada tamadun Barat.
Katanya beliau terpanggil untuk memberi amaran kepada rakyat Kanada mengenai ancaman yang ditimbulkan Islam kepada kebebasan Barat.
“Tentera Kanada tidak memberi nyawa mereka untuk membebaskan Eropah, supaya 50,60,70 tahun kemudian kita tidak akan berdepan satu lagi ancaman Islam.”
Wilders terkenal lantang dengan rungutan kerasnya ke atas Islam dan umat Islam. Beliau juga menggesa larangan ke atas al-Quran, menyifatkan kitab itu sebagai ‘fasis.’
Pada 2008, Wilders mengeluarkan satu dokumentari 15 minit menuduh al-Quran menghasut keganasan.
Sebelum pilihan raya umum tahun lalu, parti antipendatang Wilders berkempen untuk ‘menyekat perkembangan Islam di Belanda’ termasuk membina masjid baru.
Wilders bukan bersendirian dalam usaha menuduh orang Islam sebagai tidak boleh dipercayai, terbabit dalam keganasan dan cuba ‘menjajah’ negara Barat menerusi penghijrahan.
Paderi Terry Jones di Florida terlebih dulu mengatasi Wilders apabila membakar al-Quran baru-baru ini.
Apapun, kempen anti-Islam parti Wilders tidak dinafikan membantunya mendapat pencapaian terbesar sejak mengasaskan PVV pada 2006.
Mengulangi tuduhannya ke atas Islam, pemimpin Belanda itu menuduh Islam melemahkan masyarakat Barat.
“Majoriti penduduk Islam mematuhi undang-undang, mereka mahukan kehidupan baik untuk keluarga mereka. Ada penduduk Islam yang sederhana namun tiada lagi Islam yang sederhana,” katanya.
“Lebih kuat sesuatu penduduk itu, lebih sukar untuk memerangi ideologinya,” kata Wilders menggesa pengharaman pendatang Islam ke negara Barat.
“Bagi mereka yang sudah ada di Kanada, jaga tingkah laku, sesuaikan diri atau kami akan hantar anda pulang. Bagi mereka yang tidak mahu menjadikan masalah semakin buruk, hentikan kedatangan penduduk dari negara bukan Barat dan hentikan proses Islamisasi dan pembinaan masjid baru. Ini adalah perkara yang kita perlu lakukan.”
Jemputan Wilders untuk berucap di Kanada menarik kecaman kumpulan antiperkauman di negara itu.
“Sebagai sekutu penduduk Islam, pelbagai kaum atau anti-perkauman, kami menyedari jemputan ini dilanjutkan kepada Wilders oleh Kolej Kristian Kanada dan Persatuan Kebebasan Media Kanada,” menurut kenyataan kumpulan Tindakan Anti Perkauman dan Kumpulan Kerja First Nations Solidarity kepada media.
Kumpulan itu juga memberi amaran bahawa ucapan Wilders akan membahayakan perpaduan sosial di negara itu.
“Amat jelas dengan semua histeria berhubung kebebasan bersuara, acara itu dianjurkan untuk menghalang sebarang tentangan suara atau bantahan.”
Penduduk Islam berjumlah kira-kira 1.9 peratus daripada 32.8 juta penduduk Kanada. Islam adalahajaran nombor satu bukan Kristian dalam negara beragama Roman Katolik itu. Satu tinjauan menunjukkan majoriti besar umat Islam berbangga menjadi seorang warga Kanada. - Agensi
Kesan gempa lebih dahsyat
KESAN gempa bumi hampir meruntuhkan bangunan di wilayah Sichuan pada 2009. |
GENEVA: Korban akibat gempa bumi meningkat di seluruh dunia tetapi kematian akibat bencana cuaca pula menurun.
Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa, kerugian ekonomi akibat malapetaka meningkat di setiap rantau lazimnya berikutan kekurangan pelaburan selepas bencana melanda.
