Pages

Friday, September 17, 2010

Kisah Unta Yang Menjadi Hakim

(MusLim)
Pada zaman Rasulullah s.a.w., ada seorang Yahudi yang menuduh orang Muslim mencuri untanya. Maka dia datangkan empat orang saksi palsu dari golongan munafik. Rasulullah s.a.w. lalu memutuskan hukum unta itu milik orang Yahudi dan memotong tangan Muslim itu sehingga orang Muslim itu kebingungan. Maka ia pun mengangkatkan kepalanya menengadah ke langit seraya berkata, “Tuhanku, Engkau Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak mencuri unta itu.”
Selanjutnya orang Muslim itu berkata kepada Rasulullah s.a.w., “Wahai Rasulullah, sungguh keputusanmu itu adalah benar, akan tetapi mintalah keterangan dari unta ini.”
Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kepada unta itu, “Hai unta, milik siapakah engkau ini ?” Unta itu menjawab dengan kata-kata yang fasih dan terang, “Wahai Rasulullah, aku adalah milik orang Muslim ini dan sesungguhnya para saksi itu adalah dusta.” Akhirnya Rasulullah s.a.w. berkata kepada orang Muslim itu, “Hai orang Muslim, beritahukan kepadaku, apakah yang engkau perbuat, sehingga Allah Taala menjadikan unta ini dapat bercakap perkara yang benar.” Jawab orang Muslim itu, “Wahai Rasulullah, aku tidak tidur di waktu malam sehingga lebih dahulu aku membaca selawat ke atas engkau sepuluh kali.”
Rasulullah s.a.w bersabda, “Engkau telah selamat dari hukum potong tanganmu di dunia dan selamat juga dari seksaan di akhirat nantinya dengan sebab berkatnya engkau membaca selawat untukku.”
Memang membaca selawat itu sangat digalakkan oleh agama sebab pahala-pahalanya sangat tinggi di sisi Allah s.w.t. Lagi pula boleh melindungi diri dari segala macam bencana yang menimpa, baik di dunia dan di akhirat nanti. Sebagaimana dalam kisah tadi, orang Muslim yang dituduh mencuri itu mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t. melalui seekor unta yang menghakimkannya.
Kredit kepada = DausYgBezzBlog

Boeing tawar peluang jelajah orbit




2010/09/17

ATLANTA: Syarikat Boeing merancang menawarkan penumpang peluang terbang ke angkasa lepas dalam sebuah pesawat yang dibangunkannya untuk penjelajahan orbit rendah Bumi. 

Boeing mencapai perjanjian dengan Space Adventure berpusat di Virginia bagi memasarkan tempat kepada penumpang dalam pesawat komersial milik Boeing, CST-100 iaitu kenderaan angkasa lepas dibangunkan NASA.Pesawat itu boleh membawa tujuh penumpang dan terbang ke orbit rendah Bumi menjelang 2015, kata Boeing. Syarikat terbabit berkata penumpang mungkin termasuk individu persendirian, syarikat, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi persekutuan Amerika Syarikat.
Space Adventure berkata, ia mengatur tujuh peserta angkasa lepas terbang dalam lapan misi ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa yang dibina Amerika Syarikat dan Russia. – Reuters 

Daging klon bakal menu biasa 2012




2010/09/17

Sukar bagi sebarang agensi untuk pantau 

LONDON: Penduduk Britain mungkin membeli makanan dan daging daripada haiwan klon di pasar raya dan peladang dalam masa dua tahun lagi, kata badan pemantau rasmi, semalam.Tambah membimbangkan, Lembaga Agensi Penarafan Makanan (FSA) mengakui mustahil untuk mewujudkan satu badan untuk mengesan dan melabel makanan daripada haiwan klon itu, lapor Daily Mail.
Agensi itu juga mendakwa, jual beli antarabangsa membabitkan embrio dan air mani haiwan klon amat berleluasa dan tidak dapat disekat atau dipantau. 

Akibatnya, pengguna mungkin tidak sedar mereka makan daging dan minum susu lembu klon, tidak lama lagi. 

Pengakuan mengejutkan itu dibuat pengerusi FSA, Lord Jeff Rooker, yang berkata: “Anda tidak dapat kawal apa yang anda tidak dapat kira atau periksa. Itu memang mustahil. 

“Bagaimanakah kita dapat menghalang orang ramai daripada tertipu? Dalam perkara ini, kami tidak dapat memberi jaminan.” 
Ketua Eksekutif FSA, Tim Smith, pula membayangkan bahawa anak lembu klon mungkin sudah banyak ada di ladang tanpa sesiapa mengetahui lokasinya, dua tahun lagi. 

