Pages

Monday, March 21, 2011

Qatar pertahan tindakan sertai serangan

DOHA: Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad bin Jassem al-Thani semalam mempertahankan penyertaan negaranya dalam operasi ketenteraan di Libya dengan berkata, ia bertujuan menghentikan pertumpahan darah di negara itu.
Satu pakatan antarabangsa melancarkan serangan terhadap Libya dengan menggunakan jet pengebom dan peluru berpandu semalam, untuk menghentikan tindakan Gaddafi menyekat revolusi menentang pemerintahannya sejak 15 Februari lalu.

“Qatar menyertai tindakan ketenteraan itu kerana ia satu keperluan bagi negara Arab mengambil bahagian,” kata Sheikh Hamad yang juga Menteri Luar, kepada stesen televisyen Al-Jazeera.

“Keadaan di Libya sudah tidak terkawal. Sengketa yang berlaku di negara itu bukan membabitkan tunjuk perasaan dan polis. Ia perang terbuka yang disertai oleh tentera upahan dan ia mesti dihentikan secepat mungkin,” kata Sheikh Hamad.

Bagaimanapun, menurutnya, operasi ketenteraan itu tidak disasarkan terhadap rakyat Libya, mahupun terhadap Gaddafi dan anaknya. Apa yang penting ialah menghentikan pertumpahan darah.” Qatar ialah satu-satunya negara Arab yang berjanji untuk menyertai serangan di Libya pada mesyuarat tergempar di Paris. - AFP

Kelengkapan perang Gaddafi musnah dibom


BENGHAZI: Deretan kereta kebal dan kenderaan lain tentera Libya yang musnah dibom kelihatan tersadai di sebatang jalan strategik di timur negara itu, semalam, selepas Barat melancarkan serangan udara ke negara itu.
Kelengkapan yang musnah itu dipercayai digerakkan kerajaan Libya bagi menggempur pemberontak yang kini berkubu di Benghazi.

Pada masa sama, tentera pemberontak yang terpaksa berundur akibat menghadapi serangan udara, laut dan darat sejak dua minggu lalu, kembali mara menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju bandar Ajdabiyah yang cuba ditawan sebelum ini.

Bandar itu dianggap kubu penting untuk pemberontak mengukuhkan kedudukannya menghadapi rejim Muammar Gaddafi.

Menurut saksi, sekurang-kurangnya 14 mayat terbiar di jalan dilalui pemberontak itu walaupun serangan udara dilancarkan AS dan sekutunya sepatutnya menyebabkan mayat sukar dikenal pasti.

Seorang pejuang pemberontak mengalu-alukan keadaan itu dan menganggap laluan mereka menggulingkan rejim Gaddafi semakin mudah.


Rakannya pula berkata, serangan dilakukan mereka sebelum ini turut membantu tentera Barat memerangi angkatan tentera Libya.

Kira-kira 14 kereta kebal, 20 kenderaan pengangkut tentera, dua lori bersama pelancar roket serta berpuluh-puluh pikap musnah dan dapat dilihat di sepanjang laluan berkenaan.
Kelengkapan itu juga membayangkan kesungguhan Gaddafi mahu merampas semula Benghazi daripada pemberontak. - Reuters

Barat mahu bolot minyak


TEHERAN: Iran semalam memberi amaran kepada warga Libya supaya tidak tertipu dengan tujuan sebenar Barat melancarkan serangan udara ke atas tentera Muammar Gaddafi.
Kata Teheran, tindakan Amerika Syarikat dan sekutunya hanya mahu melaksanakan dasar penjajahan baru ke atas negara kaya dengan minyak itu.

Walaupun turut menyatakan sokongan terhadap kebangkitan rakyat Libya, dasar Iran yang berseteru dengan AS mendorong Teheran bersikap amat curiga dengan perkembangan terbaru itu.

Jurucakap Kementerian Luar Iran berkata, sejarah membuktikan tindakan kuasa besar di negara yang terdesak selalu mencurigakan.

“Walaupun Iran sentiasa menyokong rakyat yang bangkit menuntut hak, penduduk Libya perlu berhati-hati dengan niat Barat yang kononnya mahu melindungi mereka,” katanya.