Kerosakan prasarana seperti sekolah, pusat kesihatan, jalan raya dan jambatan turut menjejaskan negara yang berpendapatan rendah dan sederhana walaupun peningkatan dilihat dari segi sistem amaran awal, menurut Laporan Penilaian Global mengenai Pengurangan Risiko Bencana.
Negara kaya juga semakin kerap terdedah kepada bencana dengan kemusnahan akibat banjir di Australia, gempa bumi di Jepun dan New Zealand tahun ini, katanya.
“Kemajuan dalam menangani keadaan selepas bencana berlaku tidak sama,” kata Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dalam laporan itu.
Kejadian terbaru di Jepun menunjukkan risiko baru bencana yang perlu ditangani, katanya memberi amaran dengan merujuk kejadian gempa bumi dan tsunami di timur laut Jepun, Mac lalu yang mencetuskan krisis nuklear paling teruk sejak 25 tahun lalu.
Bencana ini sudah menyebabkan kerugian mencecah AS$300 bilion (RM894b) setakat ini tahun ini, iaitu sama teruknya dalam tempoh sepanjang tahun lalu, kata jurucakap PBB yang memetik perangkaan dari Pusat Penyelidikan Epidemiologi untuk Bencana yang bekerjasama dengan PBB.
Kematian akibat bencana berkaitan cuaca seperti banjir dan taufan tropika bertumpu di Asia dan risiko kematian akibat kejadian itu menurun, menurut laporan yang berdasarkan analisis 130 negara.
“Semua bukti yang kami dapati menunjukkan kematian meningkat akibat gempa bumi,“ kata ketua penulis laporan itu, Andrew Maskrey, pada sidang media.
Kebanyakan kematian dan kecederaan bertumpu terutama di kawasan yang sangat jarang terjadi bencana seperti 200,000 maut akibat gempa bumi di Haiti pada Januari 2010, katanya.
Sementara itu, kemajuan dapat dilihat menerusi sistem amaran awal untuk mengarahkan penduduk berpindah ke tempat lebih selamat, bagaimanapun banyak negara masih gagal untuk melabur meningkatkan penggunaan tanah dan kod bangunan, menurut laporan itu.
Satu sebab mengapa negara enggan membuat pelaburan lebih dalam pengurusan risiko bencana mungkin kerana sikap manusia sendiri.
“Semua pihak termasuk individu dan kerajaan khususnya mengambil lewa mengenai risiko bencana di masa akan datang. Jelas dari sudut ekonomi yang pencegahan lebih baik dari merawat,” kata Maskrey.
Kerajaan perlu membuat perlindungan insurans terhadap aset awam bagi risiko bencana, menurut laporan itu.
Bencana alam dan yang disebabkan manusia turut menelan kos industri insurans sebanyak AS$43 bilion (RM128b) pada 2010, kata syarikat insurans kedua terbesar dunia, Swiss Re, pada Mac lalu.
Kebanyakan syarikat insurans terletak di negara maju, Amerika Utara, Jepun dan Eropah, kata Maskrey.
“Syarikat insurans yang bergerak di negara membangun masih sangat rendah, Saya rasa kurang 10 peratus aset yang dilindungi insurans,” katanya.
Peru adalah negara yang berpandangan jauh dengan membuat penilaian bagi setiap projek awam untuk risiko bencana, menurut pakar.
Chile, pula selepas gempa bumi dan tsunami tahun lalu memberi bantuan kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal.
“Ini bermakna keluarga ini mampu untuk menampung kerugian untuk tempoh tertentu dan mengelakkan mereka daripada jatuh miskin, membolehkan mereka terus menghantar anak ke sekolah, menghalang daripada tidak cukup zat dan mengelakkan perkara negatif akibat bencana,” kata Maskrey. – Agensi Berita Harian Online
Keluarga diraja digelar samseng
FILEM mengenai keluarga diraja di Cannes dianggap menjejaskan imej monarki Britain ketika William baru berkahwin dengan Kate Middleton. |
CANNES (Perancis): Masyarakat antarabangsa kembali memberi tumpuan kepada keluarga diraja Britain selepas satu dokumentari baru provokatif ditayangkan kelmarin di pesta filem Cannes menyifatkan mereka sebagai samseng bersifat perkauman manakala suami Ratu Elizabeth, Putera Philip, lelaki sakit jiwa yang kaki perempuan.
