Andrej Ciesielski sempat merakam gambarnya dari puncak Piramid Giza. AGENSI
KAHERAH 28 Jan. – Seorang remaja berdepan risiko dipenjara sehingga tiga tahun selepas ditangkap ketika sedang menuruni Piramid Giza yang berusia kira-kira 4,500 tahun di sini.
Andrej Ciesielski, 18, yang berasal dari Jerman dikatakan hanya memerlukan masa lapan minit untuk mendaki piramid setinggi 146 meter itu dan sempat merakam beberapa keping gambar menarik ketika berada di puncak.
“Selepas beberapa minit mendaki, aksi saya menarik perhatian orang ramai termasuk beberapa pegawal keselamatan yang menjerit menyuruh saya turun dalam bahasa Arab,” katanya.
Jelas Ciesielski, sebelum melakukan aktiviti pendakian tersebut, dia ada bertanya kepada penduduk setempat mengenai perkara itu dan telah dimaklumkan bahawa perbuatan mendaki piramid tidak dibenarkan di Mesir.
“Saya diberitahu, saya mungkin akan dipenjarakan disebabkan perkara ini. Namun, kejayaan merakam gambar dari puncak piramid sebenarnya adalah sangat berbaloi.
“Pengalaman berada di atas puncak satu daripada keajaiban dunia itu pastinya tidak akan saya lupakan,” katanya.
Tambah Ciesielski, dia bagaimanapun dilepaskan oleh polis Mesir tanpa sebarang jaminan selepas disoal siasat dan rakaman kameranya diteliti.
Peristiwa sama pernah berlaku tiga tahun lalu apabila sekumpulan pelancong dari Rusia mencetuskan kekecohan selepas dikesan mendaki piramid tersebut oleh pengawal keselamatan pada waktu tengah malam.