Menurutnya, negara kuasa besar biasanya menggunakan slogan menggoda bagi mendapatkan sokongan rakyat sebelum melaksanakan penjajahan baru. - Reuters
metro

Libya sedia tumpas 'pakatan salib'


TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berkata semalam, rakyatnya sudah bersiap untuk menghadapi perang yang berpanjangan dan akan menumpaskan negara Barat yang mula melancarkan serangan terhadap tenteranya, semalam.
Gaddafi yang berkuasa sejak empat dekad lalu, juga mengulangi, beliau tidak akan dapat ditumbangkan oleh ‘pakatan salib’ yang diketuai oleh Amerika Syarikat, Britain dan Perancis.

“Ini ialah perang salib terhadap orang Islam, khususnya rakyat Libya. Mereka percaya kononnya rakyat Libya akan takut. Ini hanya satu keganasan dan tentera kita akan berjaya menghadapinya. “Mereka sudah pasti akan ditumpaskan. Mereka tidak akan dapat memaksa rakyat Libya menyerah kalah. Semua rakyat negara ini kini dilengkapi senjata. Kami akan menentang anda jika keganasan terhadap kami berterusan,” kata Gaddafi dalam ucapan audio yang disiarkan menerusi televisyen negara itu.

“Anda adalah pengganas. Anda memerangi orang yang tidak menjemput anda. Libya akan menjadi neraka bagi musuhnya. Ini adalah keganasan yang tidak wajar. Kami tidak akan meninggalkan bumi kami dan akan membebaskannya. Kami tidak akan membenarkan Amerika, Perancis dan Britain menikmati minyak kami.

“Seluruh bandar raya Libya akan memberontak dan kami akan memusnahkan semua pembelot yang bekerjasama dengan Amerika,” katanya.

Libya dihujani peluru berpandu


MISI SELESAI...jet Tornado milik Britain mendarat di pangkalan tentera di Marham, selatan England, selepas menyertai operasi ke atas Libya, semalam.
MISI SELESAI...jet Tornado milik Britain mendarat di pangkalan tentera di Marham, selatan England, selepas menyertai operasi ke atas Libya, semalam.

TRIPOLI: Tentera Eropah dan Amerika Syarikat melancarkan serangan peluru berpandu dari pesawat pejuang dan kapal selam terhadap tentera Libya, semalam, dalam campur tangan terbesar Barat di dunia Arab sejak pencerobohan ke atas Iraq pada 2003.
Televisyen Libya berkata, 48 orang terbunuh dan 150 cedera akibat serangan itu. Stesen penyiaran CBS dalam laman sesawangnya melaporkan, tiga pesawat pengebom Stealth B-2 AS menggugurkan kira-kira 40 bom di sebuah lapangan terbang utama Libya. Bagaimanapun, lapangan terbang berkenaan tidak dinamakan dalam laporan itu.

Pesawat tentera Perancis melancarkan serangan pertama pada awal pagi dalam kempen memaksa tentera Gaddafi menghentikan serangan terhadap orang awam. Serangan itu memusnahkan kereta kebal dan kereta perisai berhampiran Benghazi, kubu kuat pemberontak.

   
  • FotoEJEN GADDAFI...mayat remaja Afrika yang menjadi tentera kerajaan ditendang pemberontak selepas dibunuh di al-Wayfiyah, 35 kilometer di barat Benghazi.
  • FotoPUAS HATI...pemberontak melihat kenderaan milik rejim Gaddafi yang terbakar selepas dibom AS dan sekutunya di Benghazi, semalam.
  • FotoSERANGAN BERMULA...dua kapal laut AS melancarkan Tomahawk bagi melumpuhkan sistem pertahanan Libya.
Pegawai tentera AS berkata, AS dan Britain melancarkan lebih 110 peluru berpandu sepanjang malam dengan menjadikan sistem pertahanan udara di sekitar Tripoli dan Misrata di barat Libya sebagai sasaran.

Menurutnya, AS bekerjasama dengan Britain, Perancis, Kanada dan Itali dalam operasi Odyssey Dawn.
Denmark pula berkata, empat jet pengebomnya bersedia menyertai serangan dan menanti arahan daripada AS.