“Makanan berasal daripada haiwan klon sudah pun dijual di negara ini,” kata Presiden Persatuan Petani Kebangsaan Scotland, Jim McLaren. 

“Perkara itu juga berlaku di tempat lain di dunia dan sudah ada di negara ini, membabitkan produk diimport,” katanya lagi. 

Bulan lalu, akhbar mendedahkan daging daripada tiga haiwan klon sudah berada dalam pasaran makanan Britain dan Eropah sejak setahun lalu. 

FSA sebelum ini menyatakan itu menyalahi undang-undang anggota Kesatuan Eropah (EU) tetapi mengubah pandangan apabila menyatakan perkara berkenaan mungkin perkara biasa beberapa tahun lagi. – Agensi 

Pengemis tinggal di hotel lima bintang




2010/09/17

DUBAI: Seorang lelaki yang ditahan kerana meminta sedekah sepanjang Ramadan di kota ini didapati menginap di sebuah hotel lima bintang. 

Pihak berkuasa memberitahu, lelaki itu pernah ditahan sebelum ini kerana meminta sedekah dan kembali mengemis kerana menerima pendapatan lumayan daripada amalan diharamkan itu, lapor akhbar di sini, semalam.Pengarah Jabatan Keselamatan Pelancong Polis Dubai, Mejar Mohammed Rashid Al Muhairi, berkata 360 orang ditahan kerana meminta sedekah pada Ramadan tahun ini.
Katanya, pasukan keselamatan mengambil semua langkah perlu bagi menyekat amalan mengemis yang didapati meningkat bulan lalu. 

Kebanyakan orang yang ditahan kerana meminta sedekah juga adalah warga negara asing yang memiliki visa lawatan dari Asia diikuti rakyat negara Arab. 
Rashid berkata, tangkapan yang dilakukan terhadap pengemis disokong Jabatan Kewarganegaraan dan Pemastautin.

Beliau juga menegaskan, orang ramai yang ada maklumat mengenai pengemis boleh menghubungi pihak berkuasa sepanjang tahun, bukan hanya pada Ramadan. – Agensi 

5 Perkara yang mesti kita sebut



http://www.ibda3world.com/wp-content/uploads/2010/03/54801298_f4d698885a_o.jpg
Rasulullah SAW berpesan dengan lima perkara:
  1. Banyakkan olehmu menyebut akan Allah SWT daripada menyebut manusia.
  2. Banyakkan olehmu menyebut akan Akhirat  daripada menyebut dunia.
  3. Banyakkan olehmu menyebut akan Kejahatan daripada menyebut kebajikan.
  4. Banyakkan olehmu menyebut akan Mati daripada menyebut hidup.
  5. Banyakkan olehmu menyebut akan keaiban dirimu daripada menyebut keaiban manusia.
Kitab Muhimmah.m/s: 220.

6 Perkara daripada Allah SWT dan 6 perkara daripada kita



http://www.ibda3world.com/wp-content/uploads/2010/03/2766681786_d7dda82c43_o.jpg
Maksud Hadis Al-Qudsi:
  1. Syurga daripadaKu dan taat daripadamu.
  2. Ketuhanan daripadaKu dan Kehambaan daripadamu.
  3. Memaqbulkan doa adalah daripadaKu dan permohonan adalah daripadamu.
  4. Bala adalah daripadaKu dan Kesabaran adalah daripadamu.
  5. Rezeki daripadaKu dan Syukur adalah daripadamu.
  6. Keampunan adalah daripadaKu dan Taubat adalah daripadamu.
Kitab Muhimmah.m/s: 221

4 Perkara perlu diawasi



http://sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc4/hs688.snc4/62845_152761711412174_100000350392863_391683_859633_n.jpg
  1. Semasa solat jagalah hati kamu.
  2. Semasa makan jagalah akhlak kamu.
  3. Semasa berada dirumah selain daripada kamu, jagalah mata kamu.
  4. Semasa berada dalam masyarakat, jagalah lidah kamu.

Kartunis hina nabi sembunyi

WASHINGTON: Seorang kartunis Amerika Syarikat yang karikaturnya mendorong pelancaran ‘Hari Semua Orang Melukis Muhammad’ di Facebook, kini bersembunyi.
Molly Norris dari Seattle, Washington sudah berpindah dan menukar namanya berikutan gesaan ulama Yaman kelahiran Amerika Syarikat, Anwar Awlaki supaya dia dibunuh, lapor akhbar yang menyiarkan karya kartunis itu.
“Anda mungkin menyedari kartun Molly Norris tidak ada dalam akhbar minggu ini,” kata akhbar mingguan, The Seattle Weekly.