Filem berjudul Unlawful Killing menghidupkan kembali dakwaan mengenai bahawa Puteri Diana yang berjiwa rakyat, menjadi mangsa bunuh pihak berkuasa Britain.
Filem itu bercanggah dengan The King’s Speech dengan menggambarkan keluarga diraja sebagai institusi purba yang mempunyai satu rangkaian kroni rasmi membebankan rakyat Britain.
Bagaimanapun, pengarahnya, Keith Allen menegaskan filem itu bukanlah serangan terhadap sistem beraja.
“Saya tidak rasa ia anti monarki. Saya fikir ia mungkin mempersoalkan kapitalisme,” katanya.
Filem itu mengambil judulnya daripada keputusan siasatan rasmi terhadap kematian Diana pada 1997 dalam kemalangan jalan raya di Paris.
Juri memutuskan puteri itu bukan mangsa bunuh dan menolak dakwaan konspirasi, sebaliknya menyalahkan pemandunya yang mabuk dengan memandu terlalu laju dan mengakibatkan kemalangan.
Tetapi, filem yang dibintangi pelakon Allen, bapa kepada penyanyi Lily Allen, kembali mengulangi teori konspirasi yang diajukan Mohamed al-Fayed.
Al-Fayed yang kematian anak lelakinya Dodi, kekasih Diana, turut menjadi mangsa kemalangan itu.
Jutawan yang juga bekas pemilik gudang beli belah mewah, Harrods, membiayai £2.5 juta (RM12.2 juta) bagi dokumentari itu.
Beliau tetap mempertahankan yang anaknya dan Diana dibunuh agensi rahsia Britain atas arahan atasan yang bimbang hubungan ibu pewaris takhta British itu dengan lelaki Islam.
Filem itu dimulakan dengan jangkaan Diana dalam surat pada 1995 kepada rakannya yang bertulis ‘suami saya merancang satu kemalangan kereta’ dan cuba mendedahkan kelemahan siasatan rasmi kejadian.
Ia menimbulkan lebih banyak persoalan dari jawapan. Siapa berada dalam kereta Fiat putih yang menjadi saksi sebelum kemalangan berlaku di Terowong Alma?
Adakah pemandu, Henri Paul benar-benar mabuk atau seseorang cuba menukar contoh darahnya. Mengapa ambulans Perancis mengambil masa lama untuk sampai ke tempat kejadian.
“Saya tidak mahu membuat filem sensasi,” kata Allen yang menggelarkan dokumentari ini sebagai akaun forensik dalam proses perundangan yang tiada tokok tambah.
Filem itu menyiarkan wawancara tokoh terkenal termasuk pengacara CNN, Piers Morgan, penulis biografi, Kitty Kelley dan ahli psikologi, Oliver James. – AP Berita Harian Online
Presiden Syria arah usah tembak penunjuk perasaan
AMMAN: Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, telah mengarahkan pihak askar agar tidak melepaskan tembakan ke arah para penunjuk perasaan yang mengadakan bantahan semalam.
Menurut pemimpin pembangkang, Encik Louay Hussein, beliau telah dimaklumkan oleh penasihat Presiden, Encik Bouthaina Shaaban, bahawa perintah itu telah dikeluarkan dan 'sesiapa yang melanggarnya akan dipertanggungjawabkan'.
Encik Hussein merupakan empat pemimpin pembangkang yang telah mengadakan pertemuan dengan Encik Shaaban baru-baru ini dan membentangkan tuntutan, antara lain agar pemerintah menghentikan tindakan ganas ke atas penunjuk perasaan.