Sementara itu, Gaddafi menyifatkan serangan itu sebagai ‘penjajahan dan Perang Salib.’
“Kini tiba masanya untuk membuka simpanan dan melengkapkan rakyat dengan semua jenis senjata bagi mempertahankan kemerdekaan, perpaduan dan kehormatan Libya,” katanya dalam mesej disiarkan menerusi televisyen, beberapa jam selepas serangan bermula.


China dan Russia - yang berkecuali dalam pengundian Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meluluskan serangan berkenaan - menyuarakan rasa kesal terhadap operasi ketenteraan itu.

Kementerian Luar China berkata, Beijing berharap konflik itu tidak menyebabkan kematian lebih ramai orang awam.
Ketika letupan dan bunyi tembakan antipesawat menggegarkan Tripoli pada awal pagi semalam, ia disusuli laungan takbir yang bergema di sekitar pusat bandar raya itu.

Penduduk Tripoli berkata, mereka mendengar letupan kuat di daerah Tajoura sementara di Misrata, serangan itu mensasarkan sebuah pangkalan tentera udara digunakan tentera Gaddafi.

Seorang saksi di Benghazi melaporkan, empat letupan kuat kedengaran berserta dengan tembakan meriam antipesawat pada sebelah malam tetapi tidak pasti siapa melepaskannya.

Katanya, serangan itu disambut baik penduduk daerah itu.

“Ini akan menamatkan pemerintahan Gaddafi.
“Libya tidak akan melupakan bantuan Perancis. Jika tidak kerana serangan itu, Benghazi pasti ditawan oleh Gaddafi.” katanya.

Khalid al-GGurfaly, 38, berkata mereka terhutang budi kepada Perancis, Britain dan AS serta negara Arab kerana menyokong rakyat Libya.
“Kami menjangka Gaddafi akan melepaskan kemarahannya terhadap orang awam. Justeru, Barat perlu menyerangnya habis-habisan,” katanya.
Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, berkata negara terbabit bersetuju menggunakan semua semua cara yang ada, khususnya tentera, untuk menguatkuasakan ketetapan Majlis Keselamatan PBB. - Reuters

Mangsa tragedi meningkat




SEORANG anggota tentera berjalan berhampiran sebuah kapal yang terdampar akibat dibawa ombak tsunami di  Onagawa, semalam.
SEORANG anggota tentera berjalan berhampiran sebuah kapal yang terdampar akibat dibawa ombak tsunami di Onagawa, semalam.

Jumlah penduduk maut, hilang kini cecah 21,000

TOKYO: Jumlah penduduk yang disahkan maut atau disenaraikan hilang oleh agensi polis nasional Jepun meningkat kepada lebih 21,000 orang semalam, sembilan hari selepas gempa bumi besar-besaran dan tsunami melanda negara itu.

Wujud kebimbangan angka kematian lebih tinggi daripada bencana itu yang menghapuskan bahagian besar kawasan kediaman di sepanjang pantai Pasifik di utara pulau Honshu.
Agensi polis nasional berkata 8,450 orang disahkan maut dan 12,931 disenaraikan secara rasmi sebagai hilang sehingga pagi semalam akibat malapetaka 11 Mac lalu.
Harapan untuk menemui lebih ramai mangsa terselamat di tengah runtuhan hampir tiada di tengah musim sejuk yang melanda kawasan timur laut Jepun, menutupi kawasan bencana dengan salji awal minggu ini.

Angka kematian itu melepasi gempa dengan magnitud 7.2 yang melanda bandar pelabuhan barat Jepun di Kobe pada 1995, mengorbankan 6,434 orang.

Gempa 11 Mac lalu kini menjadi bencana alam semula jadi paling teruk Jepun sejak Gempa Bumi Besar Kanto 1923, yang mengorbankan lebih 142,000 orang.

Angka terbaru polis untuk mangsa hilang tidak termasuk laporan tempatan dari sepanjang pantai dilanda tsunami yang mana sejumlah besar penduduk tidak dikira.
Datuk bandar di bandar pantai di Ishinomaki di daerah Miyagi berkata Rabu lalu bahawa jumlah yang hilang kemungkinan mencapai 10,000 orang, lapor Kyodo News.

Semalam, penyiar awam NHK berkata kira-kira 10,000 orang tidak diketahui nasib mereka di bandar pelabuhan Minamisanriku di daerah sama.