“Artis itu masih hidup. Atas desakan pakar keselamatan di FBI, dia melakukan apa yang mereka gelar, ‘jadi hantu’ - berpindah, menukar nama dan melenyapkan identitinya.

“Dia diletakkan di bawah program perlindungan saksi.” Molly melukis kartun menghina Rasulullah (SAW) April lalu kerana membantah keputusan rangkaian televisyen Amerika Syarikat, Comedy Central membatalkan episod rancangan popular, ‘South Park,’ selepas menggambarkan Rasulullah dalam pakaian beruang.

Dalam kartunnya itu, Molly mencadangkan 20 Mei sebagai ‘Hari Semua Orang Lukis Muhammad’ menerusi laman Facebook.

Bagaimanapun Molly, menerusi laman webnya yang kini sudah ditutup, mollynorris.com berkata, dia tidak ada kena mengena dengan perkara itu.

“Saya tidak mengisytiharkan 20 Mei sebagai ‘Hari Semua Orang Lukis Muhammad,” katanya.

Menurut wanita itu, dia hanya melawak tetapi ada pihak yang menerimanya secara serius.

“Saya mohon maaf kepada penganut Islam dan meminta ‘hari’ itu dibatalkan,” katanya.

Islam melarang keras lukisan sebarang nabi dan laman ‘Lukis Muhammad’ itu menyebabkan Facebook disekat sementara di Pakistan di samping mencetuskan tunjuk perasaan ganas di beberapa negara. - AFP

Lapangan Terbang Jeddah sesak teruk

JEDDAH: Balai Berlepas Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz bertukar menjadi bilik setor bagasi jemaah umrah.
Keadaan berlaku kerana ramai jemaah datang lebih awal untuk menaiki pesawat atau membawa terlalu banyak bagasi, melebihi had yang dibenarkan.
Lapangan terbang itu baru-baru ini menjadi tumpuan selepas kelengkapan penyuraian bagasi dan sistem komputernya rosak, menyebabkan kesesakan teruk serta mencetuskan kemarahan penumpang yang terkandas.

Semalam, kesesakan serupa berlaku apabila ada jemaah membawa tiga hingga lima beg meskipun yang dibenarkan hanya satu.

Keadaan itu bukan kali pertama berlaku.

Setiap tahun, syarikat penerbangan tempatan dan asing terpaksa berdepan dengan masalah bagasi yang terle

Bayi ditemui di tepi jalan

AL-AHSA: Polis menyelamatkan seorang bayi baru lahir yang ditemui di tepi jalan di bandar Imran, wilayah timur Arab Saudi, semalam.
Bayi berkenaan ditemui seorang tukang sapu sebelum dia memaklumkannya kepada polis.
Bayi lelaki itu dibawa ke Hospital Bersalin Al-Ahsa dan kemudian akan serahkan kepada pusat kebajikan.

Menurut laporan, polis berusaha mengesan ibu bayi itu. - Agensi

Bersenam bukan cara kuruskan badan


LONDON - Satu kajian menunjukkan bahawa bersenam bukannya cara terbaik untuk menurunkan berat badan, lapor sebuah akhbar semalam.
Kajian itu menyatakan penurunan bilangan kanak-kanak yang berjalan ke sekolah dan peningkatkan bilangan orang menonton televisyen didapati bukan penyumbang kepada berat badan.
Menurut kajian itu, kanak-kanak yang pergi ke sekolah dengan menaiki kereta akan menghabiskan masa untuk berlari di taman permainan.
Menurut seorang pakar dari Universiti Aberdeen, Profesor John Speakman, pada tahun 1950an, tidak ada seorang pun yang membeli sebuah basikal senaman dan mengayuhnya di dalam garaj.
Namun, katanya, ketika ini ramai orang yang menggunakan basikal senaman dan mengayuhnya di dalam garaj untuk menguruskan badan.
Justeru, katanya, seseorang manusia kini bukannya tidak aktif jika dibandingkan 20 tahun lalu.
Menurutnya, peningkatan masalah kegemukan sebenarnya disebabkan seseorang itu makan terlalu banyak dan bukannya kurang melakukan senaman. - Agensi

Lembu terkecil di dunia




GAMBAR yang disiarkan Guinness World Records menunjukkan lembu 
terkecil dunia, Swallow (kanan) bersama dengan seekor lembu jantan.


