MOHAMMAD Solehin koma di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Bahiyah selepas didakwa terbabit dalam kemalangan Sabtu lalu. |
ALOR SETAR: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dari Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, Perlis, koma sejak empat hari lalu selepas terjatuh daripada motosikal, didakwa berpunca akibat dibaling dengan topi keledar oleh anggota polis yang cuba menahannya pada malam minggu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, Mohd Solihin Che Kassim sedang menunggang motosikal bersama rakannya di perkampungan itu apabila dua anggota polis yang melakukan rondaan cuba menahannya tetapi mangsa dikatakan tidak berhenti.
Bapa mangsa, Che Kassim Darus, 47, berkata ketika kejadian dia sedang solat terawih di surau kampung itu apabila diberitahu anaknya cedera kerana terjatuh motosikal dan bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik tiba di situ, dia mendapati Mohd Solihin yang juga anak kedua daripada sembilan beradik dan tidak lagi bersekolah terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah serta belakang kepalanya bengkak.
Beliau berkata, rakan anaknya memberitahu dua anggota polis yang melakukan rondaan di situ membaling topi keledar ke arah motosikal Mohd Solihin, menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh.
“Saya kesal dengan kejadian ini dan jika anak saya melakukan kesalahan, polis boleh mengambil tindakan lain dan bukan membahayakan nyawanya.
“Kami sekeluarga sedih kerana dia masih koma, sedangkan tidak lama lagi Aidilfitri akan menjelma,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, semalam.
Berikutan kejadian itu, Che Kassim membuat dua laporan di Balai Polis Kaki Bukit dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar.
Beliau turut menafikan anaknya berlumba haram atau lari daripada sekatan polis ketika kejadian itu.
-bharian
No comments:
Post a Comment