Sementara itu seorang wanita berusia 80 tahun dan cucunya diselamatkan dari rumah mereka yang musnah di Ishinomaki semalam selepas sembilan hari gempa bumi dan tsunami melanda.

NHK melaporkan kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan lesu tetapi masih sedar.
Mangsa dibawa ke hospital dengan helikopter dan doktor berkata kedua-dua mangsa terperangkap dalam dapur rumah mereka dan memakan makanan yang disimpan dalam peti sejuk.

Remaja terbabit, Jin Abe yang berupaya keluar dari rumah itu semalam dan memanjat ke atas bumbung untuk melambai ke arah helikopter pasukan penyelamat bagi mendapatkan bantuan. – Reuters/Agensi 

Libya lumpuh




BEBERAPA kenderaan tentera Gaddafi  musnah dan terbakar dilihat di jalan menuju ke Benghazi semalam selepas terkena bedilan serangan udara tentera bersekutu awal pagi, semalam. Serangan udara itu diketuai Amerika Syarikat bersama Britain dan Perancis.
BEBERAPA kenderaan tentera Gaddafi musnah dan terbakar dilihat di jalan menuju ke Benghazi semalam selepas terkena bedilan serangan udara tentera bersekutu awal pagi, semalam. Serangan udara itu diketuai Amerika Syarikat bersama Britain dan Perancis.

Tentera bersekutu bedil 112 Tomahawk dalam serangan awal pagi semalam.
Kami tak pernah gentar: Gaddafi

TRIPOLI: Tentera Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis melancarkan peluru berpandu Tomahawk dan membuat serangan udara terhadap beberapa sasaran di Libya awal pagi semalam, mencetuskan kemarahan pemimpin negara Arab itu, Muammar Gaddafi yang mengisytiharkan kawasan Mediterranean sebagai ‘medan perang.’

Jet pejuang Perancis lewat kelmarin memulakan serangan dalam operasi ‘Odyssey Dawn’ itu yang bertujuan menguatkuasakan zon larangan terbang di ruang udara Libya selaras resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diluluskan Khamis lalu.
Operasi berkenaan yang menyaksikan kereta kebal dan kereta perisai tentera Gaddafi dibedil, adalah campur tangan ketenteraan antarabangsa terbesar di rantau Arab sejak pencerobohan ke atas Iraq pada 2003.
Beberapa jam selepas tindakan permulaan oleh Perancis, kapal perang dan kapal selam AS dan Britain melancarkan 112 peluru berpandu Tomahawk ke arah 20 sasaran di kawasan pantai Libya dalam kegelapan sebelum fajar bagi membolehkan jet pejuang tentera bersekutu memasuki ruang udara Libya tanpa tentangan.

Seorang pegawai Majlis Keselamatan Negara AS yang tidak mahu namanya didedahkan berkata sistem pertahanan udara Libya lumpuh akibat serangan bertalu-talu misil Tomahawk berkenaan.

Selain melancarkan misil, Tentera Udara Diraja Britain turut menghantar beberapa jet pejuang Tornado GR4, manakala AS menghantar 19 pesawat termasuk pengebom halimunan B2, untuk membuat pengeboman ke atas Libya.

Dalam reaksi pertamanya terhadap serangan berkenaan, Gaddafi berkata tindakan AS, Britain dan Perancis itu adalah satu keganasan terhadap Libya.
“Kami akan mempertahankan negara ini daripada musuh asing yang mahu mengeksploitasi pergolakan di sini.

“Penduduk Libya bersama saya dalam melancarkan perang besar-besaran terhadap musuh asing ini. Kami sudah membuka depoh senjata bagi mengagih senjata kepada rakyat untuk menentang pengganas ini,” katanya dalam ucapan disiarkan televisyen tempatan semalam.

Tentera Gaddafi mendakwa 48 orang termasuk wanita, kanak-kanak dan ulama terbunuh dan 150 cedera dalam serangan tentera bersekutu itu, bagaimanapun angka itu tidak dapat disahkan oleh pihak berkecuali.

Keganasan meletus di Libya sejak sebulan lalu apabila Gaddafi cuba menghapuskan bantahan rakyat yang mahu menamatkan pemerintahan kuku besi beliau sejak 42 tahun lalu.