LONDON - Seekor lembu kerdil yang meminati muzik kontemporari dinamakan sebagai lembu terkecil di dunia oleh Guinness World Records, lapor sebuah akhbar semalam.
Pihak pengurusan Guinness menyatakan, lembu sebesar seekor biri-biri itu berasal dari kawasan Yorkshire Barat, utara England dan berukuran 84 sentimeter panjang.
Lembu tersebut berusia 11 tahun dan dinamakan Swallow.
Pemiliknya, Caroline Ryder berkata, Swallow kerap menghabiskan masa dengan memakan rumput atau mendengar radio Perbadanan Penyiaran British (BBC) di bangsalnya.
Swallow berasal dari baka lembu Dexter yang terkenal kerana saiznya yang kerdil tetapi haiwan tersebut jauh lebih kecil berbanding kebanyakan lembu Dexter lain. - AP

Taliban ugut serang pusat pengundian


KABUL - Pergerakan Taliban semalam mengancam untuk menyerang pusat-pusat pengundian semasa pilihan raya Parlimen Afghanistan diadakan esok.
"Semua jalan yang menuju ke pusat pengundian akan diserang. Pekerja-pekerja pilihan raya dan pasukan keselamatan akan menjadi sasaran utama kami," kata jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid.
Zabiullah bagaimanapun menegaskan orang awam tidak akan menjadi sasaran Taliban kerana pihaknya menyokong penduduk tempatan.
Namun, katanya, jika penduduk tempatan pergi ke pusat pengundian, mereka akan diserang.
Pergerakan militan itu sudah pun membunuh tiga calon ahli parlimen dan ramai pekerja pilihan raya.
Lebih 2,500 calon akan bertanding bagi merebut 249 kerusi termasuk 68 kerusi yang dikhaskan untuk wanita. - AFP

Saman kerajaan setelah kurus




LONDON - Seorang penasihat kewangan, Tim Daily (gambar) menyaman Perkhidmatan Kesihatan Awam Britain (NHS) milik kerajaan selepas badannya kurus disebabkan pembedahan pintasan perut, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebelum dibedah, Daily, 47, mengalami masalah kesihatan seperti strok, sakit jantung dan diabetes manakala badannya seberat 152.4 kilogram.
Ketika itu, doktor-doktor menasihatinya dia menjalani pembedahan pintasan perut bagi menurunkan berat badan.
Walaupun pembedahan yang menelan kos £12,000 (RM58,360) itu berjaya membantu Daily menurunkan separuh berat badannya dalam tempoh empat bulan, lelaki itu berkata, hidupnya menderita kerana dia tidak dapat menelan makanan pejal.
Dia kini terpaksa makan menerusi tiub yang disambungkan terus ke dalam perutnya. - Agensi

Haiwan aneh ditemui di Kenya




KAMERA yang dipasang di Hutan Boni-Dodori menunjukkan seekor haiwan aneh mencari makanan di Kenya.


NAIROBI - Sejenis mamalia ganjil dipercayai spesies baru tikus kasturi gajah berjaya dirakamkan di hutan Boni-Dodori, pedalaman timur laut Kenya baru-baru, lapor sebuah akhbar semalam.
Saintis-saintis percaya bahawa mamalia sebesar seekor kucing yang mempunyai belalai dan memakan serangga itu merupakan spesies baru tikus kasturi gajah.
Haiwan ganjil itu yang menyerupai kombinasi seekor tenggiling dan kancil pertama kali dirakamkan di Hutan Ndundulu, Tanzania pada 2005.
Namun, beberapa perangkap kamera dipasang di hutan Boni-Dodori selepas seorang ahli Persatuan Zoologi London (ZSL), Grace Wambui terserempak dengan makhluk aneh itu. - Agensi

Ibu buang bayi kerana dirogol majikan


GAMBAR fail menunjukkan seorang jururawat mendukung bayi yang ditemui dalam beg sampah di dalam pesawat Gulf Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila pada Ahad lalu.