Mereka juga menuntut agar pembaharuan politik dilaksanakan di negara yang telah diperintah oleh keluarga Assad sejak 1970.
Badan hak asasi kemanusiaan menganggarkan sekitar 700 orang telah dibunuh oleh pasukan keselamatan sejak bantahan ke atas pemerintah tercetus di bandar Deraa pada Mac lalu.
Sekurang-kurangnya 8,000 orang pula telah ditangkap.
Sementara itu, Australia semalam mengumumkan ia akan mengetatkan lagi sekatannya ke atas Syria.
Menteri Luar Australia, Encik Kevin Rudd, berkata bahawa tindakan pihak berkuasa Syria melepaskan tembakan ke atas para penunjuk perasaan sebagai 'amat dikesali'.
'Australia menggesa pihak berkuasa Syria agar menghentikan semua keganasan ke atas orang awam dan mengundurkan askarnya dari jalan-jalan raya di Daraa, Homs dan bandar-bandar lain,' kata Encik Rudd dalam satu kenyataannya.
Encik Rudd berkata pemerintahnya akan mengetatkan lagi sekatan kewangan ke atas pemimpin utama dalam rejim Presidem Assad.
Ia juga akan mengenakan larangan ke atas import senjata dan peralatan lain yang digunakan oleh rejim itu untuk menindas rakyatnya.
Sementara itu, Perdana Menteri Syria, Encik Adel Safar, kelmarin mengumumkan program baru bagi institusi pemerintah menggajikan sekitar 10,000 lulusan universiti setiap tahun.
Kadar pengangguran di Syria ialah 20 peratus. -- AP, AFP, Reuters.
Pakistan kaji semula hubungan dengan AS
Mereka turut memberi amaran untuk menutup laluan bekalan kepada tentera AS di Afghanistan jika serangan seumpamanya berlaku lagi.
Pengarah Risikan Antara Perkhidmatan Pakistan (ISI), Leftenan Jeneral Ahmad Shuja Pasha berkata, beliau sedia meletak jawatan berhubung insiden itu yang telah memalukan negara ini dan menyebabkan ejen keselamatan Pakistan disyaki mengetahui tempat persembunyian ketua al-Qaeda.
Semalam, dua serangan berani mati di akademi tentera di barat laut negara ini membunuh 80 orang, serangan yang disifatkan Taliban Pakistan sebagai tindakan pembalasan pertama atas kematian Osama pada 2 Mei lalu.
“Parlimen mengecam tindakan sebelah pihak AS di Abbottabad yang melanggar kedaulatan negara ini,” menurut resolusi yang dikeluarkan.
Anggota Parlimen dari Dewan Tinggi dan Rendah itu turut menggesa kerajaan mengkaji semula hubungan kedua-dua negara untuk melindungi kepentingan kebangsaan dan mahu AS menghentikan serangan menggunakan pesawat tanpa juruterbang ke atas militan.
Pakistan secara rasminya membantah serangan seperti itu kerana melanggar kedaulatan dan membangkitkan kemarahan awam, tambah resolusi itu. – REUTERS
PROTES
BERIBU-RIBU rakyat Chile semalam berhimpun di jalanan bagi memprotes pembinaan empangan hidroelektrik gergasi, HidriAysen yang didakwa akan mengancam alam sekitar negara ini dan negara jiran.
Protes dilancarkan oleh aktivis alam sekitar selepas penggubal undang-undang alam sekitar memberi lampu hijau kepada projek bernilai AS$3.5 bilion (RM10.5 bilion) itu yang akan dibina di pedalaman Patagonia, Santiago bagi memenuhi permintaan tenaga negara.