Pemberontak yang menguasai bandar kedua terbesar Libya, Benghazi menyambut baik serangan tentera bersekutu itu yang dijangka mengubah momentum untuk memihak kepada pemberontak selepas tentera Gaddafi mampu menyingkir mereka daripada beberapa bandar.

Bangkai kenderaan tentera Gaddafi yang musnah dan terbakar dilihat di jalan menuju ke Benghazi semalam, membolehkan pasukan pemberontak mara ke bandar Ajdabiyah untuk menawannya semula selepas disingkir tentera kerajaan minggu lalu. – Reuters/Agensi/AFP
-bharian

Liga Arab kutuk serangan Barat ke atas Libya

TRIPOLI: Liga Arab hari ini mengutuk tindakan Barat menyerang Libya dengan menyifatkan tindakan itu sebagai 'oengeboman ke atas orang awam'.Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa serentak itu mahu semua 22 negara dalam gagasan itu mengadakan sidang tergempar bagi membincangkan isu iru.
"Apa yang berlaku bukannya tindakan mewujudkan zon penerbangan bebas, tapi 'pengeboman ke atas orang awam Libya," katanya. - Reuters

Kedudukan bulan paling rapat dengan bumi




Fenomena ini membolehkan bulan kelihatan lebih besar dan terang daripada biasa.


ENGLAND - Buat pertama kali sejak tahun 1992, bulan yang besar (super moon) dapat dilihat pada titik kedudukan paling rapat antara bumi dan bulan di menara St. Michael di Glastonbury, England, lapor sebuah akhbar semalam.
Kelihatan beberapa pengunjung sedang berdiri berdekatan menara itu untuk melihat bulan yang hanya dapat dilihat selepas dua dekad lalu.
Fenomena tersebut berlaku apabila bulan berada sangat rapat dengan bumi daripada kebiasaannya. Ketika itu, bulan akan kelihatan sangat terang dan bercahaya. - Agensi
-kosmo

100 ekor monyet rosakkan kereta Mercedes






ENGLAND - Sekumpulan monyet di Taman Safari Longleat diberi sebuah kereta Mercedes-Benz lama untuk dimusnahkan dan aksi mereka dirakam sebelum disiarkan menerusi satu klip video di laman web YouTube, baru-baru ini.
Sebanyak 100 ekor monyet daripada spesies beruk itu kelihatan seperti mahu menanggalkan kereta itu dengan mencabut cermin sisi dan tayar kereta tersebut. Sebuah beg pakaian di atas bumbung kereta pula, turut dimusnahkan.
Menurut kakitangan safari, monyet-monyet tersebut sudah dua tahun tidak melakukan kerja memusnahkan kereta kerana safari itu ditutup untuk kerja-kerja membaik pulih.
Jadi, mereka mengambil keputusan untuk memberi layanan istimewa kepada monyet-monyet nakal itu sebelum pembukaan semula safari tersebut pada hujung minggu ini. - Agensi
-kosmo

Keadaan di loji nuklear menunjukkan perubahan positif




SEBUAH trak bomba menyemburkan air ke arah reaktor nombor 3 di loji stesen jana kuasa No. 1 Fukushima Dai-ichi milik Tokyo Electric Power Co (TEPCO).


TOKYO - Kerajaan Jepun dilihat menunjukkan sedikit kemajuan semalam dalam menangani krisis kebocoran radiasi loji jana kuasa nuklear yang paling teruk sejak peristiwa Chernobyl pada 25 tahun lalu.
Seramai 300 orang jurutera dilihat berusaha sedaya-upaya di zon bahaya itu bagi menyelamatkan enam buah reaktor di loji jana kuasa Fukushima sejak ia mengalami kerosakan teruk kesan gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu.
Reaktor nuklear paling kritikal di kompleks loji jana kuasa Fukushima, reaktor nombor tiga yang mempunyai tahap toksin plutonium paling tinggi sudah stabil selepas lima buah trak mengangkut bertan-tan air untuk disimbah di loji tersebut.
Selain itu, kerja-kerja menyambung kembali kuasa ke pam air untuk tujuan menyejukkan batang bahan bakar juga dilakukan.
Juruteknik telah memasang kabel kuasa ke reaktor nombor satu dan nombor dua dalam cubaan mengembalikan semula bekalan elektrik dan menghidupkan pam terbabit.
Timbalan Jeneral di Agensi Keselamatan Nuklear Jepun, Hidehiko Nishiyama berkata, pasukan penyelamat sedang menunjukkan kemajuan walaupun tidak boleh menjadi terlalu optimistik.
Krisis tersebut menyebabkan Jepun kerugian hampir AS$200 billion (RM610.7 billion) dan memerlukan baik pulih terbesar sejak negara itu mengalami kekalahan dalam Perang Dunia Kedua. - Reuters

Dunia kutuk serangan Amerika




PENUNJUK perasaan memegang sepanduk dan gambar pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dalam satu tunjuk perasaan antiperang di Belgrade, Serbia semalam.