MANILA - Seorang wanita Filipina mengaku melahirkan seorang bayi di dalam sebuah pesawat sebelum dia membuang anaknya itu ke dalam beg sampah di dalam tandas pesawat yang mendarat di Lapangan Terbang Antarbangsa Ninoy Aqiono di sini pada Ahad lalu, kata seorang Ahli Dewan Perwakilan Rakyat, Lani Mercado semalam.
Menurutnya, wanita Filipina itu hamil selepas dia dirogol oleh majikannya semasa dia bekerja sebagai pembantu rumah di Qatar.
"Dia berasa sakit untuk melahirkan anak," kata Mercado yang menemui wanita berkenaan di sebuah ibu pejabat siasatan polis di sini.
Menurutnya, wanita itu terpaksa membuang anaknya kerana dia berasa bimbang akan mendapat tanggapan buruk daripada keluarganya sendiri.
Mercado berkata, wanita itu menjelaskan isteri majikannya memaksanya kembali ke Filipina sekali gus menyebabkan dia terpaksa menyembunyikan kehamilannya.
Pada Ahad lalu, seorang pengawal keselamatan lapangan terbang itu menemui bayi seberat tiga kilogram yang masih mempunyai tali pusat dan dibalut dengan kertas tisu di dalam sebuah beg sampah dari pesawat yang tiba dari Bahrain.
Pihak berkuasa berjaya mengesan wanita itu di Apayao kelmarin sebelum menahannya untuk disoal siasat di sebuah ibu pejabat siasatan polis di Manila.
Identiti wanita itu diketahui selepas para penyiasat mencari nama penumpang yang duduk di sebuah kerusi yang didapati mempunyai kesan darah. - AP

Palestin tak akan batalkan rundingan



HILLARY CLINTON (kiri) bertemu dengan Mahmoud Abbas di Ramallah, Tebing Barat semalam.


RAMALLAH, Tebing Barat - Israel dan Palestin tiada pilihan kecuali berunding, kata Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semalam semasa beliau menemui Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton ketika usaha-usaha sedang dilakukan bagi menggerakkan rundingan secara langsung di antara kedua-dua belah pihak.
"Kita tiada pilihan kecuali meneruskan usaha ini (rundingan damai)," tambahnya.
Kenyataan Mahmoud membayangkan bahawa beliau tidak akan membatalkan rundingan damai sekiranya Israel tidak melanjutkan pembekuan pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, Palestin selama 10 bulan yang tamat pada 26 September ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan beberapa pegawai lain menyatakan bahawa Israel tidak akan melanjutkan lagi tempoh untuk menangguhkan kerja-kerja pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat.
Namun, menurut beberapa laporan media pada minggu ini, AS kini berusaha untuk mencari jalan supaya rundingan damai tersebut dapat diteruskan tanpa dipulaukan oleh pihak Palestin.
Menurut sebuah akhbar Arab, Asharq al-Awsat semalam, Mahmoud telah bersetuju dengan usul AS supaya beliau terus berunding dengan Israel dan sebagai balasan Tel Aviv akan melanjutkan pembekuan pembinaan Yahudi di Tebing Barat selama tiga bulan lagi.
Kelmarin, ketika Hillary menemui pegawai-pegawai Israel di Baitulmuqaddis, akhbar Israel, Ma'ariv melaporkan bahawa Netanyahu mempertimbangkan satu lagi usul bagi membolehkan rundingan damai Palestin Israel diteruskan.
Usul tersebut menyatakan bahawa Israel akan terus membina penempatannya di Tebing Barat tetapi pada kadar 1,500 hingga 2,000 buah rumah setahun.
Pemimpin Israel itu turut mencadangkan supaya penempatan Yahudi dibina meliputi 1.9 peratus kawasan di Tebing Barat. - Agensi

Kereta masa depan


Kereta keluaran syarikat Edison2 'Very Light Car No 98' melakukan ujian pemanduan di litar antarabangsa Michigan di Brooklyn, Michigan. - AP