Pakar alam sekitar meramalkan, pembinaan empangan yang melibatkan 6,000 hektar kawasan itu akan memberi kesan segera kepada ekosistem Chile dan Argentina serta turut memberi kesan kepada Uruguay, Paraguay dan Bolivia dalam jangka masa panjang. – AGENSI
Isteri Hosni Mubarak diserang sakit jantung
KAHERAH: Bekas wanita pertama Mesir, Suzanne Mubarak (gambar) dimasukkan ke unit rawatan rapi selepas diserang sakit jantung, beberapa jam setelah mahkamah mengarahkan dia ditahan untuk siasatan kes rasuah.
“Suzanne dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Sharm el-Sheikh selepas diserang sakit jantung,” lapor televisyen Mesir.
Pengarah hospital, Mohammed Fathallah, dalam satu kenyataan kepada wartawan berkata, Suzanne disyaki diserang sakit jantung dan mengalami tekanan darah yang terlalu tinggi.
Dia sebelum ini diarah ditahan selama 15 hari atas tuduhan mengumpul kekayaan secara haram.
Persiapan untuk membawanya dari Hospital Sharm el-Sheikh, tempat dia menetap bersama suaminya, ke penjara wanita di Qanater, pinggir Kaherah, sedang dilakukan apabila Suzanne tiba-tiba diserang penyakit itu.
Dalam keputusannya kelmarin, pihak berkuasa Mesir turut mengarahkan Mubarak ditahan untuk siasatan terhadap tuduhan yang sama. — AP, metro
11 imam korban serangan Nato dikebumi
TRIPOLI: Penduduk Libya semalam mengebumikan 11 imam yang terbunuh dalam serangan Nato yang mensasarkan pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi.
Semua imam berkenaan terbunuh dalam serangan awal kelmarin di bandar Brega.
Sekurang-kurangnya 50 orang lagi cedera dalam serangan udara itu dengan lima daripadanya parah, kata jurucakap kerajaan, Mussa Ibrahim.
Nato dalam kenyataannya berkata, serangan terhadap Brega itu dilakukan kerana bangunan yang menjadi sasaran digunakan oleh rejim Gaddafi bagi menyelaraskan serangan terhadap orang awam.
Dalam pada itu, sekumpulan imam yang terselamat dalam serangan itu menggesa umat Islam seluruh dunia bertindak balas dengan membunuh 1,000 musuh Islam bagi setiap imam yang terbunuh dalam serangan berkenaan. - AFP, metro
Hargai pengorbanan
BAHAGIA... Salih bersama ketiga-tiga isteri dan sebahagian anaknya. |
KUALA LUMPUR: Sebuah rumah untuk setiap isteri. Itu pemberian eksklusif penyanyi, pelawak, pelakon, pengacara dan penyampai Sinar FM, Salih Yaacob, 50, kepada semua isterinya termasuk bakal isteri keempat, Emi, 24.
Beliau yang dijangka melengkapkan kuota poligami dengan penuntut ijazah sarjana di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) itu selepas Aidilfitri ini berkata, rumah berkenaan sebagai hantaran kepada Emi dan hadiah kepada tiga isterinya yang terdahulu.
Menurutnya, pemberian itu bakal menjadi hadiah terhadap segala pengorbanan semua isterinya selama ini.
“Ketiga-tiga isteri saya menerima pelbagai ujian dan dugaan akibat berpoligami. Walaupun sering dipandang negatif, ia tidak mematahkan semangat mereka. Kerana itu, saya ingin menghargai kekuatan mereka yang menyokong saya selama ini.
“Bukan mudah untuk berpoligami. Setiap hari, ada saja dugaan dan ujian yang perlu dihadapi ketiga-tiga isteri saya. Malah, masyarakat kita rata-ratanya sering memandang isu poligami ini sebagai sesuatu yang negatif.
“Pada masa sama, mereka (isteri) yang menjadi orang kuat di belakang saya sentiasa diuji dengan pelbagai dugaan. Namun, sifat rendah diri dan tabah yang diterapkan dalam diri masing-masing menjadikan mereka kuat, dan itu adalah kekuatan bagi saya,” katanya dalam temubual bersama wartawan Metro Ahad di sini.