BEIJING - China meluahkan kekesalan terhadap serangan yang dilakukan ke atas Libya oleh kuasa-kuasa besar dan menurut kenyataan kementerian luarnya, negara itu menentang penggunaan kekerasan dalam hubungan antarabangsa.
"China telah mengetahui perkembangan terbaru di Libya dan merasakan amat kesal terhadap serangan tentera ke atas negara itu.
"Kami berharap Libya dapat memulihkan keamanan secepat mungkin dan dapat mengelak kematian ramai orang awam yang disebabkan oleh konflik senjata di sana," katanya.
Rusia turut mengeluarkan kenyataan yang serupa tetapi dalam masa yang sama mahukan gencatan senjata dilakukan secepat mungkin.
Sementara itu, India melalui kenyataan Kementerian Luarnya juga senada dengan negara China dan Rusia yang mahukan keamanan kembali dipulihkan di sana.
"India memandang serius terhadap perkara yang berlaku di Libya seperti persengketaan, keganasan dan situasi kemanusiaan yang semakin merosot.
"Amat mengecewakan apabila berlaku serangan udara, langkah yang diambil sepatutnya dapat mengurangkan dan bukannya memburukkan lagi situasi rakyat Libya," katanya
Serangan tentera ke atas Libya diketuai kuasa-kuasa barat oleh Perancis, Britain dan Amerika Syarikat. Ia dilakukan bagi menguatkuasakan resolusi zon larangan terbang yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan melindungi puak penentang daripada kekejaman tentera Muammar Gaddafi.
Sementara itu, bantahan sama turut disuarakan oleh masyarakat dunia. Di Bangladesh, pertubuhan Islam Khelafat Andolon melaungkan slogan anti perang dan membantah serangan udara ke atas Libya dalam satu protes di Dhaka.
Ahli parti berhaluan kiri di Jerman, Die Linke Klaus Ernst juga mengadakan demonstrasi di Berlin yang mengutuk serangan kejam tersebut. Para aktivis Filipina pula bertindak membakar bendera AS dalam satu tunjuk perasaan di Quezon City, utara Manila.
Kemarahan sama turut dirasai di Los Angeles apabila aktivis antiperang mengadakan satu demonstrasi yang menyambut ulang tahun kelapan pencerobohan tentera AS dan sekutunya ke atas Iraq.
White House tidak terkecuali daripada menjadi lokasi demonstrasi mengutuk serangan ke atas Libya. Akibatnya, berpuluh-puluh aktivis antiperang telah ditahan polis.
-kosmo

48 orang terbunuh, 150 cedera




SEORANG lelaki berdiri di hadapan sebuah kereta perisai milik penyokong Muammar Gaddafi yang terbakar dalam serangan di sebatang jalan di antara Benghazi dan Ajdabiyah, Libya semalam.


TRIPOLI - Selepas hampir 42 tahun di puncak kuasa, Pemerintah Libya, Muammar Gaddafi dikejutkan dengan serangan 112 peluru berpandu Tomahawk pada awal pagi semalam yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutu-sekutunya.
Kempen perikatan itu dilihat sebagai yang terbesar sejak Perang Iraq tamat hampir lapan tahun lalu apatah lagi dunia melihatnya sebagai usaha terbaru Barat untuk memaksa Gaddafi berundur.
Selain AS, perikatan Barat itu terdiri daripada Britain, Perancis, Kanada dan Itali.
Kapal Amerika Syarikat yang terlibat dalam serangan itu termasuklah USS Barry, USS Stout, USS Providence, USS Scranton dan USS Florida dengan dibantu sebuah kapal selam Britain, Westminster.
-kosmo