DETROIT 16 Sept. - Sebuah kereta yang sangat ringan dan boleh dipandu sejauh 231 kilometer bagi setiap liter minyak memenangi Automotive X Prize dengan menerima hadiah wang berjumlah AS$10 juta (RM31.2 juta), pada pertandingan untuk membangunkan kenderaan berprestrasi tinggi.
Walaupun, belum dapat dijual dalam bentuknya sekarang, 'Very Light Car No. 98' ciptaan syarikat Edison2 mendapat perhatian dengan langkah inovatif menggunakan bahan ringan, rekaan aerodinamik dan kos pengeluaran yang sangat rendah.
Pengasas Edison2 yang beribu pejabat di Lynchburg, Virginia, Oliver Kuttner berkata, harga sasaran bagi kereta berkenaan ialah sebanyak AS$20,000 (RM62,320).
'Very Light Car No. 98' mampu membawa empat penumpang dan dibina menggunakan kerangka aluminium seberat 376 kilogram atau satu perempat daripada berat purata sebuah kereta.
Ia kelihatan seperti kereta masa depan dengan tayar diletakkan jauh daripada badan kereta untuk membantu mengelakkan kemalangan.
Kuttner yang merupakan seorang pemaju hartanah dan pemandu kereta lumba berkata, sebuah pasukan dengan 100 anggota terdiri daripada pelumba veteran menghasilkan kereta itu.
Mereka memilih untuk menggunakan enjin satu silinder berkuasa etanol berbanding enjin elektrik kerana bateri menambahkan berat dan petrol lebih mudah didapati di mana-mana.
Namun inovasi kereta ini terletak pada rekaan aerodinamik dan penggunaan bahan ringan.
Edison2 memperolehi sebanyak AS$5 juta (RM15.6 juta), separuh daripada wang hadiah itu tetapi Kuttner berkata, Edison2 membelanjakan lebih daripada itu untuk membangunkan kereta itu, tanpa mendedahkan angka sebenar.
Tambahnya, sebahagian wang hadiah itu akan disalurkan kepada pembangunan kereta ringan generasi baru yang mana pasukannya akan memberi tumpuan kepada kereta yang lebih mesra pelanggan dan lebih menarik perhatian tanpa menambah berat atau menjejaskan ciri-ciri penjimatan ekonomi.
Kuttner menjelaskan, sebaik-baik Edison2 yakin kereta itu sudah bersedia untuk dipasarkan, rakan niaga akan dicari untuk pengeluaran dan pemasarannya. - AP

Pope Benedict lawat Britain


EDINBURGH 16 Sept. - Selepas beberapa bulan dibelenggu dengan kontroversi, Pope Benedict XVI mengadakan lawatan selama empat hari ke United Kingdom bermula hari ini ketika orang ramai mula tidak yakin terhadap institusi gereja yang terjebak dengan skandal seks.
Ia merupakan kali pertama seorang Pope mengadakan lawatan rasmi ke United Kingdom atas jemputan keluarga diraja Britain dan Pope Benedict dijadual akan menghadap Ratu Elizabeth II di kediaman rasminya di Scotland.
Pertemuan kedua-dua pemimpin itu bakal menjadi sejarah kerana perbezaan fahaman agama antara negara Protestan dengan Gereja Katolik.
Ratu Elizabeth merupakan Ketua Gereja England yang tidak sefahaman dengan Rom sejak abad ke-16 diikuti sentimen anti-Katolik selama berabad-abad.
Lawatan itu juga dibuat ketika ulang tahun ke-450 Reformasi Scotland.
Gereja Katolik kini dibelenggu kontroversi pencabulan seks yang dilaporkan di beberapa negara seperti Boston dan Belgium melibatkan beratus mangsa termasuk 13 daripada mereka membunuh diri.
Sejak itu, Pope Benedict dikritik hebat kerana reaksinya terhadap kontroversi itu dianggap tidak sesuai.
Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita sebelum berlepas ke Britain, Pope Benedict berkata, beliau mengakui pihaknya gagal bertindak pantas mengendalikan paderi yang terlibat dalam kes rogol dan pencabulan kanak-kanak.
Katanya, fokus utama Gereja Katolik kini adalah memulihkan mangsa yang trauma dan mengembalikan keyakinan mereka kepada institusi gereja.
Ketika ditanya tentang lawatannya ke Britain yang dikenali sebagai negara anti fahaman Katolik, beliau berkata, walaupun sedar tentang sejarah Britain itu, namun, harus diingat ia juga merupakan negara yang mengamalkan semangat toleransi yang tinggi. - AP