Menurut Salih, dia bercadang membeli rumah baru berkenaan dalam satu kawasan di sekitar Lembah Klang bagi menempatkan setiap isteri dan anaknya.
Buat masa ini, ketiga-tiga isterinya menetap di Kampung Pandan.
“Rumah mereka (ketiga-tiga isteri) masing-masing di sini. Bagaimanapun, tidak ada lagi rumah kosong untuk menempatkan bakal isteri keempat.
“Jadi saya perlu mencari satu kawasan perumahan baru yang lebih luas dan selesa untuk mereka. Saya lebih suka mereka tinggal berdekatan. Dengan cara ini, saya ada banyak masa untuk menjaga dan bersama mereka,” katanya.
Sambil berbual, Salih membawa wartawan melihat ketiga-tiga apartmen milik isterinya yang terletak berhampiran di antara satu sama lain.
Apartmen didiami isteri pertama dan kedua dibeli hasil titik peluhnya berkecimpung dalam dunia seni kira-kira tiga dekad lalu, manakala kediaman isteri ketiga disewa.
Tinjauan Metro Ahad mendapati rumah isteri pertama dan kedua diubah suai dengan corak hampir sama seperti hiasan dalaman dan perabot. Begitupun, kediaman isteri ketiga tidak sempat ditinjau kerana kesuntukan masa berikutan Salih ada urusan lain.
Menurut Salih, dia memastikan layanan kepada setiap isteri dan keluarganya sama adil dan saksama supaya mereka mampu hidup aman dan selesa hasil pendapatannya.
“Alhamdulillah, tidak ada satu pun yang kurang. Jika seorang mendapat kereta, yang lain juga dapat. Ini yang cuba saya terapkan terhadap keempat-empat isteri nanti. Syukur kepada Allah, kami hidup selesa hasil rezeki pemberian-Nya.
“Apa yang saya miliki kini menjadi kejayaan bagi setiap isteri dan anak. Jika mahu diikutkan, kejayaan saya adalah kejayaan untuk mereka.
“Saya percaya, ini semua rezeki anak dan isteri. Rezeki saya hanya untuk membeli sekotak rokok. Mungkin jika tidak berpoligami, rezeki saya tidak seperti ini,” katanya berseloroh.
Pelawak popular itu kembali mencuri tumpuan masyarakat seluruh negara selepas akhbar ini secara eksklusif menyiarkan gambar bakal isteri keempat Salih yang berwajah ala Arab pada ruangan muka depan Khamis lalu.
Bagaimanapun, Salih ketika ditanya tarikh sebenar perkahwinannya bersama gadis kelahiran Johor itu masih berahsia dan menjelaskan, semuanya terserah pada takdir dan kuasa Allah.
“Saya serahkan semuanya kepada Allah kerana saya cuma mampu merancang. Insya-Allah, jika tiada halangan, saya akan melangsungkan perkahwinan selewat-lewatnya hujung tahun ini,” katanya.-metro
Bayi tercampak keluar kereta
SURIANI... tidak sedar bayi tercampak daripada dakapan. |
IPOH: Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan memeranjatkan anggota bomba dan penyelamat apabila didapati masih selamat dan hanya luka ringan selepas tercampak keluar dari kereta dinaiki sejurus kenderaan itu terbabas ke bahu lebuh raya.
Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin, bayi terbabit, Nik Norfarwizah Arbiah Mohd Fazli ditemui menangis di atas jalan raya sebelum diangkat dan segera dihantar ke hospital.
Ketika kejadian, ibu mangsa, Suriani Abdul Latif, 31, cedera parah dan tidak sedarkan diri manakala adik Suriani, Abdul Fatah Abdul Latif, 27, yang memandu kereta maut di tempat kejadian.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Abdul Fatah gagal dikawal sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang tepi lebuh raya berhampiran Kilometer 290, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Simpang Pulai, di sini.
Suriani ketika ditemui di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun berkata, dia tidak sedar apa berlaku kerana tidur sambil mendakap bayinya di tempat duduk depan.
Menurutnya, Fatah yang bekerja sebagai kerani di Universiti Perguruan Sultan Idris Shah (UPSI) Tanjung Malim sebelum itu mengambilnya di rumah di Bukit Sri Sentosa, Bukit Beruntung, Selangor untuk pulang bersama-sama di kampung mereka di Manong, Kuala Kangsar.
“Saya hanya tersedar pagi ini di katil hospital dengan kulit kepala terkoyak dan mulut pecah.
“Apa yang saya fikirkan hanya keadaan bayi dan seorang lagi anak saya, Nik Fawas Iskandar Mohd Fazli, 5, yang ketika itu di tempat duduk belakang,” kata surirumah berkenaan.
Menurutnya, dia masih terkejut dengan kejadian itu berikutan adiknya sebelum itu sempat berbual dan menyatakan hasrat melangsungkan pertunangan dengan gadis pilihannya tidak lama lagi.
Sementara itu, suami mangsa, Nik Mohd Fadhli Nik Mohd Hasnuddin, 33, yang ditemui di hospital itu berkata, dia dimaklumkan berhubung kemalangan itu oleh anggota polis trafik Ipoh, kira-kira jam 10 malam kelmarin.
Dia yang bertugas sebagai pegawai Rela di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields mendakwa ketika itu menjalani kursus dua minggu di Kem Sungai Udang Melaka.
“Akibat terlalu terkejut, saya pitam beberapa minit sebelum dihantar menaiki kereta oleh rakan setugas ke hospital di Ipoh bagi melawat isteri dan dua anak.
“Paling merunsingkan saya ketika itu adalah keadaan bayi perempuan saya. Saya dimaklumkan dia melambung keluar dari kereta itu sebelum jatuh ke atas jalan raya,” katanya.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana bayinya terselamat dan hanya mengalami keretakan kecil di belakang kepala selain luka ringan di dahi.
“Namun saya diberitahu doktor bahawa seorang lagi anak saya, Nik Fawas patah kaki kiri selain retak pada belakang tempurung kepala, menyebabkan pendarahan dalaman,” katanya.
Menurutnya, sebelum itu dia rasa tidak sedap hati dan tidak membenarkan isteri dan anaknya pulang ke kampung, namun isterinya tetap mahu meneruskan hasrat itu.
Dua lagi anaknya, Nik Nur Farah Aliya , 4, dan Nik Nur Farahana, 2, berada di kampung ketika kejadian.
Sementara itu, jenazah Abdul Fatah dituntut ahli keluarga di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun jam 1 pagi semalam untuk dikebumikan di kampung halamannya.-metro
Bahan porno di rumah Osama?
WASHINGTON: Dua pegawai Amerika Syarikat semalam mendakwa kononnya filem lucah adalah antara barangan yang dirampas oleh komando tentera negara itu yang menyerbu kediaman Osama bin Laden (gambar) dua minggu lalu.
Pegawai berkenaan berkata, mereka tidak dapat memastikan siapa sebenar pemilik bahan itu atau sama ada Osama menontonnya.
Anak Osama dan dua lelaki yang menjadi perantaranya juga tinggal di kediaman itu, kata pegawai berkenaan yang enggan namanya disiarkan.
Osama dan ketiga-tiga lelaki itu dibunuh dalam serangan berkenaan.
Bahan lucah itu dirampas di samping jurnal tulisan tangan, lima komputer, 10 cakera padat dan 110 pemacu pena yang kini dianalisis oleh pasukan diketuai CIA.
Pegawai berkenaan juga berkata, mereka tidak pasti di bahagian mana dalam rumah itu bahan lucah berkenaan ditemui. Bagaimanapun, menurut mereka, ia terdiri daripada rakaman video elektronik dan moden dan jumlahnya agak banyak.