Jangan bangkit isu nuklear Israel - AS


VIENNA 16 Sept. - Penasihat nuklear Presiden Barack Obama, Gary Samore memberi amaran kepada duta-duta negara Arab hari ini bahawa rundingan damai langsung Asia Barat akan gagal jika mereka memberi tekanan terhadap program nuklear Israel ketika menghadiri mesyuarat yang akan berlangsung di sini, kata beberapa duta negara Arab.
Mereka memberitahu The Associated Press, penasihat Presiden Amerika Syarikat (AS) itu memberi amaran berkenaan ketika mengadakan mesyuarat tertutup dengan diplomat-diplomat negara Arab ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Tiga daripada duta-duta itu bersetuju untuk berkongsi maklumat tentang mesyuarat tersebut tetapi enggan nama mereka disiarkan.
Pada persidangan IAEA yang akan diadakan minggu depan, negara Arab merancang untuk memperkenalkan resolusi yang menggesa Israel agar membenarkan program nuklear mereka disiasat oleh panel antarabangsa. - AP
Resolusi yang penah diluluskan dengan majoriti kecil pada persidangan sama yang disertai 151 negara itu, dikatakan hanya akan menambahkan lagi ketegangan di Asia Barat. - AP
Seorang daripada duta itu berkata, walaupun perlu menghadiri mesyuarat ahli majlis IAEA yang disertai 35 negara di sini minggu ini, tetapi fokus sebenar Samore, kini sebenarnya lebih tertumpu untuk mengadakan pertemuan dengan wakil negara Arab untuk memberi amaran kepada mereka agar tidak mengemukakan semula resolusi tersebut.
Israel dipercayai sedang membangunkan program senjata nuklear tetapi mereka tidak pernah memberitahu tentang statusnya.
Sementara itu di Washington, jurucakap kerajaan AS, P.J. Crowley mengakui bahawa pihaknya bimbang rancangan negara-negara Arab itu akan menggugat rundingan damai Asia Barat yang sedang berlangsung.
"Pertama sekali, biarlah kita bercakap berdasarkan fakta. Israel sering memberi kerjasama dengan IAEA sedangkan Iran dan Syria tidak pernah memberi kerjasama mereka," katanya.
Selain itu, duta berkenaan berkata, dalam mesyuarat berkenaan, Samore turut melobi agar negara-negara Arab tidak memilih untuk mengundi resolusi tersebut jika ada yang meneruskan rancangan itu. - AP

Bumi catat suhu paling panas


Imej yang dikeluarkan oleh NASA merakamkan fenomena La Niña dikesan semakin meluas di Lautan Pasifik seperti yang dirakamkan oleh satelit Jason-2. - AP


WASHINGTON 16 Sept. - Dalam tempoh lapan bulan sejak awal tahun ini, bumi mencatat suhu purata paling panas, sekali gus memecahkan rekod suhu panas purata yang dicatat dalam tempoh yang sama pada 1998.
Dalam tempoh lapan bulan itu, bumi mencatat suhu purata 14.7 darjah Celsius iaitu suhu yang sama pernah dicatat dalam tempoh yang sama pada 1998, kata Pentadbiran Hidupan Laut dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA).
Ketika 1998 mencatat suhu purata paling panas dalam tempoh lapan bulan itu, 2005 pula mencatat suhu paling panas sepanjang tahun.
Dalam pada itu, NOAA turut mendapati suhu pada bulan lalu merupakan suhu ketiga paling panas bagi bulan Ogos selepas 1998 dan 2009, apabila mencatat suhu mencecah 16.2 darjah Celsius.
Selain itu, suhu musim panas antara Jun hingga Ogos tahun ini merupakan suhu kedua paling panas selepas 1998 apabila ia mencecah 16.2 darjah Celsius.
Dalam satu laporan berasingan, Pusat Data Salji dan Ais Kebangsaan berkata, litupan ais pada musim panas tahun ini di Artik merupakan yang ketiga terkecil berbanding ketika kali pertama saiznya diukur melalui satelit pada 1979.
Saiz bongkah ais yang meliputi laut Artik semakin mencair dan keluasannya yang dicatat seluas enam juta kilometer persegi pada bulan lalu adalah 22 peratus lebih kecil daripada yang pernah dicatat antara 1979 hingga 2000, lapor NOAA.
Bongkah ais yang semakin cair berpunca daripada perubahan cuaca akibat pemanasan global yang menyebabkan suhu bumi semakin meningkat sejak beberapa dekad lalu.
Kecairan ais turut dilaporkan di Greenland dan Antartika yang dibimbangi akan menyebabkan beberapa masalah seperti peningkatan kadar paras laut, pengurangan glasier dan perubahan cuaca dunia.
Satu laporan baru iklim dunia mendapati, beberapa kawasan di timur Eropah, timur Kanada, dan di timur Asia mencatat suhu panas luar biasa, manakala di Australia, tengah Rusia serta selatan Amerika Selatan dicatat mengalami suhu paling sejuk dalam sejarah. - AP

Pelombong diselamat lebih awal


Nelly Burgueno ibu kepada Victor Zamora, salah seorang daripada 33 pelombong yang terperangkap di bawah lombong emas dekat Copiapo 800 kilometer ke utara Santiago membawa kotak bekalan makanan sementara menunggu kerja-kerja menyelamat mangsa, kelmarin. - AFP


COPIAPO, Chile 16 Sept. - Pasukan penyelamat yakin dapat menyelamatkan 33 pelombong yang masih terperangkap di bawah sebuah lombong di sini pada awal November ini, lebih awal daripada jangkaan iaitu pada Krismas ini, demikian menurut ketua jurutera semalam ketika penggalian terus dilakukan.
Dua gerudi yang sedang menggali laluan selamat melepasi aras 300 meter daripada 700 meter kedalaman yang perlu digali untuk menyelamatkan kumpulan pelombong itu, yang terperangkap di bawah tanah sejak 5 Ogos lalu.
"Senario terbaiknya adalah kami dapat membuat lubang yang sampai ke tempat mereka terperangkap pada awal November," kata penyelaras usaha menyelamat, Rene Aguilar, sambil menambah kata bahawa apabila lubang itu siap nanti ia perlu digali sekali lagi dan diperbesarkan untuk mengeluarkan mangsa.
Jelasnya, selewat-lewatnya mereka dapat diselamatkan ialah pada awal Disember ini bagi memastikan pelombong yang terperangkap dapat meraikan Krismas bersama keluarga masing-masing.
Kata Aguilar, gerudi terpantas menggunakan mesin T-130 yang dipanggil pilihan 'Plan B', menyambung kerja dua hari lalu selepas jurutera mengeluarkan serpihan gerudi yang memaksanya berhenti beroperasi selama hampir seminggu. Kini ia berada pada kedalaman 368 meter.
Ujarnya, penggerudi Strata 950 yang merupakan sebahagian daripada 'Plan A' juga menggali semakin dalam hingga pada kedalaman 308 meter sebelum dihentikan pada 380 meter untuk penyelenggaraan rutin.
Penyelamat juga akan meneruskan usaha ketiga, 'Plan C' yang membabitkan sebuah gerudi cari gali minyak yang sudah 70 peratus siap dipasang di sebuah kawasan lapang berdekatan dan akan mula digunakan Isnin ini.
Kumpulan pelombong itu menjadi wira negara apabila ditemui masih hidup pada 22 Ogos lalu, 17 hari selepas terperangkap dalam runtuhan di sebuah lombong emas dan gangsa San Jose, di sini.
Semangat mereka membara minggu ini apabila mendapat berita isteri kepada seorang pelombong yang terperangkap selamat melahirkan anak perempuan dua hari lalu dan pelombong itu berpeluang melihat sendiri video kelahiran anaknya itu, semalam. - AFP

Dunia berdepan banyak bencana


NEW YORK 16 Sept. - Ketua baru misi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa selepas bencana tsunami Asia, gempa bumi besar di Haiti dan banjir teruk di Pakistan, dunia perlu bersedia untuk berhadapan dengan peningkatan bilangan bencana alam, yang memerlukan kempen baru untuk menanganinya.
Valerie Amos, Setiausaha Rendah Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, menyeru supaya dicari kaedah baru bagi mengendalikan bencana alam yang besar ketika merayu lebih banyak sumbangan dana untuk membantu mangsa banjir Pakistan, esok.
"Ini adalah krisis yang sangat besar dan masih belum diselesaikan. Ia semakin besar dan besar dan besar mengikut masa.
"Banjir ini adalah satu bencana terbesar yang pernah kita alami. Jadi pada masa depan kita perlu mencari jalan baru untuk bekerja, mengumpul dana dan memperluas rangkaian sumbangan," kata bekas menteri Britain itu pada sidang media di ibu pejabat PBB, di sini.
Amos menegaskan bahawa banyak yang perlu dipelajari daripada bencana dahsyat sejak beberapa tahun kebelakangan ini bermula daripada tsunami 2004 yang meragut lebih 220,000 nyawa di beberapa negara sekitar Lautan Hindi hingga kepada gempa bumi besar Haiti pada Januari lalu yang mengorbankan 250,000 orang.
Pegawai PBB berkata, skala bencana di Pakistan adalah lebih besar kerana 21 juta penduduk terjejas dengan kediaman musnah dan kerugian hasil pertanian serta haiwan ternakan akibat banjir.
Pakistan juga menghadapi masalah penempatan populasi pelarian terbesar dunia, kebanyakannya dari Afghanistan.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) semalam mengumumkan bantuan kecemasan bernilai AS$451 juta (RM1.4 bilion) untuk Pakistan. Kesatuan Eropah (EU) juga sedang mencari jalan untuk menghulurkan bantuan. - AFP