Amerika Syarikat sebelum ini melaporkan, kediaman Osama di Abbottabad, Pakistan, tempat pemimpin al-Qaeda itu dibunuh, tidak mempunyai sambungan Internet atau rangkaian komunikasi canggih.
Pegawai Amerika juga mendakwa kononnya jurnal itu turut mengandungi rancangan Osama untuk membunuh Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama. - Agensi, metro
Teruja hendak balas dendam
AMENEH menunjukkan gambarnya sebelum diserang asid di Teheran, semalam. |
MAJID |
TEHERAN: Seorang wanita yang buta dan cacat selepas seorang lelaki yang kecewa kerana cintanya ditolak melontar asid pada mukanya berkata, dia gembira untuk membalas dendam terhadap lelaki itu.
Sebuah mahkamah di Iran memberi kebenaran kepada Ameneh Bahrami untuk menitiskan asid pada mata penyerangnya, bekas rakan pelajarnya di Universiti Teheran.
Mahkamah memberikan pampasan berjumlah kira-kira RM95,000 dan menjatuhkan hukuman penjara ke atas lelaki itu, Majid Movahedi.
Bagaimanapun, Ameneh menolak pampasan berkenaan, sebaliknya mahu penyerangnya menderita sepertinya.
Persediaan dibuat untuk membolehkan Ameneh menyuntik asid ke dalam mata Majid di sebuah hospital semalam, di bawah pengawasan doktor. Ameneh dibenarkan menitik 20 titisan asid pada setiap belah mata lelaki itu.
Bagaimanapun, hukuman itu ditangguhkan semalam ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.
Namun, Ameneh yang kembali ke Teheran dari Sepanyol untuk melaksanakan hukuman itu memberitahu wartawan, dia tetap mahukan lelaki itu buta sepertinya.
“Saya mahu hukuman qisas dilaksanakan. Saya sudah bersedia untuk menjalankan tugas itu. Hanya dengan membutakan dia baru saya boleh tenteram,” kata Ameneh.
Dia berkata, segala rayuan, supaya dia membatalkan hasratnya, termasuk daripada ibu lelaki itu sudah terlambat. - Agensi
Bimbang nasib suami
KUALA LUMPUR - Sukar dibayangkan bagaimana hendak mendapatkan wang sebanyak 80 juta Peso (RM5.6 juta) dalam masa yang singkat.
Bagi Mazlina Mohamad yang menyara hidup menjual kuih dan suaminya, Nazarrudin Saidin, bekas pemandu lori, adalah amat mustahil untuk mendapatkan wang tersebut sampai mati.
Namun itulah jumlah wang tebusan yang dituntut oleh sepuluh lelaki bersenjata yang menculik Nazarrudin ketika berada di Pulau Sulu, selatan Filipina pada Ahad lalu.
Beliau tidak menolak kemungkinan penculik terbabit mendapat maklumat salah mengenai suaminya semasa berada di Pulau Sulu baru-baru ini kononnya sebagai usahawan cicak tokek yang kaya raya.
Kosmo! dalam laporan muka depan pada 8 Mei 2010 melaporkan harga sekilogram cicak tokek boleh mencecah RM1 juta disebabkan khasiatnya boleh mengubat penyakit HIV dan banyak lagi.
Kata Mazlina, penculik terbabit melalui seorang ejen telah meminta supaya keluarganya supaya membayar pendahuluan wang tebusan itu selewat-lewatnya Isnin ini.
Bagaimanapun, dia yang kini tertekan kerana terpaksa menjaga enam anak yang masih kecil berasa hairan apabila tidak menerima sebarang ugutan menakutkan daripada ejen terbabit jika tidak membayar wang tebusan itu.
Lee Kuan Yew dan Goh Chok Tong letak jawatan
GAMBAR fail bertarikh 12 Ogos 2004 menunjukkan Lee Kuan Yew (kiri) dan Goh Chok Tong mengangkat sumpah jawatan mereka dalam Kabinet. |